Surah Yasin Ayat 33


 Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah hari ini Jumaat, 2 Syaaban.
Malam tadi ustaz sambung kupasan tafsir Surah Yasin ayat 33.
 

[33]
Dan dalil yang terang untuk mereka (memahami kekuasaan dan kemurahan kami), ialah bumi yang mati; kami hidupkan dia serta kami keluarkan daripadanya biji-bijian, maka daripada biji-bijian itu mereka makan.

Dalam ayat ini Allah guna perkataan tanda iaitu dalil yang merujuk kepada sesuatu yang pelik Allah nak cerita. Allah nak tunjuk satu peristiwa di mana bumi yang mati dan kering kontang, Allah boleh hidupkan semula.

Dalam surah az-Zalzalah Allah berfirman dalam ayat 1 dan 2; yang bermaksud,
[1] Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya,[2] Serta bumi itu mengeluarkan segala isinya,

Maka, sebagaimana Allah boleh suburkan semula tanah yang sudah mati dan kering kontang, begitu lah juga halnya dengan manusia yang sudah mati, Allah berkuasa menghidupkannya semula.

Analoginya bila angin bertiup, kita dapat merasa adanya angin walaupun tak nampak angin itu. Kita mencari angin itupun dah terbukti adanya angin. Begitu lah firman Allah melalui dalil-dalilNya. Maka ambik pengajaran dari apa yang berlaku. Lihat bagaimana biji benih yang kering kontang boleh menumbuhkan anak pokok. Allah hidupkan tanah yang telah mati lalu Allah keluarkan dari biji-bijian itu hasil yang menjadi sumber makanan manusia.

Dikatakan, manusia yang berada dalam keadaan kering kontang (contoh dalam situasi ketiadaan/kekurangan air misalnya) apabila membaca ayat ini (Surah Yasin ayat 33), InsyaAllah dia akan merasa tenang.

Tetapi wajib yakin dan percaya bahawa kalau Allah tak izinkan, tak akan tumbuh pokok walaupun manusia telah menanam biji benih pada tanah yang subur, cukup baja, cukup air dan cukup cahaya matahari. Semua perkara bergantung dan berlaku dengan izin Allah.

Jika manusia memperhatikan dan meneliti dengan penuh makna, maka mereka dapat mengambil hikmah dan pengajaran bahawa Allah Maha Berkuasa menghidupkan kembali manusia dan akan menghisab segala amalan yang mereka kerjakan selama berada di atas mukabumi serta akan memberi pembalasan yang setimpal ke atas mereka.

Wallahu'alam.

No comments:

Post a Comment