Tazkirah 5 Ramadhan - Jalan Bersedekah

Bismillahirrahmanirrahim

Moga dengan kedatangan kita memenuhi masjid ini dicatat sebagai satu amal soleh. Alhamdulillah, hati lembut untuk terus datang ke masjid.  Rasa mudah untuk melaksanakan ibadah.  Kalau bukan bulan Ramadhan, masjid tidak lah sesesak seperti sekarang.  Semua bersesak mengunjungi masjid, moga nawaitu kerana Allah InsyaAllah.

Disebut di penghujung satu hadis Nabi SAW iaitu:" ..... Wahai orang yang mahu kepada kebaikan, ambillah. Wahai orang yang berkehendakkan kejahatan, berhentilah."  Suara ini berterusan setiap malam di bulan Ramadhan.  Jadi ambillah peluang untuk berbuat banyak amalan ketaatan di bulan ini.   Kita siam di siang hari, manakala melakukan qiam di malam hari. Qiam ialah apa yang kita dirikan, membangunkan diri kita dengan zikir, membaca quran dan solat malam.

Jangan kita mampu berpuasa menahan diri dari makan dan minum serta tidak berhubungan suami isteri sahaja namun kita tak mampu menahan diri dari melakukan maksiat, dosa mata kita, dosa lidah mengumpat orang, dosa telinga mendengar yang tidak elok.  Kita mampu berzikir, mampu dirikan solat tapi malangnya kita tak mampu menahan diri dari berkata dan  berbuat perkara yang mengundang dosa. Jadi bagaimana mungkin puasa kita dapat diterima Allah. Maka inilah masanya kita perlu berhenti melakukan semua perkara yang tidak baik itu.  Jika tidak, kualiti puasa kita akan menurun lalu jadilah ia hanya sekadar kualiti puasa orang awam yang beroleh lapar dan dahaga semata-mata.

Antara perkara lain yang kita dapat laksanakan di bulan Ramadhan ini bagi mencapai keredhaan Allah ialah melalui jalan bersedekah.  Begitu besar kelebihan bersedekah di bulan Ramadhan ini.  Ambillah sebanyak mungkin peluang yang mampu kita isi. Selain dari bersolat dan zikir, kita perbanyakkan bersedekah di jalan Allah.  Bandingan orang yang bersedekah di jalan Allah umpama sebiji benih yang keluar darinya 7 dahan.  Dari 7 dahan/batang tersebut keluar pula 100 biji dari setiap batang.

Sesungguhnya kurnia Allah Maha Luas.  Matematik Allah tak sama dengan matematik kita.  Kita, bila sedekah RM5 dari RM10 yang ada dalam poket kita, kita rasa dah tinggah RM5.  Namun bagi Allah sedekah RM5 kita itu digandakan lagi sehingga mampu mencapai 3500 kesemuanya.  Namun ianya bergantung pada niat kita samada ikhlas atau tidak semasa memberi.  Jika hati bersih, hati nak dekat pada Allah, maka InsyaAllah kita akan mampu melakukannya. Sifat dermawan para sahabat ra termasuk Saidina Othman bin Affan hendaklah sentiasa diteladani.

Firman Allah dalam Surah Ali-Imran ayat 92 yang bermaksud... "Kamu tidak akan sampai pada hakikat kebaktian yang sebenar sehingga kamu sedekahkan apa yang kamu sayang."

Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 267 yang bermaksud..."Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu.  Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), pahahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji."

Jangan kita begitu berkira untuk bersedekah. Sesungguhnya tidak akan jatuh miskin kita dengan jalan mengeluarkan sedekah.  Sedekah yang terbaik ialah wakaf. Bila kita wakafkan harta, selagi mana harta itu digunakan, selagi itulah pahala berterusan masuk dalam akaun kita,,, InsyaAllah.

Bersedekah ialah saham yang boleh membantu diri sendiri di akhirat.  Itulah bekalan yang dapat kita buat sendiri semasa masih hidup di atas dunia ini. Dalam hadis Nabi SAW ada disebut bahawa terdapat 3 perkara yang dapat membantu kita di sana nanti iaitu sedekah jariah, pengaliran ilmu yang bermanafaat dan doa anak yang soleh.  Dapatkan kita jamin anak kita yang sekarang berumur 5 tahun, apabila dia dewasa nanti akan sentiasa mendoakan kita?  Perkara itu tidak dapat dipastikan.  Maka antara jalan yang dapat kita lakukan untuk mampu menolong diri sendiri di akhirat nanti ialah melalui jalan bersedekah selagi hayat masih ada.. InsyaAllah.

Dikatakan Rejab istimewa pada 10 terawal, Syaaban istimewa pada 10 pertengahan dan Ramadhan begitu istimewa pada 10 terakhir.  Berazam untuk jadikan 10 terakhir kita sebagai yang terbaik InsyaAllah. Mudah-mudahan Ramadhan kali ini berjaya membentuk diri kita menjadi insan yang bertakwa... Ameen


Wallahu'alam.

No comments:

Post a Comment