Jangan Tidur Lagi

Bismillahirrahmanirrahim.

Bagi orang yang beriman, ujian panas yang melanda baginya hanyalah ujian kecil. Mereka yakin semua datang dari Allah. Susah atau senang, duka atau gembira, kaya atau miskin.. semua dari Allah. Nikmat juga merupakan ujian. Harta hanyalah pinjaman, hanya transit sahaja buat kita.  Hakikatnya ia datang dari Allah.  Kata ustaz, tanda kita syukur pada Allah, solat mesti buat secara ontime dan full time. Solat bukan buat secara part time, bukan no time. Solat mesti kalau boleh dibuat overtime. Itu yang sepatutnya dilakukan oleh kita sebagai hamba Allah. Tak berkira masa untuk buat ibadah. Tak rasa, "dah buat banyak dah..." Kalau dicongak2 masa, ternyata amat sedikit masa yang kita peruntukkan untuk duduk atas tikar sembahyang. Waktu selebihnya banyak terluang untuk perkara yang selain dari itu walhal kita setiap orang ada masa 24 jam setiap hari.

Hidup kita tiada jaminan boleh bertahan sampai bila. Jadi, jangan tak ingat mati. Ada orang yang hari ini sihat, esok dah tiba-tiba sakit. Ada yang pagi semalam ada, petang sudah tak ada. Innalillah. Bagi orang yang banyak mempersiapkan diri dengan amal soleh, alhamdulillah...InsyaAllah akan beroleh bahagia.. ameen.. Kata ustaz, kenkadang saudara atau sahabat kita yang tersasar perlu untuk diingatkan pasal mati. Contoh tanya soalan pada dia: "Ngapa, hang tak mau mati ke, yang masih duk sebok nak ambik tanah orang, duk nak ambik hak orang, nak ambik harta orang? " Cuba kita tanya orang2 yang terbabit dengan soalan2 yang semacam tu. Ingat2kan dia tentang mati.


Dari Khaulah binti Tsamir al-Anshariyah dan ia adalah isterinya Hamzah radhiallahu 'anhuma, katanya: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda:
"Sesungguhnya ada beberapa orang yang membelanjakan harta Allah - yakni harta milik kaum Muslimin - tanpa dasar kebenaran, maka bagi mereka itu adalah neraka pada hari kiamat." (Riwayat Bukhari)

Sesungguhnya kena buat persiapan nak bertemu dengan Allah. Kematian boleh berlaku bila-bila masa. Ustaz minta kita renungkan senikata lagu nasyid; 

Selimut Putih
Bila Izrail datang memanggil
Jasa terbujur di pembaringan
Seluruh tubuh akan menggigil
Sekujur badan kan kedinginan
Tiada lagi gunanya harta
Kawan karib sanak saudara
Jikalau ada amal di dunia
Itulah hanya pembela kita
Bila Izrail datang memanggil
Jasad terbujur di pembaringan
Seluruh tubuh akan menggigil
Sekujur badan kan kedinginan
Janganlah mau di sanjung sanjung
Engkau di gelar manusia agung
Sedarlah diri tahu di untung
Sebelum masa keranda di usung
Datang masanya insaflah diri
Selimut putih pembalut badan
Tinggal semua yang di kasihi
Berjuanglah hidup sepanjang zaman

Alunan nasyid yang sebegini boleh mendatangkan keinsafan untuk membantu menyedarkan kita. Dah kena sedar sekarang. Jangan tunggu lagi. Kata ustaz, solat kalau boleh buat lah secara overtime, sebab kita sekarang duduk dalam keadaan yang selesa. Maka sementara belum tiba saat yang sempit bagi kita, perbanyakkan buat ibadah-ibadah sunat terutamanya solat-solat sunat yang InsyaAllah dapat mendekatkan lagi diri kita kepada Allah Taala. Hidup kita sekejap namun akan dipertanggungjawabkan setiap detik masa yang diberi kepada kita.

Semua orang kalau ditanya pasti jawapannya inginkan Syurga.  Nilai syurga amat mahal. Harga yang perlu kita bayar untuk nikmat syurga itu ialah amal soleh. Orang beriman dan amal-amal solehnya yang mengisi syurga.
Syurga perlu dibayar dengan zuhud, bersifat warak dan tak nak pada dosa. Ramai yang nak syurga tapi dia masih tidur , tak buat apa-apa.  Ramai yang tak nak masuk neraka tapi dia masih tidur, masih tak buat apa-apa. Setiap orang beriman dijamin oleh Allah Taala pasti masuk syurga. Kenapa kita disuruh berlumba-lumba buat amal kebaikan? Kerana nak mencapai darjat-darjat syurga kerana syurga itu bertingkat-tingkat atau berperingkat-peringkat. Tingkatan syurga yang paling tinggi ialah al-Firdaus. Syurga berperingkat atau berbeza mengikut amalan soleh seseorang itu. Oleh itu bangkitlah, janganlah tidur lagi.

Orang beriman yang beramal dengan keikhlasan, maka InsyaAllah akan dikekalkan dalam Syurga. Amal soleh boleh terhalang dek hawa nafsu. Kata ustaz, contoh perkara yang tak disukai oleh hawa nafsu ialah solat berjemaah, bangun solat malam dan, membaca al-quran. Maka musuh yang sebenarnya ada dalam diri kita.  Itu lah hawa nafsu. Dikatakan solat berjemaah, solat malam, bacaan al-quran dan semua perkara yang tak disukai oleh hawa nafsu akan duduk mengelilingi syurga. Manakala yang mengelilingi neraka pula ialah perkara yang disukai oleh hawa nafsu. 

Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Ditutupilah neraka dengan berbagai kesyahwatan - keinginan - dan ditutupilah syurga itu dengan berbagai hal yang tidak disenangi. (Muttafaq ‘alaih)

Maka berhati-hatilah kita dengan hawa nafsu kita sendiri. Disebut ada 6 perkara yang kena elak yang mana jika kita sanggup elak, InsyaAllah ada jaminan masuk syurga iaitu:

  1. bila bercakap jangan sekali kita bohong hatta bohong dengan tujuan kebaikan dan untuk tidak memudaratkan orang lain sekalipun. Ini kita, kalau orang tanya; "dah sampai mana?" Kita pun jawab,"Ouh dah nak sampai dah ni", padahal sebenarnya baru nak bertolak dari rumah.  Awas, walaupun kita rasa perkara ini kecil, namun pada hakikatnya kita telah berdusta.
  2. Bila berjanji, hendaklah ditepati janji itu. Jangan mengingkarinya. Bila ada orang jemput untuk kenduri, kita jangan kata "InsyaAllah" kalau yang sebenarnya kita dah tahu kita tak dapat pergi sebab ada urusan lain. Jawab terus, "minta maaf tak dapat hadir sebab ada hal."
  3. Kalau diberi amanah, jangan khianati amanah itu.
  4. Tahan penglihatan kita dari tunduk pada hawa nafsu, jangan pandang perkara yang diharamkan Allah.  Allah Taala boleh melihat semua mata hatta niat kita dalam hati sekalipun.
  5. Pelihara lah kehormatan atau maruah kita dari perkara yang dilarang oleh Allah yang menjurus perbuatan zina.
  6. Kalau ada kuasa, jangan gunakan kuasa atau tangan kita dengan menzalimi orang lain.
Kata ustaz, "Berat-berat semua tu..tuan-tuan... Sebab apa berat? Sebab SYURGA itu sangat mahal harganya...


Wallahu a'lam.

Kelebihan Sedekah Sunat

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, sedutan pengisian dari Majlis Taklim di surau berhampiran berpandukan kitab Nasihat Agama dan Wasiat Iman m/s 156.
...........................

Kita jangan ingat apa yang kita simpan dalam poket kita itu, hak kita.  Yang tentu InsyaAllah menjadi hak kita ialah yang kita keluarkan dari poket dan kita masukkan ia ke dalam tabung derma... itulah sesungguhnya hak kita, kata ustaz.

Yang dalam poket kita, mungkin akan jadi milik pomen contohnya bilamana tiba-tiba kereta kita meragam buat hal maka duit tadi akan keluar untuk membaiki kereta. Yang dibelanjakan untuk mendapat keredhaan Allah itulah pasti kita beroleh keredhaan-Nya...InsyaAllah. Setiap apa yang kita infakkan, Allah akan balas. 

Sepertimana firman Allah dalam surah al-Rahman ayat 60, 
yang bermaksud:
"Bukankah tidak ada balasan bagi amal yang baik – melainkan balasan yang baik juga?"

Kata ustaz, kita menjawab salam pun dapat kebaikan. Malah, digalakkan untuk kita memberi ucapan yang lebih baik lagi; sebagaimana firman Allah dalam Surah an-Nisa ayat 56, yang bermaksud:
"Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu. "

Dari Abdullah bin 'Amr bin al-'Ash radhiallahu 'anhuma bahawasanya ada seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW "Manakah amalan Islam yan terbaik?" Beliau menjawab, "Yaitu engkau memberikan makanan dan engkau mengucapkan salam kepada orang yang sudah engkau kenal dan orang yang belum engkau kenal."  (Muttafaq 'alaih)

Allah janjikan orang yang berinfak, mereka tidak akan dirugikan dalam kehidupan mereka.  Setiap sedekah itu akan dibalas berlipat kali ganda.

Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 272, yang bermaksud:
"...... Dan apa jua harta yang halal yang kamu belanjakan (pada jalan Allah) maka (faedahnya dan pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredhaan Allah dan apa jua yang kamu dermakan dari harta yang halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan."

Firman-Nya lagi...
yang bermaksud;
"Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara sulit atau terbuka, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, serta mereka pula tidak akan berdukacita."         (Surah al-Baqarah ayat 274)


Wallahu a'lam.

Mudah-mudahan Kita Tidak Jadi Orang Yang Menyesal

Bismillahirrahmanirrahim.

Dalam tazkirah maghrib malam tadi ustaz meminta kita renungkan tentang kesalahan  kaum2 terdahulu yang menyebabkan Allah menjadi begitu murka terhadap mereka sehingga Allah membalas perbuatan mereka dengan seburuk-buruk kejadian.  Salah satu sebabnya ialah kerana mereka tak cegah kemungkaran.

Dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh ulama-ulama hadis, antaranya Muslim, dan diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudri r.a., sabda Rasululah s.a.w. yang bermaksud; "Sesiapa di kalangan kamu melihat perkara mungkar maka hendaklah dia mengubah dengan tangannya, sekiranya tidak mampu maka dengan lidahnya, sekiranya tidak mampu lagi maka dengan hatinya dan dengan yang demikian itu (dengan hati itu) adalah sedaif-daif iman."

Tuan-tuan..., kata ustaz.
Tidak semua manusia kita boleh bantu ubah dengan mudah. Apabila kita lihat kemungkaran, kita boleh ubah dengan tangan.  Tapi tak semua orang kita boleh ubah dengan tangan.  Cegah kemungkaran satu kewajipan, suruh orang buat baik itu juga satu kewajipan, kata ustaz. Akal memang Allah jadikan untuk kita gunakan agar dapat bezakan yang mana baik yang mana salah. Tapi akal itu mesti digunakan berteraskan ilmu. Kena ada ilmu dalam menggunakan akal. Jangan main cakap sahaja, kerana perkataan kita boleh mendatangkan bahaya yang besar jika tidak disertakan dengan akal yang berilmu. Akal yang Allah bagi pada manusia sesungguhnya tidak pandai berbohong. Tapi ramai yang tidak mahu mengikut kehendak akal, lebih rela membiarkan diri mengikut kehendak hawa nafsu demi kerana menjaga sesuatu kepentingan.

Orang yang tak mampu nak ubah dengan tangan, kita boleh cuba ubah dengan mulut maksudnya dengan kata-kata. Yang tak mampu ubah dengan mulut pula, ubah dengan hati. Semua orang ada kemampuan untuk ubah dengan hati. Itu adalah selemah-lemah iman. Rasa tak suka pada perkara maksiat, penyelewengan, salah-guna kuasa, penindasan, fitnah, penganiayaan dan sebagainya, semua orang boleh menentang atau tidak bersetuju di dalam hati. 

Jika membiarkan maksiat terus berleluasa, itu lah salah satu sebab mengapa turunnya musibah dari Allah Taala. Dengan apa yang berlaku hari ini, ambik pengajaran, perbaiki diri kita, mudah-mudahan kita tak jadi orang yang menyesal. Jangan bila dah mati baru kita nak menyesal. Ingat bahawa siksa kubur itu benar. Perlu bersiap sedia untuk menghadapi kubur dengan amal yang soleh, sebab selama masih hidup, Allah telah memudahkan bagi kita untuk melakukan segala amal soleh. Namun sayang sekali kerana, peluang yang diberikan tidak dipergunakan sebaik mungkin. Kita banyak membiarkan masa berlalu begitu saja. Maka, jangan kiranya bila dah sampai waktu masuk ke lubang kubur baru timbul rasa menyesal. 
..........................................

Dalam kuliah yang lain, ustaz berpesan tentang perkara yang sama iaitu, beramallah sebelum sampai detik kematian. Seorang yang berakal harus berfikir dalam hal orang-orang yang telah mati, kerana orang-orang yang telah mati itu, mereka sangat ingin sekali kalau dapat kembali ke dunia untuk mendirikan sembahyang dua rakaat, berzikir dengan tasbih, tahmid dan tahlil.

Maka jangan lah kita terus menerus membuang waktu pada perkara-perkara yang sia-sia, yang melalaikan dan yang hanya akan merugikan diri kita sendiri. Persiapkan diri dengan mengumpulkan sebanyak mungkin bekal dan keperluan kita untuk hari akhirat, yang pada saat itu amalan soleh semasa di dunia begitu amat berharga buat kita. Berdoa pada Allah agar sentiasa memberi taufiq untuk kita mengerjakan amal soleh agar nanti kita tidak termasuk dalam golongan orang-orang yang menyesal, bilamana di saat ingin kembali melakukan amal soleh waktu itu sudah tidak di-izinkan lagi...

Beringat-ingatlah kita, di saat kita menangguh-nangguhkan amal berapa ramai orang yang telah meninggal dunia begitu berharap untuk dapat kembali beramal. Sentiasalah mencari peluang untuk merebut pahala kebaikan. Waktu masih ada kesempatan di dunia, inilah peluang yang perlu direbut. Kata ustaz, umpama pekerja asing yang datang bekerja di negara kita, dia akan bersungguh-sungguh bekerja bertiketkan paspot dan visa yang ada, dengan bekerja semahunya untuk mendapatkan sesuatu yang berharga untuk dihantar balik ke negaranya. 

Begitulah ibaratnya kita sebagai hamba Allah hendaklah menjadikan dunia sebagai jambatan untuk akhirat. Gunakan dunia dengan sebaik mungkin untuk mencapai kebaikan di akhirat nanti. Orang yang ingat akhirat, dia tidak akan mensia-siakan masa.  Setiap detik hidupnya ada manafaat untuk keuntungan akhirat. Ingatlah bahawa apa yang ada pada kita di dunia ini semua akan ditinggal, yang akan kita bawa hanya tiga helai kain sahaja semasa mati. Oleh itu bersungguh-sungguhlah mencari bekal bermodalkan sisa usia yang ada untuk suatu perjalanan panjang sesudah mati. Perhebatkan usaha merebut pahala akhirat. Ustaz membacakan satu hadis Nabi SAW;

Dari Ibnu Umar radhiallahuanhuma berkata : Rasulullah saw memegang bahu saya seraya bersabda : “Jadilah engkau di dunia seakan-akan orang asing atau pengembara”, Ibnu Umar berkata : “Jika kamu berada pada waktu petang hari jangan tunggu pagi hari, dan jika kamu berada pada waktu pagi hari jangan tunggu petang hari, gunakanlah kesihatanmu untuk (persiapan saat) sakitmu dan kehidupanmu untuk kematianmu”(Hadis Riwayat Bukhari)

Kata ustaz, gunakanlah waktu sihat kita sebelum datangnya waktu sakit. Waktu sihat inilah perlu kita beramal bersungguh-sungguh. Kalau datang sakit baru nak beramal, bukan saja kurang sempurna ibadah bahkan ada yang tak mampu buat amal langsung.. Dan menyebut tentang masa hidup sebelum datang waktu kematian, maka jangan kita tangguh-tangguhkan lagi amalan. Ustaz mengkiaskan bahawa di saat quran kita di atas lemari sudah berhabuk, maka pada saat dan ketika itu di dalam hati kita mungkin terdapat lebih tebal lagi habuknya... nauzubillah...


Wallahu a'lam.

Hafal 10 Ayat Surah al-Kahfi

Bismillahirrahmanirrahim.

Dalam Kuliah Maghrib malam tadi, ustaz memperingatkan agar rajin2 kita membaca Surah al-Kahfi. 
Kata ustaz..."Hafal lah 10 ayat pertama dan 10 ayat terakhir Surah al-Kahfi..."

Jom kita teruskan usaha menghafal. Bagi yang sudah berjaya menghafalnya, alhamdulillah. Dengan membaca ayat-ayat ini, InsyaAllah seseorang itu boleh terselamat dari fitnah Dajjal sebagaimana disebut dalam beberapa hadis Nabi SAW:

Dari Abu Darda r.a meriwayatkan bahawa nabi s.a.w bersabda: "Barangsiapa yang menghafal sepuluh ayat daripada awal surah al-Kahfi, akan terhindar daripada fitnah dajjal. Dalam riwayat yang lain dinyatakan daripada akhir surah al-Kahfi." (HR Muslim)

Dari Sauban r.a meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w bersabda: "Barangsiapa yang membaca sepuluh ayat terakhir daripada surah al-Kahfi, maka sesungguhnya pembacaannya itu menghindarkannya daripada fitnah dajjal. (HR Nasai)

Dari Abu Said al-Khudri r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: "Barangsiapa yang membaca surah al-Kahfi (dengan huruf dan pembacaan yang betul) sebagaimana ia diturunkan, maka surah itu akan menjadi cahaya pada hari kiamat daripada tempat tinggalnya sehingga ke Mekah dan barangsiapa membaca sepuluh ayat yang akhir daripadanya, kemudian dajjal keluar, dajjal tidak dapat menguasainya." (HR Mustadrak Hakim)

Surah al-Kahfi disunnatkan untuk kita membacanya pada malam Jumaat dan pada hari Jumaat  sebagaimana disebut dalam hadis Rasulullah SAW, jika kita membaca Surah Al-Kahfi pada malam dan hari Jumaat, InsyaAllah akan terpancar cahaya buat kita dari Jumaat ini sehingga tiba Jumaat yang akan datang. Jadi, jangan lupa untuk sama-sama  kita membacanya bermula malam ini. 
............................

Dari Abu Said Al Khudri ra., bahwa Rasulullah SAW. bersabda,
"Barangsiapa membaca surah Al Kahfi pada hari Jumaat, maka dia akan diterangi cahaya antara dua Jumaat."
(HR Baihaqi)



Dan mari kita tekun menghafal 10 ayat awal dan 10 ayat akhir Surah al-Kahfi. Moga kita semua terselamat dari tipudaya dan fitnah Dajjal... aamiin

10 ayat awal Surah al-Kahfi:












10 ayat akhir Surah al-Kahfi:







.................................................
**Terjemahan Bahasa Melayu Surah al-Kahfi ada di SINI

Dari Ibnu Abbas radhiallahu 'anhuma, katanya: "Rasulullah SAW bersabda:
"Sesungguhnya orang yang dalam hatinya tidak ada sesuatu apapun dari al-Quran - yakni tidak ada sedikitpun dari ayat-ayat al-Quran yang dihafalnya, maka ia adalah sebagai rumah yang musnah -sunyi dari perkakas." 
Diriwayatkan oleh Imam Termidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan shahih.

Selamat Beramal.
Wallahu a'lam.

Ibadah Ibarat Permata

Bismillahirrahmanirrahim.

..bersambung dari SINI

Bila harap pada Allah, InsyaAllah langsung akan diterima taubat. Harap hanya pada Allah. Teruskan belajar, jadi insan yang berilmu. Ilmu dapat memelihara perkataan, perbuatan serta iktikad daripada berbuat derhaka kepada Allah. Ilmu menjadi jalan. Ilmu dapat menyuluh.

Selepas harap, dalam kita menyatakan kasih pada Allah, hendaklah sentiasa menyebutNya. Banyakkan menyebut Allah. Jalan mendekatkan diri pada Allah, ada jalan umum ada jalan khusus. Pilihlah, banyak jalan termasuk jalan solat, jalan zikir, jalan taubat, jalan sedekah dll. Pilih jalan untuk dekat dengan Allah, jangan sampai tak ada jalan. Banyakkan jalan untuk cari kasih Allah.

Apa2 yang disampaikan oleh Allah SWT, maka itulah yang disampaikan oleh Rasulullah SAW. Apa2 yang disampaikan oleh Rasulullah SAW maka itulah yang disampaikan oleh ulamak akhirat. Allah Taala memberi taufiq bagi mereka itu pada mengajar, menyampaikan ilmu dan berbuat kebaikan. Dan semulia-mulia makhluk yang berbuat kebaikan atas kita, ialah Rasulullah SAW. Segala puji bagi Allah yang menjadikan dan membangkitkan baginda SAW sebagai pesuruh Allah sepertimana firmannya:


"Dia lah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak)..... " 
(Surah al-Jumu'ah ayat 2)

"....dan (sebenarnya) Rasul Allah hanyalah bertanggungjawab menyampaikan perintah-perintah Allah dengan penjelasan yang terang nyata”. 
(Surah an-Nur ayat 54)

"Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya);..... "(Surah al-Qasas ayat 56)

Carilah jalan yang  beroleh redha Allah. Neraka tak pilih siapa. Jauhi dosa syirik. Syirik tetap syirik. Ambillah Islam seluruhnya, bukan separuh-separuh. Jangan ikut langkah syaitan, kerana syaitan itu musuh yang nyata. Segala bab, zahirnya, muamalatnya, ibadahnya, semua wajib mengikut perintah Allah. Jika yang suka; ambil, yang tak suka; tinggal... itu ikut hawa nafsu namanya.

Nabi SAW pesan, "ikut aku maka selamatlah kamu." Sudah jelas apa yang dibawa oleh Nabi SAW. Itu yang kita kena terima, membenarkan ia oleh hati. Islam itulah yang benar. Jangan nak tambah-tambah. Siapa yang Allah kehendaki kebaikan padanya, maka Allah akan tunjukkan jalan padanya. Allah akan bagi faham akan agama. Pastikan Allah tak tutup lorong kebaikan buat kita. Jangan sampai Allah tutup lorong ibadah, lorong amal soleh buat kita...Nauzubillah..

Dari Mu’awiyah ra katanya: “Rasulullah SAW bersabda:
“Barangsiapa yang dikehendaki oleh Allah untuk memperoleh kebaikan, maka Allah membuat ia menjadi pandai dalam hal keagamaan.”  
(Muttafaq ‘alaih)

Dari Abdullah Ibn Mas’ud r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa yang diberi kebaikan oleh Allah SWT ke atas seorang hambaNya maka akan diberi faham dalam agama dan mengilhamkan didalam hatinya perkara-perkara yang benar. 
(HR Bazzar, Tabrani)

Sejauh mana jahat, sejauh mana kita melencong, maka kembalilah kepada Allah.  Baliklah pada Allah. Berhentilah buat dosa. Bila nak bertaubat? Diri pun dah lemah. Cukuplah tu lalainya, cukuplah jahatnya. Betapa kasihnya Allah bagi hambaNya yang lalai, tetap dibukakan pintu taubat. Maka jangan kiranya, dah makin hampir pada mati, makin tak sedar diri. Sungguhpun tak ada daya, mohon lah daya dari Allah untuk berubah. Perlu pada pertolongan Allah. Nak buat baik dan nak tinggalkan maksiat, kedua-duanya perlu pada pertolongan Allah Taala.

Banyakkan buat solat sunat. Kobliyah dan baadiyah, itu sudah pasti. Pastikan buat. Itu jalan. Ulamak kata, ibadah itu permata, nilainya mahal. Nilai permata, tinggi. Tidak semua manusia mampu miliki nya sebab ia mahal. Solat malam itu permata. Tak semua orang mampu ibadah kecuali ahli. Ramai yang bangun malam tapi tak semua orang dapat permata solat Tahajjud. Ramai yang tahu tentang solat Dhuha tapi tak ramai yang rmendapat permata solat Dhuha. Solat Awwabin, solat sunat 6 rakaat yang amat besar ganjaran melakukannya di antara waktu Maghrib dan Isyak.. ramai yang tidak mendapat permata kerana waktu antara Maghrib dan Isyak ada yang menghabiskan waktunya dengan 6 batang rokok bukan dengan 6 rakaat Solat Sunat Awwabin. Majlis ilmu, setengah orang dapat permata manakala sebahagian yang lain tak dapat. Mahal harganya sebab antara 10 orang yang hadir, hanya 5 orang yang dapat majlis ilmu, yang lima lagi tidor. Ada tempat yang hadir hanya 3 orang tapi hanya seorang yang dapat permata bilamana yang 2 lagi fikiran melayang entah ke mana. Begitu mahalnya majlis ilmu. Masjid, banyak tiang dari orang.

Namun bagi ahli ibadat... bila tertinggal buat solat sunat, maka terus di-qadha atau ganti. Bagi ahli, lepas solat Zohor, terus ganti buat solat Dhuha yang tertinggal buat di waktu Dhuha... Subhanallah...

Walau apapun, sentiasa ada ruang untuk kita berubah jadi lebih baik. Sentiasa ada ruang untuk minta ampun pada Allah. Walau banyak mana dosa, Allah Maha Pengampun. Kata ustaz, syarat untuk dapat berubah jadi orang yang baik ialah: Jangan bercakap bohong dan jangan tinggal sembahyang. Puji Allah, berterimakasih pada Allah.  Jangan bila buat ibadah, masih nampak...hebat aku, pandai aku, alim aku.. semua sebab aku.. aku.. Ingat bahawa semua milik Allah. Semua datang dari Allah. Walau diberi alim(berilmu), tak semua yang alim dapat amal. Kerana amal itu anugerah Allah buat hamba yang terpilih. Oleh itu sentiasa kita pohon agar Allah kekalkan nikmat ibadah dalam diri kita.  Doalah agar Allah tak tarik nikmat ibadah yang Allah kurnia buat kita. Ustaz ulang mengingatkan agar jangan sombong. Kalau sombong, akan hina di dunia, hina di akhirat. Kembalilah pada Allah. Buang jahil kerana disebabkan jahil itulah, manusia tak kenal Allah. Jadi insan berilmu. Jangan tinggalkan doa, kerana doa merupakan senjata yang ada pada kita yang tak ada pada musuh.

Antara tanda-tanda orang kasih pada Allah ialah redha dengan qada dan qadar. Terima baik buruk dari Allah. Seseorang yang boleh membenarkan dua ketentuan ini dari Allah, maka hatinya akan tenang. Jangan kita nak sihat saja, sakit tak nak, jangan nak senang saja, susah tak nak. Jangan kaya hendak, miskin tolak. 


Dari Abdullah ibn Umar r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Bahawa setiap sesuatu telah ditulis dengan Qadar (takdir) sehingga kebodohan dan kelemahan atau kecerdikan dan kepandaian seseorang. (HR Muslim)

Mari suluh diri, masing2 kita suluh diri.

Wallahu a'lam.

Buktikan Kasih

Bismillahirrahmanirrahim.

Sebagai mukaddimah, di-peringatkan..
....terkadang hati rasa terhimpit.  Maka mohonlah kita pada Allah. Sebagai hamba kita hanya mampu usaha dan doa, selebihnya berserahlah pada Allah. Pada hakikatnya Allah tahu apa masalah kita. Tak cerita pun Allah tahu apa yang menghimpit perasaan kita. Jadi berterusan mohon..."Ya Allah, setiap susah kami, mudahkanlah... segala masalah kami selesaikanlah... segala hajat kami kabulkanlah.. segala permintaan kami terimalah ya Allah..." Bagi hamba yang membenarkan hakikat, sedar bahawa setiap apa yang terjadi bagi Allah ada kebaikannya. 

Maka minta akan kasih Allah, juga kasih Rasulullah SAW. Muliakan Muhammad SAW, InsyaAllah Allah bagi kemuliaan orang yang muliakan kekasihnya. Pasti kasih Allah padanya bila ia kasih pada Nabi Muhammad SAW. Kena kasih pada ulamak akhirat. Kenapa? Kerana ulamak adalah pewaris Nabi SAW. Ulamak kasihkan Nabi SAW. Kenapa pakai serban? Sebab kasih pada Muhammad SAW, maka ikut sunnah baginda SAW dengan memakai serban. Ulamak akhirat itu bukan ulamak dunia. Ulamak dunia tidak perlu dibela.  

Kasihkan Allah, maka sebutlah namanya.  Basahkan lidah dengan zikrullah. Buktikan kasih pada Allah dengan menunaikan perintahnya.  Letakkan agama di hadapan manakala nafsu di belakang. Nafsu biar duduk nombor dua. Bila berhadapan dengan keperluan dunia dan akhirat, dahulukan kasih pada akhirat. Mesti ambil berat tentang agama.  
  • Jangan ambil ringan.  Jadilah kita orang yang memelihara agama. 
  • Jangan main-main, jangan ambil Islam sambil lewa.. mana yang suka, buat... yang tak suka, tak buat.
  • Jangan tak ikut syariat tapi cenderung ikut nafsu. 
Balik dari masjid, dah siap plan..."balik nak tido nih... dah penat.. " Sepatutnya lebih bersemangat untuk beramal-soleh sebab bila kasihkan Allah, akan lapangkan lagi masa sambung buat ibadah lepas balik masjid.  Sambung mengaji quran, sambung buat solat taubat dll. Di zaman mutaakhir ini, boleh pulak kita masih relek-relek. Bangunlah... solatlah dua rakaat sekurang-kurangnya. Zikirlah sebelum mati, zikirlah sebelum sakit. "Hari ini dah selawat 1000 kali?..", tanya ustaz.

Buktikan kasih kita pada Nabi SAW dengan banyakkan mengucapkan selawat ke atas baginda SAW. Buktikan kasih kita pada Allah dengan banyak melakukan amal-taat padaNya. Jika kasih pada makanan, ingat bahawa makanan itu tidak lain dapat menguatkan tubuh-badan kita untuk bangun mengerjakan perintah Allah. Dan jika kasih pada bunga, tanam pelbagai jenis bunga kerana terpesona dengan kecantikannya, maka ingat pada pencipta bunga itu..tuan empunya bunga. Begitu juga bila tengok sungai, tengok cahaya yang indah, yang elok,yang cantik.. maka ingat bahawa yang empunya keindahan itu adalah Allah. 


Al Khaliq الخالق - Maha Pencipta; The Creator

Akal manusia itu anugerah Allah. Bila timbul rasa diri hebat, ingat Allah Yang Hebat. Allah yang bagi akal kita. Maka jangan jadi orang yang sombong, jadilah orang yang tawadhuk, yang sentiasa merendah diri.  Ilmu Allah luas. Tengok bunga orkid sempurna, tengok langit sempurna, tengok laut sempurna, tengok sungai sempurna.. begitu juga dengan kejadian diri kita sebagai manusia yang mana susunan mulut, hidung dan dua biji mata di wajah kita begitu sempurna.. Subhanallah..  Ciptaan Allah begitu luarbiasa. Sentiasalah ingat kita ini lemah, maka jangan sombong sangat. Semua barang pinjam. Kita datang dulu kosong, balik nanti pun kosong kecuali ada taqwa, ada amal soleh.

Suluh diri, kita suluh diri masing-masing.

Wallahu a'lam.


**bersambung di SINI

Berbuat Baik

Bismillahirrahmanirrahim.

Firman Allah dalam surah al-Qasas ayat 77:
“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan “.

Sudah begitu lama hujan tak turun... panas berpanjangan.  Kebakaran hutan berlaku di sana sini.  Semalam semasa memandu di jalan utama ke Kuala Kubu Baru, bush fire betul2 tengah semarak di tepi jalanraya.  Kita yang sedang memandu ni rasa suspen takut tayar terpijak api yang sedang marak. Dalam suasana yang berasap itu, terus juga meredah jalan, begitu juga dengan kenderaan2 lain... masing2 meneruskan perjalanan, tentu dalam keadaan hati yang sangat berdebar2 sebagaimana yang saya rasa.

Dalam Kuliah Maghrib, ustaz mengingatkan bahawa apa yang sedang kita hadapi ini adalah kerana Allah nak suruh kita sedar.  Namun ramai yang masih tidak sedar diri, hanya menganggap apa yang berlaku adalah perkara biasa. Walhal sebenarnya ini adalah perkara yang sangat luarbiasa.  Ya lah, hutan terbakar sana sini, cuaca berjerebu, panas berpanjangan, hujan tak turun... semua ini sesungguhnya luarbiasa.

Kata ustaz,,,
Ada tiga perkara yang sering manusia terlupa akannya iaitu:
1) Kita ini hambaAllah tapi sifatnya tak macam hambaAllah
Contoh:Seorang remaja yang suka merempit, bila ditanya, ikut mengaku dirinya hambaAllah tapi kelakuannya tidak sepertimana yang dikata.. waktu azan sedang berkumandang, tetap terus merempit di jalanraya. 

2) Rezeki datang dari Allah tapi manusia masih percaya bahawa kebahagiaan itu ada pada wang ringgit, ada pada pangkat dan harta.

3) Kita semua akan mati tapi ramai yang berkelakuan bagai tak ingat mati. Bertingkahlaku dan membuat kerja2 bagai orang yang tak ingat mati. Hanya setakat tau berangan-angan sahaja namun tidak melakukan aksi untuk berubah. Azan berkumandang tapi masih lagi sibuk dengan urusan kerja di pejabat, masih lagi sibuk di kebun sedangkan dalam masa yang sama sebahagian orang lain sedang berkejar untuk rebut saf pertama solat berjemaah di masjid. Dalam hati ada angan-angan untuk dapat hidayah, tapi ternyata dia hanya berangan-angan kosong saja kerana tiada membekalkan diri dengan apa-apa amalan pun yang boleh melayakkan dirinya mendapat hidayah.


Dari Abu Ya'la iaitu Syaddad bin Aus r.a. dari Nabi SAW., sabdanya:
"Orang yang cerdik - berakal - ialah orang yang memperhitungkan keadaan dirinya dan suka beramal untuk mencari bekal sesudah matinya, sedangkan orang yang lemah ialah orang yang dirinya selalu mengikuti hawanafsunya dan mengharap-harapkan kemurahan atas Allah - yakni mengharap-harapkan kebahagiaan dan pengampunan di akhirat, tanpa beramal soleh."
Diriwayatkan oleh Imam Termidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan.

Jangan kita menangguh-nangguhkan taubat. Kata ulamak; Allah mengingatkan kita dalam firman-Nya dalam Surah al-Hasyr ayat 18 - 19, yang bermaksud:

[18]Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepad Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan.

[19]Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang telah melupakan (perintah-perintah) Allah, lalu Allah menjadikan mereka melupakan (amal-amal yang baik untuk menyelamatkan) diri mereka. Mereka itulah orang-orang yang fasik – derhaka.

Maka takutlah kita kepada Allah. Mesti sentiasa memikirkan apa bekalan yang hendak dibawa untuk hari esok.

Kata seorang Imam rm:
'Kena fikirkan bagaimana kita nak jawab soalan-soalan Allah.'  

Boleh jawab kah kita kalau persiapan tak cukup? "Boleh ke.. ", tanya ustaz. Boleh jawab ke kalau kita nak mengaji quran pun malas, nak dengar kuliah agama pun malas, sebaliknya diri lebih rela duduk di depan tv, mengadap astro berjam-jam. Kita ada masa tapi tak guna masa untuk mentelaah al-quran.  Ada masa tapi tak guna masa untuk baca al-quran. Allah bekalkan mata tapi tak gunakan mata untuk baca ayat-ayat Allah, tidak guna mata untuk memandang tok2 guru yang mengajar... 

Allah bekalkan telinga tapi tak guna untuk dengar ayat-ayat Allah, hadis Nabi SAW, nasihat ulamak... Tak jadikan al-quran sebagai bahan panduan, maka boleh kita nak jawab soalan Allah?  Pagi-pagi semua akhbar kita baca, dari hal politik sampai berita sukan, tahu semua. MU lawan Liverpool tahu semua, gol berapa2 siapa penjaring semua boleh cerita.  Masa sambut Maulud pula, tau berselawat dan ber 'Yahanana' tapi bila balik rumah sambung berkaraoke. Rajin ke masjid pula hanya bila ada keperluan.  Dah nak2 dekat dengan time buat kenduri kawin anak, baru muncul di masjid.  Maksudnya, senang nanti bila sampai masa nak bagi2 kad jemputan pada jemaah masjid, orang kenal... Astaghfirullah...

Pesan ustaz,"Takwalah... takutlah kita kepada Allah.  Duduk di mana sekalipun kita, takutlah pada Allah..."

Ambil iktibar terhadap apa yang berlaku, cari jalan yang terbaik untuk kembali kepada Allah Taala.  Jangan kita dengan Allah, jauh. Solat, mintak doa pada Allah . Ingat bahawa, kalau kita lalai, penghujungnya kita adalah rugi. Kalau lalai, kita akan rugi. Quran ada di depan kita, maka ambik iktibar.  Jangan kita terus menerus ikut jalan orang yang sesat. Antara sifat orang yang lalai itu ialah cenderung mengikut hawa nafsu. Oleh itu jangan tangguhkan taubat. Berbuat baiklah. Buat baik balasan baik. Jangan sombong. Jangan aniaya orang. Ustaz ingatkan bahawa kita ini banyak lalainya, banyak dosa, banyak kegelapan.. Moga jauh dari murka Allah. Moga diberi keluasan rahmat dan keampunan-Nya buat kita semua..ameen

Firman Allah dalam Surah al-Asr:

[1] Demi Masa!

[2] Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian

[3] Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.


Wallahu a'lam.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...