Tazkirah 28 Ramadan 1447H

Alhamdulillah dapat berhimpun solat berjemaah.

Mungkin malam ini malam ke 2/ke 3 terakhir Ramadhan. 

Bagaimana ibadah kita sepanjang Ramadan hingga ke malam ini? Adakah kita berjaya improve bacaan quran kita atau adakah masih ditakuk lama? Solat kita adakah lebih baik? Dosa² kita, adakah makin kurang kita berbuat dosa?

Adakah nanti bila kita keluar dari Ramadan kita dalam keadaan tidak mendapat pengampunan dari Allah Taala? Allahu, nauzubillah..

"Mari kita muhasabah diri, tuan-tuan", kata ustad takkala selesai membariskan soalan² tersebut .

Ustad membacakan satu hadis Nabi SAW;

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW:

Maksudnya: Ketika Nabi SAW menaiki mimbar, Baginda SAW bersabda: “Amin, Amin , Amin (sebanyak 3 kali)”. Baginda SAW ditanya: “Wahai Rasulullah, apabila engkau menaiki mimbar, engkau telah berkata amin, amin , amin”. Maka Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Jibril AS telah datang kepadaku, lalu dia (Jibril) berkata: Barangsiapa yang bertemu dengan bulan Ramadhan tetapi tidak diampunkan baginya maka dia akan dimasukkan ke dalam neraka serta dijauhkan (daripada rahmat) oleh Allah SWT. Katakanlah (wahai Muhammad): Amin. Maka aku katakan: Amin”.  [Riwayat Ibn Hibban, no. Hadith 907]

Mari kita semak kedudukan ibadah dan amalan kita🙂‍↔️🙂‍↔️Kita cuba semampunya perbaiki kekurangan sementara masih ada kesempatan. Kita usaha, yang selebihnya berserah pada Allah Taala.

Kita tak tau adakah sempat tak lagi bertemu dengan Ramadan selepas ini. Wallahua'lam. Moga Ramadan kali ini menjadi titik perubahan untuk kita menjadi hamba-Nya yang lebih baik. Moga Allah ampunkan segala dosa² kita. Moga diterima amalan.🤲  Aamiinn




Tazkirah 27 Ramadan 1447H


Orang yang bertaqwa sentiasa memelihara diri dari bercakap yang sia², mencaci maki, mencerca dsb.

Sabda Rasulullah SAW, maksudnya: "orang yang beriman itu bukanlah sifatnya memaki hamun,melaknat,berkata kotor dan juga berbahasa yang keji". ( Riwayat Al-Tirmizi 1977 )

Sesungguhnya Allah tidak suka pada orang yang melampaui batas.

Bercakaplah  yang baik, jika tak dapat bercakap yang baik, lebih baik diam . 

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya: “Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam.” [Riwayat al-Bukhari (6018)]

Orang yang berpuasa hendaklah menjaga mulut. Tidak bercakap yang tak sepatutnya yang boleh menyakiti hati orang lain. 

Juga jaga mata, telinga dan hati kita. Jaga pandangan, elak dari melihat perkara yang haram, sia-sia atau maksiat. Pilih untuk tidak mendengar fitnah, umpatan, atau perkara yang boleh rosakkan pahala puasa. Sucikan hati dari perasaan marah, dengki, riak, dan prasangka buruk.

Moga Allah sentiasa ilhamkan kita. Moga menjadi insan bertaqwa...

Aamiinnn



Tazkirah 26 Ramadan 1447H


Kita dah sampai ke malam 26 Ramadan. Kita akan di uji dengan ujian nafsu. Samada kita dapat kekal istiqamah beramal atau sebaliknya di penghujung Ramadan ini. Adakah kita masih kekal berterawih dan bersama² mengimarahkan rumah Allah ataupun kita mungkin gagal. Di hujung² ni dikhuatiri nafsu mengajak  kita untuk nak pergi cari baju raya, nak keluar shopping cari sarung kusyen baru, nak gerak balik kampung dsb.

Lailatul qadar itu lebih baik dari 1000 bulan. 

Firman Allah dalam surah al-Qadr 1 - 5:

1)Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar,

2)Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu?

3)Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.

4)Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut);

5)Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar.


Allah mentakdirkan Lailatul qadar akan berlaku di salah satu malam yang ganjil dan di malam yang akhir dari bulan Ramadan. Sedangkan kita ada yang masih duk tanya², malam ni malam 25 ke malam 26. Sempat lagi kita masih duk sibuk berkira² untuk melakukan amal. Kita yang banyak berdosa, sedangkan Rasulullah SAW seorang yang maksum, bersungguh² Nabi meningkatkan ibadah pada 10 malam terakhir Ramadan.

Daripada Aisyah R.A, beliau berkata:“Adalah Rasulullah SAW lebih bersungguh-sungguh (dalam beribadah) pada sepuluh hari terakhir(Ramadan) tidak sebagaimana Baginda bersungguh-sungguh pada hari-hari lainnya” - 

(HR Muslim 1175)


Sama² kita pertingkatkan amal. Ya Allah bantu hamba..

Aamiinnn Aamin ya Robbal Alamin.


Tazkirah 23 Ramadan 1447H - Blog Matahati 7 juta Pengunjung


Alhamdulillah hari ini 23 Ramadan, dengan izin Allah blog Matahati dah capai pageview 7juta. Alhamdulillah syukur ya Allah. JAZAKALLAH buat semua yang berkunjung. Subhanallah genap² dua tahun dengan viewers meningkat sebanyak 1juta dari posting pada 24 Ramadan 1445H; juga di 10malam terakhir Ramadan, dua tahun lalu. (di SINI)

Moga InshaaAllah dapat sama² di-ambil apa² yang baik di dalam blog ini. Moga menjadi asbab kebaikan.. Moga Allah memberkati penulisan ini... Aamiin Allahumma Aamin

.......................

Tazkirah 15 minit ustad malam tadi sebelum bangun Teraweh.

Alhamdulillah Allah masih lagi rezekikan kita untuk terus istiqamah berada di bulan Ramadan.

Sedar² kita dah berada di hari² terakhir Ramadan. Dah masuk malam 23 Ramadhan. 


Ramadan, Ramadan🎶

Ramadan di hati🎵

Ramadan, Ramadan🎶

Ku mohon usah pergi🙂‍↔️🙂‍↔️


Setiap yang bermula pasti ada pengakhirannya. "Hari² yang masih berbaki, ini, kita nak buat apa tuan-tuan?" Tanya ustad.

Kita gunakan 10 yang terakhir ini mengikut sunnah Nabi SAW.

Nabi bila masuk ke 10 Ramadan, Nabi ajar menghidupkan malam - dengan qiamullail, berzikir, baca quran, berdoa... Nabi SAW juga akan kejutkan keluarga untuk sama² bangun beribadah.

.............................

Dari Aisyah, beliau bertanya kepada Nabi S.A.W:

"Wahai Rasulullah, jika aku menjumpai satu malam merupakan lailatul qadar, apa yang harus aku ucapkan di malam itu?

Baginda menjawab, ucapkanlah: 

Allahumma Innaka ‘Afuwwun Tuhibbul ‘Afwa Fa’fu ‘Annii" 

Maksudnya:

"Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, dan Engkau menyukai keampunan, maka ampunilah aku"

(HR Ahmad. 25384)

..............................

"Banyakkan mengucapkan doa ini. Sebab ini datang dari Nabi SAW",..pesan Ustad

Ustad menutup tazkirah dengan hadis Nabi SAW yang mengatakan... Kelebihan solat malam, siapa yang solat malam di bulan Ramadan dengan penuh keimanan, Allah ampunkan dosa²nya InshaaAllah.

Moga Allah terima ibadah kita, moga Allah beri keampunan, semoga kita beruntung...Aamiinn Aaminn ya Robbal Alamin🤲




Tazkirah 21 Ramadan 1447H - Lailatulqadar Malam Yang Istimewa


Alhamdulillah diri masih berada di bulan Ramadan. Kita dah sampai ke 10 hari² terakhir Ramadhan.

Ada satu malam yang berharga, satu malam yang jika bertepatan amal kita malam itu, maka kita akan meraih keistimewaan malam yang lebih baik dari 1000 bulan.

Allah merahsiakan satu malam yang istimewa di 10 malam terakhir bulan Ramadan iaitu Lailatul Qadar. Allah rekodkan malam hebat ini dalam al-Quran dalam surah al-Qadr ayat 1-5.

1)Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar,

2)Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu?

3)Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.

4)Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut);

5)Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar.


Moga Allah rezekikan kita bertemu dengan malam Lailatulqadar.

Baca doa yang Nabi ajar untuk kita mendapat keampunan dari Allah di malam Lailatul qadar.

 اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي

Allahumma innaka 'afuwwun tuhibbul 'afwa fa'fu 'anni

Erti doa: "Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun/Pemaaf, dan Engkau menyukai keampunan, maka ampunilah aku"

.............................

Banyakkan baca doa itu, wajib baca. InshaaAllah Allah bagi suatu kelebihan yang besar buat kita.. Aamiin Aamiin ya Robbal Alamin.


Tazkirah 20 Ramadan 1447H - Doa Mohon Keampunan Lailatulqadar


Telah berada di 20 Ramadan 1447H. Alhamdulillah kita dah sampai ke 10 terakhir Ramadan.

"Qiamullail bermula esok", kata Imam (yakni hari ini) Semoga kita semua bangun qiyam malam tadi.

Hendaklah isi setiap ruang dengan amal soleh; termasuk~

✔️Menghidupkan Malam (Qiyam): Melakukan solat tarawih, witir, dan tahajud bersama imam untuk ganjaran penuh.

✔️Membaca al-Quran: Meningkatkan tadarus dan tadabbur kerana kelebihannya yang berlipat ganda.

✔️Iktikaf: Berdiam diri di masjid (khususnya) untuk fokus beribadah.

✔️Berdoa dan Berzikir: Khususnya doa memohon keampunan Lailatul Qadar

 اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي

Allahumma innaka 'afuwwun tuhibbul 'afwa fa'fu 'anni

Erti doa: "Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun/Pemaaf, dan Engkau menyukai keampunan, maka ampunilah aku"

✔️Tingkatkanlah sedekah dan amal kebajikan.

Allah ganda dari 10 hingga 700kali ganda. Rugi bagi orang yang tak menghargai ganjaran pahala yang Allah janjikan.

Firman Allah SWT:

Maksudnya: Perumpamaan mereka yang membelanjakan harta-harta mereka di jalan Allah adalah seperti satu biji benih yang menumbuhkan tujuh batang tangkai yang mana pada setiap satu tangkai itu mempunyai 100 biji benih. Dan Allah melipatgandakan (pahala) kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan Allah itu Maha Luas lagi Maha Mengetahui. 

Surah Al-Baqarah (261)

✔️Bukan saja jaga hubungan dengan Allah, tapi kena jaga hubungan sesama manusia. Jangan kita menjadi muflis di akhirat nanti apabila kita berdosa terhadap sesama manusia, cth; di akhirat kelak pahala² yang kita ada terpaksa diberi pada orang yang kita telah menyakiti hati mereka. Atau apabila kita bermasam muka atau berbalah dengan orang. (Transaksi di hari kiamat ~ klik di SINI)

Daripada Jubair bin Mut’im RA bahawa Nabi SAW bersabda:Maksudnya: “Tidak masuk syurga orang yang memutuskan (silaturrahim).” [Riwayat al-Bukhari (5984)]


Nota:
Orang Yang Muflis di Bulan Ramadan ~ di SINi


Air Sirap Cendol

 


Teringat² nak minum minuman faveret arwah ibuku time bulan puasa. Minuman untuk bukak puasa, mok tiap hari minum air sirap letak cendol. Allahu... terkenang arwah ibuku.. moga roh arwah mok, Hjh Habsah bt Ismail, Allah tempatkan di kalangan orang² yang beriman dan beramal soleh...aamiinn 

Jadi teringat sangat nak minum air sirap + cendol ni..tapi nak cari cendol macam yang jual kat Kelantan tu,  kat mana?🤔

Mungkin boleh cari cendol di Pasaraya GU, tapi tu lah, tak sama rasa. Yang duk teringat nak makannya, cendol oghe klate...huuu

Hari² berlalu hinggalah semalam... Semasa datang ambil biskut Nestum yang di-order, Ana hulurkan sesuatu pada saya masa turun kereta. "Ni cendol untuk kakti"...🥲🥹


Allahu Akbar... Ana! 

Ya Allah... Allah mendengar isihati ku. Allah sampaikan hajat saya melalui Ana. Ana bawa cendol😭 

Cendol pulak tu cendol yang adiknya yang tinggal diJohor, yang buat. Ana orang Kelantan.

Alhamdulillah🤲

Tq Ana... Jazakillahu khoiron.

**Ana tak tau pun pasal hasrat saya tu. Nobody knows, hanya Allah yang tahu. ALHAMDULILLAH..Tq Allah🤲


Air Sirap homemade



Tazkirah Nuzul Quran

Perkataan "Nuzul" bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. 

Nuzul Quran bermaksud penurunan al-Quran dari langit ke dunia (Baitul Izzah) dan seterusnya kepada Nabi Muhammad SAW secara berperingkat sebagai wahyu Allah SWT, yang bermula pada malam 17 Ramadan.

Allah turun kan sekaligus dari Luh mahfuz ke Baitul Izzah. Tapi diturunkan secara berperingkat dari Baitul Izzah selama 23tahun.


Nabi SAW naik ke gua hirak, duduk menyendiri.

Tibalah masa jibril turunkan 5 ayat awal surah al-Alaq.

Jibrail telah menampakkan dirinya dan dia berkata akulah Jibrail dan engkau adalah Rasulullah. 

Nabi kita jadi Nabi SAW. Lalu Kota mekah menjadi baraqah. 


Ada beberapa cara nabi terima wahyu:

1) dalam mimpi

2) jibril datang dalam bentuk yang asal yang mempunyai 600 sayap, memenuhi ufuk.

3) jibril datang dalam bentuk manusia, menyerupai seorg lelaki, cara ini lebih ringan untuk Nabi SAW terima.

4) bunyi macam loceng yang sangat kuat. Keadaan itu yang paling berat/sukar Nabi SAW terima


Alquran bukan benda kecil. Al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam.

Semua benda yang dikaitkan dengan al-Quran dimuliakan Allah.

Alquran dan Ramadan tidak dapat dipisahkan. Di malam² Ramadan yang berbaki ini,, beramallah..tidur sekejap..yang selebihnya berjagalah. Mari kita memburu Lailatulqadar. Mulianya malam Lailatulqadar ini, malam yang turunnya alquran. Malam yang mulia melebihi 1,000 bulan. 

Bulan ini bulan kita meningkatkan ibadah, bukan baru nak mula ibadah.

Wajibkan diri untuk baca quran cth: tetapkan pukul 2.30ptg tiap hari nak baca quran, sibuk macamana pun baca lah sekurang²nya 1m/s. Quran ini bukan tunggu ada masa lapang baru nak baca, kena lapangkan masa untuk baca.

Mulianya alquran. Tapi kenapa ada orang yang sanggup taknak dengar bacaan alquran. Belum baca lagi, dengar pun taknak. Cth: bila pasang radio, tiba² dengar radio IKiM pasang orang ngaji, terus tukar siaran; bila bukak tv, tiba² tengok ada musabaqah alquran terus tukar siaran. Insaflah kita semua. Teruslah mentadabbur alquran di Ramadan yang tinggal beberapa hari saja ini.

Quran ini pada hari kiamat, inilah antaranya yang akan memberi syafaat kepada kita. Dia akan duduk di sebelah kita.  Dia akan bersuara, ya Allah orang ini tidak tidur kerana membaca aku.

Pahala yang paling mudah nak dapat ialah dengan baca quran.

Sabda Nabi SAW :Maksudnya : “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada Al-Quran maka baginya kebaikan. Dan kebaikan itu sama seperti 10 kali ganda. Aku tidak katakan ألم itu satu huruf akan tetapi Alif satu huruf,Lam satu huruf dan Mim satu huruf.” Riwayat Al-Tirmizi (2910)

Firman Allah SWT Maksudnya: “(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu Wahai Muhammad), -Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.”  (Surah As-Sad: 29)

Firman Allah SWT : Maksudnya : “Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa” (Surah Al-Baqarah : 2)


Wallahu a'lam.

Baca Quran di Bulan Ramadan




Daripada Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: Setiap amalan anak-anak Adam itu adalah untuknya sendiri kecuali puasa, maka sesungguhnya puasa itu untuk-Ku, dan Aku sendiri yang akan memberikan ganjarannya.

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: “Sesiapa yang membaca satu huruf di dalam al-Quran maka dia mendapat satu kebaikan dan setiap kebaikan itu digandakan menjadi sepuluh kebaikan yang semisal dengannya. Aku tidak mengatakan Alif Lam Mim itu satu huruf akan tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf”. 

(Riwayat al-Tirmizi)

Sangat besar pahala membaca alquran.. Subhanallah.

Maka di bulan ramadan ini,  manfaatkan dengan banyak mengaji quran. Pahala berlipatkali ganda InshaaAllah.


Wallahu a'lam.





Gunakan Lima Perkara Sebelum Datang Lima Perkara


Hati kita mulanya bersih. Tapi disebabkan dosa dan maksiat, buatkan hati kita jadi tak bersih. Lalu hati menjadi keras. Doa mintak, tapi sukar air mata nak mengalir. Bekunya air mata itu disebabkan kerasnya hati.


Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Sebenarnya! (Ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan sebab (perbuatan kufur dan maksiat) yang mereka kerjakan.”

(Surah al-Mutaffifin: 14)


Rasulullah s.a.w. bersabda “Sesiapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya. Jika dia tidak bertaubat, maka titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam” (Hadis riwayat Ibn Majah).


Gunakan 5 perkara sebelum datang 5 perkara.

Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Gunakanlah dengan baik lima perkara sebelum datang lima (yang lain): Masa mudamu sebelum datang masa tuamu, sihatmu sebelum datang sakitmu, kayamu sebelum datang fakirmu, waktu lapangmu sebelum datang waktu sibukmu dan hidupmu sebelum datang matimu.”

Riwayat al-Baihaqi 

...............................

Ramadan yang masih berbaki ini, kita mohon pengampunan Allah atas segala dosa-dosa yang dilakukan. Perbanyakkan istighfar, doa merintih pada Allah.

Semoga Allah menerima amalan kita.




Senyum di Wajah Mu




Rasa nak menulis sesuatu...

# Saya ada seorang sahabat. Rasanya dia salah seorang yang saya rasa ada talian telepati. Bila berbual dengannya sentiasa rasa suka, rasa tenang, rasa no worries. Orangnya selalu senyum masa bercakap. Semua yang dikisahkan pun semua perkara yang baik² saja. Bagi pandangan mata kasar saya sebagai kawan, nampak dia sangat rapat dengan en suami nya. Maksudnya selalu kelihatan berdua ke mana². Terus je datang ke rumah bila dijemput datang. 

Ramadan tahun lepas, berdua membonceng motorsikal berkunjung berbuka dan solat tarawih di masjid yang berbeza setiap malam. Bukan tak ada kereta tapi sengaja naik motor untuk elak trafficjam. Sampai ke Masjid Jalan Duta, mereka pergi. Allahu.. Yang jadi tahu tu, ada satu malam tu turn Masjid AsSalam Bukit Sentosa, menjadi destinasi . Alhamdulillah maka dapatlah saya dan en suami sempat berbual bual dengan kedua suami isteri ini. Sementelah suami saya memang kawan kepada suaminya. Kami berkawan sejak anak² masih kecil.

Ida pernah ajak kami berbesan. Bukan sekali, malah dicubanya tanya² saya lagi bila belum ada keputusan. Namun yang tentukan jodoh pertemuan, ajal maut Allah jua. Hajat kami tak kesampaian. Kita hanya merancang, Allah jua lah yang menentukan. 

Selepas beberapa bulan tiada berbalas khabar, Ida kemudiannya menghantar khabar memberitahu yang dirinya berada di dalam wad. Saya tanpa banyak bertanya sangat, hanya mendoakan agar Ida segera pulih dan diberi kesihatan hendaknya. Berhajat juga nak ajak en suami nanti pergi melawat ke rumah nya. Tanpa diduga selang tak lama mana, kami dikejutkan dengan berita kematian. Hati saya dah berdebar², terbayang wajah senyum sahabatku. Namun kuasa Allah bukan Ida yang pergi tetapi suaminya, Usop. Allahu Akbar. Innalillahi wa inna ilaihirojiun. Terkedu dengan berita Usop meninggal dunia, saya mengucapkan takziah buat Ida sekeluarga. Tabah ya Ida. Moga Allah hilangkan dukacita mu.

Usop yang begitu baik orangnya yang kami sekeluarga kenal. Ingat lagi ada satu ketika dulu, Usop yang tolong menghantar saya dan en suami ke stesen ktm rawang untuk kami naik ktm pergi ke kL Central kemudian akan ke KLIA. Dengan beg² besar kami malam tu, Usop tanpa banyak soal sanggup tolong hantar. Masa tu belum ada khidmat Grab lagi. Jadi kami minta khidmat Usop yang time tu buat teksi selepas bersara.

Moga arwah Usop ditempatkan di kalangan orang beriman dan beramal soleh..Aamiinn


Semasa Ida dalam tempoh edah, tak terdetik di hati saya untuk bertanya kabar Ida. Hari² berlalu, tau² dah 4 bulan 10 hari rupanya Usop pergi bila tiba².... ALLAHU AKBAR dapat khabar Ida pula menyusul. .Ya Allah. Terkedu, terkejut, sedih, semua ada takkala mendengar berita pilu ini. Allahu...Ida😭😭 Maafkan saya kerana kurang mengambil tahu, sedangkan hati ini sedar sesungguhnya Ida begitu baik dengan diri ini. Banyak perkara baik yang kita pernah saling berkongsi cerita, berkongsi rasa.

Innalillahi wa inna ilaihirojiun. Pergimu menyusul en suami-mu. Sempat Ida selesaikan edah😭Hanya doa yang mampu kupanjatkan. Moga Allah menempatkan sahabatku arwah Hjh Ida dan Hj Usop bersama para solihin...aamiinn

Ida pergi sebelum sempat bertemu Ramadan kali ini. Moga ada rezeki kita bertemu lagi Ida.. di Jannatul Firdaus InshaaAllah.. Aamiin Aamin ya Robbal Alamin..

Dikau sahabat yang menjadi inspirasi....




Tazkirah 13 Ramadan 1447H

 

“Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: “Sesiapa yang mendirikan solat (Tarawih) pada malam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan, maka Allah ampunkan segala dosanya yang telah lalu.”  (Hadis riwayat Muslim)

Solat Tarawih ialah ibadat sunat muakkad (sangat digalakkan) yang dilakukan khusus pada malam bulan Ramadan, bukannya fardu. Ia merupakan sunnah Rasulullah SAW yang bertujuan menghidupkan malam Ramadan, di mana meninggalkannya tidak berdosa tetapi pelakunya mendapat pahala besar. 

Tarawih ~ asal perkataannya ialah rehat.

Solat Terawih bermula dengan Nabi SAW solat Tarawih di masjid, dan para sahabat ikut serta. Apabila Nabi tidak keluar pada malam seterusnya, sahabat menunggu dan merasa risau.

Alasan Nabi: Nabi SAW tidak keluar kerana khuatir solat tersebut dianggap wajib oleh umat Islam.

Dan telah diriwayatkan daripada Aisyah r.a. Ertinya : “Bahawasanya Nabi SAW telah keluar solat di masjid maka manusia telah solat bersama mengikutnya kemudian solat lagi pada malam seterusnya dan manusia menjadi semakin ramai kemudian mereka semua berhimpun pada malam ketiga tetapi baginda tidak keluar solat bersama mereka. Maka pada waktu paginya bersabda oleh Nabi : Aku telah lihat apa yang kamu lakukan maka tiadalah yang menghalang aku dari keluar kepada kamu sekelian melainkan aku bimbang bahawa diwajibkan solat itu atas kamu. Dan kejadian yang demikian itu berlaku pada bulan Ramadhan.” (Hadith riwayat Imam Bukhari)

Dan pada satu riwayat yang lain Nabi SAW telah bersabda : Ertinya : “Aku bimbang bahawa nanti diwajibkan solat ini ke atas kamu sekelian maka jadi lemah oleh kamu hendak menunaikannya.”

Maka tetaplah hukum mengerjakan solat tarawih itu hanyalah sunat bukan wajib.

Solat sunat Tarawih ditunaikan khusus pada malam bulan Ramadan, bermula selepas selesai solat fardu Isyak sehingga sebelum fajar (waktu Subuh). Ia afdhal dilakukan selepas solat sunat ba'diah Isyak. Ia boleh ditunaikan secara berjemaah di masjid/surau ataupun bersendirian di rumah.

Niat solat sunat tarawih :

“Sahaja aku solat sunat tarawih dua rakaat kerana Allah Taala .”

Dan jika makmum hendaklah berniat:   “Sahaja aku solat sunat tarawih dua rakaat sebagai makmum kerana Allah Taala .”


Selamat beramal♡


 



Tazkirah 12 Ramadan 1447H

 

Alhamdulillah, Ramadan ini dah latih kita dapat solat maghrib berjemaah, solat isyak berjemaah dan subuh berjemaah inshaaAllah.

Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya solat yang paling berat bagi orang munafik ialah solat Isyak dan Subuh. Jikalau mereka mengetahui pahala yang terdapat pada keduanya nescaya mereka akan mendatanginya walaupun dalam keadaan merangkak.(Riwayat Ahmad)

Hadis ini memberikan galakan hebat untuk solat berjemaah pada dua solat tersebut(Isyak dan Subuh). Sedangkan padanya terdapat ganjaran yang besar kerana waktu tersebut merupakan waktu yang susah ke atas jiwa (manusia) seperti mengurangkan tidurnya  di awal malam dan akhirnya (sebelum Subuh). Solat-solat inilah merupakan solat yang paling berat bagi orang-orang munafik

Mudah mudahan istiqamah. Pastikan kita inshaaAllah dapat konsisten. Aamiinn.

Tazkirah 11 Ramadan 1447H - Sahur

 

Alhamdulillah, bersyukur dengan nikmat Allah yang tak terhingga.

Allah sentiasa memberkati hamba-Nya walau pun ketika makan sahur.

Bangunlah makan sahur walaupun dengan hanya sebijik kurma atau seteguk air.

Sahur adalah perbuatan makan dan minum pada awal pagi sebelum waktu fajar dengan niat untuk berpuasa.

Daripada Anas bin Malik RA, beliau berkata, Nabi SAW telah bersabda:

Maksudnya: "Bersahurlah kamu semua, sesungguhnya pada sahur itu terdapat keberkatan."  (HR Bukhari (1923), dan Muslim (1095)

Sahur adalah sunnah yang tidak wajar ditinggalkan. Ia perkara sunat yang sangat dituntut kerana terdapat berkat dalam sahur itu yan mana ianya menguatkan dan memberi semangat untuk berpuasa.

Jom sahur.

Tazkirah 10 Ramadan 1447H

Kena sentiasa bersedia untuk lakukan amalan yang boleh datangkan pahala dari Allah Yang Maha Penyayang.

Amalan yang mendatangkan pahala besar daripada Allah di bulan Ramadan merangkumi puasa yang ikhlas, solat Tarawih, tadarus Al-Quran, bersedekah, memberi makan orang berpuasa, serta berzikir dan berdoa.

Rasulullah SAW bersabda: 

“Seandainya manusia mengetahui keistimewaan Ramadan, nescaya mereka ingin supaya sepanjang tahun itu adalah Ramadan” 

(Hadis Riwayat al-Thabrani, Ibnu Khuzaimah & al-Baihaqi)


Blog Archive