Bila Hati diSentuh Iman

Bismillahirrahmanirrahim

Kesenangan di dunia hanya bersifat sementara manakala kesenangan di akhirat itu yang kekal abadi.  Begitu juga dengan kesakitan di dunia, sakitnya hanya sebentar sedangkan jika sakit di akhirat, itu yang berpanjangan sakitnya.  Maka jika kesudahan kita di akhirat adalah kesakitan maka ia akan terus membawa kepada kesakitan demi kesakitan yang seterusnya.  Maka untuk tidak mengalami sakit di akhirat, usahalah untuk banyak melakukan ketaatan kepada Allah semasa di dunia.  Kukuhkan solat fardhu, tambahi lagi dengan yang sunat. Perbanyakkan ibadah, rajin mengaji quran dan sering berzikir mengingati Allah.  Ikhlaskan hati beramal kerana Allah, InsyaAllah akan timbul kemanisan dalam beribadah.   Bila rasa manis, akan konsisten semangat untuk istiqamah.  Buat jadual untuk rujukan diri sendiri supaya kekal dalam istiqamah.  Jika tiada jadual, mudah untuk jadi terlupa terhadap rutin ibadah.  Bila asyik terlupa, itu yang jadi sekejap buat sekejap tak buat.  

Sentiasa kita berdoa agar Allah permudahkan jalan menuju kebaikan, mohon pada Allah agar ditetapkan hati ditetapkan keimanan.  Bila iman tinggi InsyaAllah akan mencernakan akhlak dan budi pekerti yang baik.  Bila ada iman dalam hati tidak rasa payah untuk nak tolong orang, tidak rasa bakhil untuk hulurkan sedekah.  Orang yang baik akan sentiasa terbuka hati untuk menghulurkan bantuan.  Tidak rasa terpaksa.  Mudah baginya membantu kawan yang susah, meringankan beban jiran yang terdesak, tidak merasa berat untuk masukkan sedekah dalam tabung masjid, tidak berkira-kira untuk hulurkan bantuan buat saudara seislam yang sedang dizalimi di luar sana, tidak rasa sayang harta untuk infak di jalan Allah contoh untuk pembinaan masjid, surau, sekolah tahfiz dll.

Orang yang ikhlas dalam bersedekah bukan terjadi secara kebetulan.  Setiap perlakuan dan tindakan seseorang itu bukanlah berlaku saja-saja.  Jika tiada iman dalam hati, tidak akan lahir belas kasihan melihat kesusahan orang, tidak akan timbul perasaan ingin membantu mereka yang kesempitan, tidak akan secara semulajadi pamerkan akhlak yang baik.  Orang yang berakhlak baik adalah cernaan iman yang ada dalam hati.  Bila hati telah disentuh dengan iman, maka jadi berbeza nilai sesuatu sedekah itu contoh sedekah yang ikhlas walaupun seringgit akan ada nilaian di sisi Allah berbanding sedekah RM100 yang bertujuan untuk menjadi mulia di mata manusia.  Tanpa iman, akhlak tiada nilainya... hanya akan sia-sia. Seorang penderma yang hebat namun jika dia seorang non-muslim misalnya, walau sebanyak mana pun sumbangan derma diberikan maka ianya tidak bermakna di sisi Allah.

Maka sentiasalah kita berusaha untuk mengekalkan iman dalam hati.  Iman akan turun naik.  Jadi kena ada usaha untuk pastikan iman sentiasa berada di tahap tinggi agar kedudukan akhlak tetap terpelihara.  Akhlak kita mencerminkan peribadi kita.  Baik akhlak maka baik lah kita, akan terselit sifat malu dalam diri.  Bila ada rasa malu dan takut pada Allah, tentunya kita tidak akan sanggup berbuat apa-apa saja yang cela, yang tidak baik, yang sia-sia dan yang menjadi kemurkaan Allah.

Wallahu'alam.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...