Ambil Ubat


Hari ini luangkan masa temankan en suami pergi ambik ubat di hospital. Hari ni suasananya agak lengang,  tak ramai orang.

Tempat duduk di depan kaunter unit farmasi yang dua baris rata2 nampak dipenuhi oleh pakcik makcik yang datang nak ambik ubat.

Sekarang ni kena ambik ubat sebulan sekali. Dah tukar polisi, kalau dulu dapat ambik setiap tiga bulan, sekarang dah tak boleh. Kenapa tak boleh? Sebab..

Diari Muslimah 2014


"Ko nanti tulis ikut haribulan dia, ada haribulan dia...", ha ha.makcik siap pesan.

"Ha'ah, okay...",jawab saya sambil tersenyum-senyum.

Rasa senyum tu sampai ke telinga pulak tadi... :-) Alhamdulillah dapat diari free dari makcik Siah... he he.. Diari Muslimah untuk tahun 2014.. Alhamdulillah. First time saya dapat diari tahun baru seawal canggini.  Selalu tu dah nak masuk bulan Dua baru sibuk nak cari diari...huhu

Makcik sebenarnya dah seminggu tak datang masjid. Ada saya sms tanya, selsema katanya.."Kalu sihat makcik datang..", katanya. Saya balas balik sms, doa agar makcik cepat pulih.  Moga boleh segera kembali ke masjid.

Makanya, tadi sampai2 di ruang solat, nampak dah ada makcik Siah.. alhamdulillah. Saya duduk agak jauh dari makcik, tapi duduk tak lama makcik bagi sign panggil. Masa bersalam, rasa panas lagi tangan makcik.

Saya terus tegur, "ish panas lagi ni tangan.. makcik.."

"Hah ya lah acik demam lagi...", jawab makcik sambil menghulurkan diari baru itu...

"Lahaii..makcik tenkiuu..", bisik saya. Makcik senyum2 happy.
Semoga Allah kurniakan kesihatan yang berpanjangan buat makcik...amenn



Hari Raya Eidul Adha 1434H

Bismillahirrahmanirrahim

Syukur alhamdulillah masih diberi kesempatan untuk dapat ikut merayakan Eidul Adha 1434H. Semoga setiap pengorbanan kita diberkati Allah...ameen.  Bermula hari kedua Eidul Adha, en suami memberi semangat supaya mulakan projek menabung untuk Eidul Adha berikutnya.  Dengan izin Allah, semoga tabungan ini dapat mencapai jumlah yang diperlukan untuk satu bahagian Korban tahun 1435H akan datang InsyaAllah.

“Tiada amal anak Adam yang lebih disukai Allah pada hari Aidiladha melainkan ibadat korban. Sesungguhnya binatang yang dikorbankan itu akan datang pada hari kiamat lengkap dengan tanduk, bulu dan kukunya. Sesungguhnya ibadat korban ini diredhai Allah sebelum darah binatang itu jatuh ke bumi. Maka hendaklah kamu berasa lapang dada dan reda akan ibadat korban yang kamu lakukan.” (Hadis riwayat At-Tirmizi)

Eidul Adha kita sambut pada hari ke-10, 11, 12 dan 13 bulan Zulhjjah setiap tahun. Bermula dengan Takbir Raya pada malam 10 Zulhijjah, diikuti dengan solat sunat Eidul Adha serta khutbah Eidul Adha di pagi 10 Zulhijjah, sambutan diikuti dengan ibadah korban yang boleh dilakukan samada pada 10 atau 11 atau 12 atau siang 13 Zulhijjah. Semua hari-hari ini dipanggil Hari Tasyrik. Hiasi Eidul Adha dengan takbir raya di sepanjang hari Tasyrik.

Takbir Raya






Wallahu'alam.

Jadi Hebat

Bismillahirrahmanirrahim

..sedutan pengisian dari majlis ilmu..

Kita ucap syahadah...
Kita katakan Islam agama kita...
Kita katakan Islam cara hidup kita...
tapi... bagaimana amalan kita? Banyak mana hukum Allah yang kita jalankan? Al-Quran yang diturunkan, apakah kita sering baca dan mengamalkan isi kandungannya? Solat, apakah kita sentiasa menjaga waktu solat, apakah kita sentiasa utamakan solat kita?

Persoalan itu mesti sering kita ulang tanya pada diri sendiri untuk memastikan apakah kita ini buat sebagaimana yang di-ucap. Kena berazam, agar dapat mati dalam Husnul Khatimah iaitu mati dengan kesudahan yang baik. Jangan kita mati dalam keadaan Suul-Khatimah iaitu mati dalam keadaan yang buruk, mati dalam keadaan yang tidak diredhai Allah... nauzubillah

Hendaklah kita berusaha untuk buat apa yang menjadi kewajipan kita sebagai seorang Islam. Disebut, antara orang-orang yang mati dalam Suul Khatimah ialah orang yang ambil ringan perihal solat. Golongan ini yang paling ramai mati dalam Suul Khatimah.

Solat merupakan perkara pertama yang akan ditanya dan dihitung di hari akhirat nanti. Abu Hurairah ra pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Perkara pertama yang ditanya kepada seorang hamba tentang amalannya ialah solatnya.  Jika baik, dia telah berjaya dan maju.  Jika rosak, dia telah celaka dan rugi.  Jika amalan fardhunya kurang, Allah berkata: Perhatikan adakah hambaKu melakukan amalan sunat yang boleh menampung kekurangan amalan fardhunya.  Kemudian dilakukan perkara yang sama pada amalan-amalan lain." (HR an-Nasai dan Termidzi)

Solat itu penyambung hubungan antara mahkluk dengan penciptanya.  Allah Taala yang menjadikan kita. Solat itu hubungan kita dengan Allah.  Kita sering dengar kata-kata, "Solat itu tangga kejayaan". Bila ada anak nak periksa, kita ramai-ramai ke masjid buat solat hajat untuk anak yang nak ambik spm, upsr dan sebagainya. Apakah solat hajat kita itu untuk tujuan menempa kejayaan semasa di dunia sahaja?  Apakah kita tidak ingat tentang kejayaan di akhirat yang sebenarnya itu yang utama harus dicapai... Anak-anak kena didik agar faham agama.  Kena latih anak kita solat seawal usia 7 tahun. 

Hadis Nabi SAW yang bermaksud:
Dari Abdullah bin Amr Ibn As r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Perintahkanlah anak-anakmu bersolat ketika berumur tujuh tahun dan rotan-lah dia jika tidak mahu bersolat ketika diumur sepuluh tahun dan pisahkanlah diantara tempat tidur mereka (antara adik-beradik lelaki dan perempuannya). (HR Abu Daud)

Ustaz selitkan kisah Sultan Muhammad al-Fateh yang begitu mementingkan solat. Diceritakan bahawa tentera Sultan Muhammad al-Fateh yang seramai kurang lebih 150,000 orang itu tidak pernah meninggalkan solat wajib sejak baligh manakala separuh dari mereka tidak pernah meninggalkan solat rawatib sejak baligh. Bila Sultan Muhammad al-Fateh sampai pada soalan ketiga iaitu bertanya tentang siapa yang tidak pernah meninggalkan solat tahajjud dari sejak baligh hingga ke saat itu, ternyata hanya Sultan Muhammad al-Fateh saja yang tidak pernah meninggalkannya. Beliau itu tidak pernah tinggalkan solat wajib, rawatib dan tahajjud sejak dari usia baligh lagi... Subhanallah. Begitu hebat Sultan Muhammad al-Fateh!.  

Kata ustaz, jika kita ingin lahirkan anak yang hebat, kita sebagai ibubapanya kenalah jadi seorang yang hebat terlebih dulu.  Jika ingin anak berjaya, ibubapa kenalah berhasil untuk berjaya terlebih dulu.  Maka jagalah solat kita. Utamakan solat. Jaga waktu solat. Jangan dilambat-lambatkan. Solatlah secara berjemaah di masjid atau surau(menjadi kewajipan buat kaum muslimin).  Elakkan solat fardhu seorang diri di rumah. Elakkan solat fardhu seorang diri di mana-mana sudut/bucu dalam pejabat. Pergilah ke surau atau mana-mana masjid berhampiran untuk solat berjemaah. 

Solat ini kunci kejayaan.  Perbezaan antara seorang muslim dengan orang kafir adalah solat. Ini bermakna, meninggalkan solat dengan sengaja menjadikan seseorang itu kafir sebagaimana satu riwayat menyebut, "Siapa yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja, maka dia telah kafir terang-terangan."
Jadi kalau kita tak solat, kepada siapa sebenarnya kita sembah? Fikir-fikirkanlah... Selama ini Allah bagi pelbagai nikmat buat kita.  Allah beri rezeki, Allah beri kita kehidupan.  Utamakanlah solat... yang merupakan penghubung antara kita dengan Al-Khaliq...


Wallahu'alam.

Sup Empat Benua

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah semua berselera makan nasi berlaukkan Sup Empat Benua dan Daging Goreng tengahari tadi. Dapat tulang dan daging lembu sempena program ibadah Kurban di masjid dan surau semalam.  Daging goreng di goreng garam kunyit, manakala sup tulang ikut resepi dan cara dari Sup Tulang Tiga Rasa yang pernah di postkan resepinya sebelum ini di sini.


Sup Empat Benua ini sangat istimewa kerana ia dikatakan kombinasi resepi dari Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand. Hari tu saya tak pasti tentang benua mana yang terlibat.. Kalau tak silap hari tu dengar ianya dari tiga negara tapi bila tanya balik rupa-rupanya ia kombinasi citarasa dari empat benua... he he.. Tak kisah la kan, tiga ke empat ke, yang penting ianya sangat sedap dan berperisa.. terimakasih banyak buat tuan punya resepi, moga Allah membalasnya dengan kebaikan... ameen  :)

Meh kita tengok resepinya sekali lagi di sana...
ataupun boleh buat Sup Empat Benua tu dengan tengok resepinya kat sini je..
  1. Mulakan kerja dengan kalimah Bismillahirramanirrahim
  2. Basuh tulang rusuk atau lain-lain bahagian tulang lembu dengan bersih.
  3. Rebus hingga empuk.
  4. Selepas empuk masukkan bahan-bahan:
  • sup bunjut (kalau tulang sekilo masukkan 2 sup bunjut)
  • rempah sup satu sudu besar (bancuh dengan sedikit air)
  • halia 3 inci diketuk
  • lengkuas 4 - 5 hiris
  • serai 2 batang diketuk
  • bawang besar merah 1 biji dipotong 4
  • bawang puteh 5 ulas diketuk
  • garam
  • sedikit cili padi ditumbuk/dihiris(ikut kesesuaian rasa)
  • bawang goreng
Semasa menghidang perahkan air limau nipis dan taburkan lebihan bawang goreng untuk menyedapkan lagi rasa.  Tabur hirisan daun sup jika suka. 

Satu perkara yang jangan kita lupa ialah, iringi kerja-kerja memasak di dapur dengan zikrullah.  Semua orang masak sup, ada yang guna kaedah sama dengan kita pun tapi sup kita nanti InsyaAllah akan lebih berperisa dan sedap dimakan seisi keluarga bilamana kita memasaknya sambil mulut dan hati tak henti-henti berzikir mengingati Allah dan berselawat ke atas Rasulullah SAW.

Wassalam.

Hidup Biar Berkat

Bismillahirrahmanirrahim

Sedutan pengisian dari majlis ilmu:

Jangan kita nama saja Islam, tapi suka buat perkara yang dilarang Allah. Wawasan Islam yang sebenar ialah nak kepada Allah.  Matlamat hidup biar menuju kepada Allah. Namun dalam perjalanan menuju Allah akan banyak liku-likunya. Harus kuat untuk ikut jalan yang diredhai Allah.  Jika tak ikut jalan yang benar, sudah tentu tersasul, sudah pasti akan ikut terpesong, tersesat.. nauzubillah

Hidup kita moga ada keberkatannya. Rumahtangga kalau tiada keberkatan sudah tentu huru-hara.  Pasangan hidup kalau tak ada keberkatan sudah tentu berpecah-belah. Maka, istighfarlah kita sebanyak mungkin. Cuba untuk capai istighfar 1000 kali sehari.  Jangan dah rasa cukup dengan beristighfar 3 kali lepas solat.  Jangan pula bila panjang sikit imam wirid selepas solat, hati terus merungut.."ish panjang pulak zikir imam malam ni..."

Cuba amalkan zikir setiap hari, InsyaAllah jika istiqamah mengamalkannya, rezeki tidak akan sempit. Lazimkan zikir sehingga tak terasa lama masa berzikir, tak timbul bosan walaupun dah selawat 1000 kali, dah ucap "La ila ha illallah 1000 kali. Lidah kalau sudah terbiasa dengan zikrullah, InsyaAllah bila nak mati, mulut akan mampu ucapkan zikir. Jangan biarkan hati kita cenderung pada maksiat. Kalau tak didik anak kita pada agama, anak-anak akan tipis imannya.  Kalau terdetik di hati nak buat yang tak baik, fikir 10 kali, fikir.."besok nanti aku boleh tahan ke tidak siksa di neraka..." Ingat bahawa apabila kita dibakar, tiada siapa yang boleh menolong.  Ketika itu tiada pertolongan melainkan pertolongan dari Allah Taala.
Jangan nanti bila dah ke sana, baru kita nak rasa menyesal dan sedih. Saat itu dah tiada guna bersedih.

Pesan ustaz, periksa amalan kita, semak apa kita dah buat pada Allah hingga Allah sempitkan rezeki kita. Cermin diri kita.  Hakikat hidup kita berpaut pada Allah.  Didik anak agar faham bahawa hidup ini bergantung kepada Allah. Kena berdoa pada Allah bila rezeki kita dihimpit Allah.  Cermin diri kita, kenapa rezeki kita terhimpit?  Hidup kita bergantung pada rahmat Allah. Kalau dapat tekanan, contoh: harga minyak tinggi, harga barang makanan mahal, maka kita termasuk dalam kategori orang yang teraniaya.  Maka berdoalah, InsyaAllah doa itu tergolong dalam doa yang tidak ditolak oleh Allah... ameen

Pergilah ke masjid., ke rumah Allah. Mulut bercakaplah perkataan dan perkara yang baik. Kalau hati baik, Allah akan dekat dengan kita.  Kita akan jadi makin baik makin baik InsyaAllah. Iman sangat penting. Moga terselamat iman. Ambik perkara yang baik, tinggalkan yang jahat.  Kalau ambik juga perkara jahat, sumber rezeki kita nanti sempit.  Sudahnya hidup dalam keadaan yang tak berkat. Hidup biar berkat.

Allah Ta'ala berfirman:
yang bermaksud:
"Dan apa saja yang engkau semua lakukan dari kebaikan, maka sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahuinya."   (al-Baqarah:: 215)

Dalam kita berdoa ke hadrat Allah, pastikan diri bersih zahir dan batin. Kalau berdoa sedangkan pakaian yang dipakai adalah dari sutera yang haram, macamana Allah nak kabulkan doa? Kalau makan dari makanan yang syubhah, dapat dan pakai duit dari rezeki yang haram, bagaimana mungkin Allah nak kabulkan doa?

Bila berdoa kita asyik doa mintak rezeki, nak kaya, nak senang.  Rasanya tiada orang yang mintak sakit, mintak jadi miskin atau susah. Tapi dalam kita mohon segala doa itu, kita tak minta pun pada Allah hidup yang berkat. Mohonlah pada Allah agar ada berkat pada sihat kita, ada berkat pada senang kita, ada berkat pada kaya kita. Dan jangan pula bila berdoa kita nak Allah segera kabul doa kita tetapi kita dalam bab solat nak bangun solat, liat.

Kalau nak beroleh syurga, hati perlu sentiasa tenang. Bila hati tenang, automatik diri akan buat perkara yang baik. Tapi macammana cara nak tenang? Tiada jalan lain selain dari berbalik kepada dua perkara iaitu al-Quran dan Hadis Nabi SAW. Dekatkanlah diri dengan masjid bukan untuk tujuan jaga nama di kawasan kampung, tapi semuanya untuk Allah. Masuklah ke dalam kelompok orang yang ingat Allah.  Masuk dalam kelompok majlis zikir,  kelompok majlis ilmu. Moga jawapan itu ada dalam diri kita.

Kena lakukan perubahan dalam diri. Perbetulkan diri kita.  Pelihara iman kita dengan Allah.  Jangan biar iman kita semakin hari semakin tipis. Teguhkan ia.

Wallahu'alam.

Operasi menyelamat baby kucing

Bismillahirrahmanirrahim

Petang semalam selepas waktu Asar, terdengar suara anak kucing kat luar mengiau lagi.. hati saya meruntun lagi.. rasa kesian pada baby kucing yang ditinggal pergi oleh ibunya,semakin bertambah.  Sebelum tu dah rasa sedih tengok keadaannya yang kesejukan, lencun kena hujan..  Dia yang ditinggalkan ibunya di dalam parit tepi rumah tentunya dengan susah payah merangkak keluar ke atas tebing parit.  En suami kata, tengok dari saiznya yang begitu kecil dan tak berdaya, rasa macam tak percaya dia dapat naik atas tebing.."tentu malaikat tolong...", kata suami saya.

Dengan bantuan anak saya yang tolong bersihkan badannya (yang penuh dihurung semut), kami pun bawak dia  masuk rumah.  Saya sediakan tempat yang empuk buatnya di dalam bakul rendah empat segi besar. Nampaklah selesa dia.  Tapi yang membimbangkan saya, dia tak nak minum.  Dia tutup mulutnya, puas kami cuba untuk titikkan susu ke dalam mulutnya.  Jadi masuk pun tak banyak manalah.. sikit benar masuk dalam mulutnya...
Suaranya pun dah tak berapa kedengaran walaupun dia dah nampak ceria dilayan anak saya..

Anak2 yang kat asrama pun sibut whatsapp itu ini bagi instruction, camana nak tolong baby kucing tu.  Kak Ngah siap search internet cari cara nak susukan baby kucing tu. Ini hasilnya...

Abang Long suruh beli alat pam yang budak2 guna untuk makan ubat tu... ini dah beli pagi tadi, singgah beli kat farmasi time balik dari pasar...

Tapi alangkah terkejutnya saya.. sampai-sampai rumah, tengok baby kucing dah pergi tinggalkan dunia. Innalillah.. sedeyyy.... menitis air mata mengenangkan deritanya dia ditinggal ibu.. baby kucing sebesar itu hanya harapkan ibunya, harap dapat minum susu ibunya saja....

En suami dah selamat tanam di tepi pagar rumah kami.....

Memperbanyak Mengingat Mati

Bismillahirrahmanirrahim

Dalam satu kuliah maghrib, ustaz mengingatkan agar kita semua banyakkan menyebut satu perkara yang memutuskan segala keseronokan iaitu mati. Mohonlah agar mati kita berlaku dalam suasana yang baik. Mohon dan harap pada Allah agar dapat mati dalam keadaan Allah redha pada kita. Mati tetap mati. Bila ada kematian, jangan kita sekadar melihat saja. Ambil iktibar dari kematian yang berlaku. Bila mati, hakikatnya bermulalah satu masalah. Jika hamba itu baik, soleh, maka hamba itu akan beroleh kebaikan InsyaAllah namun  jika sebaliknya, dikhuatiri hamba tersebut akan beroleh yang tidak baik di sana nanti.. nauzubillah.

Banyakkanlah melakukan solat-solat sunat bagi memelihara iman kita. Contoh: Dirikan solat sunat taubat setiap malam. Sentiasa mohon ampun pada Allah terhadap dosa-dosa yang kita lakukan.
.................................

Petikan dari Kitab, sebagai tambahan dalam bab mengingat mati:

Ketahuilah, bahawasanya memperbanyak mengingat mati itu adalah seperkara yang dituntut oleh agama dan amat digalakkan, kerana yang demikian itu mengandungi berbagai faedah yang berguna.  Di antaranya: pendek harapan, zuhud di dunia, qanaah atau memadai dengan yang sedikit, cinta kepada akhirat serta memperbanyak bekal dengan amal dan bakti yang baik.

Sabda Rasulullah SAW, yang bermaksud:
"Perbanyakkanlah mengingat-ingat tentang perkara-perkara yang menghapuskan kelazatan (maut)."
Takkala baginda Rasulullah SAW ditanya tentang orang yang pintar, siapakah dia di antara manusia, maka jawab baginda SAW:
"Mereka itulah orang-orang yang memperbanyak mengingati mati, dan sentiasa bersedia untuk menerima mati.  Mereka itulah orang-orang yang pintar.  Mereka telah kembali ke rahmatullah dengan membawa kemuliaan dunia dan kesejahteraan akhirat."

Akan tetapi mengingati mati dengan lisan saja tidak berguna.  Tidak ada erti menyebut-nyebut mati dengan lidah seperti: Oh aku akan mati! Oh aku takut mati!...dsb...
Itu tidak mendatangkan faedah samasekali, meskipun ia disebut berkali-kali. Yang dituntut ialah mengingati mati seraya hatinya tekun merenungkan keadaan orang yang sedang menghadapi mati, sedang lisannya menyebut-nyebut pula bagaimanakah keadaannya kelak, apabila ia menghadapi mati itu?  Bagaimana bencananya dan sakaratnya, serta menggambarkan sekali tentang dasyatnya yang akan ditanggung kelak di hari Akhirat. Kemudian hendaklah ia mengira-ngira berapa lamakah lagi ia boleh hidup di dunia ini, dan bagaimana pula kesudahan hidupnya kelak. Kemudian hendaklah ia mengenang semula keadaan rakan-rakan dan sahabat-sahabatnya yang telah lebih dulu kembali ke rahmatullah, bagaimana kesudahan hidup mereka. Kenangkan ingatan dan sebutan yang boleh memberi manfaat dan dapat meninggalkan kesan kepada hati.

.....................................
Berbalik pada pengajian di majlis ilmu, nak selitkan apa yang ustaz katakan malam tadi di masjid berkaitan dengan mati ini. Kata ustaz, apakah kita nanti boleh menyebut kalimah tauhid iaitu La ila ha illallah di saat sakaratul-maut... Mampukah kita atau nanti lidah akan kelu untuk mengucapkannya? Mari bermuhasabah diri...

Kita datang daripada Allah dan kepada Allah lah kita akan dikembalikan. Roh yang Allah ciptakan adalah untuk keabadian, bukan untuk kebinasaan.  Bila mati, hanya jasad yang akan binasa, hingga sampai pada satu masa kelak jasad akan dibangkitkan semula bersatu kembali dengan roh.

Maka selagi diri masih bernyawa di atas dunia, perbanyakkanlah melakukan kebaikan. Kata ustaz...jika terlanjur melakukan kesilapan, segeralah iringi dengan membuat kebaikan, sekurang-kurangnya beristighfar mohon agar Allah ampunkan kita. Perbanyakkan istighfar. Kita yang  buat amalan semasa di dunia, akan dibalas atas semua amalan itu.. tiada yang berkecuali. Balasannya nanti samada kita akan disukacitakan oleh Allah atau pun akan didukacitakan. Oleh itu beramallah sebanyak mungkin dan semampunya. Perbaiki solat, biar lebih sempurna. Solat merupakan amal ibadah yang paling utama. Orang yang khusyuk dalam solat, bukan setakat hadir hatinya di dalam solat malah timbul rasa begitu mengagungkan Allah Taala, timbul rasa takut yang sebenar-benar takut pada Allah Taala.

Wallahu a'lam.

Pewaris Syurga Firdaus

Bismillahirrahmanirrahim

Semua orang jika ditanya, semua menginginkan Syurga. Teringat pernah dulu seorang ustaz mengingatkan, mintalah Syurga setiapkali kita berdoa ke hadrat Allah.  Sebutkan sekali syurga mana yang kita inginkan, mohonlah Syurga Firdaus... Moga Allah meredhai kita dan mengurniakan Syurga Firdaus buat kita semua.. ameenn

Rasulullah SAW bersabda, “Apabila kalian memohon kepada Allah, maka mohonlah Syurga Firdaus. Karena sesungguhnya Firdaus merupakan syurga yag paling tinggi dan yang paling tengah. Sungai-sungai syurga mengalir darinya. Di atasnya terdapat ‘Arsy ar-Rahman.”(HR. Bukhari).

Menyebut tentang orang-orang yang dapat mewarisi Syurga Firdaus, mari kita merenungkan ayat-ayat Allah dalam Surah al-Mukminun ayat 1 - 11.

yang bermaksud:

[1]
Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman,
[2]
Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya;
[3]
Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia;
[4]
Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu);
[5]
Dan mereka yang menjaga kehormatannya, -
[6]
Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela: -
[7]
Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas;
[8]
Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya;
[9]
Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya;
[10]
Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi -
[11]
Yang akan mewarisi Syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya.
..........................................
Sebagai halwa telinga, jom dengarkan lagu nasyid oleh Opick
yang berjudul - 

Pewaris Syurga
mereka adalah pewaris syurga
manusia yang disayangi Allah
alangkah indah bila hati mengenangnya
tanda-tanda ada tujuh di hidupnya

yang pertama orang yang beriman kepada Allah
iman di hati mulut dan langkahnya
yang kedua orang yang menjauh dari segala
perkara-perkara yang tiada guna
yang ketiga orang yang menunaikan zakatnya
yang keempat yang menjaga kemaluannya
yang kelima orang yang memelihara amanat
yang keenam orang yang penuhi janjinya
yang ketujuh orang-orang yang selalu menjaga
waktu dan khusyu setiap sholatnya

mereka adalah orang yang dirindu syurga

Syurga Firdaus lah tempat kembali mereka

.............................

Hati Terpaut Pada Masjid

Bismillahirrahmanirrahim

"Tuan-tuan... Usia kita tinggal berapa hari lagi berbaki, moga-moga kita semua jadi ahli masjid", kata ustaz dalam kuliah maghrib malam tadi.

Teringat kata-kata seorang ustaz sebelum ini... "Sifat mukmin, orang yang hatinya tergantung pada masjid yakni hati sanubarinya sentiasa berpaut kepada masjid ... akan rasa bangga dapat nikmat  ibadah... dapat solat berjemaah, dapat duduk dalam majlis ilmu.. rasa nikmat.. bersyukur.. sering ucap Alhamdulillah terimakasih ya Allah." .. tazkirah malam tu di SINI

Sesungguhnya tidak ada tempat yang lebih baik selain dari masjid. Kita jadi mulia dengan Islam. Sesiapa saja baik laki-laki atau perempuan boleh mendapat kemuliaan (i) melalui kalimah yang baik samada menyampaikan atau mendengar perkataan yang baik dan  (ii)melalui amal soleh. 

Surah az-Zumar ayat 18 yang bermaksud:
"Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum agama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah, dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna."

Maksudnya mereka ini orang yang suka mendengar perkataan yang baik-baik, yang bermotivasi, yang menginsafkan diri.  Kemudian disusuli pula dengan amal yang baik.  Mereka itu yang mendapat petunjuk daripada Allah. Petunjuk yang tidak memerlukan modal. Mereka ini tetap datang ke masjid untuk solat berjemaah walau hujan lebat, tetap datang mengaji walaupun dalam keadaan cuaca berjerebu.  Bila mengaji, kalau tak tahu akan jadi tahu dan kalau dah tahu sekalipun InsyaAllah akan bertambah lagi tahu dia akan agama.

Dari Abdullah Ibn Mas’ud r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa yang diberi kebaikan oleh Allah SWT ke atas seorang hambaNya maka akan diberi faham dalam agama dan mengilhamkan didalam hatinya perkara-perkara yang benar. 

(HR Bazzar, Tabrani)

Jangan biarkan diri terus jahil terhadap mendengar seruan Allah. Alhamdulillah, bersyukurlah jika kita ada minat dan kemahuan untuk belajar sebab ada orang yang sudah 14 tahun hidup di depan masjid namun kaki tetap tak dapat melangkah datang ke masjid. Hidayah memang milik Allah. Namun kena ada usaha ke arah kebaikan maka InsyaAllah hidayah akan datang buat kita. Percaya dan yakin dengan keluasan rahmat Allah.

Dunia adalah medan ujian. Jika tak tahu tentang dosa pahala, tak tahu yang mana benar yang mana salah, maka mudah benar untuk kita jatuh tersungkur. Sedangkan dalam masa yang sama program maksiat makin bercambah. Semua itu tidak lain akan mengurangi nilai diri kita. Oleh kerana itu, kena ada usaha yang berterusan agar ada ilmu dalam diri supaya nanti tahap iman yang sentiasa turun naik mampu diselia.. InsyaAllah.

Surah al-Fat-h ayat 9 yang bermaksud:
"(Kami mengutusmu wahai Muhammad) supaya engkau dan umatmu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, dan supaya kamu kuatkan agama-Nya serta memuliakan-Nya, dan supaya kamu beribadat kepada-Nya pada waktu pagi dan petang."

Surah adz-Dzariyat ayat 50
"(Katakanlah wahai Muhammad kepada mereka): "Maka segeralah kamu kembali kepada Allah (dengan bertaubat dan taat), sesungguhnya aku diutuskan Allah kepada kamu, sebagai pemberi amaran yang nyata."

Biar terdetik dalam hati kita untuk menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai role-model. Contohi dan ikut sunnah Rasulullah SAW. Lazimkan diri duduk di dalam majlis ilmu dan bercampur dengan jemaah, moga-moga hati sentiasa terpaut pada masjid.

Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Tujuh golongan akan berada dibawah naungan rahmat Allah pada hari yang tidak ada naungan kecuali naunganNya. (Pertama): Raja yang adil. (Kedua): Pemuda yang menghabiskan masa mudanya dengan beribadat kepada Allah. (Ketiga): Seorang lelaki yang hati sanubarinya sentiasa berpaut kepada masjid. (Keempat): Dua orang yang berkasih sayang semata-mata kerana Allah. Bertemu dan berpisah kerana Allah. (Kelima): Seorang lelaki yang diajak oleh wanita bangsawan dan cantik kepadanya namun dia berkata: Aku takutkan Allah. (Keenam): Seorang lelaki yang membelanjakan hartanya secara sembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kanannya. Dan (Ketujuh): Seorang lelaki yang berzikir kepada Allah dengan bersunyi diri sehingga mengalirkan air mata. (HR Bukhari)

Dari Abu Hurairah r.a dan Abu Said Al-Khudri r.a keduanya bersaksi bahawa Nabi SAW bersabda: Tidaklah satu kelompok yang duduk mengingati Allah kecuali para malaikat menaungi mereka dengan sayap-sayapnya, dan rahmat Allah meliputi mereka, sakinah turun ke atas mereka dan Allah menyebut mereka dalam majlis para malaikat. (HR Muslim)

Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Orang yang sentiasa berulang-alik ke masjid di dalam kegelapan malam mereka itulah orang yang hati sanubarinya tenggelam di dalam rahmat Allah. (HR Ibn Majah)


Sebagai penutup, ustaz membaca firman Allah dalam Surah al-Kahfi ayat 28 yang bermaksud:
Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredhaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah lakunya pula adalah melampaui kebenaran.

Di akhir majlis ilmu, semua ikut ustaz mengalunkan doa istighfar yang mengundang sedih di dalam hati...
--------------------------------
Wahai Tuhan ku tak layak ke syurga Mu
Namun tak pula aku sanggup ke neraka Mu

Ampunkan dosa ku terimalah taubat ku

Sesungguhnya Engkaulah Pengampun dosa-dosa besar

Dosa-dosaku bagaikan pepasir di pantai

Dengan rahmat Mu ampunkan daku Oh Tuhan ku

Wahai Tuhan selamatkan kami ini

Dari segala kejahatan dan kecelakaan

Kami takut kami harap kepada Mu

Suburkanlah cinta kami kepada Mu

Kamilah hamba yang mengharap belas dari Mu


---------------------------------------------------

Sempena 1 - 10 Zulhijjah

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah menerima suntikan semangat yang luarbiasa selepas mendengar tazkirah yang disampaikan oleh ustaz berkacamata malam tadi. Ya Allah, syukur dengan nikmat majlis ilmu yang dikecapi. Bersyukur kerana masih terpilih di kalangan orang-orang yang dapat hadir di majlis ilmu.. Alhamdulilah.

Sempena bermulanya bulan Zulhijjah, ustaz mengajak kita semua agar berusaha menjaga amalan masing-masing. Lebihkan zikrullah, di mana jika pada hari-hari biasa kita berjaya zikir 1000 kali sehari, maka pada 1 - 10 Zulhijjah ini biar zikir kita meningkat jadi 2000 kali sehari.. InsyaAllah

"Tolong jaga 1 - 10 ini...", pesan ustaz.  Jaga solat fardhu.  Pastikan solat fardhu secara berjemaah di masjid atau surau.  Dan tambahi ibadah sunat. Tidak ada yang dapat menghalang kita dari melakukan perkara-perkara sunat. Ibadah sunat tiada hadnya, buatlah sebanyak mana pun, lagi banyak lagi baik, lagi dapat membantu kita.

Ustaz mengingatkan agar jangan kita mendirikan solat secara duduk jika diri kita masih mampu berjalan ke sana ke mari.  Jangan pula kita boleh pusing satu pasar malam namun malangnya bila solat kita solat secara duduk.  Boleh solat secara duduk hanya bilamana kita tak mampu untuk berdiri lama, rasa nak pitam, rasa nak jatuh atau sebagainya.  Jika tak begitu kuat alasannya, tiada sebab untuk kita dirikan solat secara duduk.. Wallahu'alam.

Ustaz berpesan agar janganlah kita bangkit hanya pada waktu Fajar semata-mata untuk solat Subuh sahaja yakni bangun setelah masuknya fajar, tapi bangunlah awal-awal yakni kita menunggu sebelum masuknya fajar/subuh. Ulamak mengatakan  bahawa orang yang bangun di waktu yang hanya untuk solat subuh, mereka ini termasuk di kalangan orang yang lalai...nauzubillah. Mereka ini gagal mencari qiamulail. Sesungguhnya begitu besar sekali kelebihan bangun qiamulail dalam usaha untuk mendekatkan diri kepada Allah. Janganlah kiranya kita temasuk menjadi orang-orang yang gagal untuk bangun qiamulail. Berqiamulail lah sebelum fajar. Fajar pula adalah salah satu masa yang bernilai di sisi Allah. Solat Subuh adalah waktu di mana seluruh malaikat(malaikat siang dan malaikat malam) menyaksikan ibadah kita. 

Kata ustaz, 10 Awal Zulhijjah merupakan 10 hari yang mempunyai kelebihan yang tersendiri yang disebut di dalam al-Quran dan diceritakan dalam hadis-hadis Nabi SAW. Ia adalah hari besar di sisi Allah dan hari besar di sisi Nabi SAW. Banyak hadis Nabi SAW yang menyebut, di antaranya:
Dari Jabir ra bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Maksudnya: "Tiada suatu hari yang lebih utama di sisi Allah melebihi hari-hari sepuluh(awal) Zulhijjah"   (HR Ibnu Hibban 3853)

Kata ustaz, ulamak menyebut.. yang paling hebatnya malam dalam setahun ialah di malam 10 akhir Ramadhan, manakala yang paling hebatnya siang dalam setahun ialah pada hari-hari 10 Zulhijjah.

Ulamak menyebutnya sebagai hari yang paling hebat kerana dalam 1 - 10 ini terkandung ibu segala ibadah yakni termasuk solat, puasa, haji dan bersedekah. Semua berkumpul dalam  1 - 10 Zulhijjah. Ulamak menggesa agar dihidupkan hari-hari itu dengan ibadah.  Kalau mampu berpuasalah setiap hari namun jika tak mampu berpuasalah pada hari Arafah. 

Rebutlah peluang yang Allah beri pada kita tahun ini. Peluang yang menyediakan hari-hari yang perlu kita mengisinya dengan ibadah.  Yang fardhu kita sempurnakan, yang sunat kita tambah.  Rebutlah peluang ini. Mari kita berubah untuk menjadikan awal 10 Zulhijjah sebagai hari-hari besar yang istimewa untuk kita lebih gandakan ibadah. "Sepatutnya kita dah berubah lama dah...", kata ustaz. "1 - 10 Zulhijjah menyediakan banyak ruang dan peluang untuk kita memperbanyakkan ibadah.." Subbhanallah. 

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Jemput ulang baca 'Amalan di Awal 10 Zulhijjah' yang pernah di-postkan entri sebelum ini. 

Sila klik: AMALAN DI AWAL 10 ZULHIJJAH

atau boleh terus baca di sini...

Nasihat khusus untuk diri sendiri, en suami, anak-anak serta saudara muslimin muslimat sekelian, disampaikan hari ini apa yang ustaz pesan semalam iaitu dengan tibanya tarikh 1 Zulhijjah yang ternyata menyajikan pelbagai kelebihan dan ganjaran pahala. Mungkin ramai yang tidak menyedari betapa besarnya kemuliaan beramal ibadat yang jika dilakukan pada 10 hari terawal di bulan Zulhijjah. 

Mengetahui hari-hari dan bulan yang dimuliakan oleh Allah SWT merupakan jalan untuk mencapai takwa kepada Allah. Beribadah dan mendekatkan diri pada Allah sememangnya merupakan tuntutan yang tidak bermusim. Namun ada tempat, waktu, hari dan bulan yang disebut mempunyai banyak kelebihan di mana adalah amat dituntut untuk kita tidak melepaskan peluang dari melakukan ketaatan sejajar dengan kemuliaan tempat, waktu, hari dan bulan tersebut di sisi Allah. Tempat yang mulia seperti Masjidil Haram, waktu yang mustajab seperti sepertiga malam yang akhir, hari yang banyak kelebihan seperti hari Arafah, malam yang semulia seribu bulan iaitu malam Lailatul Qadr dan bulan yang penuh rahmat dan pengampunan iaitu bulan Ramadhan. 

Dari Ibn Abbas ra bahawa Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya: "Tiada amal soleh yang dilakukan pada hari-hari tertentu yang paling disukai oleh Allah melebihi amal soleh pada hari-hari ini"(iaitu 10 hari di awal Zulhijjah). Para sahabat bertanya: "Ya Rasulullah! Ia melebihi (semua amalan) walaupun dibandingkan dengan berjihad pada jalan Allah?" Jawab Baginda SAW:: "Walaupun dengan amalan jihad pada jalan Allah, Kecuali orang yang keluar berjihad dengan nyawa dan hartanya, lalu dia tidak pulang dengan apa-apa(mati syahid dan hartanya habis).   (HR Abu Daud 2438) 

Dari Jabir ra bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Maksudnya: "Tiada suatu hari yang lebih utama di sisi Allah melebihi hari-hari sepuluh(awal) Zulhijjah"   (HR Ibnu Hibban 3853)  

Peluang mendapat kemuliaan dan redha Allah SWT di 10 awal Zulhijjah:  
  • Bertaubat dan memperbanyakkan Istighfar. Bertaubat atas kesalahan dan keterlanjuran yang telah kita lakukan. Sekiranya kita tidak mampu memperbanyakkan istighfar setiap hari sepanjang masa, sekurang-kurangnya jangan kita tinggalkan mengucap Penghulu segala Istighfar.
Sesiapa yang mengucapkannya di siang hari dalam keadaan meyakininya kemudian dia mati pada hari itu sebelum petang hari, maka dia termasuk penduduk Syurga dan siapa yang mengucapkannya di waktu malam hari dalam keadaan meyakininya, kemudian dia mati sebelum subuh maka di termasuk penduduk Syurga." (HR Bukhari 6306) 

  • Memperbanyakkan amalan zikrullah seperti bertasbih, bertahmid, bertakbir, bertahlil dan berdoa. Tasbih yang paling disukai Allah SWT tersebut dalam hadis: Maksudnya: Dari Abu Dzar ra berkata: Rasulullah SAW pernah bertanya kepada saya" "Hai Abu Dzar, mahukah kamu aku khabarkan tentang ucapan yang sangat disukai Allah? Saya menjawab, "Ya, khabarkanlah kepada saya tentang ucapan yang disenangi Allah." Kemudian baginda bersabda: Sesungguhya ucapan yang paling disukai Allah: Subhanallah hiwabihamdih (Maha suci Allah dengan segala puji bagi-Nya)           (HR Muslim 4911)

Amalkan ucapan tahlil yang banyak ganjaran dan kelebihannya.  Daripada Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda:
Maksudnya:  "Barangsiapa yang mengucapkan
La ilaha illallah hu wahdahu la syarikalah lahul mulku walahul hamdu yuhyii wa yumiitu wa huwa ‘ala kulli syai’in qodiir’  (Tiada tuhan melainkan Allah semata dan tiada sekutu bagi-Nya, milik-Nya lah segala kerajaan dan pujian dan Dialah Maha menguasai atas segala sesuatu) sebanyak 100x dalam sehari, maka baginya mendapatkan pahala seperti membebaskan sepuluh orang hamba sahaya, ditetapkan baginya 100 hasanah(kebaikan) dan dijauhkan darinya 100 keburukan dan baginya perlindungan dari (godaan) syaitan pada hari itu hingga petang dan tidak ada orang yang lebih baik amalnya dari orang yang membaca doa ini kecuali seseorang yang mengamalkan lebih banyak dari itu."   (HR Bukhari 5924)      
  • Menjaga ibadah solat yang fardhu dengan berjamaah dan memperbanyakkan solat-solat sunat. 
Terngiang-ngiang kata-kata ustaz... "bantulah dirimu dengan memperbanyakkan sujud..."   
Solat merupakan perbuatan mendekatkan diri kepada Allah Taala.
Rasulullah SAW berpesan kepada Tsauban ra: Maksudnya: "Hendaklah kamu memperbanyakkan sujud(solat)kepada Allah, kerana tidaklah kamu bersujud kepada Allah dengan suatu sujud melainkan Allah akan mengangkatmu satu darjat dengannya, dan menghapuskan dosa darimu dengannya" (HR Muslim 753) 
  • Berpuasa. Rebutlah peluang yang ada dengan memperbanyakkan berpuasa pada 1 hingga 9 Zulhijjah kerana ibadah puasa merupakan ibadah yang boleh menjauhkan seseorang dari api neraka.  Berpuasa khususnya puasa sunnah ‘Arafah:
    Dari Abu Qatadah ra berkata, Rasulullah SAW ditanya tentang puasa hari ‘Arafah? Rasulullah SAW menjawab, ”Menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.” (HR Muslim)
  • Membaca al-Quran. Ustaz menyarankan agar kita istiqamah membaca al-quran setiap hari. Sekurang-kurangnya bacalah al-quran 50 ayat setiap hari. 
  • Melakukan ibadah Korban. Korban merupakan ibadah yang sangat dituntut ke atas setiap mukallaf yang berkemampuan melakukannya. 
  • Bersedekah. Bersedekahlah setiap hari. Sedekah adalah amalan yang menghampirkan kita kepada Alah, menjauhkan seseorang dari murka Allah dan InsyaAllah mendapat husnul khatimah. 
Daripada Anas bin Malik ra telah berkata, Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya: "Sesungguhnya sedekah itu menjauhkan murka Allah dan menjauhkan seseorang dari meninggal dalam keadaan yang buruk (su'ul khatimah). (HR Tirmidzi 600) 

Daripada 'Adiy bin Hatim ra berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya: "Hindarilah kalian dari neraka sekalipun dengan (bersedekah) sebiji kurma". (HR Bukhari 1328) 
  • Qiamullail. Hidupkanlah malam dengan amal ibadah seperti solat, membaca al-quran, zikrullah, Istighfar dan doa. Qiamullail merupakan jalan mendapatkan kemuliaan. 
Daripada Bilal ra bahawa Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya: "Hendaklah kamu melaksanakan qiamullail. Sesungguhnya ia adalah amalan para salihin sebelum kamu, sesungguhnya qiamullail itu alat mendekatkan diri kepada Allah, pencegah dari dosa, penghapus bagi kejahatan dan penolak penyakit dari jasad." (HR Tirmidzi) 

Di akhir tazkirah, ustaz ulang berpesan agar kita sama-sama menjadikan 10 awal Zulhijjah ini sebagai titik tolak untuk kita cuba melipat-gandakan usaha dalam melakukan amal-amal soleh. Mudah-mudahan tergerak hati kita, mudah-mudahan jadi bersemangat kita untuk bangun berqiamullail. Isikan masa kita dengan zikir. Pesan ustaz, jika kita tidak mampu untuk memperbanyakkan amalan taat pada hari-hari yang mulia di sisi Allah ini, maka janganlah pula kita sampai tergamak melakukan perkara-perkara maksiat yang mengundang murka Allah. Sedar dan malulah kita pada Allah yang sentiasa memerhatikan kita. Ustaz syorkan agar kita membuat jadual atau personal check-list untuk tujuan menyemak amalan masing-masing. Bermuhasabah diri, perbaiki dan tingkatkan amalan dari sehari ke sehari. Moga lebih bermotivasi kita semua
menghayati 10 Awal Zulhijjah... amiinn

.........................

Wallahu'alam.


Cream Puff Yang Sedap

Bismillahirrahmanirrahim


Alhamdulillah, anak-anak suka sangat makan cream puff.
Saya sendiri pun suka.  Selalu jugak la buat cream puff.  Lepas dah siap semua, sejukkan dulu cream puff dalam peti sejuk baru dimakan.  Sedap makan sejuk2, rasa nyaman gitu.. ha ha

Nak share resepi cream puff yang sedap bagi saya.. agak laa.. Saya suka tukar-tukar resepi tiapkali buat cream puff, sampai la pada suatu hari tu terbuat resepi yang ini. Alhamdulillah rasa cam kena je dengan tekak.. he he.. Lepas dari hari tu, asal buat cream puff je mesti pakai resepi yang ni...tak tukar-tukar dah.

Cream Puff amat sesuai kita buat untuk minum petang, bawak pegi masjid atau surau, bawak sebagai buah tangan pegi rumah kawan atau ziarah orang sakit, bawak pegi berkelah, sebagai bekalan kueh untuk anak balik hostel, kueh sampingan untuk jamuan dan sebagainya.  Cream Puff juga sangat sesuai untuk kanak-kanak dan orang-orang tua, sebab ianya lembut, takde manis sangat dan yang penting ianya.. sedapp.. :)

Meh kita tengok resepinya...resepi senang pakai sukat cawan jeh..

Resepi Cream Puff Yang Sedap
Kulit cream puff:
1 cawan air
1/2(setengah) cawan margerin planta
1 cawan tepung
1 sudu kecil esen vanilla
1/2(setengah) sudu kecil garam
5 biji telor gred C(4 biji jika pakai telor besar)

Cara buatnya mudah saja:
Mula-mula didihkan air dengan margerin serta garam dalam periuk. Bila dah mendidih, tutup api dan alihkan periuk dari dapur.  Masukkan tepung, kacau-kacaukan kesemuanya sehingga terbentuk doh. Panaskan balik atas api, kacau lagi hingga tepi periuk nampak macam berkeping-keping sikit.  Ok tutup api dan biarkan sejuk sekejap doh.  Sementara itu panaskan oven 200" beserta loyang yang dah disapu margerin   Kemudian pukul telor dalam mangkuk berasingan, tuangkan sedikit demi sedikit telor ke dalam campuran doh.  Kacau-kacaukan ia, ulang tuang telor sehingga habis kesemuanya. Kacau hingga sebati. Ok tunggu adunan tersebut sejuk sekejap baru dipaip/disudukan ke atas loyang.  Saya masukkan saja adunan tersebut ke dalam plastik(plastik biasa je, plastik gelung yang kita koyak-koyak cam kat pasaraya tuh) kemudian gunting hujungnya supaya boleh dipaip keluar doh tersebut.

Paipkan secara berpusar, kecil-kecil saja pusarannya jangan terlebih besar sebab pastri ini akan mengembang setelah dibakar.  Bakar selama 17 - 20 minit.
Bila dah sejuk, gunakan gunting untuk membentuk lubang pada pastri supaya boleh dipaipkan pula intinya.


Inti cream puff:
3 sudu besar (umbu/membukit) kastard
3 sudu besar(umbu) gula
secubit garam
2 cawan susu kotak Ducth Lady full-cream(nak tukar pakai santan pun boleh)
1 sudu kecil vanilla

Cara buatnya:
Campurkan kesemua bahan.  Kacau atas api hingga likat.
Bila dah agak tak berapa panas, bolehlah dipaipkan inti ke dalam kulit cream puff. Bajet-bajet la masa paipkan inti, jangan terlebih paip nanti tak cukup pula untuk di-isi pada kesemua kulit.

Ok macam tu lah cara senang saya buat cream puff.  Selamat mencuba, InsyaAllah ianya sangat nyaman untuk dimakan seisi keluarga.. :)

Wassalam.