Sombong Takbur

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah malam tadi berpeluang mengikuti kuliah Maghrib yang menyambung perihal peringkat pertama penciptaan manusia.  Ustaz sambung menceritakan tentang Nabi Adam as yang telah diajar nama semua jenis benda.  

Jelas bahawa mengajar dan belajar ilmu adalah satu perkara yang penting.  Ilmu dapat membezakan di antara suatu makhluk dengan makhluk yang lain.  Dengan ilmu, kita ada kekuatan berfikir untuk sentiasa berjaga-jaga agar tidak membuat dosa.  Jangan banyak kitab bersusun di rumah, namun tak beramal dengannya, tak ikut.  Hendaklah beramal dengan ilmu  kerana bila manusia itu diberi ilmu, bergerak pula atas landasan yang benar maka itulah sebenarnya orang yang maju.  

Allah sebut azab kubur ada, neraka ada... namun ramai yang tak nampak hakikat ini seolah-olah ada pendinding atau hijab dalam diri.  Dalam dunia hari ini kita bagaikan tak rasa pelik bila tengok orang yang tak menutup aurat, rasa biasa-biasa saja bila tengok orang yang tak solat. Sepatutnya perkara ini menjadi suatu yang luar biasa bagi kita kerana kita ini adalah barang yang dicipta yang sepatutnya ikut perintah Pencipta bukan ingkar terhadap perintah-Nya. Inilah kesilapan manusia dalam memahami agama. Ambil agama separuh-separuh. Ramai yang langgar perintah Allah, ramai yang tak mahu buat suruhan Allah.  Yang lebih dasyat lagi dah lah tak mahu buat, ada pula sifat sombong.  Rasa dia lebih cerdik, lebih tahu dari Allah Taala. 


indahnya alam ini.. Subhanallah

Nak sombong apa sebenarnya...  Kita ini hanyalah hamba yang dicipta oleh Allah Yang Maha Pencipta, kerdil sangat sebenarnya kejadian kita sebagai manusia.  Buka mata, buka hati kita, buka pemikiran kita. Kalau tengok dari atas contohnya, bumbung rumah pun kecil sahaja, apalagi kita seorang manusia... lagi lah tak nampak apa-apa di atas mukabumi Allah yang terbentang luas ini.  Maka jangan sombong, jangan tiru perangai iblis sebagaimana Allah telah berfirman menceritakan tentang iblis yang terkutuk dalam ayat yang bermaksud: 


Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: “Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam”. Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, 
dan menjadilah ia dari golongan yang kafir.   
(Surah al-Baqarah: 34)

Sombong dan takbur, itulah penyakit yang ada yang boleh mengheret manusia masuk ke neraka.  Dalam ilmu fekah kita ada belajar tentang tiga jenis najis iaitu najis mughallazah (najis berat), najis mukhaffafah (najis ringan) dan najis mutawassitah (najis sederhana). Kesemuanya masih boleh dibersihkan termasuklah dengan tanah dan air.  Namun najis yang lebih besar sebenarnya adalah najis yang ada dalam hati manusia.  Jenis yang ini lebih berhajat kepada taubat, zikir dan bermunajat kepada Allah. Astaghfirullah.

Doa orang2 yang bersih ialah doa selepas wudhuk iaitu:

yang bermaksud:

“Aku bersaksi tiada Tuhan melainkan Allah dan tidak ada yang menyekutukan bagi-Nya. Dan aku bersaksi bahwa Nabi Muhammad adalah hamba-Nya dan utusan-Nya. Ya Allah, jadikanlah aku orang yang ahli taubat dan jadikanlah aku orang yang suci dan jadikanlah aku dari golongan orang-orang yang soleh.”

Berjayalah orang-orang yang membersihkan diri kemudian dia beribadat kepada Allah.  Banyakkan zikir untuk membersihkan hati. Kita berzikir ibarat seperti membersihkan karat yang ada pada besi. Zikir2 kita umpama kita ketuk hati agar dapat mengeluarkan karat-karat yang melekat pada hati.  Hati jangan dibiarkan diselaputi dengan sombong.

Orang yang menyombongkan diri sangat dibenci oleh Allah Taala sebagaimana telah dinyatakan di dalam firman-Nya yang bermaksud:

"Sebenarnya, bahawa Allah mengetahui akan apa yang mereka sembunyikan dan apa yang mereka zahirkan; sesungguhnya Ia tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur." (Surah An-Nahl:23)


“Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri."(Surah Luqman:18)


Sesiapa yang menganggap dirinya tinggi dan bermegah dengan darjatnya, lalu dia menghina dan memperkecilkan orang lain, maka itulah orangnya yang sombong terkutuk.  
Di antara tanda-tanda sifat sombong pada diri manusia ialah:
  • merasa bangga melihat dirinya maju lebih dari orang lain
  • suka menonjolkan diri terhadap orang lain
  • minta dikedepankan di majlis-majlis keramaian
  • bergaya dan beraksi angkuh ketika berjalan
  • membantah teguran orang lain, meskipun percakapannya salah.
  • tidak mengendahkan nasihat atau teguran orang
  • suka menindas orang Islam yang miskin dan lemah
  • kerap menganggap dirinya betul dan tidak pernah salah
  • suka memuji-muji diri 
  • bermegah dengan datuk-nenek yang kenamaan atau yang ahli agama
  • bermegah dengan keturunan

Sabda Rasulullah SAW; yang bermaksud:
"Barangsiapa yang merendah diri, niscaya Allah akan mengangkatnya.  Dan barangsiapa yang menyombong diri, niscaya Allah akan merendahkannya."


Dari Abdullah bin Mas'ud ra meriwatkan bahawa Nabi SAW bersabda:  Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga.  (HR Muslim)

Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Jika seseorang telah berkata: Telah binasa manusia, maka dialah yang paling binasa diantara mereka (kerana dengan mengatakan demikian itu dia terjerumus di dalam dosa takabur disebabkan dia menganggap orang lain hina). (HR Muslim)

Mari kita renung2kan.. wassalam.

No comments:

Post a Comment