Dua Kalimah Yang Ringan Pada Lisan


Bismillahirrahmanirrahim

Sedutan pengisian tazkirah malam tadi...


Sesiapa yang ada masa dengan Allah, maka Allah akan ada masa dengannya.  Kesenangan hakiki adalah akhirat.  Allah mengetahui lintasan hati kita.  Detik hati pun Allah boleh tahu, apalagi perlakuan dan tingkahlaku kita.  Maka marilah kita perbanyakkan usaha memburu redha Allah.  Ustaz mengajak kita untuk sering2 mengucapkan dua kalimah yang ringan di lisan namun begitu memberatkan timbangan di akhirat nanti.  Dua kalimah tersebut ialah Subhanallah wa bihamdih dan Subhanallahil 'azhim.  

Dari Abu Hurairah r.a katanya: "Rasulullah SAW bersabda:
"Ada dua kalimah yang ringan pada lisan - yakni mudah diucapkan, tetapi berat sekali dalam timbangan - di akhirat, dicintai oleh Allah Maha Pengasih, iaitu Subhanallah wa bihamdih dan Subhanallahhil 'azhim."
Artinya: Maha Suci Allah dan dengan mengucapkan puji-pujian padaNya dan Maha Suci Allah yang Maha Agung.   (Muttafaq 'alaih)

Ustaz selitkan perihal Abu Hurairah r.a yang merupakan salah-seorang sahabat baginda SAW yang banyak meriwayatkan hadis Rasulullah SAW.  Beliau seorang yang tidak tahu menulis namun begitu mempunyai daya ingatan yang kuat.  Beliau menggunakan sepertiga dari masanya di waktu malam untuk mengingat hadis yang didengar dari Nabi SAW di siang hari.  Diriwayatkan bahawa beliau seorang yang sering berisitghfar dan banyak memperuntukkan masanya dengan bertasbih kepada Allah, di mana ucapan tasbihnya dikatakan berjumlah tidak kurang dari 12,000 tasbih setiap hari... Subhanallah.

Maka, marilah kita sama2 lipatgandakan usaha.  Penghujung kita semakin dekat.  Apa yang dah berlalu begitu banyak namun apa yang ada di hadapan kita hakikatnya semakin sedikit. Usia kita semakin berkurang. Dunia hanya persinggahan sementara, sedangkan kehidupan akhirat itulah yang infiniti. Disebut bahawa, "...di dalam Syurga itu nikmatnya tak pernah mata melihat, tak pernah telinga terdengar, tak pernah hati terlintas..." Jadi kenapa kita tak nak buat apa yang seharusnya kita buat...

Kita sebagai hambaAllah, haruslah ada tanda kita ini sebagai seorang hamba iaitu:
  1. cinta pada Allah
  2. takut pada Allah
  3. harap pada Allah
Tambahi doa kita... "Ya Allah, rezekikanlah aku agar airmataku jatuh kerana takut pada-Mu... rezekikanlah aku agar mencintai-Mu, rezekikanlah aku agar menjauhi kebatilan..." ameen 

........................
Firman Allah dalam Surah al-Ahzab ayat 35, yang bermaksud:

Sesungguhnya orang-orang lelaki yang Islam serta orang-orang perempuan yang Islam, dan orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman, dan orang-orang lelaki yang taat serta orang-orang perempuan yang taat, dan orang-orang lelaki yang benar serta orang-orang perempuan yang benar, dan orang-orang lelaki yang sabar serta orang-orang perempuan yang sabar, dan orang-orang lelaki yang merendah diri (kepada Allah) serta orang-orang perempuan yang merendah diri (kepada Allah), dan orang-orang lelaki yang bersedekah serta orang-orang perempuan yang bersedekah, dan orang-orang lelaki yang berpuasa serta orang-orang perempuan yang berpuasa, dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya, dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.

Surah al-Baqarah

Bismillahirrahmanirrahim

Teringat ustaz pernah cerita tentang kisah rumah seorang hambaAllah yang dihuni makhluk halus.  HambaAllah tersebut telah meminta nasihat ustaz, tentang cara-cara bagaimana untuk menghalau makhluk tersebut kerana rumahnya yang sudah lama tidak diduduki bagaikan dah pakat dihuni oleh sesuatu yang lain. Itu yang bila masuk saja ke dalam rumah tersebut, beliau dan seluruh ahli keluarganya acapkali merasa seriau, memang dapat rasa ada benda yang menghuni. 

Ustaz mengesyorkan agar dipasang cd/kaset bacaan Surah al-Baqarah secara bersambung-sambung selama tiga hari berturut-turut sebagai salah-satu ikhtiar.  Jika ada peluang elok sekiranya dapat dibaca sendiri Surah al-Baqarah.  Walau tidak dapat dihabiskan bacaan dalam satu-satu masa, boleh break dan kemudian sambung balik membacanya. Kami yang mendengar cerita ustaz hari tu ikut merasa berdebar-debar. Ishk.. risau pulak bila dengar bab gangguan makhluk halus ni.  Balik rumah lepas kelas petang tu, terus di-ON kan Surah al-Baqarah.  Sesungguhnya tempat berlindung  kita hanya pada Allah SWT, moga Allah pelihara diri kita dan keluarga dari sebarang bentuk gangguan lebih-lebih lagi gangguan makhluk yang berupa hantu, jin, iblis dan syaitan.

Surah al-Baqarah ternyata mempunyai banyak kelebihan. Ayat-ayatnya sering kita amal baca dalam Al-Mathurat. Dua ayat terakhirnya disebut dapat mencukupi orang yang membacanya. Surah ini dapat dijadikan hujah untuk keselamatan orang yang mempunyainya dan hadis Nabi SAW juga ada menegaskan bahawa sesungguhnya syaitan itu lari dari rumah yang di dalamnya dibacakan surah al-Baqarah.  Di dalam surah al-Baqarah juga mengandungi ayat yang teragung iaitu ayat al-Kursi.  Alhamdulillah. 

Dari an-Nawwas bin Sam'an r.a katanya: "Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda:
"Al-Quran itu akan didatangkan pada hari kiamat nanti, demikian pula ahli-ahli al-Quran iaitu orang-orang yang mengamalkan al-Quran itu di dunia, didahului oleh surat al-Baqarah dan surat Ali-Imran.  Kedua surat ini menjadi hujah untuk keselamatan orang yang mempunyainya - yakni membaca, memikirkan dan mengamalkannya.    
(Riwayat Muslim)

Dari Ibnu Mas'ud r.a katanya: "Rasulullah SAW bersabda:
"Barangsiapa yang membaca sebuah huruf dari kitabullah - yakni al-Quran, maka ia memperoleh suatu kebaikan, sedang satu kebaikan itu akan dibalas dengan sepuluh kali lipat yang seperti itu.  Saya tidak mengatakan bahawa alif lam mim itu satu huruf, tetapi alif adalah satu huruf, lam satu huruf dan mim juga satu huruf."
Diriwayatkan oleh Imam Termidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan shahih.

Dari Abu Mas'ud al-Badri r.a dari Nabi SAW, sabdanya:
"Barangsiapa yang membaca dua ayat dari akhir surah al-Baqarah di waktu malam - iaitu ayat Aamanar rasulu sampai akhir surat, maka kedua ayat itu mencukupinya."   
(Muttafaq 'alaih)
Di katakan oleh para alim ulama bahawa erti kafataahu atau mencukupi orang tadi, maksudnya mencukupi dari apa yang tidak disenangi atau tidak diinginkan pada malam itu.  Ada pula yang meng'artikan mencukupi dari berdiri untuk solat malam.

Dari Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:
"Janganlah engkau semua menjadikan rumah-rumahmu itu sebagai kuburan - yakni tidak pernah bersembahyang sunat atau membaca al-Quran di dalamnya, sehingga sunyi-sunyi saja dari ibadat.  Sesungguhnya syaitan itu lari dari rumah yang di dalamnya itu dibacakan surat al-Baqarah."  
(Riwayat Muslim)

Dari Ubay bin Ka'ab r.a katanya:
"Rasulullah SAW bersabda:  "Hai Abul Mundzir, adakah engkau mengetahui, ayat manakah dari Kitabullah - yakni al-Quran - yang ada besertamu itu yang teragung?"" Saya lalu menjawab: "Iaitu Allahu la ilaha illa huwal hayyul qayyum, yakni ayat al-Kursi.  Beliau SAW lalu menepuk-nepuk dadaku dan bersabda: "Semoga engkau mudah memperoleh ilmu, hai Abul Mundzir."  Beliau SAW mendoakan demikian kerana benar sekali apa yang diucapkan itu.     (Riwayat Muslim)

*Sumber kesemua hadis:
Kitab Riyadhus Shalihin 
(Taman Orang-Orang Salih)

Solat Jamak


Bismillahirrahmanirrahim
Pagi-pagi tadi anak saya duk ber-sms dengan kawannya yang sedang dalam perjalanan ke utara untuk hari pendaftaran matriknya.  Kawannya duk tanya2 pasal macamana nak solat Jamak. Jadi hendak kongsi tentang Solat Jamak di sini (hanya copy n paste), moga bermanafaat bagi yang belum biasa buat Solat Jamak..InsyaAllah


Panduan Solat Jamak Qasar

1.0 Solat Qasar

1.1 Takrifan

Solat Qasar adalah mengqasarkan (memendekkan) solat yang empat rakaat iaitu Zuhur, Asar dan Isya’ kepada dua rakaat sementara solat Maghrib dan solat Subuh tidak boleh diqasarkan.

1.2 Hukum Qasar

Harus berdasarkan kepada dalil berikut:



i. Al-Quran surah al-Nisa’ ayat 101 yang bermaksud;

“Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa mengqasarkan (memendekkan) solat jika kamu takut diserang oleh orang kafir…” 

ii. Al-Sunnah yang bermaksud;

‘Ya’la bin Umayyah pernah bertanya kepada Umar bin al- Khattab, “Kenapa kita perlu mengqasarkan solat sedangkan kita berada dalam keamanan?” Lalu beliau menjawab, “Aku telah bertanya kepada Nabi s.a.w., dan Baginda bersabda, solat qasar itu adalah sedekah yang Tuhan telah bersedekah kepadamu, maka terimalah sekalian kamu akan sedekah- Nya”  
(Riwayat al-Nasa’i dan Abu Daud) 

1.3 Jarak Dibenarkan Qasar

Dua marhalah iaitu empat burudin di mana setiap burudin mempunyai empat farsakh dan setiap farsakh terdiri daripada 5514 meter mengikut kiraan moden. Dari itu, dua marhalah adalah bersamaan 89 kilometer.

1.4  Syarat Solat Qasar

i. Hendaklah pelayaran atau perjalanan itu diharuskan oleh syara’.

ii.Jauh pelayaran atau perjalanan itu tidak kurang daripada dua marhalah (89 kilometer / 56 batu).
iii.Berniat qasar di dalam takbiratul ihram.
iv.Tidak berimam dengan orang yang solat tamam  (sempurna).
v.Hendaklah solat yang diqasarkan itu terdiri dari solat  empat rakaat.

1.5  Contoh Niat


Usalli fardal zuhri rakataini qasran lilahi taala
Sahaja aku solah fardu zuhur dua rakaat qasar kerana Allah Taala 



Usalli fardal asri rakataini qasran lilahi taala
Sahaja aku solah fardu asar dua rakaat qasar kerana Allah Taala



Usalli fardal isyai rakataini qasran lilahi taala
Sahaja aku solah fadu isyak dua rakaat qasar kerana Allah Taala

2.0 . Solat Jama'

2.1   Takrifan

Solat Jama’ terbahagi kepada dua:

i. Jama’ Taqdim iaitu mengerjakan solat Zuhur dan solat Asar  dalam waktu Zuhur atau solat Maghrib dan solat Isya’ dalam  waktu Maghrib.

ii. Jama’ Ta’khir iaitu mengerjakan solat Zuhur dan solat Asar  dalam waktu Asar atau solat Maghrib dan solat Isya’ dalam waktu Isya’.

2.2 Syarat Solat Jama’

2.2.1.Solat Jama’ Taqdim

i. Hendaklah bersolat secara tertib iaitu mendahulukan solat  Zuhur daripada solat Asar dan solat Maghrib daripada solat Isya'.

ii. Hendaklah niat Jama’ Taqdim di dalam solat pertama  sebelum salam tetapi yang afdhalnya di dalam takbiratul ihram.

iii. Berturut-turut di antara solat yang dijama’kan itu.

iv. Berkekalan pelayaran atau perjalanan itu hingga takbiratul ihram solat yang kedua.

v. Berkeyakinan adanya waktu solat yang pertama (Zuhur atau Maghrib) berkekalan sehingga didirikan solat yang  kedua (Asar atau Isya’).

2.2.2. Solat Jama’ Ta’khir

i. Hendaklah berniat jama’ dalam waktu pertama iaitu Zuhur atau Maghrib.

ii. Berkekalan pelayaran atau perjalanan hingga memberi salam solat yang kedua.  

2.3 Contoh Niat

2.3.1 Jama’ Taqdim

i.Jama’ Taqdim (Empat Rakaat)


Sahaja aku solat fardhu Zuhur empat rakaat dihimpunkan  kepadanya Asar tunai kerana Allah Taala

ii.Niat Jama’ Taqdim Beserta Qasar ( Dua rakaat)


Sahaja aku solat fardhu Zuhur dua rakaat dihimpunkan  kepadanya Asar tunai kerana Allah Taala

2.3.2  Jama’ Ta’khir

i.Jama’ Ta’khir (Empat Rakaat)


Sahaja aku solat fardhu Zuhur empat rakaat dihimpunkan kepada Asar tunai kerana Allah Taala

ii.  Niat Jama’ Ta’khir Beserta Qasar  (Dua Rakaat)


Sahaja aku solat fardhu Zuhur dua rakaat dihimpunkan  kepada Asar tunai kerana Allah Taala

2.3.4 HAL BERKAITAN SOLAT JAMA' DAN QASAR

Apabila seseorang itu bermusafir lebih dari dua marhalah maka ia harus melakukan solat qasar dan jama' sekali. Ertinya ia boleh menjama'kan di antara dua solat dan mengqasarkan sekali. Walau bagaimanapun, ia boleh melakukan di antara satu yang berikut :


1. Menjama'kan dua solat fardhu tanpa qasar

2. Menjama'kan dua solat fardhu dan qasar

Terdapat 2 kaedah yang boleh digunakan melalui cara ini :

2.3.5 Niat Jama' Taqdim dan Qasar :

i. Solat Zohor dan Asar.



Sengaja aku solat fardhu Zohor dua rakaat qasar serta di jama'kan dengan Asar kerana Allah Taala


Mengerjakannya dengan azan dan diiringi iqamat. Selepas memberi salam, maka iqamat sekali lagi tanpa menangguhkan (kecuali mengambil wuduk) dan berniat pula seperti berikut :


Sengaja aku solat fardhu Asar dua rakaat qasar kerana Allah Taala

ii. Solat Maghrib dan Isya'


Sengaja aku solat fardhu Magrib tiga rakaat serta di jama'kan ke dalamnya Isya' kerana Allah Taala

Solat maghrib tidak boleh diqasarkan. Cara melaksanakan jamak taqdim maghrib - isya' sama dengna niat jama' taqdim zuhur-asar. setelah memberi Salam kemudian bangun dan iqamat dan berniat seperti berikut :



Sengaja aku solat fardhu Isya' dua rakaat qasar kerana Allah Taala


2.3.6 Niat Jama' Takhir dan Qasar:


i. Solat Zohor dan Asar




Sengaja aku solat fardhu Zohor dua rakaat qasar serta di jama'kan dengan Asar kerana Allah Taala

Selepas memberi salam, maka iqamat sekali lagi dan berniat semula seperti berikut :



Sengaja aku solat fardhu Asar dua rakaat qasar kerana Allah Taala

ii. Solat Maghrib dan Isya'


Sahaja aku solat fardhu maghrib tiga rakaat dijama'kan dengan isya' tunai kerana Allah Taala.

Selepas memberi salam, maka iqamat sekali lagi dan berniat semula seperti berikut :





Sahaja aku solat fardhu Isya' dua rakaat qasar kerana Allah Taala



3.0 Soalan Solat Musafir, Jamak dan Qasar


1.Soalan: SESEORANG YANG SAKIT ATAU DALAM KEADAAN UZUR BOLEHKAH DIA SEMBAHYANG QASAR JAMAK?

Jawapan
Dalam persoalan ini, orang yang uzur tidak dibolehkan untuk melakukan Solat Qasar. Solat ini hanya khusus untuk orang yang sedang bermusafir sahaja.
Namun begitu, mereka yang uzur dan memenuhi syarat adalah dibolehkan untuk melakukan Solat Jamak, iaitu menghimpunkan dua solat fardu dalam satu waktu yang sama. Wallahu 'alam.


2.Soalan: Ketika bermusafir, boleh tak kita menyertai solat berjemaah waktu zohor, kemudian jamak qasarkn solat zohor dan asar?

Jawapan
Dalam persoalan ini, orang yang sedang bermusafir tidak dilarang untuk menyertai jema’ah solat orang yang bermukim.
Oleh itu, dalam situasi ini anda hanya perlu mengerjakan Solat Asar sahaja sebaik sahaja imam memberi salam. Sila pastikan tiada jarak yang memisahkan di antara Solat Zohor dengan Solat Asar yang anda jamakkan di dalam waktu Zohor tersebut.
Jika terdapat jarak yang memisahkan kedua solat tersebut, keadaan ini akan menyebabkan Solat Asar yang anda jamakkan ke dalam waktu Zohor adalah tidak sah dan ia perlu didirikan semula apabila tiba waktunya nanti. Wallahu 'alam.

3.Soalan :KETIKA JADI IMAM (SOLAT ZOHOR JAMAK & QASAR) KEPADA MAKMUM YG SOLAT ZOHOR BIASA, BOLEHKAH IMAM BERHENTI SEBENTAR SETELAH LAKUKAN SOLAT ZOHOR JAMAK&QASAR UNTUK BACAAN DO'A ATAU WIRID KEPADA MAKMUM, KEMUDIAN SAMBUNG SOLAT ASAR JAMAK&QASAR. SEKIAN TERIMA KASIH. MAKSUD SAYA KETIKA SOLAT ZOHOR JAMAK & QASAR BOLEHKAH KITA BERHENTI SEBENTAR UNTUK BACAAN DO'A DAN WIRID SETELAH SELESAI SAMBUNG KEMBALI UNTUK SOLAT ASAR JAMAK & QASAR.

Jawapan
Bagi mereka yang melakukan Solat Jamak dan Qasar, kedua solat ini perlu dilakukan secara berturut-turut dan tidak boleh diselangi dengan melakukan perkara-perkara yang boleh memisahkannya seperti membaca wirid ataupun doa. Namun, jika terpaksa untuk berhenti sebentar kerana ingin memperbaharui wudhu’, ia adalah dibolehkan. Ini adalah kerana wudhu’ adalah salah satu daripada syarat sah mengerjakan solat yang perlu dipenuhi oleh setiap muslim yang ingin mendirikan solat.
Namun, jika antara dua solat tersebut dipisahkan kerana melakukan perkara yang lain, hal ini akan menyebabkan solat yang dijamakkan menjadi tidak sah.
Sebagai jalan penyelesaian, jika Solat Jamak taqdim, solat yang ingin dilakukan dalam waktu zuhur/Maghrib perlu dilakukan dalam waktunya sendiri, dan jika jamak ta’khir, anda perlu ulang semula melakukan Solat Asar dan juga Solat Isya' yang telah didirikan tadi. Hal ini sebagai memenuhi syarat sah mengerjakan Solat Jamak tersebut. Wallahu 'alam.

4. Soalan: Saya ada satu kemusykilan tentang solat jamak dan qasar. saya telah tinggal di daerah dungun lebih drp 16 tahun kerana mengikut suami dan bekerja di sana. manakala tempat lahir saya di Kuala Terengganu. Jarak rumah saya ke kampung melebihi 103km. Masalah saya ialah bolehkan saya solat jamak dan qasar ketika di kampung kerana ada sesetengah pendapat yang saya dengan mengatakan tidak boleh jamak/qasar di tempat kelahiran. Harap dapat penjelasan berdasarkan hadis/nas yang soheh.

Jawapan
Dalam persoalan ini, anda diharuskan untuk melakukan solat Jamak dan Qasar semasa berada di kampung halaman anda (K. Terengganu) dengan syarat anda tidak berada di sana lebih daripada 3 hari.
Oleh itu, jika anda sudah merancang untuk balik ke kampong dan tinggal di sana lebih daripada 3 hari, maka anda tidak boleh untuk melakukan solat tersebut selama tempoh anda berada di sana. Namun, anda hanya boleh melakukannya semasa di dalam perjalanan pergi dan pulang sahaja.
Ringkasnya, anda diharuskan untuk melakukan solat Jamak dan Qasar semasa pulang ke kampung halaman dengan syarat jaraknya adalah lebih daripada 90 KM dan tidak berada di sana lebih daripada 3 hari. Wallahu 'alam.

5. Soalan:Saya tinggal di KL dan kg saya di Kdh. 1) Perjalanan saya dari KL ke Kdh dgn menaiki bas pd jam 3 petang dan di jangka sampai Kdh pada waktu magrib. Bolehkah saya solat zohor dan asar jamak takdim dirumah atau di stesyen bas? kerana kuatir semasa perjalanan bas tidak berhenti ketika waktu asar @ takut tak sempat. 2) sekiranya perjalanan dr Kdh ke KL pd jam 11 pagi, dan sampai KL pada waktu asar,semasa waktu zohor bas tdk berhenti. Bolehkah saya jamak takhir zohor & asar di KL tp bukan di rumah.
Jawapan
1. Dalam masalah ini, anda dicadangkan supaya mengerjakan Solat Jamak taqdim (Zohor dan Asar) di stesen bas. Hal ini berikutan daripada jangkaan anda tiba di kedah pada waktu Maghrib dan ini akan menyebabkan anda tidak dapat untuk mendirikan solat Zohor dan Asar kerana telah habis waktu.

2. Dalam keadaan ini pula, anda diharuskan untuk mengerjakan Solat Jamak Ta’khir di KL kerana ia masih belum masuk ke kawasan qariah rumah anda. Wallahu 'alam.

6. Soalan: Macam maner nk melakukan solat jamak dan qasar bagi solat maghrib dan isyak kerana solat maghrib tetap kena solat 3 rakaat...mcam maner tu?jd brape rkaat ya perlu dlkukan apabila melakukan solat jamak dan qasar bagi maghrib dan isyak??

Jawapan
dalam persoalan melakukan Solat Jamak dan Qasar bagi solat fardu Maghrib dan Isya'', ia boleh dilakukan sama ada Jamak Taqdim ataupun jamak ta’khir.
Jika Jamak Taqdim menjadi pilihan, ini bermakna Solat Fardu Isya'' akan dilakukan dalam waktu Solat Maghrib.
Namun, jika jamak ta’khir menjadi pilihan, ini bermakna solat fardu Maghrib akan dibawa dan dilakukan dalam waktu Solat Fardu Isya''.
Mengenai persoalan berapa raka’at yang perlu ditunaikan di dalam mengerjakan kedua solat tersebut, ia perlu dilihat sama ada kedua solat tersebut boleh diqasarkan (dipendekkan) ataupun tidak.
Jika dilihat kepada pengertian “Solat Qasar”, ia adalah solat yang dipendekkan raka’atnya, dan ia hanya khusus bagi solat yang mempunyai 4 raka’at sahaja (Zuhur, Asar dan Isyak). Manakala bagi Solat Fardu Maghrib dan Subuh tidak boleh diqasar atau dipendekkan kerana kedua-duanya sudah pendek.
Oleh itu, jumlah raka’at yang perlu anda dirikan bagi menunaikan kedua-dua solat tersebut (Jamak Qasar Maghrib dan Isya'') ialah 5 raka’at. Maghrib 3 raka’at dan Isya'' 2raka’at.
Semoga penjelasan yang ringkas ini dapat memberi sedikit tambahan maklumat mengenai Solat Jamak dan Qasar untuk anda. Wallahu 'alam.

7. Soalan: 
Saya berniat utk solat Jamak Taqdim Maghrib Dan Isyak. Selesai Maghrib saya terus bangkit utk Qasar Isya'. Ketika sedang pada rakaat ke dua saya rasa tak boleh tahan nk buang air,maka saya batalkan Isya' kerana langsung tiada khusyu'. Bolehkah saya sambung Jamak selepas selesai buang air.? Atau ada yg lebih afdal?

Jawapan
Dalam keadaan di atas, anda tidak boleh menyambung semula Solat Isya' yang ingin anda dirikan di dalam waktu Maghrib. Hal ini adalah kerana antara syarat yang perlu anda jaga untuk melakukan Solat Jamak ialah kedua-dua solat tersebut (Maghrib dan Isya'') mesti dilakukan secara berturut-turut. Ringkasnya, ia tidak boleh dipisahkan dengan sesuatu perkara sekalipun dengan membaca doa.
Walau bagaimanapun, di dalam keadaan tersebut Solat Isya' yang masih belum dikerjakan lagi perlu dilakukan di dalam waktunya nanti. Ia masih boleh dikerjakan dengan memendekkan raka’atnya, iaitu dua raka’at sahaja (Solat Qasar).
Demikianlah antara perkara yang perlu anda jaga semasa mengerjakan Solat Jamak ini. Wallahu 'alam.

8.Soalan: Saya menetap di KL, outstation di Kuantan, tetapi berulang dr rumah mentua saya di kuala rompin setiap hari. Jarak Rompin- kuantan ialah 130km, bolehkah saya jamak di rompin dan kuantan? tempoh masa saya bekerja di kuantan adalah melebih 18 hari..
Jawapan
Wassalam, anda boleh melakukan Solat Jamak dan Qasar di Rompin dan juga di Kuantan. Hal ini disebabkan oleh jarak perjalanan di antara Rompin dengan Kuantan adalah melebihi 80 KM.r> Mengenai tempoh masanya pula yang mencapai kepada 18 hari, ia tidak menghalang anda untuk melakukannya kerana anda bukan menetap di satu tempat. Bahkan anda berulang daripada Rompin ke Kuantan di sepanjang tempoh tersebut.
Ringkasnya, anda diharuskan untuk mengerjakan Solat Jamak dan Qasar pada kedua-dua tempat tersebut dan disepanjang tempoh anda berada di sana. Wallahu 'alam.

9. Soalan: Seseorg musafir, jika sampai ke destinasi pd waktu maghrib di surau. Dia mengikut imam solat magrib dan selasai solat jemaah maghrib, dia qasarkan sola isyak sendirian. betulkah cara ini?
Jawapan
Apa yang anda lakukan adalah betul.




**
(Sumber: Android, TQ)


Berjayalah Orang Beriman Yang Khusyuk Dalam Sembahyangnya

Bismillahirrahmanirrahim

Kata ustaz....

Majlis zikir atau majlis ilmu ialah majlis yang menambahkan rasa cinta kita kepada Allah SWT, kepada kekasihnya Rasulullah SAW, kepada para sahabat ra dan juga kepada para alim ulamak.  Majlis zikir atau majlis ilmu ialah majlis yang di dalamnya banyak menyebut nama Allah: ada tasbih, ada tahlil, ada tahmid dan ada takbir.

Orang yang cinta pada Rasulullah SAW, dia akan lakukan apa yang Rasulullah SAW suruh.  Begitulah orang yang duduk dalam majlis ilmu adalah antara orang yang mengikut apa yang Rasulullah SAW suruh.  Antara orang-orang yang dikasihi Allah ialah orang2 yang mengikuti Nabi SAW.  Tidak dapat mencapai akan seseorang itu dengan darjat yang tinggi melainkan dengan hikmah dan keinginan yang tinggi. Tidak dapat mencapai dia jika tiada usaha untuk mencapainya.  Untuk dapatkan sesuatu perkara itu mesti ada usaha untuk mendapatkannya. 

~~~~~~~~~~~~
Usahalah untuk capai solat yang khusyuk.  Kena tau apa sebenarnya makna sembahyang itu. Solat ini apa dia? Setiap perkara ada takrifnya, ada pengertiannya.  Kata ustaz, kena fahami dulu istilah solat itu.  Solat dari segi laghoh(bahasa) ialah doa.  Maknanya kita memohon.  Dari segi istilah pula ialah perkataan dan perbuatan yang dimulai dengan takbirratul ihram dan disudahi dengan salam.  Tidak ada solat kalau tidak ada salam.

Sesungguhnya begitu besar dosa bagi orang yang meninggalkan solat.  Jika tak solat fardhu, buat baik macammana sekalipun Allah tak terima.  Walau keluarkan zakat, berpuasa, menunaikan haji dan sebagainya namun Allah tak terima amalan tersebut jika tak solat fardhu. Mana mungkin Allah terima puasa orang yang tak solat?  Ataupun bersungguh2 buat amalan sunat tapi solat fardhu tinggal contoh: Ikut beramai-ramai solat Terawih tapi Solat Isyak nya tinggal...

Dalam Surah Mukminun ayat 1 - 2, Allah berfirman:




[1]
Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman,
[2]
Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya;


Maknanya betul-betul orang beriman itu berjaya bilamana hadir hatinya di dalam solatnya itu.  Sebaliknya bila solat tak khusyuk, itulah yang membuatkan seseorang itu tetap melakukan maksiat, tetap tak tinggal dedah aurat. Maka solatlah dengan jiwa yang hadir dan bukan dengan hati yang lalai. Solat mesti khusyuk. Berazam serta ikhtiar cari jalan yang membawa kepada solat yang khusyuk.  Orang beriman yang berjaya itu ialah orang yang solatnya khusyuk. Bila berhasil dalam bab itu, maka perkara2 lain akan jadi elok dengan sendirinya..InsyaAllah.

Firman Allah dalam Surah an-Nisa ayat 103; 
yang bermaksud:
"....Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya."


Wallahu'alam.


Zikir Khazanah Syurga

Pagi-pagi tadi radio Ikim telah memperdengarkan zikir "La haula wala quwwata illa billah..."Terus teringat pada satu hadis Nabi SAW yang ada dalam kitab Riyadhus Shalihin yang menyebut tentang kelebihan zikir ini.  

Dari Abu Musa al-Asy'ari r.a., katanya:  "Rasulullah SAW bersabda kepadaku: "Tidakkah engkau suka kalau saya tunjukkan kepadamu pada sesuatu gedung simpanan dari beberapa simpanan syurga?"  Saya- Abu Musa - berkata: "Baiklah, ya Rasulullah." Beliau SAW lalu bersabda: "Yaitu ucapan: La haula wala quwwata illa billah - Tiada daya dan tiada kekuatan, melainkan dengan pertolongan Allah."  (Muttafaq 'alaih)

(*dua hadis di bawah hasil pencarian di internet, terimakasih)
Diriwayat daripada Abu Aiyub al-Ansori bahawa Nabi SAW bersabda: “Wahai Abu Aiyub, tidakkah kamu mahu, aku ajarkan kamu kalimah daripada khazanah syurga?” Aku menjawab: “Sudah tentu wahai Rasulullah, demi bapaku dan ibu sebagai tebusan untukmu.” Sabda Rasulullah SAW, Perbanyakkan sebutan: “Tiada daya dan tiada upaya melainkan dengan Allah;” ia adalah khazanah syurga.” (Mu‘jam al-Tabarani al-Kabir, Sahih Ibn Hibban).


Diriwayatkan daripada Abu Zar: “Kekasihku Rasulullah SAW berpesan kepadaku dengan beberapa ciri kebaikan: 
Pandang orang yang di bawahku dan tidak pandang orang yang di atasku; 
Mengasihi dan mendampingi golongan miskin; 
Menjalin hubungan persaudaraan sekalipun mereka menyisihkan aku; 
Tidak mempedulikan celaan orang yang mencela demi kerana Allah; 
Menyatakan kebenaran sekalipun pahit; 
Memperbanyakkan menyebut: “Tiada daya dan tiada upaya melainkan dengan Allah;” ia adalah daripada khazanah syurga.”
(Al-Targhib wa al-Tarhib. Dinilai Sahih).


-------------------------------------
Sambil-sambil, jom tengok kueh Koleh Ubi Kayu yang lebih buat semalam. Kueh tradisional yang satu nih memang teramatlah sedapnya.  En suami suka sangat kueh Koleh ni. Ya lah sementara bukan musim durian, ulang buat Koleh Ubi je lah, nanti tiba musim durian.. InsyaAllah dapat kembali buat Lempok Durian yang marvelous.. :)

Mudah je resepi Koleh ni tapi bab nak mengacaunya sampai jadi kering, itu yang mencabar sikit tugasannya.. he he.. Jadi kita mohon pada Allah, sambil buat kerja, mari sentiasa amalkan zikir "La haula wala quwwata illa billah" InsyaAllah semua kerja akan rasa begitu mudah dan cepat siap...

Mari kita amalkan zikir La haula wala quwwata illa billah sekurang-kurangnya 100x dalam sehari,... pautan di SINI.


Pentingnya apa yang ada di hadapan kita


Bismillahirrahmanirrahim


Alhamdulillah, dapat sampai juga ke kuliah ustaz berkacamata walaupun dah agak lambat. Duduk saja, straight fokus pada bicara ustaz yang kuliahnya sudah separuh masa berjalan tu.

Kata ustaz, telah menjadi tabiat manusia, hendakkan sesuatu yang nampak, yang dapat dibayar tunai. Contoh: Manefesto untuk pilihanraya baru-baru ini.  Manefesto dibuat sebagai sesuatu yang ditawarkan, yang dibayangkan dapat dilaksanakan jika sesuatu pencapaian dapat dicapai. Bagi orang yang memandang ke hadapan, InsyaAllah dapat melihat dan menilai dengan positif lalu berupaya mengambil pilihanraya sebagai suatu kewajipan yang mesti dilakukan dalam usaha mencari redha Allah. Sebaliknya bagi orang yang hanya nampak dan pentingkan perkara yang dibayar tunai tidak dapat merasa bahawa komitmen mengundi merupakan tanggung-jawab kerana menganggap diri masih muda, masih ada peluang lagi di masa depan lagipun cth: semasa pilihanraya tempohari masih lagi beratur dalam saluran 6 atau 7 misalnya... jadi rasa panjang lagi masa, jauh lagi untuk sampai pada saluran 1 atau 2..

Begitulah ibaratnya dengan apa yang ditawar oleh Rasulullah SAW yang menyampaikan risalah Islam bahawa jika sebut sahaja "Laila ha illallah" maka InsyaAllah akan dapat membawa kita masuk ke Syurga Allah. Namun al-Quran yang Nabi SAW bawa mencakupi ertikata kehidupan yang luas, sesuatu yang tidak dibayar tunai, sesuatu yang tidak dapat dibayangkan oleh mata kasar. Ia merupakan perkara ghaib yang dapat dilihat hanya dengan matahati bersandarkan iman contoh: Kita asuh anak-anak untuk solat 5 waktu kerana itu merupakan perintah Allah. Kita didik anak2 supaya semua kena bangun di pagi yang dingin setiap pagi untuk solat Subuh. Semua kena bangun... atuk, nenek, emak, ayah, adik, kakak... semua wajib solat sebab takut pada Allah.  Bukan sebab takut pada ayah tapi sebab takut pada Allah. Allah Maha Melihat walau di mana kita berada.. tidak kira kita umur muda ke, tua ke, semua kena ikut perintah Allah.

Samada mati ke, kiamat ke, itu merupakan sesuatu yang pasti berlaku. Ia berada di hadapan kita dan sedang menuju kepada kita. Setiap yang mendatang itu adalah dekat dengan kita. Walaupun kita rasa ianya mungkin masih jauh, tapi hakikatnya ia dekat. Umur 30 tahun tidak dapat menjamin mati nanti tua. Orang yang sihat tidak terjamin tidak akan  mati semasa sehatnya. Cth: Seorang orang muda yang sihat yang baru lepas solat Subuh singgah minum teh di rumah tok gurunya, meninggal dunia  tidak lama selepas selesai minum teh-nya. Seorang yang terlelap 2 saat semasa memandu telah menjadikan ia sebagai asbab keretanya terbabas lalu mengorbankan nyawa 2 orang anaknya. Sakit dan umur tua tidak boleh dijadikan asbab untuk mati. Orang yang sihat boleh saja tiba-tiba mati, orang yang muda boleh saja tiba-tiba mati. Semua dalam perkiraan Allah dan tiada siapa dapat menjangkakannya.

Perkara yang berada di hadapan kita amat penting, berbeza dengan apa yang ada di belakang kita. Yang di hadapan perlu di-ambil berat, manakala apa yang ada dibelakang sudah tidak begitu penting lagi. Ibarat sesebuah kereta itu, cermin yang ada di bahagian depan kereta dibuat begitu besar sedangkan cermin yang tersedia untuk melihat belakang kecil saja.  Penting untuk melihat apa yang ada di hadapan. Apa yang ada di  belakang hanya dikerling sekali sekala. Begitu juga dengan lampu depan kereta. Lampu yang ada begitu besar dan begitu terang. Untuk apa? Untuk tujuan suluh jalan di malam yang gelap. Kalau tak ada lampu yang terang, maka tak akan dapat tengok bahaya di depan, tentu saja kita akan terlanggar apa saja di depan kita atau terjerumus masuk lubang jika tiada lampu yang terang untuk suluh jalan. Jadi dengan adanya lampu, ada apa saja bahaya di depan kita boleh elak, boleh elak...

Begitulah analoginya... Jadi sangat perlu untuk kita melakukan apa jua kebajikan yang dapat membantu kita menuju ke akhirat.  Akhirat itu ada di hadapan kita. Ia yang kita rasa jauh hakikatnya makin dekat, makin menuju kepada kita. Apa yang ada dibelakang kita, yang dah kita tinggalkan sudah tidak penting lagi. Ianya sudah berlalu dan masa tidak dapat di-undur kembali untuk kita memperbaiki kesilapan yang lalu. Maka yang perlu sekarang ini ialah memandang terus ke hadapan. Orang yang cerdik ialah orang yang beramal untuk hari akhiratnya.  Tidak ada tarikh luput umur dalam melaksanakan amal baik untuk dapat dijadikan bekal atau nasi beras di akhirat nanti.  Jadi kita tak kira siapa, berlumba-lumbalah menggunakan kebolehan dan kemahiran masing-masing untuk mengajar ilmu bermanafaat yang dapat kita jadikan nasi beras di akhirat nanti. Jangan sampai tiada bekalan untuk kita bawa balik ke sana. Perbanyakkanlah amal soleh.  Persiapkan diri kita dengan iman yang teguh. Bila iman teguh, InsyaAllah kita tidak mudah alpa terhadap kewajipan kita pada Allah, tidak mudah lalai dan leka dengan duniawi, tidak mudah untuk tersungkur jatuh walau banyak cobaan melanda.

Yakinlah bahawa hari kiamat pasti berlaku. Sebahagian besar ulamak kata nanti akan ada dua tiupan sangkakala. Kiamat boleh berlaku sertamerta.  Pada masa berlaku tiupan sangkakala yang pertama, yang menggoncangkan alam(sehingga mati segala yang bernyawa dan punah ranah sekelian makhluk selain dari yang dikecualikan). Tiupan yang pertama itu diikuti oleh tiupan yang kedua(yang menyebabkan orang-orang yang mati semuanya hidup semula serta keluar dari kubur masing-masing. Bila besar keyakinan seseorang itu maka InsyaAllah dia tidak akan tangguh taubatnya, tidak akan tangguh kebajikannya. Sebaliknya, dek tiada yakin, maka dia akan terus tenggelam dan selesa untuk nak terus duduk dalam kelazatan dunia yang sementara, kelazatan yang nampak di matanya. Bila tiada yakin, maka terus terhijablah hati dan tak nampak akan kelazatan akhirat yang kekal abadi...

Wallahu'alam.

Al-kisah Cikgu Ibrahim

Bismillahirrahmanirrahim

Tak dapat ditahan airmata dari mengalir laju lepas baca kisah ini. Sedihnya... 
Sumber dari Laman Muhandis(garamsicho.blogspot.com) dan sumber asalnya dari HarakahDaily(tulisan Tuan Ibrahim Tuan Man).  Saya setiap hari baca HarakahDaily tapi kisah ini nampaknya cikli yang dapat kesan dulu...huuu... terimakasih cikli  :)

Cikgu Ibrahim mengajar di sebuah sekolah rendah. Di depan kelas darjah 4 pada hari pertama persekolahan, beliau memberitahu para pelajar satu pembohongan.

Seperti guru-guru yang lain, Cikgu Ibrahim memberitahu para pelajarnya bahawa beliau sayang mereka secara setara. Tapi mustahil, kerana di depan kelasnya ada seorang pelajar lelaki bernama Jimmy yang tidak bermaya dan lemah semangat.

Cikgu Ibrahim telah memperhatikan Jimmy sejak tahun lepas. Dia ini tak bergaul dengan rakan-rakan sekolah dan suka menyendiri. Pakaiannya dan rambutnya tidak terurus. Nampak comot dan kurang bersih. Cikgu Ibrahim tidak suka kepadanya.

Cikgu Ibrahim tidak berniat nak mengajar Jimmy. Kerja rumahnya yang teruk dipangkah “X” dengan besar-besar tanpa diajar. Peperiksaan bila Jimmy gagal, Cikgu Ibrahim sudi menulis dengan pen warna merah. Kadang-kala terasa juga nak tulis “Padan Muka!” di atas kertas tersebut.

Tiba masa untuk menulis rekod pelajar pertengahan tahun. Cikgu Ibrahim meninggalkan buku rekod Jimmy di bahagian terakhir. Menyampah nak baca dan tulis untuk pelajar yang malas, tak bermaya, tak terurus dan dibencinya ini.

Cikgu Ibrahim menyiapkan laporan untuk pelajar-pelajar yang lain dahulu. Akhirnya tiba giliran buku rekod Jimmy.

Mahu tidak mahu, Cikgu Ibrahim terpaksa membaca rekod Jimmy sejak Darjah 1 sehinggalah sekarang sebelum mencatat prestasi Jimmy berdasarkan pengamatan beliau.

Darjah 1, cikgu Jimmy menulis:
“Jimmy seorang pelajar yang sangat pintar dan kemas kerjanya. Senyumannya begitu bersemangat sehinggakan seluruh kelas mencontohi tingkahlaku beliau. Beliau mendapat tempat nombor 1 di sekolah dan aktif dalam sukan.”

Darjah 2, cikgu Jimmy menulis:
“Jimmy seorang pelajar yang sangat disukai semua guru dan rakan-rakan sekolah. Jimmy masih mengekalkan keputusan cemerlangnya meskipun bapanya terkena penyakit kronik dan ibunya terpaksa sara keluarga. Kehidupan di rumahnya tentu mencabar.”

Darjah 3, cikgu Jimmy menulis:
“Bapa Jimmy meninggal. Jimmy cuba sedaya untuk fokus tapi ibunya kerana terpaksa sara keluarga terus mengabaikannya. Bantuan mesti diberikan jika tidak kehidupan keluarga akan ada negatif impak pada Jimmy. Keputusan Jimmy dah mula merundum dan lebih menyendiri. Jimmy dah mula tak buat kerja rumah dan tidur di dalam kelas.”

Setelah membaca ketiga-tiga laporan itu, Cikgu Ibrahim berasa bersalah mempunyai sangka buruk pada Jimmy sejak awal. Beliau sebak seketika dan tidak menulis laporan dalam buku rekod Jimmy.

Rupa-rupanya Jimmy jadi begitu ada kisahnya – Cikgu Ibrahim berasa malu.

Pada sambutan Hari Guru, Cikgu Ibrahim menerima hadiah daripada semua pelajar dalam kelasnya termasuk dari Jimmy. Semua hadiah dibungkus dengan cantik kecuali hadiah Jimmy yang hanya dibalut dengan kertas kuning comot.

Cikgu Ibrahim memilih untuk membuka hadiah Jimmy dulu di depan kelas. Rakan-rakan sekelasnya ketawa hadiah comot yang dihadiah oleh Jimmy. Dalamnya ada satu cincin dan sekotak bedak usang.

Cikgu Ibrahim menyuruh kelasnya diam. Beliau memakai cincin tersebut dan meletakkan sedikit bedak di lehernya.

Jimmy tersenyum tapi tidak berkata apa-apa. Ini pertama kali Cikgu Ibrahim melihat Jimmy tersenym.

Selepas habis sekolah, Cikgu Ibrahim terserempak Jimmy yang menunggu di tepi keretanya seorang diri.

“Apa hal Jimmy?”

“Tak ada apa. Cuma nak beritahu, Cikgu hari ini bau dan nampak seperti bapa saya. Terima kasih,” kata Jimmy sebelum beredar.

Masya-Allah. Mata Cikgu Ibrahim menjadi merah.

Mulai hari itu, Jimmy menjadi pelajar yang diberi perhatian khusus oleh Cikgu Ibrahim. Cikgu Ibrahim berhenti mengajar matematik, menulis dan membaca. Beliau kini mula mendidik para pelajarnya sebagai seorang ibubapa.

Hubungan Cikgu Ibrahim dengan Jimmy bertambah baik. Jimmy memberikan perhatian dalam kelas dan setiap kata Cikgu Ibrahim. Pada akhir tahun, Jimmy kembali mendapat nombor 1 di dalam sekolah.

Pada akhir tahun darjah 4, Jimmy meninggalkan sekeping nota di kereta Cikgu Ibrahim.

“Cikgu adalah cikgu terbaik di dalam hidup saya. Dalam pepatah Cina, satu hari sebagai cikgu saya ialah sama dengan seumur hidup menjadi bapa saya. Saya sayang cikgu. Terima kasih kerana memakai bedak dan cincin bapa saya. Akhirnya, saya jumpa bapa saya kembali ke sisi saya.”

Cikgu Ibrahim sekali lagi menitis air mata.

Semenjak itu, Cikgu Ibrahim dan Jimmy menjadi sangat rapat sehinggalah ke sekolah menengah yang hanya di depan sekolah rendah. Setiap kali Jimmy mendapat keputusan cemerlang, Jimmy akan mengirimkan nota, “Cikgu masih cikgu terbaik dalam hidup saya. Tanpa cikgu, takkan ada Jimmy hari ini.”

Sebelum Jimmy ke Universiti di sebelah selatan, Cikgu Ibrahim mengajak Jimmy berjumpa untuk memberikan sedikit duit sebagai bekalan.

“Cikgu harap hubungan ini berterusan sampai akhir hayat,” kata Cikgu Ibrahim.

Jimmy berfikir sejenak…

“Apa kata cikgu jadi ayah angkat saya? Macam ini, pasti takkan putus hubungan,” kata Jimmy.

“Cikgu dah lama anggap Jimmy sebagai anak. Cuma Jimmy tak panggil ayah saja lagi,” jawab Cikgu Ibrahim.

Jimmy terus memeluk Cikgu Ibrahim, “Ayah. Saya dah lama nak panggil ayah. Sejak bapa tiada, anakanda dah lama anggap cikgu sebagai ayah. Kalau bukan ayah masih percayakan anakanda darjah 4 dulu, anakanda dah tak tahu hanyut ke mana.”

“Terima kasih anakanda. Ayah yang patut ucap terima kasih. Ayah selama ini tak tahu mendidik sehinggalah ayah terjumpa anakanda darjah 4 lalu,” jawab Cikgu Ibrahim.

Selamat Hari Guru.



Latihan Diri di Bulan Rejab

Bismillahirrahmanirrahim

Para ustaz ulang mengingatkan tentang keutamaan beramal di bulan Rejab. Mari kita mengulang-ngulang membaca doa ini...

اللهم بارك لنا في رجب وشعبان وبلغنا رمضان

Allah humma bariklana fi rojabin wa syaabana wabalighna ramadhan...

yang bermaksud:


"Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya'aban serta sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan." 

Moga Allah mempertemukan lagi kita dengan bulan Ramadhan kali ini.  Ada yang Allah rezeki dapat melalui Ramadhan yang telah berlalu namun takdir Allah telah menetapkan ada yang tiada kesempatan untuk dapat bertemu lagi kali ini dengan Ramadhan yang akan datang kerana diri telah terlebih dulu dijemput pulang ke rahmatullah. Semoga Allah mencucuri rahmat dan menempatkan ruh arwah ibuku di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh... ameen


Mari latih diri kita. Latihlah diri kita di bulan Rejab untuk:
  • lebih dekat dengan masjid
  • banyak mengaji Quran, 
  • sering beristighfar
  • berpuasa sunat
  • solat2 sunat terutama Solat malam
  • banyak bersedekah

Hiasi diri kita dengan ibadah sepanjang hari bermula bulan Rejab ini sebagai persediaan kita menuju Ramadhan.


PUASA SUNNAT
(dari kitab Nasihat Agama dan wasiat Imam tulisan Imam Habib Abdullah Haddad)
  • Di antara puasa sunnat yang dituntut ialah puasa enam hari dari bulan Syawwal, sebaik-baik saja selesai puasa Ramadhan, sebagai ucapan selamat jalan kepada bulan itu, ataupun sebagai menampal kecacatan yang mungkin berlaku dalam bulan itu. Bukankah yang sunnat itu selalunya untuk mencukupi yang kurang di dalam yang fardhu? Sabda Rasulullah SAW; "Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan, lalu di-ikutkannya dengan puasa enam hari dari Syawwal, maka seolah-olahnya ia telah berpuasa sepanjang abad."
  • Berpuasa pada Hari Arafah; iaitu hari ke-sembilan dari bulan Zulhijjah. Ada suatu riwayat mengatakan, bahawa berpuasa pada hari itu akan menebus dosa dua tahun. Para ulama berkata: Puasa Hari Arafah itu adalah puasa yang paling utama dalam setahun sesudah puasa Ramadhan, akan tetapi orang yang sedang mengerjakan amalan haji tidak dituntut melakukannya, agar ia tidak lemah beramal di waktu wuquf di Arafah untuk mengerjakan amalan haji.
  • Puasa Hari Asyura iaitu pada 10 haribulan Muharram. Ada riwayat mengatakan bahawa berpuasa pada hari itu akan menebus dosa setahun.
  • Di antara puasa sunnat yang dituntut ialah berpuasa tiga hari setiap bulan. Terdapat banyak hadis yang mengatakan bahawa puasa ini menyamai pahala berpuasa sepanjang abad. Jiks orang yang berpuasa itu memilih malam bulan terang adalah lebih utama dan lebih baik. Sebab terdapat suatu riwayat yang mengatakan bahawa Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkan puasa pada malam-malam bulan terang itu, samada ketika di dalam negeri mahupun ketika dalam pelayaran. Hari-harinya ialah pada malam-malam bulan terang iaitu 13, 14 dan 15 dari tiap-tiap bulan. Tetapi jika memilih tiga hari yang lain pun boleh juga, cuma tiga hari yang tersebut tadi yang utama. Jika ia berpuasa tiga hari tidak berturut-turut pun boleh juga.
  • puasa Nabi Daud a.s iaitu berpuasa sehari dan berbuka sehari.  Hadis ada menyebut: Semulia-mulia puasa sunat ialah puasa Nabi Allah Daud iaitu berpuasa sehari dan berbuka sehari, dan puasa ini adalah lebih utama dari berpuasa terus-menerus sepanjang masa, sebagaimana yang disebut oleh beberapa hadis yang sahih. Berkata Imam Ghazali r.m:  Puasa Nabi Daud a.s itu adalah lebih berkesan dalam mendidik diri dan lebih kuat untuk menentang kehendak hawa-nafsu daripada puasa sepanjang masa. 
  • puasa Isnin dan Khamis setiap minggu pun mempunyai kelebihan yang utama, kerana Nabi SAW tidak pernah meninggalkannya.  Nabi Saw bersabda: "Amalan manusia dibentangkan di hadapan Allah Ta'ala pada dua hari itu (Isnin dan Khamis), maka aku ingin apabila dibentangkan amalanku, ketika aku berpuasa."
  • puasa pada hari Jumaat juga dituntut disebabkan keutamaan dan kemuliaan hari itu, akan tetapi puasanya harus digandingkan dengan puasa Khamis atau Sabtu, kerana Rasulullah SAW pernah melarang orang yang berpuasa pada hari Jumaat semata-mata.

Selamat beramal, luruskan niat kita.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...