Qiamulail dan Kuliah Subuh 11 Ramadhan


Bismillahirrahmanirrahim

Buatlah suatu bekalan yang kita nak bawak balik ke sana.  Benda yang kita nak bawa itu merupakan yang sebaik-baiknya iaitu takwa.  Bila kita mati, bekalan yang kita nak bawa ialah takwa.  Mati tetap berlaku, walau kita lari ke mana sekalipun, pasti mati akan bertemu jua dengan kita.

Kata ustaz, kena faham hakikat bahawa 'aku hidup atas dunia ini bukan saja-saja'..Kita ada anak isteri, ada kereta, ada rumah tapi ingat bahawa kita ada Allah. Rezeki yang kita dapat hari ni, kadang kita guna tak sampai 15 peratus saja.  Barang yang kita tak guna, hakikatnya bukan rezeki kita. Harta yang kita simpan itu bukan hak kita sebaliknya yang kita dermakan di jalan Allah sahaja, itu yang menjadi bekalan kita.

Kena faham hidup di akhirat nanti lebih hebat dari hidup di dunia.  Pahala adalah sesuatu yang kita kena cari. Syarat nak jadi jutawan di dunia kena banyak duit, sebaliknya syarat nak jadi jutawan di akhirat ialah kena banyak pahala.  Bersungguh-sungguh cari pahala, bersungguh-sungguh menghindari dosa. Kena perbanyakkan rasa gerun pada Allah. Takutlah kita kepada Allah.

Pesan ustaz, bila saudara Islam kita meniaga, kenalah kita tolong.  Itu fardhu kifayah.  Kalau kita tak tolong dia, siapa lagi nak tolong.  Walau orang Islam berniaga di hujung kampung sekalipun, jauh sikit perjalanan, kalau kena pergi berjalan kaki, kita akan pergi berjalan kaki.  Berbeza keadaannya, jika beli gula dari orang Islam dengan beli dari orang bukan Islam.  Dengan orang Islam kita akan dapat pahala, InsyaAllah.  Lainlah jika tiada pilihan, dalam keadaan terpaksa, darurat dan sebagainya.

Kemelut hidup kita sekarang ini sangat dasyat.  Berbagai pengaruh melanda. Namun, jika kita nak hidup atas dunia tanpa ada masalah itu perkara mustahil. Di sinilah pentingnya asas iman yang teguh. Berlandaskan iman, semua masalah mampu diharung InsyaAllah.  Hati perlu sentiasa ingat Allah. Selagi masih bernyawa, tetapkan hati dengan iman. Banyakkan amal soleh sebab bila dah mati... selawat dah tak boleh, baca quran dah tak boleh, sedekah pun dah tak boleh dah.  Apa yang kita miliki semua akan hancur binasa.

Maka lakukan persediaan sebelum mati.  Perbanyakkan bekal menuju akhirat. Disebut bahawa sebaik-baik sedekah ialah melalui harta wakaf. Jika kita ada tanah contohnya, wakafkanlah ia untuk jalan Allah.. contoh untuk pembinaan masjid, surau, maahad tahfiz dsb.  Begitu juga jika ada rumah yang tak di-diami, eloklah jika mewakafkannya untuk dijadikan asrama anak-anak yatim dsb. InsyaAllah pahala akan sentiasa mengalir masuk dalam akaun kita.

Firman Allah Ta'ala dalam Surah al-Baqarah ayat 197, yang bermaksud:
"...Dan berbekallah, kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal ialah taqwa."

Wallahu'alam.

No comments:

Post a Comment