Sifat Mazmumah Yang Bersarang

...lagi bicara soal hati...

Ustaz sambung baca kitab tasawuf yang membariskan pelbagai sifat mazmumah. Disebut contoh hanya 10 sifat sahaja, sedangkan kata ustaz para ulamak sebut ada lebihkurang 10,000 sifat mazmumah kesemuanya.. wallahu'alam.


Ilmu tentang ujub, takkabur, tamak haloba, marah, dendam, kesumat, bermusuhan, bakhil, bermanis-manis(manis hanya pada zahir), suka menipu adalah antara sifat mazmumah yang mungkin ada bersarang dalam diri kita. Ilmu tentang sifat-sifat itu, begitu juga dengan ilmu tentang sifat-sifat mahmudah seperti ikhlas, bercakap benar dan sebagainya adalah merupakan fardhu ain bagi kita. Kalau orang lain yang datang mengaji, maka orang lain lah yang tahu. Kita yang tak mengaji, tak tahu.

Perlu kenal sifat-sifat tersebut. Kalau tak kenal, jawabnya kita tak pasti macamana rupanya sifat tersebut.
Kalau tak kenal riak misalnya, kita akan terus biarkan ia sebati dalam diri tanpa disedari. Oleh itu kena belajar sebagai fardhu ain, masing-masing wajib mempelajarinya.

Setiap manusia pada hakikatnya tidak dapat berpisah dari sifat-sifat ini. Tak ada banyak pun, sikit pasti ada. Tak boleh ukur dari segi zahir. Ia ada dalam diri, dalam hati. Ibarat orang yang gemuk badannya tak semestinya dia gembira walaupun badannya gemuk. Begitu juga bila kita tengok orang yang berbadan kecil tidak semestinya dia kurang selera makan. Ada yang makan banyak tapi badan kecil, ada yang makan sikit tapi badan besar. Ada orang yang berselera makan walaupun hidup sentiasa stress, namun ada yang tidak begitu berselera walaupun hidup tenang tanpa stress. Maknanya, tak boleh mengukur setiap individu melalui keadaan zahir/luarannya.

Begitulah juga tentang persoalan hati, tidak dapat di-agak apa yang ada dalam hati dan fikiran seseorang. Segala macam sifat boleh saja ada dalam diri kita. Namun, perlu di ingat bahawa jika ada sedikit hasad saja pun dalam hati kita, ianya sudah mampu membinasakan pahala kebajikan yang kita kerjakan.


Maka sebab itu, kena ada guru yang bimbing. Kena mengaji tasawuf untuk suluh diri, dapat tengok samada ada atau tidak sifat-sifat tersebut dalam diri kita. Mengaji tasawuf bukan untuk selidik orang lain, tapi untuk semak diri kita sendiri samada kita ini membawa sifat takabbur, bakhil dan lain2 sifat mazmumah atau adakah kita membawa sifat mahmudah iaitu tawadhuk, ikhlas dan sebagainya.

Bila dah kenalpasti sifat mazmumah yang ada, maka kita akan tahu macamana nak buang bilamana mengaji. Kena ada ilmu untuk buang sifat mazmumah. Membuang sifat-sifat mazmumah ini adalah fardhu ain. Tak mungkin dapat ikhtiar buang sifat-sifat ini jika tak tahu apa dia sifat-sifat tersebut. Bila tak ada ilmu tentang ini, kita akan assume semua ok, kita rasa kita betul je, tak ada salah apa-apa.


Antara golongan yang menghuni neraka ialah orang-orang yang fakir ilmu. Jelas ustaz, mereka masuk neraka bukan sebab tiada harta tapi sebab tiada ilmu. Mereka semasa di dunia gemar beribadat tapi malangnya tiada ilmu. Maka ibadah yang dikerjakan tanpa berlandaskan ilmu hanyalah sia-sia dan dikhuatiri tiada nilaiannya di sisi Allah. Kita mungkin rasa ibadah kita elok, cantik... tapi sayangnya dalam hati kita penuh dengan kekotoran, kita mungkin rasa diri dekat dengan Allah tapi hakikatnya kita jauh dari rahmat Allah kerana hati karat diselaputi sifat mazmumah... nauzubillah.

Kita solat, tapi kekadang terbabas juga solat di hujung waktu. Contoh tidur belum masuk asar, dekat nak Maghrib baru tersedar... masa tu baru kelam-kabut nak solat Asar. Kita boleh pulak bangun malam untuk perkara dunia, tapi kita tak larat nak bangun malam untuk dekatkan diri dengan Allah. Falsafah hidup kita kuat untuk perkara dunia.

Di situ jelas betapa rapuhnya iman kita.. dengan kata lain iman ibarat senipis kulit bawang. Untuk perkara sebegitu saja, iman kita sudah rapuh. Belum lagi jika kita di-uji dengan dugaan-dugaan berat yang mana akan membuat kita tak lena tidur. Bagaimana kita nak mampu hadapi ujian yang berat dengan kedudukan iman yang ditahap rapuh itu... ? wallahu'alam.


Sebab itulah kata ustaz, eloklah kita sentiasa berdoa dengan doa ini, "Ya Allah janganlah kau duga aku dengan dugaan yang tidak dapat aku tanggung..." Sebagaimana dalam firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 286:

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir”.

Moga dengan rahmat dan keampunan Allah, kita terlepas dari ujian yang tidak mampu kita hadapi... aminn

Perbanyakkan ibadah kepada Allah, berdoa, mohon di-ampunkan dosa, sentiasa gandakan usaha beramal-soleh kerana sesungguhnya sebagaimana firman Allah dalam hadis qudsi yang bermaksud:

“Sesiapa yang datang kepadaku sejengkal, nescaya Aku akan datang padanya sehasta. Jika dia datang padaKu sehasta, nescaya aku akan datang padanya lebih dari itu. Jika dia datang berjalan kaki nescaya Aku datang padanya berlari-lari. Jika datang dia dengan dosa yang banyak nescaya Aku akan ampunkan mereka selagi mereka tidak menyekutukan Aku.”

Ustaz selitkan kata-kata Imam Hassan al-Basri yang menyebut, "... tapi kamu banyak berpaling dari Allah. Sebaliknya kamu berpaling ke arah harta benda,pangkat dan anak isteri kamu. Sesungguhnya kamu orang yang paling bodoh, sesungguhnya kamu orang yang paling rugi sekali. Maka sedarlah kamu dari kelalaian kamu kerana sesungguhnya kamu hanya tinggal beberapa hari saja lagi. Apabila berlalu hari/bulan/tahun bermakna sebahagian dari dirimu telah berlalu pergi..." Wallahu'alam.

Kita mungkin rasa kita sihat, dengan keadaan kesihatan yang tak nampak terjejas kita sangka kita mungkin akan mati sekitar usia 70 tahun. Tapi ajal sampai sebelum sempat kita pencen lagi. Hasrat yang sentiasa bertangguh-tangguh untuk mengaji contoh nanti lepas pencen baru nak datang mengaji, tak kesampaian.

Kata pepatah menyebut, sesiapa yang tidak tahu ada keburukan di hadapannya contoh ada satu lubang menantinya di hadapan, maka dia akan terjerumus jatuh ke dalam lubang tersebut. Jadi usahalah jadi orang yang tahu apa yang akan menunggu kita di kemudian hari.

Carilah mursyid/guru untuk membantu kita mendapatkan ilmu. Ambil pelajaran dari beliau. Belajar dan tuntut ilmu agar dapat mengenal perkara haq dan batil. Bila berilmu, walau rasa amal sempurna, namun tetap akan sedar banyak lagi perkara yang perlu diperbaiki.


Perbetulkan sikap dalam usaha mengurangkan sifat mazmumah yang bersarang dalam diri. Kita yang mungkin secara tak sedar telah membuat pelbagai andaian sendiri terhadap insan lain... kita rajin berburuk sangka kata orang itu tak baik, kata orang itu begini kata orang itu begitu, kita pilih hanya yang kita rasa baik saja baru nak berkawan sedangkan yang kita andaikan tak baik kita tinggal, tak nak jadikan kawan. Boleh jadi orang-orang yang kita andaikan tak baik itu lebih mulia dari kita terutamanya di sisi Allah. Boleh jadi juga diri kita ini lebih hina lagi dari orang yang kita pandang rendah selama ini... nauzubillah...

Maka kata ustaz, berhati-hatilah... perbetulkan sikap kita jangan sampai sifat mazmumah yang bersarang menjadi sebati lalu mendarah daging selama-lamanya dalam diri kita.


Sebab itu, elok di-ajar anak-anak kita sedari kecil lagi perihal sifat-sifat mahmudah dan sifat-sifat mazmumah. Didik agar... jangan lekas marah, jangan tamak, jangan gopoh, jangan sombong, jangan kedekut, jangan dengki, jangan khianat, jangan fitnah, jangan suka bergaduh dan sebagainya.

Duduk berdamping dengan orang-orang soleh adalah salah satu cara Allah nak tarbiyah kita. Itu belum lagi duduk tadah kitab menuntut ilmu dari beliau. Ini baru berdampingan iaitu berada di sekitar para ulamak. Bila kita berada dalam lingkungan orang-orang soleh maka kita akan dapat memperhatikan cara serta amalan mereka yang mana InsyaAllah dapat perlahan-lahan mentarbiyah diri kita menjadi lebih baik.

Moga menjadi orang yang beruntung, tidak selamanya rugi.

Wallahu'alam.

2 comments:

  1. Ilmu itu hak kita. maka tuntutlah hak kita iaitu tuntutlah ilmu. Biar ibadah kita manis kerana ada ilmu.

    ReplyDelete
  2. menuntut hak kita yang akan menjadi amanah keatas kita pula.

    ReplyDelete