Sup Tulang Rusuk Tiga Rasa


Nama Sup ini saya dapat semasa kami pergi kenduri di rumah salah-seorang jiran.  Saya tanya kenapa tiga rasa?  Sambil tersenyum tuan rumah pun mula bukak cerita. Nama Sup Tiga Rasa tu beliau dapat dari satu warung sup tersohor yang begitu sedap rasa supnya.  Pakcik yang jadi tuan warung tu kata 3 rasa tu adalah sempena kombinasi resepi dari 3 negara.. saya lupa lah pulak nama2 negara yang disebut beliau.. he heh

Sup yang kami makan di rumah beliau tempohari teramat lah berperisa.  Memang secukup rasa, boleh bukak kedai... ha ha.. Nak tahu sama apa rahsianya?  Jom tengok camane...
  1. Mulakan kerja dengan kalimah Bismillahirramanirrahim
  2. Basuh tulang rusuk atau lain-lain bahagian tulang lembu dengan bersih.
  3. Rebus hingga empuk.
  4. Selepas empuk masukkan bahan-bahan:
  • sup bunjut (kalau tulang sekilo masukkan 2 sup bunjut)
  • rempah sup satu sudu besar (bancuh dengan sedikit air)
  • halia 3 inci diketuk
  • lengkuas 4 - 5 hiris
  • serai 2 batang diketuk
  • bawang besar merah 1 biji dipotong 4
  • bawang puteh 5 ulas diketuk
  • garam
  • sedikit cili padi ditumbuk(ikut kesesuaian rasa)
  • perahan asam limau nipis
  • bawang goreng

Semasa menghidang taburkan lagi bawang goreng untuk menyedapkan lagi rasa.  Tabur hirisan daun sup jika suka. 

Saya suka cuba-cuba resepi, jadi selepas dapat cara yang ini terus tak lepaskan peluang mencuba lebih2 lagi alhamdulillah en suami bawak balik banyak tulang lembu semasa hari raya kurban hari tu.  

Satu perkara yang jangan kita lupa ialah, iringi kerja-kerja memasak di dapur dengan zikrullah.  Semua orang masak sup, ada yang guna kaedah sama dengan kita pun tapi sup kita nanti InsyaAllah akan lebih berperisa dan sedap dimakan seisi keluarga bilamana kita memasaknya sambil mulut dan hati tak henti-henti berzikir mengingati Allah dan berselawat ke atas Rasulullah SAW...


Cara Rebus Perut Muda Lembu



Alhamdulillah, Raya kurban kali ni dapat perut muda.  Perut muda yang dimaksudkan ialah perut muda lembu.  Perut muda memang teramat lah sedapnya apalagi bila dimakan cicah2 dengan kuah dia.  Perut muda sedap dimakan panas-panas dengan nasi puteh.  Kalau lama dibiarkan terhidang maka lemak akan mengeras, dah tak sedap dimakan.   Jadi sebaiknya terus dimakan selepas dipanaskan.

Cara nak rebus perut muda ni senang je.  
  1. Kena basuh perut muda bersih2 dengan kapur makan.  
  2. Lepas tu direbus hingga empuk.  
  3. Hanya tambahkan sedikit garam buku. 
  4. Ambil air rebusan perut muda yang pekat untuk dijadikan kuahnya.  Campurkan dengan hirisan bawang besar, sedikit belacan, perahan air limau nipis dan hirisan cili padi.  Sedappp... alhamdulillah.

Amalan di 10 Awal Zulhijjah


Bismillahirrahmanirrahim 

Malam tadi sorang-sorang hantar anak ke kelas malam. En suami masih dalam perjalanan dari ofis. Lepas dah selamat turunkan anaknda depan sekolahnya, terus menghala ke masjid. Rupa-rupanya malam tadi ada majlis perasmian pengimarahan ibadah bersempena kedatangan 10 awal Zulhijjah. 

Nasihat khusus untuk diri sendiri, en suami, anak-anak serta saudara muslimin muslimat sekelian, disampaikan hari ini apa yang ustaz pesan semalam iaitu dengan tibanya tarikh 1 Zulhijjah yang ternyata menyajikan pelbagai kelebihan dan ganjaran pahala. Mungkin ramai yang tidak menyedari betapa besarnya kemuliaan beramal ibadat yang jika dilakukan pada 10 hari terawal di bulan Zulhijjah. 

Mengetahui hari-hari dan bulan yang dimuliakan oleh Allah SWT merupakan jalan untuk mencapai takwa kepada Allah. Beribadah dan mendekatkan diri pada Allah sememangnya merupakan tuntutan yang tidak bermusim. Namun ada tempat, waktu, hari dan bulan yang disebut mempunyai banyak kelebihan di mana adalah amat dituntut untuk kita tidak melepaskan peluang dari melakukan ketaatan sejajar dengan kemuliaan tempat, waktu, hari dan bulan tersebut di sisi Allah. Tempat yang mulia seperti Masjidil Haram, waktu yang mustajab seperti sepertiga malam yang akhir, hari yang banyak kelebihan seperti hari Arafah, malam yang semulia seribu bulan iaitu malam Lailatul Qadr dan bulan yang penuh rahmat dan pengampunan iaitu bulan Ramadhan. 

Dari Ibn Abbas ra bahawa Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya: "Tiada amal soleh yang dilakukan pada hari-hari tertentu yang paling disukai oleh Allah melebihi amal soleh pada hari-hari ini"(iaitu 10 hari di awal Zulhijjah). Para sahabat bertanya: "Ya Rasulullah! Ia melebihi (semua amalan) walaupun dibandingkan dengan berjihad pada jalan Allah?" Jawab Baginda SAW:: "Walaupun dengan amalan jihad pada jalan Allah, Kecuali orang yang keluar berjihad dengan nyawa dan hartanya, lalu dia tidak pulang dengan apa-apa(mati syahid dan hartanya habis).   (HR Abu Daud 2438) 

 Dari Jabir ra bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Maksudnya: "Tiada suatu hari yang lebih utama di sisi Allah melebihi hari-hari sepuluh(awal) Zulhijjah"   (HR Ibnu Hibban 3853)  

Peluang mendapat kemuliaan dan redha Allah SWT di 10 awal Zulhijjah:  
  • Bertaubat dan memperbanyakkan Istighfar. Bertaubat atas kesalahan dan keterlanjuran yang telah kita lakukan. Sekiranya kita tidak mampu memperbanyakkan istighfar setiap hari sepanjang masa, sekurang-kurangnya jangan kita tinggalkan mengucap Penghulu segala Istighfar.
Sesiapa yang mengucapkannya di siang hari dalam keadaan meyakininya kemudian dia mati pada hari itu sebelum petang hari, maka dia termasuk penduduk Syurga dan siapa yang mengucapkannya di waktu malam hari dalam keadaan meyakininya, kemudian dia mati sebelum subuh maka di termasuk penduduk Syurga." (HR Bukhari 6306) 

  • Memperbanyakkan amalan zikrullah seperti bertasbih, bertahmid, bertakbir, bertahlil dan berdoa. Tasbih yang paling disukai Allah SWT tersebut dalam hadis: Maksudnya: Dari Abu Dzar ra berkata: Rasulullah SAW pernah bertanya kepada saya" "Hai Abu Dzar, mahukah kamu aku khabarkan tentang ucapan yang sangat disukai Allah? Saya menjawab, "Ya, khabarkanlah kepada saya tentang ucapan yang disenangi Allah." Kemudian baginda bersabda: Sesungguhya ucapan yang paling disukai Allah: Subhanallah hiwabihamdih (Maha suci Allah dengan segala puji bagi-Nya)           (HR Muslim 4911)

Amalkan ucapan tahlil yang banyak ganjaran dan kelebihannya.  Daripada Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda:
Maksudnya:  "Barangsiapa yang mengucapkan
La ilaha illallah hu wahdahu la syarikalah lahul mulku walahul hamdu yuhyii wa yumiitu wa huwa ‘ala kulli syai’in qodiir’  (Tiada tuhan melainkan Allah semata dan tiada sekutu bagi-Nya, milik-Nya lah segala kerajaan dan pujian dan Dialah Maha menguasai atas segala sesuatu) sebanyak 100x dalam sehari, maka baginya mendapatkan pahala seperti membebaskan sepuluh orang hamba sahaya, ditetapkan baginya 100 hasanah(kebaikan) dan dijauhkan darinya 100 keburukan dan baginya perlindungan dari (godaan) syaitan pada hari itu hingga petang dan tidak ada orang yang lebih baik amalnya dari orang yang membaca doa ini kecuali seseorang yang mengamalkan lebih banyak dari itu."   (HR Bukhari 5924)      
  • Menjaga ibadah solat yang fardhu dengan berjamaah dan memperbanyakkan solat-solat sunat. 
Terngiang-ngiang kata-kata ustaz... "bantulah dirimu dengan memperbanyakkan sujud..."   
Solat merupakan perbuatan mendekatkan diri kepada Allah Taala.
Rasulullah SAW berpesan kepada Tsauban ra: Maksudnya: "Hendaklah kamu memperbanyakkan sujud(solat)kepada Allah, kerana tidaklah kamu bersujud kepada Allah dengan suatu sujud melainkan Allah akan mengangkatmu satu darjat dengannya, dan menghapuskan dosa darimu dengannya" (HR Muslim 753) 
  • Berpuasa. Rebutlah peluang yang ada dengan memperbanyakkan berpuasa pada 1 hingga 9 Zulhijjah kerana ibadah puasa merupakan ibadah yang boleh menjauhkan seseorang dari api neraka.  Berpuasa khususnya puasa sunnah ‘Arafah:
    Dari Abu Qatadah ra berkata, Rasulullah SAW ditanya tentang puasa hari ‘Arafah? Rasulullah SAW menjawab, ”Menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.” (HR Muslim)
  • Membaca al-Quran. Ustaz menyarankan agar kita istiqamah membaca al-quran setiap hari. Sekurang-kurangnya bacalah al-quran 50 ayat setiap hari. 
  • Melakukan ibadah Korban. Korban merupakan ibadah yang sangat dituntut ke atas setiap mukallaf yang berkemampuan melakukannya. 
  • Bersedekah. Bersedekahlah setiap hari. Sedekah adalah amalan yang menghampirkan kita kepada Alah, menjauhkan seseorang dari murka Allah dan InsyaAllah mendapat husnul khatimah. 
Daripada Anas bin Malik ra telah berkata, Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya: "Sesungguhnya sedekah itu menjauhkan murka Allah dan menjauhkan seseorang dari meninggal dalam keadaan yang buruk (su'ul khatimah). (HR Tirmidzi 600) 

Daripada 'Adiy bin Hatim ra berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya: "Hindarilah kalian dari neraka sekalipun dengan (bersedekah) sebiji kurma". (HR Bukhari 1328) 
  • Qiamullail. Hidupkanlah malam dengan amal ibadah seperti solat, membaca al-quran, zikrullah, Istighfar dan doa. Qiamullail merupakan jalan mendapatkan kemuliaan. 
Daripada Bilal ra bahawa Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya: "Hendaklah kamu melaksanakan qiamullail. Sesungguhnya ia adalah amalan para salihin sebelum kamu, sesungguhnya qiamullail itu alat mendekatkan diri kepada Allah, pencegah dari dosa, penghapus bagi kejahatan dan penolak penyakit dari jasad." (HR Tirmidzi) 

Di akhir tazkirah, ustaz ulang berpesan agar kita sama-sama menjadikan 10 awal Zulhijjah ini sebagai titik tolak untuk kita cuba melipat-gandakan usaha dalam melakukan amal-amal soleh. Mudah-mudahan tergerak hati kita, mudah-mudahan jadi bersemangat kita untuk bangun berqiamullail. Isikan masa kita dengan zikir. Pesan ustaz, jika kita tidak mampu untuk memperbanyakkan amalan taat pada hari-hari yang mulia di sisi Allah ini, maka janganlah pula kita sampai tergamak melakukan perkara-perkara maksiat yang mengundang murka Allah. Sedar dan malulah kita pada Allah yang sentiasa memerhatikan kita. Ustaz syorkan agar kita membuat jadual atau personal check-list untuk tujuan menyemak amalan masing-masing. Bermuhasabah diri, perbaiki dan tingkatkan amalan dari sehari ke sehari. Moga lebih bermotivasi kita semua
menghayati 10 Awal Zulhijjah... amiinn

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...