Jangan Lalai Dari Berzikir

"Tuan-tuan, kita boleh berzikir secara perlahan dan boleh juga berzikir dengan suara yang keras, boleh zikir secara berseorangan dan boleh juga zikir beramai-ramai dalam suatu majlis... yang tak boleh nya, kalau tak zikir... Itu pesanan ustaz dalam satu majlis ilmu.
...............................  

Hendaklah kita berhati-hati supaya tidak lalai dari berzikir pada setiap masa dan waktu, kerana lalai dari mengingati Allah itu menimbulkan bahaya yang besar.
 

Sabda Rasulullah SAW;
"Barangsiapa yang duduk di suatu tempat, seraya tiada mengingati Tuhan ketika itu, melainkan dia akan merasakan penyesalan."

Adakalanya syaitan turut menguasai manusia yang lalai itu, lalu dihalangnya orang itu dari berzikir kepada Tuhan, disebabkan kelalaian yang telah membelenggui dirinya.


Firman Allah Ta'ala:

43:36  "Dan sesiapa yang tidak mengendahkan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya."
(Az-Zukhruf: 36)
 


Firman Allah Ta'ala:
58:19
"
Syaitan telah menguasai dan mempengaruhi mereka, sehingga menyebabkan mereka lupa mengingati Allah; mereka itulah puak Syaitan. Ketahuilah! Bahawa puak Syaitan itu sebenarnya orang-orang yang rugi. (Al-Mujadalah: 19)


Bagi seorang Mukmin, haruslah ia berzikir kepada Tuhan sebanyak-banyaknya, sebagaimana sebaliknya sifat seorang Munafiq tiada berzikir kepada Tuhan melainkan sedikit saja.  

Allah Ta'ala telah berfirman ketika mensifatkan orang-orang Munafiq, berbunyi:
4:142
"Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap ugama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik). Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah melainkan sedikit sekali (jarang-jarang).(An-Nisa: 142)

Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Alamat munafik itu ada tiga: Apabila bercakap dia bohong. Apabila berjanji dia tidak menepatinya dan apabila diberinya amanah dia khianat. (HR Muslim)


Melazimkan diri berzikir kepada Allah Ta'ala dan membiasakan amalan zikir itu adalah senjata untuk menghalau syaitan dan mencegah was-was sebagaimana bunyi sebuah riwayat:
"Sesungguhnya syaitan itu membelit hati manusia, jika ia berzikir kepada Allah syaitan terpukul.  Jika ia alpa, syaitan mewaswaskannya lagi." 

Maka dituntut membiasakan diri dan melazimkan berzikir kepada Allah Ta'ala pada setiap waktu dan keadaan.  Pernah seorang lelaki berkata kepada Rasulullah SAW: "Duhai Rasulullah, Engkau telah mengajarku banyak dari hukum-hukum Islam.  Kini perintahkanlah aku untuk membuat sesuatu yang boleh aku bergantung kepadanya. 

Jawab baginda:"Biasakan lidahmu dengan berzikir kepada Allah."

 

Wallahu a'lam.

1 comment:

  1. Jadikan zikrullah sebagai amalan harian, jadi rutin.

    ReplyDelete