Kek Pisang sukat cawan



Alhamdulillah... bila tiba hari Jumaat selalu teringat nak post resepi dekat matahati.  Jadi hari ni nak kongsi resepi Kek Pisang yang sedap lagi lembap.. hehe.. betul ke eja tu, lembap ke lembab? Mana-mana la eh...

Kek Pisang ni saya buat pakai sukat cawan je resepinya. Yang start start pakai sukat cawan untuk kek pisang ni sebab alat penimbang kueh kat rumah rosak.  Dah ditukar bateri pun, tekan-tekan tak mau keluar juga nombornya. Tak boleh jadi nih, nak tunggu tukar alat penimbang digital yang baru, tak tahu bila... tunggu nanti betul2 nak kena guna dia baru pegi cari ganti. Jadi dalam dua tiga bulan ni, buat kek pakai yang sukat2 cawan je.. he he

Pisang Emas setandan yang masak hari tu dah selamat guna buat lempeng pisang, jemput pisang dan lastnya buat kek pisang.  Jengok kat laman nampak ada tiga tandan lagi pisang yang sedang dalam proses nak masak.. satu pisang Emas, satu pisang Awak dan satu lagi pisang Abu(pise Kebatu)... alhamdulillah segala puji bagi Allah... :)

Jom tengok resepi...
KEK PISANG sukat cawan

1  cawan butter/planta
1  1/2  cawan gula 
4 biji telor saiz A
1 sudu kecil vanilla
4 sudu besar susu/air(saya selalu guna air je)
13 biji pisang emas sederhana besar(kalau pisang Abu dalam 7 - 9 biji *gambar kek pisang di atas pakai pisang Abu*)
1/2 sudu teh garam
1 sudu teh baking soda
1 sudu teh baking powder
2 cawan tepong gandum serbaguna

Caranya mudah:
Panaskan oven berserta loyang yang dah disapu margerin, 175'
Putar butter dan gula.
Masukkan telor sebiji demi sebiji. 
Masukkan vanilla, air, garam dan pisang yang dilecek.
Kemudian campurkan tepong serta baking powder + baking soda , balik-balikkan dan kacau rata.

Bakarlah selama 45 minit - sejam.

**Baru-baru ini ada post citer pasal Kek Coklat.  Tadi baru updatekan resepinya sekali. Jom ke sana kita... ~ VERY MOIST CHOCOLATE CAKE


Panjang Umur

Bismillahirrahmanirrahim

Pengisian majlis ilmu:

Kata ustaz....
Ada tiga musibah yang setiap hari datang dalam kehidupan manusia namun sering dilupakan. Mereka memiliki tiga musibah namun tidak menyedarinya.  Tiga perkara itu ialah:

1) Usia yang setiap hari berkurang.  Kalau harta berkurang, kita sering bersedih. Tapi dengan berkurangnya usia tiap hari, tak pula kita rasa sedih. Walhal harta yang hilang atau barang yang rosak boleh usaha cari balik sedangkan umur yang hilang, dah tak akan datang balik. Itu yang sepatutnya kita rasa sedih, rasa dukacita. Yang dah berlalu pagi tadi, tak dapat di-raih kembali masanya. 

2) Rezeki yang mereka dapat, jika halal alhamdulillah akan dibalas dengan baik di hari pengadilan nanti namun jika sebaliknya, akan dibalas dengan pembalasan yang tidak terperi sakitnya.  

3) Tak akan berlalu satu hari melainkan semakin mendekatkan mereka kepada kematian.  Dan mereka tak tahu bagaimana akhir mereka, samada syurga atau neraka.

Allah rahsiakan saat itu, kita tak tahu bila kita akan pergi. Kenapa Allah rahsiakan umur mati sehingga seorang pun tak tahu dia nak mati tahun berapa, bulan apa, hari apa dan jam berapa... Ini ada hikmah. Seandainya seseorang itu mengetahui batas usianya sedangkan usia yang ditentukan itu pendek, maka dia akan bersedih nak tunggu tarikh kematiannya.  Nak makan dah tak lalu, nak teruskan hari2 yang tinggal pun dah tak semangat lagi.  

Maka dek tak tahu batas umurnya, hatta dia nak mati esok pun, hari ini masih gembira sebab dia tak tahu. Manakala kalau yang tahu usia dia panjang pula, maka dia akan enjoy dulu puas-puas, ikut hawa nafsu, lupa pada ibadah sebab rasa lambat lagi akan mati. Pikir nanti dekat nak mati baru taubat.

Oleh itu sering2lah kita mintak pada Allah agar umur kita yang masih tersisa ini berlalu dalam ketaatan, agar nanti mampu beroleh kesudahan yang baik di akhir usia...InSyaaAllah. Berhati-hati gunakan umur kita di dunia ini kerana umur kita hakikatnya begitu singkat. Ubah sikap yang sekarang banyak leka dan lalai. Beralih jadi orang yang bersungguh2 memanfaatkan umurnya dengan banyak melakukan amal soleh. Dikatakan orang yang bijak itu ialah orang yang sentiasa memperbaiki akan dirinya dan beramal dengan amalan yang akan dibawa selepas mati. Moga Allah kurnia pengakhiran yang baik buat kita di akhirat nanti.. ameen.

Kata ustaz, antara amalan yang disebut dapat memanjangkan umur seseorang ialah dengan sentiasa cuba menggembirakan orang lain.  Paling tidak tunjukkan akhlak yang baik.  Senyum selalu. Bila dijemput, usaha ra'ikan jemputan orang. Bila ada yang ditimpa susah, ra'ikan dia, tolong apa jua yang termampu. Contoh: Pakat tolong mangsa banjir di Kuantan baru-baru ini. Sumbangan ikhlas walaupun sedikit InSyaaAllah akan ada nilaian nya di sisi Allah. 

Memetik kata-kata seorang ustaz yang ikut memperingatkan perkara yang sama di akhir tazkirah:

"Duduk baik-baik tuan-tuan...
Semua kita ada. Serba serbi kita ada... anak isteri, pekerjaan, tempat tinggal, kenderaan...
Maka datanglah ke rumah Allah. Kita nak mati tak tahu bila.  Allah tak kata, hang nanti sakit baru mati. Ada orang yang pergi tengok orang sakit, tup-tup dalam perjalanan balik, accident... Dia yang mati bukan orang yang sakit mati dulu. Allah tak bagi sebab, kalau Allah kata mati, matilah. 

Allah tak tentukan bila... masa kecik ke, masa sebelum baligh, dah baligh, masa muda, masa tua... kita tak tahu. Maka, kena ada bekal. Perbanyakkan bekal agar nanti dapat menolong kita di sana nanti.  Kita kalau kena sakit macamana sekalipun di dunia, bila dah mati maka dah tak ada sakit. Tapi bila kena sakit selepas mati, sakitnya akan terus berpanjangan.

Kehidupan di Syurga sangat cantik.... 
Hidup di dunia, makin hari makin tua sedangkan hidup di Syurga semakin hari semakin kuat, semakin hari semakin cantik..."

Wallahu a'alam.

**pautan:
Panjang Umur Dalam Ketaatan
Umur yang ada, pastikan berlalu dengan baik


Kasih Pada Allah

Bismillahirrahmanirrahim

Kasih kepada sesuatu itu ialah bilamana kita kenal akan ia. Begitulah ibaratnya pada menyatakan kasih pada Allah Taala di mana kasih pada Allah merupakan antara sifat yang terpuji. Ia sifat yang mulia, yang menyampaikan pada makrifat iaitu kenal Allah.  Siapa yang kita kasih ini? Yang Maha Kuasa. Sekuasa-kuasa kita, ada lemahnya.  Maka Allah lah yang Maha Kuasa. Jadi rasa hebat macammana sekalipun kita, jangan sombong. Jangan kita sombong sangat. Orang yang sombong, Allah hina.

Kasih pada Allah (sambungan dari sini), dapat menyampaikan kepada makrifat.. daripada kenal itulah datangnya kasih. Maka apapun ibadah, kosongkan hati. Niatkan... "diriku buat ibadah ini keranaMu ya Allah."  Buang riak, buang lalai, buang lara. Bila datang kasih, sanggup tinggal kelazatan dunia. Datanglah hujan ribut sekalipun, tetap ke rumah Allah.. kerana ada solat berjemaah.. ada mengaji...

Kasih pada Allah, kasih hingga kamu dikasih.  Jika hendak dikasih, kenalah mengasih.  Tanya diri kita, "hari ini berapa banyak sebut Allah? Hari ini zikir kita banyak mana?" Agar konsisten zikir, boleh ikut jadual zikir susunan Imam Ghazali mengikut hari. Contoh hari Isnin: La haula wala quwata illa billah.. Sebut Rasulullah, banyak hikmahnya.  Jadi kerapkan berselawat ke atas Rasulullah SAW,  berselawatlah sebanyak 1000x sehari. Istiqamah.

Kasih pada Allah sehingga kamu dikasih. Makan ingat Allah. Nak tidur ingat Allah. Nak masuk rumah ingat Allah. Nak naik kenderaan ingat Allah. Senang ingat Allah. Susah ingat Allah. Kaya ingat Allah. Miskin ingat Allah.  Jangan kita, bila dah kaya sikit dah lupa.  Dah sihat dari sakit, dah lupa. Dah dibagi kuasa sikit dah sombong.  Sebut selalu Allah, ingat selalu. Allah bagi rumah, bagi tempat tidur... banyak nikmat Allah bagi.  Jika kita lupa Allah, kita yang rugi.  Basahkan lidah ucap alhamdulillah terimakasih ya Allah. Jangan kita hanya rajin ucap terimakasih dengan orang saja. Kena banyak ucap terimakasih pada Allah.  

Yang kasih pada Allah, semua yang dapat dirasakan nikmat. Dapat duit, alhamdulillah. Hilang duit pun alhamdulillah. Itu contoh maqam wali Allah. Memang macam pelik, hilang duit pun terimakasih ya Allah. Namun jadilah orang yang pelik, jadi orang yang luar biasa bukan yang biasa-biasa. Biasa orang, tidur waktu malam.  Cuba kita jadi orang yang luar biasa... kita bangun malam, solat dua rakaat.  Biasa orang lalai, kita cuba jadi orang yang luar biasa dengan buat ibadah.  Jangan ikut jadi orang yang biasa lalai.

Luar biasa memang pelik. Sebab itu Allah kasih pada yang ganjil. Ganjil itu luarbiasa. Milikilah yang ganjil. Masuk masjid, pakai serban... nampak ganjil.. memang luar biasa. Masuk supermarket, pakai serban.. pakai jubah... nampak ganjil.. memang luar biasa.

Jangan kisah apa orang kata. Ini, nak buat baik sikit takut orang kata. Nak cari kasih Allah, jangan peduli apa orang kata.  Jangan rasa: "...ohh saya baru mengaji je, takkan dah nak terus pakai jubah serban... nanti apa orang kata..." Selama ini duduk dedah aurat, tak rasa pulak nanti apa orang kata. Sepatutnya yang itulah takut orang kata.

"Betapalah kita ini tuan-tuan...", kata ustaz.  "Kadang tahu.. contoh dalam bab nikah kawin: 'Pakcik tahu bersanding tu tak boleh... tapi nanti apa pulak orang kata kalau anak tak bersanding...' Tapi yang hairannya, anak tak pakai tudung, tak malu pulak nanti apa orang kata...."

Nak tunggu orang tak kata, memang tak habis lah.  Buat jahat pun orang kata, buat baik pun orang kata. Jadi elok buat baiklah kalau begitu... Buat baik, balasan baik InsyaAllah. Kalau nak redha Allah,  jangan putus asa, teruskan tetap buat kerja agama, ikut syariat. Peduli lah apa orang nak kata. Jadi ganjil.

Jangan nak terus kekal dalam tak tahu.  Ubah diri untuk lebih tahu.  Jangan kiranya bila panggil ustaz datang mengajar, hanya mintak ajar bab solat semata-mata contohnya.  Dah pesan siap-siap dekat ustaz agar ustaz tak sentuh bab hukum. Risau nanti kalau ustaz sebut pasal hukum, semua sensitif, rasa kena batang hidung sendiri. Jadi sanggup kekal jadi orang yang tak tahu. Tak mahu berubah jadi makin elok.. lebih selesa duduk dalam jahil, sedangkan umur ada yang dah dekat 70....

Maka kata ustaz...suluh lah diri masing-masing.. usaha perbaiki amalan selagi kita masih diberi peluang.  Ingat dalam hati tu, kita nak cari redha Allah...
Wallahu a'alam.

Jahit Kain Lap Tangan

Alhamdulillah, ada minat menjahit. Jadi banyak kain-kain terpakai kat rumah saya manafaatkan balik dengan modify buat barang yang boleh diguna balik. Tuala-tuala lama yang ada koyak dan bertahi lalat sikit-sikit tu sayang nak buang.

Nak letak macam tu je buat pelapik kaki nampak tak cantik pulak. Jadi saya potong dan jahit buat pelapik kaki yang proper. Cantik jadinya alhamdulillah. Anak saya bawak ke hostel sampai dua, satu letak kat pintu masuk bilik; satu lagi letak bawah meja study. 

Kain tuala yang lama-lama ni jangan lah dibuang..banyak gunanya.  Sangat bermanafaat untuk diguna pakai sekurang-kurangnya boleh dipotong kecil2 buat kain lap kat dapur ie untuk lap sinki dan tempat masak. Tak payah dah nak beli tuala 'good morning' yang nipis tu. Tuala lama kita lagi tebal dan elok kainnya.

En suami, lepas basuh tangan mesti pergi lap tangan kat kain lap yang saya gantung kat kabinet tepi peti-ais. T-shirt anak-anak yang masih elok tapi dah tak muat, saya gunting2 modify buat kain lap tangan.  Alhamdulillah,hasilnya boleh tahan cantek..he he

.


Ini kain pemegang periuk.. :)


Jom kita jahit sendiri.. Kain untuk lap tangan saya lapik 3 helai setiap satu, kain untuk pemegang periuk dilapiskan dengan berhelai-helai kain ditambah dengan sekeping span nipis. Manakala tuala pelapik kaki pula dilapis dua helai towel setiap satu... :)) untuk projek ini seeloknya pakai jarum mesin yang baik punya(boleh tanya kat kedai) bukan made in China, jadi jarumnya tak mudah patah.


Wassalam.

Sabar Dalam Mentaati Allah

Bismillahirrahmanirrahim

Bersyukur kita dengan kasih sayang Allah yang dari-Nya di anugerahkan nikmat yang tidak terhingga iaitu nikmat Iman dan Islam yang tidak ternilai harganya buat diri kita. Alhamdulillah bersyukur kita dengan nikmat tergolong menjadi umat Nabi Muhammad SAW yang dengannya kita beroleh keistimewaan, moga kita termasuk di kalangan umat Rasulullah SAW yang akan beroleh syafaat...ameen.. 

Begitu juga dengan nikmat ibadah yang kita miliki hari ini di mana alhamdulillah Allah memilih kita menjadi orang-orang yang terpilih untuk berada di rumah Allah, rumah yang bersih lagi mulia. Yang bila duduk di dalamnya, InsyaAllah sudah mendapat pahala. Ada orang yang rumahnya dekat dengan masjid namun tidak terpilih, maka tak datang lah dia ke rumah Allah ini. Sentiasa doa agar Allah pilih kita.. ameen

Kita menjadi tetamu Allah, maka jangan sampai kita tak beroleh jamuan Allah. 
Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa pergi ke masjid di waktu pagi dan petang Allah SWT akan menyiapkan hidangan sebagai tetamuNya di dalam syurga. Setiap kali dia datang pagi atau petang dia akan dilayaniNya sebagai tetamuNya. 
(HR Bukhari)

Moga-moga kasih kita pada rumah Allah ini, damping kita pada rumah Allah ini dan cinta kita pada rumah Allah ini akan pastikan kita keluar darinya dengan membawa hasil.  Jangan kiranya bila keluar dari rumah Allah, tidak menjadi semakin baik. Dunia, nafsu, syaitan dan makhluk merupakan halangan buat kita dalam usaha menunaikan perintah Allah. Maka kena bermujahadah lawan sungguh-sungguh.  

Semasa ibadah, jangan nak cepat siap.  Sabar sehingga selesai ibadah.  Sabar bermula dari sebelum ibadah, pertengahan ibadah sehinggalah selesai ibadah. 
Contoh: Kita nak bangun tahajjud. 
1)Cabaran sebelum dapat bangun ibadah: Nafsu kata, "..sejuk lah nak ambik wudhuk. Badan penat, rehat lah.. tidur kena cukup". Syaitan kata, "tidurlah,,tidur,, esok boleh bangun, malam ni cuti." Isteri pulak mewakili makhluk kata, "..alahh tak payah bangun la bang.. tidur eh.." 
2)Cabaran di pertengahan ibadah: Cepat-cepat solat... nak segera siap sebab nak masuk sambung tidur. Nafsu memujuk; syaitan pula sentiasa mencari ruang, hasut.
3)Cabaran bila selesai ibadah: Tak dapat tahan nafsu dari menzahirkan ibadah. Tahanlah nafsu kita biar orang tak tahu pun ibadah kita.  Jangan nak orang tahu, jangan pergi bukak cerita pasal kita semalam solat tahajjud.  Jika begitu, tidak lain hanya akan menimbulkan riak kelakuan dan riak sifat selepas berjaya buat ibadah. Memadailah Allah yang tahu kita melakukannya. Memadailah Allah yang menyaksi.  

Jika mampu melalui 3 peringkat itu dengan sabar, InsyaAllah dikira luluslah kita.  InsyaAllah termasuklah kita di kalangan orang-orang yang sabar dalam mentaati Allah..ameen..

Ingat diri sebagai hamba Allah. Bermujahadahlah kita merentas halangan dalam usaha mentaati Allah. Ingat bahawa kita nak cari redha Allah. Nak dapat masuk ke Syurga Allah bukan senang-senang begitu saja. Ia memerlukan pengorbanan. Maka selagi ada peluang buat amal kebaikan, kita rebutlah. Kata-kata ustaz di akhir tazkirah melekat di fikiran..."Jika pasal dunia kita boleh bersusah payah, takkan untuk akhirat kita tak boleh bersusah payah.  Sedangkan dunia untuk ditinggal manakala akhirat itulah yang nak kita bawa..."


Dari Anas bin Malik r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasullullah SAW bersabda: Tiga perkara akan mengikuti mayat. Dua akan kembali dan tinggal yang satu. Akan mengikutinya (ke kubur) ahli keluarganya, hartanya dan amalannya. Kemudian harta dan ahli keluarganya akan kembali, tinggallah bersamanya amalannya. (HR Muslim)

Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah s.a.w ada bersabda yang bermaksud: “Apabila seorang mati, putuslah amalannya kecuali tiga perkara, (iaitu): Sedekah jariah, ilmu yang memberi faedah kepada orang lain dan anak yang soleh yang berdoa untuknya.” (HR Muslim)



Wallahu a'lam.



Kek Coklat atau Kek Shukulatah

"Sedapnya dapat bekfes kek shukulatah pagi-pagi ni...lazizzz"

Kak ngah pagi-pagi tadi dah whatsapp. Member dah Level Two (Intermediate) Kursus Intensif Bahasa Arab, itu yang selalu terkeluar perkataan Arab tiapkali bersms/ber-whatsapp dengan kami-kami yang tak brapa nak pandai Arab ni.. he he

Kek Shukulatah tu kek Coklat dalam bahasa Arab. Hari tu dah buatkan sebiji kek shukulatah buat ustaz kelas Arabnya sempena befday ustaz. Ustaz orang Mesir, hensem kata kak ngah.. semua satu kelas suka sangat bila tiba time kelas Arab.. ha ha..
Kak ngah bersama 10 orang rakannya masuk private-class Bahasa Arab yang di luar requirement kuliah, kena bayar RM130 untuk satu-satu level. Ada tiga level kesemuanya, kak ngah sekarang di level two. Impian kak ngah hanya satu, mantapkan skill bahasa Arab tujuan untuk faham al-Quran, kalam Allah...InShaaAllah.

Kek Coklat yang kak ngah makan tu, saya kirim melalui en suami  yang nak ke ofis.  Dah whatsapp kak ngah siap2 suruh standby..."Mama kirim choc cake skali ngan rambutan tu.  Karang papa singgah anta eh..mama doa kak ngah sntiasa dlm pemeliharaan Allah Taala.."

"Ameen... waiyyaki ya ummi (n for u too my mother)', balas kak ngah.

Memang kerap jugak la buat kek coklat dan kek yang mana senang2 tu untuk bekalan anak-anak di asrama.  Kesian pulak, asyik supply biskut kering je kat deorang untuk wat cicah dengan teh-O, itu yang kadang selang-seli kan dengan kiriman kek coklat dan juga muffin.  
Meh kita tengok resepi...
VERY MOIST CHOCOLATE CAKE
2 cawan tepung gandum serbaguna (cap kunci/blue key)
2 cawan gula (tak payah mesin pun takpe, saya guna gula kasar je)
3/4 cawan koko powder
2 sudu kecil baking soda
1 sudu kecil baking powder
1 sudu kecil garam
1 cawan minyak masak(mazola/sunflower)
1 cawan air mendidih
1 cawan susu cair + sesudu besar cuka makan(perapkan 5 - 10 minit)
2 biji telor saiz A
1 sudu kecil vanilla

Panaskan oven beserta loyang yang dah disapu margerin, 175' 
Campur semua bahan kecuali air panas ke dalam satu mangkuk besar.
Pukul selama seminit.
Kemudian masukkan air panas mendidih.
Pukul lagi selama seminit.
Bakarlah selama lebihkurang 45 minit. (Macam saya, saya bahagikan adunan pada 4 loyang kecil, jadi dalam setengah jam alhamdulillah dah masak). 

Untuk topping:
3/4 cawan koko powder
3/4 cawan susu pekat
satu sudu besar margerin

Kacau rata kesemuanya kemudian masak sambil dikacau-kacau selama 5 minit.
Tabur badam yang dah panggang atas topping coklat.
.................................

Resepi kek coklat yang sangat moist ini sering saya ulang buat, senang pakai sukat cawan je.. Sebelum ini saya sering pakai resepi kek coklat chef wan, samada Kek Coklat Amerika atau satu lagi Rehrucken Coklat... kedua-duanya pun sedap juga. Tapi sekarang nak mudah kerja, tak ambik banyak masa pakai resepi yang kat atas ni je.. Kek ini memang sangat moist, hari kedua lagi lah moist. Anak-anak dan en suami suka, kalau buat sekejap je abes... alhamdulillah :)

Lepas cerita pasal kek coklat, 
..jom kita belajar bahasa Arab pulak...:))

Bergantung Harap Pada Allah

Alhamdulillah bersempena dengan kedatangan tahun baru 1435H, beralih tukar pakai beg telekung baru. Amat praktikal, begnya nampak macam kecik tak besar mana tapi boleh muat macam-macam. Bukan sekadar dapat isi kain telekung sembahyang tapi dengan buku nota, dengan botol air, dengan purse, hanfon..semua dapat masuk sekali.

Beg telekung kena letak di depan kita masa solat untuk elakkan kejadian yang tak di-ingini berlaku. Dua tiga orang rakan jemaah dah pernah kehilangan beg semasa sedang solat. Kesemua mereka terlupa nak letakkan beg kat depan, jadi selepas solat berpaling tengok beg dah tak ada. Dua orang rakan saya hilang beg semasa solat Suboh manakala seorang lagi kehilangan begnya masa semua sedang solat berjemaah Maghrib.

Jadi sebaiknya, kita letaklah beg telekung terutamanya 'beg tangan' kat depan ketika kita solat sebagai ikhtiar kita.  Selebihnya kita berserah pada Allah Taala.
........................

Para ustaz sering mengingatkan agar kita jangan sesekali melupakan syukur kepada Allah. Sentiasalah ucap Alhamdulillah. Bila dapat nikmat, dapat kebaikan, banyakkan syukur. Bila dapat musibah, rujuk pada Allah. Kenal pada siapa yang uji kita. Kalau kita tak sabar, bermakna kita tak kenal siapa yang uji kita. Sedar hakikat, Allah yang kita kasih yang uji kita. Kalau Allah sayang, orang itu akan di-uji-Nya. 


Dari Abu Said Al-Khudri r.a dan Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Tiada seorang muslim yang ditimpa musibah, keletihan, sakit, terganggu fikirannya, sedih, bimbang, kecemasan sehingga tercucuk dengan duri sekali pun melainkan diampuni akan dosa-dosanya. (HR Bukhari)

Kalau dapat nikmat, syukur alhamdulillah. Kalau yang datang itu mudarat, kita berlindung dengan Allah. Minta tolong pada Allah, Allah saja yang boleh tolong kita bila dapat kesusahan.

Dari sejak azali lagi, Allah dah tentukan baik buruk, nikmat dan bala semua datang dari Allah. Pandang dengan matahati, Allah dah tentukan siap2. Kena berkeyakinan dengan takdir Allah yang azali itu. Ingat bahawa, kadang sesuatu yang kita rasa baik untuk kita, sebenarnya buruk untuk kita. Sebaliknya, kadang yang kita benci, sebenarnya itu yang baik untuk kita.

Orang yang yakin dengan Allah,, kalau meniaga tak untung, dia macam tu juga..tak terugah apa-apa. Dia terima. Tidak rasa dukacita atau pun gundah gulana. Allah tetapkan sesuatu itu tak perlu ada sebab. Allah nak bagi untung, maka untung lah. Allah nak bagi rugi, maka rugi lah.

Oleh itu, jangan kita putus asa, jangan kita kecewa. Bergantunglah pada Allah. Harap pada Allah. Jika kita bergantung pada kerja kita, kalau tak dapat apa yang di-inginkan, kita akan kecewa.  Sebaliknya kalau dapat apa yang di-hajat, kita akan jadi sombong sebab rasa ini sebab aku, hasil usaha aku, aku..aku dan aku. Namun jika sedar semua dari Allah, kita pasrah terhadap apa jua yang berlaku. Sedar semua dalam perkiraan Allah. Maka tak akan timbul kecewa sebab kita bergantung pada Allah.

Dalam perjuangan contohnya, ustaz beri fakta bahawa, sesuatu perjuangan itu memerlukan masa yang panjang. Bukan senang2 boleh dicapai. Ia mesti melalui proses. Ketahuilah bahawa, suatu kezaliman itu walaupun mengambil masa yang panjang, namun ia tidak akan lama bertahan. Bergantung haraplah kita pada Allah.

Yakin pada takdir, sakit demam itu biasa saja. Ditimpa ujian sedikit sebanyak jangan sampai jejaskan iman. Bila pandang semuanya dari Allah, hati jadi suka. Ibarat kita pandu kereta, jika jalan lurus je tiada selekoh, akan buat kita terleka. Sebaliknya jika sesekali ada selekoh, ada lembu melintas misalnya, maka pemanduan kita akan jadi segar dan ceria, tak mengantuk.

Bergantung haraplah kita pada Allah. Banyakkan bersujud pada Allah. Kata ustaz, takkala sujud, kita letak muka kita yang mulia ini ditempat yang kita sering pijak.  Penglihatan kita, pendengaran kita semua ikut sujud pada Allah.. Subhanallah..

Ibadah, jika kita sering buat, kita akan jadi sayang sangat pada nya. Rasa rugi kalau biarkan masa berlalu sia-sia. Sebab itu lah kata ustaz, jika kita tengok orang-orang yang dah tua masih sanggup habiskan masa bersembang di kedai kopi, kita jadi hairan. Ada juga yang masih sanggup pakai seluar sampai paras lutut sahaja sedangkan hakikatnya... dunia ini sudah berada di penghujung persada. Kematian semakin hampir. Ingat bahawa, selepas ini perjalanan sangat jauh, jadi bekal kena banyak...

Wallahu'alam.



Ustaz Azhar Idrus di Masjid Country Home


Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah semalam berpeluang untuk duduk dalam majlis ilmu Ustaz Azhar Idrus di Masjid Cahaya Iman, Country Home, Rawang, Selangor.

Alhamdulillah sebelum itu di sebelah paginya tak lepaskan peluang untuk tumpang sekaki menwar-warkan tentang Kuliah Maghrib bersama Ustaz Azhar itu dengan menghantar sms kepada 28 orang teman. Dari jumlah tersebut hanya 8 orang yang sudi reply..tq

Saya duduk kat tingkat atas. Boleh tahan ramai jemaah yang hadir..jelas ramai yang cinta ilmu. Kuliah ustaz seperti yang kita sedia maklum sentiasa melimpah odien-nya, alhamdulillah. Tak sangka pula dalam tengah ramai-ramai tu ditakdirkan dapat jumpa makcik Siah, rakan masjid saya. Kami pun apa lagi, segera mencari port yang selesa untuk duduk mendengar tazkirah selepas solat. Dapat tempat yang boleh direct nampak ustaz.. untong laa :)

Ustaz semalam perjelaskan tentang perkara-perkara yang boleh membatallkan/ merosakkan wudhuk.  Ada empat perkara yang membuat terbatalnya wudhuk, iaitu:
1) keluar sesuatu dari dua jalan iaitu jalan hadapan dan jalan belakang
2) hilang ingatan termasuklah oleh sebab hilang akal(gila), tidur, terlelap, pengsan, pitam dan sebagainya
3) sentuh lelaki dan perempuan yang bukan muhrim(yang sah nikah)
4) sentuh kemaluan dengan tapak tangan.

Panjang lebar ustad jelaskan perkara itu, sebelum bermula sesi menjawab soalan, alhamdulillah insyaAllah rasanya beroleh kefahaman semua yang mendengar.. syukur alhamdulillah.


Wallahu'alam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...