Orang Yang Soleh

Bismillahirrahmanirrahim
Moga Allah Taala memberi taufiq dan hidayahNya yang berterusan buat kita sehinggalah tiba waktu kita bertemu denganNya. Hari ini sudah 5 Muharram, tahun baru Hijrah 1435.  Semoga dengan keberadaan kita di dalam bulan ini, dapat menyuburkan lagi keimanan kita serta meningkatkan lagi taqwa kita kepada Allah Taala... ameen

Dikatakan...
Seseorang itu tidak akan mampu melihat kebersihan dirinya sendiri melainkan dengan adanya cermin yang bersih, cermin yang dapat memperlihatkan jasmaninya secara jelas.  Jika cermin bersih, tak kotor, barulah dapat tengok wajah kita yang sebenarnya.. nampak berseri.  Namun jika cermin kotor, wajah kita akan ikut nampak tak bersih.
Itu perumpamaannya...

Maka, semoga kita dalam kehidupan seharian, mampu untuk mempunyai saudara Mukmin yang ikhlas, yang berakhlak teguh dan yang mempunyai iman yang mantap.  Kita memerlukan seorang teman atau sahabat yang mukmin, yang ikhlas, yang jujur.  Kerana apa? Supaya teman kita itu dapat memberi nasihat yang benar buat kita.  Sahabat ra iaitu Umar al-Khattab sebagai contoh telah membuka pintu seluas-luasnya untuk menerima nasihat.

Nasihat yang ikhlas adalah penting untuk menjadikan kita semakin taat pada Allah. Jika teman kita seorang yang tidak ikhlas, kita tidak akan menerima nasihat atau teguran bilamana kita tidak benar dalam tindakan, malahan teman tersebut sebaliknya di hadapan kita hanya cenderung memberi pujian semata-mata.  Kalau sahabat yang berdamping dengan kita bukan seorang yang jujur, akan menyebabkan kita menjadi malas untuk tingkatkan ibadah sebab kita dah rasa baik, dah rasa sempurna.

Ustaz ulang mengingatkan bahawa seorang mukmin itu perlukan seorang sahabat yang jujur, yang dapat memberi nasihat.  Seorang teman yang InsyaAllah mampu menunjukkan kepada kita di mana akhlak kita yang belum baik, yang perlu diperbaiki...contoh: "Aku tengok kau ni selalu ulang-alik ke masjid...alhamdulillah... cuma aku rasa kau ni 'sabar' je yang belum ada lagi..." Sahabat yang jujur akan berani menegur kita jika jelas kita ini nampak agak sukar mengawal diri bila marah, agak kurang sabar, tak boleh ada silap sikit...cepat marah.  

Nabi SAW ada bersabda, yang bermaksud:
Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Seorang yang kuat itu bukanlah orang yang dapat membalas(pukulan lawannya) tetapi seorang yang kuat itu ialah dia yang dapat mengawal diri dan perasaannya dengan baik ketika marah. 
(HR Bukhari)


Dari Abu Hurairah ra bahawasanya ada seorang lelaki yang berkata kepada Nabi SAW: "Berikanlah wasiat padaku!" Nabi SAW menjawab: "Janganlah engkau marah." Orang itu mengulang-ulangi lagi permintaan wasiatnya sampai beberapa kali, tetapi beliau SAW  tetap menjawab: 
"Janganlah engkau marah."  
(Riwayat Muslim)

Kalau ada orang yang menyakiti kita,  kita gunalah cara ilmiah atau berilmu untuk nak balas balik.  Mesti bagi respon yang diredhai Allah.. bukan sekadar ikut kata hati dan pemikiran kita.  Hendaklah sentiasa cuba mengawal perasaan kita dengan sebaik-baiknya.  Apa yang berlaku di hadapan kita, itulah akhlak kita. Kita akan mampu mendidik anak jika kita cuba untuk turut berada dalam kedudukan mereka. Fahami masalah mereka. Jangan mendidik anak hanya dengan cara ikut pemikiran kita.  Muhasabah diri, kita pun ada helah sebagaimana anak kita yang sesekali agak liat atau tak berapa nak dengar kata. Misalnya, kita jika time free atau masa takde hal baru kita akan ke masjid solat berjemaah dan luangkan masa duduk mendengar dalam majlis ilmu tapi bila ada lawan bola contoh Kelantan vs Pahang macam baru-baru ini 'terpaksalah' cuti pegi ke masjid sebab nak tengok bola.. ish-ish.

Mesti ada teknik dalam mendidik anak. Kata ustaz, setiap maqam manusia itu ada teknik atau kaedah bila bercakap. Ada orang yang serius dalam menyampaikan, ada yang dalam gaya santai dan bersahaja. Semua ada cara dan pendekatan masing-masing dalam usaha mendekatkan seseorang pada Allah Taala.  Nak didik orang agar dekat dengan Allah, banyak kaedahnya. Ustaz bagi contoh:  Ustaz Azhar Idrus yang begitu dikenali ramai, mempunyai kaedah yang agak luarbiasa dalam nak menarik orang ramai datang ke masjid. Cara beliau yang 'santai namun ilmu sampai itu' ternyata mendatangkan kesan yang mendalam khususnya pada jiwa anak-anak muda sehingga beliau mampu memberi kesedaran untuk mereka datang mendengar ceramah agama. Bukan semua orang mampu buat sebagaimana kemampuan Ustaz Azhar Idrus. Jelas bahawa, beliau yang punya cara dan karisma yang tersendiri dalam menyampaikan ilmu mampu menarik hati ramai orang untuk lebih dekat dengan agama.. Subhanallah

Ada kata-kata yang menyebut, hendaklah kamu bersahabat dengan orang yang baik kalau kamu hendak menjadi orang yang baik, hendaklah kamu bersahabat dengan orang yang soleh kalau kamu hendak menjadi orang yang soleh, hendaklah kamu bersahabat dengan orang yang taat jika kamu ingin menjadi orang yang taat dan hendaklah kamu bersahabat dengan orang yang sering tingkatkan amalannya jika kamu ingin sentiasa tingkatkan amalan kamu.

Kesimpulannya, berdampinglah dengan orang yang lebih banyak taatnya daripada kamu.   Contoh: Dia sering puasa Isnin Khamis, jadi  kita yang jarang berpuasa ini akan rasa bersemangat untuk ikut macam dia. Dan jika kita ingin mengajak orang agar ikut taat sama macam kita, hendaklah kita mempersiapkan diri dengan ilmu dan sentiasa mengamalkan ilmu. Analoginya; kita usaha mendalami ilmu fotografi kalau yang nak datang mendengarnya fotografer. Itu contoh.

Kata ustaz, lumrahnya kita pandai menipu bila berada di khalayak ramai. Kita tak sama bila di hadapan orang dengan kita yang semasa di rumah.  Kita mungkin nampak baik di depan makhluk.  Contoh: Kita tolong orang untuk dapat pujian. Maka bila kita bersahabat dengan orang yang suka memuji berlebih-lebihan, tentunya kita akan jadi begitu teruja dengan pujian sehingga membuatkan kita lupa akan dosa-dosa dan keaiban kita yang lampau.  Kita mencari pujian dan ketinggian dalam berbuat kebajikan sampai lupa pada akhirat, hingga lalai untuk istighfar dan mohon ampun pada Allah, hingga terlupa akan takut dan cinta kita kepada Allah.

Diceritakan perihal seorang tuan sheikh yang merupakan tenaga pengajar di sebuah pondok pengajian al-quran.  Ada seorang hambaAllah telah datang ke pondok tersebut untuk memberi khidmat. Beliau menawarkan diri untuk tolong menyusun selipar anak-anak murid tuan sheikh yang datang belajar. Namun dia telah diberitahu oleh tuan sheikh bahawa telah ada seseorang yang lain untuk tugas tersebut. Dek timbul perasaan ingin tahu siapa yang bertugas menyusun selipar-seliper itu setiap hari, maka diapun menunggu untuk melihat orangnya.  Dia bagaimanapun agak terperanjat kerana orang yang keluar menyusun selipar anak-anak murid di tangga pondok rupa-rupanya tuan sheikh sendiri.

Begitulah contoh tawadhuk orang yang soleh.  Orang yang alim tidak semestinya soleh. Moga-moga  kita termasuk dalam golongan orang-orang yang soleh. Bila kita tak mampu mendidik diri untuk jadi orang yang soleh, maka kita pada hakikatnya telah menjadi orang yang gagal dalam mendidik anak kita menjadi anak yang soleh. Maka islah-kan diri, agar mudah-mudahan kita menjadi orang yang baik, mendengar kata dan berakhlak tinggi. 

Orang yang berakhlak mampu melahirkan anak-anak murid yang berakhlak. Orang yang berakhlak mampu melahirkan anak-anak yang berakhlak. Kawal diri dari mempamerkan akhlak yang buruk di depan anak-anak; contoh bila ada kereta yang dengan begitu laju memotong kereta kita, kita terus kata, "Bodoh! Tu mesti pompuan!" Jadi perkataan dan akhlak itu, anak-anak kita dengar dan lihat. Bila insiden seumpamanya berlaku lagi, anak-anak akan mudah untuk kata, "Bodoh kan orang tu bapak! Tentu pompuan yang bawak keta tu!" 
Hah, tu dia... siapa dalam hal ini patut disalahkan... 

Pesan ustaz, ikutlah kita akan sunnah Nabi SAW. 
Firman Allah dalam Surah al-Ahzab ayat 21
yang bermaksud:
Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).

Serta ikutlah orang-orang yang dekat dengan Nabi SAW khususnya para ulamak tasawuf.  Mereka adalah orang-orang yang soleh, yang wajahnya kita merasa suka bila kita pandang, wajahnya sahaja sudah cukup dapat mendorong kita melakukan amalan ketaatan kepada Allah Taala. InsyaAllah akan beroleh hasil yang besar manafaatnya jika kita bersahabat dengan orang-orang yang baik dan soleh, berdampingan dengan orang yang soleh serta hadir di dalam majlis-majlisnya.

Wallahu'alam.

No comments:

Post a Comment