Surah al-Baqarah

Bismillahirrahmanirrahim

Teringat ustaz pernah cerita tentang kisah rumah seorang hambaAllah yang dihuni makhluk halus.  HambaAllah tersebut telah meminta nasihat ustaz, tentang cara-cara bagaimana untuk menghalau makhluk tersebut kerana rumahnya yang sudah lama tidak diduduki bagaikan dah pakat dihuni oleh sesuatu yang lain. Itu yang bila masuk saja ke dalam rumah tersebut, beliau dan seluruh ahli keluarganya acapkali merasa seriau, memang dapat rasa ada benda yang menghuni. 

Ustaz mengesyorkan agar dipasang cd/kaset bacaan Surah al-Baqarah secara bersambung-sambung selama tiga hari berturut-turut sebagai salah-satu ikhtiar.  Jika ada peluang elok sekiranya dapat dibaca sendiri Surah al-Baqarah.  Walau tidak dapat dihabiskan bacaan dalam satu-satu masa, boleh break dan kemudian sambung balik membacanya. Kami yang mendengar cerita ustaz hari tu ikut merasa berdebar-debar. Ishk.. risau pulak bila dengar bab gangguan makhluk halus ni.  Balik rumah lepas kelas petang tu, terus di-ON kan Surah al-Baqarah.  Sesungguhnya tempat berlindung  kita hanya pada Allah SWT, moga Allah pelihara diri kita dan keluarga dari sebarang bentuk gangguan lebih-lebih lagi gangguan makhluk yang berupa hantu, jin, iblis dan syaitan.

Surah al-Baqarah ternyata mempunyai banyak kelebihan. Ayat-ayatnya sering kita amal baca dalam Al-Mathurat. Dua ayat terakhirnya disebut dapat mencukupi orang yang membacanya. Surah ini dapat dijadikan hujah untuk keselamatan orang yang mempunyainya dan hadis Nabi SAW juga ada menegaskan bahawa sesungguhnya syaitan itu lari dari rumah yang di dalamnya dibacakan surah al-Baqarah.  Di dalam surah al-Baqarah juga mengandungi ayat yang teragung iaitu ayat al-Kursi.  Alhamdulillah. 

Dari an-Nawwas bin Sam'an r.a katanya: "Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda:
"Al-Quran itu akan didatangkan pada hari kiamat nanti, demikian pula ahli-ahli al-Quran iaitu orang-orang yang mengamalkan al-Quran itu di dunia, didahului oleh surat al-Baqarah dan surat Ali-Imran.  Kedua surat ini menjadi hujah untuk keselamatan orang yang mempunyainya - yakni membaca, memikirkan dan mengamalkannya.    
(Riwayat Muslim)

Dari Ibnu Mas'ud r.a katanya: "Rasulullah SAW bersabda:
"Barangsiapa yang membaca sebuah huruf dari kitabullah - yakni al-Quran, maka ia memperoleh suatu kebaikan, sedang satu kebaikan itu akan dibalas dengan sepuluh kali lipat yang seperti itu.  Saya tidak mengatakan bahawa alif lam mim itu satu huruf, tetapi alif adalah satu huruf, lam satu huruf dan mim juga satu huruf."
Diriwayatkan oleh Imam Termidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan shahih.

Dari Abu Mas'ud al-Badri r.a dari Nabi SAW, sabdanya:
"Barangsiapa yang membaca dua ayat dari akhir surah al-Baqarah di waktu malam - iaitu ayat Aamanar rasulu sampai akhir surat, maka kedua ayat itu mencukupinya."   
(Muttafaq 'alaih)
Di katakan oleh para alim ulama bahawa erti kafataahu atau mencukupi orang tadi, maksudnya mencukupi dari apa yang tidak disenangi atau tidak diinginkan pada malam itu.  Ada pula yang meng'artikan mencukupi dari berdiri untuk solat malam.

Dari Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:
"Janganlah engkau semua menjadikan rumah-rumahmu itu sebagai kuburan - yakni tidak pernah bersembahyang sunat atau membaca al-Quran di dalamnya, sehingga sunyi-sunyi saja dari ibadat.  Sesungguhnya syaitan itu lari dari rumah yang di dalamnya itu dibacakan surat al-Baqarah."  
(Riwayat Muslim)

Dari Ubay bin Ka'ab r.a katanya:
"Rasulullah SAW bersabda:  "Hai Abul Mundzir, adakah engkau mengetahui, ayat manakah dari Kitabullah - yakni al-Quran - yang ada besertamu itu yang teragung?"" Saya lalu menjawab: "Iaitu Allahu la ilaha illa huwal hayyul qayyum, yakni ayat al-Kursi.  Beliau SAW lalu menepuk-nepuk dadaku dan bersabda: "Semoga engkau mudah memperoleh ilmu, hai Abul Mundzir."  Beliau SAW mendoakan demikian kerana benar sekali apa yang diucapkan itu.     (Riwayat Muslim)

*Sumber kesemua hadis:
Kitab Riyadhus Shalihin 
(Taman Orang-Orang Salih)

No comments:

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...