Perbanyakkanlah ucapan La ilaha illallah


Dari Jabir ra katanya: "Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda:
"Seutama-utama zikir ialah lafaz La ilaha illallah."
Diriwayatkan oleh Imam Termidzi dan ia mengatakan bahwa ini adalah Hadis hasan.


Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: "Orang yang paling banyak mendapat manfaat daripada syafaatku pada hari kiamat nanti ialah seorang yang mengucapkan kalimah La ilaha illallah dengan ikhlas di dalam hatinya." (HR Bukhari)


(petikan dari kitab Riyadhus Shalihin)
........................................................

Nabi SAW telah bersabda:
"Zikir yang amat utama ialah: La Ilaha Illallah. Dan doa yang mulia ialah: Alhamdulillah."

Sabdanya lagi:
"Seutama-utama ucapan yang pernah kusebutkan, begitu pula para Nabi sebelumku, ialah: La Ilaha Illallah."

Bersabda Rasulullah SAW yang diriwayatkannya dari Allah Ta'ala:
"La Ilaha Illallah bentengKu, siapa yang memasuki bentengKu, terselamat ia dari azabKu."

"Perbaharuilah iman kamu! Para sahabat bertanya: Bagaimana caranya memperbaharui iman kami?? Jawab baginda: Perbanyakkanlah ucapan: "La Ilaha Illallah."

Sabdanya lagi:
"Subhaanallah (memenuhi) setengah mizan, dan Alhamdulillah memenuhinya, dan La Ilaha Illallah tiada dinding antaranya dengan Allah."

Sebuah riwayat lain mengatakan pula:
"Bahawasanya seseorang hamba apabila menyebut: "La Ilaha Illallah, maka setiap La Ilaha Illallah itu melintasi sesuatu kejahatan di dalam buku catatannya, melainkan dipadamkannya, sehingga ia menemui sesuatu kebaikan, lalu ia berdiam di sampingnya."

Riwayat yang lain lagi:
"Andaikata diletakkan tujuh petala langit dan tujuh petala bumi dan seisinya di daun timbangan, dan diletakkan ucapan La Ilaha Illallah di daun yang lain, niscaya neraca La Ilaha Illallah akan menjadi lebih berat."

Kalimah Laa Ilaha Illallah begitu banyak sekali kelebihannya. Ia merupakan kalimah yang mesti diucapkan jika seseorang ingin memeluk Islam, dan bahawasanya sesiapa yang mengakhiri hayatnya dengan mengucap kalimat itu, nescaya ia akan memperoleh kebahagiaan yang abadi yang tiada celaka lagi sesudah itu.

(petikan dari kitab Nasihat Agama dan Wasiat Iman)
Imam Habib Abdullah Haddad
....................................................................

Firman Allah Ta'ala yang bermaksud:
"....Dan berzikirlah engkau semua kepada Allah dengan sebanyak-banyaknya, supaya engkau semua berbahagia."   (al-Jumu'ah:10)

Dari Abdullah bin Busr ra bahawasanya ada seorang lelaki berkata: "Ya Rasulullah, sesungguhnya syariat-syariat Islam sudah banyak - yakni hukum-hukumnya sudah lengkap - atas diriku, maka beritahukanlah kepada saya akan sesuat yang saya dapat berpegang padanya." Beliau SAW bersabda: "Supaya lisanmu itu senantiasa basah dengan berzikir kepada Allah."
Diriwayatkan oleh Imam Termidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan.

Dari Jabir bin Abdullah r.a berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sebaik-baik zikir ialah La ilaha illallah dan sebaik-baik doa ialah Alhamdulillah. (HR Tirmizi)


Pesanan untuk hadapi PRU13

Pesan ustaz...
Sesungguhnya seluruh cara hidup ini adalah Islam.  Kenal Islam secara menyeluruh.  Islam adalah sistem kehidupan yang terkandung dalam al-Quran diturunkan Allah melalui perantaraan Jibril serta sunnah yang dibawa oleh Rasulullah SAW.  Jangan faham agama hanya mengikut juzuk2 tertentu.  Contoh:  Seorang bapa yang pakai seluar Hawaii dan isterinya pula berambut merah tanpa tudung menyuruh anaknya menadah tangan membaca doa makan sebelum mula menjamah makanan di sebuah restoran.  Banyak berlaku salah faham dalam agama, seolah-olah masa nak makan saja minta keberkatan Allah, sedangkan dalam bab berpakaian yang tidak ikut Islam.. tak mengapa.. tak perlu keberkatan Allah. 

Kita sendiri tak jelas tentang hukum Allah.  Ustaz bagi contoh: Yang tolak hukum hudud jika ditanya kenapa mereka tolak, mereka sendiri pun tak tahu apa jawapannya. Mereka pun tak tahu kenapa mereka tolak.  Jangan kita menjadi salah seorang penyumbang kepada manusia yang menolak hukum Allah.  Orang yang bersetuju, orang yang bersekongkol dengan golongan yang menolak hukum Allah... semua masuk sekali.  Jangan sekali-kali kita termasuk dalam golongan yang menolak hukum Allah.  Jangan sokong orang yang tolak hukum Allah.  

Nafsu terbahagi kepada 3 iaitu nafsu mutmainnah(jiwa yang tenang tenteram), nafsu amarah dan nafsu lawwamah((yang berbolak-balik).  Apa saja yang kita buat jangan sampai kita terpedaya.  Jangan sampai berjaya syaitan.  Dekat-dekat nak pilihanraya ini, banyak perkara yang boleh mencetus amarah dan kebencian.  Memberi maklumat mestilah tepat dan benar namun pastikan penghujungnya adalah ke-arah menanam mutmainnah bukan menanam kebencian. Penerangan adalah perlu, penjelasan sangat perlu terutamanya bagi mereka yang terhad mendapat pendedahan maklumat... tetapi penjelasan sebaiknya melahirkan mutmainnah bukan bertujuan melahirkan amarah.

Hidayah tidak akan datang sendiri.  Hidayah perlu dicari. Contoh:Berbeza orang yang tidak duduk di majlis ilmu, tidak duduk dalam linkungan orang-orang soleh, tidak berkawan dengan orang-orang yang berakhlak baik dengan orang2 yang mendapat nikmat duduk dalam masjid dan nikmat duduk dalam majlis ilmu.  Orang yang bertambah iman InsyaAllah akan makin meningkat ibadah.  Allah akan rezekikan nikmat cahaya kasih sayang, cahaya keimanan, nikmat duduk dalam masjid, nikmat duduk dalam majlis ilmu.  

Sentiasa usaha untuk mencapai hidayah Allah.  Mudah-mudahan dengan amalan kita duduk dalam majlis ilmu, akan menjadi saksi pada Allah Taala.  InsyaAllah Allah akan tolong ke-arah perkara kebaikan.  Istighfar selalu.  Jangan kita celik mata di pagi hari kemudian kita tidur balik di malam hari tanpa ada satu program pun untuk kita ingat pada Allah. Muhasabah diri kita dalam sehari berapa mukasurat quran kita baca, berapa banyak tasbih yang kita ucap, berapa banyak selawat yang kita sebut, berapa kali kita beristighfar? Kalau tak ada, apa yang kita nak bawa sebagai bekal padahal kita ini adalah seorang Islam...

Akal adalah anugerah Allah.  Wajib menuntut ilmu bagi setiap lelaki dan perempuan.  Allah jadikan kita dengan hikmah supaya kita boleh lakukan ibadah.  Menuntut ilmu atau mengaji untuk apa sebenarnya? Dalam semua kitab, disebut mengaji ini ialah untuk mengeluarkan kita dari jahil kepada alim, dari tak suka beribadat kepada gemar beribadah. Maka usaha mesti berterusan mencari hidayah Allah.  Pergi ke masjid supaya beroleh hidayah.  Anak-anak kena bawa ke masjid, agar dekat dengan hidayah.

Berhati-hatilah... syaitan akan bersama-sama dekat dengan nafsu amarah.  Akal kena bijak memproses maklumat.  Cari jalan untuk dapat serapkan cahaya Allah ke dalam hati-hati yang kaku untuk kembali kepada Allah.  Peringkat awal, kena jaga solat, tingkatkan kualiti solat kita kerana hakikatnya dalam solat kita sedang berbicara dengan Allah.

Sedar dirilah... bahawa dunia ini ujian bagi orang mukmin. Keluar dari kepompong kejahilan.  Kenal diri sebagai hambaAllah yang kena buat kerja sebagai hambaAllah.  Kenal Allah sebagai yang empunya dunia, yang segala2 yang kita punya ini semuanya dari Allah.  Muhasabah diri adakah nafsu kita nafsu mutmainnah, amarah atau lawwamah.  Agak-agak kita dekat mana?  Sesungguhnya manusia tak sunyi dari berbuat silap namun jangan putus asa, Allah sentiasa beri ruang untuk kita buat pembetulan. Pastikan dapat beza yang mana betul, yang mana salah. Semoga dilorongkan Allah jalan kebaikan... ameen.


Pastikan keluar mengundi.  Selamat Mengundi.


Zikir Munajat - Ustaz Dzulkarnain Hamzah

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, dapat mendengar sendiri suara Ustaz Dzulkarnain secara live di masjid kami sekejap tadi.  Ustaz Dzulkarnain hadir sebagai penceramah jemputan untuk menyampaikan tazkirah dalam slot Kuliah Maghrib.  Saya hanya menyedari kehadiran ustaz takkala mendengar bacaan beliau ketika menjadi imam untuk solat Isyak selepas sesi tazkirah berakhir.  Hati begitu teruja kerana pasti suara itu adalah suara Ustaz Dzulkarnain.  Kami datang pun agak lambat tadi, itu yang tidak pasti ustaz mana yang sedang berucap di depan.  Tak perasan rupa-rupanya yang ada kat depan tu ialah Ustaz Dzulkarnain Hamzah. 

Alhamdulillah, memang dari dulu begitu suka dengar zikir2 yang di-alun oleh ustaz.  Pernah di satu ketika, semasa anak saya bekerja di kedai buku berhampiran, katanya ramai yang datang mencari cd zikir ustaz.  Saya sendiri pula hanya download zikir ustaz melalui you-tube sahaja.  

Mari kita dengarkan Zikir Munajat oleh Ustaz Dzulkarnain...

Bacalah Doa Iftitah Dalam Solat


Bismillahirrahmanirrahim

Bertemu lagi kita dengan hari Jumaat, penghulu segala hari.. Alhamdulillah. Bersyukur dengan nikmat kehidupan, nikmat sihat tubuh badan yang dikurniakan Allah... Alhamdulillah.    

Pesan seorang tok guru: "Selagi kita hidup, selagi hayat dikandung badan, jangan kita lupa zikrullah.  Orang yang sentiasa berzikrullah, Allah tenangkan jiwa.  Ramai orang yang jiwanya tidak tenang.  Cuba guna sebaik mungkin masa kita, nilai kita.  Nikmat ini tidak kekal.  Jangan biarkan anak isteri kita lekakan kita dari mengingati Allah. Banyakkan menderma dan bersedekah.  Biar nanti kita tinggalkan dunia ini dengan redha Allah.  Kejar kehidupan yang kekal abadi.  Kalau cari kehidupan dunia, cari banyak mana sekalipun tak akan cukup-cukup.  Jangan biarkan diri kita terlalu disibukkan dengan kehidupan dunia.  Ingat, setiap nikmat akan ditanya."
..............................................................

Alhamdulillah, dalam semusim dua ini, telah beberapa kali diperingatkan oleh para tok guru tentang kepentingan membaca Doa Iftitah ketika memulakan solat. Ia merupakan doa yang dibaca selepas selesai kita mengangkat takbirratul ihram, dan sebelum kita mula membaca Surah al-Fatihah. Doa Iftitah merupakan bacaan sunat namun tegas ustaz, teramatlah rugi jika kita sengaja meninggalkan bacaan tersebut.

Dalam doa iftitah, "Aku hadapkan diri aku kepada Allah." Hakikatnya semasa kita solat, kita bukan setakat hadapkan wajah sahaja namun kita hadapkan kepada Allah dengan kesemuanya ->> muka, badan, hati.. malah keseluruhannya.

"Bacalah Doa Iftitah Dalam Solat...", pesan ustaz. Alhamdulillah timbul azam untuk cuba tidak meninggalkan Doa Iftitah setiapkali solat.. Moga ada kekuatan untuk istiqamah, InsyaAllah.


DOA IFTITAH


Allah Maha Besar dan segala puji bagi Allah dengan banyaknya.
Maha suci Allah sepanjang pagi dan petang.
Aku hadapkan wajahku bagi Tuhan yang mencipta langit dan bumi,
dengan suasana lurus dan berserah diri dan aku bukan dari golongan orang musyrik. 

Sesungguhnya solatku,ibadatku,hidupku,matiku adalah untuk Allah Tuhan sekelian alam.
Tidak ada sekutu bagiNya dan kepadaku diperintahkan untuk tidak menyekutukan bagiNya dan aku dari golongan orang Islam. 


Istiqamah dalam amalan.


Kurnia bagi orang yang menjaga Solat Berjemaah

Bismillahirrahmanirrahim

Ustaz malam tadi dalam majlis ilmu telah menceritakan bahawa... Pada hari kiamat kelak Allah swt akan himpunkan suatu kaum yang wajah-wajah mereka bercahaya seperti bintang di langit. Para malaikat bertanya kepada mereka 'Apakah amalan kamu sewaktu di dunia?' Mereka pun menjawab, 'Kami dahulu semasa di dunia takkala mendengar seruan azan kami terus bangun, bersuci dan tidak mengendahkan lagi pekerjaan lain.' Kemudian terdapat pula suatu kaum yang dibangkitkan dengan wajah seperti bulan yang penuh atau bulan purnama. Apabila ditanya mereka menjawab, 'Semasa hidup di dunia, kami telah berwuduk sebelum mendengar azan.' Ada pula suatu kaum yang lain yang dihimpun di mana wajah mereka bercahaya seperti cahaya matahari. Para malaikat bertanya lalu mereka menjawab: "Setiap kali azan dikumandangkan kami sudah terlebih dahulu berada di dalam masjid.'  

Subhanallah... 

Kaum yang ketiga itu maksudnya menunggu-nunggu masuknya waktu solat dan sentiasa bersiap-sedia di dalam rumah Allah untuk mengerjakan solat. Semoga para muslim termasuk dalam mana2 kumpulan kaum yang disebut itu terutamanya mampu untuk berada di kalangan kaum yang ketiga iaitu seorang yang hatinya sentiasa di rumah Allah... amenn

Di atas dunia, Allah menyuruh kaum muslimin menunaikan sembahyang secara berjemaah.  Solat berjemaah di rumah Allah adalah dituntut berbanding mendirikan solat secara bersendirian.

Banyak dalil yang menegaskan tuntutan terhadap solat berjemaah termasuklah:

Firman Allah yang bermaksud:
Dan dirikanlah sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan ruku`lah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang yang rukuk.
(Surah Al-Baqarah : 43) 

Hadis Nabis SAW yang bermaksud:
“Solat berjemaah itu lebih afdhal (baik) daripada solat bersendirian dengan 27 kali darjat” (HR Bukhari dan Muslim)

"Wahai sekalian manusia, kerjakanlah solat (sunat) di rumah kalian, sebab solat yang paling utama adalah solat seseorang yang dikerjakan di rumahnya, kecuali solat fardu."  ( HR Bukhari)

Abu Hurairah r.a, meriwayatkan bahawa suatu ketika ada seorang buta yang datang menemui Rasulullah SAW. Dia berkata, “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya aku tidak memiliki penuntun yang selalu membimbingku untuk berangkat ke masjid.” Dia bertanya kepada Rasulullah S.A.W. dengan tujuan meminta keringanan agar boleh mengerjakan solat di rumah, maka beliau pun memberikan keringanan untuknya. Akan tetapi, ketika dia berpaling (hendak pulang) maka baginda SAW menanyakan kepadanya, “Apakah kamu masih mendengar azan untuk solat [berjemaah]?”. Dia menjawab,”Ya.” Maka Nabi pun mengatakan, “Kalau begitu penuhilah panggilan itu.” 
(HR. Muslim)


Nabi S.A.W bersabda, “Tidaklah ada tiga orang [muslim] di suatu kota atau kampung namun mereka tidak mendirikan solat [berjemaah] di sana, kecuali karena syaitan telah menguasai mereka. Maka hendaklah kamu [solat] berjemaah. Karena serigala itu hanya akan memangsa domba yang jauh [menyendiri].” (HR. Abu Dawud, An-Nasa’i dan Al-Hakim serta beliau -Al-Hakim- mensahihkannya) 
................................................................................

Ustaz juga menekankan bahawa dalam solat berjemaah terkandung kelebihan untuk berada di saf yang pertama atau saf hadapan.
Rasulullah S.A.W. bersabda, "Seandainya manusia mengetahui keutamaan yang ada dalam azan dan saf pertama, kemudian untuk mendapatkan itu mereka harus mengundi, nescaya mereka akan mengundi untuk mendapatkannya."
(Hadis riwayat Bukhari).


Dari Barra ibn Azib r.a berkata; Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya Allah Ta'ala dan para malaikatNya menurunkan rahmat ke atas orang-orang yang berada di saf hadapan iaitu saf yang paling hampir dan para malaikat berdoa untuknya dan tidak ada satu langkah yang lebih dicintai oleh Allah, daripada langkah orang yang memenuhkan saf yang kosong. (HR Abu Daud)
................................................................................

Ustaz ulang mengingatkan agar semasa solat berjemaah, makmum jangan mendahului imam atau bergerak serentak dengan imam.  Hendaklah bila imam habis mengucapkan Allahu Akbar dan rukuk, baru makmum mula mengucapkan Allahu Akbar serta rukuk.  Maksudnya bila imam sempurna rukuk baru makmum mula rukuk. Jangan berkata atau bergerak serentak dengan ucapan atau pergerakan imam.

Dari Abu Hurairah ra bahawasanya Nabi SAW bersabda: "Adakah seseorang di antara kamu itu tidak takut apabila ia mengangkat kepalanya sebelum imam, lalu Allah akan mengganti kepalanya menjadi bentuk kepala keledai atau bentuknya sama sekali dijadikan oleh Allah dalam bentuk keledai."  (Muttafaq 'alaih)

Hendaklah berusaha untuk mencapai khusyuk dalam solat.  Khusyuk dapat dicapai bilamana kita memperhatikan bacaan yang sedang dibaca dan kita sedar terhadap apa yang sedang kita lakukan.  Contoh:   Semasa rukuk, sedar kita sedang rukuk dan tahu dan memahami bacaan takkala rukuk.

Kurnia Allah mencakupi dunia dan akhirat bagi orang-orang yang solat berjemaah.  Orang yang solat berjemaah dijanjikan Allah:

  1. Tidak akan ditimpa kefakiran semasa hidup di dunia.  Jika susah sikit InsyaAllah ada saja yang datang menolong.  Yang tak mengendahkan solat berjemaah, jika susah akan sungguh-sungguh susah, wajah pun ikut gambarkan kesusahan mereka... nampak serabut dan tidak tenteram.
  2. Allah akan lepaskan dari azab kubur.  Bermaksud, Allah akan angkat dari azab kubur.   Dikatakan bahawa jika dalam kubur pun dah tak selamat, maka di akhirat akan menghadapi keadaan yang lebih lagi... nauzubillah.  Hidup kita sebaiknya sentiasa ingat akan kematian.  Selalu ingat, mati.
  3. Allah akan beri kitab amalan dengan tangan kanan.  Di padang mashyar nanti peluh ada yang sampai ke lulut, ada yang sampai ke paha, ada yang sampai ke dada dan ada yang sampai hingga ke paras mulut.  Semua bergantung kepada amalan masing-masing ketika hidup di dunia.  Orang beriman, Allah akan jaga dan pelihara dari akhlak yang buruk.  Diri sentiasa dihiasi dengan akhlak yang baik..ameen
  4. Dapat lalu titian siratul-mustaqim secepat kilat.  Perjalanan yang sepatutnya memakan masa yang begitu lama dapat diganti dengan lintasan secepat kilat berkat amalan baiknya itu.
  5. Allah akan masukkan ke dalam Syurga tanpa hisab, tanpa azab... ameen

Maka pesan ustaz, marilah kita ambil dunia hanya sekadar yang perlu.  Ingat hidup di dunia hanya bagaikan seorang musafir atau sedang melintas jalan sahaja.  Matlamat hidup kita yang sebenar ialah akhirat yang merupakan hidup yang kekal abadi.  Jangan begitu taksub dengan dunia, cukup hanya berpada-pada dan bersederhana.. ambil dunia seadanya.  Allah jadikan dunia sebagai ujian. Jangan biarkan dunia menjadi penghalang untuk kita ke rumah Allah. Jika ada lebihan rezeki, gunakan untuk keperluan anak-anak dan keluarga, jika ada lebih lagi salurkan derma dan bersedekah di sana sini. InsyaAllah hidup akan terasa lebih bermakna.


Wallahu'alam.


Minta Iman dan Hidayah dalam Solat


Bismillahirrahmanirrahim


Kena minta iman dari Allah. Kena minta hidayah dari Allah. Kita minta iman dan hidayah sekurang-kurangnya 17 kali dalam solat fardhu.  Dalam solat, kita baca surah al-Fatihah yang di dalam nya terkandung doa minta iman dan hidayah daripada Allah iaitu.. "Ihdinassirotal mustaqim..." yang bermaksud: Tunjukilah kami jalan yang lurus.  Jangan kita minta kurang dari 17 kali dalam sehari malah perlu minta lebih lagi. Berbanyaklah buat solat sunat agar kita dapat terus minta iman dan hidayah dari Allah. Kena berterusan minta dari Allah agar hidup sentiasa berada di dalam iman dan diliputi hidayah. 

Orang yang beriman, tetap di dalam hatinya bahawa Allah Maha Berkuasa, selain dri Allah tak ada kuasa,  Allah yang bagi mulia, selain dari Allah tiada yang mulia. Allah yang memberi kemuliaan, Allah yang bagi sihat dan kuat,  Allah yang mentadbir segala-galanya. Bila manusia ada Allah, dia akan dapat segala-galanya.  Jika kehilangan Allah, maka dia akan hilang segala-galanya. Orang yang rasa iman penting, dia akan menjaga iman-nya.  Walaupun pada perkara-perkara kecil, dia begitu berjaga2, berwaspada terhadap perkara-perkara yang mungkin boleh merosakkan  imannya.  Contohnya:  Bila terpandang wanita ajnabi, dia akan risau kerana merasakan  imannya bagaikan terkeluar, terasa bagai hilang kemanisan.


Wallahu'alam.


Istiqamah Ikut Sunnah


Bismillahirrahmanirrahim

Peruntukkanlah masa agar kita dapat membaca atau mendengar Hadis Nabi SAW setiap hari.  Sahabat ra di zaman Rasululullah SAW, kalau sehari tidak berjumpa Nabi SAW akan merasa teramat rindu. Abdullah bin Amr bin Ash dilaporkan rajin mencatat apa yang didengarnya dari Rasulullah SAW.  Setiap perkataan atau perbuatan Nabi SAW adalah haq dan tidak mengandungi nafsu sebaliknya ia merupakan wahyu dari Allah SWT.  Imam Shafie rm, bila mendengar hadis Nabi SAW, beliau mendengar dengan sepenuh jiwanya.  Beliau memberi tumpuan seolah-olah seluruh tubuhnya mendengar.

Bila kita mendengar dan belajar satu-satu hadis, maka jadikan amalan untuk sampai-sampaikan pula kepada ahli keluarga dan orang-orang di sekeliling kita.  Istiqamahlah ikut sunnah Rasulullah SAW.  Kalau setiap perlakuan kita, kita niatkan ikut sunnah maka ianya menjadi sunnah dan mendapat pahala. Sebaliknya kalau tidak ada niat ikut sunnah maka ianya hanyalah menjadi perkara harus sahaja. Contoh: duduk semasa mengambil wudhuk serta mengadap kiblat dan bersiwak selepas bangun tidur, lakukan dengan niat ikut sunnah Nabi SAW.

Disebut ada dua malaikat yang sentiasa mengiringi kita untuk mencatat segala perlakuan kita.  
Allah Ta'ala berfirman:
"Tiada seseorang itu mengucapkan sesuatu perkataan, melainkan di sisinya ada malaikat Raqib - pencatat kebaikan - dan 'Atid pencatat keburukan."   (Qaf: 18) 

Adalah penting untuk kita menjaga amalan zikir pagi dan petang.  Amalkan perkara yang baik dari permulaan hari sehingga di penghujung hari. Waktu terbaik untuk mengamalkan zikir ialah selepas solat Subuh sehingga terbit matahari dan selepas solat Asar sehingga tenggelam matahari.  Zikir al-Mathurat dan Manzil adalah antara zikir yang utama patut diamalkan pagi dan petang. 

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, 
“Sesungguhnya aku duduk bersama-sama dengan suatu kaum yang berzikir kepada Allah selepas sembahyang Subuh hingga terbit matahari, adalah lebih aku sukai dari terbit matahari.”(Hadis riwayat Al-Baihaqi)

Jangan lepaskan pagi dan petang kita tanpa membaca Penghulu Istighfar. Penghulu Istighfar ikut terkandung dalam zikir al-Mathurat.  Disebut dalam hadis Nabi SAW bahawa, "Sesiapa yang mengucapkannya di siang hari dalam keadaan meyakininya kemudian dia mati pada hari itu sebelum petang hari, maka dia termasuk penduduk Syurga dan siapa yang mengucapkannya di waktu malam hari dalam keadaan meyakininya, kemudian dia mati sebelum subuh maka di termasuk penduduk Syurga."
Penghulu Istighfar

Jangan kita begitu berlumba-lumba mencari harta dunia. Telah menjadi lumrah manusia begitu mengutamakan keduniaan.  Namun jangan sampai kita lalai pada perintah Allah dalam sibuk bertungkus-lumus mengumpul harta. Janganlah  sehingga cuai akan perintah Allah.  Renungkan firman Allah dalam Surah Al-Takathur ayat 1 - 8:
[1] Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh), -

[2] Sehingga kamu masuk kubur.

[3] Jangan sekali-kali (bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk semasa hendak mati)!

[4] Sekali lagi (diingatkan): jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak akibatnya yang buruk pada hari kiamat)!

[5] Demi sesungguhnya! Kalaulah kamu mengetahui – (apa yang kamu akan hadapi) – dengan pengetahuan yang yakin, (tentulah kamu akan mengerjakan perkara-perkara yang menjadi bekalan kamu untuk hari akhirat).

[6] (Ingatlah) demi sesungguhnya! – Kamu akan melihat neraka yang marak menjulang.

[7] Selepas itu – demi sesungguhnya! – kamu (wahai orang-orang yang derhaka) akan melihatnya dengan penglihatan yang yakin (semasa kamu dilemparkan ke dalamnya)!

[8] Selain dari itu, sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari itu, tentang segala nikmat (yang kamu telah menikmatinya)!


Sebaik-baik kita menjadi manusia, biarlah yang banyak memberi manafaat kepada orang lain.  Istighfarlah untuk diri kita, ibubapa kita dan seluruh muslimin muslimat.  Cintai penduduk mukmin InsyaAllah Allah akan mengasihi orang yang mempunyai sifat ar-Rahman(pengasih).  Cintai penduduk bumi, maka kamu juga akan dicintai.  Hadis Nabi SAW ada mengatakan bahawa di kala kita mendoakan kebaikan untuk saudara-saudara Islam maka malaikat yang mendengar akan berkata, "Dan untuk kamu juga, dan untuk kamu juga..." amenn...

Dari Abu Darda r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Doa seorang muslim kepada saudaranya yang tidak hadir adalah makbul. Seorang malaikat berada dari arah kepalanya dan apabila dia berdoa untuk kebaikan saudaranya malaikat ini akan berkata amin dan (kepada orang yang berdoa, malaikat berkata) semoga engkau menerima serupa (apa yang engkau doakan untuk saudaramu). (HR Muslim)

Istighfarlah kita sekurang-kurangnya 100x  sehari.  Fadhilat istighfar begitu banyak (di sini). Jika lazim beristighfar, Allah akan beri kita pengampunan, akan murahkan rezeki, diberi rezeki yang tak disangka-sangka dan diberi jalan keluar pada setiap kesusahan... InsyaAllah.  Maka perbanyakkanlah Istighfar. Jaga lidah untuk tidak berkata yang tidak baik. Ramai orang yang tergelincir ke Neraka disebabkan lidah. Sentiasa beristighfar, mohon ampun dari Allah. Moga Allah ampunkan kita.  Namun Istighfar kita perlu betul-betul lahir dari hati.  Kena ada tumpuan takkala mengucapkan istighfar. Kena ada dalam hati kita.. hadir Allah yang Maha Pengampun.

Dunia ini sifatnya fana.  Hanya amalan soleh yang berkekalan, sehingga kita akan berjumpa Allah Taala. Manfaatkan usia kita dengan banyak membaca al-Quran dan zikir kepada Allah.  Disebut dalam hadis Nabi SAW bahawa dengan kita mengucapkan ucapan "Subhanallah Walhamdulillah Walailaha illallah Wallah hu Akbar" , maka satu pokok Syurga akan ditumbuhkan buat kita.(di sini).

Banyakkkan berselawat kepada Nabi SAW. Hadis Nabi SAW menyebut, "Sesiapa yang berselawat kepadaku satu kali, Allah akan berselawat kepadanya sepuluh kali." Selawat kita dilipat-gandakan sebanyak 10 kali.  Contoh jika berselawat 100x, InsyaAllah Allah akan berselawat 1000x.  Jika selawat 1000x dikatakan bahawa, api neraka tidak akan menyentuhnya.

Hakikat kehausan dan kelaparan adalah di sana... nauzubillah.  Makanan di neraka adalah dari buah zaqqum yang berduri, apabila dimakan maka akan terkoyak seluruh usus.  Airnya pula terdiri dari air panas yang mendidih dan air dari nanah yang berbau.  Itulah hakikat manusia yang tiada iman, tiada amal soleh.  Maka kena berlatih muhasabah bahawa apa jua kesenangan dan kesusahan di dunia, hubungkaitkan ia dengan kehidupan akhirat.  Kala hidup dalam kesenangan dan keseronokan di dunia, ingatlah pada orang-orang yang dapat mati dalam amal-soleh. Hakikat ini dapat menaikkan iman kita.  Ini kerana, dunia hanyalah dijadikan Allah sebagai medan ujian bagi manusia.  

Dalam Surah Tabarakallazi iaitu al-Mulk ayat 2, Allah berfirman yang bermaksud: 
Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);
  
Tanda kita mencintai Rasulullah ialah dengan banyak mengucapkan selawat ke atas Nabi SAW dan mengikut sunnah baginda SAW.  Berfikirlah kita, adakah hari ini merupakan hari yang lebih baik lagi bagi kita dari hari semalam.  Dikatakan orang yang beruntung itu ialah orang yang dapat menjadikan hari ini lebih baik dari semalam, manakala orang yang rugi ialah orang yang sama sahaja keadaannya seperti hari semalam dan orang yang celaka pula ialah orang yang berkeadaan lebih teruk lagi dari hari2 yang sebelum ini... Maka semak amal kita, periksa bacaan quran kita.  Khatamkan quran setiap 6 bulan sekali sekurang-kurangnya.  Al-Quran ini memberi syafaat kepada pembacanya dan pembelaan al-Quran terhadap kita InsyaAllah akan diterima Allah... amenn.



**Alhamdulillah, pengisian dari Majlis Ilmu dalam Kuliah Hadis di surau berhampiran.
Sama-sama kita mengambil manafaat, InsyaAllah.


Tiada Duka Yang Abadi



Tiada duka yang abadi didunia
Tiada sepi merantaimu selamanya
Malam akan berakhir, hari akan berganti
Takdir hidup akan dijalani



Tangis dan tawa nyanyian yang mengiring
Hati yang rindukan cinta dijalan-Mu
Namun ku percaya hati meyakini
Semua akan indah pada akhirnya
Andai bisa ku mengulang
Waktu hilang dan terbuang
Andai bisa perbaiki segala yang terjadi
Tapi waktu tak berhenti
Tapi detik tak kembali
Harap ampunkan hamba-Mu ini
Waktu berputar rembulan dan matahari
Bunga yang mekar akan layu akan mati
Malam akan berakhir, hari akan berganti
Takdir hidup akan dijalani
Andai bisa ku mengulang
Waktu hilang dan terbuang
Andai bisa perbaiki segala yang terjadi
Tapi waktu tak berhenti
Tapi detik tak kembali
Harap ampunkan hamba-Mu ini
Andai bisa ku mengulang
Waktu hilang dan terbuang
Andai bisa perbaiki segala yang terjadi
Tapi waktu tak berhenti
Tapi detik tak kembali
Harap ampunkan hamba-Mu ini
Harap ampunkan hamba-Mu ini

Tiga maqam IKHLAS


Bismillahirrahmanirrahim

Dalam posting kelmarin disampaikan apa kata ustaz dalam membicarakan tentang Ikhlas.  Ikhlas itu menunggalkan Allah pada segala ketaatan. Berbuat taat semata-mata ingin hampir kepada Allah, tidak ada sesuatu yang lain selain dari Allah.  Berbuat taat bukan kerana  ingin dipuji atau dimuliakan manusia, bukan kerana hartabenda dan lain2 yang daripada tujuan dunia tapi sebaliknya melakukan taat hanya kerana Allah.

Ikhlas itu satu kelakuan hati yang terpuji.  Dan tidak diterima amal ibadat melainkan dengan adanya ikhlas.  Maka usaha kita terhadap Allah biar lebih.  Buat baik akan ada balasan. Buat baik balasannya baik. Jangan hanya sedikit syukur kita pada Allah kerana walau banyak amal kita tetap tidak sebanding dengan nikmat yang Allah beri.  Perbanyakkan syukur, ucap Alhamdulillah.  Jangan tinggal taubat.  Harap Allah ampun dosa kita.  Ibadah hanya ingat Allah.  Hadir hati dalam solat, baru ada kemanisan.  Bekerja jangan sampai tak ingat Allah.  Jika terlepas ibadah, biar rasa kesal dan sedih..  Jangan kita bila terlepas ibadah, tak rasa apa-apa, tak rasa risau.  Sepatutnya bila tak dapat solat dhuha contohnya, hati rasa sedih.  

Istiqamah dalam ibadah.  Buat segala perintah, tinggal segala yang ditegah.  Latih diri kita agar berbuat taat hanya semata-mata mengharap redha Allah.  Memang banyak halangan yang datang dari pelbagai penjuru..ujian dan dugaan.. namun orang yang ada senjata, dia boleh lawan boleh tepis.  Nak berjaya kena usaha tepis halangan, InsyaAllah akan berjaya dengan izin Allah.

Disebut oleh Syeikhul Islam di dalam Syarah Al-Qasyariyah bahawa ikhlas itu ada tiga pangkat/maqam iaitu:

  1. Pangkat yang pertama: Bahawa mengerjakan oleh hambaAllah akan amal ibadat semata-mata kerana menjunjung perintah Allah Ta'ala.  Orang ini tak pandang balasan, dia nak Allah semata-mata.  Nak bangun Tahajjud, nak baca quran...tak nampak Syurga Allah tapi melakukannya hanya kerana Allah. Hanya harap redha Allah. Hanya harap kasih Allah. Memang sukar untuk kita sampai ke maqam ini. Ia maqam yang paling tinggi.  Orang yang dapat sampai ke maqam ini, ada duit tak ada duit tak rasa susah hati sebab dalam hatinya rasa ada Allah.  Hati tak risau bila tak ada duit tak sibuk fikir, 'cukup ke tidak ni...'
  2. Pangkat yang kedua: Ikhlas yang pertengahan, iaitu bahawa mengerjakan ia akan amal ibadah kerana menuntut pahala dan kerana ingin jauh dari siksa api neraka. Hatinya mengharap ganjaran pahala dan balasan Syurga dari Allah serta mohon dihindarkan Allah dari azab seksa api neraka.
  3. Pangkat yang ketiga:  Ikhlas yang lebih rendah, iaitu bahawa mengerjakan ia akan amal ibadat supaya Allah muliakan dia di dalam dunia atau supaya selamat dia dari kebinasaan dunia.  Contoh: Baca surah al-Waqiah agar Allah murahkan rezekinya, buat solat dhuha juga untuk tujuan dimurah rezeki oleh Allah, membaca surah an-Nas agar dipelihara dari was-was syaitan; dan sebagainya.

Jika tiada ciri-ciri dari ketiga-tiga maqam tersebut, maka tiadalah ikhlas... sebaliknya yang tinggal hanyalah rasa riak yang berlegar-legar dalam diri.  Wallahu'alam. 


Ikhlas - Melakukan hanya Kerana Allah


Bismillahirrahmirrahim

Bila berbuat sesuatu, hanya Allah sahaja yang tahu samada kita ada ikhlas atau sebaliknya.  Ikhlas tidak perlu dilafazkan, tidak perlu disebut pada orang..."saya ikhlas membantu..." atau "saya ikhlas bagi..." dsb.. Ikhlas ada dalam hati kita. Ia adalah rahsia. Jika diberitahu pada orang, maka ia bukan lagi suatu rahsia, sudah tidak menjadi ikhlas. Ikhlas itu rahsia. 

Ikhlas itu meg'esakan Allah pada segala taat. Melakukan amal kebaikan hanya kerana Allah semata-mata.  Bukan untuk dipuji makhluk, bukan untuk mulia di sisi manusia.  Ikhlas itu kosong hati kita pada perkara2 yang lain selain Allah. Hati hanya pada Allah, lillah, lillah.. hanya kerana-Mu ya Allah...

Melakukan ibadah hanya kerana Allah semata-mata.  Di masjid kita hambaAllah, di rumah pun kita hambaAllah. Untuk dapat jadi hambaAllah kena bersih hati.  Banyakkan berselawat ke atas Nabi SAW, paling kurang 1000 kali setiap hari.  Malam ini mari kita mula bersihkan hati dengan berselawat 100 kali.. InsyaAllah

Memada-lah kita dengan segala pemberian Allah.  Bersyukur dengan nikmat yang tak terhitung.  Contoh: Tengok pada ibu jari kita saja pun dah nampak begitu luarbiasa kurnia Allah. Cop jari kita tak sama antara satu sama lain walhal tengoklah berapa ramai manusia yang Allah cipta berada di mukabumi ini. Ciptaan Allah sangat luarbiasa.  Jadi memada, syukur dengan fitrah kejadian kita sebagai hambaAllah yang menjadi kurnia.

Perbuatan kita yang membolehkan kita bersujud pada Allah, semuanya dari Allah.  Ianya tidak terjadi sendiri, semuanya dengan izin Allah.  Kecantikan kita, kepandaian kita semua datang dari Allah.  Bukan sebab usaha kita sendiri.  Nikmat dunia hanya sekejap.  Kekalkan 'nikmat sedap' dengan lafaz 'Alhamdulillah.'  Kalau tak diberi Allah nikmat rasa maka tak adalah nikmat makan bagi kita.  Ikan tak rasa ikan, kicap tak rasa kicap.  Kalau dah tak ada nikmat rasa, bermakna nikmat itu telah ditarik-balik.  Kita sekarang yang masih punya nikmat tersebut, kalau makanan rasa tak sedap sikit janganlah mudah nak merungut... bersyukurlah kerana masih ada nikmat makan dan minum.  Kalau tak sedap sikit, jangan berkira, jangan terus komplen kata tak sedap.

Diterima amal di sisi Allah hanya dengan sebab niat kerana Allah, sebab niat Lillahi Ta'ala.  Yang nak terima amal kita ialah Allah. Jadi cari kasih Allah. Orang yang istiqamah beramal, tidak berubah... Di depan orang sama di belakang orang pun sama. Jangan lah kita bila di depan orang, lain tapi bila di belakang orang, lain. Kita ini mudah berubah... di depan orang, lain.... sempurna pakaian, sempurna sujud, sempurna iktidal tapi bila duduk seorang diri atau tiada orang nampak, dah tak ada tamaninah dalam solat contohnya. Bila di rumah pula, hanya pakai singlet/baju-T saja semasa solat(lelaki) dan bangun dirikan solat pun, macam hendak tak hendak... nauzubillah.

Jangan sampai tersirat niat lain dalam hati kita selain daripada Allah. Manusia, nalurinya memang suka dipuji. Seseorang yang mengharap redha Allah, InsyaAllah dunia dapat akhirat pun dapat.  Namun kalau hanya mengharap dunia, maka hanya akan mendapat habuan dunia, akhirat tak dapat.  Jangan risau, jika mulia kita di sisi Allah, maka akan ikut mendapat redha makhluk.  Allah redha, manusia pun redha. Jadi, tak usah kita harap pada makhluk, harap kita hanya pada Allah.  Cukuplah jika kita berusaha untuk mencapai mulia di sisi Allah.. amenn.  

Tingkatkan kualiti ibadah dengan ilmu.  Lakukan amal berlandaskan ilmu. Solat itu wajib tapi ada yang lebih wajib sebelum wajib yang itu iaitu... kena belajar solat.  Jangan berhenti belajar. Jangan kita mengaku diri lemah tapi kemahuan untuk memperbaiki kelemahan langsung tak ada. Belajarlah terus untuk lebih tahu InsyaAllah.  Jangan kita mahu terus kekal jadi orang yang tak tahu.  Wallahu'alam.


Firman Allah dalam Surah al-Baiyyinah ayat 5


Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah Ugama yang benar.


Dari Abu Umamah al-Bahiliy r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Dari amalan-amalan; Allah SWT hanya akan menerima amalan-amalan yang dilakukan ikhlas semata-mata untukNya dan yang bertujuan untuk mendapatkan redhaNya sahaja. (HR Nasa’i)
.....................................................

**bersambung di SINI ~Tiga Maqam Ikhlas~

10 Wasiat Imam Hassan Al-Banna

Bismillahirrahmanirrahim

Semasa balik dari pasar pagi  tadi, en suami mengajak untuk singgah di pejabat satu badan NGO yang terletak di kawasan bersebelahan dengan kawasan perumahan kami.  Saya okeh je, terus mengangguk tanda setuju.  Dah lama berhajat nak mendaftar nama sebagai ahli NGO tersebut.  Kata en suami... "hidup ini tidak lama, jadi biarlah bermakna..." Jadi tunggu apa lagi... kena segera mendaftar supaya dapat berbuat sesuatu yang boleh menjadi khidmat pada masyarakat, agar nanti ada manafaatnya...InsyaAllah.

Sampai2 depan pintu pejabat, alahai berkunci lah pulak.  En suami sempat membaca petikan kata2 yang terdapat di beberapa poster yang ditampal di sana.  Oh rupa2nya ia adalah point yang dipetik dari 10 Wasiat Imam Hassan al-Banna.  "Balik nanti, mama google eh 10 wasiat Hassan al-Banna!", pinta en suami,  "Okeh!", sahut saya sambil tersenyum.

"Jom balik.. Allah dah atur kita tak dapat daftar nama hari ini... pasti ada hikmah-Nya.. nanti datang lenkali...", saya mengajak balik setelah pasti tidak orang dalam pejabat.


Ini dia hasil yang di-google cari sebentar tadi...

10 Wasiat Imam Hassan Al-Banna
1. Apabila mendengar azan maka bangunlah 
sembahyang serta-merta walaubagaimana keadaan 
sekalipun.
  
2. Bacalah al-Quran, tatapilah buku-buku ilmu, 
pergilah ke majlis-majlis ilmu, dan amalkanlah 
zikrullah dan janganlah membuang masa dalam 
perkara yang tiada memberi faedah. 

3. Berusahalah untuk bertutur dalam bahasa Arab 
Fushah kerana bahasa Arab yang betul itu adalah 
syiar Islam.  

4. Janganlah bertengkar dalam apa-apa perkara 
sekalipun kerana pertengkaran yang kosong tiada 
memberi apa-apa jua kebaikan.  

5. Janganlah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa 
berhubung dengan Allah itu sentiasa tenang lagi 
tenteram.  

6. Janganlah banyak bergurau kerana umat yang 
sedang berjuang itu tidak mengerti melainkan 
bersungguh-sungguh dalam setiap perkara.  

7. Janganlah bercakap lebih nyaring daripada kadar 
yang dikehendaki oleh pendengar kerana percakapan 
yang nyaring itu adalah suatu perbuatan yang sia-sia 
malah menyakiti hati orang.  

8. Jauhilah daripada mengumpat-umpat peribadi 
orang, mengecam pertubuhan-pertubuhan, dan 
janganlah bercakap melainkan apa- apa yang memberi 
kebajikan.  

9. Berkenal-kenalanlah dengan setiap Muslim yang 
ditemui kerana asas gerakan dakwah ialah berkenalkenalan dan berkasih-sayang.  

10. Kewajipan-kewajipan kita lebih banyak daripada 
masa yang ada pada kita, oleh itu gunakanlah masa 
dengan sebaik-baiknya dan ringkaskanlah 
perlaksanaannya. 


(Dikeluarkan oleh Syukbah Dakwah dan Pendidikan, Masjid Negeri Sabah) - 
Terimakasih

Ikut Arah Sign-board Yang Betul


Bismillahirrahmanirrahim

Sedutan pengisian dari majlis ilmu...

Dalam Surah al-Baqarah, Allah jelaskan dalam firman-Nya tentang ciri-ciri orang munafik. (Mari kita semak terjemahan Surah al-Baqarah.. di SINI). Orang munafik tetap merasa benar walaupun pada hakikatnya dia tidak benar. Mereka tak tahu mereka bodoh tapi yang sebenarnya mereka memang bodoh.

Dalam hidup kita ini, harus di-ingat bahawa ada banyak perkara yang kita tidak tahu sebab kita adalah hambaAllah yang lemah.  Orang alim sekalipun, tetap ada perkara yang mereka tidak tahu.  Apalagi bagi orang yang bukan alim, lagi banyak benda yang tidak tahu. Tapi malangnya ada orang bodoh tidak tahu pun dia bodoh. Dia bodoh tapi dia perasan bijak.  Dikatakan orang yang bijak ialah orang yang fikir akan masa depan.  Manakala orang yang paling bijak pula ialah orang yang fikir masadepan sampai akhirat.

Disebut terdapat tujuh golongan yang diberi bayangan Arasy Allah Taala. Antaranya ialah yang bertemu dengan orang Islam dan berpisah kerana Allah. Biar kita bergaduh kerana Allah. Bukan kerana dengki, dendam dan kerana segala penyakit hati yang lain. Kita bergaduh; contohnya, niat agar kerosakan yang dia buat dapat segera dihentikan.

Orang munafik sanggup menjual kebenaran.  Yang haram, disenang-senangkan sebaliknya yang halal disusah-susahkan.  Sesungguhnya kalau seseorang itu tidak mendapat hidayah maka tidak akan berjumpa dia dengan jalan masuk ke Syurga Allah.  Berdoalah agar sentiasa diberi hidayah oleh Allah Taala.  Ikut jalan yang betul InsyaAllah akan beroleh hidayah Allah. 

Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Alamat munafik itu ada tiga: Apabila bercakap dia bohong. Apabila berjanji dia tidak menepatinya dan apabila diberinya amanah dia khianat. 
(HR Muslim)



Kita nak pergi ke satu-satu tempat pun kena ikut papan-tanda.  Kalau nak pergi ke Kuala Kubu Bharu contohnya, kenalah ikut papan-tanda menuju ke Kuala Kubu Bharu. Kalau tak ikut, tentulah kita akan sampai ke tempat lain, tak dapat sampai ke Kuala Kubu Bharu.  Maka simboliknya kena ikut papan-tanda Allah.   Allah Taala dah bagi sign-board, maka ikutlah sebagaimana yang Allah suruh ikut.  InsyaAllah jika ikut maka akan bertemulah kita dengan jalan untuk masuk ke syurga Allah... amiin.



Wallahu'alam.


Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...