Hikmah Memperbanyak Puasa

Hendaklah kita memperbanyak puasa pada bila-bila masa saja. Sebab puasa itu merupakan salah satu cara yang berkesan dalam mendidik diri, mematahkankan kehendak hawanafsu, menerangkan dan melembutkan hati, mengawal semua anggota badan dan meluruskan serta mencergaskannya untuk melakukan ibadat. Dalam mengerjakan puasa itu akan mendapat pahala yang besar dan ganjaran yang mulia, yang tidak dapat dikira atau dibataskan.

Tiap-tiap amal ibadat yang kita kerjakan itu ada had dan batasnya tentang pahalanya, kecuali puasa saja. Maka pahalanya tidak dapat ditentukan dengan kadar yang tertentu, ataupun dibataskan sampai sekian dan sekian.

Sabda Rasulullah s.a.w:
"Setiap amal anak Adam, diperlipat-ganda pahalanya sepuluh kali ganda seumpamanya. Berkata Allah Ta'ala; Kecuali puasa, maka amal itu adalah untuk Ku, dan Aku sendiri akan membalasnya. Dia(orang yang berpuasa itu) telah meninggalkan makan, minum dan menahan syahwatnya keranaKu. Orang yang berpuasa itu ada dua kegembiraan: Kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika bertemu dengan Tuhan. Adalah bau mulut orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah daripada bau-bauan minyak kasturi."

Cubalah renungkan firman Allah dalam potongan Hadis di atas iaitu: kecuali puasa, maka amal itu adalah untukKu, dan Aku sendiri akan membalasnya. Cuba telitikan janji yang mutlak dari Tuhan yang Maha Mulia, Maha Murah hati dan Maha Belas-kasihan. Kemudian renungkan pula maksud bau mulut orang yang berpuasa itu adalah lebih harum di sisi Allah daripada bau-bauan minyak kasturi. Gambarkan betapa bau mulut itu dipandang lebih harum di sisi Allah Ta'ala.

Lantaran kelebihan bau mulut dan keutamaannya di sisi Allah Ta'ala, maka dihukumkan makruh bagi orang yang berpuasa bersiwak(bersugi) selepas matahari tergelincir hingga waktu berbuka puasa, sebeb bersiwak itu akan menghilangkan bau mulut ataupun mengurangkan baunya.

Rasulullah s.a.w bersabda:
"Dalam syurga ada suatu pintu dinamakan Raiyaan, tiada dibenarkan masuk menerusinya kecuali orang-orang yang berpuasa saja. Apabila mereka sekelian telah masuk, pintu itu ditutup."

Sabdanya lagi:
"Puasa itu setengah sabar. Bagi tiap-tiap perkara ada zakatnya dan zakatnya badan ialah puasa."

Sabdanya lagi:
"Puasa itu adalah pelindung dan benteng yang kukuh dari api neraka."

sumber dari:
Kitab Nasihat Agama dan Wasiat Imam
m/s 186 - 187
karangan Imam Habib Abdullah Haddad


~Selamat Beramal. Sama-sama perbaiki amalan dan tingkatkan ibadah bermula Rejab. Nawaitu kerana Allah~

1 comment:

  1. Rejab sudah mari
    Apa lagi di tunggu
    Jom tingkatkan iman dan amalan.

    ReplyDelete