Qiamulail dan Kuliah Subuh 4 Ramadhan


Bismillahirrahmanirrahim

Moga ibadah yang dilakukan dinilai Allah sebagai ibadah yang diredhai oleh-Nya.  Sekali kita melangkah ke masjid, alhamdulillah syukur kerana kita dapat dirikan solat tahayatul-masjid, kita berniat iktikaf di masjid, dapat pula saf pertama solat berjemaah.  Amal ibadah biar terbaik. Kejarlah agar sentiasa dapat melakukan ibadah yang terbaik, dapat tolong  orang pun biar dapat tolong  yang terbaik.

Sesiapa yang mampu memelihara solat 5 waktunya secara berjemaah, InsyaAllah dia tidak akan 
  • ditimpa susah atau kefakiran selama-lamanya, 
  • akan dijauhkan Allah dari siksa kubur, 
  • akan mengambil suratan-amal dengan tangan kanan, 
  • akan dapat merentas titian sirat yang lebih halus dari rambut dan lebih tajam dari mata pedang, seperti kilat dan 
  • akan dapat masuk ke syurga Allah tanpa hisab.... ameen

Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Jikalau manusia mengetahui apa ganjaran azan dan berada di saf yang pertama dan tidak ada jalan lain untuk memperolehi azan dan di saf yang pertama kecuali dengan cara mengundi, nescaya mereka berundi. (HR Bukhari)


Namun, penilaian yang pertama walaupun berhasil mendapat saf yang pertama ialah ikhlas.  Ikhlas InsyaAllah akan mampu diperolehi dengan kita sentiasa bertambah beristighfar kepada Allah. Sentiasalah beristighfar.  Ikhlaskan hati pada Allah, mengharap ibadah diterima...ameen.. Allah terima amalan orang yang bertakwa.  Ambillah dunia sekadar  yang perlu sahaja.  Untuk mencapai takwa, tinggalkan harta yang berlebih-lebihan.  Zuhud pada dunia dengan jalan bersederhana sahaja.  


  • Kesempurnaan takwa ialah kena sentiasa bertambah taubat pada Allah.  Ikhlas hati dalam melakukan taubat.  


  • Kesempurnaan syukur ialah dengan jalan mengetahui kekurangan yang ada dalam diri kita. Syukur dengan bermacam kurnia yang Allah beri.  Ingat semua pemberian datang dari Allah.  

  • Kesempurnaan sabar ialah dengan tekun melakukan ibadah kepada Allah.  Istiqamah beribadah. Biar ada matlamat setiap hari.  Kenal terhadap siapa kita bermunajat.  Tahu doa dan permohonan apa yang kita baca.  Sedar terhadap panggilan Allah yang mesti disahuti.  Ingat bahawa Allah adalah raja segala raja, hakim segala hakim.  

Allah Taala jadikan ruang kejahatan yang mana cinta dunia adalah punca kepada segala kejahatan yang ada.  Kunci kebaikan adalah zuhud dengan dunia. Tidak berlebih-lebihan terhadap dunia. Ingat bahawa segala yang hidup pasti akan mati.  Tidak ada kehidupan dunia melainkan ianya hanya tipu-daya semata-mata.  Semua adalah ujian buat kita. Kita rasa rumah kita yang besar itu hak kita, tapi cicak kata itu hak dia, tikus pula kata itu hak dia.  Kita rasa kebun kita hak kita, tanaman yang tumbuh subur semua hak kita, tapi cacing dan ulat kata itu hak dia.  Hakikatnya semua adalah hak Allah yang kita kena pelihara.  

Bulan Ramadhan adalah bulan melakukan ibadah untuk menghasilkan orang yang bertakwa di sisi Allah.  Moga kita semua berhasil menjadi orang yang bertakwa.  Dengan takwa lah, dapat menjaga iman.  Dindinglah hati kita, pagar hati kita supaya sukar diganggu syaitan selepas ini.  Sepertimana kita buat pagar atau dinding di rumah kita untuk lindung anak-isteri kita dari pandangan orang yang lalu-lalang di luar sana, begitulah juga dengan iman kita yang mesti dipagari.  Bina takwa dalam diri.

Wallahu'alam.

Doa Selepas Azan


Bismillahirrahmanirrahim

Di ulang siaran dari sini...

Ustaz mengingatkan agar kita semua tak lupa untuk berdoa selepas Azan.  Setiapkali mendengar Azan, kita jawab azan, kemudian berdoalah... Biar timbul teruja untuk berdoa selepas azan kerana telah disebutkan dalam hadis Nabi SAW iaitu; jika membaca doa selepas azan InsyaAllah akan ada peluang untuk kita mendapat syafaat Rasulullah SAW di hari pembalasan nanti...InsyaAllah.  Ditegaskan, jika terlepas mendengar azan bila masuk waktu, berusahalah mencari azan di mana2 untuk merebut peluang agar dapat berdoa selepas azan.

Dari Jabir ra bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:
"Barangsiapa yang ketika - sudah selesai - mendengarkan azan lalu mengucapkan "Allah humma rabbaha zihid da' watit dammah, wassola tilko imah, atisaiyiddana muhammadanil wasila tawal fadhilah, waba athhul maqam almahmu danil ladzi wa ath' dhah." yang ertinya: "Ya Allah yang Maha Menguasai doa yang sempurna serta solat yang akan didirikan ini, berikanlah kepada Muhammad wasilah dan keutamaan, bangkitkanlah ia pada kedudukan yang terpuji yang telah Engkau janjikan," maka akan dapatlah ia memperoleh syafaatku pada hari kiamat."  (Riwayat Bukhari)

Wallahu'alam.

Tazkirah 4 Ramadhan - Tundukkan Nafsu


Bismillahirrahmanirrahim

Firman Allah Taala yang bermaksud:
"Wahai orang-orang beriman! Telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa, sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat sebelum kamu, moga-moga kamu bertakwa."
Surah al-Baqarah ayat 183.

Boleh jadi puasa yang kita buat boleh datangkan hasil dan boleh jadi juga puasa kita tak dapat datangkan hasil sepertimana yang diharapkan.  Yang tak datangkan hasil bermaksud tak boleh membawa ketakwaan dalam diri kita.  Bimbang jika puasa kita tak diterima oleh Allah Taala.  Dikhuatiri hanya beroleh lapar dan dahaga walaupun kita berpuasa di sepanjang siang harinya.  

Tingkatan puasa ini disebut sebagai puasa orang-orang awam yang berpuasa iaitu menahan diri dari tidak makan dan minum serta tidak melakukan perkara2 yang membatalkan puasa namun kita tidak berjaya menjaga mulut, mata, telinga dan aggota badan yang lain semasa berpuasa.  Mata kita melihat perkara maksiat, mulut kita masih berkata dusta, mengata orang dan sebagainya.

Tingkatan puasa yang kedua ialah puasa yang khusus di mana kita bukan sekadar puasa makan dan minum, tak bersama pasangan namun anggota badan kita juga ikut berpuasa.  Mulut, mata, telinga, kaki dan tangan berjaya dikawal dari melakukan perkara yang mengundang dosa.

Tingkatan puasa yang ketiga ialah puasa yang khusus dalam khusus di mana bukan hanya tak makan dan tak minum, tak bersama pasangan, tak lakukan perkara yang boleh datangkan dosa namun berjaya menjadikan seluruh rangkaian kehidupan menjurus kepada Allah Taala.  Diri hanya melakukan perkara yang diredhai Allah.  

Barangsiapa yang berpuasa di atas dasar keimanan dan kehambaan kepada Allah, maka berolehlah dia puasa atas dasar keimanannya.  InsyaAllah akan di-ampunkan baginya atas apa-apa dosa yang dilakukannya.  Dikatakan samada dosa itu kepada Allah dan jua dosa sesama makhluk.  InsyaAllah dosa akan di-ampun.  

Bersabda Rasulullah SAW:
"Siapa berpuasa Ramadhan dan berjaga malamnya dengan penuh kepercayaan dan ketulus-ikhlasan, nescaya diampumkan segala dosanya yang telah lalu."


Maka kata ustaz, ambillah peluang ini. Jangan kiranya Ramadhan berlalu meninggalkan kita tanpa kita mengambil manafaat dari kelebihannya yang begitu banyak.

Nafsu mesti ditundukkan.  Bulan ramadhan adalah bulan untuk menundukkan nafsu.  Antara sebab puasa kita tak boleh sampai pada ketakwaan ialah disebabkan sikap kita. Tahan nafsu dari gemar pada perkara-perkara lagho. Seseorang itu nanti akan dibangkitkan di akhirat kelak dengan apa yang dia kasihi.  Kalau kasih dengan ulamak, maka akan bangkit nanti bersama dengan ulamak InsyaAllah. Kalau kasih pada api, bangkit nanti dengan api.

Moga di-anugerahkan kekuatan buat kita mengharungi ibadah puasa. Jaga puasa kita. Jauhkan diri kita dari melakukan perkara yang dimurkai Allah.  Elakkan diri dari meng'sengajakan' melakukan perkara yang dimurkai Allah.  Jaga potensi diri agar mampu meraih keredhaan Allah.

Sabda Rasulullah SAW:
"Puasa itu adalah pelindung dan benteng yang kukuh dari api neraka."


Wallahu'alam.

Tazkirah 3 Ramadhan - Bersungguh-sungguh lakukan ibadah

Bismillahirrahmanirrahim


Ramadhan begitu istimewa.  Sesungguhnya telah datang kepada kita semua satu bulan iaitu bulan Ramadhan yang merupakan sebaik-baik bulan, malamnya sebaik-baik malam, siangnya sebaik-baik siang dan waktunya adalah sebaik-baik waktu.  Di bulan ini, kita di-ajak menjadi tetamunya dan dikumpulkan di dalamnya.  

Rugilah seseorang itu sekiranya setelah memasuki bulan Ramadhan namun dosa tak di-ampuni, amalan tak bertambah dan dia tak berhasil menjadi tetamu Allah. Mohonlah agar dapat melaksanakan ibadah dengan sebaik-baiknya.  Bila dah dapat buat dengan sebaik-baiknya maka ucapkan syukur kita kepada Allah.. alhamdulillah...

Oleh kerana agungnya bulan ini, maka setiap helaan nafas kita dikira tasbih, tidur kita dikira ibadah, dijamin doa-doa kita dimakbulkan... InsyaAllah.  Inilah masanya untuk kita bersungguh-sungguh berdoa menadah tangan pada Allah Taala.  Inilah masa Allah pandang kita dengan penuh rahmat, inilah masa Allah pandang kita dengan penuh kasih-sayang.

Sesungguhnya, diri kita tergadai dengan amal-amal buruk yang kita lakukan setiap hari.  Maka ubatkanlah ia dengan memperbanyakkan istighfar.  Ringankan dosa kita dengan perbanyakkan sujud terutama sujud yang akhir dalam solat kita.

Kata ustaz, antara keistimewaan amalan di bulan Ramadhan ialah bagi:

  • sesiapa yang beri buka puasa kepada orang yang berbuka.  Berilah apa yang kita suka makan dan apa yang kita selalu makan.  Contoh kita suka makan nasi Arab lauk kambing, maka eloklah kita menyediakan juadah tersebut untuk memberi makan orang yang berbuka puasa.  Ganjarannya Allah akan memberi pahala setanding dengan memerdekakan seorang budak/hamba sahaya dan Allah akan ampunkan dosa-dosa yang lalu. InsyaAllah
  • sesiapa yang mendekatkan diri kepada Allah dengan melakukan solat-solat sunat dalam bulan ini, nilainya sama dengan melakukan solat fardhu di bulan yang lain. Jelas bahawa sembahyang sunat dalam bulan Ramadhan dikira sama tingkatnya dengan sembahyang fardhu pada lain-lain bulan dari segi pahalanya.
  • sesiapa yang lakukan solat fardhu di bulan yang agung ini maka nilai solat fardhunya itu adalah sebanyak 70 solat fardhu di bulan yang lain.  Sembahyang fardhu dilipat-gandakan pahalanya ke atas fardhu-fardhu yang biasa ditunaikan pada bulan selain Ramadhan sehingga tujuh puluh kali ganda.
  • sesiapa yang banyak selawat ke atas Nabi SAW di bulan ini.  Balasannya di sisi Allah, Allah SWT akan memberatkan timbangan amalan kebaikannya.
  • sesiapa yang membaca al-quran di bulan yang agung ini walaupun dari surah yang pendek.  Balasannya di sisi Allah, nilainya 30 juzuk bacaan pada bulan yang lain.  Itu baru nilai, belum lagi pahala... 

Wallahu'alam.




Tazkirah 2 Ramadhan - Rugi Orang Yang Tak Dengar Tazkirah


Bismillahirrahmanirrahim

Tazkirah adalah memberi peringatan.  Ia mengingatkan perkara yang orang dah tahu tapi ramai yang lalai , ramai yang lupa.  Firman Allah dalam surah az-Dzariyat ayat  55 memberi maksud: "Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang-orang yang beriman."

Beri tazkirah iaitu peringatan demi peringatan adalah dituntut untuk terus mengingatkan orang yang lupa dan lalai.  Tazkirah beri manafaat kepada orang-orang yang beriman.  Orang-orang beriman suka kepada majlis ilmu... suka pada tazkirah, ceramah dan kuliah maghrib.  Kata ustaz, orang-orang yang tidak gemar pada tazkirah dan majlis ilmu itu sebenarnya orang yang mempunyai masalah dengan iman mereka.  Orang-orang yang lebih suka kepada program lara seperti mendengar lagu-lagu yang tidak mendidik serta gemar menonton program hiburan lainnya pada hakikatnya ada problem dengan iman mereka.

Mari hidupkan malam ramadhan dengan: tilawatur-quran, berzikir, beristighfar, duduk dalam majlis ilmu, berterawih, solat malam, sedekah, amal makruf dan nahi mungkar.  Kita menghidupkan malam ramadhan selepas waktu Isyak. Waktu selepas solat terawih 4 rakaat adalah slot yang terbaik untuk Tazkirah pendek.  Selepas tazkirah, kembali menyambung 4 rakaat lagi solat terawih.  Waktu 20 - 30 minit tazkirah di selang waktu solat terawih ialah waktu terbaik untuk disampaikan tazkirah, waktu yang orang selesa duduk mendengar.

Tazkirah dapat tolong mengingatkan.  Kalau kita bercakap kemudian melalui perkataan kita itu dapat beri hidayah pula pada seseorang, dikatakan itu lebih baik dari kita mempunyai kenderaan yang mewah.  Berkat tazkirah atau peringatan pada seseorang, alhamdulillah bilamana ia dapat menyuntik kesedaran baginya untuk membaiki diri.

Allah SWT cinta pada orang yang memperelokkan amalan,  Contoh: Hari ini Tuan Imam sebut pasal meluruskan saf, merapatkan saf, tumit bertemu, bahu bertemu, penuhkan saf hadapan dan sebagainya.  Perkara-perkara itu merupakan ilmu bagi orang yang kurang tahu.  Maka esoknya pula, disampaikan ilmu lain pula yang keseluruhannya dapat membantu memperelokkan amalan seseorang.

Rugilah orang yang tak dengar tazkirah. Rugilah orang yang rasa dia dah pandai.  Jadilah kita orang yang sedia mendengar.  Para malaikat menaungi orang-orang yang berada di dalam majlis ilmu.  Para malaikat doakan kita .."Ya Allah, rahmati lah mereka, ya Allah ampunilah mereka..." Ameen....

Ada tiga golongan orang-orang yang berada di majlis ilmu: (1) orang yang bersungguh-sunguh di dalam majlis ilmu maka Allah Taala bersungguh-sungguh beri ilmu kepadanya  (2) orang yang malu untuk berada di majlis ilmu maka Allah pun malu untuk nak beri ilmu padanya (3)Orang yang berpaling dari majlis ilmu walhal dia dah tengok ada orang mengaji, maka Allah pun akan berpaling darinya.. sampai bila-bila lah dia berada dalam kejahilan... nauzubillah..

Beramal tanpa ilmu adalah sia-sia, berilmu tanpa amal.. rugi...
Wallahu'alam

Tazkirah 1 Ramadhan - Gemar Pada Pahala


Bismillahirrahmanirrahim

Ahlan Ramadhan.  Bersyukur kita kerana Allah pertemukan lagi kita dengan bulan Ramadhan, bulan syiar al-quran,bulan suci yang kita semua amat menunggu-nunggu kedatangannya.

Di malam 1 Ramadhan ustaz mulakan tazkirah dengan ayat quran Surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.
Orang bertakwa ialah orang-orang yang nampak akan syurga, nampak akan neraka, nampak dosa dan pahala.  Maka bila sedar akan batasan-batasan tertentu maka dapat menghindar diri dari melakukan dosa.

Bulan Ramadhan melatih kita dengan solat Terawih berjemaah.  Dengan latihan yang konsisten selama 30 hari sepanjang Ramadhan, InsyaAllah mudah-mudahan dengan latihan itu, maka di luar bulan ini dapat menyemarakkan semangat untuk terus mendirikan solat secara berjemaah.

Bersungguh-sungguhlah kita gemar pada pahala, bukan gemar pada dosa.  Bantu diri kita dengan memperbanyakkan sujud.  Bukan setakat mendirikan yang fardhu, tapi haruslah kita tambahi lagi dengan buat solat-solat sunat. Dan bukan pula sekadar tunaikan solat, tetapi wajib tunaikan zakat.  Infakkan harta, contoh: untuk majlis berbuka puasa.  Jika kita memberi makan orang berbuka, InsyaAllah kita akan mendapat dua pahala.  Satu pahala berpuasa diri sendiri dan satu lagi pahala puasa orang yang berbuka puasa dari makanan yang kita infakkan.. InsyaAllah.  

Hendaklah kita berpuasa seluruh anggota bukan hanya berpuasa dari tidak makan dan minum serta tidak melakukan perkara lain yang membatalkan puasa.  Berpuasa seluruh anggota bermaksud berusaha menjaga mulut, mata, telinga, tangan, kaki serta yang paling utama iaitu hati agar tidak melakukan maksiat.  Contoh pelihara mulut dari mengumpat, mengata, memfitnah, bergaduh, bercakap hal sia-sia dan sebagainya. Begitu juga dengan mata, pelihara ia dengan tidak memandang kepada perkara-perkara yang boleh mendatangkan dosa.  Telinga jangan mendengar umpatan, adu-domba, fitnah dan sebagainya. 

Bertadarruslah, hendaklah baca quran dengan sebenar-benar bacaan.  Bila bertaddarus berama-ramai, bacaan al-quran dapat sama-sama diperbetulkan bila tersilap di mana-mana. Pembaca al-quran terbahagi kepad 3 iaitu:  Orang yang mahir baca quran lalu mendapat pahala, orang yang baca salah tapi dapat pahala dari sebab bersungguh-sungguhnya dia membaca walaupun tak berapa pandai dan masih belajar, orang yang baca salah dan dia berdosa kerana dia membaca ikut kehendak hati tanpa ada guru yang menyelia atau membetulkannya. Bacaan al-quran jangan kita ambil lewa.  Semarakkan Ramadhan dengan Taddarus al-quran.

Sesiapa yang menghidupkan Ramadhan, Allah Taala akan menghapuskan dosa-dosanya yang lalu.  Banyakkanlah berdoa, banyakkan berbuat baik.  Teguhkan puasa kita, tahan diri dari lakukan sesuatu yang boleh membuatkan puasa kita batal.  Jangan kiranya matlamat kita hanya untuk tingkatkan amal, sedangkan kita tidak begitu memperhatikan tentang bagaimana sikap kita, perkataan kita. Hindarkan apa yang dimurkai Allah, bukan setakat tingkatkan amal di bulan Ramadhan.  Ingatlah bahawa Ramadhan adalah alat untuk kita mencapai redha Allah. Gemarlah pada pahala, bersungguh-sungguhlah merebut pahala.

Wallahu'alam.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...