Tiga Golongan Yang di-Murkai Allah

Bismillahirrahmanirrahim

Dalam Kuliah Maghrib tempohari, ustad mulakan kuliah dengan firman Allah dalam surah alBaqarah ayat 21 yang bermaksud:

Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertaqwa. {2:21}


Maka hendaklah kita sentiasa cuba menambah baik kehidupan kita. Jangan masih sama, biar ada peningkatan dalam amal soleh...yang baik biar jadi makin baik...yang salah, perbetulkan.

Ustad sebutkan tiga antara golongan manusia yang dimurkai Allah:
(1) Golongan yang tidak menjaga dari segi pemakanan.
Syubhah ke, haram ke..dia tak peduli, tak ambil kisah.

Dalam surah al-Baqarah ayat 168, Allah berfirman;
Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu. {2:168}


Maka hendaklah kita menitikberatkan menjaga cara pemakanan kita. Kena makan makanan yang patuh di sisi syariat...halal dan toyyibah. Maknanya bukan saja halal tapi ianya baik. Mudah-mudahan apa yang kita makan itu memberi kebaikan. Bila masuk ke dalam mulut kita, biar ianya tak beri mudharat. Benda yang masuk melalui mulut kita yang tak baik, contoh mudah; rokok.... maka jauhilah...

Jangan ikut perancangan syaitan. Jangan lakukan pembaziran. Sesungguhnya membazir itu sahabat syaitan.
Pembaziran makanan kena jaga, sumber makanan pun kena jaga. Bila kita makan, jangan membazir, makan lah seadanya sahaja kerana di akhirat nanti ianya akan dipersoalkan.

Firman Allah dalam surah al-israa' ayat 27, yang bermaksud;

Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya. {17:27}


(2) Golongan yang bakhil
Bakhil yang dimaksudkan ialah bakhil dari segi harta dan juga jiwa. Langsung kedua-duanya tak digunakan untuk agama Allah. Orang yang bakhil ini adalah orang yang kedekut di mana jika dia menyumbang sekalipun dia menyumbang dalam keadaan yang berkira-kira.
Orang yang bersifat bakhil, dia merasakan perkara itu baik tapi tidak di sisi Allah Taala.  Orang yang beriman, dia akan merasa semuanya pinjaman Allah belaka. Harta yang sebenar bagi orang yang beriman ialah harta yang diberi bukan yang dimiliki(yang disimpan).

(3) Golongan yang sombong
Mereka ini orang yang bongkak, yang tak hiraukan kebenaran, yang tak hiraukan nasihat-nasihat. Kebenaran dia ketepikan. Dia lebih kepada mengikut nafsu. Ikut kepala dia sendiri. Orang yang sombong ini dia tak peduli akan nasihat-nasihat.

Wallahu 'alam.

No comments:

Post a Comment