Perkara yang dapat membantu untuk bangun Qiamullail



Bismillahirrahmanirrahim

Dari Abu Hurairah ra katanya: Rasulullah SAW bersabda:
"Seutama-utama puasa bulan Ramadhan ialah bulan Allah yang dimuliakan - yakni berpuasa dalam bulan Muharram, sedang seutama-utamanya solat sesudah solat fardhu ialah solat di waktu malam."   (Riwayat Muslim)

Jabir ra mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Pada malam hari, ada satu saat (yang berkat) yang jika seseorang Muslim menepati saat itu dan berdoa kepada Allah meminta keberkatan dunia dan akhirat, nescaya Allah kabulkan doanya. Saat itu wujud pada setiap malam.” 
(Riwayat Muslim)


Dalam majlis ilmu, sentiasa ada pesanan para ustaz yang berbunyi..."Bangunlah bertahajjud..." Dikatakan sering berlaku seseorang itu dapat bangun dan terjaga jam 4 pagi namun malangnya hati jadi  berat untuk mendirikan solat.  Ternyata, ikhtiar diri tidak bertemu dengan Izin Allah.  Bila Allah tak izin, walau ada usaha, kita tetap tiada peluang melakukannya. Semua hanya dapat berlaku dengan izin Allah.  Jangan berputus harap pada rahmat Allah. Berterusan mohon keluasan rahmat dan keampunan dari Allah Taala.  Mohon agar dipermudahkan bagi kita untuk dapat bangun bertahajjud... amennn

Perkataan Qiamullail sebenarnya adalah gabungan daripada dua perkataan iaitu qiyaam dan al-LailQiyam bermaksud 'bangun' manakala al-Lail bermaksud 'malam'. Oleh itu maksud qiamullail dari segi bahasa ialah bangun pada waktu malam.

Solat Tahajjud ialah bangun solat di tengah malam selepas bangun daripada tidur iaitu sewaktu keadaan senyap sunyi di kala semua manusia sedang nyenyak tidur.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Muzzammil ayat 1 - 4 yang bermaksud:
[1]Wahai orang yang berselimut!.

[2]Bangunlah sembahyang Tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat),

[3]Iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit dari separuh itu,

[4]Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya; dan bacalah Al-Quran dengan “Tartil”.


Apabila bangun untuk qiamullail sebaiknya terlebih dulu menggosok gigi.  Mulakan dengan dua rakaat yang pendek(maksudnya dengan solat yang ringan) sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud...
Dari Abu Hurairah ra bahawasanya Nabi SAW bersabda: "Apabila seseorang di antara engkau semua bangun di waktu malam, maka hendaklah membuka - memulai - solatnya dengan dua rakaat yang ringan."  (Riwayat Muslim)

Dari Aisyah radhiallahu'anha, katanya: "Rasululllah SAW itu apabila bangun di waktu malam, maka beliau membuka - memulai - solatnya dengan dua rakaat yang ringan."   (Riwayat Muslim)

Dari Ibnu Umar ra bahawasanya Nabi SAW bersabda:
"Solat sunah di waktu malam itu dua rakaat dua rakaat, maka jikalau engkau takut masuknya solat Subuh, maka berwitirlah dengan serakaat."   (Mutafaq'alaih)


Perkara yang dapat membantu seseorang untuk bangun Qiamullail ialah:
  • Berwudhuk serta membaca surah al-Mulk sebelum tidur. 
  • Berdoa dengan doa nak tidur serta mohon pada Allah untuk membantu dan memudahkan kita agar dapat bangun bertahajjud.
  • Ikhlaskan diri berniat untuk bangun kerana jika bertambah kuat keikhlasan maka Insyaallah akan dipermudahkan oleh Allah untuk melakukan ibadat.
  • Mengelak berjaga hingga larut malam - jika tidur lewat berkemungkinan besar kita tidak dapat bangun untuk bertahajjud
  • Berehat sebelum zuhur atau antara zuhur dan asar - Amalkan sunnah tidur Qailullah
  • Menjauhi segala perkara tidak taat - iaitu perkara yang membawa kepada dosa dan maksiat
  • Melawan hawa nafsu sendiri contoh: menjauhi banyak makan dan minum, terlalu mengikut nafsu tidur.

Dari Abu Hurairah ra katanya: Rasulullah SAW bersabda:
"Syaitan itu memberikan ikatan pada ujung kepala seseorang di antara engkau semua sebanyak tiga buah, jikalau ia tidur.  Ia membuat ketentuan pada setiap ikatan itu dengan kata-kata yang berbunyi: "Engkau memperoleh malam panjang, maka tidurlah terus!" Jikalau orang itu bangun lalu berzikir kepada Allah Ta'ala maka terurailah sebuah ikatan dari dirinya, selanjutnya jikalau ia terus berwudhu', lalu terurai pulalah ikatan satunya lagi dan seterusnya, jikalau ia bersembahyang, maka terurailah ikatan seluruhnya, sehingga berpagi-pagi ia telah menjadi bersemangat seta berhati gembira.  Tetapi jikalau tidak sebagaimana yang tersebut di atas, maka ia berpagi-pagi menjadi orang yang berhati buruk serta pemalas."   (Muttafaq'alaih)

Dari Abdullah bin Salam ra bahawasanya Nabi SAW bersabda:
"Hai sekalian manusia, ratakanlah salam, berikanlah makanan, bersembahyanglah di waktu malam sedang para manusia sedang tidur, maka engkau akan dapat memasuki syurga dengan selamat."
Diriwayatkan oleh Imam Termidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan shahih.

Dari Aisyah radhiallahu'anha, katanya:  "Rasulullah SAW itu apabila terlambat melakukan solat malam kerana sakit atau lain-lain, maka beliau SAW bersembahyang duabelas rakaat di waktu siang harinya."   (Riwayat Muslim)


Wallahu'alam.


No comments:

Post a Comment