Inginkan anak yang soleh?

Bismillahirrahmanirrahim

Pengisian ilmu dari Kuliah Maghrib malam tadi...

Ustaz menghuraikan perihal anak yang soleh. Semua orang mengimpikan anak yang soleh. Kata ustaz, kalau tanya sesiapa sekalipun sudah pasti menginginkan anak-anak yang soleh. Jika boleh tidak mahu anak2 mengikut jejak langkah mereka yang mana mungkin tersilap. Tak kira siapa, jika ditanya semua pasti inginkan anak mereka menjadi anak yang soleh.

Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah s.a.w ada bersabda yang bermaksud: “Apabila seorang mati, putuslah amalannya kecuali tiga perkara, (iaitu): Sedekah jariah, ilmu yang memberi faedah kepada orang lain dan anak yang soleh yang berdoa untuknya.” (HR Muslim)

Anak2 yang disebut boleh bantu kita dalam kubur adalah anak-anak yang soleh. Hanya doa anak yang soleh yang InsyaAllah akan sampai kepada kedua orang tuanya di alam barzakh. Anak yang soleh adalah kurnia buat ibubapa yang terpilih. Untuk beroleh anak yang soleh, pertamanya kita sendiri yang mesti cuba secara berterusan mendekatkan diri dengan Allah. Soleh adalah amalan mendekatkan diri dengan Allah. Maka cari jalan untuk beramal soleh.

Jalan menuju amal soleh termasuklah dengan:

(1)menjaga solat. Bila masuk waktu terus solat, jangan tangguh. Masa solat cuba capai khusyuk. Antara perkara yang boleh membuat kita khusyuk dalam solat ialah

  • faham makna bacaan dalam solat. Cuba kita muhasabah diri, dalam sehari ada tak kita luangkan masa membelek al-quran untuk membaca terjemahannya. Ada tak usaha kita untuk faham makna ayat-ayat al-quran lebih2 lagi makna bacaan ayat2 yang dibaca dalam solat.
  • hadir hati iaitu hati mesti hadir dalam solat. Jangan kita baca fatihah tapi dalam masa yang sama fikiran merayau-rayau entah ke mana.
  • hadirkan rasa membesarkan Allah iaitu biar rasa kecilnya diri takkala mengadap Allah. Biar rasa kerdilnya diri hidup di atas bumi Allah. Bila selalu ingat semua milik Allah maka akan timbul rasa malu pada Allah, malu pada tuan empunya dunia.
(2) cari masa tambahan untuk bersama Allah di sepertiga malam. Bangunlah malam untuk berqiamulail. Jangan kita begitu mudah bangun malam untuk tengok bola Chelsea vs MU tapi malangnya amat liat untuk kita dapat bangun bersolat malam. Kalau untuk tengok bola boleh pula kita standby air kopi dan kacang pagoda untuk tak nak bagi mengantuk, tapi persediaan untuk bangun solat malam, tidak ada apa. Kunci jam pun tidak untuk bangun. Jelas betapa bersungguhnya kita untuk urusan lara yang pada hakikatnya hanya merupakan tipudaya.

Bangkitlah untuk qiamulail. Bacalah quran ketika qiamulail. Baca quran dengan tartil. Hayati saat-saat berseorangan diri mengadap Allah dalam suasana sunyi dan sepi. Bermunajat dan berserah diri pada yang Esa...

Sesungguhnya tak ramai yang sanggup pikul beban agama. Sebab apa tak sanggup? Kata ustaz, sebab tak ada kefahaman dalam agama. Sebab apa tak faham agama? Sebabnya diri tak dibantu dengan qiamulail. Qiamulail adalah satu latihan khusus dalam usaha mendekatkan diri pada Allah.

Maka, ayuh kita.. mulakan jika belum bermula...


...bersambung...

Ubat Hati

 Ubat Hati ada lima perkaranya:
  • yang pertama, baca Qur’an dan maknanya
  • yang kedua, solat malam... dirikanlah
  • yang ketiga, berkumpullah dengan orang soleh
  • yang keempat, perbanyaklah berpuasa
  • yang kelima, zikir malam... perpanjanglah
Salah satunya siapa bisa menjalani
Insyaallah Allah Taala mencukupi...

Sifat Sabar

Lagi sambungan pengisian mengenai hati...

Ustaz hurai tentang sabar. Sifat sabar ini ada pada hati yang bersih. Siapa2 yang bersih hati maka padanya lahirlah sifat sabar. Sifat seorang mukmin ialah kekal dalam taat. Terkawal hati, percakapan dan pebuatan dalam menjaga taat pada Allah. Tetap hati dalam hal mentaati Allah. Walau dibenci dunia, tetap mengimani Allah Taala. Tetap beriman pada Allah, di kala susah beriman di wakttu senang pun beriman. Kaya pun Allah, miskin pun Allah. Sihat pun Allah sakit pun Allah. Jangan bila sihat kata ini kurnia Allah bagi sihat tapi bila sakit kata orang buat sebab dengki.

Ada 3 jenis rezeki:
  • Rezeki yang ditentukan Allah sejak azali - sekian umur, sekian masa ini rezeki kamu... contoh Ahmad akan kawin pada umur 27 tahun, Salim akan menimang cahaya mata pada usia 33 tahun dsb
  • Rezeki yang tertangguh - Usaha tapi tak menjadi. Meniaga tak untung asyik rugi. Maka kena sabar, pegang hakikat mungkin rezeki kita tertangguh. Allah tangguhkan rezeki kita kemudian.
  • Rezeki yang segera - Kerja dapat gaji, meniaga terus dapat hasil.

Kata ustaz, ada rezeki berbentuk dunia dan ada rezeki berbentuk akhirat. Contoh dapat datang ke masjid, bukan semua orang direzekikan Allah dapat datang ke rumah Allah. Bersyukurlah kerana Allah rezekikan kita dapat hadir bersolat jemaah kemudian berhasil pula untuk duduk dalam majlis ilmu.

Siapa yang beriman pada Allah, di akhirat kelak tiada ketakutan, tiada dukacita. Banyak pegangan kita hari ini yang rosak. Dah elok solat tapi ada syirik yang tersembunyi.. masih menduakan Allah: Allah ada dalam hati tapi tetap teruja tak sabar pada pangkat, duit, harta... Nauzubillah.

Maqam yang tinggi ialah tak nampak bab pahala, tak nampak ganjaran Syurga tapi hanya nampak Allah, hanya mahukan Allah... "Aku tak harap balasan Tuhan, aku hanya nak Allah..." Itu maqam tertinggi. Kalau sampai tahap itu, sedar hakikat semua yang ada milik Allah. Jadi tak rasa apa2, tak rasa gundah gulana bila hilang apa-apa. Ada sama tak ada sama. Ibadah rasa manis,.... masa orang lain makan, dia puasa. Apa yang datang dari Allah dia redha. Redha sifat seorang hamba. Baik terima, buruk terima. Orang puji pun sama, orang hina pun sama. Jangan bila orang puji, suka... tapi bila orang hina, merah telinga...


*************
Firman Allah yang mengandungi perintah untuk bersabar dan menerangkan keutamaan sabar.
(rujukan dari Kitab Riyadhus Shalihin)
"Hai sekalian orang yang beriman, bersabarlah dan cukupkanlah kesabaran itu." (ali-Imran:200)

"Niscayalah Kami akan memberikan cobaan sedikit kepadamu semua seperti ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan, kemudian sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar." (al-Baqarah: 155)

"Sesungguhnya orang-orang yang bersabar itu akan dipenuhi pahala mereka dengan tiada hitungannya - kerana amat banyaknya." (az-Zumar:10)

"Orang yang bersabar dan suka memaafkan, sesungguhnya hal yang demikian itu niscayalah termasuk pekerjaan yang dilakukan dengan hati yang teguh." (as-Syura:43)

"Mintalah pertolongan dengan sabar dan mengerjakan shalat, sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar." (al-Baqarah:153)

Hikmah Memperbanyak Puasa

Hendaklah kita memperbanyak puasa pada bila-bila masa saja. Sebab puasa itu merupakan salah satu cara yang berkesan dalam mendidik diri, mematahkankan kehendak hawanafsu, menerangkan dan melembutkan hati, mengawal semua anggota badan dan meluruskan serta mencergaskannya untuk melakukan ibadat. Dalam mengerjakan puasa itu akan mendapat pahala yang besar dan ganjaran yang mulia, yang tidak dapat dikira atau dibataskan.

Tiap-tiap amal ibadat yang kita kerjakan itu ada had dan batasnya tentang pahalanya, kecuali puasa saja. Maka pahalanya tidak dapat ditentukan dengan kadar yang tertentu, ataupun dibataskan sampai sekian dan sekian.

Sabda Rasulullah s.a.w:
"Setiap amal anak Adam, diperlipat-ganda pahalanya sepuluh kali ganda seumpamanya. Berkata Allah Ta'ala; Kecuali puasa, maka amal itu adalah untuk Ku, dan Aku sendiri akan membalasnya. Dia(orang yang berpuasa itu) telah meninggalkan makan, minum dan menahan syahwatnya keranaKu. Orang yang berpuasa itu ada dua kegembiraan: Kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika bertemu dengan Tuhan. Adalah bau mulut orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah daripada bau-bauan minyak kasturi."

Cubalah renungkan firman Allah dalam potongan Hadis di atas iaitu: kecuali puasa, maka amal itu adalah untukKu, dan Aku sendiri akan membalasnya. Cuba telitikan janji yang mutlak dari Tuhan yang Maha Mulia, Maha Murah hati dan Maha Belas-kasihan. Kemudian renungkan pula maksud bau mulut orang yang berpuasa itu adalah lebih harum di sisi Allah daripada bau-bauan minyak kasturi. Gambarkan betapa bau mulut itu dipandang lebih harum di sisi Allah Ta'ala.

Lantaran kelebihan bau mulut dan keutamaannya di sisi Allah Ta'ala, maka dihukumkan makruh bagi orang yang berpuasa bersiwak(bersugi) selepas matahari tergelincir hingga waktu berbuka puasa, sebeb bersiwak itu akan menghilangkan bau mulut ataupun mengurangkan baunya.

Rasulullah s.a.w bersabda:
"Dalam syurga ada suatu pintu dinamakan Raiyaan, tiada dibenarkan masuk menerusinya kecuali orang-orang yang berpuasa saja. Apabila mereka sekelian telah masuk, pintu itu ditutup."

Sabdanya lagi:
"Puasa itu setengah sabar. Bagi tiap-tiap perkara ada zakatnya dan zakatnya badan ialah puasa."

Sabdanya lagi:
"Puasa itu adalah pelindung dan benteng yang kukuh dari api neraka."

sumber dari:
Kitab Nasihat Agama dan Wasiat Imam
m/s 186 - 187
karangan Imam Habib Abdullah Haddad


~Selamat Beramal. Sama-sama perbaiki amalan dan tingkatkan ibadah bermula Rejab. Nawaitu kerana Allah~

Dah masuk 1 Rejab

Alhamdulillah, bertemu lagi kita dengan bulan Rejab bagi tahun 1433H ini.

Ustaz di masjid tadi mengingatkan agar kita bangkit memulakan perubahan bermula 1 Rejab ini. "Malam ini sebelum tidur solat hajat dan solat taubat dulu.. kemudian niatlah untuk berpuasa esok hari. Alhamdulillah kita mulakan Rejab dengan ibadah... tadi sama-sama baca yasin. Allah yang mengurus, yang menentu atas kehendakNya. Masih lagi dipanjangkan umur, moga2 umur yang dikurnia beroleh rahmat dan diberkati Allah ...aminn

Ya Allah, berkatilah dan rahmatilah kami di bulan Rejab, berkati dan rahmatilah kedua ibubapa kami, berkati dan rahmatilah keluarga kami, rahmati dan berkatilah isteri kami, rahmatilah dan berkatilah anak2 kami, rahmati dan berkatilah adik beradik kami, rahmati dan berkatilah jiran2 kami, rahmati dan berkatilah seluruh umat Islam samada yang masih hidup ataupun yang sudah mati... Ya Allah, kami lemah ampunkanlah kami ya Allah, kami lalai ingatkanlah kami ya Allah, kami mohon dari keluasan rahmatMu ya Allah, pilihlah kami untuk beroleh rahmat dan keampunanMu."

Begitulah mukaddimah ustaz sebelum meneruskan kuliah maghrib tadi. Ustaz mengajak kita untuk sama-sama bertaubat, banyak berdoa mohon pada Allah, InsyaAllah Allah Maha Mendengar. Kembalilah pada Allah sebab tak lama lagi kita semua akan dijemput ke suatu tempat yang kekal. Di sanalah nanti sebenar-benar tempat kesusahan, di sanalah nanti sebenar-benar tempat kebahagiaan.

Kata Ustaz, perbanyakkan Istighfar di bulan Rejab. Jangan sampai kita tak beroleh keampunan di bulan Rejab. Yang buat maksiat jangan masih terus lara berbuat maksiat, yang bukak aurat jangan masih terus suka menampakkan aurat. Cubalah untuk mulakan perubahan. Biar ada perubahan. Bulan Rejab adalah bulan untuk kita menyuluh dan semak iman kita, apakah kita masih jauh atau sudah makin dekat dengan Allah. Kita sebagai manusia dikurniakan Allah kedua-dua nafsu dan akal, berbeza dengan haiwan yang hanya dikurniakan nafsu semata-mata. Maka gunakan kelebihan berfikir yang Allah bagi untuk buat perubahan dalam diri.

Ada orang di luar sana yang tiada rezeki untuk dapat baca yasin malam ini iaitu malam 1 Rejab. Tapi alhamdulillah Allah telah bagi kita rezeki itu. Ada rezeki berbentuk dunia, ada rezeki berbentuk akhirat. Ada orang yang tak ingat pun esok adalah 1 Rejab. Jadi bersyukurlah tuan-tuan.... Biar niat kita semata-mata mengharapkan rahmat Allah. Kita cari rahmat Allah. Berlatih berpuasa dari sekarang. Usaha dulu, kalau tak boleh setiap minggu, puasalah sekurang-kurangnya 3 hari di bulan Rejab ini iaitu di awal, di pertengahan dan di akhir Rejab. Kalau tak boleh cubalah 2 hari iaitu di awal dan di akhir Rejab. Jika tak boleh juga berpuasalah untuk sehari, esok. Takkan lah kita tak boleh berlapang untuk Allah. Jika kita berlapang pada Allah, InsyaAllah Allah akan berlapang untuk kita... aminn

Jelas point yang ustaz bagi. Alhamdulillah, dapat capture apa yang cuba disampaikan oleh ustaz. Kata2 yang meminta kita sedar apa yang sepatutnya kita sedar... Wallahu'alam.

Selamat Beramal di bulan Rejab. Nawaitu kerana Allah.


**Pernah menulis "Mohon berkat di bulan Rejab" setahun yang lalu...

Berlaku satu lagi kematian... Innalillahi wainna ilaihirajiun


Baru balik dari rumah emak kawan saya kak zie yang juga merupakan jiran kami. Ayah kak zie telah kembali ke rahmatullah selepas Maghrib semalam. Baru dua tiga hari lepas ada berlaku kematian di kawasan perumahan kami, tiba2 semalam dikejutkan lagi dengan berita kematian. Innalillahi wainnailaihirajiun... Saya tak ikut ziarah jenazah yang selamat dikebumikan malam tadi sebab en suami masih di Masjid Sri Petaling. Jadi pagi ini baru keluar, terus ke rumah makcik yang jaraknya dalam 500m dari rumah saya.

Sedih melihat raut wajah makcik yang baru ditinggal pergi. Moga makcik sekeluarga tabah menghadapi kehilangan orang tersayang. Didoakan agar roh arwah pakcik di tempatkan di kalangan orang2 yang beriman dan beramal soleh... amiinn


Dari Anas bin Malik r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasullullah SAW bersabda: Tiga perkara akan mengikuti mayat. Dua akan kembali dan tinggal yang satu. Akan mengikutinya (ke kubur) ahli keluarganya, hartanya dan amalannya. Kemudian harta dan ahli keluarganya akan kembali, tinggallah bersamanya amalannya. (HR Muslim)

Ijtimak 2012 Masjid Sri Petaling - Hari ke 2

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, berkongsi sedikit catatan dan gambar yang en suami update hari ini. Hari ke 2 (20 Mei 2012) Ijtimak di Masjid Jamek Sri Petaling. Update hari pertama ada di SINI.

Peserta sedang berehat

5.10pm
Asmkm my dear. Apa program hari ni? Papa tengah berada di majlis bayan Asar bahasa Urdhu. Berpeluh panas. Lunch tadi nasi goreng. Tadi ujan jap.


9.05pm
Papa tengah dengar bayan. Kejayaan hanya dalam agama. Yakin semua milik Allah. Amalan ikut cara Nabi. Betulkan solat dan yakin. Dunia hanya keperluan bukan matlamat. Dakwah adalah kerja setiap muslim - kena cerita (1)Kebesaran Allah swt (2)kisah Nabi s.a.w (3)kisah Sahabat r.a. Fikir dan risau untuk dakwah seluruh alam. Setiap kita pewaris tugas dakwah Nabi dan sahabat ra.

9.18pm
Jaga solat dan yakin padaNya. Jika ada masalah atau hajat terus dirikan solat. Usaha sungguh2 dan yakin pada Allah.

Doa keluar dari rumah


Semasa sesi kuliah hadith tempohari ustaz telah menerangkan tentang sunnahnya keluar dari rumah dengan kaki kanan. Tetapi perlu diingat keadaannya berbeza semasa kita hendak keluar dari masjid. Bila melangkah keluar dari masjid, adalah menjadi sunnah keluar dengan kaki kiri. Kata ustaz, langkahkan dulu kaki kiri, letakkan kaki kiri di atas selipar dan dalam masa yang sama surungkan kaki kanan memakai seliper. Menyarung seliper sunnah mulakan dengan kaki kanan. Melepaskan seliper dari kaki sunnah mulakan dengan kaki kiri.

Dari Abu Hurairah r.a bahasanya Rasulullah s.a.w bersabda:
"Apabila seseorang dari engkau semua mengenakan terumpah, maka hendaklah mendahulukan yang kanan dan apabila melepaskannya, maka dahulukanlah yang kiri. Hendaklah yang kanan itu yang pertama di antara kedua kaki yang dikenakan terumpah dan yang terakhir ketika dilepaskan." (Muttafaq 'alaih)


Jadi semasa kita keluar dari rumah, langkahlah keluar dari pintu dengan kaki kanan. Sesungguhnya ikut sunnah dapat pahala, tak ikut sunnah kiranya ia berupa aktiviti semata-mata. Niat ikut sunnah (1)untuk dapatkan redha Allah dan (2)untuk ikut amalan Rasulullah s.a.w. Ketika keluar dari rumah itu kita bacalah doa, bertawakkal pada Allah sebagaimana hadis Rasulullah s.a.w...


Dari Anas r.a katanya Rasululllah s.a.w bersabda:
"Barangsiapa yang mengucapkan, yakni ketika keluar dari rumahnya: Bismillah, tawakkaltu 'alallah wa la haula wala quwwata illa billah - artinya: Dengan menyebut nama Allah, saya bertawakkal kepada Allah, maka kepada orang itu dikatakanlah: "Engkau telah diberi petunjuk, telah pula dicukupi keperluanmu, juga telah diberi penjagaan. Syaitan pun menyingkirlah dari orang tersebut."


Diriwayatkan oleh Abu Dawud, Termidzi dan Nasa'i serta lain-lainnya. Termidzi mengatakan bahwa ini adalah Hadis hasan. Abu Dawud menambahkan lalu berkata: Bahwa syaitan yang satu berkata kepada syaitan lainnya: "Bagaimana engkau dapat menggoda orang yang telah diberi petunjuk, telah dicukupi dan telah pula diberi penjagaan."


***Alhamdulillah, hadis yang disyarah oleh ustaz
di surau telah dibalik semak dalam
kitab Riyadhus Shalihin (Taman Orang-orang Salih)
Imam Nawawi

IJTIMAK MALAYSIA 2012, Perhimpunan Umum Muslimin

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, dapat beberapa mms dari en suami yang sekarang ini berada di lokasi Ijtimak Malaysia 2012 iaitu Perhimpunan Umum Muslimin yang bertempat di Masjid Jamek Sri Petaling, Kuala Lumpur.

Ijtimak 2012 ini sedang berlangsung sepanjang 19hb Mei - 26hb Jun di 13 buah lokasi seluruh Malaysia iaitu:

TARIKH & LOKASI:

19hb-21hb Mei - SELANGOR & WIL.PERSEKUTUAN
Masjid Jamek Sri Petaling, Kuala Lumpur.

22hb-24hb Mei - PERAK
Masjid Daerah Perak Tengah, Seri Iskandar.

25hb-27hb Mei - PULAU PINANG
Masjid Daerah Barat Daya, Balik Pulau, Penang.

28hb-30hb Mei - PERLIS & KEDAH
Masjid An Nur, Pokok Sena, Kedah.

31hb Mei-02hb Jun - KELANTAN
Madrasah Darululoom Addeeniyyah, Kg. Apa Apa, Pasir Mas.

03hb-05hb Jun - TERENGGANU
Madrasah Tahfiz Al-Quran, Kubang Bujuk, Kuala Terengganu.

06hb-08hb Jun - PAHANG
Masjid Mat Kilau, Jalan Gambang, Kuantan.

09hb-11hb Jun - MELAKA & N.SEMBILAN
Masjid Tuanku Muhriz, Bandar Seri Jempol.

12hb-14hb Jun - JOHOR & SINGAPURA
Madrasah Tahfiz Sinaran Baru, Kg. Sinaran Baru, Kempas Lama.

15hb-17hb Jun - SARAWAK (Kuching-Sibu)
Surau Darul Muttaqin, Taman Lavender, Kuching.

18hb-20hb Jun - SARAWAK (Bintulu-Miri) & BRUNEI
Masjid An-Na'im, Lutong, Miri.

21hb-23hb Jun - SABAH Pantai Barat (KK, Labuan, Beaufort, Keningau, Kudat dll)
Masjid Hj. Akbar Khan, Kg. Bingkul, Beaufort.

24hb-26hb Jun - SABAH Pantai Timur (Tawau, Sandakan, Semporna, Kinabatangan dll)
Masjid Nur Iman, Sapagaya, Lahad Datu.


Semua muslimin dijemput hadir.

1) Ijtima bermula waktu solat subuh di hari pertama dan diakhiri dengan doa pada hari ke-3 sebelum menunaikan solat fardhu zohor. Ceramah-ceramah umum setelah solat fardhu Subuh berjemaah, pagi (sekitar 10.30 pg waktu Semenanjung, 9.30pg waktu Sabah Sarawak), asar dan maghrib.

2) Halqah khusus pada pagi hari ke-2 untuk i) Ulama; ustaz/alim/asatizah, ii) VVIP, VIP dan iii) Pelajar-pelajar.

3) Ada halqah untuk mereka yang menggunakan bahasa isyarat. Dipelawa membawa rakan-rakan istimewa (pekak dan bisu) bersama-sama.

4) Makanan disediakan; makan secara berjemaah dan layan diri.

5) Mungkin keadaan sesak dan bermujahadah untuk mendapatkan kemudahan-kemudahan awam seperti tempat letak kereta, dewan/khemah makan, tempat rehat, tandas.

**(kopipes tarikh, lokasi serta aturcara dari http://al-fikrah.net)
TQ

~~~~~~~~~~~

Di-update kan info dan gambar2 yang baru di-mms oleh en suami. Moga pengorbanan keluar kali ini diberkati Allah SWT hendaknya... moga suamiku dipermudahkan urusan sepanjang 3 hari berada di sana... aminn

3.06 pm Bayan Zohor

Link


3.58 pm Taklim mengikut zon. Ada 16 zon. Baca Kitab Fadhilat Amal.

4.01 pm Jamaah pakistan dan bangla antara 30 ribu di Ijtimak Lembah Klang ini.


4.07 pm Anak-anak muda berhati waja keluar di jalan Allah. Ramai pelajar-pelajar tahfiz. Tadi papa halkah tajwid dengan firdaus yang hafiz 30 juzuk. Usia baru 18.


Taskil anak muda

Link


4.35 pm Peserta mujahadah di khemah yang agak panas.


4.40 pm Suasana di khemah


4.42 pm Di tempat wudhuk sebelum solat Asar

6.47pm Bayan Asar bahasa Urdhu yang diterjemah LIVE

Hidupnya Insan


Malam tadi selepas Isyak kami suami isteri telah menghadiri majlis tahlil di rumah seorang jiran. Ramai jiran dan keluarga terdekat arwah yang hadir. Takziah buat keluarga kak Jah. Moga roh arwah adik kak Jah ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh... ameen

Innalillahi wainna ilaihirajiun...


Sesungguhnya mati itu pasti. Tiba masa kita semua akan pergi dijemput Illahi. Sama2 insafi diri...

Mari sebarkan Salam


Assalamu 'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Hari Jumaat sudah di pertengahan hari. Berbanyak kita mengejar berbuat perkara yang menjadi sunnah di hari Jumaat. Moga2 nikmat yang dikecap beroleh redha Allah, beroleh kasih Allah... aminn

Ustaz dalam kuliah maghrib baru-baru ini telah menekankan bab menyebarkan salam. "Sebarkanlah salam tuan-tuan...", kata ustaz. "Jangan bila jumpa orang yang kita kenal je baru kita bagi salam. Cuba mulakan perubahan, bagi lah salam walaupun pada orang yang kita tak kenal. Kemudian sunnah untuk kita mengulangi salam...."
sebagaimana hadis Rasulallah SAW:
Dari Abu Hurairah ra pula dari Rasulullah saw sabdanya:
"Apabila seseorang di antara engkau semua bertemu saudaranya - yakni sesama Muslim, maka hendaklah mengucapkan salam padanya. Jikalau antara keduanya itu terhalang oleh sebuah pohon, dinding atau batu kemudian bertemu lagi dengan saudaranya itu, maka hendaklah bersalam pula sekali lagi." (Riwayat Abu Dawud)

Ustaz memberi semangat dengan menerangkan satu lagi hadis untuk kita sama-sama mengumpul pahala dari penyampaian salam iaitu:

Dari Imran bin al-Hushain radhiallahu'anhuma. katanya: "Ada seorang lelaki datang kepada Nabi s.a.w lalu ia mengucapkan : Assalamu'alaikum. Kemudian beliau s.a.w membalas salam orang tadi lalu duduk terus bersabda: "Sepuluh", maksudnya pahalanya dilipatkan sepuluh kalinya.

Selanjutnya datang pula orang lain lalu ia mengucapkan: Assalamu 'alaikum warahmatullah. Beliau s.a.w lalu membalas salamnya orang itu, lalu duduk lagi: "Duapuluh." maksudnya pahalanya dilipatkan duapuluh kali.

Seterusnya ada pula orang lain yang datang, lalu mengucapkan: Assalamu 'alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Kemudian beliau s.a.w membalas salam orang tersebut, lalu duduk terus bersabda: "Tigapuluh," maksudnya pahalanya dil
ipatkan tigapuluh kali.


(Diriwayatkan oleh imam-imam Abu Dawud dan Termidzi dan Termidzi mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan).



selanjutnya...

Dari Abdullah bin Umar r.a berkata; telah bersabda Rasulullah SAW: Sembahlah Ar-Rahman, berilah makan dan sebarkanlah salam dan (melalui amalan-amalan ini) kamu akan memasuki syurga dengan kesejahteraan. 
(HR Tirmizi)


Marilah kita memuliakan salam... sampaikan salam, sebarkan salam.


Jangan ungkit pemberian


Nak kongsi apa jawapan ustaz terhadap satu soalan yang telah ditanya kepada beliau. Ustaz sebutkan persoalan ini ketika kuliah maghrib sudah hampir sampai ke penghujung, sebelum semua bangun untuk solat Isyak berjemaah.

Ustaz menjawab tentang perkara 'mengungkit pemberian' itu melalui ayat al-Quran 262 - 264 Surah Al-Baqarah.
[262]
Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan (ugama) Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan perkataan membangkit-bangkit (pemberiannya), dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi), mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.
[263]
(Menolak peminta-peminta sedekah) dengan perkataan yang baik dan memaafkan (kesilapan mereka) adalah lebih baik daripada sedekah (pemberian) yang diiringi (dengan perbuatan atau perkataan yang) menyakitkan hati. Dan (ingatlah), Allah Maha Kaya, lagi Maha Penyabar.
[264]
Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan. Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.


Maka renung-renungkanlah... Tidak akan jatuh miskin kita dengan jalan melakukan sedekah. Jangan diungkit, jangan disebut-sebut kerana ianya hanya akan mengundang dosa dan sedekah kita tidak lain hanya akan menjadi sia-sia. Awasi perlakuan dan tuturkata agar tidak sampai menyakiti hati orang yang terdesak memerlukan bantuan. Bantulah setulus hati. Bersedekahlah dengan hati yang ikhlas dalam usaha kita mencari keredhaan Allah dan mengharap akan keluasan rahmatNya... aminn

Wallahu'alam.

..................................
Dari Abu Zar ra dari Nabi SAW sabdanya:
"Ada tiga macam orang yang tidak diajak bicara oleh Allah - dengan pembicaraan keridhaan, tetapi dengan nada kemarahan pada hari kiamat dan tidak pula dilihat olehNya - dengan pandangan keridhaan dan kerahmatan, serta tidak pula disucikan olehNya - yakni dosa-dosanya tidak di-ampuni - dan mereka itu akan mendapatkan siksa yang menyakitkan sekali." Katanya: "Rasulullah SAW membacakan kalimat di atas itu sampai tiga kali banyaknya."
Selanjutnya Abu Zar berkata: "Mereka itu merugi dan menyesal sekali, siapakah mereka itu, ya Rasulullah?" Rasulullah SAW bersabda: "Yaitu orang yang melemberehkan - pakaiannya sampai menyentuh tanah, orang yang mengundat-ngundat - yakni apabila memberikan sesuatu seperti sedekah dan lain-lain lalu menyebutkan kebaikannya kepada orang yang diberi itu dengan maksud mengejek orang tadi - serta orang yang melakukan barangnya - maksudnya membuat barang dagangannya menjadi  laku atau terjual - dengan jalan bersumpah dusta - seperti mengatakan barangnya itu baik sekali atau tidak ada duanya lagi."   (Riwayat Muslim)


Dari Abu Bakar Siddiq r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Tidak akan masuk syurga seorang penipu, bakhil dan orang yang mengungkit-ungkit pemberian. (HR Tirmizi)
  ...................................

Dapat pen drive baru


Ini pen drive baru hadiah dari en suami. Terus sangkut kat love chain tu agar tak mudah hilang. Benda2 kecik ni kalau tak sangkut memana, mudah benar nak hilangnya. Anak2 dah brape kali hilang pen drive. Ada diaorang tinggalkan note dalam tu, sapa2 yang jumpa mintak pulangkan balik. Kalau dapat yang sudi tolong pulangkan, alhamdulillah. Tapi kalau terkena dapat kat yang nak buat hak persendirian, dah tak leh buat apa... kira halal je lah.. :)

Jadi untuk nak jaga pen drive agar lama sikit jangka hayat nya duk dengan kita(bukan atas sebab rosak), mama rasa sebaiknya gantunglah ia samada:
  • gantung sekali dengan kad matrik. Senang pegi mana2 barang2 tu ada tersangkut kat leher kita.
  • sangkut kat hanfon
  • sangkut kat pencil-case

Satu lagi, sila lah beli pen drive yang besar sikit ya. Ini asyik terpikat dekat yang kecik-kecik tu je. Kalau jatuh dalam rumput pun tak jumpa cari.. memang confem tak jumpa... he he


Ujian batuk dan sakit tekak

Dah seminggu diuji batuk yang macam tak mahu berhenti. Sakit tekak jangan ceritalah. Suara pun dah jadi serak-serak basah gitu. Semalam kawan saya Midah yang kol pagi2, terus menanya... "Ai ngapa ngan suara u?" Ha.. ha..

Kuatkan hati ikut en suami ke masjid. Tak mahu kalah dengan ujian itu, teringat-ingat apa ustaz pernah pesan... "...jangan bila kita rasa tak sihat sikit dah tak jadi pergi masjid, jangan bila hujan mula turun terus cancel pergi majlis ilmu..."

Masa kuliah maghrib berjalan, saya sesekali batuk. Bila saya senyap, Maziah yang duduk di sebelah pula sambung batuk. Cepat2 hulurkan tangan ke dalam beg untuk ambik "Woods peppermint" yang saya bawak bekal, konon nak bagi Maziah sama untuk legakan batuknya. Bila saya unjuk, Maziah cepat2 pula tunjuk "fishermans friend" yang ada dalam begnya. "Ouhh... tu lagi power", kata saya sambil tergelak. Haha... nampaknya sume standby je bawak sesuatu yang boleh bantu rawat batuk time dengar kuliah tu.

Sebelum melangkah keluar dari ruang solat sempat bertegur sapa dengan ustazah yang duduk satu saf dengan saya... Tambah timbul semangat dan rasa terubat ujian batuk bila ustazah sebut tentang kemanisan iman. Syukurlah jika hati kita selalu ada rasa rindu pada masjid, hati sering teringat dan seronok untuk datang duduk dalam majlis ilmu, hati timbul cinta pada rumah Allah. Kata ustazah, itu tanda ada kemanisan dalam ibadah... alhamdulillah..
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~


Dari Abu Said Al-Khudri r.a dan Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda: Tiada seorang muslim yang ditimpa musibah, keletihan, sakit, terganggu fikirannya, sedih, bimbang, kecemasan sehingga tercucuk dengan duri sekali pun melainkan diampuni akan dosa-dosanya. (HR Bukhari)




Wajib Qada Solat Yang Luput


Assalamualaikum.

Perkongsian ilmu dari masjid sebentar tadi....

Kata ustaz:
  • selagi akal masih waras, selagi itu tidak gugur kewajipan untuk menunaikan solat. Kalau duduk di katil hospital sekalipun, jangan kita tinggalkan solat. Wajib solat, jangan fikir nanti bila dah sihat baru balik nak qada.
  • jika tak berdaya untuk solat secara berdiri, boleh mendirikannya secara duduk, jika tak boleh secara duduk.. solatlah secara mengiring, baring, gerakan mata dan yang terakhir sekali menggunakan iktikad hati.
  • Jika dalam kedudukan sakit di hospital, dapatkan bantuan sesiapa yang dapat bantu kita untuk berjaya mendirikan solat. Duduk dengan posisi mengadap kiblat.
  • wajib baca fatihah dalam setiap rakaat. Tidak sah sembahyang jika bacaan fatihah tidak sempurna. Maka mesti jaga sabdunya, baca secara tartil dan berturut-turut.
  • wajib qada solat yang luput. Solat adalah wajib bila kita dah akil baligh, maka solat fardhu yang kita tinggal dulu-dulu wajib diqada. Untuk qada solat yang lalu, tak terikat dengan waktu-waktu yang diharamkan. Maka cubalah untuk qada sebanyak mungkin yang termampu. Di samping itu perbanyakkan istighfar mohon ampun pada Allah. Jika ditakdirkan Allah panggil kita sebelum sempat kita habis qada solat2 yang lalu, maka melalui taubat kita, kita mohon harap agar Allah beri keampunan yang luas terhadap dosa-dosa kita... aminnn

***Pesan buat anak2ku, jaga solat. Walau sesibuk mana pun dengan urusan seharian, utamakan solat., jangan dilengahkan. Selalu usaha untuk perbetulkan solat agar jadi lebih sempurna. Takutnya mama masa dengar penerangan ustaz tentang solat kita yang boleh saja jadi tidak sah hanya disebabkan kita silap baca fatihah... moga Allah kurniakan taufiq dan hidayah buat kita semua... aminn

Sedekah buku kecil Doa dan Zikir

Bismillahirrahmanirrahim.

Semasa kali ke 3 ke pesta buku baru-baru ini, saya mengambil peluang dapatkan buku-buku kecil yang terkandung doa dan zikir terbitan Yamani Angle Sdn Bhd. Tertarik hati untuk membeli risalah zikir dari penerbitan tersebut bila melihatkan isinya yang agak luarbiasa bukan setakat biasa-biasa.

Contohnya bagi risalah al-Mathurat, bukan hanya terkandung wirid bacaan dan maksud ayat semata tetapi ikut tertera sama dalil serta kelebihan beramal dari setiap ayat-ayat tersebut. Walaupun ia dibukukan dalam saiz kecil (besar sikit dari saiz poket) tapi rasa puas hati dengan isinya yang padat di samping rekabentuk cetakan yang menarik. Sedap mata memandang, maklumlah fitrah manusia bukan setakat memerhati pada bahan tulisan yang bermutu malah suka pada sesuatu yang cantik.
Dalam risalah Doa Harian pula, terkandung doa-doa yang menjadi sunnah Rasulullah SAW untuk sama-sama kita amalkan dalam segenap aspek kehidupan. Ada pelbagai doa termasuk doa makan minum, doa berpakaian, doa keluar masuk tandas, doa keluar masuk rumah, doa semasa menuju ke masjid, doa masuk dan keluar masjid serta banyak lagi. Cara nak menjawab azan pun ada disebut di dalamnya.
Buku2 kecil itu amat lah elok untuk dijadikan sedekah di masjid/surau atau ikut dijadikan hadiah atau cenderahati buat kawan2 yang datang berkunjung ke rumah. Teringat kata2 semangat ustaz dalam majlis ilmu yang sering mengingatkan tentang perlunya kita untuk sentiasa cuba berusaha merebut pahala. Contohnya kalau tengok jam dinding di masjid rosak, rebut pahala dengan usahakan ganti bateri jam tersebut. Jangan saling berharap orang lain yang buat. Kalau tangguh2 sudahnya jam tersebut akan kekal tak hidup berbulan-bulan. Contoh lain: selepas gunakan bilik air di masjid, siramlah bersih2 supaya dapat digunakan pula oleh orang lain. Jangan kita tinggalkan bilik air dalam keadaan tak bersih sebab dalam hati rasa itu kerja siak, fikir siak nanti boleh tolong bersihkan. Kata ustaz, berbuatlah amal baik sementara masih berada di dunia. Di akhirat nanti yang ada hanyalah balasan.

Jadi, rebut pahala. Menyalurkan pengaliran ilmu yang bermanafaat melalui pemberian buku2 kecil ini juga merupakan salah-satu cara merebut pahala. Harga buku tak setanding dengan isi yang terkandung di dalamnya... MasyaAllah. Ilmu yang bermanafaat, pahalanya InsyaAllah akan tetap mengalir sampai bila-bila... aminn

Wallahu a'lam.

Pengalaman naik public transport

Di satu pagi yang cerah, untuk pertama kalinya saya melalui suatu pengembaraan. First time naik bas dari kawasan perumahan kami untuk ke satu destinasi.

Mula2 parking kereta hampir dengan bus-stand supaya senang nak tunggu dan naik bas.
Tapi tak payah tunggu pun, turun je kereta, bas yang tunggu kami. Sukanya hati... la..la..la.. Dapat tempat pulak yang paling depan.. ha ha... jadi mata tak bergerak ke lain, asyik pandang depan je. Satu tangan menggenggam kemas handbag satu tangan lagi stand-by nak pegang tiang besi kalau2 bas brek mengejut.

Lepas turun bas, lintas jalan dan berjalan di sepanjang kaki lima deretan kedai menuju ke stesen komuter pula. He.. he.. sambung naik komuter pulak kami untuk sampai ke tempat yang dituju. Seronok dapat merasa komuter baru. Ada tersedia tv di setiap koc. Kusyen tempat duduk terserlah baru, cantik berwarna biru. Semua baru dan bersih.
Takde la rasa lama sangat duk dalam keatapi tu. Sambil citer2 sambil2 tengok pemandangan. Hepi je rasa dengan pengalaman baru hari tu. Lenkali mesti nak kena naik lagi public transport untuk nak elakkan jam dan kesukaran dapat parking.

Destinasi kami ialah Pesta Buku Antarabangsa 2012 di PWTC.


** ke Pesta Buku lagi sehari sebelum ianya berakhir. Bermakna ini kali ke 3 kami ke sana untuk musim ini.. :)

Subhanallah wa bihamdihi

Dari Ummul mu'minin yaitu Juwairiyah binti al-Harits radhiallahu 'anha bahwasanya Nabi SAW keluar dari rumahnya pada pagi hari ketika bersembahyang Subuh. Waktu itu Juwairiyah ada di dalam masjidnya. Kemudian beliau SAW kembali setelah melakukan shalat Dhuha, sedangkan Juwairiyah duduk. Kemudian beliau SAW bersabda: "Engkau masih tetap dalam keadaan di waktu tadi saya tinggalkan," Juwairiyah menjawab, "Ya." Nabi SAW lalu bersabda: "Saya telah mengucapkan setelah meninggalkan engkau tadi empat macam kalimat, sebanyak tiga kali, andaikata kalimat-kalimat itu ditimbang dengan kalimat-kalimat yang engkau ucapkan sejak hari ini tadi, niscaya kalimat-kalimat yang saya ucapkan itu menang daripada yang engkau ucapkan. Kalimat-kalimat itu ialah: "Subhanallah wa bihamdihi 'adada khalqihi wa ridha nafsihi wa zinata 'arsyihi wa midada kalimatihi - Maha Suci Allah dan dengan mengucapkan puji-pujian padaNya. sebanyak hitungan makhlukNya, sesuai dengan keredhaan ZatNya, seberat timbangan 'arasyNya dan sepanjang beberapa kalimahNya."
(Riwayat Muslim)


sumber:
Kitab Riyadhus Shalihin (Taman Orang-orang Salih)
Imam Nawawi
m/s 1304

Zikir menggunakan jari-jemari tangan

Satu ketika dulu, en suami pernah bawak balik pesanan ustaz dari satu majlis ilmu tentang manfaat berzikir menggunakan jari-jemari tangan. Alhamdulillah sering dipraktikkan dan saya panjangkan lagi ilmu tersebut kepada rakan-rakan semasa satu sesi usrah di rumah seorang sahabat.

Semalam semasa membelek buku Formula Solat Sempurna oleh Ustaz Zaharuddin, ada bahagian yang menyebut perkara yang sama. Ada hadis yang dianggap shahih di dalam memperkatakan kelebihan membilang tasbih dengan menggunakan kaedah kiraan jari-jemari tangan ini.

Maksud hadis:
"Daripada Abdullah bin Amru berkata: "Aku nampak Rasulullah SAW mengira tasbih dengan menggunakan tangannya" dan Rasululllah SAW juga telah bersabda. "Wahai seluruh wanita, kiralah dengan menggunakan jari-jemarimu kerana ia akan ditanya dan diminta berkata-kata
(di akhirat sebagai saksi)."

(Riwayat al-Tirmizi dan di-anggap sahih)


contoh kira tasbih guna jari kanan:
Kita mula kira dari ruas pertama jari kelingking.  Terus kira ikut ruas hingga ke hujung jari, kemudian turun balik ikut ruas. Ulangi proses hingga sampai ke ibu jari. Kiraan yang terkandung dalam 5 jari kita semuanya berjumlah 33x.  Jadi contoh: jika kita bertasbih Subhanallah 33x, bertahmid Alhamdulillah 33x, bertakbir Allahu Akhbar 33x maka bolehlah kita genapkan dengan ucapan tahlil iaitu Lailahaillallah 1x bagi mencukupkan 100x.  Jadi hanya perlu ulang bilang dengan 5 jari kita sebanyak 3 pusingan. Begitu mudah untuk gunakan jari semasa berzikir.  Alhamdulillah.

(gambar dari google)

Mari kita perbanyakkan zikir kepada Allah dan berselawat ke atas Rasulullah SAW.
Selamat Beramal.

Pesta Buku 2012 di PWTC Kuala Lumpur


Hari ni pergi lagi ke Pesta Buku. Kiranya kali ke 2 pergi selepas hari Sabtu hari tu. Pesta Buku 2012 ini sedang berlangsung di PWTC bermula dari 27 April hinggalah ke hari last 6 Mei ini. Jadi bagi yang belum berkesempatan pergi, boleh lah luang-luangkan masa ke sana sebelum ianya berakhir hari Ahad ini.

Begitu banyak buku2 terbaru sedang berada di pasaran. Masa rasa macam cepat je berjalan time tengok-tengok buku tu. Sedar tak sedar lebih sekerat hari kami duk berlegar2 kat dalam tu membelek buku. Tau2 masa nak balik tadi, rupa2nya tengah hujan lebat kat luar sana.


Alhamdulillah dapat beli buku Biografi Agung Rasulullah SAW terbitan Must Read. Saya round dulu sebelum finally beli sebab nak cuba dapatkan harga terendah. Ya lah alang-alang dah kat pesta buku, biarlah dapat harga buku yang good bargain.

Buku2 lain termasuklah Formula Solat Sempurna oleh Ustaz Zaharuddin, Indahnya Tasawuf dan Hidup Sufi oleh Ustaz Yusri Abd Karim, 4 risalah zikir iaitu zikir al-mathurat, Manzil, Doa-doa Munajat dan Doa Harian serta dua buah buku masakan (buku masak2 mesti selalu sangkut sebagai side kick.. he he)

Seronok berada dalam timbunan buku kat pesta buku. Tersangat lah ramai ulat-ulat buku iaitu mereka yang berminat dan suka pada buku.

Jom ramai2 ke pesta buku, tengok buku, baca buku, cinta buku, cinta ilmu.

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...