Showing posts with label Majlis Ilmu. Show all posts
Showing posts with label Majlis Ilmu. Show all posts

Jalan Menuju Allah

Assalamualaikum. 

Salam di hari jumaat yang mulia. Mari kita perbanyakkan selawat. 

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Ada waktu dan ruang, jom kita selesaikan baca Surah al-Kahfi hari ini.

.............................

Perlu diketahui jika seseorang nak pergi ke jalan Allah, dia tak perlu tinggalkan harta jika ada harta dan tak perlu tinggalkan pekerjaannya jika ada pekerjaan.

Siapa yang Allah nak jadikan dia orang yang baik, Allah akan berikan ujian pada nya. Ada ujian harta, ujian kemiskinan, kekayaan, pangkat dsb.

Menuju kepada Allah bukan bererti kita tak peduli dunia, bukan kena miskin atau pape tapi kita letakkan dunia di tangan bukan di hati. Bukannya buang pekerjaan. 

Kena bertaqwa kepada Allah dalam kita mencari rezeki. Niat "aku bekerja kerana Allah". Kerja itu ikhtiar seorang hamba. Tunjukkan kemampuan kita dengan kaki dan tangan yang Allah bagi kita mampu bekerja. Sebab itu kena ada taqwa sebab dengan adanya taqwa, bila bekerja cari sumber yang halal. Kalau meniaga tak tipu, kalau bekerja tak tipu masa bekerja. Tidak perlu kaya sebab kaya bukan tiket orang bertaqwa. Jangan bekerja saja, ada masa kena belajar. Jangan berlalu masa kita tanpa beri makan pada rohani kita. Orang bertaqwa bukan duduk berzikir sahaja, tapi dia juga mencari ilmu. Sebab ilmu itu kunci segala amal.

Bila sampai waktu solat, solat. Jaga kewajipan diri kita. Jaga hak batin kita. Jangan langsung tinggal jemaah, jangan sampai tinggal belajar. Jangan sampai kita duduk dalam satu tempat, yang pekerjaan itu tak boleh bawa kita dekat dengan Allah. 

Terimakasih pada Allah yang Allah bagi rezeki dapat datang berjemaah. Alhamdulillah Allah izinkan kita dapat datang masjid. Duduk dalam majlis ilmu, berkat.

Kata ustad.. Ingat bahawa pekerjaan paling afdal ialah kita berjual beli dengan Allah. Persiapkan banyak amal.

Firman Allah dalam surah:

Fāţir:29 - Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah dan tetap mendirikan sembahyang serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian;

Jangan pernah rasa kecewa tikamana kita tinggalkan dunia 10minit untuk Allah. Kalau Allah tak izinkan rezeki, walaupun kita usaha tetap tak dapat.

Cinta kita ini, dunia jangan letak dalam hati. Ada orang kaya yang mulia, ada orang miskin itu mulia. Mulia yang dimaksudkan mulia di sisi Allah. Kekayaan bukan ukuran kemuliaan seseorang. Selama mana Allah dan Rasul tidak ada dalam hati, selagi itu lah kita tak boleh jaga agama. 

Dengan ibadah lah Allah bagi rezeki. Kerja itu sampingan sahaja. Kita yang sedang menuju kepada Allah; kita takkan boleh taat kepada Allah dan takkan boleh berpaling dari dunia kecuali jika kita rasa dunia hanya sementara dan ingat kita akan mati. Kalau ada perasaan macam tu inshaaAllah kita tak akan lebihkan dunia. Kematian itu lebih cepat dari air yang mendidih. Oleh itu kena ada rasa, hidup kita dah tak lama.

Ada yang meninggal dalam tidur. Ada yang meninggal asbab sakit, asbab tua. Namun ada yang meninggal tiba².  Sebab itu kena ada rasa, aku dah tak lama.

Perlu diketahui setiap yang menuju kepada Allah tidak boleh ada banyak angan². Sehingga syaitan berbisik padanya teruskan dengan angan²mu, tinggalkan ibadah. 

Kita nak masuk syurga, pekerjaan yang terbaik bagi kita ialah dengan lakukan amal soleh yang banyak. Jangan panjang angan² yang boleh sebabkan kita malas beribadat.

Dari Anas r.a, katanya: Nabi SAW menggariskan beberapa garis, lalu Baginda bersabda: Ini adalah angan-angan manusia sedang ini adalah ajalnya. Kemudian di waktu orang itu sedang dalam keadaan sedemikian yakni angan-angannya masih tetap panjang dan membumbung tinggi, tiba-tiba datanglah garis yang terpendek yakni garis yang memotongnya iaitu kematian. (HR Bukhari)

Posting berkaitan boleh lihat di SINI

Allah nak bagitau, belajar lah untuk lepaskan dunia bilamana...

1)Mata makin kabur. Hidupkan matahati agar terang untuk kita melihat akhirat.

2)Telinga makin kurang mendengar (pekak). Hidupkan pendengaran hati supaya lebih peka dengar seruan azan, nasihat agama, dan ayat suci al-Quran; berbanding mendengar urusan dunia, umpatan, atau pujian manusia yang melalaikan.

3. Rambut makin memutih (beruban). Peringatan di kepala bahawa usia muda telah pergi dan perjalanan pulang ke negeri abadi sudah semakin dekat.

4. Tulang dan sendi makin lemah (sakit/lenguh)

5. Kulit makin berkedut

6. Ingatan makin berkurang (pelupa). 

Maka sibukkan diri kita dengan zikrullah.


Firman Allah,

"Setiap yang bernyawa akan merasakan mati"

(QS Ali 'Imran: 185)


Penggantungan kita hanya kepada Allah. Jangan bergantung kepada makhluk.

Dekatkan diri pada Allah SWT.

Allah berikan isyarat halus agar kita memperbanyakkan bekalan akhirat.  

Perbanyakkan bekal agar ketika saat ajal datang, kita dapat kembali kepada-Nya dalam keadaan sebaik-baiknya, yaitu dalam keadaan husnul khatimah. Allahumma, Aamiin.

آمين يا رب العالمين


Nikmat di Alam Barzakh




Alhamdulillah..ini antara ustad jemputan yang saya tertunggu² akan kedatangan beliau ke masjid kami setiap bulan. Tiapkali ikut mengaminkan doa panjang ustad, sentiasa mengundang rasa sebak di hati...🥹🥹

.................

Beribadah sebanyak yang boleh: 

~ agar kita dekat dengan Allah

~agar banyak amalan baik ditimbang di akhirat nanti.


Beruntunglah orang yang meninggal di malam jumaat/di hari jumaat, inshaaAllah terlepas dari siksa kubur.

Sentiasa kita baca surah al-Mulk. Baca setiap malam selepas solat isyak /sebelum tidur. InshaaAllah jauh dari azab kubur.

Jangan sakitkan hati orang; samada melalui kata-kata (mengumpat, memfitnah, menghina) atau perbuatan. Dosa ini tidak akan diampunkan oleh Allah SWT selagi orang yang disakiti itu tidak memaafkannya.

Seseorang itu digelar fasik apabila dia berterusan melakukan dosa besar atau mengekalkan dosa-dosa kecil tanpa ada rasa ingin bertaubat. Orang yang fasik tahu perkara itu salah dan berdosa, tetapi tetap memilih untuk melanggar perintah Allah SWT secara sedar.

Kekuatan datang masjid untuk solat berjemaah, datang duduk dengar kuliah.. bukan semua orang, Allah bagi. Jadi banyakkan bersyukur dapat nikmat itu.

Fahaman orang beriman, dunia bagi mereka ladang ujian, ada siksaan dan nikmat di dalam kubur. Kemudian bangkit di padang masyhar, ditimbang dosa pahala, lalu masuk samada ke syurga atau neraka. 


Ada 3 golongan manusia yang terkena laknat Allah:

▪︎Anak memusuhi mak ayah

▪︎Orang yang memutuskan hubungan isteri isteri 

▪︎Menyebabkan orang lain membenci cth komen² dalam media sosial. Jangan mengkafir² kan orang. Kita akan dipertanggung jawabkan terhadap apa yang kita tulis/ucapkan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Ada tiga macam orang yang terkena laknat Allah SWT iaitu seorang yang membenci kedua ibu bapanya, seseorang yang berusaha menceraikan sepasang suami isteri, kemudian setelah isteri tersebut dicerai ia menggantikannya sebagai suaminya dan seseorang yang berusaha agar orang-orang mukmin saling membenci dan saling mendengki antara sesamanya dengan hasutan-hasutannya". (Hadis Riwayat Ad Dailami daripada Umar r.a)

Nabi SAW bersabda maksudnya : ''Sesungguhnya, orang-orang yang suka menghasut tidak akan masuk syurga.'' (Hadis Riwayat Bukhari-Muslim).


Kata ustad.. Yakin lah hidup ini tempat menanam. Jadi lebihkanlah akhirat. Jangan lebihkan dunia. Umur 60 - 70 ini, umur untuk kita memanafaatkannya lebih untuk akhirat.

Teringat seorang sahabat saya sampaikan pesan ustad dari kuliah yang dihadirinya,  "katalah usia kita hanya tinggal 3 tahun sahaja lagi. Jika kita tahu masa kita dah tak banyak tentunya kita tak mahu habiskan masa dengan banyak tidur. Jangan habiskan masa setahun untuk tidur dari jumlah 3 tahun itu..  makanya, mari kita azam, cuba kurangkan masa tidur."

..Allahu🥹


Berbalik pada kuliah ustad...

Allah memasukkan orang mukmin ke dalam Syurga. Kita masuk Syurga atas rahmat Allah.

Seluruh amalan baik mereka diberi pahala. 

Firman Allah dalam Surah

Az-Zalzalah:7 - Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!

Nyawa akan melayang. Nak tak nak, Allah akan ambil nyawa. Jika di kubur senang, episod seterusnya inshaaAllah akan senang.

Dekatkan diri pada Allah. Lebihkan lah kepada akhirat.

Perbanyakkan amal soleh dan jauhi segala larangan-Nya agar dapat menikmati nikmat di alam barzakh sebelum menuju ke Syurga. Aamiin..


Tujuh Perintah Nabi SAW

 Bismillahirrahmanirrahim.

(Sedutan pengisian Kuliah Maghrib)

Daripada al-Bara’ RA, beliau berkata: Nabi SAW memerintahkan kami dengan tujuh perkara dan melarang kami dengan tujuh perkara yang lain. Baginda memerintahkan kami untuk mengiringi jenazah, menziarahi orang sakit, memenuhi undangan, menolong orang yang dizalimi, menunaikan sumpah, membalas salam dan bertashmit untuk orang yang bersin. Baginda pula melarang kami daripada menggunakan bekas perak, cincin emas, sutera, memakai Dibaj (sejenis kain sutera tebal dan mewah), Qassi (sejenis kain yang diperbuat daripada campuran sutera dan linen), dan Istabraq (kain sutera tebal yang berkilauan).

Hadis: Muttafaq ‘alayh. Riwayat al-Bukhari (1239) dan Muslim (2066).


Rasulullah SAW menyuruh kita:

(1) menziarahi orang sakit

Riwayat menyebut :

Maksudnya :” Sesiapa yang menziarahi orang yang sakit, maka dia akan sentiasa berada di jalan syurga sehinggalah dia pulang (daripada menziarahi orang tersbeut).”

Riwayat Muslim (4658)


Lihatlah bagaimana Nabi SAW menggalakkan umatnya untuk menziarahi orang yang sakit. Inilah antara cara untuk mengeratkan hubungan sesama manusia khususnya sesama muslim.

Dalam riwayat al-Tirmidzi (no. 969) pula, sesiapa yang menziarahi pesakit pada waktu pagi akan didoakan oleh 70,000 malaikat sehingga petang, dan jika dia menziarahi pada waktu petang, dia didoakan sehingga pagi.


Kalau ada kesempatan ziarah orang sakit, jangan lepaskan peluang tersebut.

Ada adab nya ziarah orang sakit:

1)Tidak memanjangkan masa (duduk lama²) bersama orang sakit. Kecuali ada hajat cth: orang  yang sakit itu memang mahu duduk lama dengan nya.

2)antara perkara yang disunatkan ialah bertanya khabar.  Kalau sama jantina, letakkan tangan di atas tangannya sambil bertanya kabar.

3)mengucapkan kata² yang positif..kata² yang meringankan beban sakitnya cth: inshaaAllah penyakit ini akan sembuh dengan izin Allah.

Jangan ucapkan kata² yang dia akan sedih bila dengar..cth: kamu ni saya tengok macam dah tak lama ni...🥹


Ke 2) mengiringi jenazah

Pahalanya sangat besar

Daripada Abu Hurairah R.A, katanya bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Barang siapa yang menghadiri solat jenazah sehingga ia disolatkan keatasnya, maka baginya satu qirat. Barang siapa yang mengiringi jenazah sehingga ia dikebumikan, maka baginya dua qirat. Ditanya kepada Baginda SAW: “Apakah yang dimaksudkan dengan dua qirat. Baginda SAW menjawab: “Seperti dua gunung yang besar.”

Riwayat al-Bukhari (1325)

Mereka yang mendirikan solat jenazah hingga proses pengebumiannya dan langsung tidak meninggalkannya (sehinggalah selesai), baginya ganjaran atau pahala setara dengan dua qirat. Satu qirat setara dengan gunung yang besar dan dalam riwayat yang lain, ia diumpamakan sebagai sebuah gunung Uhud. 

Kata ustad, kita ini kalau tiada apa² urusan lain, pergilah, iring jenazah dan ikut ke tanah perkuburan kerana ianya akan dapat ingatkan kita akan kematian, ingatkan akan hari akhirat dan memotivasikan diri kita insan yang lemah ini. Kita akan melihat orang yang selama ini ada pangkat, ada nama dan kuasa, semuanya itu sudah tiada nilai lagi.

Kata ustad lagi, orang yang rasa penat dengan dunia, rasa kecewa dengan masalah hidup, boleh lah pergi ke tanah perkuburan. InshaaAllah ia mampu memberi makna.


Perkara yang:

Ke 3) menjawab salam

Menjawab salam boleh jadi ianya wajib, sunat dan harus.

Kata ustad, yang waktu wajibnya ialah:

Orang yang memberi salam orang yang sejenis dengan kita. Maksudnya, yang lelaki jika lelaki yang beri salam, wajib jawab salam. Jika dia lelaki, yang perempuan bagi salam dia tak wajib jawab .kalau dia nak jawab juga boleh, hukumnya harus.

Orang yang bagi salam orang yang mukallaf, gila, kanak² belum baligh tidak wajib jawab.

Juga tidak wajib dijawab bila salam itu tak tuju khusus buat kita, ia salam secara umum. Cth: macam orang yang masuk ke dalam suatu dewan, bagi salam.  Ia menjadi fardhu kifayah ke atas mereka untuk menjawabnya. Apabila seorang daripada mereka sudah menjawab salam maka ia sudah memadai bagi yang lain dan jika kesemuanya tidak menjawab maka kesemuanya berdosa. Namun, jika kesemuanya menjawab salam maka ia adalah di tahap yang paling sempurna dan baik.

Sesungguhnya, menyebarkan salam ini, ia sangat dituntut.

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Mereka tidak akan masuk syurga sehingga mereka beriman dan tidak beriman mereka itu sehingga mereka berkasih sayang. Adakah kalian mahu aku tunjukkan sesuatu yang mana apabila kalian mengerjakannya nescaya kalian akan saling menyayangi sesama kalian? Sebarkanlah salam sesama kalian”. [Riwayat Muslim, no. Hadith 81]

Ada dulu tulis pasal sebarkan salam di SINI


Ke 4)

Mendoakan orang yang memuji Allah bila dia bersin.

Kalau dia bersin, dia kata alhamdulillah..kita pun doakan Yarhamkumullah.

Hadis daripada Abu Hurairah RA sabda Nabi SAW:

Maksudnya: Apabila salah seorang daripada kamu bersin, maka hendaklah ia menyebut Alhamdulillah. Dan menjawab bagi saudara atau sahabatnya yarhamkallah. Maka apabila seseorang menyebut kepadanya (orang yang bersin) Yarhamkallah maka hendaklah menyebut Yahdikumullah wa Yuslih baalakum.

Riwayat al-Bukhari (6224)


Ke 5)

Melunaskan sumpah

Bila sesorang itu bersumpah, hendaklah dia lunaskan sumpah tersebut.


Ke 6)

Membantu orang² yang dizalimi

Jika kita lihat orang² islam yang dizalimi, kita digalakkan membantu dia keluar dari masalah itu.


Ke 7)

Memenuhi undangan; Kalau kita dijemput untuk satu² kenduri @ al walimah(yakni apa² kenduri)

Memenuhi apa² walimah adalah sunat(kenduri akikah, masuk rumah baru, dan seumpamanya) kecuali kenduri kahwin. 

Kenduri Kahwin menjadi wajib mengikut syarat² tertentu.

[Syarat pertama]: Adakah tuanrumah menjemput secara khusus ataupun bukan. Samada(call direct)atau dia hantar wakil untuk jemput kita secara khusus). Jika dia menjemput secara khusus ketara dia suka kita datang ke kendurinya.

Jika ada yang jemput dengan hantar kad digital dalam group wasap, ia tak wajib di hadiri.  Ia hanyalah undangan secara umum.

[Syarat ke 2]: adakah kenduri itu hanya dijemput orang² kaya sahaja? Maka seandainya kita dijemput untuk orang kaya sahaja maksudnya orang yang tertentu sahaja, maka tak wajib kita hadiri.

[Syarat ke 3]:Adakah walimah itu ada perkara maksiat? Jika ada, maka tidak wajib hadir sebab ada kemungkaran/maksiat dalam majlis.


Kalau cukup 3 syarat itu, tapi masih tak dapat hadir juga (kalau ada keuzuran), maka kita kena maaf kepada orang yang menjemput.

Kalau sedang berpuasa, wajib hadir..kerana wajib memenuhi undangan bukan wajib makan.


Wallahu a'lam.


Nilai Hidup Perlu Ilmu

 


Semoga mudah-mudahan dikasihi oleh Allah Taala.

Moga terus istiqamah dalam melakukan perkara² yang diredhai Allah.  Dan semoga terhindar dari perkara yang dimurkai Allah.


Sabda Nabi Muhammad S.A.W:

Maksudnya: “Sungguh kalian akan mengikuti jalan orang-orang sebelum kalian sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta sampai jika orang-orang yang kalian ikuti itu masuk ke lubang dhob (yang sempit sekalipun), pasti kalian pun akan mengikutinya.” Kami (para sahabat) berkata, “Wahai Rasulullah, apakah yang di-ikuti itu adalah Yahudi dan Nashrani?” Beliau menjawab, “Lantas siapa lagi?”

Riwayat Muslim (2669)


Imam al-Nawawi rm ketika mensyarahkan hadis tersebut, menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan syibr (sejengkal) dan dziro’ (sehasta) serta lubang dhob adalah permisalan terhadap tingkah laku kaum muslimin yang begitu serupa dengan tingkah Yahudi dan Nasrani dari segi mengikuti mereka dalam hal kemaksiatan begitu juga perkara-perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam. [Lihat: Syarh Muslim ‘ala al-Nawawi; 2/219].


Ikut perintah Allah dan Rasulnya inshaaAllah akan mendapat nikmat kebahagiaan dunia dan akhirat. Jika sebaliknya, hanya akan cinta dunia sampai lupa akhirat.


Firman Allah dalam Surah

Az-Zalzalah:7 - Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!

Az-Zalzalah:8 - Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!


Hakikatnya, nilai kehidupan ini perlu kepada ilmu pengetahuan. Supaya kita dapat membezakan;

▪︎Ilmu yang mana baik yang mana  buruk.

▪︎Yang mana satu yang Allah redho yang mana satu yang Allah murka.


Ingat setiap apa yang kita buat, kita nak Allah pandang ianya sebagai suatu ibadah di disisi-Nya...aamiin


Redha Dengan Ketentuan Allah


Doa ketika hujan turun....

Allahumma soyyiban nafia'

Hujan turun lebat takkala ustad mula menyampaikan kuliah maghrib. Alhamdulillah tak berapa lama kemudian, hujan pun reda dan kami dapat mendengar  dengan jelas suara ustad selepas itu..syukur ya Allah..

................................

Ustad sampaikan kuliah, sambung point ke 36 Benteng Neraka, Laluan Syurga iaitu~Redha dengan qadha Allah~ 

Kena redho dengan ketentuan Allah Taala. Nabi SAW di-uji dengan kematian anak baginda SAW, Ibrahim.  Dengan meninggalnya Ibrahim, Abd Rahman bin Auf RA hairan tengok Nabi SAW menangis hingga basah janggut baginda SAW. Redho itu, menerima ketentuan Allah tapi bersedih ini adalah fitrah manusia. Menangis dan bersedih kerana kehilangan orang tersayang bukanlah tanda lemah iman atau tidak reda dengan takdir, melainkan tanda sifat kasih sayang (rahmat) yang ada di dalam hati.


Orang yang diberi ujian yang besar ialah para nabi. Di-uji dengan isteri yang menentang dakwah, diuji dengan anak yang melakukan dosa besar., diuji dengan kematian anak. 

Hadis Nabi SAW yang menceritakan tentang ujian hidup: "Sesungguhnya besarnya pahala itu bergantung pada besarnya ujian. Dan sesungguhnya Allah SWT jika mengasihi sesuatu kaum, Dia akan menguji mereka. Sesiapa yang redha, maka baginya keredhaan (Allah) dan sesiapa yang marah (tidak redha), maka baginya kemurkaan (Allah)." (Hadis Riwayat Al-Tirmizi)


Hadis Nabi SAW yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A, bahawa Baginda SAW bersabda:

Yang maksudnya: “Dan sesungguhnya apabila Allah mencintai sebuah kaum nescaya Dia akan memberikan ujian kepada mereka. Maka barangsiapa yang redha (dengan ketetapan Allah), maka Allah akan redha kepadanya. Dan barangsiapa yang tidak redha, maka Allah pun tidak akan redha kepadanya.” Riwayat al-Tirmizi (2320) dan Ibnu Majah (4021)


Kata ustad... Jelas, besar sesuatu ganjaran pahala itu bergantung kepada besarnya ujian yang di terima. Nak dapat pahala besar, mesti terima ujian yang besar. Sesungguh nya bila Allah kasih kepada sesuatu kaum, Allah akan turunkan bala kepada kaum itu. Siapa yang redho dengan ujian Allah, maka dia akan mendapat keredhoan Allah. Siapa yang marah, merungut, maka dia akan dapat kemurkaan Allah. ALLAHU

Bila dapat musibah, sebut lah innalillahi wa inna ilaihirojiun.  Ini kita, kalau selipar hilang masa keluar dari masjid, terus marah dan mengucapkan kata² yang tak elok pada si fulan yang mengambil selipar kita.

Redha ini satu benda yang besar. Bukan main². Bolehkah kita redha bila diuji dengan ujian yang Allah bagi? 


Diriwayat daripada Suhaib Bin Sinan al-Rumi bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Amat menakjubkan urusan orang yang beriman kerana setiap urusannya adalah baik, dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada orang beriman. Jika dia mendapat sesuatu yang menyenangkan dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Dan jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.” Riwayat Muslim (7692)

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah:45 - Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk;


Ujian ini, untuk kita lebih dekat dengan Allah. Allah datangkan ujian agar kita cari Allah, mengadu pada-Nya.

Sebelum diuji, banyakkanlah berbuat amalan soleh.

Ada riwayat yang mengatakan, • Khalid bin Ma'dan: Seorang tabiin senior yang meneladani para sahabat RA. Beliau bertasbih sebanyak 40.000 kali setiap hari di luar bacaan Al-Qur'an. Ketika beliau wafat dan dimandikan, jari-jarinya dilaporkan masih bergerak seperti sedang bertasbih. Subhanallah..

Kita bangunlah solat di tengah malam, lakukan solat tahajjud, solat taubat, solat istkharah, solat hajat dan  solat witir. 

Ada banyak ujian. Sabar lah. Bila redho dan sabar, balasannya syurga. Ingat bahawa, semua akan kembali kepada -Nya.


Ada hadis qudsi yang menyebut :

"Sesungguhnya Allah berfirman: 'Apabila Aku menguji hamba-Ku dengan kedua matanya (menjadi buta), lalu dia bersabar, maka Aku akan menggantikan keduanya untuknya dengan syurga." (HR. Bukhari no. 5653)


Kata ustad lagi.... 

Bila dapat musibah, ujian, bukan bermakna kehidupan kita gagal tapi ia adalah jalan untuk kita lebih dekat dengan Allah.

Tiada ada yang kita punya. Semua Allah Taala punya. Allah bila² masa boleh ambil balik apa yang Allah pinjamkan. Semua kita akan kembali kepada Allah.


Sabda Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan dalam Sahih Bukhari dan Muslim:

"Tidaklah seorang muslim tertimpa suatu penyakit dan sejenisnya, melainkan Allah akan menggugurkan bersamanya dosa-dosanya seperti pohon yang menggugurkan daun-daunnya." (HR. Bukhari dan Muslim)


Walau kita di-uji, kena sabar dan ucap alhamdulillah.

Redha, terima, berlapang dada...

Walaupun kita diuji, biar kita dalam keadaan sentiasa ingat pada Allah.

Kalau penat, berehat

Kalau marah, diam

Kalau sedih, berdoa

Kalau buntu, solat

Kalau gagal, usaha lagi sampai berjaya

Kalau ragu, kena tawakkal..


Wallahu a'lam.


Belajar Melepaskan Dunia

Alhamdulillah bilamana masih lagi Allah panjangkan umur, masih diberi sihat, masih diberi lapang dapat datang lagi menjadi tetamu Allah. Bukan semua orang terpilih menjadi tetamu Allah. Bila Allah pilih, ia bukan satu kebetulan. Semua atas izin Allah. Semua atas kudrat dan iradat Allah. 

...............................

Selepas mati, semua benda ghaib ~

Alam barzakh

Mizan

Syurga  

Neraka

Semua benda ghaib.

Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah:3 - Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.


Ustad sambung baca kitab: Malam pertama di Alam Barzakh.

Kita bermusafir... sebab bumi ini sifatnya sementara.

Jalan yang kita lalui begitu panjang. Banyak halangan dan ujian.

Dalam kubur kalau beroleh nikmat, alhamdulillah . Sampailah masa nanti kita akan dibangkitkan pada hari akhirat. Banyakkan amalan untuk bekal ke akhirat. 

Permulaan menuju akhirat itu, kubur. Masuk kubur itu, dinding. Barzakh itu dinding. Nak balik ke dunia dah tak dapat, nak ke akhirat belum lagi.

Dan akhirat itu lebih baik dan kekal bagi orang yang bertaqwa. Harta dan kehidupan di dunia hanya sementara. Ianya palsu belaka.

Allah berfirman dalam Surah

Al-'An`ām:32 - Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan: dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?


Orang yang tahap iman dia tinggi, dia nak mati. Hakikat kehidupan ini sementara. Kalau hidup kita tak ikut undang² Allah, ia adalah hidup yang tercela.

Kita nanti akan dihadapkan di hadapan Allah. Semua yang kita ada, akan di tanya.

Kita akan dipanggil. Akan ditunjuk dosa. Akan dikira dosa dan pahala.


Ustad pesan, wasap lah anak² suruh pergi ke masjid, solat berjemaah dan kalau ada kuliah, dengar lah. Dengar majlis ilmu, supaya mampu keluar dari jahil, perkara yang tak tahu inshaaAllah akan jadi tahu. Ambil peluang belajar selagi nyawa dikandung badan.


Kenal ilmu, maka  ia akan mengenalimu. Siapa kenal dirinya, dia akan kenal Allah. Dia kaya, tapi dia tak rasa dia kaya sebab dia kenal Allah ~ Yang Maha Kaya Raya : Ya Ghoni. 

Siapa kenal dirinya, dia tak akan rasa diri hebat, tak rasa diri tu pandai. Kalau rasa 'aku tak ada dosa maka yang sebenarnya akulah orang yang paling banyak dosa, paling banyak salah..' Bila begitu, baru kita 'sedar diri' kita datang menumpang bumi Allah dan akan balik kepada Allah. Di akhirat, satu persatu Allah akan tanya. Semua tak akan terlepas. Akan banyak soalannya. 

Allah berfirman dalam Surah:

Az-Zalzalah:6 - Pada hari itu manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing) - untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amal-amal mereka.

Az-Zalzalah:7 - Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!

Az-Zalzalah:8 - Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!


Maka, kita mohonlah pada Allah, mintak perhitungan yang mudah..InshaaAllah..Aamiinn

Amalan kita dah la tak banyak.

Jangan sampai kita tertipu dengan kehidupan dunia.

Belajar melepaskan dunia. Jangan terlalu mengejar dunia, takut nanti melepas akhirat. 


Mengakhiri kuliah, kata ustad.. 

Kita ikhtiar dan usaha.

Tapi ikhtiar dan usaha kita tak beri bekas melainkan dengan izin Allah. Setelah berusaha, kita berdoa dan bertawakkal pada Allah. Berharap dan berserah hanya pada Allah.

Bersangka baik dengan Allah. Ya Allah, bantu hamba....

آمين يا رب العالمين


Nota:** terkenang Kuliah Maghrib ~ Dunia Akan Berakhir(di SINI)🥹


Salam Maulidurrasul


Sedutan perkongsian kuliah maghrib..


intro ustad~

Alhamdulillah Allah rezekikan kita dapat solat fardhu Maghrib berjemaah seterusnya dapat duduk dalam majlis ilmu. 

Moga Allah balas dengan ganjaran yang besar.

Moga Allah sampaikan cita² tertinggi kita iaitu Syurga yang kita impikan.

Moga Allah redho dengan kebaikan yang kita lakukan di atas dunia.. Aamiinn

...................................

Berlalu sudah bulan Safar. Kita sekarang berada di bulan Rabiul Awal iaitu bulan yang dipilih oleh Allah di mana lahirnya susuk peribadi yang mulia yang menerangi kehidupan kita semua iaitu Nabi Muhammad SAW. Jadi kita sambut Maulud Nabi pada 10 Rabiul Awal. Salam Maulidurrasul. Maulud Nabi SAW, bila kita sambut, inshaaAllah ia dapat menjadi cetusan buat kita untuk lebih bersemangat berselawat ke atas Nabi SAW serta mengikut sunnah baginda SAW. Pergiatkan usaha kita membaca sirah Nabi SAW agar nanti kita jadi lebih kenal dan lebih cinta terhadap Rasulullah SAW. 


Mari kita perbanyakkanlah berselawat ke atas Nabi SAW. 

Rasulullah SAW berkata, barangsiapa yg berselawat kepadaku dengan 1 selawat maka ✔️Allah akan berselawat kepadanya 10 kali.

Daripada Abdullah bin ‘Amr RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: “Sesungguhnya barangsiapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat, maka Allah SWT akan berselawat ke atasnya dengan sepuluh selawat.” [Riwayat Muslim (384)]


✔️Nabi SAW kata lagi, Allah hapuskan/padamkan baginya 10 kesalahan.

Sebagaimana hadith Anas bin Malik R.A, daripada Nabi SAW, sabdanya:

Maksudnya: Siapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat, nescaya Allah akan berselawat ke atasnya dengan 10 selawat dan Allah hapuskan daripadanya 10 kesalahan.”

Riwayat al-Nasa’ie (1297), Ahmad (11998) dan al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (643). Hadis ini hasan.


✔️Dan di angkat baginya 10 darjat.

Daripada Malik bin Aus bin al-Hadathan, katanya:  

yang bermaksud:  Sesungguhnya Nabi SAW keluar untuk menunaikan hajatnya, dan baginda tidak melihat sesiapa yang mengikutinya. Lalu, Umar keluar dengan membawa sebekas air atau sejenis bekas untuk bersuci dan mengikuti baginda. Umar menemui baginda dalam keadaan sedang sujud di dalam sebuah lorong kecil. Maka, Umar berundur dan duduk di belakang baginda sehingga Nabi SAW mengangkat kepalanya.

Baginda pun bersabda: "Engkau telah melakukan sesuatu yang baik, wahai Umar, apabila engkau mendapati aku sedang sujud lalu engkau menjauh dariku. Sesungguhnya Jibril telah datang kepadaku dan berkata: ‘Sesiapa yang berselawat ke atasmu sekali, Allah akan berselawat ke atasnya sebanyak sepuluh kali dan mengangkatnya sepuluh darjat.’"

Riwayat al-Nasa’ie (1297), al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (882) dan al-Bazzar (6250). Hadis ini hasan.

######

"Selawat ini benda yang paling mudah kita boleh buat...tuan², perbanyakkanlah selawat", kata ustad.

Cth selawat:

#Selawat mubin

#Selawat tafrijiyah (ada di SINI)

#Selawat yang biasa kita ucap...

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ


Hadis muslim 408 hadis sahih.

Daripada Abu Hurairah ra, Rasululullah SAW bersabda;

“Sesiapa yang bersalawat ke atasku dengan satu salawat, Allah akan bersalawat (memberi rahmat) ke atasnya dengan sepuluh salawat.”


Kita juga boleh selitkan selawat dalam berdoa. Dengan berselawat, inshaaAllah

Allah akan padamkan rasa gelisah atau tidak tenteram. Dan Allah akan padamkan dosa dan tinggikan darjat kita..aamiinn.


Firman Allah dalam surah

Al-'Aĥzāb:56 - Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.


Mudah-mudahan kita jadi orang yang sentiasa berselawat ke atas Nabi SAW.

Pada siapa kita kasih, pada siapa kita cinta? "Check diri kita", kata ustad. Jika kita kasih atau begitu taksub pada pemain bola cthnya, hingga semua nama² pemain bola kita ingat, maka tidak lain kita akan berkumpul bersama mereka di Masyhar nanti.. Nauzubillah

Mudah mudahan Allah kumpulkan kita dengan Nabi Muhammad SAW... InshaaAllah..Aamiinn


Sombong Sifat Tercela


Alhamdulillah masih diberi usia. Usia yang diberi moga ada manfaat.. untuk kita mengabdikan diri kepada Allah. 

"Jangan kita rasa kita panjang usia atas sebab musabab...cth: sebab kita banyak minum air kosong, sebab makan ubat itu, makan ubat ini. Bukan sebab itu tuan²", kata ustad.

Orang yang beriman dan orang yang berilmu di-angkat darjat oleh Allah SWT.

Iman yang sempurna pada Allah ialah bilamana seseorang muslim itu melaksanakan perintah Allah dan menjauhi laranganNya.

- Kita kena berusaha tingkatkan iman.


Bersyukur pada Allah jika kita ada minat untuk duduk dalam majlis ilmu. Menuntut ilmu itu menjadi kewajipan bagi setiap orang. Jangan tinggalkan tuntutan fardhu ain untuk kita belajar.

i)Ilmu feqah; cth untuk ajar kita cara nak solat, puasa dsb

Bab sembahyang  ada rukun di mana rukun itu yang menjadi hakikat pada sesuatu perkara.

Solat- ada rukun qalbi, rukun qauli (dengar di telinga) dan rukun fi'li(melibatkan perbuatan).


ii)Ilmu Tauhid - Mengenali Allah SWT, sifat-sifat-Nya, dan perkara berkaitan rukun iman agar akidah sentiasa terpelihara.


iii)Ilmu Tasawwuf - ilmu membetulkan hati, nak buang sifat mazmumah, nak suburkan sifat mahmudah dalam diri, nak lembutkan hati. Nak ubat hati♡


Tempohari kita bicara pasal penyakit rohani iaitu hasad.

Malam ni, penyakit rohani - sombong.

Penyakit sombong ni berat.

Hadis yang di-riwayatkan oleh Abdullah bin Mas'ud RA, di mana Nabi SAW bersabda:"Tidak akan masuk syurga seseorang yang di dalam hatinya terdapat sifat sombong sebesar zarah." (HR Muslim)


Jika buat perbuatan keji kena bertaubat.


Sombong adalah satu sifat yang tercela. Sombong meremehkan kelebihan orang lain. Ia menolak kebenaran dan ia menghina/meremehkan orang lain.

 3 kategori sifat sombong:

1. Sombong terhadap Allah

2. Sombong terhadap Nabi

3. Sombong terhadap sesama manusia. 


1) sombong kepada Allah. Dia sombong untuk melakukan amal. 

Cth: apabila diperintahkan sujud pada Adam, iblis tak mahu.

Cth: manusia apabila diperintahkan solat, tak mahu solat; dia sombong dalam ibadah.


2)Sombong terhadap Nabi SAW: Sikap enggan menerima sunnah serta menentang ajaran.


3)Sombong terhadap sesama manusia: Perasaan ego, memandang diri sendiri lebih mulia (dari sudut harta, kedudukan, atau ilmu) dan menghina orang lain. 


Makanya... penting untuk kita duduk dalam majlis ilmu dan mendapat kefahaman agama. inshaaAllah dapat memperbaiki diri agar amalan menjadi lebih baik.


Rasulullah SAW menegaskan kepentingan ilmu sebagai asas sebelum seseorang itu buat ibadah:

Maksudnya: “Menuntut ilmu itu adalah satu kewajipan ke atas setiap Muslim (lelaki dan perempuan).” (Riwayat Ibn Majah)


Apabila kita melangkah ke masjid demi menghilangkan kejahilan, maka langkah itu bukan lagi sekadar sunat tapi ianya dah jadi satu tuntutan yang wajib untuk kita. 


Wallahua'lam.

Hati Yang Bersyukur

 Bismillahirrahmanirrahim

..sedutan kuliah maghrib


Firman Allah dalam surah, 

Adh-Dhāriyāt:56 - Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.

Kita dengan Allah, status kita adalah hamba. Maka seorang hamba harus lakukan ketaatan sebab takutkan Allah. Ini tahap ibadat seorang hamba.


Kenapa kita beribadah? 

1)Kerana ikut perintah Allah.

Wajibkan diri jadi orang alim. Dikatakan rosaknya ibadah orang alim ini disebabkan orang jahil. Makanya kita kena alim, kena ada ilmu untuk ibadah. 

Cth: orang cuit nak tegur/bersalam semasa dengar khutbah jumaat, wajib buat tak tahu.

Dari Abu Hurairah RA berkata, Nabi SAW bersabda: “Jika kamu berkata kepada sahabatmu pada hari Jumaat: DIAM dan ketika itu imam sedang berkhutbah, maka sesungguhnya kamu telah lagha (melakukan perkara yang sia-sia)”. [Riwayat al-Bukhari (934)]

2)kita ibadah nak dapat pahala

3)untuk nak dapat Syurga Allah.

4)untuk nak dapat kasih sayang Allah atau nak dapat redha Allah.

Dalam alquran, kasih sayang Allah sebut (Rahman sebanyak 75x, Rahim sebanyak 95x)

5)tahap paling tinggi adalah dia ibadah seolah Allah sedang perhatikan dia. Ini tahap ehsan.

6)ibadah kerana bersyukur ke hadrat Allah. Nak jadi orang bersyukur, kena kenal nikmat. Apa saja yang mendatangkan kesedapan kepada seorang insan, itulah nikmat yang kena di-syukuri.

#Allah sayang pada hambaNya. 

#Allah boleh memaafkan semua kesalahan hambaNya.

#Allah boleh melupakan kesalahan hambaNya

#Allah boleh menyayangi hambaNya.


Orang yang bertaqwa ini, siapa yang berkehendak akannya, dia boleh dapat. Tak kira siapa dia. Tak semestinya taqwa ini bagi pada tok imam, tak semestinya bagi pada ustad. 

Cth: seorg hambaAllah bernama pakDin mencari taqwa, nak dapat redho Allah dengan bayar bil api masjit bertahun²,,( pakdin minta dirahsiakan agar tiada jemaah yang tau)


Jadi orang yang hatinya sentiasa bersyukur. Nak jadi orang bersyukur, kenali nikmat. nikmat yang perlu disyukuri...

1)nikmat asasiyah - udara, rezeki dsb

2)nikmat  qabliyah (yang perlu disyukuri)- isteri, kereta, anak, harta

3) nikmat aqliyah - nikmat Allah beri aqal. Aqal allah beri untuk dapat bezakan yang mana baik yang mana buruk.( nikmat yang perlu disyukuri)

4)nikmat badaniyah - nikmat kesihatan.

5)nikmat imaniah - nikmat keimanan


Alhamdulillah, syukur dengan segala nikmat yang Allah pinjamkan. Semoga Allah beri peluang untuk kita dapat terus mengecapi segala nikmat ini, pada usia yang masih berbaki. Dan moga Allah kurniakan kita pengakhiran yang husnul khotimah.. aamiin


Cari ilmu untuk dapat beramal dengan lebih baik, niatkan semata² kerana Allah Taala.

Nabi s.a.w bersabda: Daripada Abu Hurairah; Sabda Rasulullah S.A.W.: “Sesiapa yang mempelajari sesuatu ilmu yang dengannya dicari redha Allah Azza wa Jalla, tetapi dia tidak mempelajarinya kecuali untuk mendapatkan habuan dunia, maka dia tidak akan mendapat bau syurga pada hari kiamat”. (Riwayat Abu Daud, Ibn Majah dll. Hadis sahih)

..........................

Dari Muaz bin Jabbal r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Mana-mana hamba yang membuat amalan kebajikan untuk kemasyhuran dan untuk menunjuk-nunjuk, maka Allah Ta’ala akan memasyhurkan perkara ini di hadapan semua makhluk di Hari Kiamat nanti, (bahawa orang ini mengerjakan amalan kebajikan untuk menunjuk yang kerananya dia mendapat kehinaan). (HR Tabrani, Majma uz Zawaid)


Wallahua'lam.

Amal Kena Ada Ilmu


Hari ini dah 24 Muharram 1448H. 

Teringat catatan nota dari majlis ilmu di awal² bulan hari tu, belum dikongsi. Sebelum bulan Muharram ini berakhir, nak share  sedikit kefahaman ilmu dari ustad dalam slot kuliah maghrib .

........................

Syukur alhamdulillah kita berada pada waktu yang mulia, pada malam yang baik.

Di sebut sebagai awal tahun. Maka kita sebagai orang islam umat Nabi Muhammad SAW mesti selalu rasa bangga diberikan umur, diberi tahun yang baru, diberi peluang untuk perbaharui azam kita; untuk jadi hamba yang baik, yang soleh, yang dibersihkan dari sifat mazmumah, yang dijadikan sifat pergantungannya hanya semata² kepada Allah Taala.

Dengan keberkatan pada malam ini, kita sama2 lah perbaharui iktikad dan iman kita dengan memperbaharui syahadah. Ucap lah

أَشْهَدُ أَنْ لا إلهَ إِلَّا اللهُ وَ أَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَّسُوْلُ اللَّهِ

Asyhadu an laa ilaaha illallaah wa asyhadu anna Muhammadan Rasulullaah.


Dan minta pada Allah agar mudah-mudahan amal baik kita menjadi bertambah baik, bertambah ikhlas. InshaaAllah..aamiin

........................

Kita semua ini tidak ada daya, sekuat mana pun kita berharap untuk jadi orang yang hebat di di-sisi Allah Taala. Semua berlaku hanya dengan izin Allah.

Seseorang itu, bila setiap kali beribadat dia rasa seronok, setiapkali sujud dia rasa diri sangat hina dan dia begitu mengharapkan keampunan Allah. Ini nafsu yang tenang. 

Bila kita kenal, baru kita tahu di mana duduk nafsu jahat kita. Untuk kita nak dapatkan nafsu yang tenang, kena perangi nafsu yang jahat.  


Cara nak didik nafsu:

#-Putuskan segala ikatan yang terkait dengan nafsu; kurangkan makan walaupun makanan itu halal.

Jika berlebihan ia merosakkan ibadah kita.

Maka makan dari air tangan orang soleh. Itu adalah obat untuk batin, obat untuk hati. Apa sahaja yang berkait dengan orang soleh, itu penawar.

Kurangkan makan dari yang bukan dari orang soleh. Rosak nya/sakit selalunya berpunca dari perut.


#-Putuskan ikatan dari banyak tidur.

Kurangkan tidur. 

Kalau banyak tidur banyak sudah kita habiskan umur kita dengan yang tidak bermanafaat. Orang yang nak dapatkan darjat yang tinggi di sisi Allah, tidak habiskan masa dengan tidur.

Bila masa kita nak ibadah, kalau banyak tidur? Orang² soleh tidur hanya 3 jam - 4 jam..walhal kebanyakan umurnya panjang. Sedangkan kita... Kita kata kita nak selamat dalam kubur tapi kita tidurnya banyak... 


#-Putuskan ikatan dengan banyak bercakap. Banyak bercakap akan jadi banyak salah - bila banyak salah akan banyak dosa - bila banyak dosa, maka hanya akan ke neraka. Orang yang banyak berzikir akan kurang bercakap.

Kalau rasa tak bermanafaat percakapaan kita, tutup mulut, tak payah bercakap.

Bercakaplah dengan perkataan yang baik. Kalau tak boleh bercakap yang baik, diam itu lebih baik(menahan diri)


#-Putuskan ikatan dengan banyak bergurau.

Kita yang belum ada jaminan pengakhirannya, belum tentu masuk syurga. Maka jangan rasa begitu seronok dengan banyak bergurau.

Itu cara untuk perangi hawa nafsu.

.......................................

Kena ada ilmu.

Apa saja amal mesti kena ada ilmu. Penting ilmu ni. Penuhkan masa kita dengan hadir majlis² ilmu. Kita ini kalau boleh, berusahalah. Siapa pun asatizah yang sampaikan ilmu, ambil lah. Jangan memilih.

Ilmu dapat menyelamatkan. Untuk kekal melawan nafsu, mesti mujahadah. Mesti bersungguh² melawan hawa nafsu. Bersungguh² cari ilmu. Bersungguh² kenal Allah.

Manafaatkan ilmu yang kita belajar untuk kenal nafsu kita. Orang yang kenal dirinya maka akan kenal tuhannya. 

Orang yang suka mengumpat, kena bersabar pada maksiat yang dia buat, cuba kawal diri. Sabar dalam menahan diri lakukan maksiat.

Kita ini keinginan banyak, maka nafsu pun besar. Cth nak pakai kereta baru, nak rumah besar dan selesa.

Maka tahan.. sabar.. dan cuba jadikan diri kita ni kuat beribadah kepada Allah. Awal tahun ini( yakni awal Muharram), cuba lakukan amal yang baik. Cth rajin berpuasa.

Tuntut ilmu, usaha duduk dalam majlis ilmu. 

Dan kuatkanlah kesabaran. Jadilah orang yang bersabar. Kuatkan pertahanan kita pertahankan agama. Niat agar dapat beramal sampai bila². Setiap perjuangan kita mestilah dengan taqwa. Yakni, tak lawan perintah Allah. Kalau tiada taqwa, sia². Bersabar dalam melakukan ketaatan. Kalau kita sabar, Allah akan bimbing kita.

Orang yang diberikan yakin dan sabar maka dia tiada masalah bangun malam dan puasa. Jika ada yakin dan sabar, maka urusan ibadah baginya akan jadi mudah. InshaaAllah..aamiinn


Wallahua'lam.


Mohon Keampunan Allah


Bismillahirrahmanirrahim

(Sedutan Kuliah Maghrib)


Barangsiapa mentaati Rasul, dia mentaati Allah SWT.

An-Nisā':80 - Sesiapa yang taat kepada Rasulullah, maka sesungguhnya ia telah taat kepada Allah; dan sesiapa yang berpaling ingkar, maka (janganlah engkau berdukacita wahai Muhammad), kerana Kami tidak mengutusmu untuk menjadi pengawal (yang memelihara mereka dari melakukan kesalahan).


Kehidupan kita berada di atas paksi ibadah kepada Allah Taala.

Mohon keampunan dari Allah. Sebagaimana di sebut dalam Surah;

'Āli `Imrān:135 - Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).

Kita pun tuan²..basahi lah lidah dengan sentiasa beristighfar.  Jangan dosa² menjadi kebiasaan/dinormalisasikan.

Apa² kesalahan yang kita lakukan, segera mohon  keampunan dari Allah dengan beristighfar.

Sesiapa yang lakukan kejahatan/ menganiayai diri( cth: buat satu dosa pada Allah seperti gunakan mulut untuk sakitkan hati orang yang mana ia mengundang dosa, mengundang kemurkaan Allah), maka segera lah mohon keampunan dari Allah,  nescaya Allah mendatangi hamba-Nya.

'Āli `Imrān:136 - Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka, dan Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal.

An-Naşr:3 - Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat.

............................

Orang² memohon keampunan pada tengah malam di saat orang lain tidur. Ajaib waktu tengah malam kerana ia waktu yang mustajab kita mohon Allah ampunkan dosa² kita. Kita ambik wuduk di kesejukan malam, kemudian solat 2 rakaat..kemudian mohon keampunan. Hanya kita dengan Allah, tidak ada orang nampak. InshaaAllah moga² Allah akan kabulkan doa.

Adh-Dhāriyāt:17 - Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja: masa dari waktu malam, untuk mereka tidur.

Adh-Dhāriyāt:18 - Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun).

.................

Orang² alim itu, mereka tidak meninggalkan solat malam. Walaupun ibadah itu sunat, mereka mewajibkan ke atas diri mereka untuk melakukannya.

Perbanyakkan lah beristighfar. Cari masa kita untuk bangun qiamullail di malam hari.


Wallahu a'lam.

Adab Makan

 

Alhamdulillah dapat hadir, solat berjemaah serta manfaatkan masa duduk dalam majlis ilmu.

Moga² dalam kesempatan masa yang ada antara Maghrib dan Isyak ini, dapat memperbaiki akhlak kita semua dengan akhlak yang lebih baik. Dan dapat jauh kan kita dari sifat mazmumah yakni sifat² tercela. Kita juga niat iktikaf berada di dalam masjid. Kita manfaatkan masa mengambil peringatan² InshaaAllah.

.....................................

Ustad sambung bicara bab Adab makan, mengundang dan menghormati tetamu.

Urusan makan ini kalau ikutkan ia merupakan sebahagian dari urusan agama.

Cth:

#Bagaimana makan yang betul.

#Sebelum makan macamana.

#Makan ikut sunnah Rasulullah SAW; dsb


Rasulullah SAW bersabda:

“Wahai manusia, sebarkanlah salam, berilah makan, sambunglah silaturahim, dan solatlah pada waktu malam ketika manusia sedang tidur, nescaya kamu akan memasuki syurga dengan selamat.” (Hadis Riwayat Tirmizi, No. 2485)

Jamu orang makan ini yakni memberi makanan kepada orang lain.

Abdullah bin 'Amr -raḍiyallahu 'anhuma- meriwayatkan, "Seorang lelaki bertanya kepada Nabi SAW, 'Amalan apa yang terbaik dalam Islam?' Beliau menjawab, 'Memberi makanan dan mengucapkan salam kepada orang yang kau kenal dan belum kau kenal.'"[Hadis Sahih] [Muttafaq 'alaih]


Menjamu orang makan cth: dengan:

~membuat kenduri atau rumah terbuka untuk meraikan tetamu, 

~bersedekah makanan kepada fakir miskin, anak yatim, dan golongan yang memerlukan 

~menaja juadah berbuka puasa bagi orang yang sedang berpuasa sunat atau fardu 

~menjamu jiran tetangga atau rakan taulan.


Adab orang yang mahu memulakan makan, ia mesti-lah

~Makanan yang halal

~Sumber yang halal.


Allah beri garis panduan:

Yang haram itu nyata

Yang halal itu nyata


Cara perolehinya juga kenalah dari sumber yang halal. Sumber yang haram, maka berdosa lah.

Firman Allah dalam surah Al-Mu'minūn:51 - Wahai Rasul-rasul, makanlah dari benda-benda yang baik lagi halal dan kerjakanlah amal-amal soleh; sesungguhnya Aku Maha Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.

Gunakan tenaga kita untuk kita solat, mengabdikan diri kepada Allah Taala.

Wallahua'lam.


#nota: dulu ada tulis pasal Adab² Makan di SINI

........................................

Menyebut tentang merai'kan tetamu, alhamdulillah rumah kami menerima kunjungan akak ipar sekeluarga dari kampung. Datang at-hoc tak bagitau awal², makanya hidang apa yang ada je lah.. cendol homemade yang best (susah tu nak cari kat kedai)😁😆 Alhamdulillah masih dalam suasana raya💫





Mencari Yang Halal


Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah mudah-mudahan kita semua dirahmati Allah SWT.. aamiin

Kita rafakkan syukur ke hadrat Allah Taala, dapat tunaikan solat fardhu Maghrib berjemaah dan seterusnya bersama² berada di dalam majlis ilmu...🤲🤲

...................................

Sempena hari ni berada di bulan zulhijjah, firman Allah dalam surah; 

Al-Fajr:2 - Dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah);


Allah bersumpah dengannya nak menunjukkan kemuliaan 10 hari pertama Zulhijjah.


Hadis daripada Ibnu Abbas R.A, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

Maksudnya : "Tiada hari-hari yang amalan soleh yang paling disukai oleh Allah untuk dilakukan melainkan hari-hari ini-baginda memaksudkan: 10 hari terawal Zulhijjah-."Para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya?"Baginda bersabda,"Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya, melainkan seorang  lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali."

Riwayat al-Bukhari (969),Abu Daud (2438),Ibn Majah (1727),al-Tirmizi (757)


Diriwayatkan daripada Ibnu Umar RA, daripda Nabi SAW, Baginda bersabda, 

Maksudnya: " Tiada hari-hari yang lebih agung dan disukai oleh Allah untuk beramal soleh selain 10 hari ini. Maka, perbanyakanlah tahlil,takbir, dan tahmid pada-Nya.

Riwayat Imam Ahmad (6154)


Maka, mari kita manfaatkan hari-hari yang penuh keberkatan ini antaranya dengan:

  • Berzikir dan Bertakbir: Perbanyakkan lafaz Tahmid (Alhamdulillah), Tahlil (La ilaha illallah), dan Takbir (Allahu Akbar) di mana sahaja.
  • Membaca al-Quran
  • Selawat ke atas Nabi SAW
  • Berpuasa Sunat:Digalakkan berpuasa dari 1 hingga 9 Zulhijjah.

Jika tidak mampu, cuba berpuasa pada hari Isnin dan Khamis.

Jangan kita lepaskan peluang untuk berpuasa sunat pada Hari Arafah (9 Zulhijjah).

Kelebihan Puasa Hari Arafah , puasa pada hari tersebut sangat istimewa kerana ia dijanjikan penghapusan dosa untuk setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.

......................................

Ustad sambung kitab hadis 40 Imam Nawawi perihal:

Sumber makanan yang halal dan syarat² penerimaan Allah Taala.


Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah S.A.W bersabda:

Yang maksudnya: Sesungguhnya Allah itu Maha Baik dan Dia tidak menerima melainkan sesuatu yang baik sahaja.

Riwayat Muslim (1015)


Agar amalan kita diterima Allah, hendaklah kita menjaga:

  • Perbuatan yang baik 

Kesemuanya yang baik² dan jaga hati agar tidak termasuk rasa riak dan ujub. Biar buat amalan semata² kerana Allah.  Rasa riak menjadikan amalan kita sia² dan tidak diterima Allah. 


  • Perkataan yang baik

Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 83

.....; dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik;.......


Yang baik² ini termasuk semua perkara. 

Hendaklah menjaga perkara² berikut:

# Memastikan makanan, minuman, dan sumber pendapatan adalah halal, kerana ia mempengaruhi penerimaan doa dan ibadah serta keberkatan rezeki.

Cth:

Makan nasi tu baik. Namun sumber beli beras itu pastikan dari sumber yang halal.


# mesti mempunyai aqidah yang baik. Akidah yang sahih yakni pegangan akidah yang mantap dan bersih daripada sebarang bentuk syirik.

Bukan ada aqidah yang tidak baik..cth manusia yang percaya pada tahyul, percaya pada jampi serapah bomoh, perkara khurafat dsb.

Firman Allah di dalam (Surah al-Kahfi : 110)

Maksudnya :” Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya".


# Kita kena bersih. Jauhi sifat tercela/sifat mazmumah. Mengelak penyakit hati seperti hasad dengki, takbur, cinta dunia, cinta pangkat serta panjang angan² yang boleh merosakkan pahala.


Jauhi makanan yang haram dan syubhah. Elakkan makan dari kedai makanan non-muslim, makan makanan dari orang yang tak solat dan yang tak tutup aurat.


Untuk menjaga hati dan iman kita, antaranya mesti;

i) sentiasa hadir di majlis ilmu. 

ii)pilih kawan² kita, pastikan circle kita orang² yang soleh. 

iii)Sentiasa berdoa mohon Allah jaga kita dari perkara yang tak baik.


Moga Allah bagi kekuatan untuk kita beramal...Aamiin


Tawakkal kepada Allah

Bismillahirrahmanirrahim.

Segala nya dicipta oleh Allah. Segala kebijaksanaan datang dari Allah. Dia-lah yang Maha Kuat, Maha Kaya, Maha Perkasa.. Allah semua nya. Manusia tidak memiliki apa². Allah yang memberi sedikit kebijaksanaan kepada kita.

Dunia ini manis sebentar sahaja. Manis selama²nya hanya di Syurga Allah.

Untuk nak dapat manis itu , salah satunya tawakal kepada Allah.


Firman Allah Surah Al-'Ankabut, ayat 58-59:

Al-`Ankabūt:58 - Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, Kami akan tempatkan mereka dalam mahligai-mahligai di Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya. Demikianlah balasan yang sebaik-baiknya bagi orang-orang yang beramal soleh 

Al-`Ankabūt:59 - (Iaitu) mereka yang sabar, dan mereka pula berserah diri bulat-bulat kepada Tuhannya.

..........................

Nak masuk ke Syurga ini, semuanya atas rahmat Allah. Dan nak dapat rahmat ini, kena jadi orang beriman dan beramal soleh.

Nak lakukan amal soleh ini sampai bila? Sampai mati.

Sedekah sampai bila? Sampai mati.

Nak bangun solat malam sampai bila? Sampai mati. Orang yang nak-kan syurga Allah ini kena sabar.

Sampai mati itu, berapa lama lagi? Kalau takdir mati umur 60, umur sekarang pun dah 50. Lama mana lagi tu tinggal? Dah tak lama mana. Jadi gunakan umur yang sedikit itu dengan sebaik-baiknya. Dan hidup dalam kubur pula berapa lama? Hidup di Mahsyar berapa lama? Hidup di neraka pula berapa lama?

Allahu Akbar😭


Sedangkan kita sekarang ni duk mendengar dalam kuliah pun, boleh lena...huuu

🙂‍↔️🙂‍↔️🙂‍↔️

Allah suruh kita sabar dalam beramal soleh dan sabar tika ditimpa ujian. Itulah dunia. Sementara sahaja. Di akhirat bahagia selamanya. Di akhirat derita selamanya. 

Beramal ini tak lama dah lagi.

Orang beriman nak kena sabar. 

Tiap hari solat, tiap hari sedekah, tiap hari baca quran. ....

Dan jangan buat perkara yang mungkar. 

Dan selebihnya bertawakal pada Allah.


Atas dunia ini, hendaknya mereka yang benar² bertawakal pada Allah, berserah diri. Cth: Rujuk kisah nabi ibrahim dari palestin bawa anak nya Nabi Ismail dan isterinya Siti Hajar. Nabi Ibrahim berserah diri kepada Allah tinggalkan anak dan isterinya di bumi yang tandus kerana laksanakan perintah Allah.

Berserah diri kepada Allah dalam keadaan susah.  Tawakkal Nabi Ibrahim kepada Allah. Siti hajar berlari2 mencari air, jumpa air zam2 yang tak kering2 sampai hari ini. Tawakkal Siti Hajar kepada Allah. Wallahu a'lam.


Kita ini jika hidup bergantung kepada pendapatan kita..gaji 5 ribu tak cukup, gaji 13 ribu pun tak cukup. Sebab apa? Sebab kita bergantung kepada pendapatan kita bukan bergantung kepada Allah.


Kita bergantung lah kepada Allah.

Kita buat apa yang Allah suruh

Kita tinggal yang Allah larang.

Kita usaha. 

Kita sabar.

Kita bertawakal kepada Allah.

Hati bergantung kepada Allah bukan pada sebab musabab.


Allah berfirman dalam surah:

'Ibrāhīm:12 - "Dan mengapa pula kami tidak berserah diri kepada Allah padahal Ia telah menunjukkan jalan untuk tiap-tiap seorang dari kami menjalaninya? Dan demi sesungguhnya, kami akan bersabar terhadap segala perbuatan kamu menyakiti kami. Dan dengan yang demikian, maka kepada Allah jualah hendaknya berserah diri orang-orang yang mahu berserah".


Kesan dari tawakal cth: rujuk kisah tawakal ibu Nabi Musa yang bilamana Nabi Musa diletak di dalam bakul dan dihanyutkan ke dalam sungai...bakul terus hanyut sampai ke tangan Firaun. Allah Maha Kaya..semua perkara terkandung hikmah.


Antara sebab kepincangan seseorang hamba ialah sebab tiada hidayah dan tiada tawakal kepada Allah.

Sepanjang hidup ini, kita hendaklah sentiasa bergantung kepada Allah.. Tapi kita ini ada masanya masih ragu², masih berharap pada manusia, masih berharap pada makhluk. 

Rezeki kita.. bergantung lah kepada Allah sahaja. Serah 100% kepada Allah Taala. Seluruh bumi nak perdaya, kalau Allah tak izin, tak akan jadi.


Daripada Anas bin Malik RA secara marfu’ (disandarkan kepada Nabi SAW): 70 ribu dalam kalangan umatku akan masuk syurga tanpa hisab. Mereka bertanya: "Siapakah mereka?,” Baginda menjawab: ‘Mereka adalah orang yang tidak berubat menggunakan besi panas, tidak menjampi dan tidak meminta untuk dijampi, tidak mempercayai sial dan mereka hanya bertawakal kepada Tuhan mereka'.

[Riwayat al-Mukhlis dalam al-'Asir Min Hadisihi. Lihat Silsilah al-Da'ifah, no. 3690]


Ada 70ribu yang masuk syurga tanpa hisab, tanpa siksa.

Kata ustad... Boleh kah kita termasuk dalam golongan masuk syurga tanpa hisab ni? 

Sedangkan kita ini...sembahyang lambat, masih duk sibuk mengata orang.. Allahu...Astaghfirullah hal azim.


Orang beriman kena selalu bersabar.

Jangan menyukutukan Allah. Tetapkan iman. Tiada tuhan selain Allah. Tidak sesekali percaya kepada azimat, jampi mentera, pelbagai kurafat, dsb.


Wallahu a'lam.



Sabar Dalam Taat

 


Sedutan pengisian kuliah maghrib...


Imam al-Haddad menyebutkan, "Ketahuilah, sesungguhnya permulaan jalan menuju Allah adalah sabar dan akhirnya adalah syukur".

Permulaan jalan menuju kepada Allah, jalan nak taubat, jalan nak istiqamah tidak boleh tidak; kena ada kesabaran.

Cth: Di dalam menuntut ilmu, nak bangun malam, baca quran,berzikir dan melakukan ketaatan lainnya.


Namun dalam berbuat taat mungkin masih boleh bersabar, tapi manusia mungkin tak sabar dalam meninggalkan maksiat. Cth:susah nak tinggal mengumpat, susah nak tinggal mengata orang dsb.


Dan juga sabar dalam menerima ketentuan takdir.

Ada orang nak buat ibadah namun dia sakit, dia tak mampu namun digagahi juga. Orang yang dalam susah payah tapi tetap buat ibadat, sangat luar biasa. Ada sahabat Nabi SAW iaitu Tsauban bin Bajdad (Thauban RA), yang sangat istiqamah solat berjemaah meskipun rumahnya  terletak jauh 3 - 4km daripada Masjid Nabawi, dianggarkan mengambil masa berjalan kaki selama 3 jam untuk ke masjid tapi dapat datang sebelum azan dilaungkan, balik pula dia yang paling lambat keluar dari masjid. Allahu Akbar.

 

Oleh itu dalam buat apa jua amalan, mestilah di-awali dengan sifat sabar

Cth: dalam nak berguru ada guru yang begitu begini, terkadang susah untuk serasi dengan guru yang mengajar. Jadi kena sabar. 

Dan akhir sekali mesti diikuti dgn sifat syukur.


Dalam menuntut ilmu, Iman Shafie rahimullah dalam syairnya pernah berkata.." Siapa yang tak terima kepahitan dalam menuntut ilmu, dia menelan hinanya kebodohan sepanjang hidupnya."


Orang yang dapat hasil dari belajar, alhamdulillah♡

Orang yang berhasil dapat ilmu dari menuntut ilmu..., alhamdulillah♡


Kita kena kenal nafsu kita. Sabar, kita kena ada untuk dapat nikmat di akhirat.


Yang tidak kenal pada nafsu dia, dia akan memberontak. Cth rasa marah bila panjang sangat majlis ilmu, rasa marah bila imam baca surah panjang dalam solat. Seorang hamba kena pasrah dan redho sahaja. Sebab kita hamba kepada Tuhan bukan kepada tuan.


Tidak ada nafsu yang menyuruh kepada kebaikan. Cth: nafsu suruh buat ibadah namun dalam masa yang sama tinggalkan menuntut ilmu. Kita tertipu dengan nafsu bilamana cth: kita bersungguh solat sunat di ruang solat masjid walhal saat itu sedang berlangsung kuliah Maghrib/majlis ilmu. 


Antara jenis nafsu:

#Nafsu Lauwamah~ Menyesal bila buat dosa dan rasa tak tenang bila buat maksiat. 

Sentiasa merasa menyesal bila tinggalkan kebaikan.


#Nafsu Ammaroh ~ yang tak merasa apa² bila buat maksiat. Tak rasa bersalah. 

Cth: Bila tengok orang tak tutup aurat dalam tv atau bila tengok maksiat di depan mata, jika kita tak rasa apa²..maka kena check diri kita.

Biar ada rasa benci tengok maksiat.


Bila nak buat ibadah mintak pada Allah..

"Ya Allah kurniakanlah kelazatan buatku ketika solat berjemaah ini, 

ya Allah kurniakanlah kelazatan ketika aku baca quran ini, 

ya Allah kurniakanlah kelazatan ketika aku duduk dalam majlis ilmu ini."


Dikatakan, Wali² Allah kalau sekali tertinggal solat malam, esoknya dia akan qadho solat taubat sebanyak 70 kali..Wallahu a'lam.


# Nafsu Mutmainnah ~ Orang yang mencapainya mempunyai keimanan yang teguh, sentiasa berbaik sangka dengan Allah, dan redha terhadap ujian serta ketentuan-Nya.

Orang yang dapat maqam nafsu mutmainnah, akan merasai nikmat dalam beribadah. 

Bila dia berzikir, dia rasa seronok dan rasa tenang.


Orang yang nak dapat nafsu mutmainnah(jiwa tenang), dia kena:

~bersabar dalam buat taat

~bersabar tinggal maksiat

~bersabar dalam hadapi ketentuan takdir.


Sabar diperlukan untuk kita istiqamah dalam melakukan ketaatan, menahan diri dari maksiat, dan bersabar atas ujian/musibah.


Untuk dapat nafsu Mutmainnah (jiwa tenang), kena bermujahadah:

~Putuskan ikatan yang terkait dengan nafsu;

1)jangan banyak makan - banyakkan berlapar walaupun ianya halal

2)kurangkan tidur. Tidur pada waktu yang perlu. 

3) jangan banyak bercakap

Kadang tu lebih pada bergosip je pun bila bercakap. Sebaliknya cuba selitkan dakwah. Bila banyak cakap akan terkait banyak salah, bila banyak salah maka banyak dosa, bila banyak dosa membawa kepada neraka.

4) jangan banyak bergurau


~putuskan ikatan dengan yang buat kita terikat dengan dunia cth: terlalu sibuk dengan harta, dengan pekerjaan, dengan keluarga dll sehingga lalai serta lupa melakukan amal soleh cth: tak rajin berzikir, malas ngaji quran, malas buat solat sunat dsb.


~ mencari yang halal.

Mencari rezeki dan memenuhi keperluan melalui jalan halal adalah ketaatan kepada Allah dan membentuk hati yang bersih. Pastikan sumber pendapatan adalah halal. 


Kenal Allah, jangan rasa diri hebat.

Moga Allah pilih kita, untuk sentiasa kenal Allah.


Hari Kiamat Hari Penyesalan


Alhamdulillah Allah Taala masih rezekikan kita hadir di rumah Allah pada  26Syawal.

Malam pertama di alam kubur - kitab ini bagi mengingati mati supaya kita sedar kita antara orang yang sedang menunggu giliran.

Kena sentiasa mengaji(belajar) untuk lebih tahu dan mendapat kefahaman.. Contoh: Ngaji feqah untuk  memahami rukun, syarat sah, hukum-hakam syariat yang wajib dilaksanakan, terutama fardhu ain seperti bersuci dan solat.   

Ngaji tasawuf pula untuk pendinding diri agar kita berakhlak mulia dalam usaha mendekatkan diri kepada Allah. Ia dapat menjaga anggota badan agar terhindar dari sifat tercela. Hati bersih dari sifat mazmumah(hasad, sombong, riyak dsb) lalu dihiasi dengan sifat mahmudah(ikhlas, sabar, syukur, merasa cukup dsb)

............................

Malam pertama di alam kubur. Kata penulis dlm kitab ini, 

Wahai pemilik kematian(orang yang mati), mengapa kau cari benda² yang fana(yang akan binasa) untuk meraih kesenangan yang sedikit? 

Jangan disebabkan masih sibuk bekerja, menjadi alasan kita tidak dapat berjemaah di masjid. Jangan atas sebab kesesakan lalu-lintas, menjadi alasan kita tak sempat untuk hadir ke rumah Allah solat berjemaah dan duduk dalam majlis ilmu.

"Bersyukurlah jika kita terpilih untuk jadi tetamu Allah malam ini tuan-tuan...", kata ustad. Moga istiqamah dan mintak pada Allah agar dapat kekal terpilih untuk datang ke rumah Allah. Syurga itu Allah jadikan bertingkat². Perbanyakkan amal soleh untuk meraih redha Allah. Beramal sebelum tibanya kiamat. Amalan hanya di dunia. Hari kiamat hari pembalasan, juga namanya hari penyesalan. Jangan nanti hanya mampu menyesal.

Kata ustad, tentunya banyak benda yang kita sembunyikan semasa usia muda( kita manusia biasa yang ada nafsu, serba kekurangan). Alhamdulillah jika sekarang, kita sedar dan suka pada benda² yang berpahala dan kita tak suka pada benda² yang datangkan dosa.

Lahaulawalaquwata illabillah.

Allah tak akan tangguhkan kematian, dan Allah Maha Mengetahui apa yang engkau kerjakan.

Surah Al-Munāfiqūn:11 - Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya; dan Allah Amat Mendalam PengetahuanNya mengenai segala yang kamu kerjakan.

Banyakkan buat amalan² agar ianya dapat menampung kekurangan² kita di Mizan nanti. Moga nanti kita termasuk dalam golongan yang mendapat kenikmatan di alam barzakh yang digambarkan sebagai taman syurga.. Aaminnn

Semoga Allah kabulkan segala hajat² dan Allah menerima amalan kita.. Aamiin


Umur Meningkat, Usia Berkurang

Alhamdulillah dua hari lepas keluar sekeluarga merai'kan besday en suami. 

HAPPY BIRTHDAY suamiku..moga usiamu diberkati Allah dan di penghujungnya nanti beroleh husnul khotimah InshaaAllah.. Aamiin Aamin ya Robbal Alamin🤲

Anak² menantu dan cucu² selebret besday papatok di Elmina Lake Mall. Anak yang sulung sekeluarga ada hal tak dapat join, makanya tak cukup corum cucu kami petang tu..hahaha.. Fateh, Uwais dan Yaqzan tak jumpa geng eh🤭 Aisyah, Aryan dan Aariz tak available.. huuuu 


Selepas makan², nampak seronok cucu² berlari² dan menikmati suasana indah dek mall tersebut jenis open air di dalam taman dan bersebelahan tasik yang menenangkan. Thank you all.. Jazakallah.





Semalam pula saya rai'kan en suami dengan buat menu Nasi Kerabu untuk lunch n dinner kami berdua⚘️⚘️⚘️.. dan special request dari besday boy minta buat Ikan Percik wat tambah² lauk Nasi Kerabu🫶 En suami suka, nampak makan dengan berselera dan dua tiga kali sebut kata sedap.. Ouh🫡... Alhamdulillah. Resepi Nasi Kerabu di SINI🪻


..........................

Dan pagi ini semasa mengemas² laci terjumpa cebisan nota (yang saya catat dari kuliah online rasa²nya). Jadi tulis di sini sebagai warkah bermuhasabah diri, moga dapat sedikit sebanyak menjentik hati kita² semua yang kadangkala tidur...🙂‍↔️🙂‍↔️🙂‍↔️


Rajin² kita:

(1)Bersedekah

Kita akan menyesal jika tak rajin bersedekah kerana dikhuatiri ajal menjemput sebelum dapat bersedekah.

Firman Allah dalam surah al-Munafiqun ayat 10

- Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: " Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku - ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh ".


(2)Baca al-Quran

Firman Allah dalam Surah al-A'raf ayat 204

- Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.


(3) Berselawat ke atas Nabi SAW

Firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 56

- Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.

.........................


Setiap apa yang kita perbuat di dunia ini akan mendapat balasannya di akhirat nanti. Maka sama² kita cuba koreksi diri, memperbaiki amalan kita agar nanti perbuatan dan perkataan baik kita dapat mengatasi kekurangan yang ada InshaaAllah.

Firman Allah dalam surah Az-Zalzalah ayat 7 

- Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!


Selalu lah kita mensyukuri yang sedikit. Dikatakan...siapa yang tidak bersyukur dengan yang sedikit nescaya dia tidak akan bersyukur pada yang banyak.

Wallahu a'lam.




Tazkirah 28 Ramadan 1447H

Alhamdulillah dapat berhimpun solat berjemaah.

Mungkin malam ini malam ke 2/ke 3 terakhir Ramadhan. 

Bagaimana ibadah kita sepanjang Ramadan hingga ke malam ini? Adakah kita berjaya improve bacaan quran kita atau adakah masih ditakuk lama? Solat kita adakah lebih baik? Dosa² kita, adakah makin kurang kita berbuat dosa?

Adakah nanti bila kita keluar dari Ramadan kita dalam keadaan tidak mendapat pengampunan dari Allah Taala? Allahu, nauzubillah..

"Mari kita muhasabah diri, tuan-tuan", kata ustad takkala selesai membariskan soalan² tersebut .

Ustad membacakan satu hadis Nabi SAW;

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW:

Maksudnya: Ketika Nabi SAW menaiki mimbar, Baginda SAW bersabda: “Amin, Amin , Amin (sebanyak 3 kali)”. Baginda SAW ditanya: “Wahai Rasulullah, apabila engkau menaiki mimbar, engkau telah berkata amin, amin , amin”. Maka Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Jibril AS telah datang kepadaku, lalu dia (Jibril) berkata: Barangsiapa yang bertemu dengan bulan Ramadhan tetapi tidak diampunkan baginya maka dia akan dimasukkan ke dalam neraka serta dijauhkan (daripada rahmat) oleh Allah SWT. Katakanlah (wahai Muhammad): Amin. Maka aku katakan: Amin”.  [Riwayat Ibn Hibban, no. Hadith 907]

Mari kita semak kedudukan ibadah dan amalan kita🙂‍↔️🙂‍↔️Kita cuba semampunya perbaiki kekurangan sementara masih ada kesempatan. Kita usaha, yang selebihnya berserah pada Allah Taala.

Kita tak tau adakah sempat tak lagi bertemu dengan Ramadan selepas ini. Wallahua'lam. Moga Ramadan kali ini menjadi titik perubahan untuk kita menjadi hamba-Nya yang lebih baik. Moga Allah ampunkan segala dosa² kita. Moga diterima amalan.🤲  Aamiinn




Tazkirah 27 Ramadan 1447H


Orang yang bertaqwa sentiasa memelihara diri dari bercakap yang sia², mencaci maki, mencerca dsb.

Sabda Rasulullah SAW, maksudnya: "orang yang beriman itu bukanlah sifatnya memaki hamun,melaknat,berkata kotor dan juga berbahasa yang keji". ( Riwayat Al-Tirmizi 1977 )

Sesungguhnya Allah tidak suka pada orang yang melampaui batas.

Bercakaplah  yang baik, jika tak dapat bercakap yang baik, lebih baik diam . 

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya: “Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam.” [Riwayat al-Bukhari (6018)]

Orang yang berpuasa hendaklah menjaga mulut. Tidak bercakap yang tak sepatutnya yang boleh menyakiti hati orang lain. 

Juga jaga mata, telinga dan hati kita. Jaga pandangan, elak dari melihat perkara yang haram, sia-sia atau maksiat. Pilih untuk tidak mendengar fitnah, umpatan, atau perkara yang boleh rosakkan pahala puasa. Sucikan hati dari perasaan marah, dengki, riak, dan prasangka buruk.

Moga Allah sentiasa ilhamkan kita. Moga menjadi insan bertaqwa...

Aamiinnn



Blog Archive

KURSUS HAJI 2023 ~ bimbingan: Ustad Hj Md Roslan Muhammad Jaafar

Minggu 1

Pergi Haji

Minggu ke 9

Minggu ke 12

Panggilan ke Tanah Suci bukan soal cepat atau lambat, tetapi rahsia ALLAH yang hadir tepat pada waktunya... إن شاء الله

Umrah♡