Maqam Asbab dan Tajrid


2: Ahli asbab dan ahli tajrid:
Keinginan kamu untuk bertajrid padahal allah masih meletakkan kamu Dalam suasana asbab adalah syahwat yang samar, sebaliknya keinginan Kamu untuk berasbab padahal allah telah meletakkan kamu dalam Suasana tajrid berarti turun dari semangat dan tingkat yang tinggi.

Kitab AlHikam

Ibn 'Athoillah al-Iskandari
-------------------------

Bismillahirrahmanirrahim.

Kata ustaz...
Menyebut tentang sumber rezeki, kebanyakan dari kita, Allah letak sumber rezeki dalam maqam asbab.  Contoh: sumber rezeki dari bercucuk tanam, menangkap ikan, meniaga, makan gaji dsb. Maksudnya seseorang itu kena berusaha dan bekerja untuk mendapat rezeki.

Hanya sebahagian kecil dari kita Allah letak dalam maqam tajrid. Dia tak bekerja tapi alhamdulillah Allah bagi rezeki dari jalan yang tak disangka-sangka, dari jalan yang tak dikira contoh: tok tok guru yang pergi mengaji di Mekah.  Bertahun2 di Mekah, balik2 dia tak kerja pun, balik buka pondok pengajian tapi alhamdulillah ada saja rezeki dari Allah.

Berniaga, bercucuk tanam, makan gaji boleh menjadi ibadah asalkan sumber rezeki itu halal. Ustaz bagi contoh seorang pomen kereta yang bukak bengkel sebagai sumber rezeki. Ustaz kisahkan, pada suatu hari ustaz yang dalam perjalanan balik dari mengajar di satu tempat, tiba2 kereta buat hal. Panggil pomen yang terdekat dengan tempat kejadian.  Ustaz berharap sangat agar dapat sampai balik ke rumahnya malam itu juga sebab di pagi esoknya beliau ada kuliah subuh.  Berkat pertolongan pomen tersebut, alhamdulillah kereta dapat dipandu balik walaupun dalam kelajuan perlahan.  Kiranya pomen baiki sekadarnya saja malam itu sebab esoknya baru akan datang balik sambung baiki di tempat ustaz dengan membawa peralatan yang cukup.
Kata ustaz, jelas bahawa kerja pomen itu menjadi ibadah bilamana dia telah membantu menyampaikan ustaz  ke rumahnya sehingga menjadi terlaksananya perjalanan kuliah subuh ustaz keesokan harinya. Subhanallah. 

Maka, kita duduk lah di mana Allah letak kita. Jika Allah dah letakkan kita di maqam asbab, maka jangan kita pandai-pandai nak tukar sendiri apa yang dah ditentukan Allah buat kita. Contoh: dah elok2 kerja, nak berhenti kerja sebab rasa nak tumpu ibadah full-time.  Kata ustaz, jika kita pandai2 tukar sendiri, ingin tukar dari asbab kepada tajrid maka  ianya tidak lain hanyalah atas dorongan nafsu.  Seeorang yang bekerja pejabat contohnya yang bergaji bulanan rm2500 tiba-tiba telah berhenti kerja. Dalam fikirannya bila berhenti kerja, masanya akan terpenuhi dengan banyak amalan soleh dan dia akan ada banyak masa duduk di masjid. Namun, hakikat perbelanjaan rumahtangga tetap perlu ada, belanja dapur, belanja anak sekolah, bil itu ini tetap ada sedangkan gaji bulan tu dah tak dapat.  

Maka mulalah meminjam dengan kawan-kawan sana sini. Dari duit yang dipinjam ada baki sikit dapat beli van lama, lalu van tersebut dipakai untuk beli ikan dipasar borong.  Niat asal agar ada banyak masa untuk ibadah jadi sebaliknya bilamana pergi pasar borong pukul 1 atau 2 pagi. Balik dari pasar borong, tidur sekejap.  Tahajjud tertinggal, subuh pun terlepas sebab tidur tak ingat apa..dah penat sangat.  Bangun lambat, solat subuh pun lewat. Pergi ke pasar, jual ikan.  Balik tidur lagi, zohor entah ke mana sebab tidur tak ingat apa...dah penat sangat. Jadi semua ibadah terlepas, solat berjemaah dan majlis ilmu pun entah ke mana. Maka jika begitu jadinya tindakan ingin bertukar dari asbab kepada tajrik itu hanyalah lorongan nafsu semata-mata. Jelas ia tidak sesuai dengan kita, maka disebabkan itulah Allah letak kita di tempat kita sekarang. Allah lebih tahu apa yang baik untuk kita. Maka ulang ustaz, duduklah di mana Allah letak kita melainkan pertukaran kedudukan kita adalah dari Allah Taala.

Ustaz jelaskan, kita sebagai manusia, bermula iradat(tentukan sesuatu) itu melalui 3 perkara:

1)Tabiat
Tabiat manusia, makan nak sedap, tidur nak lena, pakai nak lawa... memang itu perangai kita. Sebab itu ada yang pakai pakaian bukan sebab nak tutup aurat, tapi sebab nak lawa.. (Moga bukan kita).

2) Ibadat
Terbahagi kepada tiga kategori:

i)Ibadat dilakukan bagi orang yang menunggu-nunggu anugerah Allah. Menanti-nanti anugerah dari Allah. Ibadahnya betul-betul kerana Allah... Lillahi Taala lalu dia mengharapkan anugerah Allah ke atas dirinya..

ii)Ibadat mengikut kehendak nafsu.  Kehendak nafsu nak heret kita ke arah kejahatan, melainkan yang selamat ialah orang yang dipelihara oleh Allah Taala.  Contoh: Seorang ustaz bagi kuliah sebab hendakkan mulia di mata manusia. atau datang mengajar sebab hendakkan imbuhan bayaran. Ataupun ada yang terima jawatan ahli agama sebab hendakkan pangkat dan harta.

Disebut ada 4 perkara yang menghalang kita dari melakukan ibadah iaitu: (1)dunia, (2) manusia , (3)syaitan dan (4)nafsu. Kata Imam Ghazali, tiga yang awal tidak lah seberat yang ke empat iaitu nafsu.  Nafsu adalah faktor dalaman dalam diri seseorang. Nasu kalau tak dimujahadah, tak ditentang, tak di-jinakkan, maka sampai ke tua lah kita tak dapat bangun buat solat tahajjud. Ada yang nafsu, ingin nak jadi wali. Kata ustaz, kita jangan tuntut karamah tapi tuntutlah istiqamah.  Hanya perlu konsisten buat ibadah.  Allah suruh kita berusaha bukan sekadar tahu berangan-angan. Sesiapa yang bermujahadah tentang nafsu, dapat bangun solat malam, InsyaAllah Allah tunjukkan jalan baginya. Kita ini tidur nak lama, sedangkan Allah nak kita bangkit tahajjud. Jangan pula sampai kita mati, sampai ke sudah tak dapat bangun solat tahajjud...nauzubillah..

Pesan ustaz, beringat-ingatlah tentang hakikat bekal kena banyak kerana perjalanan sangat jauh...  Hendak lah kita lawan nafsu, mujahadah lawan. Bila terjaga pukul 4.30 pagi, terus bangkit jangan banyak cerita.  Ambil wudhuk, terus sembahyang sekurang-kurangnya 2 rakaat.  Mujahadah sungguh-sungguh. Kalau berjaya buat sebulan, akan rasa ringan sikit.  Lepas dua bulan istiqamah buat, InsyaAllah dah seronok dah.  Lawan lah nafsu, lawan iblis. Misi kita adalah untuk ibadah.  Kematian bila-bila boleh berlaku. Maka buat banyak-banyak ibadah...

iii) Ibadah kepada Allah untuk dapatkan rahmat.   
Kita mengadapkan muka kepada Allah SWT. Buat ibadah fardhu, tambahi dengan yang sunat.  Cukupkan yang fardhu dan banyak-banyak buat ibadah sunat. Nak dekatkan diri dengan Allah kena buat ibadah sunat. Untuk dapatkan kasih Allah, buat ibadah fardhu saja tak cukup. 

Ustaz membacakan surah at-Takaathur ayat 1 dan 2

yang bermaksud;
[1] Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh), 
[2] Sehingga kamu masuk kubur.
.................................
Jangan berserah begitu saja bila persiapan tak cukup. Ambil masa yang masih ada ini dengan memperbanyakkan bekal akhirat bagi mengharapkan keredhaan Allah. Kalau dah rasa manis dalam ibadah,kita akan jadi orang yang merindui malam. Akan tertunggu-tunggu..."lambatnya nak malam..." Dan bila dengar azan Subuh pula, akan rasa..."Ohh kenapa cepat sangat..." Jelas, ada rasa lazat dalam bermunajat pada Allah di malam hari.

(3) Ikhlas.
Sucikan hati kita dalam mengerjakan ibadah. Tak tolak hukum Allah, tak angkuh, tak sombong, tak riak. Kita minta berlindung hanya pada Allah. Di sinilah pentingnya ilmu, di mana jika tiada ilmu, susahlah kita.  Kalau mengaji, boleh buat penilaian, yang mana benar yang mana salah. Kita buat ibadah untuk tuntut keredhaan Allah.  Maka sucikan hati dari syirik samada rububiyah atau uluhiyah. Begitu juga dengan syirik tersembunyi contoh merasa: "..dapat belajar hingga pandai ni sebab aku... aku...kudrat aku..." 

Ustaz minta renungkan satu contoh: Bila kita bangun pukul 4 pagi, kita ambil wudhuk dan kita pun solat tahajjud. Bayangkan, lihat dengan matahati bahawa "aku tak boleh angkat tangan untuk takbiratul ihram kalau Allah tak izin."  Kalau kita boleh nampak dengan matahati perkara ini, hati kita akan jadi begitu sebak sekali... Kita tak nampak ia berlaku dengan kudrat kita.. kita nampak semua berlaku dengan pertolongan Allah. Subhanallah. 

Berjaga-jagalah bila iradat kita bercanggah dengan iradat Allah, kerana itu syirik. Awas, nantikanlah balasannya jika: 
  • apa yang Allah suruh , kita tak buat; 
  • yang Allah kata halal, kita kata haram; 
  • yang Allah kata haram, kita kata halal.

Bila kita rapat dengan Allah, Allah akan jadikan kita dekat denganNya. Hanya orang yang dapat inayah atau pertolongan dari Allah akan nampak perkara ini. Sering2lah buat solat hajat, solat istikharah.. mohon petunjuk Allah. Jangan ditinggal solat Dhuha. Bekerjalah untuk sumber rezeki, asalkan ia tidak mengganggu ibadah kita. Allah dah letak, maka duduklah di situ. Lainlah kalau tempat kita bekerja membabitkan perkara haram, tak boleh pakai tudung, tak dibenar break untuk solat atau dilarang keluar untuk solat Jumaat, maka segeralah berhenti, cari tempat kerja lain. Pekerjaan kita kalau betul caranya, InsyaAllah ia jelas menjadi ibadah.  Amanahlah dalam pekerjaan, InsyaAllah rezeki yang diperolehi membawa berkat buat seisi keluarga.

Wallahu a'lam.


#majlisilmu
#kuliahmaghrib


10 comments:

JJ said...

Mohon share ...syukran..moga diterima sebagai amal soleh In Syaa Allah.Aamiin Allahumma Aamiin

Unknown said...

Mohon share ustaz. Terima kasih ustaz

JAMALIAHSKB said...

Terima kasih

sazali - 019 300 1304 said...

Mohon share, terima kasih Ustaz.

Khariri-love heart said...

Alhamdulillah. Hikam 188

SarahAbdull said...

Barak Allahu Feekum (Aamiin) buat Ustaz dan Blogger serta semua pembaca. Mohon di sharekan artikel ini ya.


Anonymous said...

Alhamdulillah dpt la faham Maqam Tajrid. Terimakaseh Ustaz

SukaSuki said...

Terima kasih ats ilmu ni..

Anonymous said...

ustaz bagaimana pula bab bekerja bagi seorang isteri? saya sebagai isteri faham akan tggjwb saya tapi org sekeliling selalu berpesan untuk saya bekerja katanya zaman skrg susah jika hnya suami bekerja ...

nur said...

Saya hanya share point² dari kuliah maghrib. Utk pertanyaan puan tu afdhal tanya ustad😊

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...