Rasa Kemanusiaan

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah sering diperingatkan oleh para ustaz untuk tidak melupakan saudara-saudara kita yang sedang dalam dukacita di luar sana.  Kita tidak mampu ke sana namun bantulah mereka sekurang-kurangnya dengan doa kita.  Berdoalah untuk mereka. Adalah menjadi tanggung-jawab setiap dari kita untuk mendoakan kaum muslimin yang sedang dalam kekurangan di sana. Sesungguhnya mereka masih  tidak dapat mengecapi nikmat keamanan sepertimana yang sedang kita kecapi sekarang ini. Kata ustaz, kita di sini tiada masalah untuk ke masjid, tiada masalah untuk keluar ke sana kemari namun begitu berbeza dengan kedudukan mereka yang sekarang ini jika hendak berkumpul di masjid sekalipun, besar kemungkinan akan ditembak, jika hendak keluar dari rumah pun, besar kemungkinan akan ditangkap...

Nikmat keamanan yang kita perolehi hari ini hendaklah kita zahirkan kesyukurannya dengan ikut mendoakan keamanan buat saudara-saudara seIslam kita yang saat ini sedang tertindas.
Hadis Nabi SAW ada menyebut:
"Bukan dari golongan kami, orang yang tidak mendoakan kaum muslimin yang lain."

"Tuan-tuan, adalah menjadi tanggung-jawab kita semua untuk mendoakan agar Allah kembalikan keamanan kepada mereka, semoga Allah beri kemenangan kepada mereka...",  terdengar suara ustaz dalam nada sayu berpesan kepada kami dalam tazkirah pendek beliau selepas solat Isyak. Saya dan sahabat di sebelah bergenang airmata takkala ikut ustaz berdoa buat Dr Mohamad Mursi dan saudara-saudara Ikhwanul Muslimin di bumi Mesir.

Dalam banyak sesi kuliah Maghrib yang lain, para ustaz mengingatkan agar kita tidak menjadi seperti buih-buih di lautan ataupun buih-buih ketika banjir.  Maknanya bila angin tolak ke barat, kita ke barat.  Angin tolak ke timur, kita ke timur.  Buih-buih tersebut walaupun begitu banyak namun ternyata tidak memberi sebarang nilai.  Begitulah perumpamaannya umat Islam ketika ini di mana walau berada dalam bilangan yang sebegitu ramai namun jelas agak tidak terkandung kualiti, tidak dapat memberi manafaat.. Kata ustaz, bak kata orang N9... hampeh!

Ustaz tegaskan bahawa bila tak ada kualiti dalam diri umat Islam, sebagaimana yang dinyatakan dalam Hadis Nabi SAW, maka Allah akan menarik perasaan gerun di dalam hati orang kafir dan orang musyrikin terhadap  kamu lalu Allah campakkan ke dalam diri kamu penyakit iaitu penyakit cinta dunia dan takut mati. Cinta dunia itu termasuklah cinta duit, cinta kuasa, cinta pangkat, cinta perempuan, cinta konsert-konsert lagho dan sebagainya. Janganlah kiranya di saat saudara-saudara Islam kita sedang di dalam kesempitan di sana,  kita di sini masih boleh terbuai dengan hiburan yang begitu melarakan... astaghfirullah hal adzim.  Sama-sama insafi diri.  Jangan kiranya kita seolah-olah redho dengan kezaliman yang sedang berlaku.

Daripada Tsauban ra berkata: Rasulullah SAW bersabda; "Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa di seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka". Maka salah seorang sahabat bertanya "Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?" Nabi SAW menjawab, "Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit 'wahan"'.Seorang sahabat bertanya, "Apakah wahan itu hai Rasulullah?" Nabi kita menjawab, "Cinta pada dunia dan takut pada mati". (H.R. Abu Daud)

Allah berfirman dalam Surah Hud ayat 113, yang bermaksud:
Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.

Mohon pada Allah agar dikurniakan hati nurani dan rasa kemanusiaan dalam diri kita. Moga Allah kurniakan rasa peduli dalam hati kita agar kita dapat ikut merasakan kesulitan dan keperitan yang sedang dihadapi oleh saudara-saudara seIslam kita yang sedang dizalimi.. Pesan ustaz, jangan lah kita sekadar mengaku Islam hanya dengan nama di dalam kad pengenalan, jangan sekadar mengaku Islam hanya kerana lahir-lahir memang dah Islam sebab mak ayah kita Islam.  Jadilah kita hambaAllah yang Islam pada keseluruhannya, zahir Islam batin pun Islam.  Biar semua cara hidup kita, cara berpakaian, cara fikir, cara tindakan, cara tutur dan cara tulis kita... biar semuanya Islam.. barulah nanti kita akan terkecuali dari kemungkinan menjadi buih-buih tersebut... InsyaAllah.

Wallahu'alam.

Sembahyang Yang Khusyuk

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah dapat sampai ke masjid dalam 8 suku.  Kira tak lah lewat sangat untuk kejar ikut kuliah ustaz yang istiqamah sampaikan ilmu dalam bab Solat.  Hari itu, alhamdulillah, hari yang terakhir kami berpuasa enam sunat bulan Syawwal.  Dah pasang niat untuk singkatkan sedikit masa makan semasa berbuka agar dapat sampai awal untuk hadir di majlis ilmu.  Alhamdulillah.

Waktu kami sampai ustaz tengah cerita bahawa...
Zikir-zikir yang kita baca contoh zikir Subhanallah Walhamdulillah Walaila ha illallah Wallahu Akbar, akan menyebabkan bunyi melitup2 di sekitar Arashy.  Bunyinya seakan-akan bunyi lebah yang mana bunyi itu dikatakan sedang menyebut2 tuan yang sedang berzikir itu.. Subhanallah

Sembahyang yang kita dirikan, biarlah sembahyang yang dapat menetapkan seluruh anggota.  Jangan tak stabil anggota, biar tetap dan elakkan dari bergoyang-goyang atau bergerak-gerak anggota ke sana ke mari. Jika banyak berlaku pergerakan menunjukkan hati yang tidak stabil.

Dalam memelihara sembahyang dan mendirikannya, hendaklah usaha timbulkan khusyuk dalam diri dengan sebaik-baiknya, menghadirkan hati, meneliti bacaan-bacaan serta memahami makna-maknanya, merasakan rendah hati dan rendah diri ketika dalam rukuk dan sujud, meliputkan hati dengan kebesaran Allah dan kesucian-Nya ketika bertakbir dan ketika bertasbih pada seluruh gerak-geri dalam sembahyang, meninggalkan segala fikiran dan lintasan hati yang berkaitan dengan urusan dunia dan membelakangi perbicaraan dalam diri pada waktu sembahyang.

Hendaklah segala perhatian dalam sembahyang itu tertumpu hanya kepada mendirikan dan menunaikannya dengan baik, sebagaimana yang diperintah oleh Allah Ta'ala.  Sebab sembahyang dengan hati yang lalai, dan tanpa khusyuk dan hadirkan hati adalah tidak berguna dan tiada manafaat samasekali.

Semasa kita rukuk dan sujud, jangan sekali-kali terlupakan tuma'ninah. Jangan jadikan sembahyang kita seperti ayam mematuk padi. Sembahyang serupa itu tidak sah, kerana tidak ada tuma'ninah.  Tuma'ninah di dalam rukuk, iktidal dan di dalam kedua-dua sujud serta duduk di antara dua-duanya adalah wajib yang tidak boleh ditinggalkan di dalam sembahyang, samada sembahyang fardhu mahupun sembahyang sunat.  Sembahyang tanpa tuma'ninah adalah batal.

Ustaz menceritakan riwayat yang menyebut:
"Barangsiapa yang memelihara sembahyang serta menyempurnakannya pula, sembahyang itu akan terangkat (ke atas langit) dalam keadaan putih dan cemerlang.  Ujar sembahyang itu: Semoga Allah memelihara engkau, sebagaimana engkau memelihara aku.  Tetapi orang yang tidak menyempurnakan sembahyangnya, niscaya sembahyang itu akan terangkat dalam keadaan hitam legam.   Ujar sembahyang itu: Semoga Allah menyia-nyiakan engkau, sebagaimana engkau menyia-nyiakan aku.  Lalu sembahyang itu dilipat-lipat. sebagaimana dilipatkan baju-baju yang koyak, dan dipukulkan ke muka orang yang mengerjakannya."

Sekali peristiwa Rasulullah SAW telah melihat seorang yang sedang mementi-mentil janggutnya di dalam sembahyang, maka ujar baginda:
"Sekiranya hati orang ini khusyuk, niscaya khusyuklah seluruh anggotanya."
Dari Hadis ini, dapat disimpulkan bahawa kekhusyukan anggota itu adalah dari kekhusyukan hati dan bahawasanya sembahyang itu tidak akan sempurna tanpa khusyuk.

Seringkali khusyuk di dalam sembahyang itu menguasai setengah para salaf saleh ke peringkat yang menakjubkan.  Adakalanya apabila mereka berdiri sembahyang atau bersujud, burung datang bertenggek di atas mereka  kerana disangkakannya mereka itu tembok atau pokok, disebabkan mereka terlampau tenang dan khusyuk dan terlalu lama berdiri dan sujud.

Ada di antara para salaf itu yang berkata kepada anak-isterinya: Seandainya aku masuk bersembahyang, ketika itu lakukanlah apa yang kamu suka.  Yakni: Kalau mahu mengangkat suarakah, atau mahu bergurau-sendakah, sebab ketika itu aku tidak akan mendengar apa-apa lagi.  Mungkin, kiranya mereka memukul kompang atau bergendang pun, niscaya ia tidak akan mendengarnya kerana terlalu khusyuknya dia di dalam sembahyangnya.

Ustaz sambung lagi menceritakan tentang... ada seorang sahabat Rasulullah SAW bersembahyang di kebunnya.  Kebetulan pula pada ketika itu beberapa ekor burung sedang berterbangan dari suatu pohon ke pohon yang lain.  Maka terpesonalah pemandangannya kepada burung-burung tersebut sehingga terlupa bahawa ia sedang di dalam sembahyang.  Kerana  itu, ia menyesali dirinya lalu ia pun mewakafkan kebunnya untuk fi sabilillah, hanya kerana kebun itu melalaikannya dari satu sembahyang saja.

Dari apa yang diriwayatkan, jelas menunjukkan bahawa para salaf saleh itu benar-benar mengetahui betapa tingginya darjat sembahyang serta begitu penting kedudukan sembahyang di sisi agama.
Sabda Rasulullah SAW:"Perumpamaan sembahyang lima waktu itu, laksana sebuah sungai yang airnya mengalir deras merempuh pintu rumah kamu setiap malam dan siang sebanyak lima kali, apakah meninggalkan kotoran lagi sesudah itu? Jawab para sahabat: Tentu tidak!"

Sabda Rasulullah SAW yang lain:
"Satu sembahyang kepada sembahyang yang lain adalah menjadi tebusan dosa di antara keduanya, selama dijauhi dosa-dosa besar."

Mari kita renungkan pula Firman Allah Ta'ala dalam Surah Hud ayat 114, yang bermaksud:
"Dan dirikanlah sembahyang pada kedua tepi siang, dan sebahagian dari malam hari, sesungguhnya kebajikan-kebajikan itu akan menghapuskan kejahatan-kejahatan, itulah suatu peringatan bagi orang-orang yang ingin ingat."

Dari Abu Zar ra meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Perhatian Allah Ta'ala kepada seseorang ketika solat itu akan kekal selagi mana dia bertawajuh di dalam solatnya.  Apabila seorang hamba itu memalingkan tawajuhnya daripada solatnya, maka Allah juga akan memalingkan perhatianNya terhadapnya. (HR Nasai)

Wallahu'alam.

Tazkirah 8 Ramadhan - Terangi Hati Nurani

Bismillahirrahmanirrahim
Alhamdulillah syukur kerana hati kita begitu teruja untuk ke masjid di malam-malam ramadhan.  Moga nawaitu kita, berbuat ibadah hanya kerana Allah.  Dalam ramai-ramai yang datang, tentu ramai yang set dalam fikiran -> nak ke masjid tu untuk bersolat terawih.  Ada tak dalam ramai-ramai tu, yang set dalam fikiran dia -> nak ke masjid tu untuk bersolat Isyak?  Kata ustaz, di sinilah silapnya kita.  Perlu sedar bahawa solat fardhu kita ialah solat Isyak.  Jadi itu yang mesti diberi keutamaan.   Jangan kita teruja untuk datang berjemaah solat sunat Terawih sedangkan kita seakan terlupa akan keutamaan solat Isyak yang merupakan fardhu.  Ada yang tiba lewat di masjid, terlepas solat Isyak berjemaah... namun datang2 terus ikut imam bersolat terawih.  Sesungguhnya tiada nilai suatu amalan sunat itu jika ibadah yang fardhu kita tinggalkan.  Kena faham hakikat itu!

Ustaz bagi satu lagi perbandingan iaitu solat terawih dengan majlis ilmu.  Sesi tazkirah yang ada di antara selang waktu solat terawih adalah majlis ilmu.  Majlis ilmu begitu banyak keistimewaannya yang Nabi SAW sebut.  Duduk dalam majlis Ilmu pahalanya lebih besar dari solat sunat 1000 rakaat.  Duduk dalam majlis Ilmu di bulan Ramadhan dapat pahala wajib. Solat fardhu di bulan ramadhan pula nilainya sama seperti 70 solat fardhu di bulan yang lain.  Mendirikan solat sunat di bulan ramadhan nilainya sama dengan bersolat fardhu di bulan yang lain.  Pahalanya berganda-ganda.  Maka sesungguhnya di antara solat terawih dan solat Isyak, solat Isyak yang menjadi keutamaannya dan di antara solat terawih dan majlis tazkirah, maka majlis Ilmu lah yang sebenarnya lebih utama.  Duduk dalam majlis ilmu akan di-naungi para malaikat.  Walau tertidur sekalipun dalam majlis ilmu tetap mendapat pahala InsyaAllah.

Ramai yang suka kalau dapat bersolat terawih di masjid yang bacaan imamnya cepat dan laju.  Kata mereka, dapat banyak tapi sekejap je dah siap.  Tapi jika baca laju sangat dalam solat, hinggakan di tempat yang sepatutnya panjang bacaan tak dipanjangkan, kurang tamaninah, agak2 Allah terima ke solat kita?  Ditambah dengan ada yang mengelat ketika nak solat, dekat imam nak rukuk di rakaat pertama baru makmum mula angkat takbir nak mula solat.  Kalau macam tu lah solat kita, agak-agak Allah terima ke solat kita?  Mari bermuhasabah diri.

Solat Terawih adalah waktu bersenang-senang bukan terkejar-kejar.  Jika kita terkejar-kejar nak selesaikan solat terawih dalam jangkamasa yang singkat, maka bacaan kita dalam solat tentunya tidak mencapai maksud sebenar kita melakukan solat kerana Allah.  Jangan kiranya kita berbangga dapat solat di masjid yang gah, besar dan bergaya namun tidak dapat merasai nikmat beribadah kepada Allah Taala.

Sebab itu lah pentingnya disampaikan ilmu.  Ilmu dapat membaiki amalan seseorang.   Ilmu dapat memperelokkan lagi ibadah kita. Berkejar untuk solat terawih sedangkan solat Isyak tak solat itu, contoh sebab tak ada ilmu. Jadi rasa tak mengapa, rasa tak bersalah apa-apa. Maka di sinilah pentingnya belajar. Di sinilah pentingnya mendengar tazkirah. Tazkirah itu merupakan peringatan.  Disampaikan pula tazkirah itu di waktu yang terbaik, iaitu di saat tengah rehat selepas berterawih 4 rakaat  sebelum semua bangun untuk sambung 4 rakaat lagi.  Ia lebih baik dari kita bersolat 20 rakaat Terawih yang 'ekspress rakyat', yang hanya tertumpu untuk dapat buat banyak namun cepat selesai.  Lainlah jika solat itu dapat dihayati dengan khusyuk oleh para jemaah.

Ustaz kongsi fakta bahawa solat 20 rakaat secara direct pada salsilahnya bermula di zaman pemerintahan Saidina Umar al-Khattab. Wallahu'alam.

Mari kita gemar pada tazkirah.  Selepas dengar tazkirah, mari kita kongsikan pula peringatan tersebut dengan orang yang tak berpeluang datang dengar.  Jadi pahalanya InsyaAllah akan bersambung-sambung. Pahala itu sangat berguna untuk kita sebagai saham di akhirat.

Dari Abdullah Ibnu Abbas r.a berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Kamu semua hari ini mendengar perkara-perkara keagamaan dariku, esok perkara-perkara ini didengari pula daripada kamu. Kemudian ia didengari pula dari orang-orang yang mendengarinya daripada kamu (kerana itu dengarlah dengan teliti dan sampaikanlah kepada orang-orang yang selepas kamu, supaya mereka dapat menyampaikan kepada orang-orang selepas mereka, dan urutan ini berterusan). (HR Abu Daud)

Ustaz sebutkan juga tentang kelebihan bersedekah di bulan ramadhan.  Perbanyakkan memberi sedekah di bulan ini.  Jangan kita tumpu untuk beri sedekah duit raya di bulan Syawal kerana sesunggguhnya bersedekah di bulan Ramadhan lagi berganda-ganda ganjaran pahalanya di sisi Allah.  Maka ambil peluang untuk bersedekah semasa diri masih berada di bulan Ramadhan.  Begitu juga dengan trend membuat open house di bulan Syawal.  Kalau betul nak buat open house eloklah buat open house di bulan Ramadhan. Contoh:  Buat open house untuk jamu orang berbuka puasa, itu yang terbaik.  Ganjaran pahalanya InsyaAllah akan begitu besar di sisi Allah Taala..
Nabi SAW telah bersabda: "Sesiapa yang mengundang orang berpuasa untuk berbuka, maka baginya pahala orang berpuasa tidak dikurangi dari pahala itu walau sedikitpun."
Maksudnya, orang yang mengundang atau memberi makan orang untuk berbuka puasa itu akan mendapat pahala yang sama dengan orang berpuasa tadi.

Rahsia puasa para sahabat ra yang berpuasa walaupun semasa di dalam jihad di jalan Allah, di antaranya ialah:  Ikut sunnah Nabi SAW iaitu dengan (i)menyegerakan berbuka, (ii)melewatkan sahur,  sebagaimana hadis Nabi SAW yang berbunyi: "Umatku tetap akan berada di dalam kebaikan, selama mereka menyegerakan berbuka puasa dan melewatkan makan sahur."
(iii) berhenti sebelum kenyang; serta
(iv) bahagikan hak perut,
sebagaimana hadis Nabi SAW iaitu: "Tidak ada suatu bekas yang dipenuhkan oleh anak Adam lebih buruk dari perutnya.  Memadailah bagi anak Adam itu beberapa suap untuk menyambung hidupnya.  Jika ini juga tidak mencukupi, maka hendaklah sepertiga untuk makannya, sepertiga untuk minumnya dan sepertiga lagi untuk penafasannya."

Dikatakan jika perut kenyang, laparlah segala anggota manakala jika perut lapar, maka kenyanglah segala anggota. Bermaksud, bila perut kenyang, itu punca hati menjadi keras dan lalai dan menimbulkan perasaan malas untuk beribadat.  Sedangkan jika perut lapar, InsyaAllah akan meninggalkan kesan yang baik untuk menerangi hati nurani serta menimbulkan semangat pada anggota untuk beribadat.

Seterusnya ikutlah menu Rasulullah SAW iaitu berbuka dengan kurma dan bersahur dengan kurma. Nabi SAW berbuka dahulu sebelum menunaikan sembahyang Maghrib. Sebaik-baiknya mulakan berbuka dengan buah kurma, jika tidak ada, dimulakan saja dengan air.  Makan lah kurma dengan bilangan ganjil samada sebiji, tiga biji, lima biji dan sebagainya.  Sebelum makan kurma, berselawatlah dulu ke atas Rasulullah SAW.  Berdoa pada Allah, " Ya Allah, jadikanlah makanan ini berkat buatku, memberi kekuatan buatku di sepanjang hari aku berpuasa..."

Disebut antara ganjaran berpuasa, InsyaAllah dapat masuk syurga ikut pintu Ar-Rayyan.  Dan ada dua kegembiraan bagi orang yang berpuasa iaitu ketika berbuka dan ketika dapat melihat Tuhannya.  Nikmat paling besar dalam syurga ialah bila dapat melihat Allah Taala... ameen
Sabda Rasulullah SAW:
"Dalam syurga ada suatu pintu dinamakan Raiyaan, tiada dibenarkan masuk menerusinya kecuali orang-orang yang berpuasa saja.  Apabila mereka sekelian telah masuk, pintu itu ditutup."
"Setiap amal anak Adam, dilipat-ganda pahalanya sepuluh kali ganda seumpamanya.  Berkata Allah Taala: Kecuali puasa, maka amal itu adalah untukKu, dan Aku sendiri akan membalasnya.  Dia (orang yang berpuasa itu) telah meninggalkan makan, minum dan menahan syahwatnya keranaKu.  Orang yang berpuasa itu ada dua kegembiraan:: Kegembiraan ketika berbuka puasa, dan kegembiraan ketika bertemu dengan Tuhan.  Adalah bau mulut orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah daripada bau-bauan minyak kasturi."

Moga puasa kita diterima Allah.  Mudah-mudahan Ramadhan kali ini menjadi Ramadhan terbaik buat kita semua... ameen

Wallahu'alam.

Tazkirah 7 Ramadhan - Jihad Melawan Nafsu

Bismillahirrahmanirrahim

Syukur di atas nikmat Iman dan nikmat Islam.  Atas nikmat itulah lahir sifat kehambaan.  Hamba kepada Allah.  Bahawasanya kita adalah hamba.  Moga-moga ibadah kita menjadi satu pengabdian kepada Allah Taala.  Yang membawa sifat kita ialah Allah.  Kita hamba Allah.  Ada yang lebih pangkat di sisi Allah iaitu orang mukmin yang ada tingkatannya.

Semoga kita termasuk dalam umat Nabi Muhammad SAW yang beroleh kemuliaan di akhirat kelak.  Ia adalah umat yang soleh.  Bulan Ramadhan adalah bulan mendidik, bulan mentarbiyah, bulan yang mampu membersihkan hati yang ada ujub, riak, takbur dan sebagainya.  Allah akan balas kebaikan.  Jangan bosan berbuat baik sesama makhluk.  Selagi kita buat baik, InsyaAllah akan ada balasannya.  Jaga mata, jaga anggota badan yang lain ketika berpuasa.  Siang harinya siam, malamnya qiam.  Selepas selesai di masjid, ada tanda2 kemanisan iman jika kita tambahi lagi menghidupkan malam di rumah.  Berkat bulan Ramadhan, anak-anak InsyaAllah berubah laku yang liar jadi jinak yang buruk jadi baik.. InsyaAllah.

Dapatkan ikhlas berbuat ibadah di bulan Ramadhan.  Ia maqam yang sempurna.  Jika hati kosong, tiada yang lain selain Allah, maka ikhlas akan duduk.  Letakkan segala sifat mahmudah dalam diri.  Dengki buang, hasad buang.  Tak dapat apapun jika ada semua itu.  Buang sifat yang tak baik itu, yang malas biar jadi rajin yang berat biar rasa ringan.

Perbanyakkan ibadah di bulan Ramadhan.  Perbanyakkan damping kepada Allah.  Ramadhan bulan kemuliaan, bulan yang tuntut keampunan.  Tiap-tiap malam solat hajat minta dipertemukan kita dengan malam Lailatul-Qadar iaitu malam yang lebih baik dari seribu bulan.  Moga Allah pertemukan kita dengan Lailatul-Qadar... ameen

Bersabda Rasulullah SAW: "Bulan Ramadhan itu ialah bulan kesabaran, dan ganjaran kesabaran ialah masuk syurga."

Oleh itu kawal nafsu, pelihara nafsu dari berlebih-lebihan pada yang halal.  Contoh:  tidak berlebih-lebihan dalam makan dan minum.  Inilah masanya kita nak jihad melawan nafsu.  Syaitan adalah seteru.  Walau syaitan dibelenggu di bulan Ramadhan, namun nafsu yang tidak dapat dikawal menjadi pengganti.  Biasakan diri makan sedikit, tidak terlalu banyak makan, supaya dapat dirasakan kesan puasa ke atas diri.  Kelak akan beroleh rahsia dan tujuannya berpuasa iaitu mampu mendidik jiwa serta mengurangkan nafsu dan syahwat.  Hakikatnya bila perut lapar, InsyaAllah akan memberi kesan pada hati lalu menimbulkan semangat untuk beribadah sedangkan jika perut kenyang akan jadi malas untuk bangun melakukan ibadah.

Miliki 8 perkara yang di-antaranya dapat mengawal nafsu dan ia menjadi musuh bagi syaitan iaitu:
(1) Ilmu - berazamlah untuk libatkan diri dengan Majlis Ilmu serta berazam jadi orang yang berilmu.
(2) Makrifat - Takut akan Allah.  Berpuasa kerana Allah, niat untuk mencapai redha Tuhan.
(3) Taubat - Syaitan benci orang yang bertaubat.  Syaitan suka orang yang menangguhkan taubat.
(4) Sembahyang di malam hari - Terawih, solat Tahajjud, Solat malam...maka malaikat damping, syaitan benci
(5) Berlapar pada siangnya.  Dan bila berbuka tidak berlebih-lebihan. Makan ketika lapar, berhenti sebelum kenyang.
(6) Berkekalan wudhuk - Bila batal wudhuk, ambil semula.  Jika sentiasa dalam wudhuk, malaikat damping namun syaitan benci
(7) Sentiasa Zikrullah - Ada amalan khusus pagi dan petang.  Hati yang zikir tak ada tempat syaitan masuk.  Hati yang lalai tempat syaitan duduk.
(8) Jaga solat 5 waktu, itu yang utama.

Dari Abu Hurairah r.a., katanya:  "Rasulullah SAW bersabda:
"Sesungguhnya pertama-tama amalan yang seseorang itu dihisab dengannya ialah solatnya, maka jikalau baik solatnya itu, sungguh-sungguh berbahagialah dan beruntunglah ia dan jikalau rusak, sungguh-sungguh menyesal dan merugilah ia.  Jika seseorang itu ada kekurangan dari sesuatu amalan wajibnya, maka Tuhan Azzawajalla berfirman: "Periksalah olehmu semua - hai malaikat, apakah hambaKu itu mempunyai amalan yang sunnah." Maka dengan amalan yang sunnah itulah ditutupnya kekurangan amalan wajibnya, kemudian cara memperhitungkan amalan-amalan lainnya itupun seperti cara memperhitungkan amalan solat ini.""
Diriwayatkan oleh Imam Termidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan.

Wallahu'alam.

Orang Yang Mendapat Pahala Di Majlis Ilmu

Bismillahirrahmanirrahim.

Allah Ta’ala berfirman dalam Surah Thaha ayat 114, yang bermaksud:
“Dan katakanlah: “Ya Tuhanku, tambahkanlah ilmuku.”

Allah Ta’ala juga berfirman:
”Katakanlah:”Apakah sama antara orang-orang yang mengetahui – yakni berilmu – dan orang-orang yang tidak mengetahui – yakni tidak berilmu.”   (az-Zumar:9)

Allah Ta’ala berfirman lagi:
“Allah mengangkat orang-orang yang beriman dari engkau semua dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan dengan beberapa derajat.”  (al-Mujadalah:11)


Dikatakan ada empat golongan yang diberi pahala dalam majlis ilmu iaitu:
  • Orang yang bertanya
Dia dapat pahala belajar dan disebabkan pertanyaannya maka dia turut mendapat pahala bilamana orang lain pun ikut mendapat ilmu hasil dari pertanyaannya itu.  Dan jika orang lain itu ikut mengamalkan ilmu itu, maka lagi bertambah-tambahlah pahalanya InsyaAllah. Tapi kena ada adabnya nak bertanya, ada masanya yang boleh bertanya bukan tak kira masa sehinggakan boleh mengganggu perjalanan majlis ilmu.

Dari Abu Hurairah r.a pula bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:
“Barangsiapa yang mengajak kepada petunjuk – yakni kebenaran, maka baginya adalah pahala seperti pahala-pahala orang yang mengikutinya, tidak dikurangi sedikitpun dari pahala mereka itu.”  (Riwayat Muslim)

Dari Sahl bin Sa’ad ra bahawasanya Nabi SAW bersabda kepada Ali ra:
“Demi Allah, niscayalah andaikata Allah memberikan petunjuk kepada seseorang lelaki dengan perantaraan usahamu, maka hal itu adalah lebih baik daripada unta-unta yang merah-merah.” Sebagai kiasan hartabenda yang paling dicintai oleh bangsa Arab.  (Muttafaq ‘alaih)

Dari Abu Hurairah ra., katanya: “Rasulullah SAW bersabda:
“Barangsiapa yang menempuh sesuatu jalan untuk mencari ilmu pengetahuan di situ, maka Allah akan mempermudahkan baginya suatu jalan untuk menuju ke syurga.”   (Riwayat Muslim)

Dari Abuddarda’ ra., katanya: “Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda:
“Barangsiapa menempuh suatu jalan untuk mencari sesuatu ilmu pengetahuan di situ, maka Allah akan memudahkan untuknya suatu jalan untuk menuju syurga, dan sesungguhnya para malaikat itu niscayalah meletakkan sayap-sayapnya kepada orang yang menuntut ilmu itu, kerana ridha sekali dengan apa yang dilakukan oleh orang itu.  Sesungguhnya orang alim itu niscayalah dimohonkan pengampunan untuknya oleh semua penghuni di langit dan penghuni-penghuni di bumi, sampaikan ikan-ikan yu yang ada di dalam air.  Keutamaan orang alim atas orang yang beribadat itu adalah seperti keutamaan bulan atas bintang-bintang yang lain.  Sesungguhnya para alim ulama adalah pewarisnya para Nabi, sesungguhnya para Nabi itu tidak mewariskan dinar ataupun dirham, hanyasanya mereka itu mewariskan ilmu.  Maka barangsiapa dapat mengambil ilmu itu, maka ia telah mengambil dengan bagian yang banyak sekali.”  (Riwayat Abu Dawud dan Termidzi)

Dari Anas ra., katanya: Rasulullah SAW bersabda:
“Barangsiapa keluar untuk menuntut ilmu, maka ia dianggap sebagai orang yang berjihad fi-sabilillah sehingga ia kembali.”
Diriwayatkan oleh Imam Termidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan.

Dari Abu Hurairah ra pula., katanya: "Rasulullah SAW bersabda:
"Barangsiapa yang mempelajari sesuatu ilmu pengetahuan dari golongan ilmu yang semestinya untuk digunakan mencari keredhaan Allah 'Azzawajalla, tetapi ia mempelajarinya itu tiada lain maksudnya, kecuali hendak memperoleh sesuatu tujuan dari keduniaan, maka orang yang sedemikian tadi tidak akan dapat menemukan keharuman syurga pada hari kiamat." Yakni bau harumnya syurga itu tidak akan dapat dirasakannya.
Diriwayatkan oleh Imam Abu Dawud dengan isnad shahih.

Dari Abdullah bin Umar r.huma meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Sesiapa yang belajar ilmu untuk maksud lain selain dari redha Allah SWT (umpamanya untuk mencari kemuliaan, kemasyuran, harta dan lain-lain) maka hendaklah dia menempah tempatnya di neraka Jahanam. (HR Tirmidzi)

  • orang yang ada ilmu lalu mengajarkannya yakni menyampaikan ilmu tersebut
Dari Mu’awiyah ra katanya: “Rasulullah SAW bersabda:
“Barangsiapa yang dikehendaki oleh Allah untuk memperoleh kebaikan, maka Allah membuat ia menjadi pandai dalam hal keagamaan.”  (Muttafaq ‘alaih)

Dari Abdullah Ibn Mas’ud r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa yang diberi kebaikan oleh Allah SWT ke atas seorang hambaNya maka akan diberi faham dalam agama dan mengilhamkan didalam hatinya perkara-perkara yang benar. 

(HR Bazzar, Tabrani)

Dari Abdullah bin ‘Amr bin al-‘Ash radhiallahu ‘anhuma bahawasanya Nabi SAW bersabda:
“Sampaikanlah – kepada orang lain – ajaran yang berasal daripadaku, sekalipun hanya seayat belaka.  Percakapkanlah tentang kaum Bani Israil – yakni kaum Yahudi – dan tidak ada halangan apapun.  Dan barangsiapa yang berdusta atas diriku dengan sengaja maka baiklah ia menempati tempat duduknya dari neraka.”   (Riwayat Bukhari)

Dari Abu Hurairah ra katanya: “Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda:
“Barangsiapa yang ditanya mengenai sesuatu ilmu, lalu ia menyimpannya – yakni tidak suka menerangkan yang benar, maka ia akan diberi kendali – dimulutnya – besok pada hari kiamat dengan kendali dari neraka.”
Diriwayatkan oleh Imam-imam Abu Dawud serta Termidzi dan Termidzi mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan.

Dari Abu Umamah ra bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:
“Keutamaan orang alim atas orang yang beribadat ialah seperti keutamaanku atas orang yang terendah di antara engkau semua.” “Selanjutnya Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah dan para malaikatnya, juga para penghuni langit dan bumi, sampaipun semut yang ada di dalam liangnya, bahkan sampaipun ikan yu, niscayalah semua itu menyampaikan kerahmatan kepada orang-orang yang mengajarkan kebaikan kepada para manusia.”
Adapun yang selain Allah ialah memohonkan agar orang-orang yang mengajar kebaikan itu diberi kerahmatan oleh Allah.
Diriwayatkan oleh Imam Termidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan.

  • orang yang mendengar
Dari Ibnu Mas’ud ra katanya: “Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda:
“Allah memberikan kenikmatan kepada seseorang yang mendengarkan sesuatu ucapan dari kami – yakni dari Nabi SAW – lalu ia menyampaikannya sebagaimana yang didengar olehnya.  Maka banyak sekali orang yang diberi berita itu lebih dapat mengingat-ingat – yakni lebih memperhatikan – daripada orang yang mendengarnya sendiri?”
Diriwayatkan oleh Imam Termidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan shahih.

Dari Abdullah Ibnu Abbas r.a berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Kamu semua hari ini mendengar perkara-perkara keagamaan dariku, esok perkara-perkara ini didengari pula daripada kamu. Kemudian ia didengari pula dari orang-orang yang mendengarinya daripada kamu (kerana itu dengarlah dengan teliti dan sampaikanlah kepada orang-orang yang selepas kamu, supaya mereka dapat menyampaikan kepada orang-orang selepas mereka, dan urutan ini berterusan). (HR Abu Daud)

  • orang yang kasih pada majlis ilmu itu 
Maknanya orang itu suka pada majlis ilmu itu.  Ini termasuklah orang yang menyokong majlis ilmu itu, yang tolong carikan ustaz/penceramah untuk majlis ilmu, yang tolong menyediakan tempat, yang tolong membuat poster mengwar-warkan majlis ilmu, yang mencadangkan majlis ilmu, yang mempermudahkan majlis ilmu itu berlangsung dan sebagainya. 

Moga Allah lindung diri kita dari termasuk dalam golongan orang yang membenci majlis ilmu atau yang menghalang dari dapat berlangsungnya majlis ilmu...
Dari Abu Bakar ra meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Jadilah kamu seorang yang alim atau orang yang belajar ilmu agama atau orang yang gemar mendengar pengajian agama dengan teliti, atau menjadi orang yang mencintai ilmu dan ahli ilmu.  Dan jangan kamu menjadi orang yang kelima, yang mana kamu akan binasa.  Kelima ialah kamu membenci ilmu dan ahli ilmu.  (HR Tabrani)

Dari Abu Said al-Khudri ra dari Rasulullah SAW., sabdanya:
“Tiada sekali-kali akan kenyanglah seseorang mukmin itu dari kebaikan, sehingga penghabisannya nanti adalah Syurga.”
Diriwayatkan oleh Imam Termidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan.

Di akhir tazkirah, ustaz berpesan agar kita semua bila mempelajari atau mendengar ilmu, sampai2 kan lah pula kepada ahli keluarga dan sahabat2 yang lain yang tidak berpeluang mendengar.  Ia merupakan salah satu usaha kita yang berharga dalam mencari saham akhirat yang InsyaAllah akan dapat membantu kita di sana nanti.. ameen

Wallahu'alam.

Takut Hanya Pada Allah

Bismillahirrahmanirrahim

Dalam kita melakukan sebarang usaha, dalam hati biar hanya ada Allah.  Bukan sebab lain.  Dalam hati jangan ada kuasa lain.  Kena 100% yakin hanya Allah.  Yang dikesalkan ialah kita ini bagai dah sebati sebab dah lama dididik dah lama ditarbiyah contoh:  Masa kecik2 dulu, ditakutkan dengan benggali, hantu, polis dan sebagainya.  Jadi takut pada makhluk tu, ada.

Kukuhkan tauhid. Kenal sifat makrifat Allah baru dapat kenal Allah.  Janganlah kiranya sifat 20 pun kita masih tak tahu.  Umur kita pun bukannya baru baligh, maka jangan sifat 20 pun belum hafal2 lagi.  Bila kenal Allah, maka akan tiada syak, maka akan tiada ragu, yakin sepenuhnya dia akan Allah.  Tidak percaya ia pada perkara khurafat yang boleh membawa kepada dosa syirik. 

Ada yang berpesan. "Baik-baik ustad time lalu kat situ, jalan tu keras sikit..." Amboi boleh pulak pesan macam tu.  Padahal yang berpesan itu bukan sebarang orang tapi orang mengaji. Maka jelas, belum berjaya lagi.  Belum sampai maqam orang yang berjaya...


Ada yang kata..."ibu saya tak boleh mati sebab ada saka, ustad..." Ustad tanya balik, "kamu tau ke saka tu apa?" Dia mengeleng kepala.  Dia sendiri tak tahu apa itu saka.  Tak boleh kata 'tak boleh mati sebab ada saka' sebab itu tanda berlaku syirik kepada Allah kerana, Yang Menghidupkan dan Yang Mematikan makhluk ialah Allah.  Allah yang tentukan hidup mati seorang insan.  Maka kembalilah pada Allah.  Minta pada Allah dengan doa yang tidak putus-putus agar Allah melepaskan ibu kita secara mulia.  InsyaAllah Allah akan makbulkan doa yang ikhlas dan berterusan... ameen 

Wallahu'alam.

***hanya sedikit ilmu yang dapat dikongsi, sebab sampai ke masjid dah lewat...

Jauhi Sifat Sombong

Bismillahirrahmanirrahim

Sedutan pengisian Kuliah Maghrib...

Dikatakan bahawa barang siapa  yang nakkan habuan dunia, maka Allah akan selesaikan di dunia manakala barangsiapa yang nakkan habuan akhirat, maka Allah akan selesaikan di akhirat nanti. Janji Allah untuk orang Islam adalah lebih baik dari apa yang orang kafir dapat.  Amalan kebaikan orang kafir ibarat debu yang berterbangan, tidak dapat dicatat sebagai pahala.

Ada tiga golongan manusia antara yang terawal masuk Syurga iaitu:
  • Orang yang mati syahid.
  • Orang yang menyampaikan ilmu dan orang yang mengaji
  • Orang yang banyak beri sedekah.
Ustaz membacakan satu hadis Nabi SAW yang agak panjang bagi memperjelaskan tentang tiga golongan yang tersebut iaitu:
Dari Abu Hurairah ra. pula, katanya: "Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda:
"Sesungguhnya pertama-tama orang yang diputuskan - diperiksa ketika di-adakan hisab - pad hari kiamat ialah seseorang lelaki yang mati syahid - mati dalam peperangan fi-sabilillah.  Orang itu didatangkan, lalu diperlihatkanlah kepadanya akan kenikmatan yang akan dimilikinya, kemudian iapun dapat melihatnya pula. Allah berfirman: "Apakah yang engkau amalkan sehingga dapat memperoleh kenikmatan-kenikmatan itu?" Orang itu menjawab: "Saya berperang untuk membela agamaMu - ya Tuhan - sehingga saya terbunuh dan mati syahid." Allah berfirman: "Engkau berdusta tetapi sebenarnya engkau berperang itu ialah supaya engkau dikatakan sebagai seorang yang berani dan memang engkau sudah dikatakan sedemikian itu." Orang itu lalu disuruh minggir, kemudian diseret atas mukanya sehingga dilemparkan ke dalam api neraka.

Selanjutnya ialah seorang lelaki yang berlajar sesuatu ilmu agama dan mengajarkannya serta membaca al-Quran, ia didatangkan, lalu diperlihatkanlah padanya kenikmatan-kenikmatan yang dapat diperolehinya dan ia juga dapat melihatnya.  Allah berfirman: "Apakah amalan yang sudah engkau kerjakan sehingga engkau dapat memperoleh kenikmatan-kenikmatan itu?" Orang itu menjawab: "Saya belajar sesuatu ilmu dan sayapun mengajarkannya, juga saya membaca al-Quran untuk mengharapkan keredhaanMu." Kemudian Allah berfirman: Engkau berdusta, tetapi sesungguhnya engkau belajar ilmu itu supaya engkau dikatakan sebagai seorang yang alim, juga engkau membaca al-Quran itu supaya engkau dikatakan sebagai seorang pandai dalam membaca al-Quran dan memang engkau telah dikatakan sedemikian itu.  Selanjutnya orang itu disuruh minggir dan diseret atas mukanya sehingga dilemparkanlah ia ke dalam api neraka.

Ada pula seorang lelaki yang telah dikurniai kelapangan hidup oleh Allah dan pula diberi berbagai macam hartabenda.  Ia didatangkan lalu diperlihatkanlah padanya kenikmatan-kenikmatan yang dapat diperolehnya dan ia juga dapat melihatnya itu. Allah berfirman: "Apakah amalan yang sudah engkau lakukan sehingga dapat memperoleh kenikmatan-kenikmatan itu?" Ia menjawab: Tiada suatu jalanpun yang Engkau cinta kalau jalan itu dberikan nafkah, melainkan saya pun menafkahkan harta saya untuk jalan tadi kerana mengharapkan keredhaanMu."Allah berfirman: "Engkau berdusta, tetapi engkau telah mengerjakan yang sedemikian itu supaya dikatakan: "Orang itu amat dermawan sekali" dan memang sudah dikatakan sedemian itu." Orang itu lalu disuruh minggir terus diseret atas mukanya sehingga dilemparkanlah ia ke dalam api neraka."  
(Riwayat Muslim)
...............................

Maka, ternyata di kalangan tiga golongan di atas, ada yang Allah masukkan ke dalam Syurga dan ada yang Allah hantar mereka ke Neraka. Semua bergantung kepada niat masing-masing.  Namun yang pasti golongan yang dapat masuk Syurga ialah bilamana orang yang termasuk melakukannya adalah terdiri dari orang2 yang beramal kerana Allah, niat hanya semata-mata kerana Allah bukan atas sebab perkara lain.

Orang yang sempat bertaubat InsyaAllah akan dapat masuk Syurga.
Di sebut ada dua kategori manusia yang melakukan silap iaitu:
(i) dia lakukan kesalahan kerana dia lemah.  Dia lemah kerana telah dikalahkan oleh nafsu dan syahwat.  Namun orang ini ada potensi untuk mendapat rahmat dan pengampunan Allah bila dia bertaubat. Contoh: Orang yang jumpa duit RM500 di tempat parkir kereta kawasan masjid.  Dia yang waktu itu memang tidak berduit, telah bertindak mengambil duit itu.  Dia tahu perbuatan itu salah.  Maka orang ini jika bertaubat atas dosanya maka InsyaAllah ada potensi untuknya mendapat rahmat dan pengampunan Allah.. wallahu'alam.
Firman Allah dalam Surah an-Nisa ayat 28, yang bermaksud: "Allah ingin memberikan keringanan bagimu, kerana manusia itu dicipta  bersifat lemah."

(ii) dia yang buat salah tapi tiada potensi untuk dapat rahmat dan pengampunan Allah.  Orang ini ialah orang yang sombong kerana orang yang sombong akan rasa apa yang dia buat itu betul, tak salah.  Orang sebegini jelas tidak ada potensi untuk dapat rahmat dan pengampunan Allah.. Wallahu'alam.

Ciri-ciri orang yang sombong ialah bilamana dia tak faham dan tak mengamalkan al-quran, orang yang tahu jalan yang baik tapi dia kata itu tak baik.  Dia seorang yang sombong kerana dia kata yang baik itu salah, yang salah itu baik.  Orang yang semacam ini, Allah samakan martabat/darjatnya lebih teruk dari haiwan. Sepatutnya seorang insan itu menggunakan akal untuk dapat membezakan yang mana baik, yang mana tak baik.

Surah an-Anfal ayat 29, yang bermaksud:
"Hai orang-orang yang beriman! Kiranya kamu takut kepada Allah, niscaya Dia(Allah)akan mengurniakan kamu pengenalan untuk membeza (antara yang benar dengan yang salah) dan dihapuskan Nya lah kesalahan-kesalahan kamu serta mengampuni kamu, dan Allah mempunyai kelebihan yang besar."

Jadi ustaz mengajak semua agar,
- bermula hari ini, cuba kita usaha untuk menjauhi sifat sombong. Ingat bahawa orang yang sombong tidak dapat memasuki Syurga Allah, walaupun dia banyak lakukan ibadah.  Jika ada sifat sombong, lama kelamaan iman akan terhakis, maka dikhuatiri akan mendapat pengakhiran hidup yang tidak baik..nauzubillah.
- bermula hari ini, usahalah lakukan ibadah bukan kerana tanggung-jawab/kewajipan semata-mata tapi usaha lakukan ibadah untuk mampu meraih redha Allah Taala.  Lakukan ibadah untuk dapat redha Allah, itu yang terbaik.  Moga kita dapat masuk Syurga kerana redha Allah. Buat ibadah kerana tanggung jawab itu memang satu hal, tapi jika kita berazam melakukan ibadah kerana redha Allah, InsyaAllah dapat menghindar diri kita dari berbuat perkara yang haram sseperti mengata orang, memfitnah orang dan sebagainya.

Wallahu'alam.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Dari Abu Umamah al-Bahiliy r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Dari amalan-amalan; Allah SWT hanya akan menerima amalan-amalan yang dilakukan ikhlas semata-mata untukNya dan yang bertujuan untuk mendapatkan redhaNya sahaja. (HR Nasa’i)

Tetamu Cilik Datang Beraya

Bismillahirrahmanirrahim

Semalam 13 Syawal, sayup-sayup terdengar orang memberi salam di luar.  Saya menjengok ikut sliding door.  Bergegas menarik daun pintu sliding door serta menjawab salam dua orang anak kecil yang sedang berdiri di luar pagar. "Kami datang nak raya...", kata mereka sebaik saja saya membuka pintu depan.

Memandangkan mereka hanya anak-anak kecil, saya dan kak ngah tidak berhasrat menghampakan mereka, terus menjemput mereka masuk.  Sementara saya duk tanya2 anak sapa, umah kat mana, kak ngah ke dapur mengambil minuman dan kueh raya.  Rupa-rupanya mereka dari rumah anak-anak yatim yang terletak kurang 500m dari rumah kami.

Tiba-tiba salah seorang dari mereka berkata, "Nak tumpang tandas..." Saya segera menunjukkan di mana tandas.  Sementara Nasim di tandas, saya dan kak ngah sambung interview Amru yang sedang makan kueh raya dan minum air sirap.  Bila tanya, "Amru belajar apa kat sekolah?" "Belajar ngaji, belajar akhlak...", jawab Amru sambil tersenyum-senyum.  Amru yang berumur 9 tahun smiling face orangnya.. he he
Tengah dengar cerita Amru, Nasim membuka pintu tandas.  Kami semua memandang ke arah sana, tapi Nasim tak muncul keluar.  Tak lama lepas tu, Nasim hanya menjengok kepalanya saja dari pintu tandas.  Saya terus tanya, "Hah Nasim, OK?" "Saya jatuh dalam tandas...", jawab Nasim dalam  gugup.

"Ya Allah, camane boleh jatuh...?" Saya terus bangun menuju ke arahnya.  "Ok Nasim mandi dulu, nanti makcik ambik towel." Setelah capai towel, Nasim kembali menutup pintu tandas.  Saya dan kak ngah kalut cari baju dan seluar untuk Nasim.  Yang sebenarnya, mana ada saiz yang muat untuknya.  Rumah kami tak ada anak kecil. Cari dekat bilik abang Long, takde jumpa tshirt bersaiz kecil.  Bukak kotak yang berisi baju-baju lama, akhirnya alhamdulillah jumpa baju -T yang saiz agak kecil yang InsyaAllah boleh muat untuk Nasim.  Seluar trek pun jumpa yang paling pendek tapi still masih begitu panjang buat Nasim.  Alhamdulillah, ada tali kat pinggang seluar trek yang boleh dicerut dan ikat.  Panjang seluar pula dilipat berkali-kali baru selaras dengan ketinggian Nasim.

Kata Nasim, asramanya adalah untuk anak-anak yatim dan anak fakir miskin.  Saya dan kak ngah terkedu mendengarnya.  Nasim lebih berusia dari Amru.  Semasa Amru tiba-tiba melunjurkan kakinya, Nasim perlahan-lahan menolak kaki Amru memberi isyarat agar duduk leklok.  Amru masih tersengih-sengih memandang Nasim disebabkan kes Nasim jatuh dalam tandas tu.  "Eh Amru, jangan ejek eh, jangan la citer kat kengkawan Nasim jatuh tadi...", kata saya sambil tersenyum.  "Hi hi... hi hi...",kedua-dua mereka saling tergelak mengenangkan peristiwa yang tak disangka-sangka itu.

Alhamdulillah syukur pada Allah yang telah menghadirkan dua tetamu cilik itu di rumah kami semalam.  Bila memandang wajah Amru dan Nasim, timbul insaf dalam diri terhadap kenaifan orang lain.  Banyak2 lah kita bersyukur terhadap apa jua yang Allah kurnia, jangan kufur nikmat. Bila ada masanya kita  rasa susah, ingat ada lagi orang yang lagi susah dari kita.  Bersyukur dengan nikmat kasih-sayang berkeluarga yang bagi sesetengah orang tidak mampu mendapatkannya. Didoakan agar ke dua-dua Amru dan Nasim dipermudahkan Allah dalam meneruskan perjalanan kehidupan mereka.  Moga menjadi anak yang soleh... ameen.

Malam 6 Ramadhan - Iftar dan Terawih di Masjid Jalan Duta

Alhamdulillah, dapat sekali berpeluang ke Masjid Jalan Duta di malam 6 Ramadhan.  Sampai dah agak suntuk dengan waktu berbuka, jadi anak2 nampak agak terkilan sebab stok Bubur Lambuk habis sudah... Saat nak berbuka, tiba-tiba hambaAllah yang duduk berhampiran menghulurkan satu mangkuk bubur lambuk pada kami.  Oh alhamdulillah terimakasih, dapat juga akhirnya anak2 merasa bubur lambuk Masjid Jalan Duta... rezeki...

Selepas berbuka puasa kami bergegas naik escalator ke tingkat atas untuk solat Maghrib.  Selepas baadiyah 2 rakaat, kembali turun ke ruangan tadi untuk beratur mengambil makanan.  Alhamdulillah, boleh tahan sedap lauk yang disediakan.  Kami sekali lagi makan secara berjemaah, beramai-ramai menjamu selera.  Dah selesai semua, naik sekali lagi melalui escalator ke tingkat atas untuk solat Isyak serta berterawih.  Buat terawih setakat 8 rakaat sahaja kerana kami selepas itu terus ke Section 17 PJ menghantar anak masuk asramanya.

Masjid Jalan Duta sangat cantik, besar, lapang serta banyak fasiliti berbanding masjid di kawasan kediaman kami.  Namun mungkin sebab sudah terbiasa dengan aura dan suasana di tempat sendiri, maka saat berada di atas karpet tebal di Masjid Jalan Duta, hati terasa teringat-ingat untuk kembali ke masjid kami.  Teringat2 suara dan bacaan para Imam di masjid kami yang sudah begitu sinonim dengan para jemaah.. Alhamdulillah.


Qiamulail dan Kuliah Subuh 5 Ramadhan

Bismillahirrahmanirrahim.

Ustaz mengajak kita...
Ajar anak 3 perkara iaitu:

  1. Ajar mencintai Nabi SAW.  Ulang2kan kisah Nabi SAW  sehingga tersemat kecintaan kepada Rasululllah SAW.  Orang yang mencintai pada hakikatnya akan taat dan patuh.
  2. Ajar mencintai para ambiya.  Didik dan bawa anak-anak ke majlis ulamak dan kuliah pengajian. InsyaAlah dapat membuatkan anak bila dewasa nanti akan sentiasa mencari-cari tempat menuntut ilmu.
  3. Ajar anak-anak membaca al-quran.  Pedoman dan hidayah akan berkekalan, begitu juga dengan peribadi.  InsyaAllah akan terbina peribadi yang mulia hasil tuntunan al-quran.

Bahagia itu ialah apabila hati kita bertaut dengan Allah.  Hati gembira dengan suasana ibadah, seronok dengan semaraknya Ramadhan, seronok dengan majlis ilmu.  Ketenangan jiwa itu ialah apabila hati itu taat pada perintah Allah.  Hiburan itu sebenarnya bilamana kita dapat tunduk patuh pada Allah.  Hiburan seperti marhaban, qasidah dan sebagainya itu hanyalah merupakan hiburan tambahan.  Hiburan yang paling besar pada diri seseorang ialah ibadah kepada Allah.  Hala-kan telinga dan seluruh panca-indera ke akhirat. Setiap detik isikan dengan berbuat pelbagai perkara untuk mencapai redha Allah, cari peluang untuk meraih kebahagiaan akhirat dalam berbagai bidang dan kesempatan.  Cari akhirat dengan rasa khusyuk, cari akhirat dengan al-quran.  Berzikir dan menangislah kepada Allah.  Bersungguh-sungguh jihad di jalan Allah kerana jihad pun salah satu peluang untuk mendapat keredhaan Allah Taala.  Tingkatkan amal ubudiyah kita di sepanjang bulan ramadhan.  Moga mampu beroleh kemuliaan di sisi Allah..ameen

Wallahu'alam.

Tazkirah 5 Ramadhan - Jalan Bersedekah

Bismillahirrahmanirrahim

Moga dengan kedatangan kita memenuhi masjid ini dicatat sebagai satu amal soleh. Alhamdulillah, hati lembut untuk terus datang ke masjid.  Rasa mudah untuk melaksanakan ibadah.  Kalau bukan bulan Ramadhan, masjid tidak lah sesesak seperti sekarang.  Semua bersesak mengunjungi masjid, moga nawaitu kerana Allah InsyaAllah.

Disebut di penghujung satu hadis Nabi SAW iaitu:" ..... Wahai orang yang mahu kepada kebaikan, ambillah. Wahai orang yang berkehendakkan kejahatan, berhentilah."  Suara ini berterusan setiap malam di bulan Ramadhan.  Jadi ambillah peluang untuk berbuat banyak amalan ketaatan di bulan ini.   Kita siam di siang hari, manakala melakukan qiam di malam hari. Qiam ialah apa yang kita dirikan, membangunkan diri kita dengan zikir, membaca quran dan solat malam.

Jangan kita mampu berpuasa menahan diri dari makan dan minum serta tidak berhubungan suami isteri sahaja namun kita tak mampu menahan diri dari melakukan maksiat, dosa mata kita, dosa lidah mengumpat orang, dosa telinga mendengar yang tidak elok.  Kita mampu berzikir, mampu dirikan solat tapi malangnya kita tak mampu menahan diri dari berkata dan  berbuat perkara yang mengundang dosa. Jadi bagaimana mungkin puasa kita dapat diterima Allah. Maka inilah masanya kita perlu berhenti melakukan semua perkara yang tidak baik itu.  Jika tidak, kualiti puasa kita akan menurun lalu jadilah ia hanya sekadar kualiti puasa orang awam yang beroleh lapar dan dahaga semata-mata.

Antara perkara lain yang kita dapat laksanakan di bulan Ramadhan ini bagi mencapai keredhaan Allah ialah melalui jalan bersedekah.  Begitu besar kelebihan bersedekah di bulan Ramadhan ini.  Ambillah sebanyak mungkin peluang yang mampu kita isi. Selain dari bersolat dan zikir, kita perbanyakkan bersedekah di jalan Allah.  Bandingan orang yang bersedekah di jalan Allah umpama sebiji benih yang keluar darinya 7 dahan.  Dari 7 dahan/batang tersebut keluar pula 100 biji dari setiap batang.

Sesungguhnya kurnia Allah Maha Luas.  Matematik Allah tak sama dengan matematik kita.  Kita, bila sedekah RM5 dari RM10 yang ada dalam poket kita, kita rasa dah tinggah RM5.  Namun bagi Allah sedekah RM5 kita itu digandakan lagi sehingga mampu mencapai 3500 kesemuanya.  Namun ianya bergantung pada niat kita samada ikhlas atau tidak semasa memberi.  Jika hati bersih, hati nak dekat pada Allah, maka InsyaAllah kita akan mampu melakukannya. Sifat dermawan para sahabat ra termasuk Saidina Othman bin Affan hendaklah sentiasa diteladani.

Firman Allah dalam Surah Ali-Imran ayat 92 yang bermaksud... "Kamu tidak akan sampai pada hakikat kebaktian yang sebenar sehingga kamu sedekahkan apa yang kamu sayang."

Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 267 yang bermaksud..."Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu.  Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), pahahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji."

Jangan kita begitu berkira untuk bersedekah. Sesungguhnya tidak akan jatuh miskin kita dengan jalan mengeluarkan sedekah.  Sedekah yang terbaik ialah wakaf. Bila kita wakafkan harta, selagi mana harta itu digunakan, selagi itulah pahala berterusan masuk dalam akaun kita,,, InsyaAllah.

Bersedekah ialah saham yang boleh membantu diri sendiri di akhirat.  Itulah bekalan yang dapat kita buat sendiri semasa masih hidup di atas dunia ini. Dalam hadis Nabi SAW ada disebut bahawa terdapat 3 perkara yang dapat membantu kita di sana nanti iaitu sedekah jariah, pengaliran ilmu yang bermanafaat dan doa anak yang soleh.  Dapatkan kita jamin anak kita yang sekarang berumur 5 tahun, apabila dia dewasa nanti akan sentiasa mendoakan kita?  Perkara itu tidak dapat dipastikan.  Maka antara jalan yang dapat kita lakukan untuk mampu menolong diri sendiri di akhirat nanti ialah melalui jalan bersedekah selagi hayat masih ada.. InsyaAllah.

Dikatakan Rejab istimewa pada 10 terawal, Syaaban istimewa pada 10 pertengahan dan Ramadhan begitu istimewa pada 10 terakhir.  Berazam untuk jadikan 10 terakhir kita sebagai yang terbaik InsyaAllah. Mudah-mudahan Ramadhan kali ini berjaya membentuk diri kita menjadi insan yang bertakwa... Ameen


Wallahu'alam.

Puasa enam sesudah Ramadhan

Di antara puasa sunat yang dituntut ialah puasa enam hari dari bulan Syawwal, sebaik-baik saja selesai puasa Ramadhan, sebagai ucapan selamat jalan kepada bulan itu, ataupun sebagai menampal kecacatan yang mungkin berlaku dalam puasa itu. Bukankah yang sunat itu selalunya untuk mencukupi yang kurang di dalam yang fardhu...?

Dari Abu Ayyub ra bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:
'Barangsiapa yang berpuasa dalam bulan Ramadhan, kemudian mengikutinya dengan puasa enam hari dari bulan Syawwal, maka ia adalah seperti berpuasa setahun penuh.'   (Riwayat Muslim)


**Enam hari bulan Syawwal itu boleh di permulaan bulan yakni tanggal 2 sampai 7 Syawwal dan boleh pula di pertengahan atau di akhir bulan. Jadi asalkan bulan Syawwal, boleh. Boleh pula dipersambungkan atau dipisah-pisahkan, seperti dilakukan tanggal 2,5,10,20,26 dan 28 Syawwal. Tetapi tanggal 1 Syawwal jangan digunakan berpuasa, sebab ianya Idul-fitri di mana haram berpuasa pada hari tersebut.
Wallahu'alam.

-petikan dari: i)Kitab Nasihat Agama dan Wasiat Iman.   ii)Kitab Riyadhus Shalihin

...............

'...camane, dah terubat rindu pada rumah Allah?', tanya en suami.
Saya hanya angguk sambil tersenyum. Saya semalam sebenarnya telah mengajak en suami ke masjid. Hati teringat2 untuk ke sana. Sampai di perkarangan masjid lebih kurang setengah jam sebelum masuk Zohor.  Alhamdulillah tidak dapat digambarkan bagaimana perasaan ini tika mana kaki melangkah masuk ke ruang solat. 'Alhamdulillah syukur pada-Mu ya Allah, syukur hamba dapat kembali lagi ke sini...'

Mari kita kembali imarakkan rumah Allah. Mari kita berterusan menjadi hamba Allah yang hatinya tertaut di masjid. Teringat seorang pakcik yang kami terserempak di laluan pintu-pintu bilik di Cameron Highland. Beliau yang di-sapa mesra dengan salam oleh en suami sedang bergegas hendak ke masjid. Tempat penginapan kami terletak agak tak berapa jauh dari masjid yang lokasinya di tepi main road Brinchang. Insiden pertemuan dengan beliau memberi mesej tentang suatu contoh seorang hambaAllah yang hatinya bertaut di masjid, walau di mana berada, tak kira apa suasana, hati tetap di masjid.. Subhanallah.




1 Syawal di Putrajaya

Alhamdulillah, dipertemukan Allah dengan 1 Syawal setelah direzekikan Allah dapat melalui Ramadhan bulan rahmat bulan pengampunan. Semoga kita semua berhasil dalam menjayakan program ibadah di bulan Ramadhan. Semoga ibadah diterima Allah. Rutin yang menjadi amalan di bulan Ramadhan diharapkan mampu diteruskan walaupun Ramadhan telah meninggalkan kita. Mudah-mudahan berhasil menjadi orang-orang yang bertakwa di sisi Allah.. InsyaAllah.

Teringat pada malam 29 Ramadhan, satu sms telah dilayangkan buat en suami yang mengisi malam2 terakhir Ramadhan-nya di masjid.
'Hi suamiku yang dikasihi... Selamat beriktikaf.'

Dan beberapa minit kemudian mendapat sms balas..
'Salam istriku..Banyakkan zikir. Sedih untuk berpisah degan tetamu Allah, Ramadhan. Harap Allah temukan lagi tahun depan.'

........

Hari ini berhari raya Aidil Fitri di Putrajaya.