Resepi Nasi Dagang Kelantan Asli

Alhamdulillah kawan hari tu datang beraya. Jadi saya siapkan juadah Nasi Dagang Kelantan Asli. Kenapa di-highlight kan sebagai Kelantan Asli? Sebab beras yang digunakan pakai beras nasi dagang ori. Dan gulainya pula buat gulai ikan tongkol ori kelantan iaitu Gulai Kunyit Lengkuas dalam bahasa kelantannya 'Gulai Kunyit Kkuah'...he he

Berbeza dengan nasi dagang versi Terengganu, buatnya pakai beras campuran beras dan pulut yang menghasilkan Nasi Dagang yang berwarna puteh. Gulainya pula mesti nak kena masuk rempah nasi dagang atau boleh juga ganti dengan rempah kari ikan. Itu perbezaannya.

Makanya kali ini buat nasi dagang yang original versi Kelantan....Alhamdulillah....


Resepi Nasi Dagang Kelantan Asli

  • 1kg beras nasi dagang *dibasuh dan direndam semalaman*
  • santan kemancar(santan cair) 1 mangkuk
  • santan pekat 1 mangkuk
  • bawang merah 5 - 6 ulas dimayang
  • halia 1 inci dimayang halus
  • sedikit halba
  • garam
  • gula


Caranya:
Beras yang direndam dibasuh bersih kemudian ditoskan. Sementara itu mayang halus bawang serta halia. Kukus nasi dagang selama 20 minit. Angkat dan alihkan dalam besen besar kemudian di arung dengan santan kemancar. Arung biar sebati santan dengan nasi yang separuh masak itu. Kukus lagi selama 20 minit. Angkat dan akhirnya arung dengan santan pekat yang dah dicampur garam dan gula + bawang merah + halia + halba.
Biarkan selama beberapa ketika baru boleh dihidangkan.

GULAI KUNYIT LENGKUAS
Bahan-bahannya:

  • 2 Ikan tongkol direbus

** ikan tongkol sebaiknya direbus sehari sebelum dibuat gulai.
Cara buat ikan rebus:
Ikan tongkol dipotong tebal setiap keping
asam keping 4 @ 5
Garam buku segenggam
Nise setengah keping
Lengkuas 3 @ 4 hiris

Rebus ikan dalam air paras2 tenggelam ikan bersama semua bahan di atas.


  • santan RM2
  • cili kering 4/5 tangkai
  • bawang merah 1 labu besar
  • bawang putih 1 ulas
  • lengkuas 2 - 3 hiris
  • sedikit kunyit hidup
  • asam keping 1
  • garam
  • gula
  • timun batang dan kacang panjang*jika suka*


Cara membuatnya:
Tumbuk cili kering, lengkuas, bawang merah dan bawang putih. Nak senang, blend semua dengan sedikit air . Santan yang pekat dicampurkan dengan air masak serta dua sudu besar minyak masak kemudian direnehkan di atas api. Mesti sering dikacau2 supaya tidak pecah minyak santannya. Ambil masa lama sikit baru masukkan bahan yang ditumbuk. Biarkan masak dengan api yang kecil. Bila dah kuah nampak masak cantik, baru di masukkan asam keping dan sayur2 (timun batang dan kacang panjang) yang dah dipotong kecil.Masukkan ikan yang dah siap direbus sebelumnya. Perasakan gula dan garam. Dah siap......

Lauk dan rencah sampingan:
Telur rebus
Sambal nyor(sambal kelapa)

Resepi Sambal kelapa

  • kelapa parut sebiji *digoreng tanpa minyak*
  • Ikan sardin 2 ekor dibakar/rebus kemudian diasingkan dari tulangnya
  • lada hitam 7 - 8 biji
  • bawang merah besar 1 labu kecil
  • 1 - 2 hiris halia
  • Nise 
  • garam


Cara membuatnya:
Kesemua bahan ditumbuk dan gaul rata. Sambalnya perlu rasa manis.


Alhamdulillah.



2 comments:

  1. Assalamualaikum.. terima kasih sudi kongsi resepi..saya nak tanya,sukatan santan tu kalau ikut ml macamane ye? @ Mangkuk kecil atau besar utk sukatan santan tu?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wsalam...
      Sy pakai saiz mangkuk kecil arcopal puan..tq

      Delete