Tarbiyah Ramadhan


Bismillahirrahmanirrahim

Di-ulang siaran posting tahun sudah, hasil tarbiyah seorang tuan Sheikh bersempena dengan akan hadirnya Ramadhan iaitu bulan yang kita menunggu-nunggu kedatangannya.  Di-ulang siaran sebagai motivasi khusus buat diri sendiri terutamanya dalam menghadapi saat-saat tibanya Ramadhan. Moga mutiara kata dari tuan Sheikh dapat sama-sama dijadikan renungan, di-ambil manafaat agar mampu diterjemahkan ia di dalam kamus kehidupan kita semua, InsyaAllah.

  • Segala puji bagi Allah yang memberi kita agama Islam
  • dan segala puji bagi Allah yang memberi kita keimanan
  • dan segala puji bagi Allah yang telah menjadikan kita umat pembaca al-Quran.
  • dan segala puji bagi Allah yang telah mengumpulkan kita di suatu tempat yang penuh berkat dan di waktu yang penuh berkat
  • kita semua InsyaAllah akan memasuki bulan Ramadhan
  • kita semua di timur dan di barat InsyaAllah akan memasuki bulan Ramadhan
  • tahniah kerana kita akan memasuki bulan syiar al-Quran, bulan suci, bulan yang penuh rahmat, bulan yang akan dilipat-gandakan semua pahala
  • bulan yang pada setiap malamnya Allah akan membebaskan jiwa manusia dari azab siksa api neraka
  • semoga Allah menjadikan kita termasuk dalam orang-orang yang bebas dari api neraka.
  • Bulan Ramadhan adalah sebagai tetamu bagi hati-hati kita
  • bulan tersebut adalah cahaya bagi majlis-majlis kita
  • alangkah mulianya tetamu kita yang akan datang itu
  • alangkan agungnya tetamu yang akan kita jemput nanti
  • sesungguhnya itu adalah tetamu yang mulia yang perlu kita agungkan
  • yang mana semua hati kaum muslimin dan muslimat merasa rindu untuk menyambutnya
  • pada bulan tersebut, para malaikat semua akan berada di semua tempat di bulan Ramadhan
  • bulan di mana kita akan mendapat kelebihan markah, kelebihan kedudukan di sisi Allah Taala
  • bulan di mana waktu kita dapat mendekat diri kepada Allah Taala
  • itu adalah bulan di mana kita cinta al-Quran dan selalu ingin membacanya
  • bulan di mana kita mendapat kelazatan takkala membaca al-Quran dan tak akan dapat mendapatinya di bulan selain dari bulan Ramadhan
  • kita pun nanti akan merasa rindu terhadap ayat-ayat Allah
  • kerana para pembesar2 syaitan pun telah dibelenggu, yang sebelumnya selalu menyekat kita dari berzikir dan mengingat kepada Allah
  • ketika bulan Ramadhan, para pembesar syaitan itu akan dibelenggu oleh Allah, dikekang dari dapat bergerak, terus dalam keadaan itu sehingga berahirnya bulan Ramadhan
  • ketika itu semua hati-hati kita akan merasa tenang untuk berzikir kepada Allah Taala.
    • bulan Ramadhan adalah bulan yang hidupkan hati-hati dan jiwa kita. Jiwa akan lebih tenang
    • Nabi s.a.w mengajarkan untuk hidupkan jiwa kita, baginda s.a.w sering menyarankan untuk sering sering berdoa kepada Allah Taala.
      Firman Allah menyatakan"Wahai orang-orang yang beriman, jawablah panggilan Allah dan Rasul ketika (Dia) menyeru kepada apa yang menghidupkan kamu..."(Surah al-Anfal:24)
    • Allah mencipta kehidupan kita yang dimulakan dengan kalimah Lailahaillallah. Kita meng'Esa-kan Allah, hanya daripada Allah rezeki diturunkan. Sesungguhnya semua ujian datang dari Allah, segala nikmat yang kita dapati hanyalah dari Allah.
    • Allah menciptakan kita, memberi rezeki pada kita, mengatur kehidupan kita untuk kita melaksanakan 5 rukun Islam iaitu dimulakan dengan mengucap dua kalimah syahadah, solat, puasa, zakat dan haji (bagi yang mampu).
    • itu adalah kehidupan jiwa dan raga kita, semua itu terangkum dalam ayat Allah dalam Surah al-Anfal:24 tersebut: "Wahai orang-orang yang beriman, jawablah panggilan Allah dan Rasul ketika (Dia) menyeru kepada apa yang menghidupkan kamu..."
    • Dalam bulan Ramadhan yang penuh berkat, InsyaAllah mampu mensucikan hati-hati kita dan fikiran kita., akal fikiran kita akan berusaha memahami ayat-ayat suci al-Quran.
    • jangan kiranya kita merasa sudah cukup membaca al-Quran. Lepas kita baca dan khatam, kita ulangi lagi bermula dengan surah al-Fatihah.
    • berusaha memahami ayat-ayat yang dibaca, berhenti takkala membaca untuk memahami apa isi ayat tersebut.
    • berusaha memikirkan apa maksud Allah Taala daripada ilmu-ilmu yang kita dapati dari madrasah al-Quran
    • al-Quran adalah kitab yang penuh berkah yang diturunkan, untuk kita memahami apa maksud ayat-ayat tersebut
    • Tahniah bagi orang yang baca Quran dan dia mengerti apa maksud dari ayat-ayat yang dibaca. Dalam Surah al-Zalzalah 7 - 8, Allah berfirman:Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!
    • bila kita baca Quran dan mengerti maksud, maka akan timbul rasa takut untuk lakukan kejahatan, takut jika termasuk dalam golongan orang-orang yang nanti akan dihumban ke dalam api neraka.
    • Berusahalah untuk memahami apa isi makna dari surah al-Fatihah kerana kita membaca fatihah sekurang-kurangnya sebanyak 41x dalam sehari. Jagalah solat 5 waktu kita dan jagalah solat-solat sunat.
    • Al-Quran adalah ceramah dan nasihat-nasihat untuk menyembuhkan hati-hati kita.
    • ia merupakan petunjuk dan rahmat bagi kaum muslimin seluruhnya
    • ia adalah kitab yang jelas, kitab yang mulia di sisi Allah
    • tidak ada yang menyentuh al-Quran kecuali orang-orang yang memiliki wudhuk
    • tidak dapat memahami ayat-ayat al-Quran kecuali orang yang memiliki hati yang bersih.
    • adalah termasuk dalam adab dan kesopanan bilamana hendak memegang al-Quran itu, haruslah kita bersuci.
    • tidak ada orang yang memahami ayat-ayat al-Quran kecuali orang-orang yang bersih hatinya. Bersih dari sifat dengki, tidak putus silaturrahim dan tidak berbuat yang buruk terhadap orang lain. Semua perbuatan syaitan dia tinggalkan. Ketika itulah hatinya betul-betul bersih dan mampu memahami ayat-ayat al-Quran.
    • Maka waspadalah bila kita memasuki bulan Ramadhan, jika kita masih memiliki perasaan dengki terhadap kaum muslimin yang lain
        • waspadalah takkala kita memasuki bulan Ramadhan, jika kita memutuskan silaturrahim terhadap keluarga dan sanak saudara kita
        • sebagaimana kita mempersiapkan masjid kita, mempersiapkan makanan dan mempersiapkan pakaian ke masjid untuk sambut Ramadhan, jangan kita lupa bahawa inti atau asas untuk sambut Ramadhan adalah pembersihan hati kita
        • sesungguhnya seluruh dunia dan seluruh perhiasannya tidak dapat membahayakan Allah Taala. Sesungguhnya seluruh zahir kita samada orang kaya atau miskin, orang tinggi atau rendah, orang berkulit putih atau kulit hitam.. tidak berpengaruh di hadapan Allah Taala
        • Allah hanya melihat satu tempat sahaja di dalam tubuh manusia iaitu hati. Maka wajib untuk seluruh kaum muslimin dan muslimat untuk sentiasa cuba membersihkan hati masing-masing
        • kita bersihkan hati kerana mengharap rahmat dan maghfirat dari Allah Taala
        • Sebagaimana ibarat: bila kita tiba-tiba mendapat panggilan mendadak bahawa ada raja yang nak datang melawat rumah kita. Secara spontan kita akan segera membersihkan rumah kita, membersihkan perabot-perabot yang ada dan berusaha mewangikan seluruh ruangan.
        • Maka sesungguhnya tempat pandangan Allah, adalah lebih layak kita membersihkan hati-hati kita agar bersih.
        • hendaklah sebelum memasuki Ramadhan, kita saling bermaaf-maafan sehingga tidak ada perasaan dengki dan benci terhadap sesama muslim. Sehingga bila kita masuk ke bulan Ramadhan kita InsyaAllah mampu termasuk sebagai penghuni Syurga Allah sebagaimana berita gembira yang disampaikan oleh Nabi s.a.w pada para sahabat ra tentang sifat seorang penghuni Syurga. Orang tersebut adalah orang yang selalu solat berjamaah di masjid dan selalu menjaga solat witir di rumahnya. Dia tidur sama seperti orang lain, tidaklah solat sunat sehingga seribu rakaat dan tidak pula berpuasa banyak. Namun dia seorang yang bersih hatinya kerana tiapkali sebelum tidur dia akan memaafkan semua kesalahan orang sehingga tidak ada rasa marah pada keluarga, tetangga dan saudara muslim lainnya.
        • Maka berusahalah kita untuk dapat memaafkan seluruh keluarga dan sahabat-sahabat kita sebelum kita melelapkan mata setiap malam
        • sesungguhnya di dalam Syurga ada suatu kenikmatan yang tak pernah dipandang mata, tak pernah didengar telinga dan tak pernah terlintas di dalam hati manusia
        • Tahniah bagi orang yang selalu berusaha untuk beramal baik di bulan Ramadhan
        • Tahniah bagi orang-orang yang membaca Surah al-Baqarah, tahniah bagi mereka yang melaksanakan adab-adab dan batas-batas yang ada dalam Surah al-Baqarah. Begitu juga ada pada Surah an-Nur, Surah al-Ahzab, begitu juga adab-adab yang ada pada Surah Hujurat dan di seluruh ayat al-Quran pun ada adab-adab Allah Taala. Al-Quran memberi kita batasan-batasan, di dalamnya Allah jelaskan apa perintah Allah yang kita harus taati dan apa larangan yang perlu dijauhi.
        • Tahniah bagi yang baca Surah al-Baqarah dan Surah Ali Imran di mana kedua-dua itu akan menjadi payung di hari kiamat nanti. Surah Al-Baqarah dan surah Ali-Imran dipanggil surah az-Zahrawain yang apabila dibaca akan mendapat syafaat di padang mahsyar kelak.
        • jagalah perintah-perintah Allah dan berlindung diri dari semua perkara yang tak baik dan perkara maksiat yang semuanya disebut di dalam al-Quran
        • Kita akan memasuki bulan Ramadhan, ketika kita di waktu Maghrib, manusia di bumi yang sebelah lagi sedang melaksanakan solat zohor. Dalam 24 jam, sebahagian kaum muslimin berpuasa dan sebahagian yang lain sedang berbuka puasa. Maha Suci Allah Taala Yang Maha Mampu, Maha Suci Allah Taala Yang Maha Agung
        • meskipun ada perbezaan waktu di bumi ini, namun pada 29 Shaaban bila nampak anak bulan maka langsung kita akan berpuasa keesokkan harinya. Kalau tak dapat lihat anak bulan maka Nabi s.a.w meminta kita menyelesaikan bulan Syaaban 30 hari
        • tidak boleh berpuasa sehari sebelum bulan Ramadhan. Nabi s.a.w melarang perbuatan tersebut
        • bila lihat anak bulan Ramadhan kita niat untuk berpuasa 30 hari seluruhnya. Dengan niat,"Sahaja aku berpuasa sebulan di bulan Ramadhan sesungguhnya kerana Allah Taala." Tapi setiap malam kita harus perbaharui niat kita, sebagaimana Nabi s.a.w yang bersabda,"Sesungguhnya segala amal itu bergantung pada niatnya." Mesti perbaharui niat setiap malam dengan niat, "Sahaja aku berpuasa esok hari di bulan Ramadhan sesungguhnya kerana Allah Taala." Dan puasa yang kita amalkan nanti hendaklah kita berpuasa seluruh anggota badan kita. Ajar anak-anak kita berpuasa
        • hendaklah kita mencontohi puasa yang benar oleh para sahabat ra agar puasa itu menjadi ubat bagi kita. Semasa berbuka puasa hanya makan yang sedikit sahaja, hanya secukupnya. Sehingga kita akan merasai lazatnya berpuasa. Sehingga bilamana kita makan sedikit, pada waktu dhuha dan waktu zohor kita telah merasakan lapar. Dari situ kita akan ikut dapat merasakan lapar yang sering di-alami oleh orang-orang miskin
        • berbelas kasihan lah terhadap orang-orang fakir dan miskin di bulan Ramadhan, banyakkanlah bersedekah pada orang-orang yang memerlukan bantuan
        • hendaklah kita beribadat di malam hari, berqiamulail dan sebahagian malam hendaklah kita bersolat tahajjud. Semoga Allah Taala akan memberikan kita kedudukan yang mulia di akhirat nanti
        • Bulan Ramadhan adalah bulan yang kita menunggu-nunggu kedatangannya. Ada malam di bulan Ramadhan yang lebih baik dari seribu bulan, di bulan Ramadhan para malaikat pun ikut bersesak-sesak di dalam masjid
        • maka mintalah bantuan daripada Allah, rasa rindulah untuk sambut Ramadhan. Semoga Allah menyampaikan kita kepada bulan Ramadhan.
        • Allah Taala mendidik kita dengan adab-adabNya melalui al-Quran dan menjadikan kita tahu hakikatnya. Moga Allah memberi kita pemahaman untuk dapat memahami ayat-ayat suci al-Quran, moga Allah memberi kita rahmatNya sebagaimana yang diberikan kepada kaum solehin, moga Allah memberi keampunan kepada kita... aminn

        • Wallahu'alam.




      Sempena Malam Nisfu Syaaban

      Bismillahirrahmanirrahim

      Alhamdulillah, malam tadi dapat ikut hadir bersama begitu ramai jemaah di masjid kami.  Sempena malam Nisfu Syaaban (15 Syaaban), kami beramai-ramai ikut tuan imam menghidupkan malam dengan membaca Surah Yaasin. Kemudian sama-sama mengaminkan doa yang dipohon ke hadrat Allah yang di antaranya memohon agar Allah panjangkan umur serta dapat beribadat, moga dimurahkan rezeki serta ditetapkan keimanan... aaminn

      Setelah itu kami terus duduk dalam majlis ilmu yang penyampainya seorang ustaz yang masih muda belia namun begitu mantap sekali skill penyampaian sehingga jelas mampu mengundang tumpuan semua yang hadir, Alhamdulillah.

      Ustaz mengucap syukur kerana diizinkan Allah dapat ikut berpeluang bersama-sama kami membaca Yaasin dan berdoa sempena malam Nisfu Syaaban.  Kata ustaz, waktu yang mustajab berdoa antaranya ialah malam Nisfu Syaaban.  Kita tambahi pula dengan membaca Yaasin kemudian minta ampun pada Allah terhadap salah-silap kita, minta dipanjangkan usia agar dapat terus melakukan ketaatan kepada Allah, minta rezeki dari rezeki yang halal jauh dari yang haram InsyaAllah.

      Ustaz mengulas sedikit tentang kitab yang sedang digunakan malam tadi iaitu kitab hasil karangan Imam Ghazali yang dikhabarkan sudah berusia 900 tahun. Kitab yang berjudul "Minhaj Abidin ila Jannatul Rabbul a'lamin" itu telah diterjemahkan oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Patani.

      Ulamak mulakan kitab ini dengan Basmallah kerana mengikuti al-Quran yang mulia yang mana didalamnya terkandung Surah al-Fatihah yang digelar Ummul Kitab iaitu tujuh ayat yang diulang-ulang yang dimulakan dengan Bismillahirrahmanirrahim.  Digambarkan keadaan ketidaksempurnaan jika kita buat sesuatu tanpa dimulakan dengan membaca Bismillah.  Setiap perkara-perkara yang baik, kalau tidak dimulakan dengan Bismillah maka terputuslah berkatnya.  Berkat ialah bertambah-tambah kebaikan pada apa yang kita buat. Dari keberkatan, beroleh pahala InsyaAllah. Pahala memang sesuatu yang tak nampak, berbeza dengan upah di dunia yang nampak jelas di depan kita.

      Kita sebagai ahli sunnah wal Jamaah percaya dan yakin bahawa segala benda yang berlaku itu adalah dengan izin Allah.  Allah Maha Besar yang kita sebut menandakan hanya kebesaran Allah dalam hati kita. 
      Kalau ada yang tahu tentang kelebihan malam ini, kata ustaz, maka akan penuhlah rumah Allah.  Kerana ini antara malam-malam terhebat selain dari malam Lailatul-Qadar. Bersyukurlah bagi yang dapat hadir ke masjid kerana Allah telah taut-kan hati kita untuk datang ke masjid.  Walau rumah jauh dari masjid atau dekat dengan masjid, bersyukurlah kerana kita terpilih di kalangan orang-orang yang berpeluang hadir Alhamdulillah. Sesungguhnya tempat yang Allah lihat ialah di rumah-rumah Allah, tempat di mana ada solat berjemaah, ada majlis ilmu, ada majlis zikir. 

      Dosa kita banyak, ilmu pun kurang, ikhlas pun kadang-kadang tak ada.  Ini lah sebab mengapa kita kena sering minta(doa) pada Allah.  Cuba tanya diri kita, pernahkah kita melakukan sujud syukur terhadap dua nikmat besar yang Allah kurnia iaitu dilahirkan sebagai seorang Islam dan dilahirkan sebagai umat Nabi Muhammad SAW. Banyakkan berdoa pada Allah, minta pada Allah. Mohon agar dikurniakan Allah hidayah yang khusus bukan hanya hidayah umum. Usaha untuk dapat meraih hidayah khusus dari Allah dengan jalan banyak melakukan amal soleh.  Tanya diri kita, di mana keberadaan kita adakah kita tergolong samada dalam (1) dunia kepada dunia  (2) dunia kepada akhirat (3) akhirat kepada dunia atau (4) akhirat kepada akhirat.

      (1) Dunia kepada Dunia
      Contoh:  Seseorang yang hendak ke tempat kerja bertolak dari rumah seawal jam 6.10 pagi.  Sepanjang perjalanan sejauh 48km, hanya sempat berhenti isi minyak di stesen Petronas.  Berbeza dengan seseorang yang dari tempat yang sama yang hendak ke tempat kerja yang sama namun berhenti seketika untuk solat Subuh(waktu ketika Subuh masuk lewat). Maka jelas individu yang pertama telah meletakkan kehidupannya dalam kategori dunia kepada dunia.  Hendak ke tempat kerja semata-mata mencari dunia, tidak menghubungkan usaha pencarian rezeki sebagai matlamat menuju akhirat.

      Ustaz ada bagi teka-teki yang menambah ceria aura majlis ilmu iaitu: 'apakah dia sesuatu yang konfem halal dan diyakini halal?'  Semua mungkin seperti saya duk berteka-teki di dalam hati.  Rupa-rupanya anak saya yang duduk di sebelah berjaya terfikirkan jawapan bagi soalan ustaz.   Jawapannya kata ustaz ialah:  (1)Air hujan yang kita tadah dengan tangan kita sendiri.  Berbeza kalau kita tadah guna gelas kerana bila di-selidik, gelas itu rupanya gelas yang belum diminta izin dari tuan empunya.  Contoh lain: Kita biasa pinjam baldi kawan semasa kat kolej, biasanya lepas ambil dan guna baru mintak izin.."Wei, tadi aku pinjam baldi kau la... halal eh!"  (2) Ikan yang kita tangkap dengan tangan sendiri.  Macam mana tu nak tangkap dengan tangan sendiri? Boleh ke agak-agak?  Sebenarnya ustaz nak cerita tentang keberkatan rezeki.  Kalau tangkap guna buluh yang dicantas tebang, walaupun ambik buluh tu kat tepi jalan namun kita tak pasti siapa tuan empunya buluh tersebut. Wallahu'alam

      Maka kata ustaz, sebelum tidur, niatkanlah dalam hati kita.."Ya Allah, jadikanlah setiap nafas ku dalam tidurku ini sebagai setiap satunya ibadah kepadamu ya Allah..."  Begitu juga bila kita celik-celik mata saja keesokan harinya, kita niatkan dalam hati..."Ya Allah, jadikanlah setiap nafasku dalam jagaku ini sebagai setiap satunya ibadah kepadamu ya Allah..." Subhanallah.. InsyaAllah akan cuba untuk di-amalkan. 

      Semua bermula dengan niat.  Niat yang baik, InsyaAllah jadi baik sebaliknya jika niat kita buruk, maka akan jadi buruklah perbuatan dan hasilnya... 

      (2) Dunia kepada Akhirat
      Berlawanan keadaannya dengan 'dunia kepada dunia'.  Maka InsyaAllah beroleh pahala jika menghubung-kaitkan semua aktiviti harian bersandarkan matlamat akhirat, niat melakukannya sebagai ibadah semata-mata kerana Allah.

      (3)Akhirat kepada Dunia
      Contoh: Buat kerja agama seperti mengajar mengaji quran, membina sekolah tahfiz, infak untuk surau dan masjid namun matlamatnya hanya ingin mulia di mata manusia. Jika begitu keadaannya maka dikhuatiri tidak mendapat sebarang ganjaran pahala di sisi Allah.  Jika inginkan habuan dunia, maka hanya akan mendapat dunia, akhirat tak dapat.

      (4)Akhirat kepada Akhirat
      Contoh: Mengaji sungguh-sungguh untuk dapat redha Allah. Berbuat baik, beramal soleh hanya kerana Allah SWT, bukan kerana yang lain.  Sesungguhnya ibadahku, hidupku dan matiku hanya kerana Allah Taala. Dalam usaha melakukan ketaatan kepada Allah kena berhati-hati terhadap syaitan yang sentiasa ingin menyesatkan manusia.  Kita biasa terpandang kata-kata seperti, "Dadah Musuh Negara" atau "Rokok Membahayakan Kesihatan" dsb namun kita belum pernah terjumpa lagi dengan poster maupun papan tanda yang tertera tulisan, "Syaitan Musuh Utama Insan."

      Ustaz tekankan bahawa perlu untuk kita usaha untuk dapatkan khusyuk dalam solat.  Antara cara yang dapat datangkan khusyuk dalam solat ialah perlu pada latihan/riadah yang berterusan, pemahaman bacaan dalam solat, ada keikhlasan serta ada latihan kerohanian.  Sebagai insan biasa, kita sering payah untuk mencapai khusyuk dalam solat.  Ustaz menggesa agar kita cuba seboleh mungkin untuk tetapkan hati kita pada Allah walaupun pada saat akhir solat kita sebelum salam pertama.  Bak kata orang puteh, last but not least... jadi fokus dan tumpukan perhatian walau di saat-saat akhir. Ibarat dalam perlawanan bolasepak saat-saat akhir itu disebut sebagai 'waktu kecederaan.' InsyaAllah moga dapat lebih mencapai khusyuk di dalam solat...aamiinn

      Ustaz kongsi amalan sebagai salah-satu ikhtiar kita untuk nak dapatkan keikhlasan dalam apa jua yang kita buat. Dalam kita melakukan perkara baik, sering datang pelbagai penyakit hati yang boleh menggugat amalan kebaikan yang sedang cuba dilakukan.  Akan datang riak, ujub, takbur dan sebagainya jika kedudukan hati dan nafsu gagal dikawal. Maka untuk hadirkan keikhlasan dalam amal baik kita, kata ustaz, eloklah diamalkan membaca Surah al-Ikhlas iaitu Qulhuwallah sebanyak 100 kali setiap hari(zikir 100, ada di sini) Hanya mengambil masa yang singkat jika fokus membacanya.  Paling lama pun dalam setengah jam, jika dibaca laju hanya makan masa 20 minit sahaja.  Bolehlah kita pakat2 amalkan, contoh semasa memandu ke pejabat atau ke mana-mana, daripada kita duk mangarut dengar lagu2 yang tak beri manafaat apa-apa pun pada kita. 

      Selamat Beramal-Soleh menuju Ramadhan.  Syaaban masih berbaki beberapa hari saja lagi.  Minta pada Allah agar selamat dipertemukan kita dengan bulan Ramadhan yang kita menunggu-nunggu kedatangannya.

      Wallahu'alam.

      Perbaiki Solat Kita

      Bismillahirrahmanirrahim.

      "Kurangkanlah waktu tidur kita, jangan banyak sangat tidur kerana akan tiba suatu hari nanti mata kita akan terus pejam, tak dapat dibuka-buka lagi...", pesan ustaz dalam tazkirah dulu semalam.

      Kematian berlaku hampir setiap hari di kawasan penempatan kita, jadi beringat-ingatlah bahawa kita semua sangat dekat dengan kematian.  Jika telah sampai detik kematian yang telah ditetapkan Allah pada kita, maka tidak lah dapat kita mengelakkan diri daripadanya.  Disebut bahawa Malaikat Maut datang menziarahi kita sebanyak 70kali dalam sehari.

      Hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abdullah b Abbas r.a.,

      bahawa Rasullulah SAW bersabda yang bermaksud, ” Bahawa malaikat maut memerhati wajah setiap manusia di muka bumi ini 70 kali dalam sehari.”
      ketika Izrail datang merenung wajah seseorang, didapati orang itu ada yang
      sedang bergelak ketawa.
      Maka berkata Izrail: ” Alangkah hairannya aku melihat orang ini, sedangkan aku diutus oleh Allah taala untuk mencabut nyawanya, tetapi dia masih berseronok-seronok bergelak ketawa”
      Bila sampai ajal, maka manusia tidak dapat lari darinya.  Semua yang dipinjamkan Allah akan sampai tarikh luputnya. Semua ada expired date.  Kita akan kembali kepada Allah dengan membawa amalan yang kita perbuat semasa di dunia.  Jika banyak amalan kebaikan InsyaAllah akan berbahagialah kita namun jika bawa banyak amalan keburukan, maka tidak lain akan sengsaralah kita... nauzubillah.
      Dalam tazkirah tadi pula, usai bacaan Yasin ustaz yang merujuk kitab perihal azab kubur sambung menjelaskan tentang kehidupan ruh manusia di alam barzakh. Kata ustaz, boleh jadi kubur kita macam taman-taman Syurga, boleh jadi juga kubur kita itu macam lubang-lubang neraka... nauzubillah.  Tanya diri kita, kubur yang macamana yang kita impikan  Amalan kita di dunia ini yang menentukan kubur kita samada macam taman Syurga atau lubang neraka.  Dalam hadis Nabi SAW disebut bahawa, tidak ada ibadah yang paling mulia untuk dipersembahkan kepada Allah melainkan solat 5 waktu sehari semalam.

      Soalan pertama yang akan ditanya di dalam kubur ialah amalan solat.  Bermula dengan solat Zuhur, Asar, Maghrib, Isyak hinggalah ke solat Subuh.  Soalan mengenainya akan ditanya berulang-ulang sampai hari kiamat.  Inilah pentingnya solat.  Solat merupakan ibadah yang utama yang diperintahkan Allah kepada kita.  Jika lepas perihal solat kita, maka lepaslah amalan-amalan kita yang lain..InsyaAllah.  Kalau nikmat yang diterima, maka nikmatnya nanti sampai kiamat.  Kalau azab yang diterima, maka azabnya nanti sampai kiamat.

      Surah Mukminun ayat 99 - 100

      Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah ia: “Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia) -

      “Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan”. Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang ia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat)


      Allah SWT menurunkan rahmatnya melalui solat. Rasulullah SAW memperhatikan solatnya bermula dari mengambil wudhuk lagi kerana wudhuk merupakan pintu penyucian jiwa dan penyucian dosa.  Kenapa kita disuruh basuh muka, kedua tangan, kepala dan kedua kaki setiap kali berwudhuk? 


      Ini diterangkan dalam Surah al-Maidah ayat 6: yang bermaksud; 
      Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali; dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib; dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam pelayaran, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah – debu yang bersih, iaitu: sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah – debu itu. Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi Ia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya kamu bersyukur.

      Rasulullah SAW juga begitu memperhatikan waktu-waktu solat. Ustaz menceritakan riwayat yang menyebut tentang wajah Rasulullah SAW yang berubah menjadi pucat ketika masuk waktu solat bila azan kedengaran. Bila ditanya oleh puteri baginda Fatimah az-Zahraa, Nabi SAW mengatakan bahawa, 'telah masuk waktu solat, sebentar lagi kita akan mengadap Allah'.

      Air dari wudhuk kita adalah air rahmat.  Wudhuk mampu menghapuskan dosa-dosa seseorang. Hadis Nabi SAW: 

      Dari Usman bin Affan r.a., katanya: "Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda:
      "Tiada seorang Muslimpun yang datang padanya solat yang diwajibkan, lalu ia memperbaguskan wudhuknya, kekhusyukannya serta rukuknya, melainkan solat yan dilakukan tadi akan menjadi penutup dosa-dosa yang dilakukan sebelum itu, selama tidak dikerjakan dosa besar.  Yang sedemikian itu berlaku untuk setahun sepenuhnya."   (Riwayat Muslim)

      Nabi SAW amat menekankan perihal wudhuk.  Nabi SAW ada menegur Muaz bin Jabar ra yang membazirkan air ketika berwudhuk.  Makin sedikit kita guna air semasa berwudhuk, makin sempurnalah wudhuk kita.  Marilah kita ubah cara wudhuk kita supaya tidak membazir.  Ingat, wudhuk kita sangat mempengaruhi solat yang akan kita dirikan.

      Ustaz tegaskan bahawa, manusia berhadapan dengan dua kegagalan iaitu bilamana masjid/surau dibina makin cantik tetapi hanya beberapa kerat saja yang hadir mengimarakkannya.  Umat Islam dewasa ini gagal untuk dapat hadir di masjid-masjid yang dibina.  Satu lagi kegagalan ialah bilamana seseorang itu gagal dalam memperhatikan waktu-waktu solat.  Solat-solat ada waktu utamanya.  Antara Zuhur dan Asar, waktu utamanya ialah waktu Zuhur di mana kita sepatutnya tidak cuba melengah-lengahkannya.  Waktu Asar ialah waktu kedua.   Begitu juga dengan waktu Maghrib dan Isyak di mana waktu Maghrib adalah waktu utama manakala waktu Isyak merupakan waktu kedua.  Maka bila masuk waktu Maghrib, janganlah pula orang yang sedang berjogging misalnya masih tetap terus berjogging tanpa peduli terhadap azan Maghrib yang sedang berkumandang.


      Dari Abu Said al-Khudri r.a dari Nabi SAW sabdanya: "Jikalau engkau semua melihat seseorang membiasakan - pulang pergi - ke masjid, maka saksikanlah ia dengan keimanan - yakni bahawa orang itu benar-benar orang yang beriman.  Allah Azzawajalla berfirman:  "Hanyasanya yang meramaikan masjid-masjidnya Allah ialah orang yang beriman kepada Allah dan hari akhir."*sampai ke akhir ayat.
      Diriwayatkan oleh Imam Termidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan.

      Dua keadaan umat dikatakan sufi ialah: 1) bila dia dapat bangun dan bersolat sekurang-kurangnya dua rakaat di waktu tengah malam  dan 2) bila dia menunggu masuknya waktu solat. 

      Dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: "Sukakah engkau semua kalau saya tunjukkan akan sesuatu amalan yang dapat melebur semua kesalahan dan dengannya dapat pula menaikkan beberapa darjat?" Para sahabat menjawab: "Baiklah, ya Rasulullah." Beliau SAW lalu bersabda: "Yaitu menyempurnakan wudhuk sekalipun menemui beberapa hal yang tidak disenangi - seperti terlampau dingin dan sebagainya, banyaknya melangkahkan kaki untuk ke masjid dan menantikan solat sesudah melakukan solat.  Itulah yang dapat disebut ribath, itulah yang disebut ribath - perjuangan menahan nafsu untuk memperbanyak ketaatan pada Tuhan."   (Riwayat Muslim)


      Dari Abu Hurairah r.a., katanya:  "Rasulullah SAW bersabda:  "Sesungguhnya pertama-tama amalan yang seseorang itu dihisab dengannya ialah solatnya, maka jikalau baik solatnya itu, sungguh-sungguh berbahagialah dan beruntunglah ia dan jikalau rusak, sungguh-sungguh menyesal dan merugilah ia.  Jika seseorang itu ada kekurangan dari sesuatu amalan wajibnya, maka Tuhan Azzawajalla berfirman: "Periksalah olehmu semua - hai malaikat, apakah hambaKu itu mempunyai amalan yang sunnah." Maka dengan amalan yang sunnah itulah ditutupnya kekurangan amalan wajibnya, kemudian cara memperhitungkan amalan-amalan lainnya itupun seperti cara memperhitungkan amalan solat ini.""
      Diriwayatkan oleh Imam Termidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan.


      Berbalik pada bagaimana keadaannya nanti kubur kita... jika ingin kubur kita macam taman Syurga, solatlah kita dengan sungguh-sungguh. Perbaiki solat kita. Moga Allah luruskan lidah kita dari perkataan yang sia-sia, moga Allah bersihkan perut kita dari makanan yang haram dan syubhah, moga Allah bersihkan hati dan jiwa kita, moga Allah kurniakan rahmat, moga Allah redha, moga dapat indahkan lagi solat, moga nanti beroleh kubur bagaikan taman Syurga...ameen

      Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 195, yang bermaksud:
      Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana menegakkan) ugama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.


      Wallahu'alam.



      Rukun Solat


      Rukun-rukun solat sebagaimana berikut:

      1. Niat
      2. Berdiri tegak bagi yang berkuasa ketika solat fardu dan bagi yang tidak berkuasa, disebabkan sakit dan sebagainya boleh melakukannya secara duduk, berbaring, telentang atau dengan isyarat.
      3. Takbiratul Ihram
      4. Membaca surah Al-Fatihah pada tiap-tiap rakaat.
      5. Rukuk dengan tamakninah.
      6. Iktidal dengan tamakninah.
      7. Sujud dua kali dengan tamakninah.
      8. Duduk antara dua sujud dengan tamakninah.
      9. Duduk tahiyat akhir dengan tamakninah.
      10. Membaca tahiyat akhir.
      11. Membaca selawat ke atas Nabi Muhammad SAW pada tahiyat akhir.
      12. Membaca salam yang pertama.
      13. Tertib, ertinya mengikut urutan dalam mengerjakan rukun-rukun tersebut.

      *Tamakninah bermaksud diam sebentar ketika melakukan rukuk, iktidal, sujud, dan duduk antara dua sujud dalam solat.

      Syarat Wajib dan Syarat Sah Solat


      SYARAT WAJIB SOLAT

      1. Beragama Islam.

      2. Baligh.

      3. Berakal.

      Kanak-kanak yang telah berumur tujuh tahun hendaklah disuruh mengerjakan solat dan setelah berumur sepuluh tahun bolehlah dipukul sekiranya masih belum bersolat.

      Sabda Nabi SAW, yang bermaksud:
      "Suruhlah kanak-kanak mengerjakan solat apabila berumur tujuh  tahun dan apabila sudah sampai 10 tahun maka pukullah (sekiranya tidak solat)."


      SYARAT SAH SOLAT

      1. Mengetahui Masuknya Waktu Solat dengan Yakin.  Sekiranya seseorang itu solat tanpa meyakini masuknya waktu, maka solatnya tidak sah walaupun tepat pada waktunya.
      2. Menghadap Kiblat, semasa mengerjakan solat bagi orang yang boleh melakukannya.  Sekiranya orang yang uzur atau sakit yang tidak terdaya melakukan demikian, maka diberi kelonggaran ke atasnya menghadap ke arah yang dia boleh tetapi hendaklah mengulangi solat tersebut apabila dia telah sembuh daripada penyakitnya.  Menghadap kiblat yang dimaksudkan ialah dengan dada sahaja.
      3. Menutup Aurat, samada ketika bersolat di tempat yang sunyi ataupun di tempat awam.  Aurat lelaki ialah dari pusat hingga lutut.  Aurat perempuan pula ialah seluruh badan kecuali muka dan dua pergelangan tangan.
      4. Suci daripada Najis, baik dari segi pakaian mahupun anggota badan dan juga tempat.  Maksud tempat ialah tempat berdiri dua kaki, tempat sujud, tempat letak tangan dan juga tempat letak dua lutut.
      5. Suci daripada HadasErtinya dia telah pun berwudhuk dan juga telah mandi hadas.

      Wallahu'alam.


      Bertemankan al-Quran


      Jam 12.40mlm, tiba2 dapat mesej ini dari seorang kawan. Sebelum bukak mesej, mula tu tertanya2 dalam hati..'eh pe hal malam2 ni?'.. lepas baca, terus copy untuk share di blog.. Thanx kak As..:-)

      ~~~~~~~~~~~~~~~
      Sharing this beautiful message:

      Have you ever wondered what would have happened if we treated the Quran the way we treat our mobile phone???

      What if we can carry it with us wherever we go; In our bags ... & our pockets?

      What if we looked at the pages several times a day?

      What if we went back to take it if forgotten?

      What if we treated as though we cannot live without it..?
      - And really, we cannot live without it!..

      What if we give it to our children as gifts??

      What if we read it while travelling???

      What if we made it a priority everyday??

      Let our logo be
      " Quran is my best friend."

      Only 7% will re- send the
      message. Be amongst them & send it to the largest possible number of people. Don't be of the 93% who will not share this message .....

      Think .. Even once ..  (Day of Judgment) we will realise we opened messages from friends daily ...

      We shared/forwarded the jokes & gossips ...

      But how many times do we
      open the Quran and read the messages sent from Allah Subhaanallah Ta'ala Himself? "

      If you, your friends👬 .... and family 👪..., share this reminder with them!!!

      Do not send later. Send now.
      May Allah grant success to everyone who reads and sends.

      ~~~~~~~~~~~~~~~~~
      **update:
      Innalillah...
      Kak As telah kembali ke rahmatullah baru-baru ini. Semoga roh arwah bersama orang-orang yang beriman dan beramal soleh...aamiin

      Countdown 1 Ramadhan 1434H

      Bismillahirrahmanirrahim.


      اللهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيْ رَجَبٍ وَشَعْبَانَ وَبَلِّّغْنَا رَمَضَانَ


      Allah humma bariklana fi rojaba wa syaabana wabalighna ramadhan...

      yang bermaksud:
      "Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya'aban serta sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan."


      Ramadhan tinggal lagi beberapa minggu dari sekarang. Ayuh kita, jangan bertangguh lagi... terus latih diri kita untuk:

      • lebih dekat dengan masjid
      • banyak mengaji Quran, 
      • sering beristighfar
      • berpuasa sunat
      • solat2 sunat terutama Solat Malam
      • banyak bersedekah

      Moga Ramadhan yang bakal dilalui kali ini InsyaAllah akan lebih bermakna buat diri kita sebagai hambaAllah yang mengharap belas kasih-Nya... ameen

      Countdown RAMADHAN 1434H - Rabu, 10 JULAI 2013

      Sedekah tidak akan kurangkan HARTA

      Bismillahirrahmanirrahim

      Terkedu dengar cerita benar yang diselitkan ustaz dalam tazkirah malam tadi. Ustaz cerita tentang ada masjid terpencil yang jumlah kutipan sedekah pada hari Jumaat hanya mampu mencapai jumlah sebanyak RM12.50 sahaja(Dua belas ringgit lima puluh sen).

      Apa yang dikhabarkan itu jelas menunjukkan betapa masih ramai saudara kita di luar sana yang masih belum sampai pencerahan ilmu dalam bab kepentingan sedekah dan juga wakaf.

      Sesungguhnya sedekah itu merupakan tabungan kita untuk hari akhirat. Mari sama2 kita perbanyakkan memberi sedekah, semata-mata kerana Allah... lilla hi ta'ala.

      Firman Allah dalam Surah al-Baqarah:272
      yang bermaksud:
      "Dan segala barang baik yang kamu belanjakan itu adalah untuk diri kamu sendiri, dan kamu membelanjakannya itu hanya untuk menempa keredhaan Allah, dan segala barang-barang baik yang kamu belanjakan itu akan dibalas kepada kamu, sedang kamu tiada akan dirugikan."

      FirmanNya lagi:
      "Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada waktu malam dan siang, secara sembunyi-sembunyi mahupun terang-terangan, maka mereka akan memperoleh ganjaran dari Tuhan mereka, mereka tiada takut dan tiada pula berdukacita."   (Al-Baqarah:274)

      FirmanNya lagi:
      "Berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan belanjakanlah dari apa(harta) yang kamu dijadikan Allah mempusakainya.  Maka orang-orang yang beriman di antara kamu dan membelanjakan(hartanya dijalan kebajikan) akan memperoleh pahala yang besar."    (Al-Hadid:7)

      FirmanNya lagi:
      "Siapakah yang mahu memberi pinjaman kepada Allah dengan pinjaman yang baik, niscaya Allah akan membayar kembali dengan berlipat-ganda, dan dia akan memperoleh pula pahala yang besar."   (Al-Hadid:11)

      FirmanNya lagi:

      "Adapun orang yang memberikan (hartanya di jalan Allah)
      dan bertakwa (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan segala laranganNya) serta ia mengakui dengan yakin akan perkara yang baik, maka sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesenangan (Syurga)."    (Surah al-Lail: 5 - 7)

      Bersabda Rasulullah SAW dalam mengutarakan kelebihan bersedekah dan membelanjakan harta pada jalan Allah Ta'ala dalam sebuah Hadis Qudsi:
      "Wahai anak Adam! Belanjakanlah (hartamu itu) niscaya Aku berbelanja(menambah) untukmu."

      Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a., beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya:
      "Sedekah sekali-kali tidak akan mengurangi harta. Seorang hamba yang pemaaf akan diberi kemuliaan oleh Allah; dan tidaklah seseorang yang merendahkan hati kerana Allah, melainkan Allah akan meninggikan darjatnya."   (Riwayat Muslim no.2588)


      Wallahu 'alam.

      Blog Archive

      Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...