Jom beli ikan di Tok Bali

Bismillahirrahmanirrahim

Ini kali pertama saya di-ajak ke Tok Bali.  Tujuan-nya, nak pergi beli ikan segar yang baru turun di pelabuhan.  Sampai2 sana, nampak bot2 nelayan yang besar berbaris di tepi pelabuhan.  Para pekerja tengah sibuk memunggah turun ikan dari bot serta mengasingkan jenis-jenis ikan ke dalam tong2 berasingan. Peraih-peraih ikan pun sama naik sibuk pilih ikan yang semua segar2 tu.  Ohh rasa macam nak punggah wat balik, semua yang berkenan tu.  Pelbagai jenis ikan ada, ada yang tak pernah tengok pun sebelum ni. Memang betul2 fresh, keras-keras semuanya.  Takde nampak pun yang mata merah macam yang biasa nampak kat pasar tuh... hi hi..

Bagi yang belum pernah sampai di sana, elok sangat lah kalau nak merasa suasana meriah tengok ikan-ikan segar seterusnya dapat beli dengan harga yang begitu murah.  Tapi sebelum pergi, pastikan bawak plastik sendiri untuk bubuh ikan.  Diaorang tak sediakan plastik.  

Puas semua makan ikan... kami pakat2 buat Ikan Bakar sumbat Tempoyak, ikan singgang, ikan celup tepung dan asam pedas ikan parang.  Sotong pulak hanya direbus ketuk serai, tersangatlah sedap rasanya sebab pakai sotong segar. 

Jom pergi Tok Bali.....  :)




Dia tak nak pahala

Bismillahirrahmanirrahim

Nak cerita apa yang jadi kat pejabat post semalam.  

Semalam lepas breakfast lebih kurang, terus memecut ke pejabat post.  Sesi menunggu biasalah... lama tak lama ada la lebih kurang dalam setengah jam.  Kira tak lama sangat lah sebab nak sampai ke nombor saya tu, ada lagi giliran untuk 15 orang. 

Nak jadi cerita, terserempak dengan beberapa orang rakan semasa sesi menunggu tu.  Sapa menyapa lebih kurang hingga tiba2 datang seorang kawan lama yang sama2 pioneer di kawasan ini.  Saling bertanya khabar, citer2 sikit sebanyak hingga tibanya masa untuk turn nombor saya dipanggil.  Kawan saya sebelum tu dah berbisik mintak tumpang nak beli 'wang kiriman' yang berharga rm2.  Jadi bila saya bangun ke kaunter,  rakan tadi mengikut sama.  Saya dah plan untuk tidak mengajak beliau, kiranya biar saya saja yang tolong belikan.  Tapi tup-tup beliau ikut sama pergi ke kaunter.  Bila selesai urusan saya, saya terus sambung minta untuk beli wang kiriman untuk kawan tadi yang sedang berdiri di sebelah saya.  Namun... kedua2 kami tergamam seketika bila kerani di kaunter tersebut kata, "Satu nombor untuk satu orang... kena ambik nombor lain."

Bila saya berpaling pada kawan saya, beliau cepat2 mengangguk sambil kata..."tak pe..."

Aduhh... "...tak kan lah nak mintak beli wang kiriman rm2 pun tak boleh tumpang turn saya.  Kalau kawan saya  nak tunggu nombornya, kena tunggu giliran lagi 20 orang.  Apa lah salahnya kalau tak ikut sangat sistem ciptaan manusia .. bukan ambik masa pun...nak tumpang beli wang pos je pun.. ", bebel saya dalam hati.  

Kami berdua beredar dari kaunter.  Bila pandang kawan saya, jelas tergambar rasa kecewa pada riak wajahnya..  

"Takpe lah... kalu gitu saya balik dulu lah, petang nanti datang lagi... ", kata kawan saya sebelum kami berpecah membawa haluan masing-masing. (Nak kena datang lagi petang tu semata-mata untuk nak beli wang pos rm2)

"Sabar eh... ", kata saya semasa bersalam.

"Takpe... dia tak nak pahala...", balas kawan saya sambil tersenyum.  


Harapnya kejadian seumpama itu tidak sering2 terjadi.  Berlebih kurang lah, jangan terlalu berkira. Ada masanya tersedia ruang untuk kita merebut pahala.  Lebih2 lagi jika hadir di depan kita orang yang betul2 desperate mengejar masa.  Bagi yang tidak ada keperluan penting lain cerita, tapi bagi yang betul2 memerlukan kerjasama kita di masa2 tertentu, itu kira rugi lah kalau kita tak dapat nak tolong.

Teringat kata2 ustaz yang sering menjadi penawar....
"Bersyukurlah bila tiba-tiba ada orang datang pada kita mintak bantuan ataupun mintak derma/sedekah. Allah telah datangkan orang itu pada kita bukan kepada orang lain sebab Allah nak bagi peluang untuk kita merebut pahala..." 

Dari Abu Hurairah ra berkata, bahwasanya Rasulullah SAW bersabda, 'Barangsiapa menghilangkan kesulitan seorang mu'min di dunia, maka Allah akan melepaskan keslutannya pada hari kiamat. Barangsiapa memudahkan orang yang tengah dilanda kesulitan, maka Allah akan memudahkannya di dunia dan di akhirat. Barangsiapa menutupi aib seorang muslim, maka Allah akan menutupi aibnya di dunia dan akhirat. Dan Allah akan menolong hamba-Nya selama hamba itu menolong saudaranya. Dan barang siapa yang menempuh suatu jalan dalam rangka mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan menuju surga. Tidaklah suatu kaum berkumpul di salah satu rumah Allah, membaca kitab Allah dan mempelajarinya bersama-sama, kecuali ketentraman akan turun kepada mereka, rahmat akan memenuhi mereka, malaikat menaungi mereka, dan Allah memuji mereka di hadapan makhkluk yang berada di sisi-Nya. Barangsiapa yang terlambat amalnya, maka nasabnya tidak akan mempercepat (nasibnya)”
(HR. Muslim)

Dari Abu Zar r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Senyuman kepada saudaramu (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma’ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. (HR Tirmizi)



Wallahu'alam.



Kopi-O panas dan Kueh Ros

Kalau hari tu saya berseorangan pergi mengambil kueh rempeyek yang ditempah, kali ni ada dua orang yang eskot iaitu en suami dan anak bujang..he he..  Di pertengahan jalan singgah solat di masjid kaler biru yang sering jadi tempat persinggahan kami jika jalan2 hala ke sana.  Waa... rupa2 nya time tu sedang berlangsung majlis Maulidur Rasul.  Jadi ada la peluang bersalam-salaman dengan ramai orang time lepas solat sebelum kami meneruskan perjalanan nak pergi ambil lagi 3kilo rempeyek.

Puas hati tengok cara drive anak bujang yang makin improve.  Kiranya perjalanan kami ada tujuan sampingan lah.... sekali dengan nak train anak bujang yang masih baru dengan lesennya, memandu dalam jarak yang jauh sikit... biar lebih sikit cabarannya.  Nampak cam ok, boleh la... kira lulus la bagi mama...  :)

Sampai2, kami dihidangkan lagi dengan kopi-O panas.  Masa datang seorang diri tempohari, ada dapat hadiah setin serbuk kopi tu dari makcik .. suka..  Rasa kopinya boleh tahan sedap, nama brand kopi pulak bukan main-main... cap "Keris Bersilang... Ismail Guru Quran."  :) 

Terasa nikmat minum kopi-O panas bila kombain makan dengan goreng pisang, kueh bahulu dan satu lagi kueh tradisi yang makcik tu pandai buat iaitu Kueh Ros aka Kueh Goyang.  Terer betul makcik... sume kueh pandai... Jangan tak tau ya, saya dah booking siap2 makcik untuk belajar buat Rempeyek.  Dah buat temujanji dah, kalau Allah izin, tarikh kejadian InsyaAllah sekitar bulan February.  Nanti kalau jadi Rancangan Kuali tu, akan dibuat posting kisah 'Belajar Buat Rempeyek' InsyaAllah.

"Nenek masa muda kuat lari...", kata makcik pada anak bujang saya.  Masa tu sibuk en suami dan anak bujang duk interview makcik, mintak cerita kes berlari kena kejar harimau tempohari... (kalau nak tau cerita meh baca kat sini)


Sekian wassalam.




Ciri-ciri orang bertakwa

"Fikir apa benda kita nak bawak ke akhirat... cari bekalan yang boleh bawak ke akhirat... sibukkan diri untuk menyediakan bekalan ke akhirat ", kata seorang hamba Allah

Mengimbas pesanan seorang lagi hamba Allah....
"Pertama: Kena kenal Allah,jangan kita solat tapi tak kusyuk sebab kita sekadar tunaikan solat.  Sebab tu kena dirikan solat;  jaga tertib, tajwid, faham makna bacaan, jaga hukum solat. Dari situ kita akan fokus dalam solat, maka tak sempat nak fikir perkara lain sebab kita tumpu perhatian dalam solat.  Hidup lama di dunia tidak bermakna apa-apa jika tiada usaha untuk belajar mengenal Allah.  Untuk menjadi orang yang berjaya, jaga solat fardhu, tambahi dengan solat sunat, ngaji Quran, tambahi dengan banyak zikir pada Allah.  

Kedua: Kena hati-hati apa yang kita cakap.  Kalau rasa beri manafaat, cakaplah.  Tapi jika fikir ianya akan datangkan mudharat, baik jangan cakap. 

Ketiga: kita akan dibangkitkan di hari akhirat nanti.  Setiap apa yang kita lakukan semasa di dunia tidak akan terlepas, semua akan diberi balasan oleh Allah."

>>>>>>>>>>>>>
Ustaz dalam kuliah Maghrib malam tadi pula menjelaskan....
"Kita baca al-fatihah sebanyak 17 kali sehari dalam solat fardhu 5 waktu.  Akan baca lebih lagi bila kita tambahi dengan dirikan solat sunat.  Dalam al-fatihah, kita mengulang-ngulang mohon suatu doa yang minta Allah tunjukkan jalan iaitu melalui ayat "Ihdinassirotol mustaqim" yang bermaksud 'Tunjukkanlah aku jalan yang lurus"

Bagaimana utnuk dapatkan jalan yang lurus?? Allah telah jawab pertanyaan kita yang mohon petunjuk dan hidayah itu dalam Surah al-Baqarah iaitu:
[1]
Alif, Laam, Miim.
[2]
Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa;
[3]
Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.
[4]
Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab “Al-Quran” yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad), dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya).
[5]
Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang berjaya.



Telah disebut bahawa, orang-orang yang mulia di sisi Allah ialah orang-orang yang bertakwa.  Takwa dapat dicapai melalui kitab al-Quran yang diturunkan oleh Allah dan dengan apa yang diajar oleh Nabi SAW.
Seorang muslim itu bila dapat menghayati keluasan yang Allah beri, maka InsyaAllah akan dapat rasa agama itu indah. Contoh dalam soal berpakaian:  Pakaian yang ditetapkan bukan kemestian yang berwarna hitam.  Yang ditentukan oleh Islam ialah pakaian tersebut mestilah dapat menutup aurat, yang mempunyai ciri kebaikan dan yang lebih baik lagi jika dapat tambah dengan wangi-wangian.  Pakai wangi-wangian agar lebih selesa solat dan menimbulkan keselesaan juga buat makmum di sebelah-menyebelah kita.

Ilmu Allah begitu luas.  Kita sebagai manusia hanya mengetahui sebahagian kecil sahaja.  
Firman Allah dalam Surah al-Kahfi ayat 109 yang bermaksud:
Katakanlah (wahai Muhammad): “Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan”.

Al-Quran adalah kitab.  Ia bukan surat kiriman.  Ia adalah kitab suci yang mengandungi semua perkara yang bersangkutan dalam kehidupan kita.  Al-Quran adalah lengkap sebagai pedoman hidup manusia.  Ia tidak mengandungi sebarang keraguan di dalamnya. Rahmat Allah terlalu luas.  Biarpun fitrah manusia sering melakukan dosa namun, bila tergelincir dan lalai... jadi insaf dan taubat. Lepas insaf, masih buat lagi dosa.  Berulang-kali kita buat silap, insaf balik lalu bertaubat...Allah Maha Pengampun.  Namun jangan lah sampai tidak timbul azam atau tiada sebarang usaha untuk kurang berbuat dosa.  Kena ada usaha untuk membaik-pulih diri, biar hari ini lebih baik lagi dari semalam.

Al-Quran menjadi petunjuk bagi golongan muttaqin.  Golongan muttaqin ialah orang-orang yang bertakwa yang sentiasa memelihara dirinya daripada perkara yang boleh mendatangkan mudharat buat dirinya di hari akhirat.

Bila mati, hanya takwa yang kita nak bawa.  Kita tak bawa perkara lain seperti perhiasan dunia yang berupa harta, wang ringgit mahupun anak dan isteri.  Orang-orang yang bertakwa sifat2nya beriman kepada perkara ghaib, mendirikan sembahyang dan infak di jalan Allah.   Orang yang bertakwa akan mendapat petunjuk dan beroleh kejayaan dunia akhirat.  Jiwanya besar dan tidak terkongkong oleh akal yang sempit.  Dunia menjadi jambatan buatnya untuk pergi ke akhirat. Segala harta dan kemahiran yang ada dalam dirinya digunakan sebaik mungkin untuk menjadi bekalan diri di hari kemudian. 

Sifat mukmin mestilah mempunyai iman yang menyeluruh. Membantu orang yang kesempitan amat dituntut tapi jika kita nak tolong orang yang susah, tolonglah dengan harta kita sendiri.  Jangan pula kita nak bantu orang tapi kita pergi guna harta orang lain untuk membantu orang tersebut.  Di sinilah pentingnya ada ilmu, kena faham agama baru setiap amal itu mampu terlaksana mengikut jalan yang betul. 

Semoga Allah memberi kefahaman ilmu dalam agama buat kita semua... ameenn.

Wallahu'alam.

Sunnah bila berjumpa orang



Bismillahirrahmanirrahim

Antara Sunnah bila bertemu dengan seorang Muslim ialah....

  • Memberi Salam:
Rasulullah SAW telah ditanya; "Islam yang mana baik (dari segi perbuatan)?" Baginda berkata:"memberi orang makan dan memberi salam kepada mereka yang kamu kenal dan mereka yang tidak kamu kenali."

  • Memanjangkan salam:
Seorang lelaki masuk menemui Rasulullah SAW dan berkata:
"Assalamualaikum."
Rasulullah SAW menjawab salam.  Kemudian lelaki itu duduk dan Rasulullah SAW berkata, "Sepuluh."  
Kemudian seorang lelaki lain datang dan berkata: "Assalamu alaikum wa rahmatullah."  Rasulullah SAW menjawab salam dan kemudian lelaki itu duduk.  Rasulullah SAW berkata:"duapuluh."  
Seorang lagi lelaki datang dan berkata: "Assalamu alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh."
Rasulullah SAW menjawab salam kemudian lelaki itu duduk dan  Rasulullah SAW berkata, "tiga puluh."

Lihat betapa banyak seseorang itu telah kehilangan pahala dengan hanya sekadar memberikan sebahagian daripada salam yang penuh.  Seseorang itu sepatutnya mengucapkan salam dengan penuh agar dia memperolehi tiga puluh kebaikan.  Pahala yang paling sedikit bagi perbuatan yang baik adalah sepuluh kali ganda;  Oleh yang demikian dengan memberikan salam dengan penuh, seseorang boleh mendapat tiga ratus kebaikan atau lebih.  Biasakan diri memberikan salam sehingga "Barakaatuh" untuk mendapatkan pahala yang besar ini.  Orang Muslim memberikan salam banyak kali pada siang hari..Di-ucapkan salam apabila masuk ke masjid pada orang yang duduk dan apabila meninggalkan mereka, masuk dan keluar dari rumah dan sebagainya. Sesiapa yang ingin beredar  meninggalkan seseorang ucapkanlah salam yang penuh.   

  • Senyum
Sebagaimana Rasulullah SAW berkata, Jangan anggap mana-mana perkara kebaikan sebagai tidak penting malah walaupun kamu berjumpa dengan saudaramu dengan wajah yang ceria.

Daripada Abdullah bin Shomit daripada Abu Dzar katanya : Rasulullah S.A.W bersabda : “Janganlah meremehkan kebajikan sedikit pun, walaupun dengan hanya senyum kepada saudaramu”

(pautan: Mulakan Hari Dengan Senyuman)


  • Bersalam(berjabat tangan)
Sebagaimana Rasulullah SAW berkata:  Tiada dua orang muslim yang bertemu dan bersalam, kecuali yang mereka diampunkan sebelum mereka berpisah (daripada satu sama lain)

Imam An-Nawawi berkata:  Ketahuilah bahawa bersalam ini digalakkan dalam setiap pertemuan. (namun tidak dibenarkan bersalam dengan orang yang bukan mahram).

Dari Huzaifah bin Yaman r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Apabila seorang mukmin bertemu dengan seorang mukmin yang lain, hendaklah dia memberi salam kepadanya dan berjabat tangan (untuk bersalam), dosa-dosa mereka berguguran seperti daun-daun berguguran dari pohonnya. (HR Tabrani, Majma uz Zawaid)

Perhatikan jika kita bersalam dengan sesiapa yang kita temui, kemudian mengucapkan 'salam' dan senyum pada mereka, maka tiga sunnah telah dipenuhi sekaligus. Alhamdulillah.


  • Ucapkan kalimah tayyibah
Kalimah tayyibah merupakan sedekah.  Kalimah tayyibah termasuk mengingati Allah, doa, salam, memuji seseorang kerana sifat mereka yang baik, peribadi yang mulia, adab dan perbuatan yang baik.

Kalimah tayyibah mempunyai kesan yang kuat pada seseorang - ia membawa keamanan dan ketenteraman pada jiwa seseorang dan kedamaian pada hatinya.  Ianya merupakan bukti apa yang berada di dalam hati orang yang beriman itu cahaya, hidayah dan berada pada jalan yang benar.

Pernahkan kamu terfikir, wahai saudaraku, untuk mengisi hidupmu dari pagi ke petang dengan perkataan yang baik-baik pada pasangan kamu, anak-anak, jiran, kawan-kawan, rakan sekerja dan sesiapa saja yang kamu berurusan dengannya, yang mungkin memerlukan kata-kata sedemikian?

Wassalam.

- petikan buku terjemahan(bersaiz poket) dari tulisan Sheikh Khalid Al-Husaynaan
Judul Asli: Akhtar Min Alf sunnah Fi A-Yaum Wal Al-Laylah
Kumpulan Doa, Zikir dan Amalan Seharian Nabi Muhammad SAW
24 jam Bersama Rasulullah SAW

Zikir 100, Berzikir secara batin dan zahir


Bismillahirrahmanirrahim


Semalam semasa membelek salah-satu buku doa dan munajat, terpandang pada bab yang menyebut tentang Zikir 100.  Zikir 100 yang dimaksudkan ialah zikir yang dapat kita jadikan amalan yang setiap satunya dibaca sebanyak 100x sehari iaitu:

  • Membaca Surah Al-Ikhlas iaitu Qul hu wallah hu ahad Allah hus somad Lam Yalid walam yulad walam yakul  lahu kufuwan ahad












  • La haula wala quwata illa billah









  • La ila ha illallah hu wah dahu la syari kalah, la hul mulk ku wa la hul ham du yuhyi wayumit tu wa hu wa 'ala kul li syai in qadir




  • Rabbighfirli warhamni watub’alaiya



yang bermaksud: Ya Allah... ampunilah aku, sayangilah aku dan terimalah taubatku.. 



Mari kita cuba jadikan amalan.  Zikir InsyaAllah dapat mendekatkan diri kita dengan Allah.  Hubungan yang kuat dengan Allah dan keimanan yang kental adalah asas penting dalam kehidupan seorang Muslim.  Bila tahap iman sudah mantap, InsyaAllah seseorang itu tidak akan terlajak mengikut pelbagai selekoh yang bengkang-bengkok.  InsyaAllah Allah akan lindung agar tidak tersungkur ke dalam lubang2 di tengah jalan yang boleh memesongkan diri dari jalan yang benar.

Jika konsisten berzikir InsyaAllah akan beroleh hikmah dari Allah yang akan mendorong kita dalam berkata-kata dan melakukan perkara yang benar dan berhikmah... ameen..

.......................................................

Jika berzikir kepada Allah Ta'ala dalam hati, sehingga yang boleh mendengarnya hanya diri kita, maka itulah yang sebaik-baiknya.  Sebab Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud:
"Sebaik-baik zikir ialah yang dirahsiakan (dalam batin), dan sebaik-baik rezeki ialah yang mencukupi."

Di dalam Al-Quran,  Allah telah berfirman:
"Berzikirlah (ingatlah) kepada Tuhanmu dalam hatimu dengan rendah hati dan perasaan takut."    (Al-A'raf: 205)

Jika ingin berzikir dengan suara keras, tiadalah salah malah memang dituntut dan dianjurkan tetapi hendaklah ia disertai ikhlas semata-mata kerana Allah Ta'ala dan tidak riya'.  Juga suara zikir kita itu tidak pula mengganggu orang yang sedang bersembahyang di sebelah-menyebelah, ataupun orang yang sedang membaca al-Quran, sehingga mengelirukan mereka di dalam ibadat mereka.

Jika zikir itu diadakan di dalam suatu majlis yang ramai, maka yang demikian itu memang dituntut dan dianjurkan.  Tetapi syaratnya adalah seperti yang disebutkan di atas tadi.
Di dalam hal ini terdapat banyak hadis, di antaranya ialah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Tiada suatu perkumpulan yang berkumpul di rumah-rumah Allah (masjid-masjid) di mana mereka berzikir kepada Allah Ta'ala dengan mengharapkan keridhaan Allah Ta'ala, melainkan Allah akan mengampunkan segala dosa mereka, dan akan mengubah semua kejahatan mereka menjadi kebaikan."

Sabda baginda lagi;
"Tiada sesuatu kaum yang duduk bersama-sama berzikir kepada Allah, melainkan para Malaikat mengelilingi mereka sedang nikmat meliputi mereka, dan ketenangan turun ke atas mereka.  Manakala Allah pula menyebut mereka itu kepada sesiapa yang berada di sisi-Nya."

Sabda baginda lagi:
"Jika kamu melintas pada taman-taman syurga, maka hendaklah kamu berehat.  Para sahabat bertanya: Apakah itu taman-taman Syurga? Jawab baginda: Kumpulan-kumpulan orang yang berzikir."
Pada riwayat lain, iaitu:  Majlis-majlis zikir.

Jangan lalai dari berzikir...

Wallahu a'lam.


Umur yang ada, pastikan berlalu dengan baik

Bismillahirrahmanirrahim

Sebagaimana yang diketahui, syukur itu merupakan sifat yang terpuji, suatu sifat yang dikasihi oleh Allah Taala. Orang yang syukur itu semakin diberi ibadah, semakin dia sedar bahawa ianya dari Allah. Diberi ilmu, lebih alim dari orang lain tetap rasa semuanya dari Allah.  Diberi pangkat, kedudukan, kemuliaan; nampak ianya minAllah... dari Allah. Bila tak nampak ianya dari Allah sebaliknya rasa semua sebab aku, aku yang hebat, aku yang pandai maka itulah yang timbul diri rasa hebat, ujub dengan ilmunya. Walhal yang meluaskannya adalah Allah. Ini sifat yang kita kena pegang.  Kemuliaan dunia akhirat...minAllah... dari Allah. Apa yang kita miliki, dapat ilmu, jadi kaya, dapat tolong orang ->>> nampak itu semua dari Allah.

Kita jadi hamba, maka wajib belajar.  Bila belajar InsyaAllah dapat melihat segala sesuatu itu adalah hikmah, rahsia Allah. Contoh: Seseorang yang hidup senang tiba2 diuji Allah hilang kekayaan, hilang harta. Di mana hikmahnya? Hikmahnya, bila terjadi sedemikian mungkin akan memberi kesedaran pada hambaAllah itu untuk lebih dekatkan diri dengan Allah. Kalau tak ditimpa susah, masih tak kenal, masih lalai dan masih sia-sia.  Tapi bila susah, jadi lebih kenal, lebih damping dengan Allah.
Ketahuilah bahawa, tiada sempurna syukur itu melainkan syukur mereka yang meluaskan Allah Taala. Dapat melihat ia pada tiap-tiap sesuatu itu akan hikmah dan rahsia dari kasih Allah Taala padanya. Merasakan apa yang mereka kerjakan itu adalah kurnia Allah Taala.  Lazimkanlah mengikut sunnah Nabi SAW kerana di dalamnya mengandungi hikmah dan rahsia sekalipun kita tidak dapat melihatnya.
Contohilah Nabi Muhammad SAW, yang banyak menangis, yang banyak taubat kepada Allah.  Contohi orang-orang yang dekat dengan Nabi Muhammad SAW, contohi orang-orang yang ahli ibadat(para abid) dan golongan ulamak. Latihlah diri bertahajjud, bertaubat, bertasbih. Banyakkan menangis sebelum kita menangis di akhirat.  Amalkan mengucap 'Astaghfirullah' 1000x sehari atau sekurang-kurangnya 100x sehari. Kerapkan zikir "Tubna illallah wa roja'na illallah".  Sebelum tidur baca 3x  "Penghulu Istighfar". 
 
Daripada Syaddad bin Aus, Nabi mengajar sepotong doa. Sesiapa yang membacanya dengan keimanan pada waktu pagi, lalu dia mati pada petangnya, maka dia akan menjadi ahli syurga. Demikian pula bagi yang membacanya dengan keimanan pada waktu petang, lalu meninggal dunia selepas itu maka jadilah dia daripada kalangan ahli syurga(HR al-Bukhari)

Semua hak Allah, bila-bila masa saja Allah boleh tarik balik. Semua barang pinjam. Kesenangan yang ada, manafaatkanlah sebaik mungkin. Umur yang ada, pastikan berlalu dengan baik. Zaman lampau atau zaman dosa telah lepas. Yang kita perlu hadapi ialah zaman taubat dan zaman doa supaya diri tak kembali pada zaman lampau. Jangan kita jadi makin jauh dari Allah. Banyakkan syukur. Jika dapat bangun solat malam bertahun-tahun, bersyukurlah dengan nikmat ibadah yang Allah kurnia. Jangan lupa itu merupakan nikmat dari Allah yang bukan semua orang dapat meraih nikmat tersebut. Dipilih Allah untuk dapat bangun malam hikmah dari hati yang bersih InsyaAllah. 

Orang yang hatinya bersih, bila terasa timbul riak dapat rasa "aku dah riak", baik perkataan maupun perbuatan.  Maka terus sedar, terus taubat.  Masa datang riak, datang kejahatan nafsu, maka cepat2 minta pertolongan Allah dengan membaca doa, "Allahumma inni astaghfiruka 'auzubika min syarrin nafsi, la haulawala quata illa billah..." 

Hati yang jaga ialah hati yang tak lalai.  Tidak ingin orang tahu amalan ketaatannya, tidak ingin dipuji, tidak ingin dikenang.  Sentiasalah ikut syariat contoh: riadah tetap riadah untuk sihat badan tapi contohnya: tak payahlah pakai seluar pendek masa main badminton, tak payahlah aerobik bercampur lelaki perempuan, tak payahlah pergi bersenam di Gim yang bercampur lelaki perempuan.

Jika rajin berzikir, sepatutnya bila banyak sebut nama Allah, makin rasa manis.  Jangan pula bila lama sikit zikir dah mula rasa bosan, sepatutnya lagi banyak zikir kita jadi makin rindu pada Allah Taala.

Orang yang mengerjakan maksiat itu telah kufur beberapa nikmat Allah walaupun maksiat itu dosa kecil, contoh sengaja tengok yang haram atau orang yang melihat perempuan ajnabi, maka telah kufur ia akan nikmat mata kerana mata telah disalah-guna melihat.  Sudah tahu haram tapi tengok juga. Lihatlah hanya pada apa yang tak dilarang lihat.  Dengan harta yang banyak, dengan umur yang banyak yang sepatutnya dia guna untuk perkara kebajikan sebaliknya tidak dimanafaatkan sebaik-baiknya, maka telah kufur dia dengan nikmat Allah.  Sepatutnya dengan rezeki Allah bagi, makin dekat diri pada Allah. 

Maka suluh diri kita.  Cakna terhadap apa yang kita pakai, yang mungkin boleh membuat kita lalai. Gunalah segala nikmat anggota itu mengikut redha Allah... 

Semoga kita mendapat manafaat ilmu...ilmu yang dapat menyuluh diri.  Kita masing-masing suluh diri... InsyaAllah.

Wallahu a'lam.

Buat Baik Balasan Baik

Semalam semasa singgah bersarapan Roti Telor Bawang dan minum Nescafe Panas, telah disampaikan tazkirah ringkas oleh en suami terhadap apa yang didengar semasa kuliah maghrib yang saya tak sempat nak ikut sama .  Teringat time tu dah masuk waktu, en suami dah siap berjubah dan berkopiah, sedangkan saya masih duk sibuk urus itu ini kat dapur. Begitu sibuknya diri dengan urusan dunia.. ish ish.. Kalau nak tunggu saya bersiap, alamat masbuk pun terlepas nanti untuk solat berjemaah Maghrib.  Jadi kena tinggal lah.... huu..rugiii...

Disampaikan pesanan berharga seorang warga emas yang merupakan seorang tok guru yang dikenali ramai... moga beliau sentiasa diberkati Allah...ameen.

Ada tiga point penting pesanan tok guru...


  1. Mesti kenal Allah.  Mesti usaha untuk dapat kenal Allah.  Ilmu tidak akan datang bergolek pada kita, oleh itu kita yang kena usaha pergi mendapatkannya.  Untuk capai ilmu, kena-lah belajar.  Dapatkan ilmu dari mana2 tok guru, ustaz atau para ilmuwan agar tercapai maksud adanya kemahuan kita untuk belajar.  Tadah kitab mengadap tok guru.  Hadir dalam majlis ilmu. Tambah ilmu melalui pembacaan dari kitab2 dan buku.  InsyaAllah jika ada kemahuan maka akan ada jalannya, bila berilmu kita akan mampu menjadi seorang yang faham agama dan mampu mengenal Allah.
  2. Mesti tahu dan faham apa yang kita kata.  Jangan main cakap saja, kena fikir dulu sebelum cakap.  Jika tak fikir dikhuatiri, apa yang kita katakan itu boleh bawa mudharat.  Kalau apa yang bakal kita cakap tu baik dan kita pasti hasilnya baik, maka cakaplah.  Tapi jika dapat fikir dari akal yang sihat bahawasanya ia kurang baik dan risikonya juga nanti akan menjadi kurang baik maka lebih baik jangan cakap.  Kalau kita cakap juga maka tidak lain hanya akan mengundang mudharat pada diri sendiri dan juga orang lain.  Banyak mudharat boleh timbul dari lisan.  Jadi bila bercakap, pastikan ada kebaikannya bukan yang boleh datangkan keburukan.                       
  3. Mesti faham hakikat bahawa setiap apa yang kita lakukan samada kecil atau besar akan mendapat pembalasan di hari akhirat nanti.  
......................................................................
                                                                                              
Semasa dengar pesanan yang paling akhir, saya tiba2 teringat tentang apa yang kak Ngah duk citer2 semasa kami di dapur.  Kak Ngah ceritakan tentang hadis Nabi SAW yang melarang kita dari membuka aib orang.  Di akhirat nanti kita tak dapat nak sembunyikan apa-apa perkara yang telah kita perbuat semasa di dunia. Semua orang dapat tengok, umpama ada suatu skrin besar yang semua orang dapat tonton macam kita buat presentation gitu.  Jadi jika kita dapat tutup aib orang semasa di dunia, InsyaAllah Allah akan tutup aib kita nanti di akhirat  dari dapat dilihat oleh orang lain.  Allah akan delete, akan padamkan aib kita InsyaAllah.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Barangsiapa yang menutupi seorang muslim, maka Allah SWT akan menutupinya di hari kiamat". (HR Bukhari dan Muslim)

"Seorang muslim itu adalah saudara muslim lainnya, dia tidak boleh menzaliminya dan menghinakannya. Sesiapa yang membantu keperluan saudaranya maka Allah akan memenuhi keperluannya. Sesiapa yang melapangkan satu kesusahan seorang muslim maka Allah akan melapangkan satu kesusahan di antara kesusahan-kesusahan hari kiamat nanti. Dan sesiapa yang menutupi aib seorang muslim maka Allah akan menutupi aibnya pada hari kiamat". (HR Muslim)

Maka AWAS, hati-hati lah kita... Berwaspada terhadap percakapan dan perlakuan kita sebab semuanya nanti akan dipertanggung-jawabkan ke atas kita semasa di akhirat nanti.  Kecil atau besarnya setiap perkara semua dalam pengetahuan Allah. Mari bermuhasabah diri. Perbetulkan sedikit demi sedikit. Jangan putus asa bila terbuat dosa kerana hakikat kita sebagai manusia biasa sering tidak terlepas dari melakukan dosa. Banyakkan Istighfar mohon ampun pada Allah. Moga Allah ampunkan kita. Banyak2 kita lakukan amalan ketaatan kepada Allah semasa masih hidup di dunia kerana bila dah tinggalkan dunia kita dah tiada peluang untuk melakukannya.  Di akhirat kelak, hanya ada pembalasan... tiada lagi amalan....

Firman Allah SWT yang bermaksud:
Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiaya (seseorang) sekalipun seberat zarah (debu). Dan kalaulah (amal yang seberat zarah) itu amal kebajikan, nescaya akan menggandakannya dan akan memberi, dari sisiNya, pahala yang amat besar.(Surah an-Nisa: 40)

Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.(Surah al-Hujurat:6)

Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian) (Surah an-Nur 19)


Firman Allah SWT lagi:

Bukankah tidak ada balasan bagi amal yang baik – melainkan balasan yang baik juga?(Surah ar-Rahman: 60)

Sesungguhnya Allah mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Allah Maha Melihat akan segala yang kamu kerjakan.  (Surah al-Hujurat: 18)

    Wassalam.



    Blog Archive

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...