Showing posts with label amalan sunat. Show all posts
Showing posts with label amalan sunat. Show all posts

Doa Selepas Mendengar Azan


Assalamualaikum.

Salam di hari Jumaat yang mulia, penghulu segala hari. Mari kita lebihkan berselawat hari ini ke atas Nabi SAW junjungan yang mulia yang kita amat berharap akan mendapat syafaat dari Rasulullah SAW di akhirat nanti... Aamiin

..................................

Dan setiapkali mendengar azan, kita jawab azan ya.. Setelah selesai azan, kita berdoa🤲


Ustaz mengingatkan agar kita semua tak lupa untuk berdoa selepas Azan.  Setiapkali mendengar Azan, kita jawab azan, kemudian berdoalah... Biar timbul teruja untuk berdoa selepas azan kerana telah disebutkan dalam hadis Nabi SAW iaitu; jika membaca doa selepas azan InsyaAllah akan ada peluang untuk kita mendapat syafaat Rasulullah SAW di hari pembalasan nanti...InsyaAllah.  Kata ustad, jika terlepas mendengar azan bila masuk waktu, berusahalah mencari azan di mana2 untuk merebut peluang agar dapat berdoa selepas azan.


Dari Jabir ra bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:

"Barangsiapa yang ketika - sudah selesai - mendengarkan azan lalu mengucapkan "Allah humma rabbaha zihid da' watit dammah, wassola tilko imah, atisaiyiddana muhammadanil wasila tawal fadhilah, waba athhul maqam almahmu danil ladzi wa ath' dhah." yang ertinya: "Ya Allah yang Maha Menguasai doa yang sempurna serta solat yang akan didirikan ini, berikanlah kepada Muhammad wasilah dan keutamaan, bangkitkanlah ia pada kedudukan yang terpuji yang telah Engkau janjikan," maka akan dapatlah ia memperoleh syafaatku pada hari kiamat."  (Riwayat Bukhari)


Dan sesungguhnya doa di antara azan dan iqamah adalah salah satu waktu yang makbul (mustajab) untuk berdoa memohon hajat kepada Allah SWT.


Aamiinn..



Mencari Yang Halal


Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah mudah-mudahan kita semua dirahmati Allah SWT.. aamiin

Kita rafakkan syukur ke hadrat Allah Taala, dapat tunaikan solat fardhu Maghrib berjemaah dan seterusnya bersama² berada di dalam majlis ilmu...🤲🤲

...................................

Sempena hari ni berada di bulan zulhijjah, firman Allah dalam surah; 

Al-Fajr:2 - Dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah);


Allah bersumpah dengannya nak menunjukkan kemuliaan 10 hari pertama Zulhijjah.


Hadis daripada Ibnu Abbas R.A, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

Maksudnya : "Tiada hari-hari yang amalan soleh yang paling disukai oleh Allah untuk dilakukan melainkan hari-hari ini-baginda memaksudkan: 10 hari terawal Zulhijjah-."Para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya?"Baginda bersabda,"Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya, melainkan seorang  lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali."

Riwayat al-Bukhari (969),Abu Daud (2438),Ibn Majah (1727),al-Tirmizi (757)


Diriwayatkan daripada Ibnu Umar RA, daripda Nabi SAW, Baginda bersabda, 

Maksudnya: " Tiada hari-hari yang lebih agung dan disukai oleh Allah untuk beramal soleh selain 10 hari ini. Maka, perbanyakanlah tahlil,takbir, dan tahmid pada-Nya.

Riwayat Imam Ahmad (6154)


Maka, mari kita manfaatkan hari-hari yang penuh keberkatan ini antaranya dengan:

  • Berzikir dan Bertakbir: Perbanyakkan lafaz Tahmid (Alhamdulillah), Tahlil (La ilaha illallah), dan Takbir (Allahu Akbar) di mana sahaja.
  • Membaca al-Quran
  • Selawat ke atas Nabi SAW
  • Berpuasa Sunat:Digalakkan berpuasa dari 1 hingga 9 Zulhijjah.

Jika tidak mampu, cuba berpuasa pada hari Isnin dan Khamis.

Jangan kita lepaskan peluang untuk berpuasa sunat pada Hari Arafah (9 Zulhijjah).

Kelebihan Puasa Hari Arafah , puasa pada hari tersebut sangat istimewa kerana ia dijanjikan penghapusan dosa untuk setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.

......................................

Ustad sambung kitab hadis 40 Imam Nawawi perihal:

Sumber makanan yang halal dan syarat² penerimaan Allah Taala.


Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah S.A.W bersabda:

Yang maksudnya: Sesungguhnya Allah itu Maha Baik dan Dia tidak menerima melainkan sesuatu yang baik sahaja.

Riwayat Muslim (1015)


Agar amalan kita diterima Allah, hendaklah kita menjaga:

  • Perbuatan yang baik 

Kesemuanya yang baik² dan jaga hati agar tidak termasuk rasa riak dan ujub.


  • Perkataan yang baik

Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 83

.....; dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik;.......


Yang baik² ini termasuk semua perkara. 

Hendaklah menjaga perkara² berikut:

# Memastikan makanan, minuman, dan sumber pendapatan adalah halal, kerana ia mempengaruhi penerimaan doa dan ibadah serta keberkatan rezeki.

Cth:

Makan nasi tu baik. Namun sumber beli beras itu pastikan dari sumber yang halal.


# mesti mempunyai aqidah yang baik. Akidah yang sahih yakni pegangan akidah yang mantap dan bersih daripada sebarang bentuk syirik.

Bukan ada aqidah yang tidak baik..cth manusia yang percaya pada tahyul, percaya pada jampi serapah bomoh, perkara khurafat dsb.

Firman Allah di dalam (Surah al-Kahfi : 110)

Maksudnya :” Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya".


# Kita kena bersih. Jauhi sifat tercela/sifat mazmumah. Mengelak penyakit hati seperti hasad dengki, takbur, cinta dunia, cinta pangkat serta panjang angan² yang boleh merosakkan pahala.


Jauhi makanan yang haram dan syubhah. Elakkan makan dari kedai makanan non-muslim, makan makanan dari orang yang tak solat dan yang tak tutup aurat.


Untuk menjaga hati dan iman kita, antaranya mesti;

i) sentiasa hadir di majlis ilmu. 

ii)pilih kawan² kita, pastikan circle kita orang² yang soleh. 

iii)Sentiasa berdoa mohon Allah jaga kita dari perkara yang tak baik.


Moga Allah bagi kekuatan untuk kita beramal...Aamiin


Tazkirah 26 Ramadan 1447H


Kita dah sampai ke malam 26 Ramadan. Kita akan di uji dengan ujian nafsu. Samada kita dapat kekal istiqamah beramal atau sebaliknya di penghujung Ramadan ini. Adakah kita masih kekal berterawih dan bersama² mengimarahkan rumah Allah ataupun kita mungkin gagal. Di hujung² ni dikhuatiri nafsu mengajak  kita untuk nak pergi cari baju raya, nak keluar shopping cari sarung kusyen baru, nak gerak balik kampung dsb.

Lailatul qadar itu lebih baik dari 1000 bulan. 

Firman Allah dalam surah al-Qadr 1 - 5:

1)Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar,

2)Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu?

3)Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.

4)Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut);

5)Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar.


Allah mentakdirkan Lailatul qadar akan berlaku di salah satu malam yang ganjil dan di malam yang akhir dari bulan Ramadan. Sedangkan kita ada yang masih duk tanya², malam ni malam 25 ke malam 26. Sempat lagi kita masih duk sibuk berkira² untuk melakukan amal. Kita yang banyak berdosa, sedangkan Rasulullah SAW seorang yang maksum, bersungguh² Nabi meningkatkan ibadah pada 10 malam terakhir Ramadan.

Daripada Aisyah R.A, beliau berkata:“Adalah Rasulullah SAW lebih bersungguh-sungguh (dalam beribadah) pada sepuluh hari terakhir(Ramadan) tidak sebagaimana Baginda bersungguh-sungguh pada hari-hari lainnya” - 

(HR Muslim 1175)


Sama² kita pertingkatkan amal. Ya Allah bantu hamba..

Aamiinnn Aamin ya Robbal Alamin.


Baca Quran di Bulan Ramadan




Daripada Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: Setiap amalan anak-anak Adam itu adalah untuknya sendiri kecuali puasa, maka sesungguhnya puasa itu untuk-Ku, dan Aku sendiri yang akan memberikan ganjarannya.

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: “Sesiapa yang membaca satu huruf di dalam al-Quran maka dia mendapat satu kebaikan dan setiap kebaikan itu digandakan menjadi sepuluh kebaikan yang semisal dengannya. Aku tidak mengatakan Alif Lam Mim itu satu huruf akan tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf”. 

(Riwayat al-Tirmizi)

Sangat besar pahala membaca alquran.. Subhanallah.

Maka di bulan ramadan ini,  manfaatkan dengan banyak mengaji quran. Pahala berlipatkali ganda InshaaAllah.


Wallahu a'lam.




Perbanyakkan Zikir


Syukur... pada malam yang bertuah ini sama² diberi kesempatan berjemaah Maghrib. Alhamdulillah moga termasuk dalam kalangan orang² yang sering menghidupkan rumah² Allah. 

Moga² ibadah berterusan.

........................................

Firman Allah dalam Surah At-Tawbah:18 - Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.

.......................................

Sentiasa berzikir mengingati Allah. Bila kita ingat Allah, Allah ingat kita.

Firman Allah dalam Surah:

Al-Baqarah:152 - Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu).

Al-Furqān:58 - Dan berserahlah engkau kepada Allah Tuhan Yang Hidup, yang tidak mati; serta bertasbihlah dengan memujiNya; dan cukuplah Ia mengetahui secara mendalam akan dosa-dosa hambaNya;

Āli `Imrān:191 - (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.


Apabila kita ingat pada Allah, apa jua masalah, Allah akan bagi jalan keluar.. inshaaAllah.

Ayat Seribu Dinar


An-Nisā':103 - Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan sembahyang, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring.


Ingat Allah dalam keadaan kaya dan miskin, lapang dan sempit

Dengan mengingati Allah, setiap perjalanan kita di dunia ini dibimbing.

Berzikir pada Allah pada siang dan malam hari.

Ingat Allah setiap masa.

Maka kita akan ingat hakikat penciptaan diri bila kita ingat pada Allah.

Bila kita bersyukur, Allah tambahi nikmat

Kita bersyukur, Allah bagi lagi, bagi lagi...nikmat InshaaAllah.

Berzikirlah dlm keadaan hati tenang. Dengan rendah hati mengagungi kebesaran Allah.

Jangan kamu berzikir tapi termasuk dalam orang² yang lalai. Jangan pula kita berzikir tapi fikiran merayau-rayau., zikir hanya sekadar lalu di mulut sahaja.

Al-'A`rāf:205 - Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut (melanggar perintahnya), dan dengan tidak pula menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai.


Perbanyakkan berzikir agar kita tidak tergolong dalam kalangan orang yang lalai

Gunakan nikmat kesihatan. Biar sampai ke pengujung usia, datang solat berjemaah, duduk dlm majlis ilmu. Biar hati bertaut pada masjid.

Kemudian bangun qiammulail.

Hidup sentiasa dengan ibadah

Mohon Allah beri husnul khotimah. Aamiin Allahuma Aamiin.






Kembara ke Miri dan Brunai (Part 2)

Alhamdulillah sambung kisah cuti² di Miri dan Brunai hari tu. Yang part 1 tu ada di SINI ya.



28/9/25

Hari ketiga bermusafir.  

Pagi tu bangun², "...wahhh daku kat negara Brunai rupanya"🤔... he he... datang obesi lagi gais🫠😍✌️... 

Turun breakfast. Alhamdulillah boleh tahan sedap walaupun sarapan di hotel Mega di Miri rasa lebih banyak pilihan dan terpaling sedapppp...hi hi




Okeh kami terus check out hotel untuk meneruskan edisi jelajah Brunai. Takde nak patah² balik untuk check out dah lepas tu. Destinasi di awal pagi itu adalah Royal Regalia.

Ia merupakan Muzium Di-Raja Brunai. Lokasinya terletak di tengah-tengah Bandar Seri Begawan, ibu negara Brunai Darussalam. Ia mempamerkan regalia dan lambang diraja, termasuk kereta kencana dan permata mahkota yang digunakan semasa pertabalan, serta hadiah-hadiah diraja dan pakaian. 








Kemudian kami ke Masjid Omar Ali Saifuddien. Sangat cantik masjid-nya yang dilatari perkarangan lanskap yang luas. Masjid Omar Ali Saifuddien adalah masjid kebangsaan Brunei Darussalam yang terletak di Bandar Seri Begawan. Ia dianggap sebagai salah satu masjid paling indah di rantau Asia Pasifik dan menjadi mercu tanda penting bagi negara Brunei. 







Kubah utamanya dilapisi dengan emas tulen. Dinding dan lantai masjid menggunakan marmar yang diimport dari Itali, granit dari China, dan permaidani mewah dari Arab Saudi dan Belgium.

Bahagian dalam masjid dihiasi dengan kaca berwarna, lampu candelier yang diukir dengan indah, dan pelbagai hiasan seni Islam. 

Selesai di situ, van singgah sebentar di hadapan gate Istana Nurul Iman. Kaum bapa je turun bergambar, kami yang kaum ibu ni tak berapa nak sanggup sebab time tu matahari dah tinggi dan bahangnya begitu terasa. Takpe lah kami tengok dari dalam van je ya..ehe..he..


Van terus meluncur masuk highway menghala ke Miri. Okay bye Brunai..sampai jumpa lagi. Rezeki, jodoh pertemuan, ajal maut semua dalam rahsia Allah. Mana tau dapat datang lagi selepas ini ke negara Brunai Darul Salam.. InshaaAllah.

Di dalam perjalanan menuju je Miri, Kawi  berhenti sekejap di satu rumah perusahaan menjual kerepek/jajan². Alhamdulillah di sini semua pakat borong beli sedikit sebanyak barang makan untuk di bawa balik Malaysia. Made in Brunai tuuu...boley tahan sedap semua.

Dah nak sampai Miri, tiba² nampak orang jual durian..Hah apalagi...semua pakat turun sekejap nak pekena durian Miri pulak.. aduhh jauh datang makan durian.. sampai ke Miri☺️😂 Rasa durian okay laaa...dapat la merasa 3 - 4 ulas setiap seorang peserta trip..hahaha...jadi laaa





Dah sampai di bandar Miri dengan selamat.. alhamdulillah. Sesi mencari kek lapis Sarawak pula...he he.. Ikan Terubuk Masin dah siap² beli melalui kawan Rahmat. Kami singgah di Kedai Kek Lapis Siti Payung untuk beli bawak balik kek lapis.  Saya beli sikit je, buat ghaso²..hi hi




Dari kedai kek Lapis Siti Payung singgah posing sekejap di hotspot tepian tasik yang ada simbol mercu tanda Miri iaitu kuda laut tu. 
Kuda laut dipilih sebagai simbol Miri pada tahun 1994 untuk mewakili kekayaan marinnya.  Kuda laut melambangkan kekayaan sumber marin Miri dan juga sifatnya yang lembut dan anggun, mewakili keamanan dan keharmonian masyarakat pelbagai etnik di bandar itu. 

Cantik view di situ cumanya bau agak kurang menyenangkan, mungkin sebab air tasik tak berapa berlari, nampak agak statik gitu. 



En Zul dan kuda laut

Rahmat kemudiannya membawa kami ke Restoran RH Kopitiam untuk kami semua makan tengahari. Alhamdulillah Rahmat sampai kan hajat saya yang meminta dia bawakan kami ke kedai yang ada menu Laksa Sarawak. Nak makan sekali lagi sebelum balik Semenanjung🫠🫠 Alhamdulillah tqsm Rahmat, sedap sangat Laksa Sarawak kat situ.. Portion pun banyak.  Terbaek!! 






Sebelum ke airport singgah sekali lagi ke kedai souvenir Miri Handicraft Centre untuk sesiapa yang nak cari lagi barang cenderahati. Saya hanya tambah beli keychain untuk cucu²..🤭😁



.............................

Jam dah tunjuk pukul 4.15ptg, bilamana kami tiba di Airport Miri... beransur² dah nak tinggalkan Miri...huuuu🤧



Pengalaman percutian 3 hari 2 malam di Miri dan Brunai alhamdulillah sangat terkesan di hati bilamana banyak melalui adegan pengembaraan yang happening dan menghiburkan. Alhamdulillah tqsm buat  Rahmat our tour guide, terimakasih buat Kawi pemandu van kami yang komited, tq buat Hj Ramli ketua rombongan serta rakan² trip yang semuanya support member😂😂... Terbaek aah!!.hahaha. Kami peserta trip terdiri dari 11 orang kesemuanya;  Hj Ram, en Zul, hj Din, en Halim, Ida, Lina, cikgu Yati, Ju, Nani, en suami dan saya. Jazakallah💌


*nota

Ada ketikanya datang  memori pergi Miri/Brunai. Lalu saya pun tukar wallpaper di fon..jadi tiapkali bukak fon, ada senyum di wajahku menggamit kenangan😊


Sekian.

Wassalam.





Kebaikan Berjalan Kaki 30 Minit Sehari


Kebaikan Berjalan Kaki 30 Minit Sehari

1)Aktiviti berjalan kaki membantu membakar kalori dan mengawal berat badan. 

2)Ia adalah senaman yang boleh menguatkan tulang (sistem rangka) dan otot badan. 

3)Berjalan kaki secara konsisten dapat meningkatkan kesihatan jantung dan mengurangkan risiko sakit jantung. 

4)Senaman berjalan dapat membantu mengawal paras gula dalam darah dan mengurangkan risiko penyakit diabetes. 

5)Berjalan kaki melepaskan hormon endorfin, yang dapat meningkatkan mood dan membantu mengurangkan tekanan mental. 

6)Aktiviti fizikal ini dapat meningkatkan tahap tenaga dalam diri anda. 

7)Berjalan kaki boleh membantu melapangkan fikiran dan meningkatkan fungsi kognitif otak. 



Cara Memulakan

1)Jadikan ia kebiasaan: Jika sukar mencari masa khusus, anda boleh menjadikannya amalan berkala, seperti naik tangga berbanding lif atau meletakkan kenderaan lebih jauh untuk berjalan kaki. 

2)Lakukan dengan konsisten: Lakukan senaman berjalan secara konsisten untuk mendapatkan manfaat kesihatan yang optimum. 

3)Jalan laju: Untuk keberkesanan yang lebih baik, berjalanlah pada kadar yang laju atau brisk walk. 



...................................

Hanya 30 minit yang diperlukan dalam sehari untuk anda kekalkan kesihatan tubuh badan melalui senaman berjalan. Senaman ini nampak mudah, tapi ia memerlukan kekuatan mental untuk kekal konsisten. Kuatkan semangat, tekadkan iltizam.

👟🏃Berjalan sesuai untuk semua peringkat umur. Rajin² kita buat latihan berjalan kaki.

Berjalan kaki selama 30 minit sehari mampu membakar sehingga 150 kalori bergantung kepada berat badan dan kelajuan berjalan. 

Cuba selesaikan berjalan kaki selama 30 minit sekurang-kurangnya 5 pagi seminggu. Jika tak mampu keluar berjalan di padang riadah, boleh lah berjalan indoor, contoh menggunakan treadmill (di SINI).Sambil berjalan sambil zikrullah...

إن شاء الله



Dan satu lagi pilihan, kita boleh ambil peluang walking di Mall atau pusat membeli belah. Berjalan melilau tengok² barang tak perasan pun tau² dah terhasil 2km jauhnya🤭 Alhamdulillah


.......................................

Keluar beriadah🩵









@@@


Catatan Majlis Ilmu

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah kita dah masuk hari ke 24 Ramadhan. Banyak² kita doa...Ya Allah berkatilah kami sepanjang bulan Ramadhan ini dan pertemukanlah kami dengan lailatul qadar...aaminn


Allahu!  Bukak² blog hari ni,  terpandang pageview matahati... ALHAMDULILLAH... rupanya dah capai 6juta pageview.  Time tengok tadi jumlah 6,001,085. Dengan jumlah posting sebanyak 630 kesemuanya, saya merasa syukur sangat dengan kehadiran pembaca purata 1600 - 2000 setiap hari. Followers tak ramai mana pun, tapi alhamdulillah pembaca dapat masuk ke blog atas asbab carian di google. Tqsm all..moga tulisan di dalamnya terkandung manafaat dan mengundang keberkatan Allah Taala.. InshaaAllah..aamiin

Mengambil berkat keberadaan kita di hari 10 terakhir Ramadhan ini, marilah kita sama² mempertingkatkan amal soleh moga² kita Allah pertemukan dengan malam Lailatul Qadar, malam yang lebih baik dari 1000 bulan.. InshaaAllah


Surah al-Qadr

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ
إِنَّآ أَنزَلْنَٰهُ فِى لَيْلَةِ ٱلْقَدْرِ(١) وَمَآ أَدْرَىٰكَ مَا لَيْلَةُ ٱلْقَدْرِ(٢) لَيْلَةُ ٱلْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ(٣) تَنَزَّلُ ٱلْمَلَٰٓئِكَةُ وَٱلرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِم مِّن كُلِّ أَمْرٍ(٤) سَلَٰمٌ هِىَ حَتَّىٰ مَطْلَعِ ٱلْفَجْرِ(٥)

Firman Allah yg bermaksud:

1. Sesungguhnya Kami telah turunkannya (al Quran) pada malam al Qadr.

2. Dan tahukah kamu apakah malam al-Qadr (kemuliaan) itu?

3. Malam al-Qadr (kemuliaan) itu lebih baik daripada seribu bulan.

4. Turun malaikat-malaikat dan roh (malaikat Jibril) padanya (malam al-Qadr) dengan izin Tuhan mereka membawa segala urusan.

5.Sejahteralah ia (malam itu) sehinggalah terbit fajar (subuh).

..................................


Bersempena pageview 6juta orang hari ini, saya nak masukkan ke dalam blog apa yang sempat saya jot-down semasa majlis ilmu sedang berlangsung. Alhamdulillah Allah masih rezekikan dapat mendengar peringatan berharga dari para ilmuan yang menyampaikan terutamanya dari kuliah maghrib yang saya dan en suami cuba usahakan agar jarang tertinggal. Alhamdulillah moga² Allah beri kesihatan yang berpanjangan dan kelapangan waktu agar kaki dapat sentiasa terdorong melangkah ke masjid mendengar majlis ilmu...aamiin. 


  • Orang yang istiqamah baca surah al-Mulk, dia tak akan tinggal baca sebab dia yakin tiap² kali baca, dia akan terlepas dari siksa kubur. Ini dinamakan taqwa. Orang yang ada taqwa ialah orang yang buat ibadah kerana dia yakin dengan Allah, kerana dia takut pada Allah. (Post pasal Surah al-Mulk ada di SINI)


  • Seseorang yang bila buat ibadah, dia rasa seronok, tak bosan dan tak berat hati buat; maka bersyukur sangat² lah sebab tak semua orang dapat nikmat itu. Ramai yang solat tapi dengan perasaan berat hati, sambil lewa, nak cepat siap dsb. Jadi bersyukurlah jika kita ada 3 perasaan itu. Alhamdulillah.


  • Sesiapa yang Allah nak bagi kemuliaan, Allah sangkutkan hatinya merasa cenderung beramal soleh.


  • Jangan terlalu sayangkan dunia sehingga merasa sangat kedekut untuk sedekah, takut habis duit kita tu.. Sedangkan hakikatnya harta yang sibuk dikumpul itu semuanya akan ditinggal.


  • Barang yang nak dibawa biar lebih. Barang yang nak ditinggal, sedikitkan. #Duduk depan tv berapa jam? ..berbanding baca quran berapa m/s...  Tidur berapa jam ..berbanding zikir pada Allah berapa banyak.. Mari kita muhasabah diri🤔🥺😭


  • Ilmu tidak dapat dicapai melainkan dengan susah payah.


  • Dekatkan diri dengan masjid kerana di masjid banyak turun rahmat Allah.


  • Surah Qadr ayat 3... "Malam Lailatul Qadar itu lebih baik dari seribu bulan." Rasulullah SAW pun berusaha untuk bertemu dengan malam Lailatul Qadar. Rasulullah SAW berusaha sedaya upaya di malam 10 terakhir ramadhan berbanding malam² yang lain.


  • Ibadah yang dilakukan Rasuluĺah SAW pada 10 terakhir Ramadhan antaranya; ~#Bertahajjud#Qiam Ramadhan dengan penuh keimanan#Membaca alquran#bersedekah ke masjid, anak² yatim, asnaf, saudara mara

Wallahu'alam.


Sedekah


Bismillahirrahmanirrahim

Nak kongsi cerita.....


Peristiwa 1

Pelajar² sekolah selalunya duit belanja tak banyak mana..kiranya agak terhad, sedangkan mereka ni tengah membesar. Keperluan makan dan minum menjadi sesuatu yang wajar dipenuhi tapi tu lah wang belanja sekolah kadangnya tak cukup sedangkan kemahuan biasanya melebihi keperluan.


Nak cerita...tengahari tu sebelum azan jumaat, datang seorang pelajar ni beli air tin harga rm2. Baru je nak minum, datang pulak dah kawan²nya  seramai 5 orang nak tumpang pauw...he he


Seorang pakcik yang kebetulan ada kat situ tengok je kejadian tersebut sambil tersenyum. Dia pun cakap kat budak tu, "jom pakcik belanja, berapa orang ada?..lima ya?" Pakcik tu terus berpaling kepada saya lalu berkata, "..ambik 5 tin lagi ya puan". 

Pelajar: "Eh betul ke pakcik?" 

Pakcik: "Ya, betul laa", kata pakcik tu sambil tersenyum.

"Pakcik nak belanja...", saya pula menambah(kiranya support member laa)🤭😄 

Happy semua budak2 tu. Pakcik tu ambik extra satu tin air 'lemon tea' untuk dirinya. So time bayar tu, saya kata la, takpe yang Hj punya tu saya belanja.  Alhamdulillah.


Peristiwa 2

En Man datang nak beli kopiah berharga rm10. Lepas dah cuba cuba berkenan terus hulur duit rm20 nak bayar, so saya pun pulangkan lah bakinya rm10. Kemudian tiba² datang Pak Hamid tengok² kopiyah. Saya pun berbasa basi tegur la, "..lama tak nampak encik." Badannya nampak agak susut. 

"Oooo.. tu la saya kurang sihat," jawabnya. "Ada tak kopiah yang harga dalam rm5? Yang ni berapa rega?" 

"Yang tu rm10 encik.." jawab saya. "Yang ni pulak rm8, tapi saya boleh bagi rm5 kalau encik nak." 


En Man yang masih ada berdekatan mendengar dialog itu. "Takpe saya hadiah, ambik kopiah yang rm10 tu..," sambil menghulur rm10 kepada saya.

Pak Hamid kelihatan terkedu seketika...lalu sambil tersenyum cepat² ucap terimakasih pada En Man. "Sama²," jawab En Man.

Begitulah suasananya orang berebut mencari pahala di hari jumaat yang mulia Alhamdulillah.


Peristiwa 3

Seorang dermawan amalkan rutin bersedekah setiap bulan rm100 melalui kedai saya. Dia berpesan untuk menghadiahkan kepada beberapa nama untuk diberikan samada jubah, kurta, kopiah, pelikat, dsb buat mereka yang disebutkan nama mengikut giliran setiap bulan. Saya mengambil inisiatif utk melaksanakan sedekah rm100 hamba Allah ini pada hari jumaat pada akhir/awal bulan agar moga² berkat dan berganda pahala buat beliau atas asbab kemuliaan penghulu segala hari itu InshaaAllah. 


Moga istiqamah ..aamiin

Pernah tulis pasal sedekah di hari Jumaat di SINI

#Sedekahharijumaat




Amalan Sujud Syukur

Setiap nikmat akan ditanya. Makin banyak nikmat, makin banyak yang akan ditanya.

Nikmat itu sesuatu yang menyeronokkan, yang menyedapkan, yang membuat kita rasa suka. Contoh tidur, tidur itu suatu nikmat. Tidur pulak dalam aircond, atas tilam tebal maka lagi lah terlebih rasa nikmatnya. Jika tidur itu nikmat yang hanya untuk dunia, ia tak menjadi pahala. 

Namun jika nikmat itu bawa kepada akhirat maka ia menjadi pahala dan untung di akhirat. Oleh itu cari lah dunia untuk akhirat. 

Contoh 1: suruh anak tidur awal untuk bangun solat subuh. Bukannya suruh tidur awal untuk bangun pergi sekolah atau untuk pergi kerja. Jadi bila niat tidur kita untuk dapat bangun solat subuh, maka tidur anak dan tidur kita adalah untuk akhirat. 

Contoh 2: Beli kereta bukan untuk bermegah-megah tapi niat agar dapat guna untuk pergi solat berjemaah di masjid, untuk ziarah saudara dan hubung silaturrahim.

Banyakkan rasa syukur kita atas segala nikmat. Zahirkan syukur dengan memperbanyakkan buat Sujud Syukur..

Sujud syukur ialah sujud yang dilakukan kerana memperoleh sesuatu nikmat atau terselamat daripada sesuatu bencana. (Rujuk: Hasyiyah Qalyubi wa ‘Umairah, 1/208).

~~~~~~~~~~~~

Hadith Nabi S.A.W daripada Abu Bakrah R.A:

Maksudnya: “Adalah Nabi S.A.W ketika telah datang sesuatu perkara yang menggembirakan ataupun diceritakan sesuatu yang gembira dengannya akan turun sujud, bersyukur terhadap Allah S.W.T”.

Riwayat Abu Daud (2774). Disahihkan oleh Al-Albaani.


Cara Sujud Syukur

  • Mulakan dengan niat untuk melakukan sujud syukur.
  • Bertakbir seperti takbiratul ihram dengan mengangkat tangan.
  • Bertakbir sekali lagi tanpa mengangkat tangan tetapi untuk turun sujud.
  • Sujud sekali seperti sujud di dalam solat. Bacaan ketika sujud syukur ini adalah bacaan sepertimana sujud di dalam solat dan kemudiannya boleh ditambahkan dengan lafaz tahmid memuji Allah SWT atas kurniaan nikmat yang telah diberikan oleh-Nya.
  • Bangun daripada sujud dalam keadaan duduk seperti dalam solat dan beri salam.


Sebagaimana firman Allah di dalam 

Surah Ibrahim, ayat 7, bermaksud: Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.”


Wallahu'alam.

Blog Archive

KURSUS HAJI 2023

Minggu 1

Pergi Haji

Minggu ke 9

Minggu ke 12

Panggilan ke Tanah Suci bukan soal cepat atau lambat, tetapi rahsia ALLAH yang hadir tepat pada waktunya... إن شاء الله

Umrah♡