Jadi Hebat

Bismillahirrahmanirrahim

..sedutan pengisian dari majlis ilmu..

Kita ucap syahadah...
Kita katakan Islam agama kita...
Kita katakan Islam cara hidup kita...
tapi... bagaimana amalan kita? Banyak mana hukum Allah yang kita jalankan? Al-Quran yang diturunkan, apakah kita sering baca dan mengamalkan isi kandungannya? Solat, apakah kita sentiasa menjaga waktu solat, apakah kita sentiasa utamakan solat kita?

Persoalan itu mesti sering kita ulang tanya pada diri sendiri untuk memastikan apakah kita ini buat sebagaimana yang di-ucap. Kena berazam, agar dapat mati dalam Husnul Khatimah iaitu mati dengan kesudahan yang baik. Jangan kita mati dalam keadaan Suul-Khatimah iaitu mati dalam keadaan yang buruk, mati dalam keadaan yang tidak diredhai Allah... nauzubillah

Hendaklah kita berusaha untuk buat apa yang menjadi kewajipan kita sebagai seorang Islam. Disebut, antara orang-orang yang mati dalam Suul Khatimah ialah orang yang ambil ringan perihal solat. Golongan ini yang paling ramai mati dalam Suul Khatimah.

Solat merupakan perkara pertama yang akan ditanya dan dihitung di hari akhirat nanti. Abu Hurairah ra pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Perkara pertama yang ditanya kepada seorang hamba tentang amalannya ialah solatnya.  Jika baik, dia telah berjaya dan maju.  Jika rosak, dia telah celaka dan rugi.  Jika amalan fardhunya kurang, Allah berkata: Perhatikan adakah hambaKu melakukan amalan sunat yang boleh menampung kekurangan amalan fardhunya.  Kemudian dilakukan perkara yang sama pada amalan-amalan lain." (HR an-Nasai dan Termidzi)

Solat itu penyambung hubungan antara mahkluk dengan penciptanya.  Allah Taala yang menjadikan kita. Solat itu hubungan kita dengan Allah.  Kita sering dengar kata-kata, "Solat itu tangga kejayaan". Bila ada anak nak periksa, kita ramai-ramai ke masjid buat solat hajat untuk anak yang nak ambik spm, upsr dan sebagainya. Apakah solat hajat kita itu untuk tujuan menempa kejayaan semasa di dunia sahaja?  Apakah kita tidak ingat tentang kejayaan di akhirat yang sebenarnya itu yang utama harus dicapai... Anak-anak kena didik agar faham agama.  Kena latih anak kita solat seawal usia 7 tahun. 

Hadis Nabi SAW yang bermaksud:
Dari Abdullah bin Amr Ibn As r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Perintahkanlah anak-anakmu bersolat ketika berumur tujuh tahun dan rotan-lah dia jika tidak mahu bersolat ketika diumur sepuluh tahun dan pisahkanlah diantara tempat tidur mereka (antara adik-beradik lelaki dan perempuannya). (HR Abu Daud)

Ustaz selitkan kisah Sultan Muhammad al-Fateh yang begitu mementingkan solat. Diceritakan bahawa tentera Sultan Muhammad al-Fateh yang seramai kurang lebih 150,000 orang itu tidak pernah meninggalkan solat wajib sejak baligh manakala separuh dari mereka tidak pernah meninggalkan solat rawatib sejak baligh. Bila Sultan Muhammad al-Fateh sampai pada soalan ketiga iaitu bertanya tentang siapa yang tidak pernah meninggalkan solat tahajjud dari sejak baligh hingga ke saat itu, ternyata hanya Sultan Muhammad al-Fateh saja yang tidak pernah meninggalkannya. Beliau itu tidak pernah tinggalkan solat wajib, rawatib dan tahajjud sejak dari usia baligh lagi... Subhanallah. Begitu hebat Sultan Muhammad al-Fateh!.  

Kata ustaz, jika kita ingin lahirkan anak yang hebat, kita sebagai ibubapanya kenalah jadi seorang yang hebat terlebih dulu.  Jika ingin anak berjaya, ibubapa kenalah berhasil untuk berjaya terlebih dulu.  Maka jagalah solat kita. Utamakan solat. Jaga waktu solat. Jangan dilambat-lambatkan. Solatlah secara berjemaah di masjid atau surau(menjadi kewajipan buat kaum muslimin).  Elakkan solat fardhu seorang diri di rumah. Elakkan solat fardhu seorang diri di mana-mana sudut/bucu dalam pejabat. Pergilah ke surau atau mana-mana masjid berhampiran untuk solat berjemaah. 

Solat ini kunci kejayaan.  Perbezaan antara seorang muslim dengan orang kafir adalah solat. Ini bermakna, meninggalkan solat dengan sengaja menjadikan seseorang itu kafir sebagaimana satu riwayat menyebut, "Siapa yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja, maka dia telah kafir terang-terangan."
Jadi kalau kita tak solat, kepada siapa sebenarnya kita sembah? Fikir-fikirkanlah... Selama ini Allah bagi pelbagai nikmat buat kita.  Allah beri rezeki, Allah beri kita kehidupan.  Utamakanlah solat... yang merupakan penghubung antara kita dengan Al-Khaliq...


Wallahu'alam.

No comments:

Post a Comment