"Kak, kalau ustaz datang ngajor belah pagi pun saya akan mai kak... takpe lah kalu tak sempat masak, untuk anak2 dengan suami sempat goreng telor je pun takpe buat lauk, mesti nak kena datang kalu ustaz ni yang ngajor, semangat betul rasa hati ni dengar apa yang ustaz duk cakap tu kak..."
Itu kata2 seorang sahabat yang duduk di sebelah saya sepanjang kuliah maghrib semalam. Memang semua nampak begitu khusyuk mendengar penerangan ustaz yang tekun membicarakan soal hati. Saya dan suami memang selalu teruja setiapkali akan hadir dalam majlis ilmu yang dibawa oleh ustaz berkacamata itu. Memang rasa 'lawas' dengar penerangan ustaz dalam setiap kuliahnya. Terus rasa ingin balik membaik-pulih diri 'dan dan tu' jugak. Rasa begitu banyak perkara perlu diperbaiki...
Antara yang dapat dikongsi dari kuliah malam tadi:
Ilmu tasawuf ialah ilmu yang khusus untuk membersihkan hati. Ilmu yang dengannya dapat membersihkan batin daripada segala kekotoran. Mendalami ilmu tasawuf sehingga jiwa kita jadi bersih merupakan tuntutan fardhu ain. Bermakna ianya wajib dipelajari. Belajar ilmu tasawuf akan mampu membersihkan hati, menyucikan jiwa dan melepaskan diri dari segala sifat-sifat kekurangan.
Sesuatu amal itu bertitik-tolak dari ilmu. Mesti ada ilmu untuk membuahkan amal. Tanpa ilmu, sesuatu amal itumenjadi tidak sah; contoh dalam solat tidak sekadar harus tahu tertib solat tapi mesti tahu rukun solat. Bila elok solat hasil gabungan ilmu fekah dan tauhid namun ianya masih tidak sempurna bila masalah hati belum selesai. Itu sebab yang nak kena belajar ilmu tasawuf. Ia dapat membersihkan batin dari segala kekotoran. Mesti berusaha mencari guru yang mursyid yang boleh mendidik hati manusia sebab ilmu tasawuf ada disiplin-disiplinnya, mesti melalui jalan yang betul. Ia bukan boleh diukur setakat luaran, bukan hanya sekadar dilihat melalui cara berpakaian seperti jubah, serban dsb tapi lebih daripada itu.
Melalui ilmu tasawuf, kita dapat mengetahui cara2 menyucikan batin. Melaluinya kita akan dapat mengenal bagaimana sifatnya; hasad dengki, menipu, suka pada pujian, sombong, riak, marah, tamak, batil, menghina orang miskin sebaliknya memuliakan orang kaya dsb.
Menipu di sini bukan menipu hanya pada lisan tetapi termasuk menipu watak contoh; depan orang tunjuk baik, warak, bercakap lemah lembut, dermawan dsb namun watak sebenar di belakang orang adalah sebaliknya. Suka pada pujian pula ialah bila orang puji senyum sukahati namun bila dicela marah. Jika bersih hati, orang puji dan orang cela, rasa sama saja takde beza.
Menghina orang miskin dan memuliakan orang kaya itu juga lumrah dalam kehidupan. Bila dengan orang miskin, nak bersalam pun hujung-hujung jari misalnya sebaliknya bila berhadapan dengan orang kaya dari jauh lagi cepat2 hulurkan tangan nak bersalam. Begitulah kita bila menghadapi orang kaya, kita bagai memuliakan dia sedangkan dia sendiri bagai rasa kita berhajat padanya. Berbeza bila kita pandang orang miskin, kita bagai pandang sepi sebab rasa tiada apa-apa yang ada padanya. Sesungguhnya yang menyebabkan seseorang itu mulia di sisi Allah ialah sebab ciri-ciri yang Allah pilih yang ada padanya. Orang miskin yang tawadhuk dan merendah diri jauh lebih mulia di sisi Allah berbanding orang kaya yang sombong dan meninggi diri. Allah pandang pada hati manusia.
Ilmu tasawuf mampu mengosongkan sifat2 kekotoran dalam diri seseorang. Ustaz bagi contoh kisah seorang sahabat ra iaitu Ibnu Mas'ud yang pada suatu hari semasa keluar dari masjid telah mendapati sebelah dari seliparnya hilang. Selepas mencari ternyata tiada maka Ibnu Mas'ud telah berdoa ke hadrat Allah dengan doa... Ya Allah jika orang yang mengambil selipar itu memang berhajat kepadanya maka berkatilah dia ya Allah namun jika dia memang berniat jahat melakukan perkara itu maka kupohon agar kau jadikanlah dosanya itu sebagai dosa yang terakhir baginya..." Subhanallah... mari kita bertanya diri kita sendiri jika perkara yang sedemikian berlaku pada kita, adakah kita mampu berdoa dengan doa semacam itu. Mampukah kita berlapang dada dan bersifat redha bila kehilangan apa2 yang menjadi milik kita?
Jelas doa yang sebegitu hanya dapat dilafazkan oleh orang yang bersih hatinya, yang redha bahawa semua yang terjadi adalah dalam kuasa Allah. Tidak ada suatu pun perkara yang terjadi di luar pengawasan Allah. Allah yang gerakkan hati terhadap setiap tindakan dan perlakuan. Jika kita faham dan mengerti akan hakikat itu maka kita akan sentiasa redha atas setiap apa yang berlaku dari sekecil-kecil perkara. Sebagai contoh: semasa kita sedang khusyuk mendengar di majlis ilmu datang seseorang yang sering sendawa. Suara sendawa beliau terus mengganggu fokus kita yang sebelum itu begitu asyik dan tekun mendengar kuliah. Fikirkan, siapa yang hantar orang itu kepada kita yang sedang selesa duduk mendengar? Orang itu tidak akan bangun bergerak sendiri datang, melainkan semua dari Allah. Maka belajar redha dengan setiap apa yang berlaku. Pasti ada hikmah yang terkandung dari setiap peristiwa, mungkin Allah nak duga bagaimana keadaan kita menghadapinya, sabar atau tidak... Wallahu'alam
Di antara ciri-ciri hati yang bersih ialah tidak memandang dosa2 yang kita buat itu kecil. Pandanglah pada siapa kita lakukan dosa. Harus sedar kita berdosa kepada Allah, yang kita sebagai hamba Allah tak selayaknya melakukan itu. Tapi tiba-tiba kita buat salah kepada-Nya. Maka perbanyakkanlah istighfar. Jangan tak rasa takut, jangan tak rasa apa-apa bila tersilap buat dosa. Tanya diri kita, adakah sering kita beristighfar?? Janganlah sampai mengucap istighfar 100 kali sehari pun kita tak mampu nak buat.
Hiasi jiwa kita dengan sifat takwa. Bila nak melangkah mengadap Allah, kena bersihkan diri. Perlu kepada bersih. Ibarat kita nak keluar bekerja, kita mandi bersih2, pakai baju bersih, pakai bau-bauan setiap hari. Jika baju tak berganti, tentu lah kita akan berada dalam keadaan yang kotor dan tak bersih. Untuk bersih diri dan hati, taubat mesti duduk di tempat pertama. Nak taubat kena ada rasa kita tu ada dosa pada Allah. Bila rasa berdosa, kita akan mohon taubat dengan sungguh-sungguh InsyaAllah. Kerapkan istighfar. Istiqamahlah kita dalam melakukan amalan ketaatan beserta ikhlas dan redha dengan setiap apa yang terjadi.
Jangan kita nampak elok hanya pada zahir. Kalau solat dah cantik sebab belajar fekah tapi hakikatnya ia masih belum sempurna sebab bab hati atau batin belum selesai. Jika ada 'hasad' satu saja pun dalam diri kita, ianya sudah mampu membatalkan pahala ketaatan kita pada Allah Taala... nauzubillah.
Orang lain boleh melihat zahir kita baik. Kita mungkin nampak mulia di mata orang namun kita tidak dapat sembunyikan diri dari Allah. Bagaimana hati kita, hanya Allah Taala yang tahu.
Maka usaha bersihkan hati. Belajar ilmu tasawuf. Jalan tasawuf akan membawa manusia kepada Allah Taala. Jangan kita jadi seperti lebah jantan umpamanya yang ligat di siang hari namun pada malamnya dah malas dan penat. Sebagai hamba Allah jangan kita hanya cergas di siang hari, berhempas pulas bekerja namun bila malam hari kita dah jadi tak larat, malas dan penat untuk bangun beribadat kepada Allah.
Istiqamahlah dalam perjalanan menuju Allah. Kalau perjalanan sukar, kena azam, kena sabar, mujahadah sehingga diri selamat dari murka Allah. Hendaklah kita melalui jalan kebenaran. Jangan terpedaya, jangan rasa putus asa. Mohon pertolongan Allah dalam usaha untuk sentiasa menyucikan hati kita. Sesungguhnya tiada daya dan upaya kita melainkan hanya dengan bantuan Allah... ameen.
Pada kita melakukan amalan itu mestilah lepas tiga tapisan iaitu feqah, tauhid dan tasauf. Maka blaja tasauf ini stgh ulama menetapkan sebagai fardu ain, menjadi tanggungjawab setiap org. Tahniah, kerana cinta ilmu !!
ReplyDeleteIngin sangat nak berguru belajar ilmu tasawuf untuk memberseh kan hati ini...tapi buntu
ReplyDeleteAsalamualaikum abu hashim mat isa..klau ingin belajar tasawuf boleh la berguru dgn guru saya di chemor perak.
DeleteAsslm.. Mempelajari ilmu tasawuf mesti dengan panduan mursyid. Berdoalah pada allah ta'ala agar di pertemukan pada seorang mursyid.
ReplyDeletekat mana nak belajar ilmu tasawuf area klang ye
ReplyDeletedah mcm ustaz dah bahasanya .. sedap membaca. Insyallah .. nasihat yg berguna. Mmg berniat nak belajar ilmu Tasawuf
ReplyDelete