Salam Maulidur Rasul


Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah, malam tadi dapat hadir beramai-ramai duduk dalam Majlis Lantunan Mahabbah Rasulullah SAW.  Tercuit rasa takkala cuba ikut melagukan qasidah dan bersambung-sambung mengucapkan selawat ke atas Nabi SAW. 

Salam Maulidur Rasul.  
Allahummasolli'ala sayyidina Muhammadin Waala alihi wasoh bihi wassallim.

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>
Antara kefahaman ilmu yang dapat dari majlis ilmu malam tadi:

  
Puji dan Syukur ke hadrat Allah yang memberikan taufiq dan hidayah-Nya, puji dan syukur ke hadrat Allah yang memberi kemudahan untuk dapat berada di satu tempat yang dipanggil baitullah iaitu Rumah Allah.. yang di dalamnya disebut nama Allah, yang di dalamnya diucapkan tasbih pagi dan petang secara berterusan.  Moga kita semua termasuk dalam golongan yang tidak dilalaikan dengan perkara-perkara yang dapat menjauhkan kita dari mengingati Allah...

Allah Taala berfirman:

"Cahaya itu ada di dalam rumah-rumah yang Allah mengizinkan kalau ditinggikan - bangunannya dan dimuliakan rumah-rumah Allah itu - serta NamaNya disebut-sebutkan di dalamnya, iaitu tempat untuk memaha-sucikan padaNya di waktu pagi dan petang.  
Beberapa orang lelaki yang tidak lalai kerana perniagaan dan jual-beli dari berzikir kepada Allah"... sampai habisnya ayat.   (an-Nur: 36)

Dengan hadirnya kita ke rumah Allah, InsyaAllah semoga 

  • di-angkat darjat, 
  • di-ampunkan dosa; dan 
  • dicatatkan pahala bagi setiap langkah kita menuju ke masjid.

Telah dijanjikan 4 perkara bagi sesiapa yang berada di masjid lalu di dalamnya melakukan amalan zikir menyebut nama Allah, membaca al-quran dan bertadarrus, iaitu; 

Dijanjikan Allah:
  1. sakinah 
  2. rahmat 
  3. dikelilingi malaikat 
  4. namanya disebut oleh Allah(dibanggakan oleh Allah SWT)

Bertadaarus yang dimaksudkan bukan sekadar silih berganti membaca al-quran tetapi tekun belajar memahami al-quran.  Allah akan sebut golongan orang yang berzikir dan membaca quran itu di hadapan para malaikat.

Firman Allah:

: Kerana itu ingatlah kamu kepada-Ku, nescaya Aku ingat(pula) kepadamu(dengan memberikan rahmat dan pengampunan). Dan bersyukurlah kepada-Ku, serta jangan ingkar(pada nikmat-Ku. (QS. Al-Baqarah:152)

Dari Abu Hurairah ra bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: 

"Allah Ta'ala berfirman - dalam Hadis qudsi: "Aku adalah menurut sangkaan - keyakinan - hambaKu kepadaKu.  Aku adalah beserta hambaKu itu apabila ia berzikir - ingat - kepadaKu.  Maka jikalau ia berzikir kepadaKu dalam dirinya, maka Akupun ingat padanya dalam diriKu dan jikalau ia berzikir kepadaKu di kalangan orang banyak, maka Aku ingat pada orang itu di kalangan makhluk yang lebih baik dari mereka itu - yakni di kalangan para malaikat."     (Muttafaq 'alaih)

Bila kita bertasbih memuji Allah SWT, InsyaAllah akan diberikan hikmah atas tasbih yang kita ucapkan. Dua kalimah yang berat di timbangan namun ringan dibaca oleh lisan ialah:

Subhanallah hi wabihamdih
Subhanallah hil adzim

Perisai seseorang terhadap siksa api neraka ialah:

Subhanallah walhamdulillah wala ila haillallah wallah hu akbar.

Hadis Nabis SAW yang bermaksud...

Dari Abu Malik Al-Harits bin Ashim Al-Asy’ari ra, dia berkata: Rasulullah SAW pernah bersabda, 
“Bersuci adalah separuh dari keimanan, ucapan ‘Alhamdulillah’ akan memenuhi timbangan, ‘subhanallah walhamdulillah’ akan memenuhi ruangan langit dan bumi, sholat adalah cahaya, dan sedekah itu merupakan bukti, kesabaran itu merupakan sinar, dan Al Quran itu merupakan hujjah yang akan membela atau menuntutmu. Setiap jiwa manusia melakukan amal untuk menjual dirinya, maka sebahagian mereka ada yang membebaskannya (dari siksa Allah) dan sebahagian lain ada yang menjerumuskannya (dalam siksa-Nya).” (HR Muslim)

Bacalah quran sambil belajar memahami al-quran.  Bacalah ibarat kita sedang berbicara dengan Allah.  Bila sampai pada ayat yang minta kita bertasbih kita ucaplah Subhanallah hil adzim dan bila sampai pada ayat istighfar, kita ucapkan Astaghfiruka wa atu bu ilaik...


Beruntunglah orang yang berjaya menyucikan hati dan jiwa.  Namun rugilah orang yang mengotorkan jiwanya.  Telah dikatakan bahawa, "kamu ini dengan ruh dan jiwa baru rasmi menjadi manusia."

Maka ruh adalah sumber keidupan secara zahir dan tidak dipandang oleh Allah.  Yang dipandang oleh Allah ialah hati kita.

Oleh itu kena jaga hati agar tidak ternoda dengan maksiat.  Maksiat merangkumi 2 bahagian iaitu maksiat badan/anggota dan maksiat hati.  Maksiat badan bila melakukannya tetap berpunca dari hati.  Kaki buat maksiat, tangan buat maksiat, telinga dengar maksiat, mata tengok yang haram semua berpunca dari hati yang tidak bersih.  Anggota badan hanya mengikut perintah.  Namun perlu diingat bahawa walaupun semua anggota patuh pada hati semasa di dunia, di akhirat nanti anggota badan akan menjadi saksi terhadap arahan hati.  Semua anggota akan bercakap tetapi mulut akan terkunci.


Maksiat hati pula adalah disebabkan khusus dari hati.  Maksiat itu tidak dilakukan oleh anggota badan tapi hati sendiri yang melakukannya contoh hati menghina orang, hati berburuk sangka terhadap orang, merasa dengki pada orang, menyimpan hasad pada orang lain.  Dalam hal ini, dia tidak bercakap tapi bersarang di dalam.  Dikatakan... "Sudah cukup seseorang itu melakukan kejahatan walaupun hanya dengan memandang hina orang lain....". 


Sebagai insan atau manusia, kita membawa amanah Allah.  Maka didiklah hati... berdoalah agar Allah berikan hati kita kebersihan dan kesucian.


Yang amat disukai oleh hati agar dapat menempatkan Allah SWT di dalamnya ialah bila kita ada sifat:

  1. Syukur 
  2. Sabar 
  3. Redha
Sesungguhnya tiada yang mempunyai sifat syukur, sabar dan redha sebagaimana syukur, sabar dan redha junjungan kita Nabi Muhammad SAW. Perlu untuk kita mempertingkatkan sifat tersebut dalam diri lebih-lebih lagi kerana kita sekarang berada di suatu zaman yang mencabar syukur, sabar dan redha kita pada Allah Taala.

Bila dapat nikmat, bersyukurlah.  Biar kita melihat nikmat itu datang dari Allah.  Orang yang sentiasa bersyukur tidak melihat nikmat itu melainkan melihat dari siapa yang mendatangkan nikmat tersebut.  Yang tau SYUKUR, bila dapat nikmat, terus ucap Alhamdulillah lalu zahirkan syukur dengan sujud syukur.  Setiap tindakannya akan dimulai dengan syukur pada Allah.


Hadis Nabi SAW....

Dari Abu Hurairah ra pula dari Rasulullah SAW sabdanya:
"Segala perkara yang mempunyai kepentingan - menurut syara' - yang tidak dimulai melakukannya dengan ucapan Alhamdulillah, maka perkara itu menjadi kurang keberkahannya."  (HR Imam Abu Dawud)

Nikmat itu bukan terhad pada harta benda.  Rasulullah SAW memberi erti seseorang itu sudah mendapat nikmat yang terbesar bilamana pada hari itu dia telah

  • mendapat keamanan 
  • sihat badan(tak sakit); dan 
  • mempunyai makanan yang cukup  
Bila ada 3 nikmat tersebut maka itu sudah lebih dari mencukupi baginya.

"Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan Pemilik rumah Ini (Ka'bah).  Yang Telah memberi makanan kepada mereka untuk menghilangkan lapar dan mengamankan mereka dari ketakutan”. (Quraisy: 3-4)


Daripada Salamah bin Ubaidullah bin Mahsan al-Ansori, dari bapanya, berkata.; Rasulullah saw telah bersabda: Dia memiliki kekuatan pada hari itu, seolah-olah menghimpunkan dunia untuknya bagi orang yang sihat pada anggota tubuhnya dan berasa selamat (tanpa bimbang terhadap diri dan keluarga)”. (Tuhfatul Ahwazi: 7/11/2449 dan Ibn Majah: 2/1387/4141) 


Rasulullah SAW memandang baik pada setiap makanan kerana baginda SAW memandang kepada siapa yang mencipta makanan tersebut.

Dari Jabir r.a. bahwasanya Nabi s.a.w. meminta lauk pauk kepada keluarganya, lalu mereka  berkata: “Tidak ada yang kita punyai melainkan cuka. Beliau s.a.w. lalu memintanya dan mulailah beliau makan serta bersabda: “Sebaik-baik lauk pauk ialah cuka, sebaik-baik lauk pauk ialah cuka.” (Riwayat Muslim)
Nikmat sihat tubuh badan juga antara nikmat terbesar.  Bila sihat, InsyaAllah kita akan mampu beribadah, tidak akan menyia-nyiakan kesihatan yang dipinjam bahkan menggunakannya dengan baik untuk beribadah pada Allah.  Rasulullah SAW terjemahkan rasa syukur terhadap nikmat kesihatan tubuh badan baginda SAW dengan banyak berdiri mendirikan solat sampai bengkak2 kaki baginda yang mulia.
Daripada Aishah ra berkata : ''Bahawasanya Rasulullah SAW selalu beribadat di waktu malam sehingga bengkak kedua belah kakinya. Maka saya pun berkata kepadanya : ''Kenapa kau beribadat sampai jadi begini ya Rasulallah?, sedangkan Allah SWT telah mengampuni dosa-dosa mu yang terdahulu dan dosa-dosa mu yang terkemudian (seandainya beliau berdosa, padahal sebenarnya beliau ma'sum dari berbuat dosa). Lalu Nabi SAW menjawab : ''Bukankah lebih elok kalau aku menjadi seorang hamba yang banyak bersyukur''. (HR Bukhari) 

Bangunlah bertahajjud... Nyatakan rasa syukur kita terhadap nikmat sihat tubuh badan yang Allah kurnia melalui tindakan kita bangun bersujud di tengah malam.  Persembahkan syukur dengan ibadah kepada Allah.  Tunaikan hak syukur terhadap nikmat yang Allah bagi dengan banyak melakukan ketaatan kepada Allah.


Ustaz mengingatkan agar kita semua tak lupa untuk berdoa selepas Azan.  Setiapkali mendengar Azan, kita jawab azan, kemudian berdoalah... Biar timbul teruja untuk berdoa selepas azan kerana telah disebutkan dalam hadis Nabi SAW iaitu; jika membaca doa selepas azan InsyaAllah akan ada peluang untuk kita mendapat syafaat Rasulullah SAW di hari pembalasan nanti...InsyaAllah.  Ditegaskan, jika terlepas mendengar azan bila masuk waktu, berusahalah mencari azan di mana2 untuk merebut peluang agar dapat berdoa selepas azan.


Dari Jabir ra bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:

"Barangsiapa yang ketika - sudah selesai - mendengarkan azan lalu mengucapkan "Allah humma rabbaha zihid da' watit dammah, wassola tilko imah, atisaiyiddana muhammadanil wasila tawal fadhilah, waba athhul maqam almahmu danil ladzi wa ath' dhah." yang ertinya: "Ya Allah yang Maha Menguasai doa yang sempurna serta solat yang akan didirikan ini, berikanlah kepada Muhammad wasilah dan keutamaan, bangkitkanlah ia pada kedudukan yang terpuji yang telah Engkau janjikan," maka akan dapatlah ia memperoleh syafaatku pada hari kiamat."  (Riwayat Bukhari)

Syaitan telah berazam melalaikan manusia dari lorong syukur.  Dikatakan syaitan pernah berkata, "Aku akan ganggu manusia dari hadapan, belakang, kiri dan kanannya sehingga Engkau(Allah ) tidak akan jumpa orang yang bersyukur pada-Mu."  Jadi jika kita tidak bersyukur, kita seolah-olah telah ikut menjayakan program syaitan. Jangan kita jayakan program syaitan.

Bersyukur lah kita tiapkali memakai pakaian.  Baca doa memakai pakaian samada doa memakai pakaian lama atau doa memakai pakaian baru.  Kiaskan syukur pada segala perkara kerana nikmat itu merupakan syukur kita pada Allah Taala.

  
Sifat ke 2 yang disebut amat diperlukan oleh hati agar dapat menempatkan Allah Taala dalam hati ialah SABAR.  Kalau dapat musibah, kena sabar.  Sewajarnya, kalau dapat nikmat, baik baginya; dan kalau dapat musibah, juga baik baginya.  Hiasi diri dengan sifat sabar.  Kesakitan atau bencana yang diderita oleh seseorang mukmin, dapat membersihkan dosa-dosanya dan beroleh pahala dia dalam keadaan itu jika dia tetap bersabar dan tabah. Namun jika tidak sabar dan menyalahkan takdir Allah, maka bukan pahala yang dapat melainkan akan menambah pula dosanya.  Oleh itu jika tertimpa kesakitan atau malapetaka, maka jangan sampai ia melenyapkan pahala yang semestinya kita perolehi.

Firman Allah yang bermaksud:

"Sesungguhnya orang-orang yang bersabar itu akan dipenuhi pahala mereka dengan tiada hitungannya - kerana amat banyaknya."  (az-Zumar:10)

Diriwayatkan rumah Rasulullah SAW pernah tidak ada makanan. Begitu sabar baginda SAW menghadapinya. Cuba kita bayangkan, keadaan itu berlaku pada seorang insan Junjungan Mulia Nabi kita Muhammad SAW.  Sedangkan rumah kebanyakan kita hari ini, hingga ada yang terlebih stok makanan.  Bukan setakat simpan stok untuk seminggu, malah ada yang simpan stok sampai cukup sebulan.  Makanan yang dah ready-made juga banyak dalam peti, tinggal tunggu goreng je.. Astaghfirullah.


Sifat yang ke 3 yang amat diperlukan oleh hati ialah: REDHA.  Redha itu ialah.... menerima segala ketentuan Allah Taala.  


Bermuhasabah diri lah kita.  Renungkan sudah berapa banyak yang Allah dah bagi nikmat kepada kita.  Jika susah sekali pun rasanya tidak sampai susah yang benar2 susah.  Banyak hadis Nabi SAW telah diriwayatkan yang wajar untuk kita jadikan sebagai cermin dalam menilai diri sendiri. Cintai Allah dan Rasul-Nya. Jadikan Rasulullah SAW sebagai suri-teladan kita.  Contohi Rasulullah SAW. Ikut sunnah semampunya dan banyakkan berselawat...   



Wassalam.


No comments:

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...