Showing posts with label amalan sunat. Show all posts
Showing posts with label amalan sunat. Show all posts

Mencari Yang Halal


Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah mudah-mudahan kita semua dirahmati Allah SWT.. aamiin

Kita rafakkan syukur ke hadrat Allah Taala, dapat tunaikan solat fardhu Maghrib berjemaah dan seterusnya bersama² berada di dalam majlis ilmu...🤲🤲

...................................

Sempena hari ni berada di bulan zulhijjah, firman Allah dalam surah; 

Al-Fajr:2 - Dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah);


Allah bersumpah dengannya nak menunjukkan kemuliaan 10 hari pertama Zulhijjah.


Hadis daripada Ibnu Abbas R.A, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

Maksudnya : "Tiada hari-hari yang amalan soleh yang paling disukai oleh Allah untuk dilakukan melainkan hari-hari ini-baginda memaksudkan: 10 hari terawal Zulhijjah-."Para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya?"Baginda bersabda,"Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya, melainkan seorang  lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali."

Riwayat al-Bukhari (969),Abu Daud (2438),Ibn Majah (1727),al-Tirmizi (757)


Diriwayatkan daripada Ibnu Umar RA, daripda Nabi SAW, Baginda bersabda, 

Maksudnya: " Tiada hari-hari yang lebih agung dan disukai oleh Allah untuk beramal soleh selain 10 hari ini. Maka, perbanyakanlah tahlil,takbir, dan tahmid pada-Nya.

Riwayat Imam Ahmad (6154)


Maka, mari kita manfaatkan hari-hari yang penuh keberkatan ini antaranya dengan:

  • Berzikir dan Bertakbir: Perbanyakkan lafaz Tahmid (Alhamdulillah), Tahlil (La ilaha illallah), dan Takbir (Allahu Akbar) di mana sahaja.
  • Membaca al-Quran
  • Selawat ke atas Nabi SAW
  • Berpuasa Sunat:Digalakkan berpuasa dari 1 hingga 9 Zulhijjah.

Jika tidak mampu, cuba berpuasa pada hari Isnin dan Khamis.

Jangan kita lepaskan peluang untuk berpuasa sunat pada Hari Arafah (9 Zulhijjah).

Kelebihan Puasa Hari Arafah , puasa pada hari tersebut sangat istimewa kerana ia dijanjikan penghapusan dosa untuk setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.

......................................

Ustad sambung kitab hadis 40 Imam Nawawi perihal:

Sumber makanan yang halal dan syarat² penerimaan Allah Taala.


Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah S.A.W bersabda:

Yang maksudnya: Sesungguhnya Allah itu Maha Baik dan Dia tidak menerima melainkan sesuatu yang baik sahaja.

Riwayat Muslim (1015)


Agar amalan kita diterima Allah, hendaklah kita menjaga:

  • Perbuatan yang baik 

Kesemuanya yang baik² dan jaga hati agar tidak termasuk rasa riak dan ujub.


  • Perkataan yang baik

Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 83

.....; dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik;.......


Yang baik² ini termasuk semua perkara. 

Hendaklah menjaga perkara² berikut:

# Memastikan makanan, minuman, dan sumber pendapatan adalah halal, kerana ia mempengaruhi penerimaan doa dan ibadah serta keberkatan rezeki.

Cth:

Makan nasi tu baik. Namun sumber beli beras itu pastikan dari sumber yang halal.


# mesti mempunyai aqidah yang baik. Akidah yang sahih yakni pegangan akidah yang mantap dan bersih daripada sebarang bentuk syirik.

Bukan ada aqidah yang tidak baik..cth manusia yang percaya pada tahyul, percaya pada jampi serapah bomoh, perkara khurafat dsb.

Firman Allah di dalam (Surah al-Kahfi : 110)

Maksudnya :” Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya".


# Kita kena bersih. Jauhi sifat tercela/sifat mazmumah. Mengelak penyakit hati seperti hasad dengki, takbur, cinta dunia, cinta pangkat serta panjang angan² yang boleh merosakkan pahala.


Jauhi makanan yang haram dan syubhah. Elakkan makan dari kedai makanan non-muslim, makan makanan dari orang yang tak solat dan yang tak tutup aurat.


Untuk menjaga hati dan iman kita, antaranya mesti;

i) sentiasa hadir di majlis ilmu. 

ii)pilih kawan² kita, pastikan circle kita orang² yang soleh. 

iii)Sentiasa berdoa mohon Allah jaga kita dari perkara yang tak baik.


Moga Allah bagi kekuatan untuk kita beramal...Aamiin


Tazkirah 26 Ramadan 1447H


Kita dah sampai ke malam 26 Ramadan. Kita akan di uji dengan ujian nafsu. Samada kita dapat kekal istiqamah beramal atau sebaliknya di penghujung Ramadan ini. Adakah kita masih kekal berterawih dan bersama² mengimarahkan rumah Allah ataupun kita mungkin gagal. Di hujung² ni dikhuatiri nafsu mengajak  kita untuk nak pergi cari baju raya, nak keluar shopping cari sarung kusyen baru, nak gerak balik kampung dsb.

Lailatul qadar itu lebih baik dari 1000 bulan. 

Firman Allah dalam surah al-Qadr 1 - 5:

1)Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar,

2)Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu?

3)Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.

4)Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut);

5)Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar.


Allah mentakdirkan Lailatul qadar akan berlaku di salah satu malam yang ganjil dan di malam yang akhir dari bulan Ramadan. Sedangkan kita ada yang masih duk tanya², malam ni malam 25 ke malam 26. Sempat lagi kita masih duk sibuk berkira² untuk melakukan amal. Kita yang banyak berdosa, sedangkan Rasulullah SAW seorang yang maksum, bersungguh² Nabi meningkatkan ibadah pada 10 malam terakhir Ramadan.

Daripada Aisyah R.A, beliau berkata:“Adalah Rasulullah SAW lebih bersungguh-sungguh (dalam beribadah) pada sepuluh hari terakhir(Ramadan) tidak sebagaimana Baginda bersungguh-sungguh pada hari-hari lainnya” - 

(HR Muslim 1175)


Sama² kita pertingkatkan amal. Ya Allah bantu hamba..

Aamiinnn Aamin ya Robbal Alamin.


Baca Quran di Bulan Ramadan




Daripada Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: Setiap amalan anak-anak Adam itu adalah untuknya sendiri kecuali puasa, maka sesungguhnya puasa itu untuk-Ku, dan Aku sendiri yang akan memberikan ganjarannya.

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: “Sesiapa yang membaca satu huruf di dalam al-Quran maka dia mendapat satu kebaikan dan setiap kebaikan itu digandakan menjadi sepuluh kebaikan yang semisal dengannya. Aku tidak mengatakan Alif Lam Mim itu satu huruf akan tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf”. 

(Riwayat al-Tirmizi)

Sangat besar pahala membaca alquran.. Subhanallah.

Maka di bulan ramadan ini,  manfaatkan dengan banyak mengaji quran. Pahala berlipatkali ganda InshaaAllah.


Wallahu a'lam.





Perbanyakkan Zikir


Syukur... pada malam yang bertuah ini sama² diberi kesempatan berjemaah Maghrib. Alhamdulillah moga termasuk dalam kalangan orang² yang sering menghidupkan rumah² Allah. 

Moga² ibadah berterusan.

........................................

Firman Allah dalam Surah At-Tawbah:18 - Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.

.......................................

Sentiasa berzikir mengingati Allah. Bila kita ingat Allah, Allah ingat kita.

Firman Allah dalam Surah:

Al-Baqarah:152 - Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu).

Al-Furqān:58 - Dan berserahlah engkau kepada Allah Tuhan Yang Hidup, yang tidak mati; serta bertasbihlah dengan memujiNya; dan cukuplah Ia mengetahui secara mendalam akan dosa-dosa hambaNya;

Āli `Imrān:191 - (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.


Apabila kita ingat pada Allah, apa jua masalah, Allah akan bagi jalan keluar.. inshaaAllah.

Ayat Seribu Dinar


An-Nisā':103 - Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan sembahyang, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring.


Ingat Allah dalam keadaan kaya dan miskin, lapang dan sempit

Dengan mengingati Allah, setiap perjalanan kita di dunia ini dibimbing.

Berzikir pada Allah pada siang dan malam hari.

Ingat Allah setiap masa.

Maka kita akan ingat hakikat penciptaan diri bila kita ingat pada Allah.

Bila kita bersyukur, Allah tambahi nikmat

Kita bersyukur, Allah bagi lagi, bagi lagi...nikmat InshaaAllah.

Berzikirlah dlm keadaan hati tenang. Dengan rendah hati mengagungi kebesaran Allah.

Jangan kamu berzikir tapi termasuk dalam orang² yang lalai. Jangan pula kita berzikir tapi fikiran merayau-rayau., zikir hanya sekadar lalu di mulut sahaja.

Al-'A`rāf:205 - Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut (melanggar perintahnya), dan dengan tidak pula menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai.


Perbanyakkan berzikir agar kita tidak tergolong dalam kalangan orang yang lalai

Gunakan nikmat kesihatan. Biar sampai ke pengujung usia, datang solat berjemaah, duduk dlm majlis ilmu. Biar hati bertaut pada masjid.

Kemudian bangun qiammulail.

Hidup sentiasa dengan ibadah

Mohon Allah beri husnul khotimah. Aamiin Allahuma Aamiin.






Kembara ke Miri dan Brunai (Part 2)

Alhamdulillah sambung kisah cuti² di Miri dan Brunai hari tu. Yang part 1 tu ada di SINI ya.



28/9/25

Hari ketiga bermusafir.  

Pagi tu bangun², "...wahhh daku kat negara Brunai rupanya"🤔... he he... datang obesi lagi gais🫠😍✌️... 

Turun breakfast. Alhamdulillah boleh tahan sedap walaupun sarapan di hotel Mega di Miri rasa lebih banyak pilihan dan terpaling sedapppp...hi hi




Okeh kami terus check out hotel untuk meneruskan edisi jelajah Brunai. Takde nak patah² balik untuk check out dah lepas tu. Destinasi di awal pagi itu adalah Royal Regalia.

Ia merupakan Muzium Di-Raja Brunai. Lokasinya terletak di tengah-tengah Bandar Seri Begawan, ibu negara Brunai Darussalam. Ia mempamerkan regalia dan lambang diraja, termasuk kereta kencana dan permata mahkota yang digunakan semasa pertabalan, serta hadiah-hadiah diraja dan pakaian. 






Kemudian kami ke Masjid Omar Ali Saifuddien. Sangat cantik masjid-nya yang dilatari perkarangan lanskap yang luas. Masjid Omar Ali Saifuddien adalah masjid kebangsaan Brunei Darussalam yang terletak di Bandar Seri Begawan. Ia dianggap sebagai salah satu masjid paling indah di rantau Asia Pasifik dan menjadi mercu tanda penting bagi negara Brunei. 







Kubah utamanya dilapisi dengan emas tulen. Dinding dan lantai masjid menggunakan marmar yang diimport dari Itali, granit dari China, dan permaidani mewah dari Arab Saudi dan Belgium.

Bahagian dalam masjid dihiasi dengan kaca berwarna, lampu candelier yang diukir dengan indah, dan pelbagai hiasan seni Islam. 

Selesai di situ, van singgah sebentar di hadapan gate Istana Nurul Iman. Kaum bapa je turun bergambar, kami yang kaum ibu ni tak berapa nak sanggup sebab time tu matahari dah tinggi dan bahangnya begitu terasa. Takpe lah kami tengok dari dalam van je ya..ehe..he..


Van terus meluncur masuk highway menghala ke Miri. Okay bye Brunai..sampai jumpa lagi. Rezeki, jodoh pertemuan, ajal maut semua dalam rahsia Allah. Mana tau dapat datang lagi selepas ini ke negara Brunai Darul Salam.. InshaaAllah.

Di dalam perjalanan menuju je Miri, Kawi  berhenti sekejap di satu rumah perusahaan menjual kerepek/jajan². Alhamdulillah di sini semua pakat borong beli sedikit sebanyak barang makan untuk di bawa balik Malaysia. Made in Brunai tuuu...boley tahan sedap semua.

Dah nak sampai Miri, tiba² nampak orang jual durian..Hah apalagi...semua pakat turun sekejap nak pekena durian Miri pulak.. aduhh jauh datang makan durian.. sampai ke Miri☺️😂 Rasa durian okay laaa...dapat la merasa 3 - 4 ulas setiap seorang peserta trip..hahaha...jadi laaa




Dah sampai di bandar Miri dengan selamat.. alhamdulillah. Sesi mencari kek lapis Sarawak pula...he he.. Ikan Terubuk Masin dah siap² beli melalui kawan Rahmat. Kami singgah di Kedai Kek Lapis Siti Payung untuk beli bawak balik kek lapis.  Saya beli sikit je, buat ggaso²..hi hi




Dari kedai kek Lapis Siti Payung singgah posing sekejap di hotspot tepian tasik yang ada simbol mercu tanda Miri iaitu kuda laut tu. 
Kuda laut dipilih sebagai simbol Miri pada tahun 1994 untuk mewakili kekayaan marinnya.  Kuda laut melambangkan kekayaan sumber marin Miri dan juga sifatnya yang lembut dan anggun, mewakili keamanan dan keharmonian masyarakat pelbagai etnik di bandar itu. 

Cantik view di situ cumanya bau agak kurang menyenangkan, mungkin sebab air tasik tak berapa berlari, nampak agak statik gitu. 


En zul dan kuda laut

Rahmat kemudiannya membawa kami ke Restoran RH Kopitiam untuk kami semua makan tengahari. Alhamdulillah Rahmat sampai kan hajat saya yang meminta dia bawakan kami ke kedai yang ada menu Laksa Sarawak. Nak makan sekali lagi sebelum balik Semenanjung🫠🫠 Alhamdulillah tqsm Rahmat, sedap sangat Laksa Sarawak kat situ.. Portion pun banyak.  Terbaek!! 




Sebelum ke airport singgah sekali lagi ke kedai souvenir untuk sesapa yang nak cari² barang cenderahati. Saya hanya tambah beli keychain untuk cucu²..🤭😁



.............................

Jam dah tunjuk pukul 4.15ptg, bilamana kami tiba di Airport Miri... beransur² dah nak tinggalkan Miri...huuuu🤧



Pengalaman percutian 3 hari 2 malam di Miri dan Brunai alhamdulillah sangat terkesan di hati bilamana banyak melalui adegan pengembaraan yang happening dan menghiburkan. Alhamdulillah tqsm buat  Rahmat our tour guide, terimakasih buat Kawi pemandu van kami yang komited, tq buat Hj Ramli ketua rombongan serta rakan² trip yang semuanya support member😂😂... Terbaek aah!!.hahaha. Kami peserta trip terdiri dari 11 orang kesemuanya;  Hj Ram, en Zul, hj Din, en Halim, Ida, Lina, cikgu Yati, Ju, Nani, en suami dan saya. Jazakallah💌


Sekian.

Wassalam.


Kebaikan Berjalan Kaki 30 Minit Sehari


Kebaikan Berjalan Kaki 30 Minit Sehari

1)Aktiviti berjalan kaki membantu membakar kalori dan mengawal berat badan. 

2)Ia adalah senaman yang boleh menguatkan tulang (sistem rangka) dan otot badan. 

3)Berjalan kaki secara konsisten dapat meningkatkan kesihatan jantung dan mengurangkan risiko sakit jantung. 

4)Senaman berjalan dapat membantu mengawal paras gula dalam darah dan mengurangkan risiko penyakit diabetes. 

5)Berjalan kaki melepaskan hormon endorfin, yang dapat meningkatkan mood dan membantu mengurangkan tekanan mental. 

6)Aktiviti fizikal ini dapat meningkatkan tahap tenaga dalam diri anda. 

7)Berjalan kaki boleh membantu melapangkan fikiran dan meningkatkan fungsi kognitif otak. 



Cara Memulakan

1)Jadikan ia kebiasaan: Jika sukar mencari masa khusus, anda boleh menjadikannya amalan berkala, seperti naik tangga berbanding lif atau meletakkan kenderaan lebih jauh untuk berjalan kaki. 

2)Lakukan dengan konsisten: Lakukan senaman berjalan secara konsisten untuk mendapatkan manfaat kesihatan yang optimum. 

3)Jalan laju: Untuk keberkesanan yang lebih baik, berjalanlah pada kadar yang laju atau brisk walk. 

...................................

Hanya 30 minit yang diperlukan dalam sehari untuk anda kekalkan kesihatan tubuh badan melalui senaman berjalan. Senaman ini nampak mudah, tapi ia memerlukan kekuatan mental untuk kekal konsisten. Kuatkan semangat, tekadkan iktizam.

👟🏃Berjalan sesuai untuk semua peringkat umur.

Berjalan kaki selama 30 minit sehari mampu membakar sehingga 150 kalori bergantung kepada berat badan dan kelajuan berjalan. 

Cuba selesaikan berjalan kaki selama 30 minit sekurang-kurangnya 5 pagi seminggu. Jika tak mampu keluar berjalan di padang riadah, boleh lah berjalan indoor, contoh menggunakan treadmill (di SINI).Sambil berjalan sambil zikrullah...

إن شاء الله



Dan satu lagi pilihan, kita boleh ambil peluang walking di Mall atau pusat membeli belah. Berjalan melilau tengok² barang tak perasan pun tau² dah terhasil 2km jauhnya🤭 Alhamdulillah



@@@

Catatan Majlis Ilmu

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah kita dah masuk hari ke 24 Ramadhan. Banyak² kita doa...Ya Allah berkatilah kami sepanjang bulan Ramadhan ini dan pertemukanlah kami dengan lailatul qadar...aaminn


Allahu!  Bukak² blog hari ni,  terpandang pageview matahati... ALHAMDULILLAH... rupanya dah capai 6juta pageview.  Time tengok tadi jumlah 6,001,085. Dengan jumlah posting sebanyak 630 kesemuanya, saya merasa syukur sangat dengan kehadiran pembaca purata 1600 - 2000 setiap hari. Followers tak ramai mana pun, tapi alhamdulillah pembaca dapat masuk ke blog atas asbab carian di google. Tqsm all..moga tulisan di dalamnya terkandung manafaat dan mengundang keberkatan Allah Taala.. InshaaAllah..aamiin

Mengambil berkat keberadaan kita di hari 10 terakhir Ramadhan ini, marilah kita sama² mempertingkatkan amal soleh moga² kita Allah pertemukan dengan malam Lailatul Qadar, malam yang lebih baik dari 1000 bulan.. InshaaAllah


Surah al-Qadr

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ
إِنَّآ أَنزَلْنَٰهُ فِى لَيْلَةِ ٱلْقَدْرِ(١) وَمَآ أَدْرَىٰكَ مَا لَيْلَةُ ٱلْقَدْرِ(٢) لَيْلَةُ ٱلْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ(٣) تَنَزَّلُ ٱلْمَلَٰٓئِكَةُ وَٱلرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِم مِّن كُلِّ أَمْرٍ(٤) سَلَٰمٌ هِىَ حَتَّىٰ مَطْلَعِ ٱلْفَجْرِ(٥)

Firman Allah yg bermaksud:

1. Sesungguhnya Kami telah turunkannya (al Quran) pada malam al Qadr.

2. Dan tahukah kamu apakah malam al-Qadr (kemuliaan) itu?

3. Malam al-Qadr (kemuliaan) itu lebih baik daripada seribu bulan.

4. Turun malaikat-malaikat dan roh (malaikat Jibril) padanya (malam al-Qadr) dengan izin Tuhan mereka membawa segala urusan.

5.Sejahteralah ia (malam itu) sehinggalah terbit fajar (subuh).

..................................


Bersempena pageview 6juta orang hari ini, saya nak masukkan ke dalam blog apa yang sempat saya jot-down semasa majlis ilmu sedang berlangsung. Alhamdulillah Allah masih rezekikan dapat mendengar peringatan berharga dari para ilmuan yang menyampaikan terutamanya dari kuliah maghrib yang saya dan en suami cuba usahakan agar jarang tertinggal. Alhamdulillah moga² Allah beri kesihatan yang berpanjangan dan kelapangan waktu agar kaki dapat sentiasa terdorong melangkah ke masjid mendengar majlis ilmu...aamiin. 


  • Orang yang istiqamah baca surah al-Mulk, dia tak akan tinggal baca sebab dia yakin tiap² kali baca, dia akan terlepas dari siksa kubur. Ini dinamakan taqwa. Orang yang ada taqwa ialah orang yang buat ibadah kerana dia yakin dengan Allah, kerana dia takut pada Allah. (Post pasal Surah al-Mulk ada di SINI)


  • Seseorang yang bila buat ibadah, dia rasa seronok, tak bosan dan tak berat hati buat; maka bersyukur sangat² lah sebab tak semua orang dapat nikmat itu. Ramai yang solat tapi dengan perasaan berat hati, sambil lewa, nak cepat siap dsb. Jadi bersyukurlah jika kita ada 3 perasaan itu. Alhamdulillah.


  • Sesiapa yang Allah nak bagi kemuliaan, Allah sangkutkan hatinya merasa cenderung beramal soleh.


  • Jangan terlalu sayangkan dunia sehingga merasa sangat kedekut untuk sedekah, takut habis duit kita tu.. Sedangkan hakikatnya harta yang sibuk dikumpul itu semuanya akan ditinggal.


  • Barang yang nak dibawa biar lebih. Barang yang nak ditinggal, sedikitkan. #Duduk depan tv berapa jam? ..berbanding baca quran berapa m/s...  Tidur berapa jam ..berbanding zikir pada Allah berapa banyak.. Mari kita muhasabah diri🤔🥺😭


  • Ilmu tidak dapat dicapai melainkan dengan susah payah.


  • Dekatkan diri dengan masjid kerana di masjid banyak turun rahmat Allah.


  • Surah Qadr ayat 3... "Malam Lailatul Qadar itu lebih baik dari seribu bulan." Rasulullah SAW pun berusaha untuk bertemu dengan malam Lailatul Qadar. Rasulullah SAW berusaha sedaya upaya di malam 10 terakhir ramadhan berbanding malam² yang lain.


  • Ibadah yang dilakukan Rasuluĺah SAW pada 10 terakhir Ramadhan antaranya; ~#Bertahajjud#Qiam Ramadhan dengan penuh keimanan#Membaca alquran#bersedekah ke masjid, anak² yatim, asnaf, saudara mara

Wallahu'alam.


Sedekah


Bismillahirrahmanirrahim

Nak kongsi cerita.....


Peristiwa 1

Pelajar² sekolah selalunya duit belanja tak banyak mana..kiranya agak terhad, sedangkan mereka ni tengah membesar. Keperluan makan dan minum menjadi sesuatu yang wajar dipenuhi tapi tu lah wang belanja sekolah kadangnya tak cukup sedangkan kemahuan biasanya melebihi keperluan.


Nak cerita...tengahari tu sebelum azan jumaat, datang seorang pelajar ni beli air tin harga rm2. Baru je nak minum, datang pulak dah kawan²nya  seramai 5 orang nak tumpang pauw...he he


Seorang pakcik yang kebetulan ada kat situ tengok je kejadian tersebut sambil tersenyum. Dia pun cakap kat budak tu, "jom pakcik belanja, berapa orang ada?..lima ya?" Pakcik tu terus berpaling kepada saya lalu berkata, "..ambik 5 tin lagi ya puan". 

Pelajar: "Eh betul ke pakcik?" 

Pakcik: "Ya, betul laa", kata pakcik tu sambil tersenyum.

"Pakcik nak belanja...", saya pula menambah(kiranya support member laa)🤭😄 

Happy semua budak2 tu. Pakcik tu ambik extra satu tin air 'lemon tea' untuk dirinya. So time bayar tu, saya kata la, takpe yang Hj punya tu saya belanja.  Alhamdulillah.


Peristiwa 2

En Man datang nak beli kopiah berharga rm10. Lepas dah cuba cuba berkenan terus hulur duit rm20 nak bayar, so saya pun pulangkan lah bakinya rm10. Kemudian tiba² datang Pak Hamid tengok² kopiyah. Saya pun berbasa basi tegur la, "..lama tak nampak encik." Badannya nampak agak susut. 

"Oooo.. tu la saya kurang sihat," jawabnya. "Ada tak kopiah yang harga dalam rm5? Yang ni berapa rega?" 

"Yang tu rm10 encik.." jawab saya. "Yang ni pulak rm8, tapi saya boleh bagi rm5 kalau encik nak." 


En Man yang masih ada berdekatan mendengar dialog itu. "Takpe saya hadiah, ambik kopiah yang rm10 tu..," sambil menghulur rm10 kepada saya.

Pak Hamid kelihatan terkedu seketika...lalu sambil tersenyum cepat² ucap terimakasih pada En Man. "Sama²," jawab En Man.

Begitulah suasananya orang berebut mencari pahala di hari jumaat yang mulia Alhamdulillah.


Peristiwa 3

Seorang dermawan amalkan rutin bersedekah setiap bulan rm100 melalui kedai saya. Dia berpesan untuk menghadiahkan kepada beberapa nama untuk diberikan samada jubah, kurta, kopiah, pelikat, dsb buat mereka yang disebutkan nama mengikut giliran setiap bulan. Saya mengambil inisiatif utk melaksanakan sedekah rm100 hamba Allah ini pada hari jumaat pada akhir/awal bulan agar moga² berkat dan berganda pahala buat beliau atas asbab kemuliaan penghulu segala hari itu InshaaAllah. 


Moga istiqamah ..aamiin

Pernah tulis pasal sedekah di hari Jumaat di SINI

#Sedekahharijumaat




Amalan Sujud Syukur

Setiap nikmat akan ditanya. Makin banyak nikmat, makin banyak yang akan ditanya.

Nikmat itu sesuatu yang menyeronokkan, yang menyedapkan, yang membuat kita rasa suka. Contoh tidur, tidur itu suatu nikmat. Tidur pulak dalam aircond, atas tilam tebal maka lagi lah terlebih rasa nikmatnya. Jika tidur itu nikmat yang hanya untuk dunia, ia tak menjadi pahala. 

Namun jika nikmat itu bawa kepada akhirat maka ia menjadi pahala dan untung di akhirat. Oleh itu cari lah dunia untuk akhirat. 

Contoh 1: suruh anak tidur awal untuk bangun solat subuh. Bukannya suruh tidur awal untuk bangun pergi sekolah atau untuk pergi kerja. Jadi bila niat tidur kita untuk dapat bangun solat subuh, maka tidur anak dan tidur kita adalah untuk akhirat. 

Contoh 2: Beli kereta bukan untuk bermegah-megah tapi niat agar dapat guna untuk pergi solat berjemaah di masjid, untuk ziarah saudara dan hubung silaturrahim.

Banyakkan rasa syukur kita atas segala nikmat. Zahirkan syukur dengan memperbanyakkan buat Sujud Syukur..

Sujud syukur ialah sujud yang dilakukan kerana memperoleh sesuatu nikmat atau terselamat daripada sesuatu bencana. (Rujuk: Hasyiyah Qalyubi wa ‘Umairah, 1/208).

~~~~~~~~~~~~

Hadith Nabi S.A.W daripada Abu Bakrah R.A:

Maksudnya: “Adalah Nabi S.A.W ketika telah datang sesuatu perkara yang menggembirakan ataupun diceritakan sesuatu yang gembira dengannya akan turun sujud, bersyukur terhadap Allah S.W.T”.

Riwayat Abu Daud (2774). Disahihkan oleh Al-Albaani.


Cara Sujud Syukur

  • Mulakan dengan niat untuk melakukan sujud syukur.
  • Bertakbir seperti takbiratul ihram dengan mengangkat tangan.
  • Bertakbir sekali lagi tanpa mengangkat tangan tetapi untuk turun sujud.
  • Sujud sekali seperti sujud di dalam solat. Bacaan ketika sujud syukur ini adalah bacaan sepertimana sujud di dalam solat dan kemudiannya boleh ditambahkan dengan lafaz tahmid memuji Allah SWT atas kurniaan nikmat yang telah diberikan oleh-Nya.
  • Bangun daripada sujud dalam keadaan duduk seperti dalam solat dan beri salam.


Sebagaimana firman Allah di dalam 

Surah Ibrahim, ayat 7, bermaksud: Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.”


Wallahu'alam.

Azam Tahun Baru 2024

Alhamdulillah hari ini  2Januari 2024 bersamaan dengan 9 Jamadil Akhir 1444H, berada di tahun baru Masehi dah kita. Jom pakat² perbaharui azam. 

Ada yang kata, azam ni ibarat sampan...sampan biasanya ke laut😂😂

Namun daku tetap nak berazam. Moga² azamku tak ke laut❗️🤭😁

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Okay bermula hari ini nak ulang cetak checklist saya, moga² mampu istiqamah.  

Checklist

Agar hidup lebih bermakna🌸

- [ ] Solat di awal waktu, bersedia atas sejadah sebelum masuk waktu
Buat Kobliyah/Ba'diyah
- [ ] Lazimkan qiam 30min awal sebelum subuh. Mulakan dgn solat tahajud, hajat, witir. Solat Sunat Fajar selepas azan Subuh/sebelum solat Subuh(kobliyah)
- [ ] Baca al mathurat tiap pagi dan petang
Solat Dhuha
- [ ] Baca quran tiap hari
Baca al-Waqiah, al- Mulk sebelum tidur, Al-Kahf tiap Jumaat
- [ ] Zikrullah
Istighfar perbanyakkan
Selawat perbanyakkan
- [ ] Qadha solat lepas solat fardhu/ sebelum masuk waktu

..................................................

Terngiang² kata²  yang ustaz pesan.. Mesti ada perancangan dalam hidup kita ini. Kena ada program yang dirancang dalam hidup kita. Islam meletakkan kerja² yang wajar kita lakukan terbahagi kepada dua: (1) ibadah khusus iaitu hubungan kita dengan Allah. Perkukuhkan dengan menjaga ibadah fardhu, perbanyakkan yang sunat termasuk kelangsungan dalam zikrullah.  Manakala yang ke-(2) amalan/kerja dalam menjaga hubungan sesama manusia. Buat yang Allah suruh, tinggalkan yang dilarang. Moga² mampu tergolong sebagai insan bertaqwa..aamiin

Dalam kita sibuk menyambut tahun baru, kata  ustaz boleh saja kita ikut sambutan tahun baru Masehi ini. Namun pengisiannya biarlah yang meningkatkan iman. Sebaliknya cth: jika sambutannya bercampur lelaki perempuan dengan tidak terjaga aurat, dihidangkan pula dengan minuman keras dan ada pula persembahan/konsert yang lagho, maka itu dah termasuk dalam perkara yang berdosa dan haram.

Dalam hidup ini kena ada sifat takut pada Allah kerana Allah yang menciptakan kita.

Nak lahirkan taqwa dalam hidup kita:

  • Kena ada sifat takut pada Allah
  • Sentiasa beramal soleh

Jangan tinggalkan zikir dalam hidup kita. Mulakan dengan zikir kalimah Bismillah. Cari ruang untuk dapatkan keberkatan dalam pekerjaan dengan cara berzikir. Mudah-mudahan dibantu oleh Allah dan dikurniakan rezeki melimpah ruah. 

Waktu Subuh adalah waktu paling penting untuk kita meraih keberkatan. 
Pagi dibuka pintu rezeki oleh Allah. Nak cari berkat, waktu pagi guna sebaik mungkin. Solat Subuh jangan lupa untuk buat solat sunat Subuh dulu. Solat Sunat Subuh/Fajar, ia lebih baik dari dunia dan isi seluruhnya. Subhanallah. Dan jadikan amalan Sedekah Subuh untuk keberkatan rezeki inshaaAllah. Sedekah boleh buat melalui online jika kita tidak berada di masjid/surau. Moga Allah terima amalan kita..aamiinn
Saat kita bekerja, letakkan ia Lillahi Taala. Bila lakukan kerana Allah, akan ada ilham dari Allah.


Azam kita tahun 2024 ini, nak isikan masa dengan amal soleh dan  dengan perkara² yang diredhai Allah. Tinggalkan perkara lagho dan sia² apatah lagi perkara maksiat. Moga usaha itu dengan izin Allah dapat menyelamatkan kita di hari akhirat kelak. InshaaAllah..aamiinn🩶


Saya berazam untuk konsisten berjalan atas treadmill ini 2km sehari, kalori terbakar inshaaAllah 114  dan masa yang di-ambil hanya 30minit. InshaaAllah.



Selawat Tafrijiyah



Sayu hati tiapkali dengar Selawat Tafrijiyah....

Mari kita ulang² berselawat Tafrijiyah




Maksudnya: Ya Allah limpahkanlah selawat (rahmat) yang sempurna dan kesejahteraan yang sempurna ke atas junjungan kami Nabi Muhammad SAW, yang menjadi sebab terungkai segala kebuntuan dan terbuka segala kesusahan serta ditunaikan segala hajat dan dipenuhi segala keperluan serta dikurniakan husnul khatimah dan dikurniakan limpahan rahmat dengan keberkatan sosok tubuh (kemuliaan) Baginda SAW dan seluruh ahli keluarga Baginda dan sahabatnya dalam setiap kerdipan mata dan nafas setiap makhluk Engkau miliki.



Selawat Tafrijiyah Dalam Rumi

Allahumma solli solatan kamilatan

Wasalim sallaman taammaa

A’laa saidina muhammadinil lazi

tanhallubihil u’kadu

Watanfariju bihil kurobu

Watukdho bihil hawa iju

Watunaalu bihirro gha’ ib-u

Wahusnul khawaa timi

Wayustasqhol ghomaamu

biwajhihil karim

Wa ala alihi wasah bihi

fi kulli lamhatim wanafasi

wanafasin Bi’ adadi 

kulli mak’lu mim lakh.



Banyakkan Selawat Pada Hari Jumaat


Jom banyak-banyak kita berselawat ke atas Nabi SAW hari ini...hari Jumaat penghulu segala hari, hari yang mulia.

Azam untuk mampu istiqomah berselawat 1000x setiap hari inshaaAllah.
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ


~~~~~~~~~~~~~~
Dari Aus bin Aus r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya diantara hari-harimu yang paling utama sekali ialah hari Juma'at, maka perbanyakkanlah membaca selawat padaku pada hari itu, sebab sesungguhnya bacaan selawatmu itu ditunjukkan kepadaku." Para sahabat berkata: "Ya Rasulullah, bagaimanakah selawat kita semua itu dapat ditunjukkan kepada Tuan, sedangkan Tuan sudah hancur tubuhnya -telah wafat dan dikubur-?" Dalam sebahagian riwayat disebutkan: dengan kata-kata: "Sedangkan Tuan telah rusak tubuhnya?" Nabi s.a.w. lalu bersabda: "Sesungguhnya Allah mengharamkan pada tanah untuk makan tubuhnya para Nabi." 
Diriwayatkan oleh Imam Abu Dawud dengan isnad shahih.

~~~~~~~~~~



Solat Sunat Rawatib

Alhamdulillah kita kini dah berada di tahun baru 1439H. Syukur Alhamdulillah.

Apa azam tahun baru? En suami bertanya pada kami2 dalam group WA family. Termenung sejenak.....

Terkenang banyak yang masih separuh jalan azam dan keinginan tahun2 sudah. Moga kali ini dapat lebih istiqamah dalam amalan...amiinn

Sempena tahun baru 1439H, jom kita bangkit buat yang terbaik selagi masih ada peluang. Jom istiqamah buat solat sunat. Pesan ustad dalam kuliah maghrib beberapa malam lepas... "solat sunat jangan tinggal...."
Banyak solat sunat ni... antaranya; Solat Sunat Rawatib.

Solat sunat Rawatib yang kita kerjakan sejurus sebelum dan selepas solat fardhu Insya-Allah dapat menampung kekurangan yang tentu saja ada dalam solat fardhu kita.

Dari Aisyah r.ha meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Barangsiapa yang istiqamah bersolat 12 rakaat, Allah akan membinakan mahligai untuknya di dalam syurga. (12 rakaat itu ialah): 4 rakaat sebelum zohor, 2 rakaat selepas Zohor, 2 rakaat selepas Maghrib, 2 rakaat selepas Isyak dan 2 rakaat sebelum Subuh. (HR Nasa’i)

Jom azam untuk istiqamah dirikannya.
InshaaAllah...

Solat Witir

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah, sering dipesan para ustaz supaya tidak meninggalkan solat witir. Solat Witir adalah solat sunat yang dituntut untuk kita melaksanakannya.

Sabda Rasulullah SAW, yang bermaksud:
“ Jadikanlah solat witir itu sebagai akhir solatmu di waktu malam.” (Muttafaq 'alaih).

Dari Ali r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Wahai ahli-ahli Al-Quran! Bersolat witirlah kamu, kerana sesungguhnya Allah itu witir dan menyukai orang-orang yang solat witir. (HR Abu Daud)

Juga riwayat dari Jabir ra bahwasannya Nabi saw bersabda: “Barang siapa yang merasa tidak akan sanggup bangun pada akhir malam, baiklah ia berwitir pada permulaan malam, tetapi barang siapa yang merasa sanggup bangun pada akhir malam, baiklah berwitir pada akhir malam itu, sebab solat pada akhir malam itu dihadiri (disaksikan oleh Malaikat) dan itulah yang lebih utama”. (Diriwayatkan oleh Ahmad, Muslim, Tirmidzi, dan Ibnu Majah)

Dari Abu Hurairah ra., katanya: "Kekasihku -yakni Nabi Muhammad SAW telah memberikan wasiat padaku untuk melakukan puasa sebanyak tiga hari dalam setiap bulan, juga dua rakaat sunnah Dhuha dan supaya saya bersembahyang witir dulu sebelum saya tidur." (Muttafaq 'alaih)

Melakukan solat witir sebelum tidur itu hanyalah disunnahkan bagi seseorang yang tidak mempercayai dirinya akan dapat bangun pada akhir malam.  Tetapi sekiranya dapat mempercayai dirinya, maka pada akhir malam adalah lebih utama lagi. 

Solat Witir biasa dikerjakan sebagai solat penutup solat Terawih di bulan Ramadhan. Jika di luar bulan Ramadhan boleh mendirikan setelah selesai solat baadiyah atau solat malam lainnya sebelum tidur. Solat witir sebagaimana hadis Nabi SAW lebih afdal dilakukan selepas kita melakukan solat malam samada solat tahajjud, solat hajat, solat taubat dsb ketika kita bangun di akhir malam, yakni dalam tempoh tengah malam sehingga sebelum masuk waktu Subuh. 

Jika terbangun lambat di mana tidak sempat mendirikan tahajjud kerana sudah hampir masuknya waktu Subuh, maka segera lah kita berwitir 1 rakaat.

Dari Aisyah ra., bahawasanya Nabi SAW melakukan solatnya di waktu malam, sedang ia - yakni Aisyah yaitu isterinya - melintang antara kedua tangannya - yakni di mukanya.  Maka jikalau tinggal mengerjakan witir, beliau SAW membangunkannya, lalu Aisyah pun berwitirlah. (Riwayat Muslim)

Dalam riwayat Muslim lainnya disebutkan:
Maka jikalau tinggal mengerjakan witir, lalu beliau SAW bersabda: "Bangunlah dan berwitirlah, hai Aisyah."

Dari Abu Said al-Khudri ra bahawasanya Nabi SAW bersabda: "Berwitirlah engkau semua sebelum engkau semua berpagi-pagi - yakni sebelum terbitnya fajar shadik." (Riwayat Muslim)

Dari Ibnu Umar ra bahawasanya Nabi SAW bersabda: "Dahuluilah solat  Subuh itu dengan witir - maksudnya; Bangunlah sebelum waktunya solat Subuh lalu berwitirlah dulu."
Diriwayatkan oleh Imam-imam Abu Dawud dan Termidzi, dan Termidzi mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan shahih.

Dari Aisyah ra., katanya: "Dari seluruh malam itu Rasulullah SAW sungguh-sungguh telah melakukan witir - yakni waktu berwitir beliau SAW tidak tertentu waktunya, yaitu di permulaan malam, di pertengahan malam, di akhir malam dan berakhirlah waktu witir beliau SAW itu sampai waktu sahur - hampir menyingsingnya fajar shadik." (Muttafaq 'alaih)

Hitungan raka'at adalah ganjil (contoh: 1 @ 3rakaat @ 5, 7, 9,11). Jika tiga raka'at, dapat dilakukan 3 rakaat satu salam atau dilakukan 2 rakaat salam diikuti dengan satu rakaat salam. Bagi solat witir 3 rakaat satu salam, hendaklah tidak duduk di tahiyyat awal sebaliknya terus buat tahiyyat akhir dan salam. Berdasarkan hadis Rasulullah SAW, daripada Saidatina Aisyah ra: "Baginda SAW tidak duduk sama sekali semasa mengerjakannya melainkan pada rakaat yang terakhir." (HR Muslim)

Berkata Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah: Tidak harus menjadikan solat witir seperti solat Maghrib. Maksudnya solat witir mestilah berbeza dengan solat maghrib, walaupun sama dari segi bilangan rakaatnya.

Hadis Rasulullah SAW ada menyebut:
"Janganlah kamu mengerjakan solat witir 3 rakaat seperti solat maghrib."(HR al-Hakim)

Cara Solat Witir 1 rakaat:
1. Berniat untuk melaksanakan solat sunat Witir, yang maksudnya:
"Saya berniat solat witir satu raka'at kerana Allah Ta'ala"

2.Tata cara solat witir sama seperti solat sunat lainnya, membaca Al-fatihah dan surah-surah lainnya. Namun yang disarankan ustaz, bilamana kita buat solat witir 1 rakaat bacalah surah Qulhuwallah, surah al-Falaq di-ikuti dengan surah an-Nas selepas selesai dibaca surah al-Fatihah.
Wallahu a'lam.


Jom istiqamah Solat Witir.

Solat Sunat Tahiyatul Masjid



Bismillahirrahmanirrahim
Setiap kali kita memasuki masjid, sebelum kita duduk, disunatkan bagi kita mengerjakan solat sunat tahiyyatul masjid iaitu sebanyak dua rakaat.

Dari Abu Qatadah ra., katanya: "Rasulullah SAW bersabda: "Jikalau salah seorang di antara engkau itu masuk masjid, maka janganlah duduk dulu sebelum bersembahyang dua rakaat." (Muttafaq 'alaih)

Dari Jabir ra., katanya: "Saya mendatangi Nabi SAW dan ia berada di masjid, lalu beliau SAW bersabda: "Bersembahyanglah dua rakaat."  (Muttafaq 'alaih)

Sewaktu hendak masuk ke dalam masjid, bacalah doa masuk masjid:


Maksudnya:
Ya Allah! Ampunilah dosa-dosaku dan bukakanlah bagiku pintu-pintu rahmatMu.

Sesudah memasuki masjid, berdiri lurus menghadap arah Kiblat dan membaca lafaz niat:
yang maksudnya:
Sahaja aku solat sunat tahiyyatul masjid dua rakaat kerana Allah Taala.

Tunaikanlah dua rakaat solat ini dengan cara dan tertib sebagaimana solat-solat sunat yang lain. Pada rakaat pertama, bacalah surah Al-Fatihah dan diikuti surah Al-Kafirun:


Maksudnya:
Katakanlah (wahai Muhammad): "Hai orang-orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku."

Pada rakaat kedua, bacalah surah Al-Fatihah dan diikuti surah Al-Ikhlas:


Maksudnya:
Katakanlah (wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya."

Berniatlah beriktikaf di dalam masjid sebagaimana berikut:
Sahaja aku beriktikaf di dalam masjid kerana Allah Ta'ala.

Adab-adab di masjid:
  • melangkah masuk ke dalam masjid dengan kaki kanan
  • melangkah keluar dengan kaki kiri
  • berniat iktikaf
  • menunaikan solat Tahiyatul Masjid
  • memakai pakaian yang bersesuaian dan sopan(menutup aurat)
  • jangan berbual-bual perihal keduniaan
  • menjaga kebersihan di persekitaran masjid

Sufyan Ats-Tsauri, seorang ulama hadith yang terkemuka, menyatakan bahawa antara hal yang termasuk dalam kategori sia-sia ialah: Lelaki yang masuk ke dalam masjid, kemudian dia keluar kembali dari masjid itu tanpa mendirikan solat sunat Tahiyatul Masjid.

Wallahu'alam.

Zikir Khazanah Syurga

Pagi-pagi tadi radio Ikim telah memperdengarkan zikir "La haula wala quwwata illa billah..."Terus teringat pada satu hadis Nabi SAW yang ada dalam kitab Riyadhus Shalihin yang menyebut tentang kelebihan zikir ini.  

Dari Abu Musa al-Asy'ari r.a., katanya:  "Rasulullah SAW bersabda kepadaku: "Tidakkah engkau suka kalau saya tunjukkan kepadamu pada sesuatu gedung simpanan dari beberapa simpanan syurga?"  Saya- Abu Musa - berkata: "Baiklah, ya Rasulullah." Beliau SAW lalu bersabda: "Yaitu ucapan: La haula wala quwwata illa billah - Tiada daya dan tiada kekuatan, melainkan dengan pertolongan Allah."  (Muttafaq 'alaih)

(*dua hadis di bawah hasil pencarian di internet, terimakasih)
Diriwayat daripada Abu Aiyub al-Ansori bahawa Nabi SAW bersabda: “Wahai Abu Aiyub, tidakkah kamu mahu, aku ajarkan kamu kalimah daripada khazanah syurga?” Aku menjawab: “Sudah tentu wahai Rasulullah, demi bapaku dan ibu sebagai tebusan untukmu.” Sabda Rasulullah SAW, Perbanyakkan sebutan: “Tiada daya dan tiada upaya melainkan dengan Allah;” ia adalah khazanah syurga.” (Mu‘jam al-Tabarani al-Kabir, Sahih Ibn Hibban).


Diriwayatkan daripada Abu Zar: “Kekasihku Rasulullah SAW berpesan kepadaku dengan beberapa ciri kebaikan: 
Pandang orang yang di bawahku dan tidak pandang orang yang di atasku; 
Mengasihi dan mendampingi golongan miskin; 
Menjalin hubungan persaudaraan sekalipun mereka menyisihkan aku; 
Tidak mempedulikan celaan orang yang mencela demi kerana Allah; 
Menyatakan kebenaran sekalipun pahit; 
Memperbanyakkan menyebut: “Tiada daya dan tiada upaya melainkan dengan Allah;” ia adalah daripada khazanah syurga.”
(Al-Targhib wa al-Tarhib. Dinilai Sahih).


-------------------------------------
Sambil-sambil, jom tengok kueh Koleh Ubi Kayu yang lebih buat semalam. Kueh tradisional yang satu nih memang teramatlah sedapnya.  En suami suka sangat kueh Koleh ni. Ya lah sementara bukan musim durian, ulang buat Koleh Ubi je lah, nanti tiba musim durian.. InsyaAllah dapat kembali buat Lempok Durian yang marvelous.. :)

Mudah je resepi Koleh ni tapi bab nak mengacaunya sampai jadi kering, itu yang mencabar sikit tugasannya.. he he.. Jadi kita mohon pada Allah, sambil buat kerja, mari sentiasa amalkan zikir "La haula wala quwwata illa billah" InsyaAllah semua kerja akan rasa begitu mudah dan cepat siap...

Mari kita amalkan zikir La haula wala quwwata illa billah sekurang-kurangnya 100x dalam sehari,... pautan di SINI.


Latihan Diri di Bulan Rejab

Bismillahirrahmanirrahim

Para ustaz ulang mengingatkan tentang keutamaan beramal di bulan Rejab. Mari kita mengulang-ngulang membaca doa ini...

اللهم بارك لنا في رجب وشعبان وبلغنا رمضان

Allah humma bariklana fi rojabin wa syaabana wabalighna ramadhan...

yang bermaksud:


"Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya'aban serta sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan." 

Moga Allah mempertemukan lagi kita dengan bulan Ramadhan kali ini.  Ada yang Allah rezeki dapat melalui Ramadhan yang telah berlalu namun takdir Allah telah menetapkan ada yang tiada kesempatan untuk dapat bertemu dengan Ramadhan yang akan datang kerana diri telah terlebih dulu dijemput pulang ke rahmatullah. Semoga Allah mencucuri rahmat dan menempatkan ruh arwah ibuku Habsah binti Ismail di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh... aaminn


Mari latih diri kita. Latihlah diri kita di bulan Rejab untuk:
  • lebih dekat dengan masjid
  • banyak mengaji Quran, 
  • sering beristighfar
  • berpuasa sunat
  • solat2 sunat terutama Solat malam
  • banyak bersedekah

Banyak² kita memohon ampun ke hadrat Allah...

رَبِّ اغْفِرْ لِي وَارْحَمْنِي وَتُبْ عَلَيَّ

Rabbighfirlii warhamnii watub 'alayya.

Artinya: "Tuhanku, ampunilah aku, sayangilah aku, dan terimalah taubatku."


Hiasi diri kita dengan ibadah sepanjang hari bermula bulan Rejab ini sebagai persediaan kita menuju Ramadhan.


Selamat beramal, luruskan niat kita.

Blog Archive

KURSUS HAJI 2023

Minggu 1

Pergi Haji

Minggu ke 9

Minggu ke 12