Buat Amal Yang Terbaik

Bismillahirrahmanirrahim

Sedutan pengisian majlis ilmu...

Dikatakan bahawa godaan pertama yang iblis buat pada manusia ialah melalui mata. Iblis boleh menjadikan mata kita melihat maksiat itu indah. Contoh: Seseorang itu tetap suka memandang yang haram biarpun tahu ianya haram. Mata manusia mudah digoda. Jadi awas, mohonlah pada Allah agar dapat bantu kita mengawal diri, kerana sesungguhnya tiada daya dan upaya kita melainkan dengan pertolongan Allah. 

Usaha hindari maksiat.  Jangan hampiri. Elakkan langkah pertama kepada maksiat. Contoh: Allah tak kata, jangan berzina tapi Allah kata jangan hampiri zina. Maknanya kena jauhi. Jika buat dosa, kita telah menzalimi diri kita sendiri. Kata ustaz, contoh, dosa kita pada orang. Bila kita maki orang atau pukul orang, perbuatan itu hakikatnya bukan menyakiti orang tersebut sebaliknya ia telah menyakiti diri sendiri. Perbuatan itu telah menyebabkan diri kita akan dimasukkan ke dalam neraka. Itulah maknanya kita menzalimi diri kita sendiri. Perbuatan mungkar dan maksiat sebenarnya telah menganiaya diri kita sendiri bukan menganiaya orang lain. 

Firman Allah dalam Surah al-Israa ayat 7, yang bermaksud:
"Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga...." 

Maka, bila rasa berdosa, ambik peluang cepat2 minta ampun pada Allah. Jangan tangguh untuk minta ampun pada Allah. Mohon ampun dan minta kesian belas dari Allah untuk menyelamatkan kita dari api neraka.  Kita hari ini celik2 mata saja di pagi hari, dah buat dosa. Kalau buat dosa, kita ini macam tak menyesal sebab contoh; pagi tadi dah buat, petang buat lagi. Kita selalu dan sering mengulang-ulang buat. Sepatutnya kena ada rasa bersalah bila buat dosa. Kena menyegerakan taubat, tak tangguh taubat.  Jangan kata.."takpe la biar la dulu nanti tua baru taubat..." Kita tak tahu kita dapat sampai ke tidak pada usia tua itu. Dikhuatiri tak sempat tunggu sampai tua.  

Walaupun hakikatnya kita sering melakukan dosa namun kena ada kemahuan untuk bertaubat. Kita tak dapat lari dari dosa sebab kita lemah, tapi kita sentiasa diberi peluang oleh Allah Taala untuk bertaubat.  Maka kena selalu taubat. Perbaiki amalan kita. Kukuhkan amal kebaikan agar dipermudahkan untuk berterusan menerima hidayah dan taufik dari Allah Taala. Sentiasa berdoa agar Allah pelihara diri kita dari mudah terpedaya dengan maksiat. Doa agar tidak mudah tewas dengan hasutan syaitan, musuh yang nyata.

Yang dinilai oleh Allah ialah: 
(1) keikhlasan dalam amalan kita. 
Ambil perkara yang baik. Jangan ambil yang tak elok dalam beramal sebab Allah tak terima amal yang sebegini. Contoh: Kalau nak menderma pada orang, jangan lah kita derma barang yang dah tak berapa elok. Dah jadi perkara biasa dan berlaku di mana-mana iaitu bila ada nak bagi derma pada orang susah, habis clear satu bilik stor kita punggah baju-baju lama nak kasi orang.  Kata ustaz, eloklah bagi barang-barang baru. Belilah yang baru, bukan bagi barang yang dah kita pakai yang kalau bagi pada anak-anak kita pun dia orang tak nak pakai.  Beri yang terbaik pada orang, baru lah terserlah kemahuan untuk mendekatkan diri pada Allah. Kita beri pada anak yatim, hakikatnya kita beri pada Allah. Jadi ubahlah sikap agar tidak lagi beri barang-barang buruk. Kalau nak bantu bagilah duit boleh diaorang guna, kalau nak bagi barang berilah barang yang baru.  Barulah nampak kita ini ikhlas pada Allah Taala.

(2) Pelaksanaan amal itu buat kerana takwa kepada Allah Taala. 
Contoh; Kita masuk 'korban'.  Janganlah kiranya kita masuk korban itu sebab nak menunjuk-nunjuk ada nama dalam list orang yang melakukan ibadah korban di papan kenyataan. Ini beramal bukan sebab takwa tapi beramal untuk nak dapat nama di kalangan sesama manusia. Contoh lagi: Bila buat tahlil di masjid, rasa marah bila pengerusi masjid tak sebut nama kita sebagai orang yang buat tahlil malam tu. Nak sangat nama disebut2 dan dikenali bila buat perkara kebajikan.

Dari Zaid bin Thabit r.a berkata: saya telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Jika matlamat seseorang itu adalah dunia maka Allah SWT akan memporak perandakan urusannya. Yakni Allah SWT akan menyusahkannya di dalam segala urusan (rasa khuatirkan) kemiskinan terbayang-bayang dihadapan matanya, dan dia akan mendapat dunia hanya sekadar apa yang telah ditakdirkan untuknya. Dan sesiapa yang niatnya adalah akhirat, maka Allah SWT akan memudahkan urusannya dan Allah SWT akan menjadikan hatinya kaya, dan dunia akan datang dalam keadaan hina kepadanya. (HR Ibnu Majah)

Ustaz menceritakan riwayat sahabat iaitu Abu Darda ra yang katanya, '..kalau aku sembahyang, aku dapat rasakan sembahyang aku Allah terima...'
Dia dapat rasa Allah terima amalnya.. Subhanallah

Kita? Ada tak kita pernah terfikir perkara itu? Kita yang rasa kita dah lama solat, kita yang dah lama puasa, adakah kita begitu pasti Allah terima amal-amal kita.  Kena muhasabah diri, apakah Allah terima atau tidak amal kita yang hanya 'lebih kurang' itu. Kena mintak pada Allah agar terima amalan yang kita buat.  Kita yang hanya buat sekadar cukup-cukup makan saja amal, tak teringat pun nak mohon pada Allah agar Allah terima.  Kita yang mengaji lebih kurang saja ni, tak mintak pun pada Allah agar Allah terima amalan mengaji kita. Tu belum lagi sebut pasal 'ikhlas'... Sesungguhnya banyak compang comping dalam amal kita. Maka beringat-ingat lah..  Biar cenderung, biar ada tendency atau ambik kira untuk bermuhasabah diri tentang adakah Allah terima atau tidak amal yang kita kerjakan. Moga Allah terima. Lebihkan usaha agar Allah dapat terima.

Mari kita kukuhkan azam untuk buat yang terbaik dalam amal kita, biar ikhlas kerana Allah Taala bukan sebab lain. Buatlah bersungguh-sungguh untuk memburu kebaikan di akhirat, bukan buat sekadarnya saja, bukan hanya buat cukup-cukup makan sahaja. Jangan biar diri kita kekal dalam amal yang tak seberapa dan yang tak banyak mana. Tambahkan kuantiti, mantapkan kualiti. Buat yang terbaik agar Allah terima amal kita, Allah limpahkan rahmat serta memasukkan kita ke dalam Syurga-Nya...amiinn.

Wallahu a'lam.


No comments:

Post a Comment