Belajar Agama

Bismillahirrahmanirrahim

Hari ini sudah 24 Rejab. Terbaca ungkapan... Kita di dunia ini ibarat orang yang sedang bepergian ke suatu tempat dalam kadar waktu yang terbatas. Di perjalanan itu kita memperjuangkan nasib untuk hari depan, hari yang kekal iaitu akhirat. Dalam perjuangan itu, ada di antara kita yang memerdekakan diri sendiri yakni melakukan semua amal baik dan perintah-perintah Allah, sehingga diri kita merdeka nanti di Syurga... aminn

Tetapi ada pula yang merosak dirinya sendiri kerana melakukan larangan-larangan Allah hingga rosaklah akhirnya nanti di
dalam neraka, amat pedih siksa yang ditemuinya... nauzubillah..

Firman Allah dalam Surah az-Zalzalah ayat 7- 8
[7] Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!
[8]
Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!

Rukun Islam yang lima merangkumi seluruh aspek kehidupan. Apa saja yang kita buat tak lari dari lima rukun Islam. Kata ustaz semasa Kuliah Maghrib, hendaklah kita pelajari agama dengan sungguh-sungguh. Orang yang belajar adalah orang yang memikul beban. Selepas tadah kitab kena balik belajar semula. Amalkan apa yang belajar. Jadilah orang yang memahami al-Quran. Umpama nak berjaya dalam SPM misalnya, nak kena rajin menghafal, kena sentiasa mengadap buku duduk mengulangkaji pelajaran. Masa tidur pun tak boleh sama dengan orang lain yang tak ambik SPM. Maknanya kena bermujahadah, mesti menjalani segenap kesusahan atau bebanan dalam jalan/usaha untuk mendapatkan ilmu.

Orang yang hidupkan agama ialah bilamana seluruh kehidupannya mengikut agama. Ruang lingkup agamanya tidak sempit. Agama baginya bukan hanya sekadar di dalam masjid. Terbentuknya agama adalah dari Islam, Iman dan Ihsan. Maka... agar agama menjadi sempurna, mesti ada ketiga-tiga yang tersebut.

Hadis Nabi s.a.w yang menerangkan tentang Islam, Iman dan Ehsan:
Daripada Saidina Umar r.a beliau berkata, ketika kami sedang duduk di sisi Rasulullah SAW pada suatu hari, tiba-tiba muncul di hadapan kami seorang lelaki yang memakai pakaian yang sangat putih, berambut sangat hitam, yang tidak ternampak pada dirinya kesan-kesan tanda musafir dan tidak seorangpun di kalangan kami yang mengenalinya.

Lalu dia duduk menghampiri Nabi SAW lalu disandarkan kedua-dua lututnya ke lutut Baginda dan meletakkan dua tapak tangannya atas dua paha Baginda seraya berkata:

Wahai Muhammad! Terangkankepadaku tentang lslam.
Lalu Rasulullah SAW bersabda: lslam itu bahawa engkau naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad itu utusan Allah, mendirikan sembahyang, (dan bahawa) engkau mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan, menunaikan haji ke BaitulLah (Mekah) sekiranya engkau berkuasa mengerjakannya.

Lelaki tersebut berkata: Benarlah engkau.
Maka kamipun merasa hairan kepadanya, dia yang bertanya dia pula yang membenarkannya. Dia bertanya: Terangkan kepadaku tentang lman.
Baginda bersabda: (lman itu ialah) bahawa engkau percaya kepada Allah, para MalaikatNya, kitab-kitabNya, para RasulNya, hari Qiamat dan bahawa engkau percaya kepada Qadar baik dan buruk. Lelaki itu berkata: Benarlah engkau.

Dia berkata lagi:
Terangkanlah kepadaku tentang Ehsan.
Baginda bersabda: Ehsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya. Sekiranya engkau tidak dapat melihatnya, maka sesungguhnya Dia melihatmu.

Lelaki itu bertanya lagi: Terangkan kepadaku tentang Qiamat. Baginda bersabda:
Orang yang ditanya tentang Qiamat tidaklah lebih mengetahui daripada orang yang bertanya.
Lelaki itu berkata: Maka terangkanlah kepadaku tentang tanda-tandanya. Baginda bersabda: (Antara tanda- tandanya ialah) apabila seorang hamba perempuan melahirkan tuannya dan apabila engkau melihat orang-orang miskin yang berkaki ayam, tidak berpakaian dan papa kedana yang hanya menjadi pengembala kambing berlumba-lumba membina bangunan (iaitu bertukar menjadi kaya raya).
Kemudian lelaki itu berlalu, lalu aku terdiam sebentar.

Kemudian Baginda bertanya: Wahai 'Umar! Adakah engkau tahu siapa lelaki yang bertanya itu?
Aku berkata: Allah dan RasulNya lebih mengetahui.
Baginda bersabda: Sesungguhnya dia adalah Malaikat Jibril yang datang kepada kamu untuk mengajar kamu tentang agama kamu.

~~~~~~~~~
Sungguh-sungguhlah kita belajar agama. Baru2 ini saya sempat berbual-bual dengan isteri seorang penceramah yang dijemput ke tempat kami. Bila timbul kisah anak-anak, terkeluar cerita tentang anak perempuan bongsunya (yang sebelum ini sedang tunggu keputusan SPM) telah menyatakan hasrat untuk belajar di sekolah tahfiz. Kemahuan itu datang dari diri anaknya sendiri, bukan cadangan dari beliau suami-isteri. Subhanallah, sejuk hati mendengar. Moga makin bertambah jiwa remaja yang terpaut hati untuk menghafal kalam Allah... aminn

1 comment:

  1. Teringat kata2 Ustaz...kita dok dengar di majlis ilmu insyaAllah dapat 10-20% ilmu yg disampaikan. Kalau tadah kitab dapat 40-50%. Kalau balik baca balik kitab dan amalkan maka dapat 70-80%. Dan yang paling power kalau dapat mengajar ilmu tadi maka insyaAllah ada penghayatan 90-100%.

    ReplyDelete