Umrah Sunat Kedua

Alhamdulillah hari Ahad 10/11/19 kami berkumpul jam 7pagi di hadapan hotel, menunggu bas ke Hudaibiyah untuk bermiqat umrah sunat yang kedua sehari selepas buat umrah sunat yang pertama(di SINI).

Hudaibiyah, di situ ada perjanjian dibuat iaitu Perjanjian Hudaibiyah di zaman Rasulullah SAW.
Dikatakan ada telaga, telaga tu nama hudaibiyah. Jadi dikatakan, di-ambil nama tempat sempena nama telaga. Wallahu'alam.


Perjalanan tidak lah begitu jauh untuk ke sana. Kami semua dah siap2 berwudhuk dan memakai  ihram dari hotel lagi sebab rancangannya hanya pergi sebentar ke masjid Hudaibiyah, solat sunat ihram, berniat ihram dan terus balik semula ke hotel.

Lepas solat sunat ihram, saya sempat singgah membeli sejadah2 kecil, beg kain, fridge magnet  dan beg telekong sebagai kenang-kenangan di perkarangan Masjid Hudaibiyah.  Di luar masjid, ada yang menjual kurma dan kekacang yang mengundang perhatian orang lalu lalang.


Selesai bermiqat, kami pun bergerak balik ke hotel. Dalam bas dah terfikir sesuatu jadi semasa turun bas di depan hotel saya memberitahu mutawif tentang hajat nak naik skuter untuk umrah sunat kedua ini. Masih rasa lemau2 badan selepas demam, itu yang bagitau en suami nak merasa naik skuter kali ini.

Makanya jemaah yang nak naik skuter dijadualkan berkumpul di lobby hotel pukul 10.30 pagi untuk mutawif tunjukkan jalan ke stesen skuter. Saya join akak2 yang dari melaka dan sg besar naik skuter. Anak dan en suami serta lain2 jemaah dalam group kami bertawaf dan saie berjalan seperti biasa.


Pemandangan kaabah dari tingkat atas, semasa menuju ke stesen skuter

Alhamdulillah dapat merasai satu pengalaman baru mengerjakan tawaf dan saie menggunakan skuter. Saya ambil skuter yang one seater dan membawanya sendirian tanpa penumpang. Alhamdulillah senang dipandu di mana kelajuannya sudah di setkan laju tahap2 mana.  Alhamdulillah saya fokus dan memberi tumpuan penuh semata2 kerana Allah sebagaimana melakukan tawaf dan saie berjalan kaki.  Harga menggunakan skuter untuk tawaf dan saie berjumlah 100rial, bermakna tawaf 50rial, saie 50rial.



Ini skuter yang dua seater

Setelah selesai mengerjakan Saie, akak yang kami panggil Busu tolong gunting rambut saya. Selesai bertahalul, Alhamdulillah dengan izin Allah selesai lah sudah umrah sunat saya yang kedua yakni umrah yang terakhir dapat dibuat dalam perjalanan umrah kali ini. Semoga Allah menerimanya.. Aamiinn..

~~~~~~~~~~~~
LabbaikAllaahummalabbaik labbaikalaa shareekala kalabbaik
'innal-hamda
wanni'mata
laka walmulk
laa shareeka laka.

Ku sambut seruanMu ya Ilahi, ku sambut seruanMu. Ku sambut seruanMu, tiada sekutu bagiMu, ku sambut seruanMu. Sesungguhnya segala puji, nikmat dan kerajaan adalah milikMu, tiada sekutu bagiMu.

Al-Bukhari, Muslim 2/841.


~~~~~~~~~~~~~~

"Antara satu umrah dengan umrah yang lain adalah penghapus dosa di antara keduanya, dan haji mabrur tidak ada balasannya kecuali syurga."
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

~~~~~~~~~~~~

Hari Jumaat di Mekah


Alhamdulillah rezeki berada  di Mekah pada hari Jumaat yang mulia 8/11/19. Teringat pagi itu sebelum Subuh saya masih dengan Laila(rakan sebilik) pergi ke masjid. Kelihatan sungguh ramai orang pagi itu.  Bersesak2 nak masuk masjid. 

Dalam keadaan sesak itu, kami mencari-cari tempat untuk solat yang dapat melihat kaabah.  Alhamdulillah dapat akhirnya. Tenang hati dapat tengok kaabah di pagi jumaat. Ketika itu tak ingat perkara lain, tak ingat apapun.. selain dari menyerahkan  sepenuh pengharapan pada Allah Taala.


Alhamdulillah syukur atas nikmat berada di Mekah pada hari jumaat dan  berada pula di masjidil haram yang di dalamnya ada kaabah yang menjadi arah kiblat bagi seluruh umat Islam bila mendirikan solat. 

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Solat di masjidku ini (masjid Nabawi) lebih baik daripada seribu solat di tempat yang lain melainkan masjid al-Haram”.
[Riwayat Muslim (1394)]

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdillah RA bahawa Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: “Solat di masjidku ini (masjid Nabawi) lebih baik daripada seribu solat di tempat yang lain melainkan masjid al-Haram. Dan solat di Masjid al-Haram lebih baik daripada 100 ribu solat di tempat lain”. 
[Riwayat Ahmad (15271)] [Sanadnya adalah sahih mengikut syarat Imam al-Bukhari menurut Syeikh Syuaib al-Arnaouth ketika beliau mentakhrijkan hadith ini di dalam musnad Ahmad]

Subhanallah begitu besar ganjarannya menunaikan solat di masjidil Haram, Mekah dan di masjid Nabawi, Madinah.



Suasana di luar masjid pagi Jumaat...Allahu Akbar







Buat Tawaf Sunat

Terpahat di ingatan, pada malamnya hari Khamis 7/11/19 itu alhamdulillah sebelum azan Maghrib berkumandang, , saya berdua dengan rakan sebilik Laila bergegas ke masjid untuk Maghrib dan Isyak. Dah azam, hanya akan balik hotel untuk dinner selepas solat Isyak.

Alhamdulillah suasana agak tak begitu ramai orang.. Jadi saya pun mencapai kata sepakat dengan Laila, jom buat Tawaf Sunat. Alhamdulillah, sekejap saja dalam 20minit dah boleh selesai 7pusingan tawaf memandangkan pusingan kami agak berdekatan dengan Kaabah.

Selesai tawaf kami berdua menyusur keluar ke arah ruangan terletaknya air zam-zam. Kami minum dulu air zam-zam sebelum mula mencari tempat untuk solat sunat tawaf.

Ya Allah, syukur alhamdulillah dipermudahkan Allah untuk dapat duduk di ruang solat wanita yang kedudukannya betul2 berhadapan dengan pintu Kaabah... Dapat duk depan pulak tu... Subhanallah. Dapat rasa Allah permudahkan urusan ibadah kami di malam itu. Dapat saya rasakan manisnya ibadah di waktu Maghrib hingga Isyak malam itu... Allahu...





Duduk lama beriktikaf di situ.... sehinggalah selesai solat baadiyah selepas Isyak. Masih di situ, di depan pintu Kaabah walau jarak agak jauh tapi kedudukan kami betul-betul mengadap pintu Kaabah. Alhamdulillah syukur ya Allah. Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Allah Allah Allah...

Jam di Safwa Tower menunjukkan hampir pukul 8malam semasa kami masih berada di dataran kaabah. Di sana Maghrib pukul 5.36pm dan Isyak 7.06pm.
Syukur alhamdulillah ya Allah atas nikmat ini....













Niat Iktikaf di Masjidil Haram

Teringat pada pagi Khamis 7/11/19, saya berempat dengan rakan sebilik(Laila, Sha dan Shilah) pergi ke masjid jam 3.45 pagi. Sampai di masjid pun lepas cari2 tempat dah jam 4.00 pagi. Subhanallah sudah sangat ramai orang ketika itu di dalam masjid. Kami dapat tempat yang agak terlindung dari Kaabah. Jadi dah azam lepas solat Subuh akan terus mara ke dataran Kaabah, nak duduk iktikaf sampai selesai Dhuha baru balik hotel, breakfast.

Alhamdulillah bila masuk masjid pertama-tama sekali berniat iktikaf dan sebelum duduk tak lupa untuk bersolat Tahiyatul Masjid. Suasana padat dengan hambaAllah dari pelbagai pelusuk negara dalam Masjidil Haram telah memberi aura yang luarbiasa buat kami yang baru sehari sampai ke Mekah ketika itu. Rasa rugi lewat datang masjid pagi itu. Rasa sepatutnya aku kena datang awal-awal lagi.


Selesai solat Subuh kami menyusup di celahan orang ramai untuk dapat hampir dengan Kaabah. Allahu..terusik lagi hati bilamana memandang Kaabah di hening pagi.  Lama saya pandang Kaabah. Ya Allah ampunkan segala dosa-dosaku, terimalah taubatku ya Allah....





Sesekali terdengar suara polis/pengawal yang berteriak.. "hajjah!! hajjah!! hajjah!!." Gigih mereka mengawal suasana. Mereka tidak benarkan kita solat sesuka hati di tempat laluan atau tempat2 tertentu. Kita yang dengar ni pun rasa penat dengar suara mereka yang bersambung-sambung kawal keadaan.. Hajjah!! hajjah!! hajjah!!
Syukran pak pengawal, jazakallah.



~~~~~~~~~~

Umrah Sunat Pertama

Masjid Jarannah merupakan tempat bersejarah dan ia dikatakan tempat faveret untuk bermiqat. Mungkin kerana jaraknya yang terletak tidak begitu jauh dari kota Mekah.

Alhamdulillah, kami pergi ke Masjid Jarannah hari tu untuk berniat ihram umrah selepas singgah melawat Jabal Thur, Jabal Rahmah, Jabal Nur, Mina dan Muzdalifah. Muzdalifah adalah satu kawasan yang terletak di antara Mina dan Padang Arafah. Kami hanya melalui Muzdalifah dan Mina, di mana nampak begitu banyak khemah-khemah. Tak singgah pun hanya melihat pemandangan dari atas bas.


Semasa di Jabal Rahmah, saya beli aiskrim sampai dua kali. Best sangat rasa. Di sana lah tempat pertama saya beli kurma. Beli dua jenis  kurma termasuk Ajwa, kismis kuning dan hitam, buah tin, kacang, jubah buat cucunda Ibraheem Fateh saiz26 dan sejadah saiz kecil.
Van aiskrim

Ada insiden kecil berlaku ketika hendak meninggalkan Jabal Rahmah, bilamana disedari suami saya tak muncul2 hingga mutawif  dan anak saya terpaksa turun dari bas mencari. Agak lama juga lah kami semua berada di dalam bas menunggu sebelum suami akhirnya berjaya dikesan..he he.. Ooh.. Tak jumpa cari bas ya suamiku? Hi hi... Ya lah bas persiaran bersusun, jadi memang boleh keliru nak cam yang mana. Jadi pesanan penaja buat yang bakal melakukan ziarah.. sebaik nya, bila time pergi ziarah tu, elok lah snap gambar bas biar nampak dengan nombor pletnya sekali..he he..

Berbalik pada kisah Masjid Jarranah, bila sampai di masjid, kami terus menuju ke tempat mengambil wudhuk manakala jemaah lelaki tukar memakai pakaian ihram dan berwudhuk. Kemudian bersolat sunat ihram di dalam masjid sebelum berniat ihram umrah di dalam bas sebelum bas mula bergerak balik ke hotel.

Selepas Zohor, kami diminta berkumpul di lobby hotel untuk sama2 ke masjid bagi melakukan umrah sunat pertama. Alhamdulillah syukur ya Allah masih ada peluang  daku untuk buat umrah lagi. Kali ini saya berganding dengan anak buat tawaf. Kami dah terpisah dari lain2 ahli group dalam orang ramai di sekeliling Kaabah. InshaaAllah apa2 hal akan jumpa selepas selesai tawaf tak pun jumpa setelah selesai Saie di Bukit Marwah.


Sebaik saja selesai bertawaf, azan Asar berkumandang. Jadi solat Asar dulu di kawasan Bukit Safa sebelum nanti nak sambung balik buat Saie. Ada jemaah lelaki kelihatannya bergegas masuk solat dalam masjid. Itu yang afdal sebenarnya sebab kawasan saie bukan di dalam masjid.


Done saie, kami ramai2 pakat bergunting. Maka alhamdulillah selesai lah sudah umrah sunat saya yang pertama pada hari Sabtu 9/11/19.. Alhamdulillah.

Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Antara satu umrah dengan umrah yang lain adalah penghapus dosa di antara keduanya, dan haji mabrur tidak ada balasannya kecuali syurga."
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) 

Barang Keperluan Pergi Umrah

Untuk perjalanan umrah ini, saya hanya bawa 
  • 4helai jubah termasuk yang sedang dipakai, 
  • 4helai seluar panjang palazo untuk pakai dengan jubah/blouse
  • 2helai blouse labuh 
  • 3helai caften untuk tidur/pakai dalam bilik
  • 1helai towel 
  • 4 + 7 pakaian dalam 
  • patty liner
  • 3helai wide shawl
  • 2helai telekung 1 hitam 1 putih 
  • 2helai mini telekung 1 kelabu 1 kaler belachan Rasanya macam tak perlu bawak kain untuk telekung, di sana kita hanya pakai jubah dan seluar kemudian terus sarung telekung, handsock dan stoking kaki.
  • 6 hanger baju
  • Seliper jepun utk pakai dalam bilik air di bilik hotel(wakaf utk ramai2 pakai) 
  • Sabun mandi Shokobutsu dan syampoo(pack sederhana utk keperluan saya dan anak) 
  • Ubat-ubatan
  • Jangan lupa untuk bawa sejadah saiz biasa yang nipis(bukan sekadar sejadah muka/ kecil). Saya bawak dua-dua tapi nampak macam sejadah saiz biasa lebih praktikal sebab ada masa kita tak dapat tempat yang berkarpet untuk solat. Lantai marmarnya sangat sejuk jadi elok bawak sejadah bersaiz biasa boleh lapik duduk sekali. Sejadah biar sentiasa ada dalam beg sandang/sling. 
  • Beg sandang belakang yang ringan dan juga beg sling(dari agensi umrah) amat praktikal dipakai semasa di sana. Di dalam beg sandang belakang mesti standby satu lagi beg plastik di dalam nya untuk isi seliper/kasut kita masa nak masuk masjid. Seliper seeloknya biar ada bersama2 kita ke mana saja kita pergi.

Beg sandang belakang bertali macam ni

Semasa di Mekah saya merajinkan diri (terpaksa) basuh pakaian yang hendak di ulang pakai. Basuh pakai sabun mandi hotel tu je. Kicah2 sekejap di sinki. Lepas  dah bilas bersih, gantung biar dah agak2 kering air(dah tak menitik) sambung sidai kat ruang bilik. Gantung kat pintu lemari, inshaaAllah cepat kering dalam udara aircond yang sejuk. Pakaian dalam seeloknya dibasuh setiapkali kita mandi agar ada je standby yang bersih tidak terputus bekalan pakaian dalam.

Rakan jemaah dari bilik lain ada yang panggil orang dobi je datang ambil baju di bilik supaya dapat rolling baju dengan cepat. Tapi agak mahal lah sikit caj dobi di Mekah, dengar khabar dobi untuk sehelai jubah 16rial, kalau ada manik2 kat jubah harga dobi 21rial untuk sehelai jubah. Allahu sangat mahal lah bagi saya. (tak pasti kalau di hotel lain boleh dapat murah harga dobi)

Kalau berhajat nak beli beberapa helai jubah samada di Mekah atau Madinah, elok lah bawa pakaian lebih kurang macam yang saya bawa saja atau lagi kurang. Sebab nya nanti time balik logiknya beg akan berganda berat atau beranak(tambah beg lain). Luggage yang kena check-in tidak boleh melebihi 30kg bagi setiap orang. Jadi kita bila dah membeli kurma tu, tentu lah bukan beli setakat sekilo. Tentu lah berkilo2 campur dengan buah tin, kacang2 dan ole2 lain nya. Jadi langkah awal yang selamat, bawak pakaian seadanya saja.

Wallahu'alam. 

Menu di Mekah

Alhamdulillah... Makanan di hotel Orchid Safwa Tower agak mewah. Banyak dessert dan pelbagai roti terhidang sebagai side kick menu utama. Tapi mungkin sebab saya tak berapa sehat dua tiga hari di Mekah jadi makan pun biasa2 saja. Kurang berselera gitu jadi makan pun hanya untuk alas perut saja. Hari mula2 saja berselera. Suka sangat bila tengok ada dessert faveret, trifle...terhidang penuh satu meja di ruangan dessert.



Pemandangan dari dalam food court hotel pula memang first class. Sangat terhibur, boleh cuci2 mata tengok orang ramai berpusu2 berulang alik ke masjid dan balik ke hotel masing-masing. Kami selalu ambil peluang duduk di meja yang boleh tengok pemandangan.



Namun bila ujian demam melanda, aduhai.. selera makan jadi tak berapa nak ada. Innalillah. Saya hanya ambil air panas kosong perah dengan hirisan lemon saja sebagai minuman.  Makan pun, kadang hanya mampu makan epal saja, tak kena dengan tekak time tu untuk makan menu buffet food court hotel. Lalu en suami ajak ke restoren D'Saji Malaysia yang terletak di bawah hotel kami(dalam bangunan Safwa Tower) Alhamdulillah baru la ada rasa nak makan...selera Malaysia lah katakan...hahaha.

Alhamdulillah sempat dua kali pegi D'saji..sekali pergi makan bihun goreng, en suami makan mi goreng(31.50rial) dan minum teh tarik (3rial). Second time pergi order nasi lemak dan dua gelas teh tarik(27rial)..huuu..agak mahal sikit harga tapi boleh tahan la sedap... Alhamdulillah



Mutawif kami rekemen saya minum Pepsi, inshaaAllah dapat membantu untuk cover demam katanya. Alhamdulillah benar sekali, dengan izin Allah Pepsi agak mujarab la untuk kurangkan demam saya.. Wah ilmu baru ni.. Moga ada manafaatnya buat yang membaca kisah pepsi ini dan boleh cuba minum kalau di uji demam ketika di Mekah atau Madinah.

Wallahu 'alam. 

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...