Aku dengan agamaku


Terkedu bila tengok masih ada rakan blogger yang buat posting dengan tajuk besar Merry Cristmas. Nak komen agar elok di-removekan je takut dikatakan pandai2 pulak. Abih-abih tulis kat blog sendiri je lah tentang peringatan yang berterusan dapat dari para ustaz yang kata eloklah kita elakkan dari ikut mengucapkan Merry Cristmas/Selamat Hari Natal atau lain-lain ucapan bagi penganut agama lain.

Sejak sebulan lalu berbagai persiapan dipersiapkan untuk menyambut perayaan itu contoh shopping2 mall dihias dengan berbagai dekorasi , berbagai persembahan diadakan di ruang legar yang diselangi dengan ucapan Merry Cristmas, Selamat Hari Natal, nyanyian lagu2 seperti Jingle Bell, Jingle Bell dsb. Ia merupakan ucapan yang ditegah dari sama2 dipraktikkan oleh umat Islam kerana ia seolah2 mengiktiktiraf kefahaman tuhan trinity bahawa Isa al-Masih adalah anak tuhan.

Kukuhkan iman kita, hayati Surah al-Ikhlas...
Jangan kita kata, kita hidup dalam masyarakat majmuk maka kita mesti ikut terlibat dalam perkara ini. Ustaz tegaskan, buat perkara lain boleh tapi tiada toleransi dalam hal-hal yang bersangkutan dengan aqidah. Ingat bahawa perayaan Krismas adalah perayaan yang meraikan kelahiran Jesus yang mereka anggap sebagai anak Tuhan.

Dalam soal sebegini, kita mesti pertahankan prinsip... "kamu dengan agamamu, aku dengan agamaku." Kita sekarang berada di zaman maya di mana informasi-nya tidak terbatas, bergerak tanpa sempadan... maka walau kita tak dapat hadir ke majlis ilmu jangan kata ilmu tentang itu tak sampai pada kita. Jangan kita bekerjasama dalam perkara-perkara yang jelas mendatangkan dosa. Jangan buat.... kerana kerjasama terhadap perayaan semacam itu dikhuatiri akan hanya mengundang syirik. Syirik pada Allah merupakan jenayah yang paling besar.. paling ditakuti akan membatalkan aqidah... nauzubillah.


“Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku”. (QS al-Kafirun: 6)

Pesanan Penaja

Tiba-tiba dengar satu mesej masuk. Bukak2 rupanya dari en suami yang bagi pesanan penaja... "Isikan hari Jumaat dengan perkara bermanafaat."
Berpesan-pesan pada kebenaran... alhamdulillah.


Saat dan ketika ini dah jam 11.49 pagi. Bermakna kita ada lebihkurang sekerat hari lagi untuk melalui hari Jumaat. Banyak2 kita mencari ruang buat kebaikan InsyaAllah. Basahi lidah dengan zikrullah... banyakkan berdoa mohon pada Allah, berselawat kita pada Rasulullah SAW, rajin2 baca surah al-Kahfi di samping memperbanyakkan sedekah. Sedekah itulah sebenarnya tabungan/simpanan kita.


Teringat pula pesanan penaja yang dapat malam tadi.
"Betulkan yang biasa kemudian biasakan yang betul." Maksudnya, kena cuba perbetulkan kebiasaan kita maknanya improvekan lagi kualiti kemudian biasakan buat apa yang dah kita betulkan itu. Teruskan buat.. istiqamah.

Mudah reput


Nak citer, satu hari tu anak saya ada bawak balik sebungkus kecil getah pengikat yang dibeli dari sebuah kedai buku. Agaknya dia perasan saya selalu tak jumpa cari getah masa nak guna untuk ikat apa2. Sukanya hati dapat getah sebab bekalan getah dah lama habis. Tapi tup tup time nak guna, lepas satu.. satu... putus bila ditarik. Aik! getah gred mana ni, tengok dari bungkusan macam bagus je.. siap branded lagi. Tak penah2 saya beli getah yang ada brand selama ni, selalu tu singgah beli kat kedai runcit je yang timbang kalau tak 50 sen, singgit.

Saya interview kakngah pasal getah tu. Katanya beli dekat kedai buku yang ada aircond. Mungkinkah getah tu jadi reput sebab duduk dalam air-cond? Ha' ah boleh jadi jugak kan..

Lepas peristiwa tu, saya terus ingat2kan en suami yang memang sepanjang hari kat ofis dalam persekitaran berhawa-dingin. Banyak2kan minum air ya suamiku untuk elakkan masalah kekeringan. Pernah terbaca fakta yang kata aircond juga boleh sebabkan masalah sesak nafas dan sakit kepala. Kuman pun mudah sangat nak berjangkit sebab pengaliran udara tak bebas sebab keadaan bilik dan ruang semua tertutup. Wallahu'alam.

Apa2 pun untuk kurangkan risiko, pakar-pakar ada menasihatkan eloklah elakkan duduk lama sangat dalam aircond. Jangan ambil risiko duduk sepenuh masa. Memang le rasa nyaman tapi AWAS terhadap bahayanya. Kalau dah sehari suntuk duduk dalam aircond di ofis kemudian sambung lagi duduk dalam kereta yang ada aircond, jangan bila balik rumah pun bukak2 pintu bilik je terus ON aircond. Berilah ruang untuk badan berehat sebentar dari aircond.

***teringat2 getah yang duduk sepenuh masa dalam aircond... mudah reput.

Wallahu'alam.

Bagi hadiah kitab atau buku


Semasa kami ke kenduri kawin semalam, dapat siso(juga dipanggil sanggo telor/hadiah/cenderahati/door gift) yang amat menyukakan hati. Begitu bermanafaat saya kira kalu time kenduri dapat kitab-kitab kecil yang macam saya dapat semalam. Dalam uncang tu ada kombain bahulu sekali. Sedap pulak tu, bahulu biasa dan bahulu pandan. Semua pakat bukak makan dalam kereta je. Dapat empat kitab saiz kecil ie 2 surah yasin dan 2 kitab zikir al-Mathurat. Anak bujang terus masukkan kitab al-Mathurat dalam poket baju kamejanya. Begitu juga saya, terus masukkan al-Mathurat dalam handbag.

Door gift yang berupa buku/kitab2 sebegini rasanya lagi elok dan praktikal untuk dihadiahkan buat para tetamu berbanding bagi hadiah jajan-jajan atau gula2 yang kadang kita tak habiskan pun. Kadang buang-buang je bila tak teringat nak makan atau tak rasa nak makan. Jadi bila buat kenduri/bekwoh tak kira apa je kenduri samada majlis kawin ke, bezday ke, kenduri kesyukuran, tahlil dsb, elok sangat kalau hulurkan kitab2 kecil ini sebagai cenderahati. Pemberian ilmu yang bermanafaat, tidak expired, pahalanya InsyaAllah akan terus mengalir walau kita dah tiada lagi atas mukabumi.


Wallahu'alam.

Adab-adab Makan


Dalam kuliah hadis lalu, ustaz syarah hadis yang berkait-rapat dengan adab-adab makan. Selama ni tau serba sikit cara-cara dalam bab makan dan minum tapi bila dengar ustaz cerita pasal hadis tu, rasa berharga sangat penerangan ustaz... rasa bersyukur sangat dapat hadir duduk mendengar di majlis ilmu.

Ustaz ingatkan agar kita ikut sunnah Nabi SAW sebelum kita menjamah makanan. Setiap perlakuan kita umumnya hanya jadi perlakuan biasa jika tanpa sunnah. Sebaliknya segala perkara yang kita lakukan jika ikut sunnah maka ia menjadi satu ibadah yang mendatangkan kebaikan buat kita dunia dan akhirat.

Hadis yang dihuraikan ialah... "Apabila seseorang daripada kamu makan, maka makanlah dia dengan tangan kanannya. Dan apabila minum, maka minumlah dia dengan tangan kanannya. Ini kerana syaitan makan dengan tangan kirinya dan minum dengan tangan kirinya."

Maka kata ustaz, bila kita makan jangan lupa:
  • baca bismillahirrahmanirrahim
  • baca doa makan
Maksud: Ya Allah, berkahilah kami dalam rezeki yang telah Engkau berikan kepada kami dan peliharalah kami dari siksa api neraka.
  • makan dengan tangan kanan
  • memegang gelas dan minum dengan tangan kanan (baca bismillah kemudian minum dua tiga teguk.. berhenti. Kemudian baru minum lagi dua tiga teguk.. berhenti. Dah habis minum ucaplah alhamdulillah.
  • kecilkan suapan, maknanya makan bukan dengan gelojoh
  • sebaiknya makan hanya dengan satu lauk sahaja. Kalau ayam, ayam lah, kalau ikan, ikan saja.. cuba elakkan kombinasi lauk ayam dan ikan
  • mulakan mengambil makanan yang dekat dengan kita
  • sebaiknya makan dalam dulang/talam ramai-ramai, tapi jika takde dulang boleh lah makan dalam pinggan tetapi makan secara berjemaah. Elakkan makan sorang-sorang. Makan secara berjemaah InsyaAllah kita akan cepat rasa kenyang sebab ada keberkatannya. Sepertimana sabda Rasulullah SAW yang berbunyi: "Berjama’ahlah dalam menyantap hidanganmu dan sebut nama Allah padanya, nescaya akan mengandung berkah bagimu" (Silsilah Hadits-hadits Shahih no. 664).
  • elakkan makan dan minum sambil berdiri. Dari Anas ra dari Nabi Muhammad SAW : Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW melarang seseorang untuk minum berdiri”. Qatadah (seorang tabi’in) berkata : “Kami bertanya kepada Anas, “Bagaimana dengan makan sambil berdiri?” Anas menjawab, ‘Yang demikian itu lebih jelek dan lebih buruk.’ (HR. Muslim)
  • Apabila makan Nabi SAW tidak pernah mencela makanan. Jadi kalau kita tak suka makanan tu, tak sedap dan sebagainya sebaiknya jalan dicela, lebih baik diam saja.
  • Nabi SAW suka makan labu.
  • Nabi SAW sering makan dengan tiga jari. Jangan perlekehkan/persendakan/kondem cara Rasulullah SAW makan dengan tiga jari. Perkataan yang tidak sepatutnya keluar dari mulut kita boleh merosakkan iman... nauzubillah.
  • makan jangan sampai over kekenyangan kerana jika terlampau kenyang akan buat kita jadi malas untuk bangun buat ibadah, malas solat, malas baca quran, rasa malas... rasa macam nak tido je bila dah kenyang sangat. Ingat kita makan sebab Allah suruh kita makan, bukan hidup untuk makan tapi kita makan untuk hidup... agar bila dah kenyang kita akan ada tenaga, lalu bila ada tenaga maka dapatlah kita tunaikan kewajipan beribadat pada Allah.
  • makanan akan beri kesan pada kita, akan jadi darah daging kita. Kalau makan yang syubhah/haram maka aliran darah akan pergi ke otak, lalu otak akan pikir perkara yang tak elok saja. Kalau pergi ke kaki, lalu kaki akan mudah melangkah ke tempat maksiat. Sebaliknya kalau kita makan yang elok, halal dan bersumber dari yang halal maka badan akan mudah untuk taat pada Allah... InsyaAllah
  • Selesai makan, baca doa sesudah makan atau ucaplah Alhamdulillah.

Nabi SAW makan dengan penuh adab. Kita harus ikut sunnah Nabi SAW semampunya dalam setiap tindakan kita. Kalau sayang dan cinta pada Rasulullah SAW maka ikut sunnah baginda. Kita utamakan Allah dan Rasul maka kehidupan kita InsyaAllah akan diberkati. Allah akan berikan kehidupan yang baik buat kita. Tanda rezeki kita berkat ialah bilamana semakin banyak rezeki semakin dekat kita dengan Allah... aminnn


Wallahu'alam.

Sempena Hari Lahir


Alhamdulillah bersyukur kerana masih dipanjangkan usia sehingga kini. Moga ada keberkatan usia InsyaAllah. Selamat hari lahir buat diri sendiri... :)

En suami dah siap2 beli jubah baru sempena hari lahir. Kira dapat hadiah awal la.. haha... dah pakai pun pegi majlis ilmu alhamdulillah.. tQ :)

Pagi2 lagi bangun dengan semangat baru. Beritahu en suami tentang senarai perkara yang mesti buat. Berazam untuk perbaharui tekad tiap hari agar hidup jadi lebih bermakna. Berazam untuk berpagi2 memulakan hari. Masa ibarat permata, harus dihargai. Yang berlalu tak mungkin dapat dicapai kembali, yang harus dikecapi adalah hari ini sementara esok belum tentu lagi dapat jumpa.

Baru-baru ini terima suntikan semangat dari pengalaman seseorang. Rutinnya setiap malam sebelum tidur ialah baca Surah Al-Mulk. Ada masanya dia miss baca bila badan penat, terus tertidur tanpa sempat baca Al-Mulk. Rupa-rupanya ada kekuatan dalam diri bila dia istiqamah baca sebab alhamdulillah hikmah dipermudahkan Allah untuk dapat sedar jam 5 pagi untuk bangun Tahajjud. Time tak baca, tak tersedar walau dah set alarm pukul 5.

Surah Al-Mulk dapat hindarkan kita dari seksa kubur InsyaAllah. Teringat tuan bilal di masjid yang bagi tazkirah tempohari telah mengajak kami ramai2 untuk cuba hafal Al-Mulk. Beliau cadangkan kita hafal 5 ayat dulu. Ulang2 sampai ingat dan hafal baru sambung lagi 5 ayat. Kata bilal, hendak seribu daya. Kita akan dapat hafal kalau ada kemahuan nak hafal. Bilal sambil berjenaka bagitau sesiapa yang dapat hafal, jemput datang tasmik dengan beliau.. jika berjaya nanti akan dapat hadiah. Tapi hadiahnya bukanlah hadiah kereta Gen2 ke apa ke tapi boleh lah nanti kasi hadiah kain pelekat dsb InsyaAllah... :)


My checklist:
  • Berpagi2 bangun membersihkan diri
  • Istiqamah Tahajjud
  • Solat di awal waktu
  • Istiqamah Solat Dhuha
  • Tiada hari tanpa al-Quran...
  • hidupkan sunnah

Aminn ya rabbal 'alamin...


Mazhab kami berbeza


Alhamdulillah... ke tempat anaknda lagi sebagaimana rutin hari minggu. Kali ini ada cerita yang hendak dikongsi...

Saya singgah solat macam biasa di masjid. Dek kepenatan berjalan sehari suntuk, saya dan kak Ngah ambik keputusan solat kat ruang legar di luar bilik wudhuk je. Tak larat nak naik tangga lagi untuk ke ruang solat di tingkat atas. Masa saya baru selesai ambik wudhuk, nampak ada sorang student (mungkin warga Afrika) sedang mengambil tempat solat di-sebelah kak Ngah. Saya menunggu hingga kak Ngah selesai baru ambil giliran solat. Sejadah ada satu je kat bawah tu, itu yang kena share untuk dua orang solat.

Masa nak mula solat saya perasan, student tu pun baru nak mula solat Maghrib. Maknanya tadi solat kobliyah. Bila nak mula solat mata terperasan sidia solat tak tutup kaki. Jadi nampak kaki. Tumpuan mula berbelah bagi bila dua tiga perkara dah mula masuk dalam kepala..


Sepanjang solat saya cuba untuk kusyuk dengan sesekali memejamkan mata dan fokus terhadap apa yang sedang dibaca. Alhamdulillah dapat fokus. Saya selesai solat bersekali dengan sidia tapi sidia tidak terus duduk macam saya. Beliau bangun lagi tunaikan solat baadiyah 2 rakaat. Saya masih duduk baca apa yang patut, lagi pun tengok kak Ngah pun belum habis baca-baca...

Selesai solat, sidia sambung berzikrullah sambil jari-jarinya ikut bergerak selari dengan gerakan di mulut. Habis zikir, nampak lama beliau berdoa. Masa tu saya dah siap-siap pakai tudung dah. Spontan beliau hulurkan tangan bersalam dengan saya dan kak Ngah sebelum bangun berlalu pergi. Baru dapat bertentang mata secara terus dengan beliau... bergetar sikit hati takkala memandang warga Afrika yang berkulit hitam manis ini.. Subhanallah..

Banyak beza cara kebanyakan foreigner dengan kita, sepertimana kata en suami pada saya, ramai yang berbeza mazhab. Tu sebab diaorang ada yang solat boleh nampak kaki dsb sebab mereka ikut mazhab diaorang, terang en suami. Warna kulit kita dan mereka berbeza tapi yang pasti kita sujud arah kiblat yang sama. Terserlah sifat tawadduk dalam diri beliau. Tiba-tiba rasa tersangatlah kecilnya diri ini berbanding insan lain di hadapan Allah. Di mana tahap takwa-ku di hadapan Allah... Contoh, gadis itu berjaya buat solat sunat rawatib sedangkan saya tak buat sebab ikutkan rasa penat.

...Berazam untuk lebih dekat dengan Allah. Berazam untuk tingkatkan kualiti hubungan dengan Allah. Mulia insan adalah yang menghampiriNya. Ya Allah.. bantulah hamba, tetapkan lah iman hamba.. kabulkanlah ya Allah... aminn



Belajar Bahasa Arab - Guna kaedah 3Q


Assalamualaikum.

Alhamdulillah dah tiga sesi ikut kelas hadis dan bahasa Arab di surau berhampiran. Cuba untuk tidak mau miss kelas sebab dah rasa nyaman dan agak boleh ikut penyampaian ustaz yang jelas dan tak laju sangat. Bagi minda di peringkat usia saya ni, al-maklum macam lambat la sikit nak dapat terima apa yang ustaz ajar... 

Sebelum ini dah dua tiga siri pengajian Bahasa Arab saya dah ikut di tempat lain, tapi malangnya masih jugak tak brape nak cemerlang pick-up. Padahal dulu time belajar ada ambik Arab, tapi agaknya dulu belajar bahasa Arab hanya untuk nak pas periksa, tak diguna-pakai dalam kamus kehidupan.. tu pasal walau tiap kali exam boleh score sampai three pointer tapi bila dah berlalu zaman tu terus jadi lupa... basic pun ingat2 lupa, yang pasti ingat nya hanya rangkap2 regular seperti Kaifa haluka? Ismi Nur dsb... tu je... astaghfirullah.

Sebagai intro, ustaz edarkan 5 hadis yang di-fotokopi untuk kami cuba translit sendiri pakai kamus. Boleh kalu nak semak dalam buku hadis atau google je dalam komputer, tapi ustaz suh usaha translit pakai kamus.

Kata ustaz untuk nak pandai dalam Bahasa Arab kita kena guna kaedah 3Q iaitu kena guna Qiraat(sering membaca bahasa Arab), Quran(selalu baca quran) dan Qamus(iaitu selalu tengok dan cari makna perkataan dalam kamus).
InsyaAllah jika kita praktikkan ke tiga-tiga kaedah itu, maka akan mudah bagi kita untuk cuba memahami bahasa Arab.

Ustaz ingatkan kita perlu tanamkan tekad untuk terus belajar bahasa Arab kerana Bahasa Arab itu merupakan bahasa Al-Quran, bahasa di Syurga, bahasa kita umat Islam seluruhnya.

Mari lah kita berbahasa Arab.... :)

Rahsia 3M menuju taqwa (Bahagian 2)


Assalamualaikum.
...sambungan dari sini...


Jalan menuju ketakwaan merangkumi ciri-ciri 3M iaitu:
  • kena sentiasa Muraqabah (merasa kehadiran Allah, rasa sedang diperhatikan, rasa di-awasi). Kalau tak rasa kehadiran Allah, kita payah nak jadi orang baik. Contoh: Sembahyang macam mana kalau sampai kita terlupa rakaat, sembahyang apa kalau kita sampai terlupa baca fatihah. Kalau betul-betul kita mengadap Allah, kita tak akan cenderung ingat perkara lain,, InsyaAllah akan sentiasa ingat kita berada di rakaat sekian sekian. Muraqabah seumpama kita sedang uji-pandu kereta untuk ambik lesen. Kita beriya-iya ikut peraturan, masuk je kereta terus tarik talipinggang keledar sebeb ada pegawai JPJ duk perhati. Untuk jadi orang bertakwa, kita biasakan diri dengan muraqabah, biar rasa ada cctv Allah duk perhati. Mesti hadirkan dalam hati ada Allah yang sedang mengawasi segala-galanya... Allah yang hadir dan melihat, yang tahu dan mengetahui. Setiap apa yang kita lakukan di atas mukabumi ini akan diungkap satu persatu di akhirat nanti. Dalam surah Yaasin yang kita baca pada ayat 65 ada menceritakan...




[65]

Pada waktu itu Kami meteraikan mulut mereka (sejurus); dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan.

  • kena ada Mujahadah(usaha untuk berubah dari yang tidak baik kepada yang baik) Hidup kita sebagai manusia biasa memang sering melakukan kesilapan. Itu sudah menjadi fitrah kita sebagai insan yang lemah. Namun tidak boleh membiarkan diri terus hanyut tanpa ada usaha untuk melawan nafsu, lawan syaitan. Kena jihad lawan. Ucap Astaghfirullahhal'azim, ucap Audzubillahiminasyaitonirrajim.. InsyaAllah Syaitan akan lari. Untuk sampai ke majlis ilmu pun kita perlu jihad untuk tetapkan hati. Lawan godaan nafsu yang tak bagi pergi contoh dalam TV ada program best, tapi dek kuat hati tetap pergi ke majlis ilmu. Jihad kita hanya pengorbanan masa, jihad bersedekah seringgit dua masuk tabung masjid dsb. Untuk jihad fisabilillah bagi orang2 yang berjuang di jalan Allah berkoban nyawa kita tak mampu buat, maka buatlah jihad-jihad lain. Usaha semaksima mungkin untuk berbuat amal kebaikan bermula dari perkara2 kecil.
  • lakukan Muhasabah (proses koreksi diri, proses menyelidik diri. Sebagaimana kita beristighfar setiap kali lepas solat... Astaghfirullahal'azim... secara otomatik kita sebenarnya sedang bemuhasabah. Kita mohon ampun pada Allah. Biar hati ikut selari dengan apa yang dizahirkan. Buat postmotem: Hari ni mengumpatkah aku? Hari ni apa kekurangan? Hari ni apa dah aku buat? Orang-orang yang mengaku diri beriman sebaik-baiknya buat postmotem bukan setahun sekali, bukan sebulan sekali, bukan seminggu sekali tapi harus buat setiap malam kerana kebanyakan kita hari ini hidup dalam keadaan lara. Pastikan hidup kita dalam bermuhasabah sebab kematian itu akan datang bila-bila masa. Bila datang tak boleh mintak tangguh, tak boleh mintak dipercepat. Ramai orang mati muda. Sebelum ia datang, buatlah persiapan. Kita ambil contoh, anak2 yang nak ambik SPM tahun depan... periksanya tahun depan tapi buat persiapannya dari tahun ini lagi. Dah siap2 ambik tusyen masa form 4 lagi sebagai langkah bersedia untuk SPM. Tapi sebut pasal mati, kita tak tahu bila ianya akan terjadi. Maka, pesanan ustaz buat dirinya dan kita semua, mari ambik langkah berjaga2 bemula hari ini.

Berbekallah kita sebelum mati.. sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
“Berbekallah, dan sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa” (QS: Al-Baqarah ayat 197)


Rahsia 3M menuju taqwa


Alhamdulillah...balik dari kuliah maghrib semangat jadi semakin berkobar-kobar. Ustaz jemputan yang menyampaikan tazkirah datang jauh dari kL. Masa memandu lebih kurang sejam dalam jarak 100km nampaknya tidak menggugat keupayaan ustaz untuk sampaikan kuliah pada kami-kami di sini.. alhamdulillah ustaz kelihatannya begitu bersemangat, itu yang membuat dua tiga orang pakcik2 yang duduk jauh di belakang perlahan-lahan bangun mara ke ruang depan, cuba untuk lebih hampir dengan tok guru yang sedang bagi peringatan.

Seorang rakan pernah berbisik, "....majlis ilmu ni kadang duk ulang peringat benda yang sama je kan... tapi alhamdulillah tiap kali diperingatkan, jadi teringat balik benda2 yang kita hampir lupa dan yang memang terlupa.. Yang tak tahu tu banyak lah, tapi masalahnya yang dah tahu tu pun tak buat... "

"tu ler... betul la ustaz kata majlis ilmu ni majlis peringatan buat kita... dapat peringatkan kita yang duk leka ni"

~~~~~~~~~~~~~

Antara apa yang ustaz sampaikan semalam....

Marilah kita cuba sedaya mungkin untuk tinggalkan perkara yang dimurkai Allah. Ambik iktibar dari peristiwa Hijratul Rasul, renungi rentetan peristiwa dari mula sampai akhir bagaimana ianya terjadi. Biar tahu siapa orang-orang yang berasda di kalangan Rasulullah SAW di saat2 berlakunya hijrah tersebut. Cth: Saidina Abu Bakar as-Siddiq yang menemani Rasulullah di sepanjang perjalanan, Saidina Ali yang menggantikan tempat tidur Rasulullah SAW untuk mengelirukan orang kafir Quraish, Asma ra puteri Saidina Abu Bakar yang tolong memasak dan menghantar makanan buat Rasululullah SAW dan bapanya di Gua Thur dan ramai lagi para sahabat ra yang berkorban jiwa dan raga dalam membantu proses perpindahan ini.

Saidina Umar Ar-Khattab menetapkan penggunaan rasmi tahunan bagi Kalendar Islam bermula tahun hijrah untuk nak gambarkan kepentingannya agar kita dapat terus menghayati peristiwa hijrah. Hijrah yang perlu ada dalam diri kita sekarang ini ialah jihad untuk cuba buat kebaikan, jihad untuk berubah agar dapat buat perkara baik dari yang tidak baik.

Dalam kedudukan kita hari ini, kita sebaiknya jangan berpindah kalau bukan untuk kebaikan, jangan pindah dari satu tempat ke satu tempat yang lain jika ianya tak beri kebaikan. Tapi pindahlah jika kita berada dalam suasana maksiat. Jangan terus bertahan tinggal dalam persekitaran yang penuh dengan maksiat. Kita juga mesti berpindah jika tempat yang kita tinggal sekarang adalah tempat yang menghalang kita lakukan kebaikan. Contoh: Nak tutup aurat tak boleh, isteri dan anak2 dipaksa untuk tidak menutup aurat, nak solat jumaat di halang dsb.


....bersambung di sini.

Penangan Running Man


Alhamdulillah malam tadi berjaya ajak anakku untuk ikut ke majlis ilmu.. Guna perkataan 'berjaya' untuk gambarkan keberhasilan dalam usaha mengajak ke masjid sebab sejak cuti sekolah bermula anak kami yang paling kecik tu hari-hari takde kerja lain selain dari duk mengadap 'Running Man' je.. Running Man, korean show yang jadi minat rata-rata remaja kebelakangan ini jadi dah macam gam Uhu dah buat anakku... melekat agak payah nak tarik.

Sampai tak berenti duk pesan memesan kat kakaknya suruh copy yang latest masuk external hard disk.. "ingat tau.. jangan terlupa pulak kak!", peringatan yang berbaur amaran, ugutan pun ya.. ish ish

Apa yang lucu sangat dengan running man tu, tak tau le... Anak saya duk gelak2 tengok show tu sampai cam tak mau turun dari kerusi komputer. Orang lain dalam rumah yang dengar mula2 rasa biasa lah tapi lama2 rasa macam dah jadi luar biasa pulak... semua naik hot semacam bila dengar member duk gelak2 tak berenti.


Kak Ngah ada cerita kawan2 kat u pun sebok dengan running man ni. Ada yang dah download sampai episod 67, kiranya hari ni keluar episod baru, esok dah siap2 download. Yang jadi tukang supply kat kengkawan pun ramai.. ish ish

Posting mama yang ini mama tujukan khas buat anakku yang paling kecik ini. Jangan over sangat ya... Bersempena dengan tahun baru hijrah 1433, elok kita cuba usaha untuk perbaiki mana2 kelemahan yang ada. Biar ada peningkatan dalam amal soleh anakku... Cuti sekolah yang panjang elok dimanfaatkan dengan aktiviti2 yang lebih mengundang kebaikan buat kita.

Hafal surah2 pendek lagi elok mama rasa. Kurang-kurang kita dapat hafal, berjaya hafal berbanding tak hafal. Surah al-adiyat yang papa suruh hafal, hari ni dah masuk 4 hari belum jugak hafal-hafal ya... hehe

Perbetulkan balik jadual... boleh nak tengok running man tu, dah le tambah tengok citer korea lagi kan.. tapi bagi2 lah masa biar dapat slot buat benda2 bermanafaat sama... suruh buat tu bukan untuk orang lain, bukan untuk mama, bukan untuk papa.. melainkan untuk kebaikan anakku jua...

Kita cuba ubah ya... bak kata ustaz malam tadi, cuba hijrah dari yang tak baik kepada yang baik. dari yang baik kepada yang lebih baik lagi,,, k anakku...
Wassalam.

Netbook Asus Eee PC 1015 PW selepas di-solek



Rupa terkini netbook Asus saya lepas ditaruk batu-batu permata.. hee :)


Perjuangkan Cinta Anda


Al-kisah...


Seorang yang sedang di alam percintaan terus booking tiket dan terbang ke tempat kekasihnya yang saat itu sedang cuba di-tackle oleh seseorang yang lain. Tidak sanggup untuk melepaskan cintanya begitu saja, si pria nekad ke sana untuk selidik apa yang sebenarnya berlaku. Sekurang-kurangnya persoalan akan terjawab, apa-apa pun keputusan belakang kira.. yang penting puas hati dapat berdepan sendiri dengan sang kekasih yang sedang diuji tahap kesetiaan.

Alhamdulillah berkat beliau terbang nun ke sana 'to clear out the air', akhirnya dengan izin Allah jodoh mereka kuat, alhamdulillah kini bahagia beranak pinak happy ending...

Ambik iktibar kisah tersebut. Selagi ada daya, usahalah untuk perjuangkan cinta anda. Jangan biarkan terlepas begitu saja. Buktikan pada sidia, sayang anda sayang yang sungguh-sungguh. Suka anda suka yang bukan main-main. Tunjukkan concern anda pada apa jua permasalahan beliau. Jangan sekadar tunggu saat yang suka, bab duka beliau anda pinggirkan.

Jika hanya kerana masalah kecil kita lepaskan cinta, itu rasanya dikira tidak berbaloi... sia-sia sudah masa dan tenaga yang dah dihabiskan bersama, berkenal-kenalan selama beberapa lama. Kalau nak mulakan relationship yang baru, tentu mengambil masa... bermakna akan mula balik dari A sebagaimana awalan cinta yang telah dilepaskan.

Di samping usaha, penting untuk konsisten berdoa mohon petunjuk Allah terhadap hubungan yang terjalin. Allah dah tentukan apa dan siapa yang terbaik buat kita. Jika ada jodoh kita, InsyaAllah tidak akan ke mana perginya walau sekelian ribut melanda. Sebaliknya jika berusaha banyak mana sekalipun untuk selamatkan hubungan namun dah ditentukan Allah sidia bukan jodoh kita, maka akurlah dengan ketentuan Illahi... terimalah dengan redha... Ingat hakikat, bunga bukan sekuntum kumbang bukan seekor....
Bersabarlah...



Wallahu'alam.

Fadhilat Hari Jumaat/Surah Al-Kahfi


~terjemahan Surah Al-Kahfi di sini~


Dari Abu Said Al Khudri ra., bahwa Rasulullah SAW. bersabda,
"Barangsiapa membaca surah Al Kahfi pada hari Jumaat,
maka dia akan diterangi cahaya antara dua Jumaat."
(HR Baihaqi)
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Surah-surah seperti Surah al-Kahfi, Surah Yaasin, Surah Waaqiah, Surah al-Insan dan Surah Al-Mulk, kalau tak baca tiap-tiap malam pun, ambil la peluang untuk cuba baca surah-surah terpilih ini pada malam Jumaat.


Kita baca quran jangan hanya sekadar tujuan untuk nak ambil berkat, cari pahala, halau pelesit dsb nya saja, tapi bacalah quran yang turun dari langit itu dengan berharap quran dapat beri hidayah pada kita... 
bermaksud untuk dapatkan
  • pimpinan Allah,
  • tunjuk ajar Allah dan
  • ilham daripada Allah
supaya gerak-geri kita sentiasa saja kena dengan Qadar Allah Taala.


Cerita-cerita di dalam al-quran mengandungi berbagai nasihat daripada Allah... memberitahu tentang masa-depan contoh bilamana kita masuk dalam kubur nanti akan jadi macam mana, hidup di padang masyar nanti keadaannya macam mana dan lain-lain lagi.

Benda-benda begitu boleh menyebabkan hati kita tercuit... yang malas akan berubah jadi rajin, yang kedekut akan jadi pemurah, yang penakut jadi berani dan yang jahil akan jadi pandai.. InsyaAllah.

Wallahu'alam.


***petikan dari apa yang disampaikan oleh TGNA di sini.. alhamdulillah


Hafal Surah Iqra... Surah Al-'Alaq

Assalamamualaikum.
Hari Jumaat datang lagi Alhamdulillah... berpagi-pagilah kita melakukan apa saja yang baik hari ini. Ustaz dalam kuliah maghrib mengingatkan semua yang hadir tentang erti kebaikan. Apa-apa saja ketaatan yang kita lakukan yang membawa kita pada amal soleh adalah kebaikan. Apa-apa saja ketaatan dan amal-soleh yang membawa kita menuju ke Syurga adalah kebaikan.

Hari ini banyak2 kita berselawat ke atas Nabi SAW, perbanyakkan berdoa ke hadrat Allah SWT, luangkan masa membaca atau dengarkan bacaan Surah Al-Kahfi hari ini di samping rajin2 kita bersedekah. Ustaz ulangi pesanan bahawa sedekah kita InsyaAllah akan mampu membersihkan dosa.. aminn.

____________________

Sebut pasal mencari kebaikan, banyak perkara bermanafaat yang kita boleh buat. Dari membiarkan masa berlalu sia-sia, apa kata kita teruskan misi hafazan, jom pakat hafal Surah Al-'Alaq.

Surat ini dinamai juga dengan Iqra.
Surah Al-'Alaq adalah surah ke-96 dalam Al Quran. Surah Al-'Alaq terdiri atas 19 ayat, termasuk golongan surat-surat Makkiyah. Ayat 1 sampai 5 dari surat ini adalah ayat-ayat Al Quran yang pertama sekali diturunkan, iaitu di waktu Nabi Muhammad s.a.w. di Gua Hira'. Surat ini dinamai Al 'Alaq (segumpal darah), diambil dari perkataan Alaq yang terdapat pada ayat 2 surat ini.






|




[1]
Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk),
[2]
Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku;
[3]
Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, -
[4]
Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -
[5]
Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.
[6]
Ingatlah! Sesungguhnya jenis manusia tetap melampaui batas (yang sepatutnya atau yang sewajibnya),
[7]
Dengan sebab ia melihat dirinya sudah cukup apa yang dihajatinya.
[8]
(Ingatlah) sesungguhnya kepada Tuhanmu lah tempat kembali (untuk menerima balasan).
[9]
Adakah engkau nampak (baiknya) orang yang melarang (dan menghalang) -
[10]
Seorang hamba Allah apabila ia mengerjakan sembahyang?
[11]
Adakah engkau nampak (buruknya) jika ia berada di atas jalan yang betul? -
[12]
Atau ia menyuruh orang bertaqwa (jangan melakukan syirik)?
[13]
Adakah engkau nampak (terlepasnya dari azab) jika ia mendustakan (apa yang disampaikan oleh Nabi Muhammad kepadanya) serta ia berpaling ingkar?
[14]
Tidakkah ia mengetahui bahawa sesungguhnya Allah melihat (segala amal perbuatannya dan membalasnya)?
[15]
Jangan sekali-kali berlaku derhaka! Demi sesungguhnya jika ia tidak berhenti (dari perbuatannya yang buruk itu), nescaya Kami akan menyentap ubun-ubunnya (dan menyeretnya ke dalam neraka), -
[16]
Ubun-ubun (orang) yang berdusta, yang bersalah.
[17]
Kemudian biarlah ia memanggil kumpulannya (untuk menyelamatkannya),
[18]
Kami pula akan memanggil malaikat Zabaniyah (untuk menyeksanya)!
[19]
Ingatlah! Janganlah engkau (wahai Muhammad) menurut kehendaknya, dan (sebaliknya) sujudlah dan dampingkanlah dirimu kepada Allah (dengan taat dan beramal soleh)!

Akhiran Kisah Bro Bangla


Masa tengah pilih2 bawang, perasan bro bangla yang selalu jaga gerai macam tak ada. Tak nampak pulak kelibat beliau semenjak dua menjak ni. Terus tanya adik yang ganti jaga.. "Dik, mana brader yang selalu tu? Lama akak tak nampak..."

"Ohh yang bangla tu ek kak? Dah berenti dah..."


"Oh..ngapa?"
, cepat2 usul ingin tahu.

"Dah nak balik bangla dah kak..."

"Ooya ke.. anak dia yang kata sakit hari tu caner dah... ok?"


"Dah meninggal dah kak, tu yang dia sedih je time keje... pikiran cam tak tenang, tu yang buat keputusan nak balik sana..."


Innalillahiwainnailaihirajiunn...

...............
........................
..............................

Kisah beliau pernah saya selitkan tak lama dulu (di sini)
Bagi yang pernah terbaca tentu dah tau cerita perihal anak beliau di Bangla yang waktu itu sedang menderita barah otak. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Didoakan beliau tabah menghadapi kehilangan orang tersayang, moga mampu menerima ujian ini dengan hati yang redha... aminn.


Kisah Siti Hajar

"Selamat hari raya isteriku... maaf zahir batin... papa maafkan apa jua salah silap mama..." Pagi-pagi lagi menerima ucapan ini dari seseorang yang bernama suami. Terusik rasa. Belum sempat saya mohon maaf di pagi raya, awal-awal lagi en suami dah siap2 bagitau dah maafkan saya. Ya Allah, terasa berdosa bila mengingatkan ada waktunya diri tak dengar kata. Perbuatan tunjuk seolah-olah setuju tapi kadang-kala hati di dalam berkata-kata... Mulut pun selalu macam tak berapa nak ingat bila bicara...lancar je cakap berbisa..  "Ya Allah, ampunkanlah daku, jadikanlah aku isteri yang sentiasa taat." 

Terbayang kisah pengorbanan Siti Hajar yang sering di-ulang penceritaannya oleh para ustaz setiapkali menjelang Eid ul Adha Al Mubarak. Mari kita baca dan hayati kisah ini, moga2 menjadi inspirasi buat kita agar mampu mencontohi sifat sabar seorang isteri solehah. ..sebahagian kisah pengorbanan Siti Hajar. Credit: http://www.ukhwah.com/print.php?sid=864 

Dalam bahang terik mata hari di tengah-tengah padang pasir yang kering kontang, Nabi Ibrahim, menunggang unta bersama Siti Hajar. Perjalanan agak sukar, namun hal itu tidak memberi kesan kepada mereka. Yang lebih diharapkannya ialah ketabahan hati untuk meninggalkan Siti Hajar dan bayinya di bumi gersang itu. Sepanjang perjalanan, dikuatkan hatinya untuk terus bertawakal. Dia yakin, Allah tidak akan menganiaya hamba-Nya. Pasti ada hikmah di sebalik perintah itu. Selepas kira-kira enam bulan perjalanan, tibalah mereka di Makkah. Nabi Ibrahim memilih sebuah lembah di tengah-tengah padang pasir. Nabi Ibrahim turun dari untanya dan mengikat tali unta di sebatang pokok tamar. Bahang sinaran matahari bukan kepalang. Tekaknya yang dari tadi kehausan, sedikit pun tidak diendahkannya. Yang difikirkannya, bagaimanakah cara memberitahu isterinya mengenai perintah Allah itu. Sepanjang perjalanan lidahnya seolah-olah kelu untuk berkata-kata. Selepas Siti Hajar diturunkan, tanpa berlengah lagi Nabi Ibrahim bersiap sedia untuk pergi. Apabila Siti Hajar melihat perlakuan suaminya, yang bergegas-gegas mahu pergi, ditariknya jubah suaminya sambil merayu-rayu: "Wahai suamiku, apakah aku akan ditinggalkan bersama anakmu di sini?" Tanpa memandang wajah isterinya, Nabi Ibrahim hanya mampu menganggukkan kepala. "Oh... kiranya kerana dosaku menyebabkan engkau bertindak begini, ampunkanlah aku. Aku tidak sanggup ditinggalkan di tengah-tengah padang pasir yang kering kontang ini." Nabi Ibrahim menjawab: "Tidak wahai isteriku, bukan kerana dosamu..." Siti Hajar bertanya lagi: "Kalau bukan kerana dosaku, bagaimana dengan anak ini... Anak ini tidak tahu apa-apa. Tergamakkah engkau meninggalkannya?" Kepiluan dan kesedihan Nabi Ibrahim, hanya Allah yang tahu. Katanya: "Tidak, bukan itu maksudku. Tapi apa dayaku... ketahuilah, ini semua adalah perintah Allah." Apabila disebut perintah Allah, Siti Hajar terdiam. Kelu lidahnya untuk terus merayu. Terbayang olehnya penderitaan yang bakal dihadapi sendirian nanti. Dia yakin kalau tidak kerana perintah Allah, masakan sanggup suaminya meninggalkan dia serta anaknya di situ. Siti Hajar sedaya upaya menguatkan pergantungan dan pertolongan kepada Allah. Namun hatinya masih tertanya-tanya, apakah hikmah di sebalik perintah Allah itu? Ketika gelodak hatinya semakin memuncak, dengan rahmat Allah, disingkapkan penglihatan Siti Hajar ke suatu masa akan datang. Digambarkan tempat itu nantinya akan didatangi oleh manusia dari serata pelosok dunia, yang berduyun-duyun datang untuk membesarkan Allah. Melihat peristiwa itu, terpujuklah hatinya. Cinta dengan Allah, dengan menegakkan agama-Nya, perlukan pengorbanan. Lalu dengan hati yang berat tetapi penuh keyakinan, Siti Hajar berkata kepada suaminya: "Jika benar ia adalah perintah Allah, tinggalkanlah kami di sini. Aku reda ditinggalkan." Suara Siti Hajar mantap sambil mengesat air matanya. Ditabahkan hatinya dengan berkata: "Mengenai keselamatan kami, serahkanlah urusan itu kepada Allah. Pasti Dia akan membela kami. Masakan Dia menganiaya kami yang lemah ini." Siti Hajar menggenggam tangan suaminya. Kemudian dikucupnya, minta reda di atas segala perbuatannya selama mereka bersama. "Doakanlah agar datang pembelaan Allah kepada kami," kata Siti Hajar. Nabi Ibrahim terharu dan bersyukur. Isterinya, Siti Hajar memang wanita terpilih. Dia segera mengangkat tangannya untuk berdoa: "Ya Tuhan kami. Aku tinggalkan anak dan isteriku di padang pasir yang tandus tanpa pohon berkayu dan buah-buahan. Ya Tuhan kami, teguhkanlah hati mereka dengan mendirikan sembahyang, jadikanlah hati manusia tertarik kepada mereka, kurniakanlah rezeki pada mereka daripada buah-buahan mudah-mudahan mereka bersyukur kepada-Mu." Menitis air matanya mendoakan keselamatan anak dan isteri yang dicintai. Hati suami mana yang sanggup meninggalkan anak dan isteri di padang pasir tandus yang sejauh enam bulan perjalanan dari tempat tinggalnya. Namun atas keyakinan padu pada janji Allah, ditunaikan juga perintah Allah walaupun risiko yang bakal dihadapi adalah besar. Selesai berdoa, tanpa menoleh ke arah isteri dan anaknya, Nabi Ibrahim terus meninggalkan tempat itu dengan menyerahkan mereka terus kepada Allah. Tinggallah Siti Hajar bersama anaknya yang masih merah dalam pelukannya. Diiringi pemergian suaminya dengan linangan air mata dan syukur. Ditabahkan hati untuk menerima segala kemungkinan yang berlaku. Tidak lama selepas pemergian Nabi Ibrahim, bekalan makanan dan minuman pun habis. Air susunya juga kering sama sekali. Anaknya Ismail menangis kehausan. Siti Hajar hampir buntu. Di mana hendak diusahakannya air di tengah padang pasir yang kering kontang itu? Sedang dia mencari-cari sumber air, dilihatnya dari jauh seperti ada air bertakung. Dia berlari ke arah sumber air itu. Tetapi apa yang dilihatnya hanyalah fatamorgana. Namun Siti Hajar tidak berputus asa. Dari tempat lain, dia ternampak seolah-olah di tempat di mana anaknya diletakkan memancar sumber mata air. Dia pun segera berlari ke arah anaknya. Tetapi sungguh malang, yang dilihatnya adalah fatamorgana. Tanpa disedari dia berulang-alik sebanyak tujuh kali antara dua bukit, Safa dan Marwa untuk mencari sumber air. Tubuhnya keletihan berlari ke sana ke mari mencari sumber air, namun tiada tanda-tanda dia akan mendapat air. Sedangkan anak yang kehausan itu terus menangis sambil menghentak-hentakkan kakinya ke bumi. Tiba-tiba dengan rahmat Allah, sedang Siti Hajar mencari-cari air, terpancutlah air dari dalam bumi di hujung kaki anaknya Ismail. Pada waktu itu gembiranya hati Siti Hajar bukan kepalang. Dia pun mengambil air itu dan terkeluar dari mulutnya, "Zami, zami, zami.." yang bermaksud, berkumpullah, kumpullah. Seolah-olah dia berkata kepada air itu, "Berkumpullah untuk anakku." Selepas peristiwa itu, kabilah yang berlalu akan berhenti untuk mengambil air. Ada pula yang terus bermastautin di lembah Bakkah (Makkah) kerana dekat dengan sumber air itu. Begitulah kehendak Allah. Sengaja didatangkan sebab musabab untuk menjadikan Islam gemilang dan Makkah menjadi tumpuan manusia. Kisah ketabahan Siti Hajar, turut mempunyai kaitan dan falsafah penting ketika umat Islam menunaikan ibadat haji sekarang. Sebab itulah bagi jemaah yang berada di tanah suci, sama ada ketika mengerjakan umrah atau haji, mereka difardu atau dirukunkan selepas tawaf di Batitullah al-Haram, menunaikan sai iaitu berulang alik dari Safar ke Marwah sebanyak tujuh kali. Ia bertujuan mengingati kembali falsafah penderitaan yang ditanggung Siti Hajar itu. ~~~~~~~~~~~ Selamat Hari Raya Kurban buat semua muslimin muslimat di mana saja anda berada. Mohon maaf jika ada terkasar bahasa dalam mana2 penulisan di blog ini. Moga Allah sentiasa ilhamkan kita agar dapat menjadi insan yang lebih baik dari semasa ke semasa.. Selamat berkorban untuk agama, moga pengorbanan kita diberkati Allah.. aminn

Jadi Hamba Yang Taat


Masuk je blog tadi, ada satu komen berbunyi.... "Mohon share di FB yer...bleh?" Permintaan datangnya dari orang yang tak bernama, maksud saya anonymous dalam entri 'Didik Hati'. Tak kisah lah, walau tak dapat trace sidia penanya, kira assume orangnya berniat baik InsyaAllah.. niat nak panjang-panjangkan ilmu yang dapat dari ustaz yang sampaikan kat masjid... Alhamdulillah.. Terimakasih, moga ada ganjaran pahala di sisi Allah..aminn

Dah dua minggu kot blog tak di update... kira cam sibuk benar pulak ya.. he he.. Tergiang-ngiang kata-kata yang sering diulang siaran di masjid... Kita semua diberi Allah sama rata masa.. semua orang punya 24 jam untuk dilalui setiap hari sehari semalam, sebulan, setahun, dua tahun sampailah saat sampainya ajal. Tak kira kita orang senang ke, susah ke, kaya, miskin, dato', tan sri, petani, guru, suri-rumah ke.. semua diberi Allah 24 jam setiap orang. Orang yang berjaya mengurusi masanya dengan baik adalah orang yang tahu menghargai nikmat kehidupan yang Allah beri.
.. Alhamdulillah.

Dengan rahmat Allah, kita dikurniakan banyak kenikmatan... nikmat nafas yang dihela, nikmat mata yang memandang, nikmat telinga yang mendengar, nikmat tangan yang menggapai, nikmat kaki yang melangkah, nikmat harta benda, nikmat suami, nikmat isteri, nikmat anak2, nikmat keluarga dan kaum kerabat dan berbagai nikmat lagi yang tak terhitung.


Tapi sejauh manakah kita mensyukuri kesemua nikmat itu? Di malam hari kita terbuai dalam mimpi yang indah, bangun Suboh pun di akhir-akhir waktu. Tak timbul rasa rugi walaupun asyik terlepas waktu untuk bertahajjud. Tak rasa rugi walaupun tak sempat baca quran di siang hari yang panjang. Tak rasa apa-apa... Sebab apa?

Sebabnya kata ustaz dalam kuliahnya... sebab hati kita tak begitu ingat pada akhirat. Kita tak berfikir tentang hari pembalasan. Hidup di dunia ini tak kira walau setakat umur 40 tahun ke atau 45 tahun ke atau dapat sampai umur 6o ke, kita semua hanya akan kembali ke dua tempat sahaja samada akan ke Syurga atau ke Neraka. Itu je... Setiap apa yang kita perbuat di dunia ini tidak terlepas dari pengawasan Allah, semua merupakan saham untuk menentukan tempat kita di sana nanti.


Jadi kata ustaz, manafaatkanlah masa dengan sebaik-baiknya. Jadi hamba yang taat akan perintah Allah. Isi masa terluang dengan membaca al-Quran. Amalkan zikrullah kerana bila kita sering menyebut nama Allah InsyAllah dalam apa jua keadaan pun hati kita akan sering mengingat Allah. Bila terkejut kita sebut Allah, bila mengaduh sakitpun kita sebut Allah bukan lagi terkeluar perkataan "Arghh aduhhh..." dsb.


Dekatkan diri kita sekarang juga dengan Allah. Tak payah isi borang apapun, tak perlu pakai perantaraan sebab hubungan kita dengan Allah adalah hubungan terus antara hamba dengan Penciptanya. Berbeza dengan hubungan kita dengan makhluk yang jika kita hendak rapat dengan orang2 ternama misalnya kena melalui orang-orang bawahnya dulu. Kena melalui banyak peringkat baru dapat sampai pada orang tersebut.


Kunci untuk dekat denga Allah... duduklah kita merintih bermunajat pada Allah, mohon pada Allah... jangan putus harap sehingga kita benar2 mampu menjadi orang yang dekat dengan Allah. Usaha berbuat ibadah2 sunat untuk dekat dengan Allah, usahakan hingga kita sampai pada kedudukan begitu mencintai Allah. Bila sampai pada tahap itu, semua yang kita perbuat InsyaAllah akan bersama dengan langkah-Nya, dengan penglihatan-Nya, dengan pendengaran-Nya....aminnn


Jangan tinggal Zikir. Lazimkan zikir Laila haillallah sekurang-kurangnya 100x setiap hari. Lebihkan kalau mampu. Sebatikan diri kita dengan kalimah itu. Serasikan, basahi lidah dengan amalan zikrullah.
Sesibuk manapun kita rasa, jangan sampai tertinggal ibadah. Biar dapat membahagi masa dengan sebaik-baiknya. Biar semua urusan dunia kita menjurus kepada mengingati Allah.. InsyaAllah.



Cerita dari kampus

Balik dari hantar anak2 ke asrama masing2, saya dan suami singgah solat Maghrib di masjid uia yang terletak di tengah2 universiti. Selalu merasa teruja saat berada di rumah Allah yang satu ini. Berbunga hati bila sering bertembung dengan student dari berbilang bangsa berbeza warna kulit samada semasa kami sama2 bergegas menuruni anak tangga menuju ke bilik wudhuk di tingkat bawah, beramai2 pakat duk ambik wudhuk dan semua berjemaah dalam satu saf yang sama.

Sesetengahnya dengan wajah manis menyapa saya memberi salam. Saya di ruang solat banyak memerhati... tersentuh hati bila melihat ramai anak2 remaja dari rata-rata ceruk dan rantau ini mengambil inisiatif mencari sudut tertentu selepas solat, membuka lembaran al-quran(saiz poket), membaca sejenak sebelum bangun meneruskan hala masing2.

Teringat semasa hantar anak perempuan saya naik ke mahallahnya, terserempak dengan ramai siswi yang begitu sempurna penampilan di mata saya. Ada yang sedang berjalan pantas menuju ke cafe, bert-shirt lengan panjang dan berseluar trek namun yang menarik perhatian saya, mereka itu tutup sempurna bila tak lupa memakai stoking walaupun hanya sekadar nak pergi beli makanan kat cafe.

Teringat pula cerita anak saya yang ditegur seorang pemuda tak sure dari negara Arab/Egypt. Tegur sebab apa? Sebab terbersin tapi hanya sempat menyebut "Hacchhh!"

"Sister, say Alhamdulillah..." Anak saya pun dengan rasa wak segannya terus mengucap Alhamdulillah lantas terus disambut oleh anak muda tadi dengan ucapan "yarhamkullah...."

Sekali lagi kakngah melalui pengalaman yang sama cuma penegurnya je yang berbeza. Kali kedua tu dalam lif yang dipenuhi puak2 Arab dan Afrika yang semua berbadan sasa dan tinggi-tinggi belaka... Anak saya secara tak sengaja terbersin lagi... tiba2 terdengar suara pemuda pak itam menegur, "pls say Alhamdulillah, sister..."

Selepas keluar dari lif, kawan anak saya yang sama2 saing nak ke kelas mengusik..."hah caner, tak malu kena tegor?.. hah lain kali sendiri mau ingat wey time bersin tuh.. mamat2 tu sume praktis sunnah, ko..."

Subhanallah..

Bersyukur bila melihat anak2 muda ramai yang berilmu dan faham agama. Maknanya mereka menuntut ilmu bukan sekadar hendak pas pereksa. Ilmu di-apply kan dalam kehidupan seharian, ikut sunnah bermula dari sekecil-kecil perkara... Alhamdulillah syukur pada-mu ya Allah...



Terjemahan Surah Al-Kahfi

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum.

Alhamdulillah hari Jumaat datang lagi...
Banyak2 kita berselawat ke atas Nabi SAW hari ini.
Dari Abu Hurairah ra bahwa Rasulullah SAW bersabda ;
“Barang siapa berselawat terhadapku sekali, maka Allah akan berselawat kepadanya sepuluh kali.” (HR. Muslim)

Dari Abu Umamah ra berkata,
”Rasulullah SAW telah bersabda ;

“Perbanyaklah selawat kepadaku pada Hari Jum’at, karena selawat dari umatku diperlihatkan pada tiap-tiap Hari Jum’at. Barang siapa yang lebih banyak selawatnya kepadaku maka ia lebih dekat kedudukannya denganku.”
(HR. al-Baihaqi dihasankan oleh al-Albani).


Jom luangkan masa membaca ataupun mendengar bacaan Surah Al-Kahfi di samping meneliti terjemahannya..
Penuhi diri kita dengan perkara-perkara yang InsyaAllah dapat membantu kita di akhirat nanti.. kurangkan perkara sia-sia..


Dari Abu Said Al Khudri ra., bahwa Rasulullah SAW. bersabda,
"Barangsiapa membaca surah Al Kahfi pada hari Jumat,
maka dia akan diterangi cahaya antara dua Jumaat."
(HR Baihaqi)

Daripada Ali, yang meriwayatkan daripada Rasulullah SAW, baginda bersabda,
“BARANGSIAPA MEMBACA SURAH AL-KAHF PADA HARI JUMAAT, NESCAYA DIRINYA TERPELIHARA HINGGA LAPAN HARI, DARIPADA SEGALA FITNAH YANG MELANDA, DAN JIKA KELUAR DAJJAL SEKALI PUN, DIA AKAN TERPELIHARA DARIPADANYA”
[Al-Dhurr al-Manthur oleh al-Suyuti 5: 355]



TERJEMAHAN SURAH AL-KAHFI
[1]
Segala puji tertentu bagi Allah yang telah menurunkan kepada hambaNya (Muhammad), Kitab suci Al-Quran, dan tidak menjadikan padanya sesuatu yang bengkok (terpesong):
[2]
(Bahkan keadaannya) tetap benar lagi menjadi pengawas turunnya Al-Quran untuk memberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar) dengan azab yang seberat-beratnya dari sisi Allah, dan memberi berita gembira kepada orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka akan beroleh balasan yang baik.
[3]
Mereka tinggal tetap dalam (balasan yang baik) itu selama-lamanya.
[4]
Dan juga Al-Quran itu memberi amaran kepada orang-orang yang berkata:” Allah mempunyai anak”.
[5]
(Sebenarnya) mereka tiada mempunyai sebarang pengetahuan mengenainya, dan tiada juga bagi datuk nenek mereka; besar sungguh perkataan syirik yang keluar dari mulut mereka; mereka hanya mengatakan perkara yang dusta.
[6]
Maka jangan-jangan pula engkau (wahai Muhammad), membinasakan dirimu disebabkan menanggung dukacita terhadap kesan-kesan perbuatan buruk mereka, jika mereka enggan beriman kepada keterangan Al-Quran ini.
[7]
Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya, kerana kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya.
[8]
Dan sesungguhnya Kami akan jadikan apa yang ada di bumi itu (punah-ranah) sebagai tanah yang tandus.
[9]
Adakah engkau menyangka (wahai Muhammad), bahawa kisah “Ashaabul Kahfi” dan “Ar-Raqiim” itu sahaja yang menakjubkan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Kami?
[10]
(Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan ugama kami”.
[11]
Lalu Kami tidurkan mereka dengan nyenyaknya dalam gua itu, bertahun-tahun, yang banyak bilangannya.
[12]
Kemudian Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), untuk Kami menguji siapakah dari dua golongan di antara mereka yang lebih tepat kiraannya, tentang lamanya mereka hidup (dalam gua itu).
[13]
Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.
[14]
Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: “Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran.”
[15]
(Mereka berkata pula sesama sendiri): “Kaum kita itu, menyembah beberapa tuhan yang lain dari Allah; sepatutnya mereka mengemukakan keterangan yang nyata yang membuktikan ketuhanan makhluk-makhluk yang mereka sembah itu? (Tetapi mereka tidak dapat berbuat demikian); Maka tidak ada yang lebih zalim dari orang-orang yang berdusta terhadap Allah.
[16]
Dan oleh kerana kamu telah mengasingkan diri dari mereka dan dari apa yang mereka sembah yang lain dari Allah, maka pergilah kamu berlindung di gua itu, supaya Tuhan kamu melimpahkan dari rahmatnya kepada kamu, dan menyediakan kemudahan-kemudahan untuk (menjayakan) urusan kamu dengan memberikan bantuan yang berguna”.
[17]
Dan engkau akan melihat matahari ketika terbit, cenderung ke kanan dari gua mereka; dan apabila ia terbenam, meninggalkan mereka ke arah kiri, sedang mereka berada dalam satu lapangan gua itu. Yang demikian ialah dari tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan) Allah. Sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah, maka dia lah yang berjaya mencapai kebahagiaan; dan sesiapa yang disesatkanNya maka engkau tidak sekali-kali akan beroleh sebarang penolong yang dapat menunjukkan (jalan yang benar) kepadanya.
[18]
Dan engkau sangka mereka sedar, padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri; sedang anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua; jika engkau melihat mereka, tentulah engkau akan berpaling melarikan diri dari mereka, dan tentulah engkau akan merasa sepenuh-penuh gerun takut kepada mereka.
[19]
Dan demikianlah pula Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), supaya mereka bertanya-tanyaan sesama sendiri. Salah seorang di antaranya bertanya: “Berapa lama kamu tidur?” (sebahagian dari) mereka menjawab: “Kita telah tidur selama sehari atau sebahagian dari sehari”. (Sebahagian lagi dari) mereka berkata: “Tuhan kamu lebih menengetahui tentang lamanya kamu tidur; sekarang utuslah salah seorang dari kamu, membawa wang perak kamu ini ke bandar; kemudian biarlah dia mencari dan memilih mana-mana jenis makanan yang lebih baik lagi halal (yang dijual di situ); kemudian hendaklah ia membawa untuk kamu sedikit habuan daripadanya; dan hendaklah ia berlemah-lembut dengan bersungguh-sungguh (semasa di bandar); dan janganlah dia melakukan sesuatu yang menyebabkan sesiapapun menyedari akan hal kamu.
[20]
“Sesungguhnya, kalaulah mereka mengetahui hal kamu, tentulah mereka akan merejam dengan membunuh kamu, atau mereka akan mengembalikan kamu kepada ugama mereka (secara paksa); dan jika berlaku demikian, kamu tidak sekali-kali akan berjaya selama-lamanya”.
[21]
Dan demikianlah Kami dedahkan hal mereka kepada orang ramai supaya orang-orang itu mengetahui bahawa janji Allah menghidupkan semula orang mati adalah benar, dan bahawa hari kiamat itu tidak ada sebarang syak padanya; pendedahan itu berlaku semasa orang-orang itu berbantahan sesama sendiri mengenai perkara hidupnya semula orang mati. Setelah itu maka (sebahagian dari) mereka berkata: “Dirikanlah sebuah bangunan di sisi gua mereka, Allah jualah yang mengetahui akan hal ehwal mereka”. orang-orang yang berkuasa atas urusan mereka (pihak raja) pula berkata: “Sebenarnya kami hendak membina sebuah masjid di sisi gua mereka”.
[22]
(Sebahagian dari) mereka akan berkata: “Bilangan Ashaabul Kahfi itu tiga orang, yang keempatnya ialah anjing mereka “; dan setengahnya pula berkata:”Bilangan mereka lima orang, yang keenamnya ialah anjing mereka” – secara meraba-raba dalam gelap akan sesuatu yang tidak diketahui; dan setengahnya yang lain berkata: “Bilangan mereka tujuh orang, dan yang kedelapannya ialah anjing mereka”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Tuhanku lebih mengetahui akan bilangan mereka, tiada yang mengetahui bilangannya melainkan sedikit”. Oleh itu, janganlah engkau berbahas dengan sesiapapun mengenai mereka melainkan dengan bahasan (secara sederhana) yang nyata (keterangannya di dalam Al-Quran), dan janganlah engkau meminta penjelasan mengenai hal mereka kepada seseorangpun dari golongan (yang membincangkannya).
[23]
Dan janganlah engkau berkata mengenai sesuatu (yang hendak dikerjakan): “Bahawa aku akan lakukan yang demikian itu, kemudian nanti”.
[24]
Melainkan (hendaklah disertakan dengan berkata): “Insya Allah”. Dan ingatlah serta sebutlah akan Tuhanmu jika engkau lupa; dan katakanlah: “Mudah-mudahan Tuhanku memimpinku ke jalan petunjuk yang lebih dekat dan lebih terang dari ini”.
[25]
Dan mereka telah tinggal tidur dalam gua mereka: Tiga ratus tahun dengan kiraan Ahli Kitab), dan sembilan lagi (dengan kiraan kamu).
[26]
Katakanlah (wahai Muhammad): “Allah jua yang mengetahui tentang masa mereka tidur; bagiNya lah tertentu ilmu pengetahuan segala rahsia langit dan bumi; terang sungguh penglihatanNya (terhadap segala-galanya)! Tidak ada bagi penduduk langit dan bumi pengurus selain daripadaNya dan Ia tidak menjadikan sesiapapun masuk campur dalam hukumNya.
[27]
Dan baca serta turutlah apa yang diwahyukan kepadamu dari kitab Tuhanmu; tiada sesiapa yang dapat mengubah kalimah-kalimahNya; dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat tempat perlindungan selain daripadaNya.
[28]
Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.
[29]
Dan katakanlah (wahai Muhammad): “Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah ia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya”. Kerana Kami telah menyediakan bagi orang-orang yang berlaku zalim itu api neraka, yang meliputi mereka laksana khemah; dan jika mereka meminta pertolongan kerana dahaga, mereka diberi pertolongan dengan air yang seperti tembaga cair yang membakar muka; amatlah buruknya minuman itu, dan amatlah buruknya neraka sebagai tempat bersenang-senang.
[30]
Sebenarnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh sudah tetap Kami tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki amalnya.
[31]
Mereka itu, disediakan baginya syurga yang kekal, yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka dihiaskan di dalamnya dengan gelang-gelang tangan emas, dan memakai pakaian hijau dari sutera yang nipis dan sutera tebal yang bersulam; mereka berehat di dalamnya dengan berbaring di atas pelamin-pelamin (yang berhias). Demikian itulah balasan yang sebaik-baiknya dan demikian itulah Syurga tempat berehat yang semolek-moleknya.
[32]
Dan berikanlah kepada mereka satu contoh: Dua orang lelaki, Kami adakan bagi salah seorang di antaranya, dua buah kebun anggur; dan Kami kelilingi kebun-kebun itu dengan pohon-pohon tamar, serta Kami jadikan di antara keduanya, jenis-jenis tanaman yang lain.
[33]
Kedua-dua kebun itu mengeluarkan hasilnya, dan tiada mengurangi sedikitpun dari hasil itu; dan kami juga mengalirkan di antara keduanya sebatang sungai.
[34]
Tuan kebun itu pula ada mempunyai harta (yang lain); lalu berkatalah ia kepada rakannya, semasa ia berbincang dengannya: “Aku lebih banyak harta daripadamu, dan lebih berpengaruh dengan pengikut-pengikutku yang ramai”.
[35]
Dan ia pun masuk ke kebunnya (bersama-sama rakannya), sedang ia berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan sebab kufurnya), sambil ia berkata: “Aku tidak fikir, kebun ini akan binasa selama-lamanya.
[36]
Dan aku tidak fikir, hari kiamat kan berlaku; dan kalaulah aku dikembalikan kepada Tuhanku (sebagaimana kepercayaanmu), tentulah aku akan mendapat tempat kembali yang lebih baik daripada ini.
[37]
berkatalah rakannya kepadanya, semasa ia berbincang dengannya: “Patutkah engkau kufur ingkar kepada Allah yang menciptakan engkau dari tanah, kemudian dari air benih, kemudian Ia membentukmu dengan sempurna sebagai seorang lelaki?
[38]
Tetapi aku sendiri percaya dan yakin dengan sepenuhnya bahawa Dia lah Allah, Tuhanku, dan aku tidak sekutukan sesuatu pun dengan Tuhanku.
[39]
Dan sepatutnya semasa engkau masuk ke kebunmu, berkata: (Semuanya ialah barang yang dikehendaki Allah)! (tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah)? Kalau engkau memandangku sangat kurang tentang harta dan anak, berbanding denganmu,
[40]
Maka mudah-mudahan Tuhanku akan mengurniakan daku lebih baik daripada kebunmu, dan (aku bimbang) dia akan menimpakannya dengan bala, bencana dari langit, sehinggalah menjadilah kebunmu itu tanah yang licin tandus.
[41]
Ataupun air kebun itu akan menjadi kering ditelan bumi, maka dengan yang demikian, engkau tidak akan dapat mencarinya lagi”.
[42]
Dan segala tanaman serta hartabendanya itupun dibinasakan, lalu jadilah ia membalik-balikkan kedua tapak tangannya (kerana menyesal) terhadap segala perbelanjaan yang telah dibelanjakannya pada kebun-kebunnya, sedang kebun-kebun itu runtuh junjung-junjung tanamannya; sambil dia berkata: “Alangkah baiknya kalau aku tidak sekutukan sesuatupun dengan Tuhanku!”
[43]
Dan ia tidak mendapat sebarang golongan yang boleh menolongnya, selain dari Allah; dan ia pula tidak dapat membela dirinya sendiri.
[44]
Pada saat yang sedemikian itu kekuasaan memberi pertolongan hanya tertentu bagi Allah, Tuhan yang sebenar-benarnya; Dia lah sebaik-baik pemberi pahala, dan sebaik-baik pemberi kesudahan yang berbahagia (kepada hamba-hambaNya yang taat).
[45]
Dan kemukakanlah kepada mereka misal perbandingan: Kehidupan dunia ini samalah seperti air yang Kami turunkan dari langit, lalu bercampur aduklah tanaman di bumi antara satu sama lain (dan kembang suburlah ia) disebabkan air itu; kemudian menjadilah ia kering hancur ditiup angin; dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[46]
Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan.
[47]
Dan (ingatkanlah) hari Kami bongkar dan terbangkan gunung-ganang dan engkau akan melihat (seluruh) muka bumi terdedah nyata; dan Kami himpunkan mereka (di padang Mahsyar) sehingga Kami tidak akan tinggalkan seorangpun dari mereka.
[48]
Dan mereka tetap akan dibawa mengadap Tuhanmu dengan berbaris teratur, (sambil dikatakan kepada mereka): “Kamu sekarang telah datang kepada Kami – (berseorangan) sebagaimana Kami telah jadikan kamu pada mulanya; bahkan kamu dahulu menyangka, bahawa kami tidak akan menjadikan bagi kamu masa yang tertentu (untuk melaksanakan apa yang Kami telah janjikan)”.
[49]
Dan “Kitab-kitab Amal” juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata:” Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!” Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorangpun.
[50]
Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam”; lalu mereka sujud melainkan iblis; ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya. Oleh itu, patutkah kamu hendak menjadikan iblis dan keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin selain daripadaku? Sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu. Amatlah buruknya bagi orang-orang yang zalim: pengganti yang mereka pilih itu.
[51]
Aku tidak memanggil mereka menyaksi atau membantuKu menciptakan langit dan bumi, dan tidak juga meminta bantuan setengahnya untuk menciptakan setengahnya yang lain; dan tidak sepatutnya Aku mengambil makhluk-makhluk yang menyesatkan itu sebagai pembantu.
[52]
Dan (ingatkanlah) masa Allah berfirman: “Panggilah sekutu-sekutuKu yang kamu katakan itu (untuk menolong kamu); lalu mereka memanggilnya, tetapi sia-sia sahaja, kerana makhluk-makhluk itu tidak menyahut seruan mereka: dan kami jadikan untuk mereka bersama sebuah tempat azab yang membinasakan.
[53]
Dan orang-orang yang berdosa itu tetap akan melihat neraka, maka yakinlah mereka, bahawa mereka akan jatuh ke dalamnya dan mereka tidak akan mendapati sebarang jalan untuk mengelakkan diri daripadanya.
[54]
Dan demi sesungguhnya Kami telah huraikan dengan berbagai-bagai cara di dalam Al-Quran ini untuk umat manusia, dari segala jenis contoh bandingan; dan sememangnya manusia itu, sejenis makhluk yang banyak sekali bantahannya.
[55]
Dan tiada yang menghalang manusia daripada beriman, ketika datang petunjuk Al-Quran kepada mereka, dan daripada memohon ampun kepada Tuhan mereka, melainkan (kerana kedegilan mereka dan kerana mereka) menunggu didatangi azab yang memusnahkan yang telah menimpa orang-orang dahulu, atau di datangi azab yang dilihat dan dihadapi.
[56]
Dan tidak Kami mengutus Rasul-rasul, melainkan sebagai pemberi berita gembira dan pemberi amaran; dan orang-orang yang kafir membantah dengan alasan yang salah untuk menghapuskan kebenaran dengan bantahan itu; dan mereka jadikan ayat-ayatku, dan amaran yang diberikan kepada mereka sebagai ejek-ejekan.
[57]
Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang diberi ingat dengan ayat-ayat Tuhannya, lalu ia berpaling daripadanya dan lupa akan apa yang telah dilakukan oleh kedua tangannya; sesungguhnya (disebabkan bawaan mereka yang buruk itu) Kami jadikan tutupan berlapis-lapis atas hati mereka, menghalang mereka daripada memahaminya, dan (Kami jadikan) pada telinga mereka penyumbat (yang menyebabkan mereka pekak). Dan jika engkau menyeru mereka kepada petunjuk, maka dengan keadaan yang demikian, mereka tidak sekali-kali akan beroleh hidayah petunjuk selama-lamanya.
[58]
Dan Tuhanmu Maha Pengampun, lagi melimpah-limpah rahmatnya. Jika Ia mahu menyeksa mereka (di dunia) disebabkan apa yang mereka telah usahakan, tentulah Ia akan menyegerakan azab itu menimpa mereka; (tetapi Ia tidak berbuat demikian) bahkan ditentukan bagi mereka satu masa yang mereka tidak sekali-kali akan dapat sebarang tempat perlindungan, yang ialah daripadanya.
[59]
Dan penduduk negeri-negeri (yang derhaka) itu Kami telah binasakan ketika mereka melakukan kezaliman, dan Kami telah tetapkan satu masa yang tertentu bagi kebinasaan mereka.
[60]
Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Musa berkata kepada temannya: “Aku tidak akan berhenti berjalan sehingga aku sampai di tempat pertemuan dua laut itu atau aku berjalan terus bertahun-tahun”.
[61]
Maka apabila mereka berdua sampai ke tempat pertemuan dua laut itu, lupalah mereka akan hal ikan mereka, lalu ikan itu menggelunsur menempuh jalannya di laut, yang merupakan lorong di bawah tanah.
[62]
Setelah mereka melampaui (tempat itu), berkatalah Nabi Musa kepada temannya: “Bawalah makan tengah hari kita sebenarnya kita telah mengalami penat lelah dalam perjalanan kita ini”.
[63]
Temannya berkata: “Tahukah apa yang telah terjadi ketika kita berehat di batu besar itu? Sebenarnya aku lupakan hal ikan itu; dan tiadalah yang menyebabkan aku lupa daripada menyebutkan halnya kepadamu melainkan Syaitan; dan ikan itu telah menggelunsur menempuh jalannya di laut, dengan cara yang menakjubkan”.
[64]
Nabi Musa berkata: “Itulah yang kita kehendaki “; merekapun balik semula ke situ, dengan menurut jejak mereka.
[65]
Lalu mereka dapati seorang dari hamba-hamba Kami yang telah kami kurniakan kepadanya rahmat dari Kami, dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu; dari sisi Kami.
[66]
Nabi Musa berkata kepadanya: Bolehkah aku mengikutmu, dengan syarat engkau mengajarku dari apa yang telah diajarkan oleh Allah kepadamu, ilmu yang menjadi petunjuk bagiku?”
[67]
Ia menjawab: “Sesungguhnya engkau (wahai Musa), tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku.
[68]
Dan bagaimana engkau akan sabar terhadap perkara yang engkau tidak mengetahuinya secara meliputi?
[69]
Nabi Musa berkata: “Engkau akan dapati aku, Insyaa Allah: orang yang sabar; dan aku tidak akan membantah sebarang perintahmu”.
[70]
Ia menjawab: “Sekiranya engkau mengikutku, maka janganlah engkau bertanya kepadaku akan sesuatupun sehingga aku ceritakan halnya kepadamu”.
[71]
Lalu berjalanlah keduanya sehingga apabila mereka naik ke sebuah perahu, ia membocorkannya. Nabi Musa berkata: “Patutkah engkau membocorkannya sedang akibat perbuatan itu menenggelamkan penumpang-penumpangnya? Sesungguhnya engkau telah melakukan satu perkara yang besar”.
[72]
Ia menjawab: “Bukankah aku telah katakan, bahawa engkau tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku?”
[73]
Nabi Musa berkata: “Janganlah engkau marah akan daku disebabkan aku lupa (akan syaratmu); dan janganlah engkau memberati daku dengan sebarang kesukaran dalam urusanku (menuntut ilmu)”.
[74]
Kemudian keduanya berjalan lagi sehingga apabila mereka bertemu dengan seorang pemuda lalu ia membunuhnya. Nabi Musa berkata “Patutkah engkau membunuh satu jiwa yang bersih, yang tidak berdosa membunuh orang? Sesungguhnya engkau telah melakukan satu perbuatan yang mungkar!”
[75]
Ia menjawab: “Bukankah, aku telah katakan kepadamu, bahawa engkau tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku?”
[76]
Nabi Musa berkata: “Jika aku bertanya kepadamu tentang sebarang perkara sesudah ini, maka janganlah engkau jadikan daku sahabatmu lagi; sesungguhnya engkau telah cukup mendapat alasan-alasan berbuat demikian disebabkan pertanyaan-pertanyaan dan bantahanku”.
[77]
Kemudian keduanya berjalan lagi, sehingga apabila mereka sampai kepada penduduk sebuah bandar, mereka meminta makan kepada orang-orang di situ, lalu orang-orang itu enggan menjamu mereka. Kemudian mereka dapati di situ sebuah tembok yang hendak runtuh, lalu ia membinanya. Nabi Musa berkata: “Jika engkau mahu, tentulah engkau berhak mengambil upah mengenainya!”
[78]
Ia menjawab: “Inilah masanya perpisahan antaraku denganmu, aku akan terangkan kepadamu maksud (kejadian-kejadian yang dimusykilkan) yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya.
[79]
Adapun perahu itu adalah ia dipunyai oleh orang-orang miskin yang bekerja di laut; oleh itu, aku bocorkan dengan tujuan hendak mencacatkannya, kerana di belakang mereka nanti ada seorang raja yang merampas tiap-tiap sebuah perahu yang tidak cacat.
[80]
Adapun pemuda itu, kedua ibu bapanya adalah orang-orang yang beriman, maka kami bimbang bahawa ia akan mendesak mereka melakukan perbuatan yang zalim dan kufur.
[81]
Oleh itu, kami ingin dan berharap, supaya Tuhan mereka gantikan bagi mereka anak yang lebih baik daripadanya tentang kebersihan jiwa, dan lebih mesra kasih sayangnya.
[82]
Adapun tembok itu pula, adalah ia dipunyai oleh dua orang anak yatim di bandar itu; dan di bawahnya ada “harta terpendam” kepuyaan mereka; dan bapa mereka pula adalah orang yang soleh. Maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka cukup umur dan dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu, sebagai satu rahmat dari Tuhanmu (kepada mereka). Dan (ingatlah) aku tidak melakukannya menurut fikiranku sendiri. Demikianlah penjelasan tentang maksud dan tujuan perkara-perkara yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya”.
[83]
Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai Zulkarnain. Katakanlah: “Aku akan bacakan kepada kamu (wahyu dari Allah yang menerangkan) sedikit tentang perihalnya”:
[84]
Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadanya kekuasaan memerintah di bumi, dan Kami beri kepadanya jalan bagi menjayakan tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya.
[85]
Lalu ia menurut jalan (yang menyampaikan maksudnya).
[86]
Sehingga apabila ia sampai ke daerah matahari terbenam, ia mendapatinya terbenam di sebuah matair yang hitam berlumpur, dan ia dapati di sisinya satu kaum (yang kufur ingkar). Kami berfirman (dengan mengilhamkan kepadanya): “Wahai Zulkarnain! Pilihlah sama ada engkau hendak menyeksa mereka atau engkau bertindak secara baik terhadap mereka”.
[87]
Ia berkata: “Adapun orang yang melakukan kezaliman (kufur derhaka), maka kami akan menyeksanya; kemudian ia akan dikembalikan kepada Tuhannya, lalu diazabkannya dengan azab seksa yang seburuk-buruknya.
[88]
Adapun orang yang beriman serta beramal soleh, maka baginya balasan yang sebaik-baiknya; dan kami akan perintahkan kepadanya perintah-perintah kami yang tidak memberati”.
[89]
Kemudian ia berpatah balik menurut jalan yang lain.
[90]
Sehingga apabila ia sampai di daerah matahari terbit, ia mendapatinya terbit kepada suatu kaum yang kami tidak menjadikan bagi mereka sebarang perlindungan daripadanya.
[91]
Demikianlah halnya; dan sesungguhnya Kami mengetahui secara meliputi akan segala yang ada padanya.
[92]
kemudian ia berpatah balik menurut jalan yang lain.
[93]
Sehingga apabila ia sampai di antara dua gunung, ia dapati di sisinya satu kaum yang hampir-hampir mereka tidak dapat memahami perkataan.
[94]
Mereka berkata: “wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?”
[95]
Dia menjawab: “(kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku jadikan daku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah daku dengan tenaga (kamu beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh.
[96]
Bawalah kepadaku ketul-ketul besi”; sehingga apabila ia terkumpul separas tingginya menutup lapangan antara dua gunung itu, ddia pun perintahkan mereka membakarnya dengan berkata: “Tiuplah dengan alat-alat kamu” sehingga apabila ia menjadikannya merah menyala seperti api, berkatalah dia: “Bawalah tembaga cair supaya aku tuangkan atasnya”.
[97]
Maka mereka tidak dapat memanjat tembok itu, dan mereka juga tidak dapat menebuknya.
[98]
(Setelah itu) berkatalah Zulkarnain: “Ini ialah suatu rahmat dari Tuhanku; dalam pada itu, apabila sampai janji Tuhanku, Dia akan menjadikan tembok itu hancur lebur, dan adalah janji Tuhanku itu benar”.
[99]
Dan Kami biarkan mereka pada hari itu (keluar beramai-ramai) bercampur-baur antara satu dengan yang lain; dan (kemudiannya) akan ditiup sangkakala, lalu Kami himpunkan makhluk-makhluk seluruhnya di Padang Mahsyar.
[100]
Dan Kami perlihatkan neraka Jahannam, pada hari itu kepada orang-orang kafir, dengan pendedahan yang jelas nyata;
[101]
(Iaitu) orang-orang yang matanya telah tertutup daripada melihat tanda-tanda yang membawa kepada mengingatiKu, dan mereka pula tidak dapat mendengar sama sekali.
[102]
Maka adakah orang-orang kafir menyangka bahawa mereka mengambil hamba-hambaKu sebagai makhluk-makhluk yang disembah, selain daripadaKu, dapat menolong mereka? Sesungguhnya Kami telah sediakan neraka Jahannam bagi orang-orang kafir itu sebagai tempat tetamu.
[103]
Katakanlah (wahai Muhammad): “Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya?
[104]
(Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan”.
[105]
Merekalah orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan denganNya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka akibatya Kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka, pada hari kiamat kelak.
[106]
(Mereka yang bersifat) demikian, balasannya neraka Jahannam, disebabkan mereka kufur ingkar, dan mereka pula menjadikan ayat-ayatKu dan Rasul-rasulKu sebagai ejek-ejekan.
[107]
Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, disediakan bagi mereka Syurga-syurga Firdaus, sebagai tempat tetamu (yang serba mewah).
[108]
Mereka kekal di dalamnya, (dan) tidak ingin berpindah daripadanya.
[109]
Katakanlah (wahai Muhammad): “Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan”.
[110]
Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya”.


     **Syukran, kredit untuk website: alquran-melayu.com
         Jazakallah hu khairon


Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...