Solat Witir

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah, sering dipesan para ustaz supaya tidak meninggalkan solat witir. Solat Witir adalah solat sunat yang dituntut untuk kita melaksanakannya.

Sabda Rasulullah SAW, yang bermaksud:
“ Jadikanlah solat witir itu sebagai akhir solatmu di waktu malam.” (Muttafaq 'alaih).

Dari Ali r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Wahai ahli-ahli Al-Quran! Bersolat witirlah kamu, kerana sesungguhnya Allah itu witir dan menyukai orang-orang yang solat witir. (HR Abu Daud)

Juga riwayat dari Jabir ra bahwasannya Nabi saw bersabda: “Barang siapa yang merasa tidak akan sanggup bangun pada akhir malam, baiklah ia berwitir pada permulaan malam, tetapi barang siapa yang merasa sanggup bangun pada akhir malam, baiklah berwitir pada akhir malam itu, sebab solat pada akhir malam itu dihadiri (disaksikan oleh Malaikat) dan itulah yang lebih utama”. (Diriwayatkan oleh Ahmad, Muslim, Tirmidzi, dan Ibnu Majah)

Dari Abu Hurairah ra., katanya: "Kekasihku -yakni Nabi Muhammad SAW telah memberikan wasiat padaku untuk melakukan puasa sebanyak tiga hari dalam setiap bulan, juga dua rakaat sunnah Dhuha dan supaya saya bersembahyang witir dulu sebelum saya tidur." (Muttafaq 'alaih)

Melakukan solat witir sebelum tidur itu hanyalah disunnahkan bagi seseorang yang tidak mempercayai dirinya akan dapat bangun pada akhir malam.  Tetapi sekiranya dapat mempercayai dirinya, maka pada akhir malam adalah lebih utama lagi. 

Solat Witir biasa dikerjakan sebagai solat penutup solat Terawih di bulan Ramadhan. Jika di luar bulan Ramadhan boleh mendirikan setelah selesai solat baadiyah atau solat malam lainnya sebelum tidur. Solat witir sebagaimana hadis Nabi SAW lebih afdal dilakukan selepas kita melakukan solat malam samada solat tahajjud, solat hajat, solat taubat dsb ketika kita bangun di akhir malam, yakni dalam tempoh tengah malam sehingga sebelum masuk waktu Subuh. 

Jika terbangun lambat di mana tidak sempat mendirikan tahajjud kerana sudah hampir masuknya waktu Subuh, maka segera lah kita berwitir 1 rakaat.

Dari Aisyah ra., bahawasanya Nabi SAW melakukan solatnya di waktu malam, sedang ia - yakni Aisyah yaitu isterinya - melintang antara kedua tangannya - yakni di mukanya.  Maka jikalau tinggal mengerjakan witir, beliau SAW membangunkannya, lalu Aisyah pun berwitirlah. (Riwayat Muslim)

Dalam riwayat Muslim lainnya disebutkan:
Maka jikalau tinggal mengerjakan witir, lalu beliau SAW bersabda: "Bangunlah dan berwitirlah, hai Aisyah."

Dari Abu Said al-Khudri ra bahawasanya Nabi SAW bersabda: "Berwitirlah engkau semua sebelum engkau semua berpagi-pagi - yakni sebelum terbitnya fajar shadik." (Riwayat Muslim)

Dari Ibnu Umar ra bahawasanya Nabi SAW bersabda: "Dahuluilah solat  Subuh itu dengan witir - maksudnya; Bangunlah sebelum waktunya solat Subuh lalu berwitirlah dulu."
Diriwayatkan oleh Imam-imam Abu Dawud dan Termidzi, dan Termidzi mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan shahih.

Dari Aisyah ra., katanya: "Dari seluruh malam itu Rasulullah SAW sungguh-sungguh telah melakukan witir - yakni waktu berwitir beliau SAW tidak tertentu waktunya, yaitu di permulaan malam, di pertengahan malam, di akhir malam dan berakhirlah waktu witir beliau SAW itu sampai waktu sahur - hampir menyingsingnya fajar shadik." (Muttafaq 'alaih)

Hitungan raka'at adalah ganjil (contoh: 1 @ 3rakaat @ 5, 7, 9,11). Jika tiga raka'at, dapat dilakukan 3 rakaat satu salam atau dilakukan 2 rakaat salam diikuti dengan satu rakaat salam. Bagi solat witir 3 rakaat satu salam, hendaklah tidak duduk di tahiyyat awal sebaliknya terus buat tahiyyat akhir dan salam. Berdasarkan hadis Rasulullah SAW, daripada Saidatina Aisyah ra: "Baginda SAW tidak duduk sama sekali semasa mengerjakannya melainkan pada rakaat yang terakhir." (HR Muslim)

Berkata Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah: Tidak harus menjadikan solat witir seperti solat Maghrib. Maksudnya solat witir mestilah berbeza dengan solat maghrib, walaupun sama dari segi bilangan rakaatnya.

Hadis Rasulullah SAW ada menyebut:
"Janganlah kamu mengerjakan solat witir 3 rakaat seperti solat maghrib."(HR al-Hakim)

Cara Solat Witir 1 rakaat:
1. Berniat untuk melaksanakan solat sunat Witir, yang maksudnya:
"Saya berniat solat witir satu raka'at kerana Allah Ta'ala"

2.Tata cara solat witir sama seperti solat sunat lainnya, membaca Al-fatihah dan surah-surah lainnya. Namun yang disarankan ustaz, bilamana kita buat solat witir 1 rakaat bacalah surah Qulhuwallah, surah al-Falaq di-ikuti dengan surah an-Nas selepas selesai dibaca surah al-Fatihah.
Wallahu a'lam.


Jom istiqamah Solat Witir.

No comments:

Post a Comment