Tazkirah 8 Ramadhan - Terangi Hati Nurani

Bismillahirrahmanirrahim
Alhamdulillah syukur kerana hati kita begitu teruja untuk ke masjid di malam-malam ramadhan.  Moga nawaitu kita, berbuat ibadah hanya kerana Allah.  Dalam ramai-ramai yang datang, tentu ramai yang set dalam fikiran -> nak ke masjid tu untuk bersolat terawih.  Ada tak dalam ramai-ramai tu, yang set dalam fikiran dia -> nak ke masjid tu untuk bersolat Isyak?  Kata ustaz, di sinilah silapnya kita.  Perlu sedar bahawa solat fardhu kita ialah solat Isyak.  Jadi itu yang mesti diberi keutamaan.   Jangan kita teruja untuk datang berjemaah solat sunat Terawih sedangkan kita seakan terlupa akan keutamaan solat Isyak yang merupakan fardhu.  Ada yang tiba lewat di masjid, terlepas solat Isyak berjemaah... namun datang2 terus ikut imam bersolat terawih.  Sesungguhnya tiada nilai suatu amalan sunat itu jika ibadah yang fardhu kita tinggalkan.  Kena faham hakikat itu!

Ustaz bagi satu lagi perbandingan iaitu solat terawih dengan majlis ilmu.  Sesi tazkirah yang ada di antara selang waktu solat terawih adalah majlis ilmu.  Majlis ilmu begitu banyak keistimewaannya yang Nabi SAW sebut.  Duduk dalam majlis Ilmu pahalanya lebih besar dari solat sunat 1000 rakaat.  Duduk dalam majlis Ilmu di bulan Ramadhan dapat pahala wajib. Solat fardhu di bulan ramadhan pula nilainya sama seperti 70 solat fardhu di bulan yang lain.  Mendirikan solat sunat di bulan ramadhan nilainya sama dengan bersolat fardhu di bulan yang lain.  Pahalanya berganda-ganda.  Maka sesungguhnya di antara solat terawih dan solat Isyak, solat Isyak yang menjadi keutamaannya dan di antara solat terawih dan majlis tazkirah, maka majlis Ilmu lah yang sebenarnya lebih utama.  Duduk dalam majlis ilmu akan di-naungi para malaikat.  Walau tertidur sekalipun dalam majlis ilmu tetap mendapat pahala InsyaAllah.

Ramai yang suka kalau dapat bersolat terawih di masjid yang bacaan imamnya cepat dan laju.  Kata mereka, dapat banyak tapi sekejap je dah siap.  Tapi jika baca laju sangat dalam solat, hinggakan di tempat yang sepatutnya panjang bacaan tak dipanjangkan, kurang tamaninah, agak2 Allah terima ke solat kita?  Ditambah dengan ada yang mengelat ketika nak solat, dekat imam nak rukuk di rakaat pertama baru makmum mula angkat takbir nak mula solat.  Kalau macam tu lah solat kita, agak-agak Allah terima ke solat kita?  Mari bermuhasabah diri.

Solat Terawih adalah waktu bersenang-senang bukan terkejar-kejar.  Jika kita terkejar-kejar nak selesaikan solat terawih dalam jangkamasa yang singkat, maka bacaan kita dalam solat tentunya tidak mencapai maksud sebenar kita melakukan solat kerana Allah.  Jangan kiranya kita berbangga dapat solat di masjid yang gah, besar dan bergaya namun tidak dapat merasai nikmat beribadah kepada Allah Taala.

Sebab itu lah pentingnya disampaikan ilmu.  Ilmu dapat membaiki amalan seseorang.   Ilmu dapat memperelokkan lagi ibadah kita. Berkejar untuk solat terawih sedangkan solat Isyak tak solat itu, contoh sebab tak ada ilmu. Jadi rasa tak mengapa, rasa tak bersalah apa-apa. Maka di sinilah pentingnya belajar. Di sinilah pentingnya mendengar tazkirah. Tazkirah itu merupakan peringatan.  Disampaikan pula tazkirah itu di waktu yang terbaik, iaitu di saat tengah rehat selepas berterawih 4 rakaat  sebelum semua bangun untuk sambung 4 rakaat lagi.  Ia lebih baik dari kita bersolat 20 rakaat Terawih yang 'ekspress rakyat', yang hanya tertumpu untuk dapat buat banyak namun cepat selesai.  Lainlah jika solat itu dapat dihayati dengan khusyuk oleh para jemaah.

Ustaz kongsi fakta bahawa solat 20 rakaat secara direct pada salsilahnya bermula di zaman pemerintahan Saidina Umar al-Khattab. Wallahu'alam.

Mari kita gemar pada tazkirah.  Selepas dengar tazkirah, mari kita kongsikan pula peringatan tersebut dengan orang yang tak berpeluang datang dengar.  Jadi pahalanya InsyaAllah akan bersambung-sambung. Pahala itu sangat berguna untuk kita sebagai saham di akhirat.

Dari Abdullah Ibnu Abbas r.a berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Kamu semua hari ini mendengar perkara-perkara keagamaan dariku, esok perkara-perkara ini didengari pula daripada kamu. Kemudian ia didengari pula dari orang-orang yang mendengarinya daripada kamu (kerana itu dengarlah dengan teliti dan sampaikanlah kepada orang-orang yang selepas kamu, supaya mereka dapat menyampaikan kepada orang-orang selepas mereka, dan urutan ini berterusan). (HR Abu Daud)

Ustaz sebutkan juga tentang kelebihan bersedekah di bulan ramadhan.  Perbanyakkan memberi sedekah di bulan ini.  Jangan kita tumpu untuk beri sedekah duit raya di bulan Syawal kerana sesunggguhnya bersedekah di bulan Ramadhan lagi berganda-ganda ganjaran pahalanya di sisi Allah.  Maka ambil peluang untuk bersedekah semasa diri masih berada di bulan Ramadhan.  Begitu juga dengan trend membuat open house di bulan Syawal.  Kalau betul nak buat open house eloklah buat open house di bulan Ramadhan. Contoh:  Buat open house untuk jamu orang berbuka puasa, itu yang terbaik.  Ganjaran pahalanya InsyaAllah akan begitu besar di sisi Allah Taala..
Nabi SAW telah bersabda: "Sesiapa yang mengundang orang berpuasa untuk berbuka, maka baginya pahala orang berpuasa tidak dikurangi dari pahala itu walau sedikitpun."
Maksudnya, orang yang mengundang atau memberi makan orang untuk berbuka puasa itu akan mendapat pahala yang sama dengan orang berpuasa tadi.

Rahsia puasa para sahabat ra yang berpuasa walaupun semasa di dalam jihad di jalan Allah, di antaranya ialah:  Ikut sunnah Nabi SAW iaitu dengan (i)menyegerakan berbuka, (ii)melewatkan sahur,  sebagaimana hadis Nabi SAW yang berbunyi: "Umatku tetap akan berada di dalam kebaikan, selama mereka menyegerakan berbuka puasa dan melewatkan makan sahur."
(iii) berhenti sebelum kenyang; serta
(iv) bahagikan hak perut,
sebagaimana hadis Nabi SAW iaitu: "Tidak ada suatu bekas yang dipenuhkan oleh anak Adam lebih buruk dari perutnya.  Memadailah bagi anak Adam itu beberapa suap untuk menyambung hidupnya.  Jika ini juga tidak mencukupi, maka hendaklah sepertiga untuk makannya, sepertiga untuk minumnya dan sepertiga lagi untuk penafasannya."

Dikatakan jika perut kenyang, laparlah segala anggota manakala jika perut lapar, maka kenyanglah segala anggota. Bermaksud, bila perut kenyang, itu punca hati menjadi keras dan lalai dan menimbulkan perasaan malas untuk beribadat.  Sedangkan jika perut lapar, InsyaAllah akan meninggalkan kesan yang baik untuk menerangi hati nurani serta menimbulkan semangat pada anggota untuk beribadat.

Seterusnya ikutlah menu Rasulullah SAW iaitu berbuka dengan kurma dan bersahur dengan kurma. Nabi SAW berbuka dahulu sebelum menunaikan sembahyang Maghrib. Sebaik-baiknya mulakan berbuka dengan buah kurma, jika tidak ada, dimulakan saja dengan air.  Makan lah kurma dengan bilangan ganjil samada sebiji, tiga biji, lima biji dan sebagainya.  Sebelum makan kurma, berselawatlah dulu ke atas Rasulullah SAW.  Berdoa pada Allah, " Ya Allah, jadikanlah makanan ini berkat buatku, memberi kekuatan buatku di sepanjang hari aku berpuasa..."

Disebut antara ganjaran berpuasa, InsyaAllah dapat masuk syurga ikut pintu Ar-Rayyan.  Dan ada dua kegembiraan bagi orang yang berpuasa iaitu ketika berbuka dan ketika dapat melihat Tuhannya.  Nikmat paling besar dalam syurga ialah bila dapat melihat Allah Taala... ameen
Sabda Rasulullah SAW:
"Dalam syurga ada suatu pintu dinamakan Raiyaan, tiada dibenarkan masuk menerusinya kecuali orang-orang yang berpuasa saja.  Apabila mereka sekelian telah masuk, pintu itu ditutup."
"Setiap amal anak Adam, dilipat-ganda pahalanya sepuluh kali ganda seumpamanya.  Berkata Allah Taala: Kecuali puasa, maka amal itu adalah untukKu, dan Aku sendiri akan membalasnya.  Dia (orang yang berpuasa itu) telah meninggalkan makan, minum dan menahan syahwatnya keranaKu.  Orang yang berpuasa itu ada dua kegembiraan:: Kegembiraan ketika berbuka puasa, dan kegembiraan ketika bertemu dengan Tuhan.  Adalah bau mulut orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah daripada bau-bauan minyak kasturi."

Moga puasa kita diterima Allah.  Mudah-mudahan Ramadhan kali ini menjadi Ramadhan terbaik buat kita semua... ameen

Wallahu'alam.

No comments:

Post a Comment