Ucapan Raya


Bismillahirrahmanirrahim...

Di ucapkan Selamat Hari Raya buat semua muslimin muslimat di mana jua anda berada. Mari sama-sama kita raikan kemenangan ini dengan mengucap syukur ke hadrat Illahi yang akan mempertemukan kita dengan 1 Syawal, lusa...InsyaAllah.

Masih ada dua hari lagi berbaki Ramadhan, ayuh istiqamah kita untuk tetap bersama dalam barisan saf di masjid. Teringat kata ustaz yang berpesan agar janganlah di saat-saat penghujung Ramadhan ini masjid jadi lengang dek semua sibuk dengan aktiviti persiapan nak sambut raya. Jangan kita terleka dengan kegembiraan menyambut raya sehingga terlupa akan Ramadhan yang akan berlalu pergi.

Moga dengan rahmat-Nya, moga-moga sekelian kita mampu termasuk dalam golongan orang-orang yang berjaya mengharungi serta menghayati sepenuhnya bulan Ramadhan...bulan yang penuh dengan keberkatan... aminn


Kueh Gulung

Nak tunjuk menu kueh yang jadi faveret kami seisi keluarga. Kueh Gulung yang memang sedap lagi mengenyangkan. Nak buat pun senang... adunan sama cam nak buat roti jala, bezanya kueh gulung tambah masuk air dari daun pandan yang dimesin. Kueh gulung tak dapat dipisahkan dari aroma pandan, jadi agak tak sedap le kueh kalu tak boh air daun pandan atau sekurang-kurangnya pandan paste ready-made.

Resepi Kueh Gulung 

(1)Kulit:
Tepung gandum 1. 1/2cawan
Telor 1biji
Air daun pandan
Sedikit pewarna hijau Star brand
1/4 cawan santan
Air masak secukupnya
Garam.
Cara: Bancuh kesemua bahan, mesin biar sebati. Kadar kepekatannya lebih pekat dari nak buat roti jala.

(2)Inti:
Nise 1  1/2 karet
Air 1 cawan
Daun pandan 1 helai disimpul
Kelapa puteh 1/2 biji
Secubit dua garam
Tepung beras 1sudu kecil dibancuh dgn sedikit air
Cara: masak air, nise serta daun pandan hingga nise hancur. Masukkan kelapa puteh, kacau sebati. Bila hampir kering, masukkan bancuhan tepung beras. Bila dah agak kering sikit, tutup api.

(3)cara membuat Kueh Gulung:
Panaskan ceper/kuali leper. Dengan menggunakan daun pandan yang disimpul, sapu minyak di seluruh permukaan ceper. Tuangkan satu senduk adunan, gelek2kan ceper biar adunan serata di permukaan ceper. Biarkan masak baru di alihkan ke dalam pinggan. 

Teruskan memasak kepingan kulit kueh gulung yang kedua. Sementara itu, boleh la diletakkan inti secara memanjang di atas kulit yang dah dimasak tadi, lipat kemudian gulungkan. Ulangi proses membuatnya sehingga habis.
------------------

...btw, tazkirah Ramadhan banyak yang tertunggak,,, tak sempat nak taip masuk blog... InsyaAllah pas pas ni bila dah selesai tugasan akan dikongsikan secepat mungkin. Falsafah ilmu, tidak ada yang out-dated...kan... Mohon doa-doakan ya, moga Allah permudahkan urusan.. aminn

Lepat Pisang


Lepat Pisang adalah antara kuih yang tak jemu2 buat, makan. Best, sedap lagi mengenyangkan..he he
Semalam buat lagi untuk en suami bawak pegi Surau. Wakilkan en suami dan anak bujang je pegi join majlis berbuka puasa di Surau. Jadi dek nak habiskan pisang emas setandan yang tiba-tiba je nampak masak sendiri kat pokok, tu yang sekali lagi buat lepat pisang.

Enak banget, saya just pakai resepi agak-agak je bahan banyak mana. Buat lepat pisang ni senang je, as easy as buat jjepput pisang. Tapi diperturunkan jugak resepi agak- agak tu kat sini, senang untuk rujukan anak-anak gadisku terutamanya.. hehe

Lepat Pisang
Bahan2:
  • Pisang emas saiz kecil 20 - 25 biji
  • tepung dalam satu cawan
  • gula 1 1/2 sudu besar
  • manisan (nise kecik) setengah karet(masukkan dalam plastik, tumbuk sampai hancur)
  • garam sikit
  • santan setengah cawan
Cara:
  1. Lecekkan pisang + gula + nise.
  2. Campurkan lain-lain bahan.
  3. Bungkus dalam daun pisang.
  4. Kukuslah selama 15 minit.

Pesan buat anak gadisku

Anakku,
Di hari baik bulan baik ini, pastikan diri jadi makin baik
jaga solatmu
jaga puasamu
jaga akhlakmu
jaga tuturkatamu
jaga auratmu
jaga sopanmu
jangan sampai ada yang boleh merosakkan pahala ibadah kita di bulan Ramadhan ini.

Anakku
Di hari baik bulan baik ini, cubalah sebaik mungkin untuk berlaku baik
geraklaku yang baik menggambarkan hati yang baik
kata2 yang baik mencerminkan peribadi yang baik
Ingat pesan mama... hiasilah dirimu dengan akhlak yang baik
Ingat Allah is watching you, bila-bila dan di mana saja...
Bila sedar hakikat itu, InsyaAllah semua perlakuan dan perkataan kita dapat dibendung
tidak akan lara mengikut arus
Sematkan di hati bahawa Allah sedang melihat
Bila selalu ingat, InsyaAllah akan ada keberkatan-Nya
InsyaAllah akan ada ehsan dari Allah untuk limpahkan rahmat, keampunan dan pembebasan dari azab api neraka buat kita...

"Ya Allah, aku mohon agar Ramadhan kali ini merupakan Ramadhan yang terbaik buatku dan keluargaku... semoga Ramadhan kali ini mampu menjadikan kami sebagai hamba-Mu yang taat dan patuh akan suruhan-Mu... harap lebih baik dari sebelum sebelum ini... amin amin ya rabbal alamin.... "

Kuih Sagu kaler Blueberry

Kuih sagu yang diterampilkan dengan kaler purple... cantik menarik gitu di mata saya.. he he
Kalau selama ini sebut nak buat kuih sagu je mesti terbayang kalu tak kaler merah, kaler ijau. Yang pasti orang selalunya titikkan kaler merah je dekat kuih ni. Tapi kami sepanjang Ramadhan ini tukar sikit, dah 3x kalerkan ia dengan kaler purple...he he... very nice, kaler blueberry.. mevariasikan penampilan dan mood yang berbeza...:))

Tomyam Pok Tek?

Balik terawih satu malam tu, singgah ke restoran di tengah pekan sebelum balik rumah. En suami teringin nak makan rojak buah. Saya pulak tak bawak tudung... jadi terus dengan bertelekung je lah singgah duduk makan.

Ohh besttt makan sambil hirup udara malam. Time tu dah pukul 11 lebih. Ada satu group anak2 muda sedang rancak berborak di meja sebelah. "Anak-anak... esok pegi terawih ya...", saya berharap dalam hati.

Kami oder sirap limau, rojak buah dan somtam. Lepas siap oder mata melilau2 tengok menu yang terpampang kat dinding restoran. "Eh..eh... Tomyam Pok Tek? Papa penah makan?", tanya saya pada en suami.

"Erm..penah dulu... dia campur semua kat dalam.. seafood bukan takat sotong dan udang, ketam ngan lala pun taruk...", jawab en suami.

First time dengar nama Tomyam Pok Tek... esoknya terus google cari. Orite, dapat le info sikit sebanyak pasal tu.. he he

Citer citer, takde la pulak gambar 'tomyam pok tek' nya... yang ada hanyalah gambar apa yang kami oder je.. :)


rojak buah


somtam dah habis makan baru ingat nak snap gambar

Tazkirah 10 Ramadhan

Pada malam ke 11 Ramadhan, masjid kami menerima kunjungan salah seorang ulamak dari Palestin... alhamdulillah. Ucapan beliau yang disampaikan dengan bantuan seorang penterjemah bahasa, begitu menarik tumpuan para jemaah yang hadir.

Bila mendengar apa yang beliau cuba gambarkan, terasa terharu takkala mengingatkan keperitan yang sedang dilalui oleh saudara saudara Islam kita yang sekarang berada di bumi Palestin. Ibarat cubit tangan kanan, tangan kiri pun terasa. Tidak tergambar kesulitan yang terpaksa mereka tempoh secara berterusan sejak bertahun-tahun. Mohon agar sentiasa dalam perlindungan Allah, mohon agar sentiasa didatangi bantuan Allah...aminn


Yahudi sebagaimana yang kita sedia maklum adalah kaum yang banyak melakukan kerosakan di mukabumi ini. Dalam Surah Al-Baqarah banyak menceritakan tentang perlakuan keji mereka terutamanya terhadap Nabi Musa as. Sifat mereka suka mengumpul harta benda dan suka mengambil hak milik orang.


Kita yang tak mampu pergi ke Palestin, mesti sama-sama ikut menyumbang dalam jihad untuk membebaskan Masjidil-Aqsa. Di bulan Ramadhan yang barokah ini marilah kita salurkan bantuan melalui doa, sumbangan wang dan barangan keperluan kemanusiaan yang penting seperti makanan, ubat-ubatan, pakaian dll di samping memboikot produk yang ada kepentingan Yahudi.

Biar ada dalam hati kita keinginan yang kuat untuk membantu
penduduk Palestin/Gaza yang telah sekian lama dizalimi, dicederakan, dibunuh, dinafikan hak dan dikepung oleh regim zionis yahudi zalim. Penduduk Gaza sangat memerlukan bantuan kemanusiaan untuk mereka meneruskan hidup seperti kita, manusia biasa.
Bebaskan bumi Palestin! Allah hu Akbar!

Tazkirah 9 Ramadhan

Semua seakan termenung takkala ustaz menceritakan perihal 'suatu hari' di mana kita semua akan dihisab selepas melalui proses berdiri di Padang Masyar. Diceritakan bagaimana detik2 kita semua akan di bentangkan Allah satu persatu kesalahan dan dosa yang pernah kita perbuat di mukabumi ini.

Ustaz mengatakan, Rasulullah SAW pernah bersabda melalui hadisnya bahawa barang siapa yang dihisab pada hari kiamat, maka ia akan disiksa. Bermakna semua kita yang termasuk dalam senarai akan dihisab di hari pembalasan tidak akan terlepas, semua akan disiksa. Detail hadis tersebut berbunyi:
Hadis riwayat Aisyah ra , ia berkata: Rasulullah SAW bersabda: 
Barang siapa yang dihisab pada hari kiamat, maka ia akan disiksa. Aku bertanya: Bukankah Allah berfirman: Maka dia akan diperiksa dengan pemeriksaan yang mudah. Beliau menjawab: Yang demikian bukanlah hisab, tapi itu hanyalah sekedar berdiri di hadapan Allah karena barang siapa yang diperiksa perhitungan amalnya di hari kiamat, maka ia akan disiksa. 
(Shahih Muslim No.5122)

Ustaz menerangkan, Aisyah ra bertanya demikian bila teringat akan firman Allah yang mengatakan orang yang menerima buku catatan dengan tangan kanan akan dihisab dengan mudah. Lalu persoalan itu dijawab oleh Rasulullah SAW melalui hadis tersebut.
Firman Allah dari Surah Al Inshiqaq(84):
[7]
Kemudian sesiapa yang diberi menerima surat amalnya dengan tangan kanannya, -
[8]
Maka ia akan dihisab dengan cara yang mudah dan ringan,
[9]
Dan ia akan pergi kepada keluarganya (yang beriman) dengan sukacita.

Maka dengan kedatangan Ramadhan ini, ustaz memperingatkan tentang ada satu malam di bulan Ramadhan yang pahala beribadat di malam tersebut adalah lebih baik dari beribadat dalam seribu bulan. Malam itu adalah malam Lailatul-Qadr. Walau pun masih di awal 10 Ramadhan, ustaz memberi ingatan awal agar kita bersedia untuk menghadapi malam-malam terakhir Ramadhan untuk dapat memperbanyakkan meminta ampun dari Allah SWT.

Ustaz menegaskan bahawa setiap orang mungkin ada aibnya sendiri yang hanya diri sendiri sahaja yang tahu. Sebaiknya simpanlah dalam hati rahsia itu, biar yang tahu hanya dirinya dan Allah sahaja. Jangan bercerita tentang aib kita di masa lalu. Jangan kita membukanya kembali kerana Allah telah menutup aib itu melalui taubat yang kita lakukan dengan sungguh-sungguh.


Begitu juga, ditegah cuba membuka aib orang lain kerana hadis Rasulullah menyebut:
“Seorang Muslim itu saudara bagi Muslim yang lain. Dia tidak menganiayanya dan tidak pula membiarkan dia teraniaya. Siapa yang menolong keperluan saudaranya maka Allah akan menolong keperluannya pula. Siapa yang menghilangkan kesusahan seorang Muslim, Allah akan menghilangkan kesusahannya di hari kiamat. Dan siapa yang menutup keaiban seorang Muslim, maka Allah SWT akan menutup keaibannya di hari akhirat.” (HR. al-Bukhari)


Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Sebatang pokok sering memberi kesusahan kepada (lalu lintas) orang-orang Islam, lalu datang seorang lelaki menebangnya. Allah memasukkannya ke dalam syurga. (HR Muslim)


Perbanyakkanlah berdoa dengan doa ini...

"Ya Allah ya Tuhan kami!
Sesungguhnya engkau yang Maha Pengampun,
ampunkanlah (dosa) aku.”


Doa ini merupakan doa yang diajar Rasulullah SAW melalui hadis:
Daripada Saidatina Aisyah katanya, wahai Rasulullah, jika aku melihat Lailatul Qadr, apakah doa yang boleh dibaca? Sabda Baginda SAW, katakanlah (berdoa): Ya Allah ya Tuhan kami! Sesungguhnya engkau yang maha pengampun, ampunkanlah (dosa) aku.” (HR At-Tirmidzi, An-Nasai’e dan Ibn Majah).

Menerusi doa ini kita menyandarkan sepenuhnya pengharapan kepada Allah mohon agar Allah mengampunkan dosa-dosa kita. Bertaubat mohon keampunan daripada-Nya agar keburukan digantikan Allah dengan kebaikan. Berdoa dengan nama Allah "Al-Afu" yang terdapat dalam doa ini yang bermaksud Maha Pengampun/Yang Maha Pemaaf amat besar ertinya kerana kita memohon pada Allah setulusnya agar Allah hilangkan jejak-jejak kesalahan dan dosa kita yang merupakan aib dari diketahui oleh sesiapa sekalipun.

Bertaubatlah, sesal dengan dosa yang telah dilakukan dan berazam tidak akan mengulangi-nya lagi. Firman Allah yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang yang sentiasa menyucikan diri.” (Surah al-Baqarah, ayat 222)

Wallahu a'alam.

Tazkirah 8 Ramadhan

Dalam slot tazkirah malam ke 9 Ramadhan, seorang ustaz lulusan Mesir yang dijemput datang menyampaikan ilmu. Beliau, anak muda yang baru beberapa minggu pulang ke tanah-air... alhamdulillah begitu bersemangat memberi tazkirah yang mengambil masa lebih 30 minit itu. Semua fokus mendengar, hinggakan kawan anak saya yang ikut berterawih di masjid pun telah mengirim sms yang berbunyi.."slalu asyik tetido time tazkirah, tapi malam ni segar je mata..best!"

Ustaz semalam menceritakan kes yang terjadi dari perihal ayat 67 Surah Al-Baqarah. Semua tekun mendengar cerita tentang sebab musabab kenapa Nabi Musa as menyuruh untuk mencari dan menyembelih lembu betina. Ada kes, ada penyebab dan ada kisah yang berlaku di sebalik turunnya perintah Allah dalam ayat tersebut. Alhamdulillah beroleh kefahaman ilmu dari bentangan kisah yang ustaz ceritakan.

Surah al-Baqarah adalah surah yang terpanjang dalam al-Quran. Ia merupakan surah yang ke dua selepas Surah Al-Fatihah, mengandungi sebanyak 286 ayat dan terbahagi kepada 3 juzuk.

Menyentuh tentang surah al-Baqarah, ustaz menyelitkan satu cerita sebagai selingan...
Ada seorang hamba Allah telah datang untuk solat terawih di malam pertama Ramadhan. Imam baca surah yang agak panjang hinggakan hamba Allah tadi(Ali bukan nama sebenar) dah rasa tak senang duduk. "Aishhh panjang benor la Imam ni baca...", rungutnya dalam hati.
Selepas habis solat Ali yang kebetulan duduk dekat Imam terus mendekati Imam, langsung bertanya...
Ali: Imam baca surah apa tadi, panjang bebenor...
Imam: Oh itu surah Baqarah.. yang bermaksud lembu betina
Ali: Oh iya ke... esok imam nak baca surah apa pulak?
Imam: Takpe lah kalau panjang, kita baca surah al-Fiil lah besok... surah Gajah...
Ali: Hah? Gajah?
Ali terus congak2 dalam hati... "kalau surah lembu dah panjang canggini, apalagi kalau surah Gajah... Gajah lagi besar dari lembu... mesti lagi panjang bacaannya... ish takleh jadi ni... takdenya aku nak datang lagi malam esok..."

Ish..ish...
Kesimpulannya kata ustaz, jangan kita jadi orang yang jahil. Bila kurang ilmu, Surah Al-Fiil (..alam ta ro kai...) yang pendek tu pun disangka surah panjang bila tengok pada maknanya. Maka marilah kita menjadi orang yang berilmu. Jangan biarkan diri terus jahil tanpa ada usaha untuk menambah ilmu. Bila alim, InsyaAllah dapat lahir sebagai hamba Allah yang bertakwa...aminn

Jadikan Ramadhan ini Ramadhan yang terbaik buat kita. Ambillah kesempatan ini dengan sebaik-baiknya. Biar takkala kita keluar dari Ramadhan nanti kita mampu jadi insan yang putih bersih suci dari dosa. Jangan di waktu kita melangkah keluar dari Ramadhan, kita masih dipenuhi dengan dosa.... Nauzubillah


Wallahu'alam.

Tazkirah 7 Ramadhan

Sebagai intro, ustaz membacakan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Siapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran pahala nescaya diampunkan baginya segala dosa yang terdahulu.” (Hadis riwayat Bukhari)

Kemudian ustaz susuli pula dengan fiman Allah yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa seperti diwajibkan terhadap orang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183)

Ramadhan kita sambut dengan hati yang gembira kerana Allah telah limpahkan kehalusan hati nurani dalam diri kita. Kita jadi teruja lalu bersungguh-sungguh berbuat amal berbeza dari bulan-bulan lain. Hikmah Ramadhan boleh menjana ketakwaan atau dalam bahasa mudahnya dapat melahirkan hamba Allah yang bertakwa, sebagaimana yang Allah sebut dalam ayat 183 itu, di mana hasil dari konsisten beramal di bulan Ramadhan InsyaAllah mudah-mudahan mampu menjadikan kita sebagai orang yang bertakwa....aminn

Puasa adalah satu medan ujian untuk melihat samada kita mampu menghayati sepenuhnya bulan Ramadhan atau sebaliknya. Betapa ramai yang berpuasa tapi hanya mendapat lapar dan dahaga sahaja. Allah tak ambik kira dan tak beri pahala disebabkan puasa yang dilakukan sekadar puasa orang-orang awam yang tidak disertakan dengan iman dan takwa pada Allah Taala.

Ramai yang berpuasa namun puasa tanpa solat, tanpa menutup aurat dengan sempurna, tanpa berpuasa mulut, mata, telinga, kaki dan tangan. Berpuasa namun masih menonton tv yang memaparkan orang2 yang tak menutup aurat dan perlakuan yang menjolok mata. Berpuasa namun masih terus dengan aktiviti mengumpat dan mengata orang.

Rukun Islam bermula dengan Iman, iaitu beriman kepada Allah. Begitu juga dengan rukun Islam yang bermula dengan aqidah. Kenapa? Sebab bila bermula dengan aqidah, rukun-rukun lain selepas itu mesti ada aqidah. Mohon pada Allah 'Ya Allah tetapkanlah iman hamba..." Bila iman teguh, InsyaAllah dapat melahirkan takwa. Kita nantinya dapat menjawab persoalan kenapa perlunya kita berpuasa? Adakah kerana mengikut adat (puasa sebab ikut suasana sebab semua orang berpuasa di bulan Ramadhan) atau kerana mengikut ibadat? Sesungguhnya kita berpuasa atas dasar beriman kepada Allah.. Subahanallah.

Untuk melahirkan takwa pada Allah:
  1. Hidupkan jemaah... bangun pagi-pagi bermula solat subuh, berjemaahlah kita samada di surau atau masjid. Dirikan kelima-lima solat fardhu secara berjemaah. Ramadhan mengajak kita kepada jemaah. Buktinya walaupun tidak ada surat pekeliling di edarkan, tapi bila sampai tarikh 30hb Syaaban, orang ramai berpusu-pusu ke masjid untuk tunaikan solat terawih. Kalau selalunya ke masjid seorang diri, tapi di bulan Ramadhan, kita bawak anak dan isteri ke masjid. Kita hidupkan jemaah... kekalkan, jangan pula nanti bila habis Ramadhan, dah berkurang atau tiada jemaah.
  2. Membaca al-quran... Dengan kedatangan Ramadhan, ramai yang terbuka hati untuk membuka lembaran al-Quran. Al-Quran yang lama duduk di tingkat paling atas lemari buku di ambil dan dibelek. Ada suasana al-Quran, menghidupkan al-Quran. Sama-sama kita baca Quran dan ambil al-Quran sebagai cara hidup kita. Bila kita berpandukan al-Quran InsyaAllah akan sentiasa beroleh hidayah dari Allah Taala.
  3. Sedekah...Ramadhan mengajar kita untuk bermurah-hati memberi sedekah. kalau biasanya selama ini kita jarang bersedekah, tapi di bulan Ramadhan jadi suka bersedekah InsyaAllah.
  4. Solat terawih dan solat witir - Solat terawih hukumnya sunat mu’akad, iaitu amalan sunat yang amat dituntut. Tidak kira samada mengerjakannya secara bersendirian atau berjemaah, yang pasti ia melengkapkan lagi jadual ibadah kita di bulan Ramadhan. Berlumba-lumbalah kita mengambil peluang beribadah di bulan yang penuh berkat ini. Tutuplah solat terawih dengan solat witir. Biarpun niat kita akan bangun malam dan langsung akan buat solat witir, namun tidak salah terus menutup solat dengan solat witir selepas terawih. Jadi bila kita bangun malam, dah tak perlu lagi melakukan witir.
  5. Qiam... bangun solat malam. Biar ada usaha di samping niat dengan kunci jam jika bimbang tidak terjaga. Lakukan solat malam dengan penuh keimanan dan pengharapan pada Allah SWT. Hadis Rasullallah yang bermaksud: Dari Abu Hurairah R.A, Rasulullah S.A.W bersabda “Barangsiapa mendirikan solat malam di bulan Ramadhan kerana iman dan mengharap pahala (dari Allah) niscaya diampuni dosa-dosanya yang telah lalu. “(Hadits Muttafaq ‘Alaih) .
Jangan kita sekadar berpuasa sahaja sedangkan solat malas, Qiam malas, mengaji quran malas... sebab jika di tahap itu puasa kita, tidak lain hanya akan beroleh lapar dan dahaga semata-mata...nauzubillah.

Konsisten melakukan ibadah sepanjang Ramadhan InsyaAllah dapat lahirkan 'jiwa hamba' yang tenang dan kita mampu menjadi insan yang bertakwa InsyaAllah. Jangan rosakkan sebahagian besar pahala ibadah kita dengan merokok, berbual kosong, berlebih-lebihan dalam berhibur yang menjurus kepada maksiat di luang2 waktu selepas berterawih.


Wallahu'alam.

Sira Pisang Tanduk


Posting ke 2 hari ini selepas post pasal Tazkirah pada 6 Ramadhan.

Nak tunjuk kueh untuk buat berbuka petang ni.... Dalam sibuk2 buat larian di dapur, sempat buat Sira Pisang Tanduk yang sangat maveles! Time bulan2 puasa ni, asyik ingat nak menyira je... Sira Pisang memang best sangat kalu makan time bulan puasa ni.

Pisang tanduk tu en suami yang belikan semalam. Beli tiga biji yang kulitnya dah betul2 kuning, risau saya takut dah terlebih masak tak sedap pulak nak menyira. Tapi tengok2 hari ni, ok pulak... just nice rupanya pisang yang suamiku belikan tu.. he he

Siapa-siapa yang belum tercetus idea nak buat kueh apa untuk berbuka nanti, jom menyira sama... lepas siap sira, tunggu sejuk jap terus masuk peti-ais... karang kul 7.20 InsyaAllah dah sejukkk untuk dimakan... alhamdulillah.

Selamat berbuka puasa petang nanti ... assalamualaikum wrt hi wabarakatuh.

Tazkirah 6 Ramadhan


Alhamdulillah dah malam ke 7 kita melakukan solat sunat Terawih. Kekalkan semangat untuk memenuhi masjid setiap malam di bulan yang penuh keberkatan ini.
  • Ramadan adalah bulan beribadat kepada Allah. Kewajipan berpuasa hanya mengambil 10% dari ibadah di bulan Ramadhan. Banyak lagi ibadah lain yang perlu dilakukan untuk mencukupkan balance 90% lagi. Dikatakan bahawa, sesiapa yang berusaha mendekatkan diri kepada Allah dengan ibadat sunat, maka pahalanya seperti melakukan ibadat fardu di luar bulan ini dan siapa melakukan ibadat fardu pada bulan ini, maka pahalanya digandakan 70x. Bayangkan solat Subuh kita tadi Allah gandakan 70x berbeza dari bulan-bulan lain... alhamdulillah Terima kasih ya Allah.
  • Ramadhan adalah bulan kesabaran dan pahala sabar adalah syurga.
  • Ramadhan bulan rezeki. Siapa memberi makan untuk orang lain berbuka, maka dosanya akan diampuni dan dibebaskan daripada api neraka.Maka hendaklah kita mengambil peluang yang terbuka luas untuk menambah amal. Cari peluang untuk infak di jalan Allah dengan memberi makan orang berbuka... contoh menyumbang samada RM450 untuk jamuan berbuka puasa atau RM350 untuk jamuan Moreh di masjid.
  • Ramadhan ini bulan al-Quran, maka banyak-banyak kita mengaji, biar sampai khatam InsyaAllah. Jika berpeluang bertaddarus, lagi baik.. dapat mengaji sampai khatam secara beramai-ramai dengan kawan-kawan atau penduduk setempat.
  • Ramadhan adalah bulan Jihad. Jihad dari segi bahasa bermaksud sesuatu yang kita buat dengan bersungguh-sungguh. Orang yang berjihad tak hiraukan segala cercaan manusia. Mereka diuji dengan berbagai dugaan. Kekuatan Islam terletak pada jihad-nya. Melalui jihad, Islam telah berkembang sampai ke Moscow, Eropah dan sebagainya. Jihad di bulan Ramadhan mengkhususkan perjuangan kita melawan hawa nafsu.Harus lawan.
Kita dituntut memperbanyakkan amal ibadah seperti bersolat tarawih, bertadarus, bersedekah, membaca al-Quran, beriktikaf, solat malam dan menuntut ilmu bagi meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT. Melakukan amalan wajib dan sunat di sepanjang bulan ini adalah latih tubi buat kita agar bersih hati dan menjadi orang-orang yang sentiasa bertaubat.

Wallahu'alam.

Tazkirah 5 Ramadhan


Alhamdulillah bersyukur kerana kita terpilih untuk berada di rumah Allah, bukan semua orang Allah pilih untuk dapat berada di masjid. Masjid adalah tempat yang paling sesuai untuk kita mengkoreksi diri dan mengisi perbekalan... alhamdulillah.

Ustaz mengkiaskan, 4 tempat termulia bagi kita di dunia ini:
  1. Masjidil Haram di Mekah
  2. Masjid Nabawi di Madinah
  3. Masjid al-Aqsa di Palestin
  4. Masjid berhampiran rumah kita... :)

Jika di dunia kita dah rasa takde masa, malas dan tak suka sangat nak ke masjid, maka Allah pun tak akan suka dan tak sudi pun melihat kita di akhirat kelak. Jika semasa di dunia lagi kita dah agak keberatan untuk menjadi tetamu di rumah Allah, maka Allah pun akan keberatan untuk menerima kita sebagai tetamu-Nya di Padang Masyar nanti... nauzubillah.

Sedarlah hakikat bahawa selepas kehidupan dunia, akan ada kehidupan akhirat. Jangan kita korbankan kepentingan beramal untuk akhirat. Dunia hanya bersifat sekejap dan binasa sedangkan akhirat itu kekal abadi. Maka makmurkan rumah Allah, beriktikaf lah di dalamnya.

Sebuah kipas angin yang besar dan canggih tak dapat berfungsi jika tidak adanya power supply. Bilik air yang diubah-suai cantik sekalipun tidak ada gunanya jika tidak adanya water supply. Itulah ibaratnya kita sebagai manusia. Hebat macamana pun kita contoh menjadi Managing Director dalam syarikat sekali pun tidak akan ada nilainya jika tiada hubungan dengan akhirat. Hebat macamana sekalipun kita dengan pangkat dan harta, tidak ada nilainya jika niat dan perlaksanaanya tidak dihubungkan dengan akhirat.

Maka hubungkanlah segala aktiviti seharian kita dengan akhirat. Jangan kita termasuk dalam golongan yang terlalu taksub dengan duniawi. Semuanya tak ke mana. Lalui nikmat Ramadhan dengan iman dan takwa, fokus beribadah kerana Allah, pinggirkan kepentingan duniawi yang sering mengutamakan kehendak hawa nafsu kita.


Kata Imam Ghazali, antara punca nafsu tak dapat dikawal ialah termasuklah atas sebab:
  1. kesibukan duniawi - contoh, kalau di masa dulu orang dapat beribadah dengan tenang tanpa gangguan tapi sekarang ada banyak kesibukan mengganggu minda contoh dengan adanya fb, twitter, talipon dan sebagainya. Solat pun nak cepat sebab hati duk asyik teringat untuk sambung ber-online. Kemudahan talipon memang penting tapi hakikatnya ia boleh mengganggu tumpuan kita masa bersolat contoh waktu kita tengah sujud,talipon yang tak sempat di-SENYAPkan akan berbunyi dengan tempikan nada dering yang nyaring. Adegan yang lebih parah lagi berlaku bilamana macam-macam ringing tone dapat didengar waktu kita ramai-ramai tengah berjemaah di surau atau masjid. Ada lagu Herman Tino, Irwan Shah, lagu orang puteh, lagu korea... semua ada. Tentunya akan kacau konsentrasi dan boleh membuatkan kita jadi lupa kita sedang baca surah apa, sedang berada dalam rakaat ke berapa dsb...
  2. sebab kawan-kawan - Pengaruh kawan boleh menarik kita buat apa yang kita sebenarnya tak nak buat. Kita yang tak cerdik akan jadi tambah tak cerdik bila dapat kawan yang tak berapa cerdik. Sebaliknya InsyaAllah kita yang tak berapa cerdik akan jadi lebih cerdik jika dapat kawan yang cerdik. Itu pentingnya pengaruh kawan. Maka bergaullah dengan kawan-kawan yang baik InsyaAllah akan bertambah baiklah kita, jangan terlibat dengan yang tak baik sebab lama-lama perangai tak baiknya akan melekat pada kita. Contoh, elok-elok kita nak pegi terawih tapi kawan beriya-iya pulak ajak pergi main futsal...
Mudah-mudahan Ramadhan dapat membaik-pulih diri kita yang sering alpa... mudah-mudahan akan sentiasa timbul takut pada Allah, sentiasa ingat pada Allah, redha dengan pemberian Allah dan sentiasa beramal dengan al-quran.

Ramadhan adalah kurnia yang berharga buat kita. Penuhi ruang waktu di bulan ini dengan banyak melakukan ketaatan pada Allah. InsyaAllah jika kita menghargai Ramadhan, maka Ramadhan akan dapat menjaga aqidah kita, menjaga ibadah kita dan menjaga akhlak kita InsyaAllah.

Sematkan azam AGAR bila kita keluar dari Ramadhan nanti, kita akan kembali pada fitrah bersih dari dosa bilamana kita menjadi orang paling beruntung jika termasuk dalam jaminan Allah memperoleh rahmat, keampunan dan pembebasan dari azab seksa api neraka... aminn

Harap jadi insan bertakwa... aminn

Tazkirah 4 Ramadhan


Titik-titik hujan masih turun masa kami dalam perjalanan ke masjid. Walaupun sampai agak lewat, azan masih belum berkumandang. Senang dapat parking sebab kereta tak sesak sangat... Sebab hujan agaknya, maka tak ramai yang datang berterawih malam tadi. Ruang solat yang padat selama 4 malam sebelum ini, dah tinggal banyak ruang kosong.

Slot tazkirah di-isi secara bidan terjun lagi, kali ini oleh Imam 1 Masjid. Penceramah jemputan atas alasan tertentu tidak dapat hadir menyampaikan ilmu., Jadi Imam mengambil masa yang singkat saja, menyentuh tentang soal perkara-perkara yang boleh membuat solat kita tidak sah atau terbatal.

Imam menegaskan bahawa solat adalah bekal ibadah yang akan kita bawa mengadap Allah. Jika sempurna solat alhamdulillah... sebaliknya jika tidak sempurna makanya kita nanti akan menyesal kerana waktu itu dah tak dapat patah balik, dah tak berpeluang perbaiki solat2 kita yang tak sempurna. Jangan terus menjadi orang yang tidak tahu tentang sah atau tidaknya solat yang kita lakukan. Jika terus tidak mahu ambik tahu, dikhuatiri amal ibadah kita hanya mengundang dosa bukannya mendatangkan pahala...nauzubillah...

Antara yang sempat Imam sebutkan ialah berkenaan dengan kesalahan terkeluarnya perkataan dan perbuatan yang tidak sepatutnya dalam solat kita seperti:
1. Mengeluarkan suara dengan sengaja ( yang selain dari bacaan dalam solat, doa dan zikir )
Suara yang dimaksudkan termasuk suara yang tidak difahami dan suara yang difahami, Suara yang tidak difahami ini misalnya berdehem dengan sengaja. Contohnya apabila kita terasa macam nak batuk, kita terus mengeluarkan suara “ermm ermmm” untuk elakkan batuk. Perbuatan ini boleh membuatkan solat kita menjadi tidak sah dan seterusnya terbatal. Jika sekali dua dalam terpaksa tidak mengapa namum jika lebih-lebih atau berulang kali, batal solat. Suara2 seperti mengerang dan ketawa juga termasuk dalam perkara yang membatalkan solat.

2. Melakukan pergerakan dengan sengaja.
Contoh: Tangan berayun-ayun semasa berdiri, kaki tidak tinggal tetap maksudnya bergerak seakan2 orang berbaris, menggaru di sana sini melebihi tiga kali juga boleh membatalkan solat.


Banyak lagi perkara2 yang boleh membuat solat kita jadi tidak sah. Kita sebaiknya rajin merujuk kitab2 feqah dan berguru untuk mendapatkan ilmu, termasuk mendalami tentang syarat sah, rukun2 dalam solat serta perkara2 yang boleh menyebabkan solat kita terbatal.. Jangan kita terus menjadi orang yang tidak berilmu dalam hal mentaati Allah. Bila adanya ilmu tentang solat serta dapat lafazkan bacaan dengan betul di samping usaha berterusan untuk faham setiap makna bacaan di dalam solat, maka InsyaAllah fikiran dan jiwa kita dapat ditumpukan sepenuhnya dalam solat yakni timbulnya rasa kusyuk kita dalam mengingati Allah swt. Wallahu'alam.

Harap amal diterima Allah...aminn

Tazkirah 3 Ramadhan

Semasa menjamah moreh, tiba2 Ain salah sorang kawan usrah datang duduk bersebelahan. Berbual lah kami lebih kurang sambil menikmati hidangan moreh. Saya ambik peluang bertanya,"...caner bisnes, banyak tempahan tahun ni?" Beliau ni seorang tukang jahit dan dah ada lot kedai sendiri pun..



"Boleh la, tak ambik banyak pun... isau ambik banyak kang tak dapat pulak nak datang sini... cam ustaz kata tadi, rugi kita kalau tak ambik peluang..."

Alhamdulillah, seronok terlibat dalam bicara yang sebegini. Bukan saja membangkitkan semangat kami sesama kawan malah terasa butiran percakapan tidak sia-sia...

~~~~~~~
Ustaz jemputan untuk tazkirah semalam merupakan salah seorang anak muda lulusan Timur Tengah. Begitu bersemangat menyampaikan... apa yang disampaikan semua nya point, tak jemu mendengar sampai ke penghujung tazkirah.

Ustaz mengingatkan agar kita cuba semampunya untuk hidupkan bulan Ramadhan sepertimana hadis Rasulullah SAW yang berbunyi...

Dari Abu Hurairah r.a berkata: “Adalah Rasulullah SAW menggalakkan qiyamullail (solat malam) di bulan Ramadhan tanpa memerintahkan secara wajib, baginda bersabda: “Sesiapa yang solat malam di bulan Ramadhan kerana beriman dan mengharapkan pahala daripada Allah, maka diampuni baginya dosa yang telah lalu.”

Huraian
Rasulullah SAW amat menggalakkan umatnya supaya menghidupkan malam dengan mengerjakan ibadat kerana fadhilatnya amat besar di sisi Allah S.W.T. Antara amalan yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W dalam menghidupkan malam (qiamullail) ini ialah melakukan solat sunat, berzikir, membaca al-Quran, membanyakkan istighfar serta beriktikaf di masjid. Selaku umat Islam, kita sepatutnya mencontohi baginda serta berusaha bersungguh-sungguh dan penuh keikhlasan memanfaatkan bulan ini sebaik-baiknya terutama sekali dalam sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan di mana Rasulullah S.A.W dalam kebanyakan hadith memberitahu mengenai kemungkinan besar pada malam-malam ini terutama malam ganjil adalah merupakan malam lailatul qadar yang mempunyai kelebihan melebihi seribu bulan.


Kata ustaz, kita seumpama kain puteh. Dari kaler asal puteh kita corakkannya dengan berbagai warna melalui berbagai cara termasuk mencorakkannya dengan mengikut hawa nafsu. Diingatkan hendaklah kita gunakan aturan2 yang telah ditetapkan oleh Allah. Kena ambil Islam sebagai gaya hidup. Perlu konsisten dalam beramal tidak hanya beribadah mengikut musim2 tertentu saja atau mengikut suasana. Contohnya, jangan hanya memakmurkan masjid di 10 awal Ramadhan.

Ada satu kisah di sebuah masjid:
Bilamana pihak masjid mendapati begitu ramai yang datang untuk bersolat terawih, terus tiba-tiba dibuat urgent meeting. Timbul cadangan untuk membesarkan lagi ruang solat (ruang balcony dicadangkan di-tiles dan di-tambah bumbung) sebab jemaah nampak melimpah2. Tapi bila masuk 10 pertengahan Ramadhan, jemaah dah jadi berkurang. Urgent meeting dibuat lagi sebab untuk batalkan cadangan memperluaskan ruang solat sebab jemaah dah makin susut nilai.
Ternyata bila masuk 10 terakhir, bilangan jemaah betul2 jadi susut sehingga tinggal 1 saf je masih bertahan solat terawih... ish ish.

Di mana penghayatan Ramadhan kita... Jangan kita begitu teruja untuk perhebatkan lagi perniagaan di bulan Ramadhan, tambah buka satu meja lagi yang kalau tahun lepas hanya buka satu meja je di Bazar Ramadhan. Jika ditinjau di negara Timur Tengah pun ada banyak juga bazar ramadhan tapi yang free punya, percuma sebab penduduknya ramai yang berlumba2 mencari peluang untuk meraih pahala. Semua pakat2 memberi makan orang berbuka puasa.

Di tempat kita, ada yang sampai sanggup mengambil cuti tanpa gaji sebulan dek beria-ia mahu menumpukan perhatian berniaga di bazar ramadhan, sebaliknya belum pernah terdengar lagi orang ambik cuti tanpa gaji sebulan untuk memberi tumpuan beribadah di masjid di sepanjang Ramadhan, (***berbeza dengan misi jemaah Tabligh yang sanggup bercuti tanpa gaji kerana keluar berdakwah samada untuk keluar 3 hari, 40 hari dsb.... jiran kami salah seorang daripadanya... Subhanallah)

Jadilah kita antara orang2 yang menghargai nikmat Ramadhan. Biar mampu sampai kita ke kemuncak pada 10 terakhir. Biar ternanti-nanti, rindu pada Lailatulqadar. Ingat dunia hanya sementara, akhirat jua yang kekal abadi. Rebut peluang beramal. Ikhlaskan hati... takde maknanya kalau tiada keikhlasan dalam beramal. Hidupkan Ramadhan bermula 10 terawal, 10 pertengahan sehingga 10 terakhir yang istimewa. Satu kerugian besar jika 10 akhir Ramadhan terabai....

Wallahu'alam.

Tazkirah 2 Ramadhan

Semalam sampai, ngam2 azan berkumandang. Dalam hati ingat mesti dah takde tempat untuk kami di ruang solat Tapi alhamdulillah dalam2 penuh tu, nampak di saf ke-2 ada ruang yang boleh muat untuk 2 orang. Orangnya ramai tapi nampak macam semua orang buat tak tahu je dengan slot yang kosong tu. "Rezeki kita agaknya Ma...." , kata kak Ngah yang malam tadi ikut sama ke masjid. Ok lah kalu gitu, alhamdulilah.

Tazkirah ramadhan malam tadi digantikan secara bidan terjun oleh nazir masjid. Penceramah jemputan tak dapat datang, khabarnya beliau sekarang berada di Palestin. Oh didoakan moga beliau di sana baik-baik saja. Begitu juga dengan seluruh saudara Islam kita di Palestin, moga sentiasa dalam perlindungan Allah SWT...aminnn

Sepertimana tahun lalu, Nazir kembali mengupas tentang tahap puasa yang terbahagi kepada tiga iaitu puasa orang-orang awan, puasa khusus dan puasa khusus dalam khusus.

Puasa orang-orang awam sebagaimana yang kita tahu adalah ibarat puasa balas-dendam atau puasa kanak-kanak. Ini kerana bila tiba waktu buka puasa, kita bersungguh-sungguh makan dan minum dek sebab berpuasa di siang hari. Jadi makan betul betul sampai kekenyangan.
Kesimpulannya puasa orang awam hanya puasa yang menahan diri dari makan dan minum dan melakukan hubungan suami-isteri di siang hari... itu sahaja.

Manakala puasa di tahap puasa khusus merupakan puasa yang lebih berkualiti jika nak dibandingkan dengan puasa orang-orang awam. Puasa ini bukan berpuasa setakat menahan diri dari makan dan minum serta berhubungan suami-isteri di siang hari namun ia juga merangkumi berpuasa seluruh pancaindera iaitu mata berpuasa, telinga berpuasa, mulut berpuasa, kaki dan tangan juga berpuasa. Maksudnya jika selama ini mata selalu terpandang benda-benda maksiat maka bila berpuasa mata dah tunduk dari terus melihatnya. Telinga yang selama ini suka mendengar umpatan, fitnah, khabar angin dsb maka bila berpuasa terus berhenti dari mendengar. Mulut pula yang selama ini suka mengumpat, mengata orang, mengaibkan orang dsb maka bila berpuasa berhenti terus dari aktiviti yang tidak sihat itu. Kaki dan tangan pula ikut berpuasa dari digunakan untuk perkara-perkara maksiat.

Menyentuh puasa di tahap ke tiga iaitu puasa khusus dalam khusus, ia adalah tahap puasa yang paling tinggi bukan setakat meliputi semua yang tersebut di dalam ke dua-dua puasa di atas, namun ditambah lagi dengan berpuasa hati. Hatinya sentiasa berpuasa yang tidak ada di dalam nya perkara-perkara yang tidak baik, mungkar dan maksiat. Contoh jika sebelum masuk waktu berbuka, terlintas di hati mereka tentang apa makanan yang akan dimakan nanti sewaktu berbuka, pun itu dikira satu kesalahan. Berpuasa hati ibarat hati jadi sesuci-sucinya tanpa ada bayangan terhadap perkara yang berkaitan nafsu dan duniawi.

Jadi nazir mengajak kita sama-sama bermuhasabah, sedang di tahap mana puasa kita sekarang? Adakah masih kurang berkualiti sepertimana tahun-tahun lepas di mana kita hanya sekadar berpuasa orang-orang awam yang sentiasa memikirkan juadah yang berbagai.... dengan ayam goleknya, kerabu mangganya, ikan percik, air cincau, air tembikai dan serba macam lagi juadah berbuka. Atau dah naik taraf pada puasa khusus yang menuntut semua pancaindera untuk ikut berpuasa. Atau yang lebih baik lagi hati turut berpuasa bila mampu termasuk dalam tahap puasa paling tinggi iaitu khusus dalam khusus. Sama-sama kita tanya iman kita, di mana kedudukannya... wallahu'alam.

Sambung nazir lagi,...

Ada 3 perkara yang menjadi sebab mengapa puasa kita jadi tak berkualiti:
  1. Kita masuk ke dalam bulan Ramadhan tanpa ada persediaan. Takde latihan awal sebelum bersedia untuk menghadapi Ramadhan. Yang bersedia, sekurang-kurangnya telah berlatih berpuasa di bulan Rejab dan Syaaban sebelum berhadapan dengan perintah Allah untuk Puasa Wajib di sepanjang 30 hari bulan Ramadhan. Kalau dah ada latih-tubi sebelum ini, maka ujian yang final ini InsyaAllah akan terserlah hebat keberhasilannya.
  2. Apabila kita menjadikan puasa kita hanya sebagai mengikut adat dan ikut-ikutan sahaja. Kita hanya menganggap kita kena berpuasa di bulan Ramadhan sebab dari kecik lagi kena berpuasa, mak ayah kita berpuasa dan semua orang berpuasa. Jadi kita tak dapat tidak kena ikut berpuasa. Bila begini, itu sebab mengapa ramai yang berpuasa tapi malangnya tetap tidak solat. Puasa ikut puasa tapi masa orang solat Maghrib dia tidak ikut solat. Puasa tetap puasa tapi tetap tidak menutup aurat... nauzubillah..
  3. Tidak ada contoh terbaik untuk kita jadikan ikutan... untuk kita lihat atau ikut sebagai contoh yang baik dalam hal2 melakukan ibadah. Itu sebab mengapa ada anak2 yang tak nak dengar nasihat ibu/ayah sebab mereka lihat ayah dan ibu sendiri pun tak buat apa yang mereka nasihatkan. Ayah suruh banyakkan mengaji quran, tapi ayah sendiri jarang nampak mengaji. Ibu pesan jangan pakai baju ketat2 tapi ibu sendiri kekadang pakai pakaian yang kurang melambangkan seorang muslimah.
Contoh yang terbaik adalah Rasulullah SAW. Kembali kita menjadikan Rasulullah SAW sebagai idola dan contoh dalam semua aspek kehidupan. Ikut mencontohi orang-orang alim yang berwibawa agar kita dapat tingkatkan kualiti ibadah puasa kita. Puasa ini, ganjarannya Allah sembunyikan, tidak disebut apa ganjarannya secara khusus sepertimana tersebut dalam hadis qudsi yang berbunyi:

“Ia meninggalkan makan,minum, dan kesenangan syahwatnya demi Aku. Puasa adalah untuk-Ku, dan Aku sendirilah yang akan membalasnya. Kebaikan itu dibalas dengan sepuluh kali lipat.
(HR Bukhari)


Semoga ibadah kita diterima Allah... aminn


Tazkirah 1 Ramadhan

Alhamdulillah, dapat duduk di saf ke 2 malam tadi. Masa nak angkat takbir, perasan kat sebelah saya macam boleh muat seorang lagi, jadi terus berpaling pada kawan saya Mariam yang duduk di saf ke 3. Mengangguk, sebagai isyarat agar dia ke depan. Mariam spontan gerak, OK selamat penuh saf ke 2 menjadi satu saf yang lurus dan rapat...alhamdulillah.

Dalam sesi tazkirah di pertengahan 8 rakaat Terawih, ustaz memberi peringatan berdasarkan firman Allah:Tarjemahan : 183.
Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa,


Kata ulamak, kalam Allah itu memanggil orang yang beriman supaya dia beriman. Maksudnya, hendaklah orang yang beriman sentiasa berbuat sesuatu atas dasar iman.

Allah suruh kita memahami sebenar-benarnya tuntutan yang Allah perintahkan . Berpuasa selama sebulan di bulan Ramadhan jika dilakukan atas dasar iman InsyaAllah mampu menyucikan hati. Kalau hati tak mampu suci dalam tempoh tersebut maknanya puasa kita adalah mengikut nafsu, bukan mengikut iman.

Setiap apa yang berlaku hakikatnya datang dari Allah. Jika terlekat tulang semasa makan contohnya, kena sedar bahawa itu berupa teguran dari Allah. Kena fahami apa2 yang berlaku itu adalah teguran dari Allah agar kita sentiasa beringat dalam setiap tindak-tanduk kita. Contoh dalam kita melayan nafsu terhadap makanan... sebab dah biasa makan nasi puteh dengan lauk-pauk biasa, nafsu kita tiba-tiba jadi teringat nak makan Nasi Arab. Kebetulan kedai nasi arab baru di buka di kawasan rumah kita. Jadi hati duk teringat-ingat nak makan nasi arab yang harga sepinggan melebihi rm10. Walhal kalau diikutkan rm10 itu cukup untuk 2 bungkus nasi puteh biasa beserta lauk. Tadi dek ikut nafsu, kita terdorong untuk lebih memilih makan nasi arab walaupun harga 2x lebih mahal. Lepas makan balik cerita pulak dekat kawan yang 'aku ni tadi pegi makan nasi arab' yang kawan tu tentu tahu pasti tentang RM nasi arab memang mahal... haa dah jadi riak...

Kalau dah begitu kisahnya, dah tak tahu ke mana lagi nilai suci hati kita bila nafsu memainkan peranan. Walau pun makanan yang kita ambil itu halal namun hasil dari nafsu telah mengundang sifat mazmumah lainnya termasuk membazir dan berlaku riak.

Untuk menjadi insan bertakwa, ustaz contohkan lagi.... jangan kita termasuk dalam orang yang suka menipu diri sendiri. Contoh, bila makan di khalayak ramai begitu bersopan santun, makan pun sikit je sebab segan pada orang sedangkan jika di rumah kita makan dengan agak gelojoh tanpa sopan santun. Jangan kita menipu diri sendiri bila solat di depan orang, kita lakukan sebaik mungkin, penuh tamaninah dan tidak dalam keadaan tergesa-gesa... sedangkan jika kita berada di rumah, solat ala-ala express rakyat tak sampai lima minit dah selesai. Jangan kita menipu diri sendiri bila ke masjid kita berpakaian kemas untuk bersolat mengadap Allah namun jika solat di rumah kita hanya berkain pelekat beserta singlet je(bagi lelaki)...kupiah pun tak pakai... Kita sebenarnya malu pada orang kah? Ternyata kita lebih malu pada makhluk. Sepatutnya kena malu pada Allah...

Maka, sama-sama perhatikan, hayati maksud firman Allah yang berupa ayat seru ini. Semoga 30 hari beribadah di bulan Ramadhan mampu menyucikan jiwa kita. Jangan selepas berlalunya Ramadhan, kita kembali ke tabiat lama... jangan selepas melalui proses tarbiah Ramadhan selama sebulan, manusia kembali balik pada perlakuan asal... mohon Allah pelihara amal kita.. aminn

Tazkirah Ramadhan 30hb Syaaban

Alhamdulillah, malam pertama solat terawih begitu melimpah jemaahnya. Kereta bersesak-sesak parking di dalam dan di luar kawasan masjid. Alhamdulillah syukur, moga berpanjangan semangat ahli kariah kawasan kami untuk terus mengimarahkan rumah Allah sepanjang bulan Ramadhan ini.. InsyaAllah.

Solat Terawih didirikan 8 rakaat beserta 3 rakaat witir. Di selangi di pertengahannya dengan sesi tazkirah oleh seorang ustaz jemputan.

Ustaz ingatkan.... jangan kita asyik fikir tentang keperluan jasmani semata2 tiapkali bangun tidur. Tiada lain fikir, hanya fikir nak makan apa hari ni, nak naik kereta yang mana... wira ada, mivi ada, innova pun ada... sampai duk berkira-kira nak naik yang mana satu tiap hari.

Kena ingat ada keperluan rohani yang perlu di-isi. Jangan hanya fikir tentang keperluan jasmani. Jangan kita lupakan zikir dan doa untuk makanan roh. Kena cukup bagi makanan untuk roh sebab jika tidak diberi makanan yang secukupnya, roh akan menderita, gelisah dan menangis.

Kita datang dari Allah dan akan kembali kepada Allah. Sentiasa ingat hakikat itu, maka akan bersungguh-sungguhlah kita mengisi diri dengan makanan roh. Semua kerja kita, perkataan, amalan samada yang tersembunyi maupun terang nyata semuanya akan dihisab di hari pembalasan. Jika roh baik maka baiklah segala perlakuan kita. Hati jadi terdidik dengan iman. Segala perlakuan InsyaAllah akan menjurus pada kebaikan.

Bersempena kedatangan Ramadhan, tarbiyahkan diri dengan al-Quran. Perbanyakkan membaca al-Quran. Ingat bahawa Ramadhan adalah satu anugerah Allah buat kita. Di dalamnya terhimpun banyak ruang dan peluang untuk kita memperbanyakkan amal. Besarkanlah hukum Allah. Muliakan bulan Ramadhan. Bina keluarga kita dengan iman yang sebenar. Bersama-sama memburu malam Lailatul-Qadr di bulan Ramadhan yang begitu istimewa, malam yang lebih baik dari seribu bulan. 1000 bulan bersamaan dengan 83 tahun + 3 bulan.

Jadi tunggu apa lagi, jadikan Ramadhan kali ini Ramadhan yang terbaik buat kita.
Berpuasa + berterawih+ bertaddarus + bersedekah + solat malam + zikrullah + doa = di sepanjang bulan Ramadhan.

Malam Lailatul Qadr hanya berada dalam pengetahuan Allah saja. Berusahalah kita merebutnya..all out beramal soleh.. InsyaAllah akan beroleh kejayaan...aminn

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...