Tarbiyah Ramadhan


Bismillahirrahmanirrahim

Di-ulang siaran posting tahun sudah, hasil tarbiyah seorang tuan Sheikh bersempena dengan akan hadirnya Ramadhan iaitu bulan yang kita menunggu-nunggu kedatangannya.  Di-ulang siaran sebagai motivasi khusus buat diri sendiri terutamanya dalam menghadapi saat-saat tibanya Ramadhan. Moga mutiara kata dari tuan Sheikh dapat sama-sama dijadikan renungan, di-ambil manafaat agar mampu diterjemahkan ia di dalam kamus kehidupan kita semua, InsyaAllah.

  • Segala puji bagi Allah yang memberi kita agama Islam
  • dan segala puji bagi Allah yang memberi kita keimanan
  • dan segala puji bagi Allah yang telah menjadikan kita umat pembaca al-Quran.
  • dan segala puji bagi Allah yang telah mengumpulkan kita di suatu tempat yang penuh berkat dan di waktu yang penuh berkat
  • kita semua InsyaAllah akan memasuki bulan Ramadhan
  • kita semua di timur dan di barat InsyaAllah akan memasuki bulan Ramadhan
  • tahniah kerana kita akan memasuki bulan syiar al-Quran, bulan suci, bulan yang penuh rahmat, bulan yang akan dilipat-gandakan semua pahala
  • bulan yang pada setiap malamnya Allah akan membebaskan jiwa manusia dari azab siksa api neraka
  • semoga Allah menjadikan kita termasuk dalam orang-orang yang bebas dari api neraka.
  • Bulan Ramadhan adalah sebagai tetamu bagi hati-hati kita
  • bulan tersebut adalah cahaya bagi majlis-majlis kita
  • alangkah mulianya tetamu kita yang akan datang itu
  • alangkan agungnya tetamu yang akan kita jemput nanti
  • sesungguhnya itu adalah tetamu yang mulia yang perlu kita agungkan
  • yang mana semua hati kaum muslimin dan muslimat merasa rindu untuk menyambutnya
  • pada bulan tersebut, para malaikat semua akan berada di semua tempat di bulan Ramadhan
  • bulan di mana kita akan mendapat kelebihan markah, kelebihan kedudukan di sisi Allah Taala
  • bulan di mana waktu kita dapat mendekat diri kepada Allah Taala
  • itu adalah bulan di mana kita cinta al-Quran dan selalu ingin membacanya
  • bulan di mana kita mendapat kelazatan takkala membaca al-Quran dan tak akan dapat mendapatinya di bulan selain dari bulan Ramadhan
  • kita pun nanti akan merasa rindu terhadap ayat-ayat Allah
  • kerana para pembesar2 syaitan pun telah dibelenggu, yang sebelumnya selalu menyekat kita dari berzikir dan mengingat kepada Allah
  • ketika bulan Ramadhan, para pembesar syaitan itu akan dibelenggu oleh Allah, dikekang dari dapat bergerak, terus dalam keadaan itu sehingga berahirnya bulan Ramadhan
  • ketika itu semua hati-hati kita akan merasa tenang untuk berzikir kepada Allah Taala.
    • bulan Ramadhan adalah bulan yang hidupkan hati-hati dan jiwa kita. Jiwa akan lebih tenang
    • Nabi s.a.w mengajarkan untuk hidupkan jiwa kita, baginda s.a.w sering menyarankan untuk sering sering berdoa kepada Allah Taala.
      Firman Allah menyatakan"Wahai orang-orang yang beriman, jawablah panggilan Allah dan Rasul ketika (Dia) menyeru kepada apa yang menghidupkan kamu..."(Surah al-Anfal:24)
    • Allah mencipta kehidupan kita yang dimulakan dengan kalimah Lailahaillallah. Kita meng'Esa-kan Allah, hanya daripada Allah rezeki diturunkan. Sesungguhnya semua ujian datang dari Allah, segala nikmat yang kita dapati hanyalah dari Allah.
    • Allah menciptakan kita, memberi rezeki pada kita, mengatur kehidupan kita untuk kita melaksanakan 5 rukun Islam iaitu dimulakan dengan mengucap dua kalimah syahadah, solat, puasa, zakat dan haji (bagi yang mampu).
    • itu adalah kehidupan jiwa dan raga kita, semua itu terangkum dalam ayat Allah dalam Surah al-Anfal:24 tersebut: "Wahai orang-orang yang beriman, jawablah panggilan Allah dan Rasul ketika (Dia) menyeru kepada apa yang menghidupkan kamu..."
    • Dalam bulan Ramadhan yang penuh berkat, InsyaAllah mampu mensucikan hati-hati kita dan fikiran kita., akal fikiran kita akan berusaha memahami ayat-ayat suci al-Quran.
    • jangan kiranya kita merasa sudah cukup membaca al-Quran. Lepas kita baca dan khatam, kita ulangi lagi bermula dengan surah al-Fatihah.
    • berusaha memahami ayat-ayat yang dibaca, berhenti takkala membaca untuk memahami apa isi ayat tersebut.
    • berusaha memikirkan apa maksud Allah Taala daripada ilmu-ilmu yang kita dapati dari madrasah al-Quran
    • al-Quran adalah kitab yang penuh berkah yang diturunkan, untuk kita memahami apa maksud ayat-ayat tersebut
    • Tahniah bagi orang yang baca Quran dan dia mengerti apa maksud dari ayat-ayat yang dibaca. Dalam Surah al-Zalzalah 7 - 8, Allah berfirman:Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!
    • bila kita baca Quran dan mengerti maksud, maka akan timbul rasa takut untuk lakukan kejahatan, takut jika termasuk dalam golongan orang-orang yang nanti akan dihumban ke dalam api neraka.
    • Berusahalah untuk memahami apa isi makna dari surah al-Fatihah kerana kita membaca fatihah sekurang-kurangnya sebanyak 41x dalam sehari. Jagalah solat 5 waktu kita dan jagalah solat-solat sunat.
    • Al-Quran adalah ceramah dan nasihat-nasihat untuk menyembuhkan hati-hati kita.
    • ia merupakan petunjuk dan rahmat bagi kaum muslimin seluruhnya
    • ia adalah kitab yang jelas, kitab yang mulia di sisi Allah
    • tidak ada yang menyentuh al-Quran kecuali orang-orang yang memiliki wudhuk
    • tidak dapat memahami ayat-ayat al-Quran kecuali orang yang memiliki hati yang bersih.
    • adalah termasuk dalam adab dan kesopanan bilamana hendak memegang al-Quran itu, haruslah kita bersuci.
    • tidak ada orang yang memahami ayat-ayat al-Quran kecuali orang-orang yang bersih hatinya. Bersih dari sifat dengki, tidak putus silaturrahim dan tidak berbuat yang buruk terhadap orang lain. Semua perbuatan syaitan dia tinggalkan. Ketika itulah hatinya betul-betul bersih dan mampu memahami ayat-ayat al-Quran.
    • Maka waspadalah bila kita memasuki bulan Ramadhan, jika kita masih memiliki perasaan dengki terhadap kaum muslimin yang lain
        • waspadalah takkala kita memasuki bulan Ramadhan, jika kita memutuskan silaturrahim terhadap keluarga dan sanak saudara kita
        • sebagaimana kita mempersiapkan masjid kita, mempersiapkan makanan dan mempersiapkan pakaian ke masjid untuk sambut Ramadhan, jangan kita lupa bahawa inti atau asas untuk sambut Ramadhan adalah pembersihan hati kita
        • sesungguhnya seluruh dunia dan seluruh perhiasannya tidak dapat membahayakan Allah Taala. Sesungguhnya seluruh zahir kita samada orang kaya atau miskin, orang tinggi atau rendah, orang berkulit putih atau kulit hitam.. tidak berpengaruh di hadapan Allah Taala
        • Allah hanya melihat satu tempat sahaja di dalam tubuh manusia iaitu hati. Maka wajib untuk seluruh kaum muslimin dan muslimat untuk sentiasa cuba membersihkan hati masing-masing
        • kita bersihkan hati kerana mengharap rahmat dan maghfirat dari Allah Taala
        • Sebagaimana ibarat: bila kita tiba-tiba mendapat panggilan mendadak bahawa ada raja yang nak datang melawat rumah kita. Secara spontan kita akan segera membersihkan rumah kita, membersihkan perabot-perabot yang ada dan berusaha mewangikan seluruh ruangan.
        • Maka sesungguhnya tempat pandangan Allah, adalah lebih layak kita membersihkan hati-hati kita agar bersih.
        • hendaklah sebelum memasuki Ramadhan, kita saling bermaaf-maafan sehingga tidak ada perasaan dengki dan benci terhadap sesama muslim. Sehingga bila kita masuk ke bulan Ramadhan kita InsyaAllah mampu termasuk sebagai penghuni Syurga Allah sebagaimana berita gembira yang disampaikan oleh Nabi s.a.w pada para sahabat ra tentang sifat seorang penghuni Syurga. Orang tersebut adalah orang yang selalu solat berjamaah di masjid dan selalu menjaga solat witir di rumahnya. Dia tidur sama seperti orang lain, tidaklah solat sunat sehingga seribu rakaat dan tidak pula berpuasa banyak. Namun dia seorang yang bersih hatinya kerana tiapkali sebelum tidur dia akan memaafkan semua kesalahan orang sehingga tidak ada rasa marah pada keluarga, tetangga dan saudara muslim lainnya.
        • Maka berusahalah kita untuk dapat memaafkan seluruh keluarga dan sahabat-sahabat kita sebelum kita melelapkan mata setiap malam
        • sesungguhnya di dalam Syurga ada suatu kenikmatan yang tak pernah dipandang mata, tak pernah didengar telinga dan tak pernah terlintas di dalam hati manusia
        • Tahniah bagi orang yang selalu berusaha untuk beramal baik di bulan Ramadhan
        • Tahniah bagi orang-orang yang membaca Surah al-Baqarah, tahniah bagi mereka yang melaksanakan adab-adab dan batas-batas yang ada dalam Surah al-Baqarah. Begitu juga ada pada Surah an-Nur, Surah al-Ahzab, begitu juga adab-adab yang ada pada Surah Hujurat dan di seluruh ayat al-Quran pun ada adab-adab Allah Taala. Al-Quran memberi kita batasan-batasan, di dalamnya Allah jelaskan apa perintah Allah yang kita harus taati dan apa larangan yang perlu dijauhi.
        • Tahniah bagi yang baca Surah al-Baqarah dan Surah Ali Imran di mana kedua-dua itu akan menjadi payung di hari kiamat nanti. Surah Al-Baqarah dan surah Ali-Imran dipanggil surah az-Zahrawain yang apabila dibaca akan mendapat syafaat di padang mahsyar kelak.
        • jagalah perintah-perintah Allah dan berlindung diri dari semua perkara yang tak baik dan perkara maksiat yang semuanya disebut di dalam al-Quran
        • Kita akan memasuki bulan Ramadhan, ketika kita di waktu Maghrib, manusia di bumi yang sebelah lagi sedang melaksanakan solat zohor. Dalam 24 jam, sebahagian kaum muslimin berpuasa dan sebahagian yang lain sedang berbuka puasa. Maha Suci Allah Taala Yang Maha Mampu, Maha Suci Allah Taala Yang Maha Agung
        • meskipun ada perbezaan waktu di bumi ini, namun pada 29 Shaaban bila nampak anak bulan maka langsung kita akan berpuasa keesokkan harinya. Kalau tak dapat lihat anak bulan maka Nabi s.a.w meminta kita menyelesaikan bulan Syaaban 30 hari
        • tidak boleh berpuasa sehari sebelum bulan Ramadhan. Nabi s.a.w melarang perbuatan tersebut
        • bila lihat anak bulan Ramadhan kita niat untuk berpuasa 30 hari seluruhnya. Dengan niat,"Sahaja aku berpuasa sebulan di bulan Ramadhan sesungguhnya kerana Allah Taala." Tapi setiap malam kita harus perbaharui niat kita, sebagaimana Nabi s.a.w yang bersabda,"Sesungguhnya segala amal itu bergantung pada niatnya." Mesti perbaharui niat setiap malam dengan niat, "Sahaja aku berpuasa esok hari di bulan Ramadhan sesungguhnya kerana Allah Taala." Dan puasa yang kita amalkan nanti hendaklah kita berpuasa seluruh anggota badan kita. Ajar anak-anak kita berpuasa
        • hendaklah kita mencontohi puasa yang benar oleh para sahabat ra agar puasa itu menjadi ubat bagi kita. Semasa berbuka puasa hanya makan yang sedikit sahaja, hanya secukupnya. Sehingga kita akan merasai lazatnya berpuasa. Sehingga bilamana kita makan sedikit, pada waktu dhuha dan waktu zohor kita telah merasakan lapar. Dari situ kita akan ikut dapat merasakan lapar yang sering di-alami oleh orang-orang miskin
        • berbelas kasihan lah terhadap orang-orang fakir dan miskin di bulan Ramadhan, banyakkanlah bersedekah pada orang-orang yang memerlukan bantuan
        • hendaklah kita beribadat di malam hari, berqiamulail dan sebahagian malam hendaklah kita bersolat tahajjud. Semoga Allah Taala akan memberikan kita kedudukan yang mulia di akhirat nanti
        • Bulan Ramadhan adalah bulan yang kita menunggu-nunggu kedatangannya. Ada malam di bulan Ramadhan yang lebih baik dari seribu bulan, di bulan Ramadhan para malaikat pun ikut bersesak-sesak di dalam masjid
        • maka mintalah bantuan daripada Allah, rasa rindulah untuk sambut Ramadhan. Semoga Allah menyampaikan kita kepada bulan Ramadhan.
        • Allah Taala mendidik kita dengan adab-adabNya melalui al-Quran dan menjadikan kita tahu hakikatnya. Moga Allah memberi kita pemahaman untuk dapat memahami ayat-ayat suci al-Quran, moga Allah memberi kita rahmatNya sebagaimana yang diberikan kepada kaum solehin, moga Allah memberi keampunan kepada kita... aminn

        • Wallahu'alam.




      No comments:

      Post a Comment