Semangat Beramal-Soleh

Bismillahirrahmanirrahim

Aduhai.. begitu rindu untuk kembali menulis. Terasa lama benar tidak berpeluang meng-update blog yang sebelum ini sering menjadi tempat saya berehat seketika dari kerja rutin seharian. Selepas Aidil-Fitri, diri agak sibuk dengan pelbagai urusan. Dalam sibuk2 tu, alhamdulillah sempat sesekali ke majlis ilmu di masjid dan surau berhampiran. Sambil-sambil tu saya sekarang sedang half-way cuba menghabiskan bacaan buku "Biografi Rasulullah SAW" oleh Ustaz Rusdi dari penerbitan Must Read. Moga dapat khatam dalam masa terdekat ini, InsyaAllah.

Alhamdulillah, semalam ikut en suami ke surau untuk pengisian ilmu mengenai ibadah kurban. Angin sepoi-sepoi bahasa menerpa wajah takkala membonceng skuter bersama en suami. Satu tangan memegang bahu en suami, satu tangan lagi menggenggam kain telekung yang dipakai agar tidak terbang ditiup angin.

Ustaz mengingatkan tentang perlunya kita semua untuk terus istiqamah melaksanakan amal-amal soleh walaupun Ramadhan telah meninggalkan kita. Jangan hentikan semangat beribadah secara marathon yang telah kita lakukan sepanjang Ramadhan.

Kita berupaya berpuasa, mengukuhkan solat fardhu, mendirikan solat-solat sunat, bertadarrus, banyak berzikir dan bersedekah di bulan Ramadhan namun selepas selesai menyambut Aidil-Fitri kita jadi lesu. Jangan hanya bersemangat buat solat sunat 20 rakaat semasa bulan Ramadhan saja tapi bila dah selesai sambut raya, semangat jadi kendur hinggakan solat baadiyah Maghrib dan Isyak pun dah tak larat nak buat. Jangan hanya ketika Ramadhan saja kita bersungguh-sungguh membaca al-quran namun selepas Aidil-Fitri, rehal entah di mana... Al-Quran entah ke mana... nauzubillah

Sabda Rasulullah SAW:
"Puasa dan al-Quran akan memberi syafaat kepada hamba-Nya pada hari qiamat. Berkata puasa: Wahai Tuhan! Aku telah menghalangnya dari makan minum dan syahwat, maka berilah syafaat kepadaku untuk (menyelamatkan) nya. Al-Quran pula berkata: Aku telah menghalangnya daripada tidur di waktu malam. Maka berilah syafaat padaku untuk (ku beri) pada-nya. Kata Allah : Maka kedua-duanya memberi syafaat."

[Hadith sohih-Riwayat Ahmad, Al-Hakim dan Al-Baihaqi]

Semoga semangat tidak lesu. Selamat Beramal.

1 comment:

  1. Jangan hanya ke Masjid di bulan Ramadan, kerana org ramai dan ada suasana. Jom ke Masjid kerana Allah.

    ReplyDelete