Hati Yang Kasih


Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah bersyukur pada Allah, berterimakasih pada Allah atas nikmat Iman dan Islam.  Moga-moga beroleh kejayaan dalam hal mentaati Allah, moga-moga beroleh kejayaan dalam mentaati segala yang diperintah dan meninggalkan segala yang ditegah, menunaikan dari sekecil-kecil yang yang diperintah dan meninggalkan dari sekecil-kecil yang ditegah.  Moga-moga kita melakukannya semata-mata kerana Allah, tidak ada kerana harta, tidak ada kerana megah, tiada kerana hendak menonjolkan diri.  Moga-moga akan beroleh istiqamah, bertambah kasih pada Allah, semakin kenal Allah semakin kenal Rasulullah SAW.  Itulah kejayaan.
Belajar tauhid, maka InsyaAllah akan mentauhidkan Allah, gerunkan Allah, kasihkan Allah.  Moga-moga dapat letakkan agama di hadapan, nafsu di belakang.  

Juga bersyukur dengan nikmat ilmu dan amal.  Semakin belajar, semakin diberi ilmu InsyaAllah semakin nampak kelemahan diri.  Semakin belajar, semakin nampak diri tu jahil.  Amal yang  Allah anugerahkan, lihatlah bahawa amal itu anugerah Allah, elakkan ujub rasa bangga diri. Jangan kiranya kita, baru diberi alim sedikit, dah rasa diri hebat.

Moga-moga beroleh hati yang bersih.  Antara sifat hamba, kosong hati kecuali Allah. Kita semua sama saja, yang membezakan hanyalah tinggi taqwa di sisi Allah.  Jangan ada rasa kita pandai, dia tak pandai, kita banyak ilmu, dia tak ada ilmu.  Tonjolkan sifat tawadhuk dalam diri, serlahkan rasa rendah diri.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Begitulah intro ustaz di awal kuliah sebelum kembali menyambung bab Kasih Pada Allah berpandukan Kitab Penawar Bagi Hati, di m/s 91 baris ke empat dari atas. 

Kata ustaz, tanda-tanda seseorang itu kasihkan Allah ialah bilamana dia sentiasa mendahulukan agama dalam semua perkara dengan membelakangkan nafsu. Bila duduk dalam ibadah, makin lama makin terasa kemanisannya. Makin lama, makin manis, makin seronok.   Hati makin kasih bila lama duduk dalam majlis ilmu.

Makna kasih iaitu cenderung hati pada sesuatu...  Suka. Kalau ingin hati yang kasih, perlu mengasih, baru dikasih.  Kenal sesuatu maka akan timbul kasih.  Begitu juga dengan takut.  Bagaimana boleh takut pada Allah? Bila kenal Allah, maka datanglah takut pada Allah.  Kenal Allah, akan sifatNya, akan sempurnaNya, makrifatNya. Maka akan takut, timbul dalam hati perasaan gerun. Bila takut, seseorang itu akan cari jalan kasih.  Akan cenderung kasihkan Allah, baik perkataan, perbuatan dan hati. Akan sering bertanya dalam hati, "...gerakku ini, percakapanku ini, adakah akan buat Allah marah?" Di sinilah pentingnya ada ilmu. Bahayanya jahil boleh mengundang murka Allah, mengundang hina diri. Maka mari kita buang jahil, gantikan dengan ilmu.

Orang yang kenal Allah, dia sangat lebih bimbang jika Allah marah.  Marah makhluk, tak seberapa, abih-abih potong letrik kalau tak bayar bil.  Tapi kalau Allah marah, jika Allah tak bagi hujan..akan susahlah kita. Kalau Allah bagi hujan lebih pun akan susahlah kita.  Oleh itu bimbanglah terhadap murka Allah.  Jangan kiranya kita balik-balik takut pada makhluk. Dek takut pada makhluklah itu yang jadi, kata ustaz, ada yang dah jadi ulamak, namun masih jahat lagi.  Suluhlah diri, apakah alimku ini diterima Allah? Suluhlah diri bagi kita yang rasa diri dah pandai.  Jangan terus inginkan gelaran, nak sangat pada pangkat. Bila tak dikenang orang, rasa marah.  Sayang... sudah alim, sudah berilmu, namun tak rasa takut sedangkan Allah sedang melihat perlakuannya.  Apakah ilmu yang dimiliki dapat mendidik dirinya yang diberi ilmu itu? Suluhlah diri....

Kata ustaz, ada tujuh golongan manusia di akhir zaman iaitu:
1) Orang alim tetapi jahat
Baru diberi ilmu, dah rasa ujub. Dalam hati, rasa hebat aku, tinggi martabat aku dari orang lain.  Yang lebih parah lagi bila ada yang berani memutar-belitkan hukum.  
2) Alim tetapi fasik.  
Alim dah alim tapi masih mengekalkan dosa.  Tahu perkara tu tak baik, berdosa tapi masih lagi buat.
3) Menjadi penguasa tapi zalim
Tak kira siapa.. termasuk semua... contoh bapa yang zalim, guru yang zalim, boss yang zalim dsb.  Baru dibagi kuasa sikit, baru diberi kelebihan sikit, dah lain macam rasa.  Baru diberi kuasa imam sikit, dah tak boleh ditegur.
4) Jahil dan jahat
Orang yang tiada ilmu, bukan setakat dirinya saja yang jahat tapi ikut menghalang orang buat baik.  Contoh: Dia sendiri tak suka majlis ilmu, jadi dia nak orang lain pun ikut macam dia.  Jadi dihalangnya orang dari pergi ke majlis ilmu atau dicuba halang majlis ilmu dari berlangsung.
5) Alim tetapi tak beramal.
Ilmu yang dia dapat tak mampu beri perubahan padanya.  Dah belajar, dah ada ilmu tapi tak amal.  Jadi macam tu lah, sama saja, tak berubah.  Maka kekal dalam dosa dan tidak pula bertaubat.
6) Zahirnya beriman, batinnya kafir
Walau luarannya Islam tapi hakikatnya dia benci pada agama.  Bab ibadat boleh...solat boleh, puasa boleh, zakat boleh tapi bila sampai bab hukum, tolak. Tak boleh terima bila timbul soal hukum.  Ada yang tahap 50:50... yang suka ambik, yang tak suka tak ambik.  Kehendak lebih kepada mengikut hawa nafsu.
7) Tiada yakin pada Islam.
Orang yang macam ini, lebih yakin pada kafir.  Contoh: Rasa pakai tudung susah nak buat kerja.  Jadi pakai yang ikut yahudi, rasa lebih ringkas dan selesa masa kerja.  Ada pegangan yang  susah nak ubah sebab lama dididik dengan suasana begitu.. contoh: Kalau sihat, rasa Allah bagi sihat tapi bila susah sikit mula lah bersangka buruk kata ada orang buat sebab dengki. Itu bab penyakit, belum lagi cerita bab rezeki.  Berniaga yang selama ini untung tiba-tiba Allah uji jadi tak untung.  Terus cari sebab negatif pandai-pandai kata orang buat.."Patut la nampak macam tanah Kubur kat depan pintu kedai.." Contoh 2: Ibu dah terlantar sakit dua tahun tapi tak mati-mati, terus bersangka buruk kata, dalam badan ibu mungkin ada saka...  Ohh
______________________
Sambung ustaz lagi...
Dan bahawasanya tiap-tiap yang sedap itu dikasih akan dia.  Perkara yang mendatangkan kesedapan tentulah akan dikasih. Benda sedap di antaranya ialah makanan... Bila dah suka sesuatu makanan itu, tentu lah kena ada banyak.  Sikit mana cukup.  Begitu juga bila hendak berjumpa kekasih. Suka kan... Jadi mana nak sekejap sebab suka, mesti nak lama-lama. Maka dalam hal kasihkan makanan, kita berjaya.  Dalam hal kasihkan perempuan, kita berjaya.  Namun dalam hal ibadah rasa kasih ini kurang berjaya.  Kalau ada kasih, bila mengaji makin lama makin suka.  Tapi masalahnya dengan agama tak boleh lama-lama.  Sekejap je dah mula bosan.. contoh: Kuliah agama tak boleh lama, kalau lama sikit mula lah.." Eh eh..lamanya kuliah, bila nak berenti ustad ni? Dah dekat dua jam dah kot.." Allah nak uji kita sebab mengaji dah lama, nak tengok kita macamana.  Tapi dek kerana tak ada kasih, naik marah bila rasa lama sangat ustad bagi kuliah.  Itu tanda tiada manis dalam ibadah.

Sebaliknya kalau dalam bab main atau hiburan, lain jadinya... contoh: main badminton mana cukup satu jam, tak puas pula.  Kurang-kurang kena dua jam.  Kita ini, kalau dengan dunia dah berjaya namun dengan akhirat hakikatnya belum berjaya.  Nak tengok berjaya atau tidak kita dengan akhirat ialah bilamana... contoh: Rasa tak cukup dengan zikir di masjid, balik terus sambung zikir kat rumah, balik sambung baca quran kat rumah. Maqam wali-wali  kata ustaz, sentiasa rasa tak cukup walaupun dah banyak berbuat ibadah. Ibadah mereka sentiasa berterusan.  
Kata ustaz bila datang kasih, akan asyik teringat saja.  Jadi teringat-ingat... contoh: "Bila pulak nanti akan ada kuliah ni?", akan pasang niat "Balik rumah nanti, aku nak sambung ngaji quran", "Pagi esok nak datang kuliah subuh" dsb...
______________________
Alhamdulillah...kata ustaz, kita malam ni mengaji 3 baris ayat saja, tak apa sebab kita nak mengaji.  Kalau nak khatam, kita baca je lah kitab ni.. InsyaAllah boleh terus khatam.  Tapi sebab nak mengaji, tak apalah sikit pun.  Moga-moga ilmu dapat suluh diri.  Bila suluh diri, akan nampak lemah diri, lalu akan cuba atasi kelemahan diri.. InsyaAllah. Terimakasih ustaz.

Wallahu a'lam.

No comments:

Post a Comment