Tiada Ikhlas Dalam Derhaka

Bismillahirrahmanirrahim

Dah lama tak bukak blog, hari ini tergerak hati untuk melihat-lihat... tiba-tiba nampak mesej dari seseorang yang meminta saya membuat pembetulan atas ejaan kalimah salam yang tertera di pintu masuk blog. Rupa-rupanya saya dah terlepas pandang ejaannya. Terima kasih tuan Ghazali atas teguran,
JazakAllah Khairan... moga-moga Allah merahmati tuan.

Alhamdulillah sudah 20 hari kita melalui bulan Ramadhan. Semoga kita berjaya dengan 20 hari yang telah berlalu itu. Kata ustaz dalam Tazkirah Ramadhan, tujuan kita berpuasa adalah agar mudah-mudahan kita menjadi orang yang bertakwa. Pada bulan Ramadhan, di mana datangnya takwa? Kita berpuasa atas sebab mentaati Allah Taala, berpuasa kerana menyedari diri mentaati perintah Allah. Itulah sebenarnya orang yang bertakwa. Bangun sahur datangkan takwa bilamana kita bangun sahur itu kerana ingat itu perintah Allah. Maka sahurnya menjadi takwa. Sama dengan berbuka puasa, jika hanya makan sebiji kurma sahaja pun semasa berbuka tapi dia berbuka kerana itu perintah Allah, maka ia mendatangkan takwa. Berbeza dengan berbuka dengan 4 jenis air, makan sekenyang-kenyangnya sebab nak ganti waktu berlapar yang panjang, maka itu tidak takwa.

Makna takwa yang simple ialah melaksanakan perintah-perintah Allah dan meninggalkan larangan-larangan-Nya. Itu sebab orang yang tidak solat tapi berpuasa dan tidak menutup aurat tapi berpuasa tidak dapat dicari takwa dalam ibadahnya. Ustaz pernah menegur seseorang... "akak ni puasa ke tak?" "Eh puasa lah ustaz, apa pulak tak puasa..." "Abih kalau puasa kenapa bukak aurat?" "Ohh akak tak pakai tudung pun, hati ikhlas ustaz..."

Kesimpulan ustaz terhadap perkara di atas, tidak ada perkataan ikhlas pada DERHAKA. Ikhlas ada hanya pada TAAT sahaja. Orang yang tak menutup aurat dengan sempurna bagaimana mungkin boleh mengaku ikhlas. Tiada kebaikan dalam derhaka. Kita berpuasa, tak makan tak minum, tak berhubungan suami-isteri di siang hari, namun jangan banyak benda lain kita berbuat derhaka semasa kita berpuasa kerana dikhuatiri hanya sia-sia saja 20 hari Ramadhan yang dah berlalu pergi.

Apa bekalan yang kita nak bawak pada Allah Taala? Apabila kubur dibongkar, maka terdedahlah segala amal masing-masing. Tiap-tiap diri akan tahu apakah bekal yang dia bawa. Yang sayangkan harta akan sedar harta itu tidak dapat menolong semasa diri sudah ditimbus dengan tanah. Yang sayangkan dunia, dunia akan meninggalkannya selepas talkin dibaca. Yang tinggal hanyalah amal soleh yang pernah dilakukan semasa hidup di dunia. Jika bersahabat dengan al-Quran maka al-Quran lah yang akan menjadi teman setia kita semasa di dunia, di dalam kubur dan di padang Masyar nanti.

Mari kita istiqamah memperhati perintah-perintah Allah. Buat check-list setiap hari, yang mana dah buat.. yang mana belum buat.. yang mana tersalah buat.. Kena sentiasa bermuhasabah diri. Firman Allah: "Takutlah pada Ku wahai orang-orang yang berakal." Maknanya orang yang berakal akan taat akan perintah Allah. Orang yang tahu berfikir ialah orang yang berakal. Hanya orang gila yang tidak terikat dengan peraturan. Orang yang tidak berakal hanya akan ikut undang-undang sendiri. Orang cerdik tapi tak berakal adalah orang yang menderhakai Allah Taala. Orang yang sebenar-benar cerdik adalah orang yang taat pada perintah Allah.

Kena taat Allah sebab Allah yang jadikan kita, Allah yang buat bumi, langit, bulan, bintang, matahari dan seluruh alam ini. Dan dari langit itu turun air yang mencurah-curah. Dari air yang mencurah-curah itu keluar rezeki pada kita semua.. tumbuh-tumbuhan, buah-buahan dan segala hasil bumi. Kita hidup menumpang di bumi Allah. Semua yang ada hanyalah pinjaman buat kita. Hebat setakat manakah kita... Cuba bayangkan bagaimana jika tiba-tiba pada suatu pagi ketika kita bangun, bila kita buka paip air.. air tak keluar, tengok perigi.. perigi kering, tengok sungai... sungai kering.. Nauzubillah.
Firman Allah dalam surah al-Mulk ayat 1: Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat); dan memanglah Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu
Hari ini kita sudah memasuki fasa terakhir bulan Ramadhan. Penuhi 10 terakhir ini dengan iktikaf, qiam, Quran, zikir, doa dan sedekah. Pencarian Lailatul Qadr bermula di siang hari. Kekuatan melawan hawa nafsu di siang hari menentukan kekuatan kita untuk beribadah di malam hari. Elakkan derhaka, lebihkan taat... ikhlas semata-mata kerana Allah. Berpuasalah seluruh anggota dan pancaindera. Jangan menipu, jangan dengki. Sesungguhnya dengki boleh membakar seluruh kebaikan kita. Jangan hanya teringat untuk bersegera dalam berbuka puasa namun jadi kurang teringat untuk bersegera menunaikan solat Maghrib. Jangan hanya teruja untuk berterawih namun tak mampu untuk bangun solat baadiyah Isyak sebab perut terlampau kenyang. Bersahabatlah dengan al-Quran kerana al-Quran nanti akan menjadi penolong kita selepas kita mati. Bersahurlah kerana ia merupakan ibadah sunat bagi kita. Berbuat yang sunat InsyaAllah mendapat pahala, namun jika ditinggalkan maka amat rugilah kita.

Wallahu'alam.

2 comments:

Anonymous said...

Jom kita ramai2 iktikaf di masjid, qiamullail & tadabbur al-Qur'an. Ya Allah temukan kami dgn Lailatul Qadr. Amiin.

Cikli said...

Ikhlas tapi jauh

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...