Rukun Haji; Niat Ihram, Wuquf dan Tawaf


Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah syukur Allah rezekikan dapat duduk dalam majlis ilmu Kursus Haji minggu ke-4 pimpinan Ustaz Roslan pada 26 November 2023 tempohari.  Jazakallah.


Kita mula dengan istighfar.


Susuli dengan...
سُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ للهِ وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ
Maha Suci Allah dan segala pujian bagi Allah serta tidak ada Tuhan
melainkan Allah dan Allah-lah Yang Maha Besar


اللهُ ، اللهُ ، اللهُ ، يَا اللهُ
Allah , Allah , Allah , Ya Allah


حَسْبِيْ رَبِّيْ جَلَّ اللهُ ، مَا فِيْ قَلْبِيْ غَيْرُ اللهِ ، نُوْرُ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ
Cukuplah Allah Yang Maha Agung sebagai Tuhanku , Tiada di dalam
hatiku melainkan Allah dan nur (cahaya) Muhammad s.a.w.


تُبْنَا إِلَى اللهِ وَرَجَعْنَا إِلَى اللهِ وَنَدِمْنَا عَلَى مَا فَعَلْنَا
Kami bertaubat kepada Allah dan kami kembali kepada Allah , dan kami menyesal
di atas apa yang telah kami lakukan
........................

Sentiasa kita bertaubat minta ampun pada Allah terhadap dosa² yang kita lakukan.  Oleh kerana banyaknya dosa, mungkin menjadi asbab kenapa susahnya kita nak sedekah, susahnya nak amanah dsb.

Mengucap dua kalimah syahadah kena hari². Jangan kita rasa seronok buat dosa. Orang yang nak pergi haji, kena  buat checklist: Dah baca quran?
Dah sedekah? Dah qodho solat?...dsb

Objektif kita nak dapat Haji Mabrur InshaaAllah..aamiin. Kita buat banyak amalan di Makkah, tapi yang jadi masalahnya bila balik ke tanah air, nak maintain tu susah. Bila balik Malaysia, kita nak kekal sebagai haji yang mabrur itu yang susah. Kalau di sana kita begitu tekun berulang alik ke masjid, tapi bila dah kat rumah dah lain jadinya.

Jadi mesti ada amalan untuk mampu istiqamah, kena azam dan yakin. InshaaAllah, Allah permudahkan. Belajar  Arab sikit². Banyakkan berdoa, moga tiada aral. Tidak tertangguh.


"Ya Allah berilah kefahaman padaku tentang kursus Haji dan Umrah ini...aamiin"
................................


RUKUN HAJI
pengertiannya:
Pekerjaan yang mesti dilakukan oleh jemaah Haji ketika mengerjakan Haji. Jika tak ditunaikan, haji seseorang tidak sah/tergantung dan masih dalam larangan ihram.

6 Rukun Haji
  1. Niat ihram haji
  2. Wukuf di Arafah
  3. Tawaf Haji
  4. Saie Haji
  5. Bercukur/bergunting
  6. Tertib pada kebanyakan rukun.

WAJIB HAJI
Pengertian:
Pekerjaan yang wajib dilakukan ketika mengerjakan haji. Kalau tak buat, Haji tetap sah tapi kena dam. Kalau sengaja tinggal, berdosa.

Wajib Haji  ada 6:
  1. Niat ihram di miqat
  2. Tinggalkan perkara larangan dalam ihram.
  3. Bermalam di muzdalifah
  4. Melontar jamrah kubra pada 10Zulhijjah.
  5. Mabit di Mina pada 11, 12 dan 13  Zulhijjah
  6. Melontar di ketiga-tiga jamrah pada hari tasyrik.

MIQAT
Erti miqat ialah ketentuan tempat atau masa untuk berniat Ihram atau Umrah.

#Miqat Zamani
(Sempadan masa)

#Miqat  Makani
(Sempadan Tempat)


Miqat Zamani 
- bagi haji ialah bermula 1 Syawal hingga seketika sebelum terbit fajar hari yang ke 10  Zulhijjah. Inilah yang dinamakan bulan² Haji.

Tidak sah ihram haji jika dilakukan di luar bulan haji, sebaliknya terjadi ihram umrah.

Contoh peristiwa:
(1)Ramadhan
10/3/23 Dah dapat jadual penerbangan. Jadual pihak TH yang sediakan.

(2) Syawal
12/4/23 (1 Syawal)
Biasanya TH panggil kursus perdana dalam masa² ni.

(3) Zulkaedah
10/5/23 (1 Zulkaedah)
Penerbangan awal KT 01, KT02, KT03

Penerbangan awal akan masuk Madinah dahulu.
Walau pun bulan haji bermula 1 Syawal, TH (pihak Tabung Haji) tak bawa kita pergi 1 Syawal. Kalau kita niat haji pada 1 Syawal, 3 bulan kena jaga pantang larang  ihram haji.🙃

Berkaitan niat ini, tak boleh niat sesuka hati. Jadi hati-hati.


Miqat tempat (Makani)

Jemaah dari luar Makkah
miqatnya:
- Qarnul Manazil
- Bir Ali
- Yalamlam
- Juhfah
- Zatul Irqin

Bagi jemaah yang dalam Makkah,
untuk Haji miqatnya:
-Tanah Haram/tempat tinggal di Makkah

Sebaliknya miqat bagi jemaah yang dalam -Makkah, untuk Umrah miqatnya:
- Ji'ranah
- Tan'im
- Hudaibiyah
- Syumaisyi
- Tanah Halal


Peringatan:
Miqat Makani bagi jemaah haji Malaysia yang perjalanannya terus ke Makkah ialah Qarnul Manazil.

Miqat Makani bagi jemaah haji Malaysia yang perjalanannya dari Madinah ialah Bir Ali



RUKUN HAJI

RUKUN HAJI(1) NIAT IHRAM HAJI

Niat Ihram Haji mempunyai kaitan dengan cara mengerjakan haji.


Cara Mengerjakan Haji:
  1. Haji Tamattu'
  2. Haji Ifrad
  3. Haji Qiran

Haji Tamattu'
-mengerjakan umrah dahulu dalam bulan-bulan haji kemudian mengerjakan haji pada tahun yang sama

Haji Ifrad
-mengerjakan haji pada bulan-bulan haji kemudian mengerjakan umrah setelah selesai amalan haji (*afdhal)
#biasanya untuk haji ifrad, ia penerbangan² akhir sampai di Makkah(KT terakhir bagi TH biasanya seminggu sebelum wuquf)

Haji Qiran
Cara 1
-berniat mengerjakan haji dan umrah serentak dalam bulan haji kemudian melaksanakan semua rukun dan wajib haji. Umrah pula dikira selesai sebaik saja selesai menunaikan haji.

Cara 2
-berniat mengerjakan umrah sahaja, tetapi sebelum tawaf ia berniat mengerjakan haji kemudian melaksanakan semua rukun dan wajib haji.

Niat:




Haji Tamattu' dan Haji Qiran dikenakan dam seekor kambing.
Haji Ifrad tak kena dam.

Jika datang dengan haji Tamattu', ianya bersenang-senang. Maksudnya banyak masa ada sebelum hari wukuf . Jadi manafaatkan masa di Makkah  dan Madinah dengan sebaik²nya kerana banyak amalan sunat boleh dilakukan. Benda sunat ini, tak buat tak mengapa tapi tersangat rugi lah kita jika tak buat.
Cth: kalau kita datang dengan KT 01, ada masa 40 hari terluang. Buat haji hanya memakan masa 6 hari.

Haji Ifrad dan Haji Qiran sesuai untuk yang pergi penerbangan akhir.


Jom kita tengok sekali lalu carta yang tunjuk waktu pelaksanaan ibadah Haji.



RUKUN HAJI(2) WUQUF DI ARAFAH
  • Berada di bumi Arafah walau satu saat sekalipun dalam sebarang keadaan bermula daripada gelincir matahari(waktu zohor) hari 9 Zulhijjah sehingga seketika sebelum terbit fajar pada 10Zulhijjah.

Pada 8 Zulhijjah kita dah bergerak ke Arafah dari Makkah. Berangkat sebelum Zohor.


Syarat Sah Berwuquf
  • Telah berihram dengan niat Haji
  • Ahli ibadat(tidak gila/mabuk/hilang akal/murtad sepanjang masa wuquf)
  • Berada di bumi Arafah walau seketika dalam waktu Wuquf

Amalan Sunat ketika berwuquf
  • Solat berjemaah
  • Bertalbiyah
  • Berdoa, berselawat dan beristighfar
  • Berzikir
  • Membaca Al-Quran
  • Solat Sunat

Semasa wuquf-lah ujian tinggi. Cth: tak cukup tidur, stress dsb.


RUKUN HAJI(3) TAWAF
pengertiannya:
Mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh(7) pusingan dengan syarat²nya.


Syarat² Sah Tawaf
  • Suci daripafa hadas
  • Suci badan/pakaian/tempat tawaf daripafa najis
  • Menutup aurat
  • Bermula pada sudut Hajarul Aswad dan berniat tawaf jika Tawaf Wada'/Sunat/Nazar
  • Menjadikan Baitullah di sebelah kiri dan berjalan ke hadapan (berjalan dengan mengirikan Kaabah
  • Mengelilingi Kaabah tujuh( 7) kali dengan yakin
  • Berjalan bertujuan tawaf
  • Dilakukan dalam Masjidil Haram dan di luar dari Hijr Ismail

Jenis² Tawaf
  • Tawaf Rukun (haji atau umrah)
  • Tawaf Qudum
  • Tawaf Tahiyat Al-Bait
  • Tawaf Sunat
  • Tawaf Nazar
  • Tawaf Wada'

Sunat² Tawaf
  • Berjalan kaki
  • Beridtiba' bagi Tawaf di-iringi dengan Saie(lelaki)
  • Berlari² anak bagi tawaf yang di-iringi dengan Saie(lelaki) untuk 3 pusingan pertama.
  • Istilam Hajarul Aswad dan istilam rukun Yamani
  • Membaca zikir dan doa
  • Berturut² 7 kali pusingan
  • Tawaf dengan khusyuk dan tawadhuk
  • Solat sunat tawaf( setelah selesai tawaf)

Antara kesalahan dalam tawaf
  • Terbuka aurat dengan sengaja
  • Menyentuh termasuk Syazarwan.
  • Terpesong niat seperti sibuk mencari kawan(sehingga terlupa dia sedang tawaf)
  • Menyentuh atau memasuki Hijr Ismail
  • Tidak yakin 7 pusingan tanpa menambah 1 pusingan untuk meyakinkan(sila tambah 1 pusingan jika ragu² tak cukup)
  • Belum cukup 7 pusingan kemudian terus saie dan bergunting - kerana bimbang ditinggal kawan /suami

Antara perkara makruh ketika tawaf
  • Makan/minum semasa tawaf
  • Bercakap-cakap(percakapan yang kurang sopan) semasa tawaf
  • Baca doa dengan nyaring
  • Bercakap menggunakan telefon bimbit
  • Berlari anak dalam semua pusingan
  • Menahan kentut/menahan buang air kecil dan air besar

Apabila dah selesai tawaf 7 pusingan, buat lah Solat Sunat Tawaf.

(...akan bersambung tentang Rukun Haji di minggu berikutnya iaitu rukun haji ke(4) Saie inshaaAllah)


Moga Allah pilih kita semua menjadi tetamu-Nya...aamiin

Wallahu'alam.


....bersambung di SINI

2 comments:

Anonymous said...

Alhamdulillah perkongsian ilmu yg bermanfaat utk ummat. Jazakallah.

Nila Anggraini said...

Terima kasih ilmu yang dikongsi kan. Mudah2an menjadi amalan yang baik dan mendapat ridho Allah. In Sha Allah.. Amiin.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...