Showing posts with label perihal zikir. Show all posts
Showing posts with label perihal zikir. Show all posts

Perbanyakkanlah ucapan La ilaha illallah


Dari Jabir ra katanya: "Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda:
"Seutama-utama zikir ialah lafaz La ilaha illallah."
Diriwayatkan oleh Imam Termidzi dan ia mengatakan bahwa ini adalah Hadis hasan.


Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: "Orang yang paling banyak mendapat manfaat daripada syafaatku pada hari kiamat nanti ialah seorang yang mengucapkan kalimah La ilaha illallah dengan ikhlas di dalam hatinya." (HR Bukhari)


(petikan dari kitab Riyadhus Shalihin)
........................................................

Nabi SAW telah bersabda:
"Zikir yang amat utama ialah: La Ilaha Illallah. Dan doa yang mulia ialah: Alhamdulillah."

Sabdanya lagi:
"Seutama-utama ucapan yang pernah kusebutkan, begitu pula para Nabi sebelumku, ialah: La Ilaha Illallah."

Bersabda Rasulullah SAW yang diriwayatkannya dari Allah Ta'ala:
"La Ilaha Illallah bentengKu, siapa yang memasuki bentengKu, terselamat ia dari azabKu."

"Perbaharuilah iman kamu! Para sahabat bertanya: Bagaimana caranya memperbaharui iman kami?? Jawab baginda: Perbanyakkanlah ucapan: "La Ilaha Illallah."

Sabdanya lagi:
"Subhaanallah (memenuhi) setengah mizan, dan Alhamdulillah memenuhinya, dan La Ilaha Illallah tiada dinding antaranya dengan Allah."

Sebuah riwayat lain mengatakan pula:
"Bahawasanya seseorang hamba apabila menyebut: "La Ilaha Illallah, maka setiap La Ilaha Illallah itu melintasi sesuatu kejahatan di dalam buku catatannya, melainkan dipadamkannya, sehingga ia menemui sesuatu kebaikan, lalu ia berdiam di sampingnya."

Riwayat yang lain lagi:
"Andaikata diletakkan tujuh petala langit dan tujuh petala bumi dan seisinya di daun timbangan, dan diletakkan ucapan La Ilaha Illallah di daun yang lain, niscaya neraca La Ilaha Illallah akan menjadi lebih berat."

Kalimah Laa Ilaha Illallah begitu banyak sekali kelebihannya. Ia merupakan kalimah yang mesti diucapkan jika seseorang ingin memeluk Islam, dan bahawasanya sesiapa yang mengakhiri hayatnya dengan mengucap kalimat itu, nescaya ia akan memperoleh kebahagiaan yang abadi yang tiada celaka lagi sesudah itu.

(petikan dari kitab Nasihat Agama dan Wasiat Iman)
Imam Habib Abdullah Haddad
....................................................................

Firman Allah Ta'ala yang bermaksud:
"....Dan berzikirlah engkau semua kepada Allah dengan sebanyak-banyaknya, supaya engkau semua berbahagia."   (al-Jumu'ah:10)

Dari Abdullah bin Busr ra bahawasanya ada seorang lelaki berkata: "Ya Rasulullah, sesungguhnya syariat-syariat Islam sudah banyak - yakni hukum-hukumnya sudah lengkap - atas diriku, maka beritahukanlah kepada saya akan sesuatu yang saya dapat berpegang padanya." Beliau SAW bersabda: "Supaya lisanmu itu senantiasa basah dengan berzikir kepada Allah."
Diriwayatkan oleh Imam Termidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan.

Dari Jabir bin Abdullah r.a berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sebaik-baik zikir ialah La ilaha illallah dan sebaik-baik doa ialah Alhamdulillah. (HR Tirmizi)


Zikir 100, Berzikir secara batin dan zahir


Bismillahirrahmanirrahim


Semalam semasa membelek salah-satu buku doa dan munajat, terpandang pada bab yang menyebut tentang Zikir 100.  Zikir 100 yang dimaksudkan ialah zikir yang dapat kita jadikan amalan yang setiap satunya dibaca sebanyak 100x sehari iaitu:

  • Membaca Surah Al-Ikhlas iaitu Qul hu wallah hu ahad Allah hus somad Lam Yalid walam yulad walam yakul  lahu kufuwan ahad












  • La haula wala quwata illa billah









  • La ila ha illallah hu wah dahu la syari kalah, la hul mulk ku wa la hul ham du yuhyi wayumit tu wa hu wa 'ala kul li syai in qadir




  • Rabbighfirli warhamni watub’alaiya



yang bermaksud: Ya Allah... ampunilah aku, sayangilah aku dan terimalah taubatku.. 



Mari kita cuba jadikan amalan.  Zikir InsyaAllah dapat mendekatkan diri kita dengan Allah.  Hubungan yang kuat dengan Allah dan keimanan yang kental adalah asas penting dalam kehidupan seorang Muslim.  Bila tahap iman sudah mantap, InsyaAllah seseorang itu tidak akan terlajak mengikut pelbagai selekoh yang bengkang-bengkok.  InsyaAllah Allah akan lindung agar tidak tersungkur ke dalam lubang2 di tengah jalan yang boleh memesongkan diri dari jalan yang benar.

Jika konsisten berzikir InsyaAllah akan beroleh hikmah dari Allah yang akan mendorong kita dalam berkata-kata dan melakukan perkara yang benar dan berhikmah... ameen..

.......................................................

Jika berzikir kepada Allah Ta'ala dalam hati, sehingga yang boleh mendengarnya hanya diri kita, maka itulah yang sebaik-baiknya.  Sebab Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud:
"Sebaik-baik zikir ialah yang dirahsiakan (dalam batin), dan sebaik-baik rezeki ialah yang mencukupi."

Di dalam Al-Quran,  Allah telah berfirman:
"Berzikirlah (ingatlah) kepada Tuhanmu dalam hatimu dengan rendah hati dan perasaan takut."    (Al-A'raf: 205)

Jika ingin berzikir dengan suara keras, tiadalah salah malah memang dituntut dan dianjurkan tetapi hendaklah ia disertai ikhlas semata-mata kerana Allah Ta'ala dan tidak riya'.  Juga suara zikir kita itu tidak pula mengganggu orang yang sedang bersembahyang di sebelah-menyebelah, ataupun orang yang sedang membaca al-Quran, sehingga mengelirukan mereka di dalam ibadat mereka.

Jika zikir itu diadakan di dalam suatu majlis yang ramai, maka yang demikian itu memang dituntut dan dianjurkan.  Tetapi syaratnya adalah seperti yang disebutkan di atas tadi.
Di dalam hal ini terdapat banyak hadis, di antaranya ialah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Tiada suatu perkumpulan yang berkumpul di rumah-rumah Allah (masjid-masjid) di mana mereka berzikir kepada Allah Ta'ala dengan mengharapkan keridhaan Allah Ta'ala, melainkan Allah akan mengampunkan segala dosa mereka, dan akan mengubah semua kejahatan mereka menjadi kebaikan."

Sabda baginda lagi;
"Tiada sesuatu kaum yang duduk bersama-sama berzikir kepada Allah, melainkan para Malaikat mengelilingi mereka sedang nikmat meliputi mereka, dan ketenangan turun ke atas mereka.  Manakala Allah pula menyebut mereka itu kepada sesiapa yang berada di sisi-Nya."

Sabda baginda lagi:
"Jika kamu melintas pada taman-taman syurga, maka hendaklah kamu berehat.  Para sahabat bertanya: Apakah itu taman-taman Syurga? Jawab baginda: Kumpulan-kumpulan orang yang berzikir."
Pada riwayat lain, iaitu:  Majlis-majlis zikir.

Jangan lalai dari berzikir...

Wallahu a'lam.


Jangan Lalai Dari Berzikir

"Tuan-tuan, kita boleh berzikir secara perlahan dan boleh juga berzikir dengan suara yang keras, boleh zikir secara berseorangan dan boleh juga zikir beramai-ramai dalam suatu majlis... yang tak boleh nya, kalau tak zikir..."  Itu pesanan ustaz dalam satu majlis ilmu.
...............................  

Hendaklah kita berhati-hati supaya tidak lalai dari berzikir pada setiap masa dan waktu, kerana lalai dari mengingati Allah itu menimbulkan bahaya yang besar.
 

Sabda Rasulullah SAW;
"Barangsiapa yang duduk di suatu tempat, seraya tiada mengingati Tuhan ketika itu, melainkan dia akan merasakan penyesalan."

Adakalanya syaitan turut menguasai manusia yang lalai itu, lalu dihalangnya orang itu dari berzikir kepada Tuhan, disebabkan kelalaian yang telah membelenggui dirinya.


Firman Allah Ta'ala:

43:36  "Dan sesiapa yang tidak mengendahkan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya."
(Az-Zukhruf: 36)
 


Firman Allah Ta'ala:
58:19
"
Syaitan telah menguasai dan mempengaruhi mereka, sehingga menyebabkan mereka lupa mengingati Allah; mereka itulah puak Syaitan. Ketahuilah! Bahawa puak Syaitan itu sebenarnya orang-orang yang rugi. "  (Al-Mujadalah: 19)


Bagi seorang Mukmin, haruslah ia berzikir kepada Tuhan sebanyak-banyaknya, sebagaimana sebaliknya sifat seorang Munafiq tiada berzikir kepada Tuhan melainkan sedikit saja.  

Allah Ta'ala telah berfirman ketika mensifatkan orang-orang Munafiq, berbunyi:
4:142
"Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap ugama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik). Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah melainkan sedikit sekali (jarang-jarang)."  (An-Nisa: 142)

Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Alamat munafik itu ada tiga: Apabila bercakap dia bohong. Apabila berjanji dia tidak menepatinya dan apabila diberinya amanah dia khianat. (HR Muslim)


Melazimkan diri berzikir kepada Allah Ta'ala dan membiasakan amalan zikir itu adalah senjata untuk menghalau syaitan dan mencegah was-was sebagaimana bunyi sebuah riwayat:
"Sesungguhnya syaitan itu membelit hati manusia, jika ia berzikir kepada Allah syaitan terpukul.  Jika ia alpa, syaitan mewaswaskannya lagi." 

Maka dituntut membiasakan diri dan melazimkan berzikir kepada Allah Ta'ala pada setiap waktu dan keadaan.  Pernah seorang lelaki berkata kepada Rasulullah SAW: "Duhai Rasulullah, Engkau telah mengajarku banyak dari hukum-hukum Islam.  Kini perintahkanlah aku untuk membuat sesuatu yang boleh aku bergantung kepadanya. 

Jawab baginda:"Biasakan lidahmu dengan berzikir kepada Allah."

 

Wallahu a'lam.

Blog Archive

KURSUS HAJI 2023

Minggu 1

Pergi Haji

Minggu ke 9

Minggu ke 12

Panggilan ke Tanah Suci bukan soal cepat atau lambat, tetapi rahsia ALLAH yang hadir tepat pada waktunya... إن شاء الله

Umrah♡