Tazkirah 7 Ramadhan - Jihad Melawan Nafsu

Bismillahirrahmanirrahim

Syukur di atas nikmat Iman dan nikmat Islam.  Atas nikmat itulah lahir sifat kehambaan.  Hamba kepada Allah.  Bahawasanya kita adalah hamba.  Moga-moga ibadah kita menjadi satu pengabdian kepada Allah Taala.  Yang membawa sifat kita ialah Allah.  Kita hamba Allah.  Ada yang lebih pangkat di sisi Allah iaitu orang mukmin yang ada tingkatannya.

Semoga kita termasuk dalam umat Nabi Muhammad SAW yang beroleh kemuliaan di akhirat kelak.  Ia adalah umat yang soleh.  Bulan Ramadhan adalah bulan mendidik, bulan mentarbiyah, bulan yang mampu membersihkan hati yang ada ujub, riak, takbur dan sebagainya.  Allah akan balas kebaikan.  Jangan bosan berbuat baik sesama makhluk.  Selagi kita buat baik, InsyaAllah akan ada balasannya.  Jaga mata, jaga anggota badan yang lain ketika berpuasa.  Siang harinya siam, malamnya qiam.  Selepas selesai di masjid, ada tanda2 kemanisan iman jika kita tambahi lagi menghidupkan malam di rumah.  Berkat bulan Ramadhan, anak-anak InsyaAllah berubah laku yang liar jadi jinak yang buruk jadi baik.. InsyaAllah.

Dapatkan ikhlas berbuat ibadah di bulan Ramadhan.  Ia maqam yang sempurna.  Jika hati kosong, tiada yang lain selain Allah, maka ikhlas akan duduk.  Letakkan segala sifat mahmudah dalam diri.  Dengki buang, hasad buang.  Tak dapat apapun jika ada semua itu.  Buang sifat yang tak baik itu, yang malas biar jadi rajin yang berat biar rasa ringan.

Perbanyakkan ibadah di bulan Ramadhan.  Perbanyakkan damping kepada Allah.  Ramadhan bulan kemuliaan, bulan yang tuntut keampunan.  Tiap-tiap malam solat hajat minta dipertemukan kita dengan malam Lailatul-Qadar iaitu malam yang lebih baik dari seribu bulan.  Moga Allah pertemukan kita dengan Lailatul-Qadar... ameen

Bersabda Rasulullah SAW: "Bulan Ramadhan itu ialah bulan kesabaran, dan ganjaran kesabaran ialah masuk syurga."

Oleh itu kawal nafsu, pelihara nafsu dari berlebih-lebihan pada yang halal.  Contoh:  tidak berlebih-lebihan dalam makan dan minum.  Inilah masanya kita nak jihad melawan nafsu.  Syaitan adalah seteru.  Walau syaitan dibelenggu di bulan Ramadhan, namun nafsu yang tidak dapat dikawal menjadi pengganti.  Biasakan diri makan sedikit, tidak terlalu banyak makan, supaya dapat dirasakan kesan puasa ke atas diri.  Kelak akan beroleh rahsia dan tujuannya berpuasa iaitu mampu mendidik jiwa serta mengurangkan nafsu dan syahwat.  Hakikatnya bila perut lapar, InsyaAllah akan memberi kesan pada hati lalu menimbulkan semangat untuk beribadah sedangkan jika perut kenyang akan jadi malas untuk bangun melakukan ibadah.

Miliki 8 perkara yang di-antaranya dapat mengawal nafsu dan ia menjadi musuh bagi syaitan iaitu:
(1) Ilmu - berazamlah untuk libatkan diri dengan Majlis Ilmu serta berazam jadi orang yang berilmu.
(2) Makrifat - Takut akan Allah.  Berpuasa kerana Allah, niat untuk mencapai redha Tuhan.
(3) Taubat - Syaitan benci orang yang bertaubat.  Syaitan suka orang yang menangguhkan taubat.
(4) Sembahyang di malam hari - Terawih, solat Tahajjud, Solat malam...maka malaikat damping, syaitan benci
(5) Berlapar pada siangnya.  Dan bila berbuka tidak berlebih-lebihan. Makan ketika lapar, berhenti sebelum kenyang.
(6) Berkekalan wudhuk - Bila batal wudhuk, ambil semula.  Jika sentiasa dalam wudhuk, malaikat damping namun syaitan benci
(7) Sentiasa Zikrullah - Ada amalan khusus pagi dan petang.  Hati yang zikir tak ada tempat syaitan masuk.  Hati yang lalai tempat syaitan duduk.
(8) Jaga solat 5 waktu, itu yang utama.

Dari Abu Hurairah r.a., katanya:  "Rasulullah SAW bersabda:
"Sesungguhnya pertama-tama amalan yang seseorang itu dihisab dengannya ialah solatnya, maka jikalau baik solatnya itu, sungguh-sungguh berbahagialah dan beruntunglah ia dan jikalau rusak, sungguh-sungguh menyesal dan merugilah ia.  Jika seseorang itu ada kekurangan dari sesuatu amalan wajibnya, maka Tuhan Azzawajalla berfirman: "Periksalah olehmu semua - hai malaikat, apakah hambaKu itu mempunyai amalan yang sunnah." Maka dengan amalan yang sunnah itulah ditutupnya kekurangan amalan wajibnya, kemudian cara memperhitungkan amalan-amalan lainnya itupun seperti cara memperhitungkan amalan solat ini.""
Diriwayatkan oleh Imam Termidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan.

Wallahu'alam.

No comments:

Post a Comment