Bila Waktu Telah Berakhir

Bismillahirrahmanirrahim

bagaimana kau merasa bangga
akan dunia yang sementara
bagaimanakah bila semua hilang dan pergi
meninggalkan dirimu
bagaimanakah bila saatnya
waktu terhenti tak kau sedari
masihkah ada jalan bagimu untuk kembali
mengulangkan masa lalu
dunia dipenuhi dengan hiasan
semua dan segala yang ada akan
kembali padaNya
bila waktu telah memanggil
teman sejati hanyalah amal
bila waktu telah terhenti

teman sejati tinggallah sepi

(Bila Waktu Telah Berakhir - Opick)



Ustaz dalam kuliahnya menyebut tentang mati. Mati ini, kata ustaz, semua orang takut. Takut sebab apa? Takut sebab kena masuk kubur, takut bilamana akan ditinggalkan seorang diri di kubur, takut dengan keadaan yang akan ditempuh di dalam kubur, takut untuk berhadapan dengan malaikat di dalam kubur, takut terhadap hari akan dibangkitkan di padang masyhar, takut menghadapi hari perhitungan amal, takut akan balasan Allah, takut masuk neraka dan takut pada azab seksa api neraka... 

Kata ustaz, kita semua dapat menghindari rasa takut pada mati itu jika semasa hidup ini kita sebaik mungkin tetap berpegang pada dua perkara iaitu ajaran al-quran dan sunnah Nabi SAW. Jika ikut dua jalan tersebut InsyaAllah hidup kita tidak akan sesat selama-lamanya. "Maghi lah gajah rimau sekalipun kita tak akan takut, pegilah ke langit ijau ke, langit biru ke, kita tidak akan sesat bilamana kita berpegang pada dua jalan ini", kata ustaz. 

Kita duduk di bawah jajahan takluk Allah Taala. Kita ini sekadar menumpang...  Suka atau tidak, kita semua tidak akan terlepas dari masuk ke lubang kubur. Kita akan duduk di dalam kubur selama bertahun-tahun, malah mungkin berpuluh dan beratus tahun sebelum kita dibangkitkan ke Padang Masyhar bila berlakunya hari Kiamat. Tidak dapat dibayangkan bagaimana azab di dalam kubur, ini belum lagi sebut pasal sengsara yang akan ditempuh di Padang Masyhar. Di Padang Masyhar kita akan dihimpun menunggu giliran untuk dihisab segala amalan yang diperlakukan semasa di dunia. Semua menunggu giliran dalam keadaan mengharung peluh mengikut 'kadar amalan masing-masing' ketika hidup di atas mukabumi. Orang yang sombong dan angkuh semasa di dunia, akan Allah jadikan dia serendah-rendah makhluk di akhirat nanti. 


Dari Miqdad r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Pada hari Kiamat, matahari akan dihampirkan pada semua makhluk sehingga tinggal sebulan perjalanan dari bumi. (Disebabkan kepanasan) manusia akan berpeluh mengikut kadar amalannya. Lebih banyak keburukan yang dilakukannya lebih banyak peluh yang dikeluarkan sehingga ada yang sampai ke buku lali, sebahagiannya ada yang sampai ke lutut, sebahagiannya ada yang sampai ke pinggangnya dan sebahagian ada yang sampai ke mulutnya. Rasulullah SAW menunjukkan tangannya ke arah mulutnya (iaitu hingga sampai ke sini).  
(HR Muslim)

Maka pesan ustaz, buatlah suatu persediaan sebelum kita semua balik kepada Allah. Jangan pandang rendah pada amalan kebaikan walaupun kecil. Buat baik InsyaAllah balasannya baik. Bila tengok orang susah, bantulah walaupun yang ada pada kita waktu itu hanya RM5. Tak dapat tolong banyak, tolong lah walaupun sikit. Hari ini kita senang, esok lusa susah.. kita tak tahu. Tiba waktu susah, bila ada orang tolong kita, di saat itu baru terasa begitu syukurnya kita waktu itu kerana ada insan yang sudi hulurkan bantuan. 

Buatlah sekadar mampu kita. Istiqamah melakukan apa jua amalan baik. Bila balik dari masjid contohnya, jika teringat nak mengaji, buatlah terus. Jangan waktu malaikat datang nak ambik nyawa kita, saat itu baru sibuk nak ambil quran nak mengaji. Jangan terbiasa dengan rutin bila masuk rumah je, hanya tahu nak pasang radio, nak ON-kan TV. Jika dah ada niat nak baca Qulhuwallah selepas masuk rumah, selesaikan dulu membacanya sebelum mula buat perkara-perkara lain. 

Sesungguhnya, nikmat kesihatan dan nikmat kelapangan masa selalu saja manusia persiakan. Masa sering berlalu begitu sahaja, masa sering habis sia-sia. Mari renungkan, kita yang sekarang ini berada di 5 Rejab, sempatkah nanti untuk kita bertemu dengan Ramadhan? Sempatkah nanti kita bertaddarus di bulan Ramadhan yang akan datang ini? Wallahu'alam.

Marilah segera kita bertaubat pada Allah. Gunakan masa yang mustajab sebaik-baiknya untuk bertaubat pada Allah. Di antara waktu yang mustajab ialah pada waktu pagi sebelum Subuh. Bangunlah, bersungguh-sungguhlah melakukan ketaatan pada Allah dengan bersolat, beristighfar dan berdoa kepada Allah Ta'ala. Diri kita bila buat dosa baik kecil atau besar, bila kita sedar segeralah bertaubat. Jangan tangguh, jangan tunggu esok. Ingat kita dah dekat dah pada mati. Disebut ada pelbagai seksa kubur yang menanti orang-orang yang derhaka pada Allah termasuk akan dihimpit kubur sehingga patah kesemua tulang, akan datang 70 ekor ular yang berbisa dan banyak lagi. Kemudian menanti pula seksa yang selanjutnya...


Dari Samurah ibn Jundab r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Di antara mereka (ahli neraka) di makan oleh api hingga sampai ke buku lalinya dan di antara mereka ada yang dimakan oleh api hingga sampai ke lututnya. Dan di antara mereka ada yang dimakan oleh api hingga sampai ke pinggang mereka dan sebahagian dari mereka ada yang dimakan oleh api sampai ke tulang dadanya. (HR Muslim)

"Muslimin muslimat... tidak rasa takutkah kita?", tanya ustaz. "Adakah malam ini kita masih bercita-cita untuk nak buat dosa lagi esok? Balik malam ini, kita buatlah perubahan. Mati itu makin dekat. Hari ini kita dengar berita kematian orang disampaikan pada kita, maka akan tiba satu hari nanti berita kematian kita pula disampai-kan orang..."

Wallahu a'lam.

4 comments:

  1. Dapat link dari Kak Werdah baru singgah sini. Betul betapa gagah mana pun kita, sesungguhnya kita adalah milik kekal ALLAH. Kemana hendak lari walau takut mati ianya tetap akan mengejar kita. Kuatkan iman dan ketaqwaan sebelum izrael menjemput kita. Allahuakbar...

    ReplyDelete
  2. Timakasih kakzakie sudi singgah ke mari. Jemput datang lagi.. :)

    Ada satu kisah benar yang nak dikongsi, terlupa nak diselitkan dalam posting di atas. Ustaz cerita, semasa dua tiga orang sedang menggali kubur untuk arwah kakYam yang baru meninggal, tanpa sengaja cangkul telah terkena papan kubur sebelah. Maka terkopak lah sikit , maklum papan pun dah agak reput.

    Tanpa diduga, ternampaklah oleh mereka kain kapan yang membungkus bahagian kaki arwah yang meninggal itu. Yang miracle nya, kain kapan tersebut begitu putih bersih macam kain kapan baru walhal itu kubur seorang pakcik yang dah meninggal 10 tahun yang lalu. Beberapa orang wakil telah pergi ke rumah arwah untuk berjumpa dengan isterinya. Selepas dimaklumkan tentang keadaan kain kapan suaminya yang masih utuh macam baru saja dikapankan, maka menangislah makcik terkenangkan suaminya. Semua yang ada ikut merasa sedeh.

    Mereka selepas itu cuba bertanya tentang apakah amalan baik arwah suaminya dulu. Rupa-rupanya arwah semasa hayatnya seorang yang suka bersedekah walaupun mereka sendiri bukan nya orang senang.. dan suaminya itu selalu bermurah hati membantu orang yang ada keperluan hendak ke mana-mana. Arwah suaminya hanya ada sebuah kereta buruk dan kereta itulah yang digunakan untuk menghantar orang-orang kampung contoh hendak ke pasar, ke sekolah, ke pejabat pos dsb. Sebelum meninggal, basikal tua nya juga diletakkan di halaman surau khusus untuk keperluan sesiapa saja yang mahu menggunakannya utk berulang-alik ke surau.

    Kisah yang ustaz bawa ini sangat memberi kesan pada hati-hati kami yang mendengar. Moga Allah tempatkan roh arwah di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh..ameen

    ReplyDelete
  3. Assalamu'alaikum Nur

    Semoga hati kita sentiasa lembut untuk bersedekah dan lakukan amalan soleh yang lain. Umur semakin menghampiri ni..risau sangat amalan tak seberapa..

    ReplyDelete
  4. Wsalam kak werdah.
    Mula2 sekali nk ucap timakasih pada kak werdah kerana sudi link kan posting saya tu. Alhamdulillah..
    Memang risau bila pk tentang amal kita yg tak seberapa, namun ustaz ingatkn, jgn sekali-kali kita putus harap dengan keluasan rahmat Allah.. moga Allah sentiasa lorongkn kebaikan buat kita agar kita mampu untuk istiqamah dalam melakukan ibadah dan perkara-perkara baik, InsyaAllah.. sesungguhnya tiada daya dan upaya kita melainkan hanya dengan pertolongan Allah.. Thx kak

    ReplyDelete