Nama Yang Baik

Alhamdulillah kita dah sampai di penghujung Rejab dan jika ada umur kita akan melalui pula bulan Syaaban, InsyaAllah.

Allahummabariklana fi Rajaba wa Syaabana wabaligna Ramadhan.
"Ya Allah berkatilah kami di bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan... aminnn"


Semalam berpeluang sekali lagi ikut kuliah yang disampaikan oleh seorang ustaz yang masih muda belia. Nampak macam sebaya anak-anak saya, masih muda orangnya tapi ilmu beliau.. masyaAllah. Sesuai dengan jiwa yang masih segar, maka penyampaian kuliah juga segar. Sungguh mencerna minda, alhamdulillah. Perkataan seperti metodologi dan manhaj penulisan diguna-pakai sebagai rencah kalimat, isu-isu semasa dijadikan contoh dalam kupasan perkara yang berkaitan. Alhamdulillah, semakin ramai ustaz pelapis yang tampil dalam usaha dakwah memberi pencerahan kepada masyarakat. Berpesan-pesan dan mengajak kepada kebaikan serta mengajak menjauhi keburukan.


Antara yang menarik untuk dikongsi, ialah berkenaan dengan nama. Bagilah nama yang indah buat anak-anak kita. Teringat semasa ikut mendengar tentang isu Gaza baru-baru ini, ustaz yang baru pulang dari sana menceritakan satu kisah menarik. Sepasang suami-isteri yang sudah berusia telah kehilangan 3 orang anak-anaknya yang dewasa.. Kesemuanya syahid dalam menentang kezaliman zionis laknatullah. Tetapi dengan izin Allah, setelah kehilangan ketiga-tiganya, mereka telah dikurniakan lagi dengan 3 orang anak yang lain. Memang suatu keajaiban kerana mereka pasangan yang telah melewati tahap usia yang kalau dikira logik tentunya tidak mungkin lagi mempunyai anak-anak kecil. Tapi kuasa Allah mengatasi segalanya. Anak-anak itu lalu diberi nama abang-abang mereka yang telah syahid..Subhanallah. Para syuhada' memang menjadi kebanggaan penduduk palestin. Bagi mengenang mereka yang syahid, maka ramailah yang menamakan bayi-bayi yang baru lahir dengan nama para syuhada'....Subhanallah.

Berbalik soal nama dalam kuliah malam tadi, ustaz memberi pesanan agar elok dielakkan meletakkan nama-nama yang tidak jelas maksudnya kepada anak2 yang baru lahir. Contoh nama Masyitoh misalnya. Seperti yang kita ketahui, nama Masyitoh dikatakan suatu nama yang baik sempena nama seseorang yang beriman iaitu pengasuh kepada anak Firaun. Tetapi kata ustaz, Masyitoh sebenarnya bermakna tukang sisir rambut bukan nama sebenar orang yang menjadi pengasuh anak firaun itu. Seseorang yang jadi tukang sisir rambut ialah masyitoh. Jadi kita tentu tidak mahu nama anak kita bermaksud tukang sisir rambut. Maka jika ada yang berkira-kira untuk buboh nama anaknya Masyitoh, kata ustaz eloklah fikir banyak kali, elok dicari nama lain yang lebih sesuai dan lebih baik maksudnya.

Dan satu lagi jika ingin buboh nama isteri Rasulullah s.a.w iaitu Aisyah ra dengan nama Humaira iaitu gelaran Rasulullah s.a.w kepada Aishah, maka kata ustaz, eloklah mengambil nama Aisyah itu sendiri dan bukannya humaira kerana humaira adalah gelaran Rasulullah s.a.w buat Aishah yang bermaksud 'yang puteh kemerah-merahan'. Jadi katalah anak kita yang kulit tak berapa puteh diletakkan dengan nama humaira, jelas tidak sesuai.. kata ustaz. Wallahu'alam.

Contoh nama2 yang baik lainnya termasuklah nama puteri2 Rasulullah s.a.w, cucu Rasulullah s.a.w, para sahabat ra yang memperjuangkan Islam di zaman Rasulullah saw serta tokoh-tokoh ilmuan Islam.


Selepas kuliah berakhir, sebelum bangun untuk solat Isyak, ustaz mengingatkan tentang Qunut Nazilah yang akan dibaca di dalam solat bagi memohon pertolongan Allah terhadap keganasan yang sedang berlaku di Syria sekarang ini. Sama-sama kita berdoa agar Allah memberi perlindungan dan bantuan kepada rakyat Syria yang sedang dizalimi... Ya Allah bantulah umat Islam di sana... amin ya rabbal 'alamin..


1 comment:

  1. InsyaAllah kekejaman pemimpin di Syria akan dihancurkan Allah jua, namun ia perlukan pengorbanan dan mujahadah. Semoga kebangkitan rakyat Syria terus menjadi lilin yg membesar menjadi obor yang membakar segala kemungkaran. KIta panjatkan doa dan bantuan semampunya kpd mereka.

    ReplyDelete