Tazkirah 1 Ramadhan - Gemar Pada Pahala


Bismillahirrahmanirrahim

Ahlan Ramadhan.  Bersyukur kita kerana Allah pertemukan lagi kita dengan bulan Ramadhan, bulan syiar al-quran,bulan suci yang kita semua amat menunggu-nunggu kedatangannya.

Di malam 1 Ramadhan ustaz mulakan tazkirah dengan ayat quran Surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.
Orang bertakwa ialah orang-orang yang nampak akan syurga, nampak akan neraka, nampak dosa dan pahala.  Maka bila sedar akan batasan-batasan tertentu maka dapat menghindar diri dari melakukan dosa.

Bulan Ramadhan melatih kita dengan solat Terawih berjemaah.  Dengan latihan yang konsisten selama 30 hari sepanjang Ramadhan, InsyaAllah mudah-mudahan dengan latihan itu, maka di luar bulan ini dapat menyemarakkan semangat untuk terus mendirikan solat secara berjemaah.

Bersungguh-sungguhlah kita gemar pada pahala, bukan gemar pada dosa.  Bantu diri kita dengan memperbanyakkan sujud.  Bukan setakat mendirikan yang fardhu, tapi haruslah kita tambahi lagi dengan buat solat-solat sunat. Dan bukan pula sekadar tunaikan solat, tetapi wajib tunaikan zakat.  Infakkan harta, contoh: untuk majlis berbuka puasa.  Jika kita memberi makan orang berbuka, InsyaAllah kita akan mendapat dua pahala.  Satu pahala berpuasa diri sendiri dan satu lagi pahala puasa orang yang berbuka puasa dari makanan yang kita infakkan.. InsyaAllah.  

Hendaklah kita berpuasa seluruh anggota bukan hanya berpuasa dari tidak makan dan minum serta tidak melakukan perkara lain yang membatalkan puasa.  Berpuasa seluruh anggota bermaksud berusaha menjaga mulut, mata, telinga, tangan, kaki serta yang paling utama iaitu hati agar tidak melakukan maksiat.  Contoh pelihara mulut dari mengumpat, mengata, memfitnah, bergaduh, bercakap hal sia-sia dan sebagainya. Begitu juga dengan mata, pelihara ia dengan tidak memandang kepada perkara-perkara yang boleh mendatangkan dosa.  Telinga jangan mendengar umpatan, adu-domba, fitnah dan sebagainya. 

Bertadarruslah, hendaklah baca quran dengan sebenar-benar bacaan.  Bila bertaddarus berama-ramai, bacaan al-quran dapat sama-sama diperbetulkan bila tersilap di mana-mana. Pembaca al-quran terbahagi kepad 3 iaitu:  Orang yang mahir baca quran lalu mendapat pahala, orang yang baca salah tapi dapat pahala dari sebab bersungguh-sungguhnya dia membaca walaupun tak berapa pandai dan masih belajar, orang yang baca salah dan dia berdosa kerana dia membaca ikut kehendak hati tanpa ada guru yang menyelia atau membetulkannya. Bacaan al-quran jangan kita ambil lewa.  Semarakkan Ramadhan dengan Taddarus al-quran.

Sesiapa yang menghidupkan Ramadhan, Allah Taala akan menghapuskan dosa-dosanya yang lalu.  Banyakkanlah berdoa, banyakkan berbuat baik.  Teguhkan puasa kita, tahan diri dari lakukan sesuatu yang boleh membuatkan puasa kita batal.  Jangan kiranya matlamat kita hanya untuk tingkatkan amal, sedangkan kita tidak begitu memperhatikan tentang bagaimana sikap kita, perkataan kita. Hindarkan apa yang dimurkai Allah, bukan setakat tingkatkan amal di bulan Ramadhan.  Ingatlah bahawa Ramadhan adalah alat untuk kita mencapai redha Allah. Gemarlah pada pahala, bersungguh-sungguhlah merebut pahala.

Wallahu'alam.



1 comment:

Anonymous said...

Ramadan datang lagi sebagai anugerah Allah untuk kita semua. Jangan rugi lagi. Gemar pahala benci dosa. Ya Allah istiqamah kan kami dalam amal soleh sepanjang Ramadan ini.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...