Bersihkan Hati bermula Ramadhan

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah, tiap malam selepas solat baadiyah sesudah Isyak, sesiapa yang berkelapangan akan tunggu sebentar untuk ikut bersama-sama tuan Imam membaca Surah al-Mulk. Rutin ini alhamdulillah telah menjadi salah satu agenda tetap di masjid kami tiap malam. Alhamdulillah, rasa bersyukur kerana direzekikan Allah untuk dapat tinggal di kawasan ini yang sering menyajikan suasana mengaji. Alhamdulillah, syukur padamu Ya Allah.

Esok kita semua akan mula berpuasa sebulan di bulan Ramadhan. Bermakna malam ini kita semua akan sama-sama mula bersolat terawih. Selamat Menyambut Ramadhan buat seluruh muslimin dan muslimat, semoga Allah Taala akan memberikan kita kedudukan yang mulia di akhirat nanti... aminn

Menyambung kembali peringatan yang diberikan oleh tuan Sheikh*sambungan dari sini:

  • Maka waspadalah bila kita memasuki bulan Ramadhan, jika kita masih memiliki perasaan dengki terhadap kaum muslimin yang lain
  • waspadalah takkala kita memasuki bulan Ramadhan, jika kita memutuskan silaturrahim terhadap keluarga dan sanak saudara kita
  • sebagaimana kita mempersiapkan masjid kita, mempersiapkan makanan dan mempersiapkan pakaian ke masjid untuk sambut Ramadhan, jangan kita lupa bahawa inti atau asas untuk sambut Ramadhan adalah pembersihan hati kita
  • sesungguhnya seluruh dunia dan seluruh perhiasannya tidak dapat membahayakan Allah Taala. Sesungguhnya seluruh zahir kita samada orang kaya atau miskin, orang tinggi atau rendah, orang berkulit putih atau kulit hitam.. tidak berpengaruh di hadapan Allah Taala
  • Allah hanya melihat satu tempat sahaja di dalam tubuh manusia iaitu hati. Maka wajib untuk seluruh kaum muslimin dan muslimat untuk sentiasa cuba membersihkan hati masing-masing
  • kita bersihkan hati kerana mengharap rahmat dan maghfirat dari Allah Taala
  • Sebagaimana ibarat: bila kita tiba-tiba mendapat panggilan mendadak bahawa ada raja yang nak datang melawat rumah kita. Secara spontan kita akan segera membersihkan rumah kita, membersihkan perabot-perabot yang ada dan berusaha mewangikan seluruh ruangan.
  • Maka sesungguhnya tempat pandangan Allah, adalah lebih layak kita membersihkan hati-hati kita agar bersih.
  • hendaklah sebelum memasuki Ramadhan, kita saling bermaaf-maafan sehingga tidak ada perasaan dengki dan benci terhadap sesama muslim. Sehingga bila kita masuk ke bulan Ramadhan kita InsyaAllah mampu termasuk sebagai penghuni Syurga Allah sebagaimana berita gembira yang disampaikan oleh Nabi s.a.w pada para sahabat ra tentang sifat seorang penghuni Syurga. Orang tersebut adalah orang yang selalu solat berjamaah di masjid dan selalu menjaga solat witir di rumahnya. Dia tidur sama seperti orang lain, tidaklah solat sunat sehingga seribu rakaat dan tidak pula berpuasa banyak. Namun dia seorang yang bersih hatinya kerana tiapkali sebelum tidur dia akan memaafkan semua kesalahan orang sehingga tidak ada rasa marah pada keluarga, tetangga dan saudara muslim lainnya.
  • Maka berusahalah kita untuk dapat memaafkan seluruh keluarga dan sahabat-sahabat kita sebelum kita melelapkan mata setiap malam
  • sesungguhnya di dalam Syurga ada suatu kenikmatan yang tak pernah dipandang mata, tak pernah didengar telinga dan tak pernah terlintas di dalam hati manusia
  • Tahniah bagi orang yang selalu berusaha untuk beramal baik di bulan Ramadhan
  • Tahniah bagi orang-orang yang membaca Surah al-Baqarah, tahniah bagi mereka yang melaksanakan adab-adab dan batas-batas yang ada dalam Surah al-Baqarah. Begitu juga ada pada Surah an-Nur, Surah al-Ahzab, begitu juga adab-adab yang ada pada Surah Hujurat dan di seluruh ayat al-Quran pun ada adab-adab Allah Taala. Al-Quran memberi kita batasan-batasan, di dalamnya Allah jelaskan apa perintah Allah yang kita harus taati dan apa larangan yang perlu dijauhi.
  • Tahniah bagi yang baca Surah al-Baqarah dan Surah Ali Imran di mana kedua-dua itu akan menjadi payung di hari kiamat nanti. Surah Al-Baqarah dan surah Ali-Imran dipanggil surah az-Zahrawain yang apabila dibaca akan mendapat syafaat di padang mahsyar kelak.
  • jagalah perintah-perintah Allah dan berlindung diri dari semua perkara yang tak baik dan perkara maksiat yang semuanya disebut di dalam al-Quran
  • Kita akan memasuki bulan Ramadhan, ketika kita di waktu Maghrib, manusia di bumi yang sebelah lagi sedang melaksanakan solat zohor. Dalam 24 jam, sebahagian kaum muslimin berpuasa dan sebahagian yang lain sedang berbuka puasa. Maha Suci Allah Taala Yang Maha Mampu, Maha Suci Allah Taala Yang Maha Agung
  • meskipun ada perbezaan waktu di bumi ini, namun pada 29 Shaaban bila nampak anak bulan maka langsung kita akan berpuasa keesokkan harinya. Kalau tak dapat lihat anak bulan maka Nabi s.a.w meminta kita menyelesaikan bulan Syaaban 30 hari
  • tidak boleh berpuasa sehari sebelum bulan Ramadhan. Nabi s.a.w melarang perbuatan tersebut
  • bila lihat anak bulan Ramadhan kita niat untuk berpuasa 30 hari seluruhnya. Dengan niat, "Sahaja aku berpuasa sebulan di bulan Ramadhan sesungguhnya kerana Allah Taala." Tapi setiap malam kita harus perbaharui niat kita, sebagaimana Nabi s.a.w yang bersabda, "Sesungguhnya segala amal itu bergantung pada niatnya." Mesti perbaharui niat setiap malam dengan niat, "Sahaja aku berpuasa esok hari di bulan Ramadhan sesungguhnya kerana Allah Taala." Dan puasa yang kita amalkan nanti hendaklah kita berpuasa seluruh anggota badan kita. Ajar anak-anak kita berpuasa
  • hendaklah kita mencontohi puasa yang benar oleh para sahabat ra agar puasa itu menjadi ubat bagi kita. Semasa berbuka puasa hanya makan yang sedikit sahaja, hanya secukupnya. Sehingga kita akan merasai lazatnya berpuasa. Sehingga bilamana kita makan sedikit, pada waktu dhuha dan waktu zohor kita telah merasakan lapar. Dari situ kita akan ikut dapat merasakan lapar yang sering di-alami oleh orang-orang miskin
  • berbelas kasihan lah terhadap orang-orang fakir dan miskin di bulan Ramadhan, banyakkanlah bersedekah pada orang-orang yang memerlukan bantuan
  • hendaklah kita beribadat di malam hari, berqiamulail dan sebahagian malam hendaklah kita bersolat tahajjud. Semoga Allah Taala akan memberikan kita kedudukan yang mulia di akhirat nanti
  • Bulan Ramadhan adalah bulan yang kita menunggu-nunggu kedatangannya. Ada malam di bulan Ramadhan yang lebih baik dari seribu bulan, di bulan Ramadhan para malaikat pun ikut bersesak-sesak di dalam masjid
  • maka mintalah bantuan daripada Allah, rasa rindulah untuk sambut Ramadhan. Semoga Allah menyampaikan kita kepada bulan Ramadhan.
  • Allah Taala mendidik kita dengan adab-adabNya melalui al-Quran dan menjadikan kita tahu hakikatnya. Moga Allah memberi kita pemahaman untuk dapat memahami ayat-ayat suci al-Quran, moga Allah memberi kita rahmatNya sebagaimana yang diberikan kepada kaum solehin, moga Allah memberi keampunan kepada kita... aminn
Semoga segala apa yang dimutiara kata-kan oleh tuan Sheikh dapat kita terjemahkan dalam kehidupan kita bermula malam ini. Alhamdulillah berkongsi catatan pengisian dalam 3 entri iaitu: 1)Kita akan memasuki bulan Ramadhan InsyaAllah, 2)Madrasah al-Quran di bulan Ramadhan; dan 3)Bersihkan Hati bermula Ramadhan. Wallahu'alam.
Selamat beramal soleh. Jom beramai-ramai kita bersolat terawih malam ini.

Madrasah Al-Quran di bulan Ramadhan

Bismillahirrahmanirrahim.
*bersambung dari sini*

Sambungan pengisian Tuan Sheikh:
  • bulan Ramadhan adalah bulan yang hidupkan hati-hati dan jiwa kita. Jiwa akan lebih tenang
  • Nabi s.a.w mengajarkan untuk hidupkan jiwa kita, baginda s.a.w sering menyarankan untuk sering sering berdoa kepada Allah Taala.
    Firman Allah menyatakan: "Wahai orang-orang yang beriman, jawablah panggilan Allah dan Rasul ketika (Dia) menyeru kepada apa yang menghidupkan kamu..."(Surah al-Anfal:24)
  • Allah mencipta kehidupan kita yang dimulakan dengan kalimah Lailahaillallah. Kita meng'Esa-kan Allah, hanya daripada Allah rezeki diturunkan. Sesungguhnya semua ujian datang dari Allah, segala nikmat yang kita dapati hanyalah dari Allah.
  • Allah menciptakan kita, memberi rezeki pada kita, mengatur kehidupan kita untuk kita melaksanakan 5 rukun Islam iaitu dimulakan dengan mengucap dua kalimah syahadah, solat, puasa, zakat dan haji (bagi yang mampu).
  • itu adalah kehidupan jiwa dan raga kita, semua itu terangkum dalam ayat Allah dalam Surah al-Anfal:24 tersebut: "Wahai orang-orang yang beriman, jawablah panggilan Allah dan Rasul ketika (Dia) menyeru kepada apa yang menghidupkan kamu..."
  • Dalam bulan Ramadhan yang penuh berkat, InsyaAllah mampu mensucikan hati-hati kita dan fikiran kita., akal fikiran kita akan berusaha memahami ayat-ayat suci al-Quran.
  • jangan kiranya kita merasa sudah cukup membaca al-Quran. Lepas kita baca dan khatam, kita ulangi lagi bermula dengan surah al-Fatihah.
  • berusaha memahami ayat-ayat yang dibaca, berhenti takkala membaca untuk memahami apa isi ayat tersebut.
  • berusaha memikirkan apa maksud Allah Taala daripada ilmu-ilmu yang kita dapati dari madrasah al-Quran
  • al-Quran adalah kitab yang penuh berkah yang diturunkan, untuk kita memahami apa maksud ayat-ayat tersebut
  • Tahniah bagi orang yang baca Quran dan dia mengerti apa maksud dari ayat-ayat yang dibaca. Dalam Surah al-Zalzalah 7 - 8, Allah berfirman: Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!
  • bila kita baca Quran dan mengerti maksud, maka akan timbul rasa takut untuk lakukan kejahatan, takut jika termasuk dalam golongan orang-orang yang nanti akan dihumban ke dalam api neraka.
  • Berusahalah untuk memahami apa isi makna dari surah al-Fatihah kerana kita membaca fatihah sekurang-kurangnya sebanyak 41x dalam sehari. Jagalah solat 5 waktu kita dan jagalah solat-solat sunat.
  • Al-Quran adalah ceramah dan nasihat-nasihat untuk menyembuhkan hati-hati kita.
  • ia merupakan petunjuk dan rahmat bagi kaum muslimin seluruhnya
  • ia adalah kitab yang jelas, kitab yang mulia di sisi Allah
  • tidak ada yang menyentuh al-Quran kecuali orang-orang yang memiliki wudhuk
  • tidak dapat memahami ayat-ayat al-Quran kecuali orang yang memiliki hati yang bersih.
  • adalah termasuk dalam adab dan kesopanan bilamana hendak memegang al-Quran itu, haruslah kita bersuci.
  • tidak ada orang yang memahami ayat-ayat al-Quran kecuali orang-orang yang bersih hatinya. Bersih dari sifat dengki, tidak putus silaturrahim dan tidak berbuat yang buruk terhadap orang lain. Semua perbuatan syaitan dia tinggalkan. Ketika itulah hatinya betul-betul bersih dan mampu memahami ayat-ayat al-Quran.

***bersambung seterusnya lagi di sini

Kita akan memasuki bulan Ramadhan InsyaAllah

"Semoga ilmu yang kita dapati malam ini dapat diterjemahkan ke dalam hidup kita dalam menghadapi Ramadhan al-Mubarak"

Itu kata2 penutup majlis ilmu oleh Tuan Imam selepas selesai sesi kuliah yang begitu menyentuh hati dari seorang penceramah jemputan khas yang dijemput.

Antara pengisian ilmu untuk sama2 di-renungkan:
  • Segala puji bagi Allah yang memberi kita agama Islam
  • dan segala puji bagi Allah yang memberi kita keimanan
  • dan segala puji bagi Allah yang telah menjadikan kita umat pembaca al-Quran.
  • dan segala puji bagi Allah yang telah mengumpulkan kita di suatu tempat yang penuh berkat dan di waktu yang penuh berkat
  • kita semua InsyaAllah akan memasuki bulan Ramadhan
  • kita semua di timur dan di barat InsyaAllah akan memasuki bulan Ramadhan
  • tahniah kerana kita akan memasuki bulan syiar al-Quran, bulan suci, bulan yang penuh rahmat, bulan yang akan dilipat-gandakan semua pahala
  • bulan yang pada setiap malamnya Allah akan membebaskan jiwa manusia dari azab siksa api neraka
  • semoga Allah menjadikan kita termasuk dalam orang-orang yang bebas dari api neraka.
  • Bulan Ramadhan adalah sebagai tetamu bagi hati-hati kita
  • bulan tersebut adalah cahaya bagi majlis-majlis kita
  • alangkah mulianya tetamu kita yang akan datang itu
  • alangkan agungnya tetamu yang akan kita jemput nanti
  • sesungguhnya itu adalah tetamu yang mulia yang perlu kita agungkan
  • yang mana semua hati kaum muslimin dan muslimat merasa rindu untuk menyambutnya
  • pada bulan tersebut, para malaikat semua akan berada di semua tempat di bulan Ramadhan
  • bulan di mana kita akan mendapat kelebihan markah, kelebihan kedudukan di sisi Allah Taala
  • bulan di mana waktu kita untuk dapat mendekat diri kepada Allah Taala
  • itu adalah bulan di mana kita cinta al-Quran dan selalu ingin membacanya
  • bulan di mana kita mendapat kelazatan takkala membaca al-Quran dan tak akan dapat mendapatinya di bulan selain dari bulan Ramadhan
  • kita pun nanti akan merasa rindu terhadap ayat-ayat Allah
  • kerana para pembesar2 syaitan pun telah dibelenggu, yang sebelumnya selalu menyekat kita dari berzikir dan mengingat kepada Allah
  • ketika bulan Ramadhan, para pembesar syaitan itu akan dibelenggu oleh Allah, dikekang dari dapat bergerak, terus dalam keadaan itu sehingga berahirnya bulan Ramadhan
  • ketika itu semua hati-hati kita akan merasa tenang untuk berzikir kepada Allah Taala.

***bersambung di sini

Sambutlah Ramadhan

Setelah sekian lama tak pergi, maka hari Ahad lepas bangun dengan semangat wajja untuk ke Kuliah Subuh. Alhamdulillah lepas kuliah, kami singgah bersarapan. Masa tu baru jam 7.15 pagi. Terasa begitu bermaknanya hari kalau dimulakan dengan Subuh di masjid. Jam 8 pagi dah sampai balik rumah, siap balik dengan lauk2 yang sempat singgah beli di pasar.

Itulah untungnya kalau kita berpagi-pagi memulakan hari. Selalu sms anaknda yang jauh di mata,"... rugi kalau hari minggu kita dihabiskan dengan bangun lambat"(tidur balik lepas Subuh). Sekerat hari masa terbuang begitu saja. Sedangkan usia kita ini tak tahu dapat bertahan sampai bila.

Kata ustaz, elok lah perbanyakkan beribadah bersempena dengan kedatangan bulan Ramadhan. Sepatutnya Ramadhan kita sambut dengan rasa teruja. Rasa gembira sebagaimana keadaannya di zaman para Sahabat ra. Mereka begitu menunggu-nunggu dan mengalu-alukan kedatangan bulan Ramadhan.. bulan yang penuh keagungan, penuh keberkatan dan bulan yang digandakan Allah ganjaran pahala.


“Sesungguhnya telah hadir bulan Ramadhan bulan berkat, Allah telah mewajibkan ke atas kamu berpuasa, dibukakan pintu-pintu Syurga, ditutup rapat pintu Neraka dan ditambat para Syaitan, Di bulan ini terdapat satu malam yang terbaik dari seribu bulan. Sesiapa yang tidak berusaha mendapatkan kebaikan-kebaikannya sesungguhnya dia rugi.”
(Hadis Riwayat Ahmad dan an-Nisai)
Kata ustaz... Sambutlah Ramadhan...
Jangan hanya rasa biasa-biasa saja dengan kedatangan bulan Ramadhan. Yang lebih malang lagi jika ada yang tak ada rasa apa-apa terhadap kedatangan Ramadhan. Sepatutnya biar timbul teruja di hati kita. Biar ternanti-nanti untuk dapat bertemu dengannya. Ada orang yang direzekikan Allah bertemu Ramadhan di tahun lepas namun tiada rezeki untuk dapat jumpa di tahun ini bilamana ajal telah menjemput pergi. Yang muda jangan sangka mati bila tua, jangan samakan kita dengan jiran kita yang masih nampak sihat walaupun dah umur 80 tahun. Jangan fikir, "Oh aku pun nanti akan jaga kesihatan, tentu boleh sihat macam pakcik tu bila tua nanti.." Rezeki masing-masing bukan kita yang tentukan, semuanya dalam rahsia Allah. Jadi semasa masih ada peluang, beramal lah kita semampunya untuk cuba mencapai kedudukan yang mulia di sisi Allah.

Dengan tibanya Ramadhan, maka berpuasa menjadi kewajipan buat kita umat Islam. Bila berpuasa, manusia sanggup tolak rutin hariannya seperti makan minum, syahwat serta tidak melakukan perkara-perkara lain yang boleh membatalkan puasa. Namun kata ustaz, puasa manusia hanya beroleh lapar dan dahaga semata-mata bagi orang yang meninggalkan makan minum tapi tetap tak tinggalkan perkara-perkara mungkar dan maksiat contoh: berpuasa tapi tak solat, berpuasa tapi tetap tak tutup aurat, berpuasa tapi tidak menjaga lidah dari berkata yang tidak baik seperti mengumpat, mengata, mengaibkan, fitnah orang dan sebagainya.

Dalam hadis Rasulullah saw ada disebutkan bahawa, Hina dina-lah seorang yg menerima kedatangan bulan Ramadhan, namun bila bulan itu berakhir, dia tidak memperolehi keampunan Allah (a.w) dari dosa-dosanya.
Nauzubillah. Moga Allah ampunkan dosa-dosa kita... aminn

Ustaz peringatkan bahawa nafsu sentiasa membantu Syaitan untuk membinasakan kita. Walaupun syaitan diikat di bulan Ramadhan namun nafsu yang tidak dikawal menjadi musuh yang paling bahaya. Nafsu merupakan pencuri dalaman bagi diri kita. Maka untuk jinakkan nafsu, kena usaha buat ibadah yang berat-berat. Jangan hanya sekadar buat yang ringan-ringan dan yang sikit sahaja. Contoh: Masa solat hanya nak baca surah yang pendek-pendek, solat terawih pun nak buat hanya setakat 8 sahaja... Maka tahun ini mudah-mudahan ada peningkatan, biar lebih baik dari tahun-tahun sudah.

Sambung ustaz, kena banyak2 baca quran, buat solat sunat, doa dan zikrullah. 10 terakhir Ramadhan, bersungguh-sungguh lakukan ibadah dengan beriktikaf di masjid. Usaha kurangkan tidur, lebihkan solat malam. Amalan yang dilakukan pada bulan Ramadan digandakan kepada 10 hingga 700 kali ganda, melainkan puasa, Allah akan membalas sendiri ganjarannya. Sebagaimana firman Allah dalam satu hadis qudsi, ”Setiap amalan anak Adam adalah tertentu untuk dirinya sendiri melainkan puasa, sesungguhnya amal puasa itu adalah untuk Aku dan Aku yang akan membalas amalan ibadah ini”

Kata ustaz, hidupkanlah surau/masjid di waktu berbuka nanti. Jangan semua pakat2 nak berbuka puasa di rumah, surau terpaksa tutup. Maka sama2lah tanggung dosa bilamana tiada yang datang berjemaah Solat Maghrib di surau/masjid. Imarahkan surau dan masjid dengan datang berbuka puasa dan solat berjemaah Maghrib. Datang bawa makanan, tukar2 dengan orang lain. Besar pahala bilamana dapat memberi makan orang berbuka puasa.

Niat kita, hanya Allah Taala saja yang tahu. Orang lain tak akan tahu rahsianya. Orang yang berusaha menjaga puasanya InsyaAllah dia juga akan amanah dalam menjaga ibadahnya. Maka masing-masing, tepuk dada tanya iman. Sambutlah Ramadhan dengan keterujaan, dengan kesukaan. Jangan macam takde apa. Ingat bahwasanya kita semua menuju Allah. Masa semakin singkat. Sesungguhnya orang yang benar-benar cerdik ialah orang yang sentiasa ingat mati dan sentiasa buat persiapan menuju kematian.
Selamat Beramal.

Himpunan Hijau Kuala Selangor



Alhamdulillah dengan izin Allah berpeluang hadir di Himpunan Hijau di Stadium Kuala Selangor malam tadi. Dalam perjalanan duk saling berbalas mesej dengan rakan masjid saya, janji nanti jumpa di sana. Singgah ambik wudhuk siap2 di rest area, bimbang nanti sesak tak jumpa sumber air/kelam kabut nak beratur panjang dalam orang yang begitu ramai tu.

Kami beramai-ramai bentang kanvas dan tikar sebelum lapik sejadah di tengah padang Stadium untuk bersolat Maghrib, kemudiannya solat Isyak disusuli dengan solat Hajat mohon pertolongan Allah. Begitu ramai orang.. MasyaAllah tak dapat nak cerita. Himpunan hijau di Stadium Kuala Selangor telah berjalan serentak dengan himpunan hijau di Negeri Sembilan. Tentu sekali di sana juga tidak kurang meriah sambutannya.

Terserempak dengan ramai kawan2 yang ikut turun, ada yang bertolak seawal lepas zohor untuk join konvoi bermotosikal dan juga konvoi kereta dari semua bahagian negeri Selangor. "Aku ikut konvoi Bangi", sms salah seorang rakan en suami. "Ok, berkumpul di tempat sekian sekian pukul sekian sekian", kata sms dan email yang diterima. Alhamdulillah, begitu utuh semangat berpasukan yang terjalin.

InsyaAllah moga ada ruang keadaan jadi lebih baik. Sama2 kita doakan... aminn

Nasi Kerabu penambat selera di bulan Ramadhan



"Mama, teringatnya dekat kek black forest dan nasik kerabu kita... huuu"

Dapat mesej dari anakku yang sekarang sedang terpaksa mencari makan sendiri di cafe kampusnya. Kesian anakku.. sabar ya.. nanti balik mama buat lagi nasi kerabu. Nasi kerabu kita macam2 kaler kan, kadang buat warna biru, kadang purple, kadang kuning dan ada juga ketikanya tak boh kaler pun... pakai nasi puteh biasa je makan dengan ulam-ulaman nasi kerabu.. mmmm....

Alhamdulillah kalau buat nasi kerabu, banyak kali boleh ulang makan lain kali. Sengaja buat lebih2 stok sambal kelapanya, maka bahan2 lain untuk package nasi kerabu boleh siap sedia untuk dihidangkan dalam masa 30 minit je. Tinggal buat tumis budu, goreng ayam/daging @ buat ikan celup tepong, rebus telor masin, goreng keropok, mesin sambal lada pastu hiris ulam-ulaman... dahhh siap.

Ramadhan tinggal beberapa hari saja lagi. Selalu tu kalau Ramadhan, nasi kerabu lah yang sentiasa jadi juadah berbuka puasa di rumah kami. Alhamdulillah, Ahlan Ramadhan. Ku mengharapkan Ramadhan kali ini dapat di-lalui dengan penuh makna InsyaAllah... moga dapat dilenturkan nafsu yang selalu membelenggu diri tanpa henti-henti... (di sini)

Selamat menyambut Ramadhan. Berpuasa di siang hari, qiamulail di malam hari. Semoga amalan kita semua diterima Allah.. aminn

Tarbiyah Nafsu

Alhamdulillah, terima suntikan semangat dari pengisian kuliah maghrib malam tadi. "Mantop kuliah ustaz malam ni..", bisik en suami sebaik saja masuk kereta.

Bersempena dengan Ramadhan yang bakal menjelang, ustaz menggesa kita semua agar segera lakukan peningkatan dalam ibadah. Bulan Ramadhan adalah bulan untuk tarbiyah diri kita. Jadi persiapkan diri untuk menghadapi dan melalui hari-hari Ramadhan dengan amal yang sebaik mungkin InsyaAllah.

Allahummabariklana fi Syaabana wabalirghna Ramadhan...
Ya Allah berkatilah kami di bulan Syaaban dan pertemukanlah kami dengan bulan Ramadhan... aminnn


Kata ustaz, perbanyakkanlah zikir setiap hari. Biar mulut kita terbiasa dengan zikrullah, perbanyakkan menyebut Allah Allah Allah agar bilamana kita nak mati nanti mulut kita akan mampu mengucapkan kalimah Allah. Sakit menghadapi kematian boleh menyebabkan mata bagaikan buta, telinga bagaikan pekak. Jadi jika kita sentiasa beramal dengan zikrullah di masa sihat kita InsyaAllah di saat2 sakaratul-maut amalan tersebut akan menemani kita.

Zikir amat mudah untuk di-amalkan namun begitu berat untuk kita memelihara amalannya. Begitu juga dengan ilmu yang begitu mudah untuk mendapatkannya namun amat payah untuk memelihara ilmu di dalam diri. Maka kata ustaz, kita harus bermujahadah lawan rasa berat-hati itu. Nafsu yang menguasai diri sering tidak dapat ditewaskan oleh akal kita. Jika akal menang InsyaAllah berjaya kita dalam ibadah sebaliknya jika nafsu yang menang maka kalah lah kita. Dikatakan bahawa, "Jihad yang paling besar adalah jihad melawan hawa nafsu"

Menyeru akal, menyeru nafsu. Dalam satu masa dua benda menyeru, Bila kuat beroleh akal, bila lemah iman beroleh nafsu. Iman yang kuat, berazam untuk beramal.."..umur aku ni dah tua tapi amal tak banyak mana, malam ni nak mula balik baca quran sebelum tidur.." Nafsu pintas kata, "..engkau kan dah tua, kena tidur awal. Esok pun boleh baca, ya tak.. bukan malam ni je boleh beramal.. lagi pun sunat je pun.."

Akal pun lawan. Akal dan nafsu sering berlawan. Itu sebabnya kita kadang hari ini buat Dhuha, esok tak buat, malam tadi dapat Tahajjud, malam ini tak buat. Nafsu bagi kata2 yang lemahkan semangat untuk beramal contoh,
"Tak payahlah solat malam ni, bukan esok tak boleh buat. Malam esok ada lagi. Sibuk rasanya pagi ni, takpe lah tinggal solat dhuha. Esok nanti continue balik..." Kalau nafsu lebih dari akal, duduk lama sikit dalam majlis ilmu dah panas punggung. Bila ustaz bukak kitab, nafsu terus kata, " Ohh kitab tu.. hari tu dah khatam dah, takkan nak ngaji yang sama kot...", "Ohh ustaz ni la pulak malam ni, tak best lah.. balik umah je lah kalu gitu.."

Bisikan2 nafsu sering berlegar di sekeliling kita. Maka kena kuat hati untuk didik nafsu, agar ia tidak terus mengawal diri kita dalam kita melakukan ketaatan. Di sinilah perlunya sabar untuk kekalkan taat. Kita bila sabar walau didorong nafsu akan ketepikan rasa malas untuk ibadah, akan sentiasa rasa ada masa untuk ibadah. Jika tiada sabar dalam taat maka akan sering beralasan sibuk, tiada masa, ada hal, banyak urusan dan sebagainya untuk berkata 'tidak' pada ibadah. Berbeza untuk perkara duniawi, nafsu bersungguh2 memberi dorongan, contoh: balik ofis sempat lagi main badminton, bukan sekejap... boleh pulak luangkan masa main badminton sampai dekat dua jam.

Akal harus usaha melawan nafsu. Jangan dibiarkan nafsu menguasai diri. Orang yang bermujahadah melawan nafsu kadang-kala jatuh dalam dosa, buat salah tapi InsyaAllah Allah ampun kerana kuat dan bersungguh-sungguhnya dia dalam cuba melawan nafsu. Bagi mereka ini, kebanyakan keinginan jahat dia lemah, lebih kepada keinginan yang baik. Ada masa kuat ada masa lemah. Bila akal kuat, dapat baik.. bila akal lemah tersungkur jua. Namun bagi mereka yang bermujahadah ini, ada rasa dukacita bila tak dapat beramal, contoh: " Ohh ruginya tak join mengaji tadi, ampunkan aku ya Allah..."

Kata ustaz, perbanyakkanlah zikir untuk membersihkan hati kita. Banyak cara beribadah yang dapat membersihkan hati, salah-satunya ialah melalui zikrullah. Bacalah "Lailahaillallah" sebanyak 100x sebelum terbit fajar, 100x sebelum terbit matahari dan 100x sebelum terbenam matahari. Bermakna, cuba amalkan zikir Lailahailallah sebanyak 300x sehari semalam di luar solat, agar kuat tauhid kita sebagai salah-satu usaha mentarbiah nafsu.

Jom jihad melawan nafsu... mohon Allah bantu kita agar mampu menjadi hamba-Nya yang taat dan bertaqwa di sisi-Nya... amin ya rabbal 'alamin.
Selamat Beramal.

Jom hafal Asmaul-Husna


Ustaz mengajak kita semua untuk sentiasa berdoa dengan nama Allah. Disampaikan juga pesanan agar sentiasa ada usaha untuk menghafal nama-nama Allah. Hafal yang dimaksudkan bukan setakat mampu hafal irama Asmaul-husna iaitu "nas aluka ya man huwallah hulladzi la ila hailla huwarrahmanurrahim al malikul kuddus sus salam....." dan seterusnya hingga habis. Hafal yang dimaksudkan ialah hafal yang tau makna serta tuntutan dari maknanya. Kata ustaz, jika itu dapat dicapai, barulah dikatakan kita beramal dengan nama-nama Allah... aminn

Firman Allah dalam Surah al-A'raf:180, yang bermaksud:
Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu.....


dan hadis Rasulullah SAW:

Dari Abu Hurairah ra, dari Nabi saw bersabda: 'Allah Ta'ala mempunyai 99 nama. Siapa menghafalnya masuk syurga. Dan sesungguhnya Allah Ta'ala Maha Tunggal, mencintai ketunggalan.' (HR Muslim)

Ya Allah
Ya Rahman - Yang Maha Pemurah
Ya Rahim - Yang Maha Penyayang
Ya Malik - Yang Merajai
Ya Quddus - Yang Maha Suci
Ya Salam - Yang Maha Sejahtera
Ya Mukmin - Yang Maha Memberi Keamanan
Ya Muhaimin - Yang Maha Memelihara
Ya ‘Aziz - Yang Maha Perkasa
Ya Jabbar - Maha Memaksa
Ya Mutakabbir - Yang Memiliki Segala Kesombongan
Ya Khaliq - Yang Maha Mencipta
Ya Bari’ - Yang Maha Mengadakan
Ya Musawwir - Yang Maha Membentuk Rupa
Ya Ghaffar - Yang Maha Pengampun
Ya Qahhar - Yang Maha Mengalahkan
Ya Wahhab - Yang Maha Memberi
Ya Razzaq - Yang Maha Pemberi Rezeki
Ya Fattah - Yang Maha Pembuka Pintu Rahmat
Ya ‘Alim - Yang Maha Mengetahui
Ya Qaabidh - Yang Maha Penyempit Hidup
Ya Baasit - Yang Maha Melapangkan
Ya Khaafidh - Yang Maha Menurunkan Darjat
Ya Raafik - Yang Maha Mengangkat Darjat
Ya Mu’izz - Yang Maha Memuliakan
Ya Mudzill - Yang Maha Menghinakan
Ya Samiik - Yang Maha Mendengar
Ya Basiir - Yang Maha Melihat
Ya Hakam - Yang Maha Menetapkan Hukum
Ya Adl - Yang Maha Adil
Ya Latif - Yang Maha Lemah Lembut
Ya Khabir - Yang Maha Mengetahui(Berwaspada)
Ya Halim - Yang Maha Penyantun
Ya ‘Azim - Yang Maha Agung
Ya Ghofur - Yang Maha Pengampun
Ya Syakur - Yang Maha Berterima Kasih
Ya ‘Aliy - Yang Maha Tinggi Martabat-Nya
Ya Kabir - Yang Maha Besar
Ya Hafiz - Yang Maha Memelihara
Ya Muqit - Yang Memberi Makan
Ya Hasib -Yang Maha Menghitung
Ya Jalil - Yang Mempunyai Kebesaran
Ya Kariim - Yang Maha Pemurah
Ya Raqiib - Yang Maha Mengawasi
Ya Mujiib - Yang Maha Mengabulkan
Ya Waasik - Yang Maha Luas Pemberiannya
Ya Hakiim - Yang Maha Bijaksana
Ya Waduud - Yang Maha Pencinta
Ya Majiid - Yang Maha Mulia
Ya Baa’iht - Yang Maha Membangkitkan
Ya Syahiid - Yang Maha Menyaksikan
Ya Haqq - Yang Maha Benar
Ya Wakiil - Yang Maha Mengurusi
Ya Qawi - Yang Maha Kuat
Ya Matiin - Yang Maha Sempurna Kekuatan-Nya
Ya Wali - Yang Maha Melindungi
Ya Hamiid - Yang Maha Terpuji
Ya Muhsi - Yang Maha Menghitung
Ya Mubdik - Yang Maha Memulai/Pemula
Ya Mu’iid - Yang Maha Mengembalikan
Ya Muhyi - Yang Maha Menghidupkan
Ya Mumiit - Yang Maha Mematikan
Ya Hayy - Yang Maha Hidup
Ya Qayyuum - Yang Berdiri Sendiri
Ya Waajid - Yang Maha Menemukan
Ya Maajid - Yang Maha Memuliakan
Ya Waahid - Yang Maha Esa
Ya Ahad - Yang Tunggal
Ya Samad - Yang Maha Kekal, Yang Ditujui
Ya Qadir - Yang Maha Kuasa
Ya Muqtadir - Yang Mencipta Segala Kekuasaan
Ya Muqaddim - Yang Maha Mendahulukan
Ya Muakhkhir - Yang Mengakhirkan
Ya Awwal - Yang Maha Permulaan
Ya Akhir - Yang Maha Penghabisan
Ya Zohir - Yang Maha Menyatakan (Bukti)/Yang Zahir
Ya Batin - Yang Maha Tersembunyi
Ya Wali - Yang Maha Menguasai Urusan
Ya Muta’aali - Yang Maha Luhur
Ya Barr - Yang Berbuat Baik
Ya Tawwab - Yang Maha Penerima Taubat
Ya Muntaqim - Yang Maha Menuntut Bela
Ya Afuw - Yang Maha Pemaaf
Ya Ra'uf - Yang Maha Belas Kasihan
Ya Malik-ul-Mulk - Yang Menguasai Kerajaan
Yal Jalali-Wal-Ikram- Yang Memiliki Keagungan dan Kemuliaan
Ya Muqsit -Yang Maha Adil
Ya Jamik - Yang Maha Mengumpulkan
Ya Ghoni - Yang Maha kaya-raya
Ya Mughni - Yang Maha Pemberi Kekayaan
Ya Manik - Yang Mencegah
Ya Dhar - Yang Membahayakan
Ya Nafi’ - Yang Memberi Manfaat
Ya Nur - Yang Mencipta Cahaya
Ya Hadi - Yang memberi Petunjuk
Ya Badi - Yang Tiada Tolok Bandingnya
Ya Baqi - Yang Maha Kekal
Ya Warith - Yang Maha Mewarisi
Ya Rasyid - Yang Maha Pandai
Ya Sabur - Yang Maha Sabar

Jom kita sebut nama-nama Allah di dalam doa kita. Contoh, "Ya Allah, ya Rahman, ya Rahim... ampunilah segala dosa-dosaku.."
Jom kita hafal Asmaul-husna. Cuba hafal, InsyaAllah jika ada kemahuan pasti tercapai maksud.
Sepertimana yang sering diulang-sebut pada anak-anakku, "...ada masa terluang elok kita isikan masa dengan perkara-perkara kebaikan yang dapat bantu kita di akhirat nanti InsyaAllah, kita cuba kurangkan berbuat perkara sia-sia.." Semoga Allah sentiasa ilhamkan kita.. aminn

Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Keelokan dan kesempurnaan seseorang ialah bahawa dia yang meninggalkan perbuatan dan perkataan yang sia-sia. (HR Tirmizi)

***Dulu pernah tulis perihal 99 nama-nama Allah di sini..

Rakan Masjid

Bismillahirrahmanirrahim

Nak kisahkan sedikit pengalaman duduk bersama rakan-rakan di masjid. Kawan di masjid kebanyakan terdiri dari kalangan makcik-makcik dan akak-akak. Ni nak cerita sedikit pengalaman semasa saya bersama mereka -
  • wajah makcik Milah puteh bersih. Dalam usia emasnya, saya sering teruja memandang wajah beliau tiapkali kami bertegur sapa. Di satu kesempatan saya ambil peluang tanya "...makcik pakai apa?" (saja nak korek rahsia).. haha... Dengan nampak senang hati makcik Milah gitau, "...tak ada pakai apa pun, makcik amalkan ambik wudhuk jeh lepas masuk tandas"... Subhanallah.. Cahaya dari air wudhuk rupanya. Berazam untuk sentiasa memperbaharui wudhuk, berazam untuk sentiasa di dalam wudhuk.. InsyaAllah
  • Makcik Siti yang sering sampai lambat dari saya, sering kelihatan mengambil port yang terlindung lalu solat tahiyatul masjid dulu sebelum duduk join dengar kuliah. Beliau nampak istiqamah solat tahiyatul masjid.
  • kak maz yang sering nampak cool je bila berbicara pernah bercerita, "Kak maz dulu pakai spek. Pakai sejak zaman sekolah dulu lagi. Tapi lepas kak maz mula rajin ngaji, makin lama makin jelas nampak huruf yang dibaca. Rupa-rupanya baca quran dapat ubatkan mata kita yang rabun, nur. Baca quran je, InsyaAllah mata boleh jadi terang balik, tak payah nak pakai-pakai spek dah..." Subhanallah...
  • kak ummi pula nampak istiqamah sujud syukur tiapkali selesai solat baadiyah selepas Isyak. Saya yang sering duduk sebelah kak ummi mesti nak kena fokus dengar apa yang ustaz sampaikan dan buat catatan jangan sampai miss mana2 point sebab kak ummi sering berpaling refer pada note saya bilamana ada mana2 point yang beliau catat, tertinggal... he he
  • Saya yang kekadang duduk di sebelah makcik Kay, sering terpegun bilamana tengok tulisan jawi beliau. Makcik ambik catatan dalam tulisan jawi. Dah lah tulis cepat, tulisan pulak... alahai... cantiknya... Termenung bila sedar diri ini hanya mahir tulis jawi takat untuk nama sendiri, perkataan Assalamualaikum dan Bismillahirrahmanirrahim je. .. huuu -- Makcik Kay yang macam tau2 dengan kesibukan saya di siang hari telah berpesan, "Ko sibuk buat kueh tu, jangan pulak tak datang terawih nanti... nur..." Ha ha... Ya lah makcik, mesti la nak datang kannn...InsyaAllah. Macam tahun lepas, sibuk2.. penat2 pun alhamdulillah takde la ponteng kecuali untuk beberapa hari tertentu je... ehe heh
Berkawan dengan orang-orang yang lebih berusia dari kita ini banyak kelebihannya. Banyak perkara yang boleh di-ambil manafaat dari mereka. Teringat kata-kata, sesungguhnya semua perkara yang berlaku di sekeliling kita bukan lah berlaku saja-saja, semua mengandungi hikmah untuk kita renung dan mengambil pelajaran darinya... alhamdulillah. **btw hari ini hari Jumaat, jom kita baca Surah al-Kahfi hari ini. Malam tadi alhamdulillah berjaya baca 110 ayat Surah al-Kahfi selepas solat Isyak. Baca dalam dua session, bila sampai ayat 90 terpaksa berhenti untuk temankan en suami (yang baru balik ofis)makan. Dah habih kemas, sambung balik baca lagi 20 ayat.. alhamdulillah. Hari ini bersemangat untuk baca seround lagi.. (catatan berjaya baca al-Kahfi hanyalah sekadar untuk motivate diri sendiri)

Baca Quran dan Amalkan Baca Hadis Nabi SAW

"Malam ni nak ikut mama pegi masjid..."

Alhamdulillah.. Anakku nak ikut ke masjid sebab katanya sempena Malam Nisfu Syaaban. Rutinnya tiap malam sebenarnya ialah ke kelas tusyen di sekolah, tapi tiba-tiba malam tadi nak tukar hala, nak ikut kami ke masjid. Kemahuan datang dari diri sendiri tuu... he heh.. selalu nak kena ajak2 baru kadang nak ikut..

Alangkah teruja bila masuk2 je ke ruang solat, nampak begitu ramai jemaah yang hadir. Rakan2 saya pun ada. Semua nampak fokus mendengar kuliah yang sedang disampaikan ustaz.

Saya sempat dengar sekejap je kuliah maghrib, sebab sampai pun dah lambat. Tapi ada satu point yang terus melekat di kepala iaitu bila ustaz pesan suruh banyakkan baca quran dan amalkan membaca Hadis Nabi s.a.w setiap hari.

Berazam untuk sentiasa tak lupa membaca al-quran tiap hari. Untuk dapat disiplin membacanya, InsyaAllah akan terus menggunakan masa selepas selesai solat fardhu. Baca sekurang-kurangnya 2 mukasurat atau 4 mukasurat InsyaAllah. Masa yang sesuai untuk membaca hadis Nabi s.a.w bagi saya yang agak sibuk di siang hari, rasanya adalah di sebelah malam sebelum masuk tidur. InsyaAllah moga ada bantuan Allah untuk istiqamah dalam melaksanakan amalan ini.

Bersama-sama kita merebut peluang untuk banyak melakukan amal ibadah di bulan ini. Sekarang sudah 15 Syaaban, tinggal 15 hari saja lagi untuk kita berada di bulan ini InsyaAllah. Rebut peluang untuk beramal soleh. Tapi janganlah berbuat amal hanya kerana inginkan pahala semata-mata. Yang paling utama ialah untuk dapatkan keredhaan Allah kerana sesungguhnya kita hanya akan mendapat ganjaran pahala bilamana Allah meredhai amalan kita. Moga Allah redha.. aminn

Sifat Mazmumah Yang Bersarang

...lagi bicara soal hati...

Ustaz sambung baca kitab tasawuf yang membariskan pelbagai sifat mazmumah. Disebut contoh hanya 10 sifat sahaja, sedangkan kata ustaz para ulamak sebut ada lebihkurang 10,000 sifat mazmumah kesemuanya.. wallahu'alam.


Ilmu tentang ujub, takkabur, tamak haloba, marah, dendam, kesumat, bermusuhan, bakhil, bermanis-manis(manis hanya pada zahir), suka menipu adalah antara sifat mazmumah yang mungkin ada bersarang dalam diri kita. Ilmu tentang sifat-sifat itu, begitu juga dengan ilmu tentang sifat-sifat mahmudah seperti ikhlas, bercakap benar dan sebagainya adalah merupakan fardhu ain bagi kita. Kalau orang lain yang datang mengaji, maka orang lain lah yang tahu. Kita yang tak mengaji, tak tahu.

Perlu kenal sifat-sifat tersebut. Kalau tak kenal, jawabnya kita tak pasti macamana rupanya sifat tersebut.
Kalau tak kenal riak misalnya, kita akan terus biarkan ia sebati dalam diri tanpa disedari. Oleh itu kena belajar sebagai fardhu ain, masing-masing wajib mempelajarinya.

Setiap manusia pada hakikatnya tidak dapat berpisah dari sifat-sifat ini. Tak ada banyak pun, sikit pasti ada. Tak boleh ukur dari segi zahir. Ia ada dalam diri, dalam hati. Ibarat orang yang gemuk badannya tak semestinya dia gembira walaupun badannya gemuk. Begitu juga bila kita tengok orang yang berbadan kecil tidak semestinya dia kurang selera makan. Ada yang makan banyak tapi badan kecil, ada yang makan sikit tapi badan besar. Ada orang yang berselera makan walaupun hidup sentiasa stress, namun ada yang tidak begitu berselera walaupun hidup tenang tanpa stress. Maknanya, tak boleh mengukur setiap individu melalui keadaan zahir/luarannya.

Begitulah juga tentang persoalan hati, tidak dapat di-agak apa yang ada dalam hati dan fikiran seseorang. Segala macam sifat boleh saja ada dalam diri kita. Namun, perlu di ingat bahawa jika ada sedikit hasad saja pun dalam hati kita, ianya sudah mampu membinasakan pahala kebajikan yang kita kerjakan.


Maka sebab itu, kena ada guru yang bimbing. Kena mengaji tasawuf untuk suluh diri, dapat tengok samada ada atau tidak sifat-sifat tersebut dalam diri kita. Mengaji tasawuf bukan untuk selidik orang lain, tapi untuk semak diri kita sendiri samada kita ini membawa sifat takabbur, bakhil dan lain2 sifat mazmumah atau adakah kita membawa sifat mahmudah iaitu tawadhuk, ikhlas dan sebagainya.

Bila dah kenalpasti sifat mazmumah yang ada, maka kita akan tahu macamana nak buang bilamana mengaji. Kena ada ilmu untuk buang sifat mazmumah. Membuang sifat-sifat mazmumah ini adalah fardhu ain. Tak mungkin dapat ikhtiar buang sifat-sifat ini jika tak tahu apa dia sifat-sifat tersebut. Bila tak ada ilmu tentang ini, kita akan assume semua ok, kita rasa kita betul je, tak ada salah apa-apa.


Antara golongan yang menghuni neraka ialah orang-orang yang fakir ilmu. Jelas ustaz, mereka masuk neraka bukan sebab tiada harta tapi sebab tiada ilmu. Mereka semasa di dunia gemar beribadat tapi malangnya tiada ilmu. Maka ibadah yang dikerjakan tanpa berlandaskan ilmu hanyalah sia-sia dan dikhuatiri tiada nilaiannya di sisi Allah. Kita mungkin rasa ibadah kita elok, cantik... tapi sayangnya dalam hati kita penuh dengan kekotoran, kita mungkin rasa diri dekat dengan Allah tapi hakikatnya kita jauh dari rahmat Allah kerana hati karat diselaputi sifat mazmumah... nauzubillah.

Kita solat, tapi kekadang terbabas juga solat di hujung waktu. Contoh tidur belum masuk asar, dekat nak Maghrib baru tersedar... masa tu baru kelam-kabut nak solat Asar. Kita boleh pulak bangun malam untuk perkara dunia, tapi kita tak larat nak bangun malam untuk dekatkan diri dengan Allah. Falsafah hidup kita kuat untuk perkara dunia.

Di situ jelas betapa rapuhnya iman kita.. dengan kata lain iman ibarat senipis kulit bawang. Untuk perkara sebegitu saja, iman kita sudah rapuh. Belum lagi jika kita di-uji dengan dugaan-dugaan berat yang mana akan membuat kita tak lena tidur. Bagaimana kita nak mampu hadapi ujian yang berat dengan kedudukan iman yang ditahap rapuh itu... ? wallahu'alam.


Sebab itulah kata ustaz, eloklah kita sentiasa berdoa dengan doa ini, "Ya Allah janganlah kau duga aku dengan dugaan yang tidak dapat aku tanggung..." Sebagaimana dalam firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 286:

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir”.

Moga dengan rahmat dan keampunan Allah, kita terlepas dari ujian yang tidak mampu kita hadapi... aminn

Perbanyakkan ibadah kepada Allah, berdoa, mohon di-ampunkan dosa, sentiasa gandakan usaha beramal-soleh kerana sesungguhnya sebagaimana firman Allah dalam hadis qudsi yang bermaksud:

“Sesiapa yang datang kepadaku sejengkal, nescaya Aku akan datang padanya sehasta. Jika dia datang padaKu sehasta, nescaya aku akan datang padanya lebih dari itu. Jika dia datang berjalan kaki nescaya Aku datang padanya berlari-lari. Jika datang dia dengan dosa yang banyak nescaya Aku akan ampunkan mereka selagi mereka tidak menyekutukan Aku.”

Ustaz selitkan kata-kata Imam Hassan al-Basri yang menyebut, "... tapi kamu banyak berpaling dari Allah. Sebaliknya kamu berpaling ke arah harta benda,pangkat dan anak isteri kamu. Sesungguhnya kamu orang yang paling bodoh, sesungguhnya kamu orang yang paling rugi sekali. Maka sedarlah kamu dari kelalaian kamu kerana sesungguhnya kamu hanya tinggal beberapa hari saja lagi. Apabila berlalu hari/bulan/tahun bermakna sebahagian dari dirimu telah berlalu pergi..." Wallahu'alam.

Kita mungkin rasa kita sihat, dengan keadaan kesihatan yang tak nampak terjejas kita sangka kita mungkin akan mati sekitar usia 70 tahun. Tapi ajal sampai sebelum sempat kita pencen lagi. Hasrat yang sentiasa bertangguh-tangguh untuk mengaji contoh nanti lepas pencen baru nak datang mengaji, tak kesampaian.

Kata pepatah menyebut, sesiapa yang tidak tahu ada keburukan di hadapannya contoh ada satu lubang menantinya di hadapan, maka dia akan terjerumus jatuh ke dalam lubang tersebut. Jadi usahalah jadi orang yang tahu apa yang akan menunggu kita di kemudian hari.

Carilah mursyid/guru untuk membantu kita mendapatkan ilmu. Ambil pelajaran dari beliau. Belajar dan tuntut ilmu agar dapat mengenal perkara haq dan batil. Bila berilmu, walau rasa amal sempurna, namun tetap akan sedar banyak lagi perkara yang perlu diperbaiki.


Perbetulkan sikap dalam usaha mengurangkan sifat mazmumah yang bersarang dalam diri. Kita yang mungkin secara tak sedar telah membuat pelbagai andaian sendiri terhadap insan lain... kita rajin berburuk sangka kata orang itu tak baik, kata orang itu begini kata orang itu begitu, kita pilih hanya yang kita rasa baik saja baru nak berkawan sedangkan yang kita andaikan tak baik kita tinggal, tak nak jadikan kawan. Boleh jadi orang-orang yang kita andaikan tak baik itu lebih mulia dari kita terutamanya di sisi Allah. Boleh jadi juga diri kita ini lebih hina lagi dari orang yang kita pandang rendah selama ini... nauzubillah...

Maka kata ustaz, berhati-hatilah... perbetulkan sikap kita jangan sampai sifat mazmumah yang bersarang menjadi sebati lalu mendarah daging selama-lamanya dalam diri kita.


Sebab itu, elok di-ajar anak-anak kita sedari kecil lagi perihal sifat-sifat mahmudah dan sifat-sifat mazmumah. Didik agar... jangan lekas marah, jangan tamak, jangan gopoh, jangan sombong, jangan kedekut, jangan dengki, jangan khianat, jangan fitnah, jangan suka bergaduh dan sebagainya.

Duduk berdamping dengan orang-orang soleh adalah salah satu cara Allah nak tarbiyah kita. Itu belum lagi duduk tadah kitab menuntut ilmu dari beliau. Ini baru berdampingan iaitu berada di sekitar para ulamak. Bila kita berada dalam lingkungan orang-orang soleh maka kita akan dapat memperhatikan cara serta amalan mereka yang mana InsyaAllah dapat perlahan-lahan mentarbiyah diri kita menjadi lebih baik.

Moga menjadi orang yang beruntung, tidak selamanya rugi.

Wallahu'alam.

Jangan Mudah Tersinggung

Bismillahirrahmanirrahim.

Ustaz pesan, jangan kita mudah tersinggung setiapkali disampaikan peringatan. Ustaz kongsi pengalaman mengajar di beberapa tempat yang para jemaahnya bagai mudah tersinggung. Bila ustaz memperingatkan tentang firman-firman Allah yang terkandung dalam al-quran, ramai yang rasa tersinggung. Bila dah mudah tersinggung tu, dah tak mahu datang mengaji lagi. Bila dah tak mengaji, maka tidak lain hanya menjadi orang yang rugi.

Ustaz mengimbau kenangan, bilamana ustaz bukak bab feqah dalam beberapa sesi, ada kalangan jemaah yang mula rasa tak seronok bila dengar banyak perkara2 yang dibuat selama ini rupa-rupanya telah membatalkan solat. Bagi mereka, rasa macam dah betul solat. Maka pakat2 suruh ustaz tukar mengajar bab tauhid pula. Bila belajar tauhid, rasa tak selesa pulak dah sebab asyik rasa macam terkena je bila ustaz sebut pasal 'wajib takut hanya pada Allah, bukan takut pada manusia.' "Ustaz, tak yah sebut lah pasal tu ustaz, kita citer bab lain.."
Terus mintak ustaz tukar cerita pasal lain...

Bila ustaz bukak bab tasawuf pula, lagi rasa tersinggung bila ustaz hurai tentang sifat mazmumah yang bersarang dalam diri. Ramai-ramai mintak ustaz ajar benda lain, "Ustaz, kita berzanji lah pulak..." Ustaz pun jadi 'error', dah rasa serba-salah nak ajar apa, nak sebut perkara yang jadi fardu-ain pun semua bagai menolak sampai akhirnya mintak ustaz tukar buat berzanji je lah di majlis ilmu. Tapi lepas dengar ustaz berzanji, ada pulak yang tanya,,,"Ustaz, takde ke ayat2 yang pendek sikit, panjang benor tu, susah kami nak ikut..." Maka bila dah tak puas hati dengan berzanji tu, mintak pulak ustaz tukar buat Marhaban...adoii..

Ustaz dah pening kepala. Tapi untuk menjaga hati jemaah yang rata-ratanya terdiri dari orang-orang pencen dan warga tua itu, maka ustaz ikutkan saja karenah mereka. Tapi malangnya bila ustaz suruh ikut baca teks marhaban, ada pula suara-suara yang kata, "Ustaz, tak nampak lah nak baca, mata dah kelabu... spek pun tak bawak..." Pulak dah... alahai... sudah-sudahlah tu. Terimalah hakikat hati dah sampai tahap tak mahu terima ilmu. Mudah sangat rasa sensitif bila diperingatkan tentang hukum-hukum Allah. Sehinggakan sanggup dalam usia yang sudah agak senja begitu, hanya mahu di-ajar berzanji dan bermarhaban saja
... astaghfirullahal azim.

Maka, kata ustaz... jangan kita mudah nak tersinggung bila mengaji. Berbaik sangka kepada Allah. Kalam Allah memang termaktub hukum-hakam dan peraturan hidup beragama. Peringatan-peringatan di dalamnya memang untuk menyinggung kita. Bila kita terasa itu bermakna ilmu sampai kepada kita. Bila ilmu sampai, kita tahu yang mana betul yang mana tak betul. Maka dari situ kita dapat lakukan tindakan untuk membaikpulih mana-mana yang tak betul. Begitu juga dengan perkara-perkara yang kita tak tahu. Bila mengaji, baru kita tahu rupa-rupanya begitu banyak lagi perkara yang kita tak tahu. Jadi tuntutlah ilmu, mengajilah, usahalah mengadap tok guru, hadirlah di majlis-majlis ilmu kerana sesungguhnya ilmu dapat menyuluh diri kita. Semoga hari ini lebih baik dari hari-hari yang telah berlalu.

Wallahu'alam.